HULU TERENGGANU: Kemerosotan ekonomi yang dialami negara adalah
disebabkan kelembapan ekonomi negara kuasa besar dunia yang mempengaruhi
iklim ekonomi dunia, jelas Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul
Ghani.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat mengubah persepsi yang mendakwa
kemerosotan ekonomi yang melanda negara adalah disebabkan isu 1Malaysian
Development Berhad (1MDB).
Katanya Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan berdagang dengan semua
negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, negara Timur Tengah
dan Eropah.
"Bila ekonomi dunia meningkat, maka ekonomi negara kita juga meningkat,
begitu juga bila ekonomi dunia huru-hara, ekonomi negara kita juga akan
terjejas.
"Mengambil contoh unjuran ekonomi dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa
dan Bank Dunia di mana pada tahun 2017, ekonomi dunia dijangka menurun
daripada 3.4 peratus kepada 3.1 atau 3 peratus. Oleh sebab kita
berdagang dengan satu dunia, ia secara automatik akan menjejaskan
ekonomi kita," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno
Bahagian Hulu Terengganu di sini Jumaat.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu dalam masa sama meminta rakyat tidak
mempolitikkan isu 1MDB kerana bimbang ia akan menakutkan pelabur asing
untuk terus melabur di negara ini.
"Hal berniaga tidak boleh bercampur dengan politik kerana nanti ia akan
jadi kelam kabut. 1MDB adalah satu syarikat yang ditubuhkan untuk
pelaburan jangka masa panjang di antara 10 hingga 20 tahun.
"Tapi bila ia mula bercampur dengan politik, ia akan mengganggu urusan
syarikat dan ditambah pula dengan pengurusan yang tidak cekap, syarikat
mana yang akan bertahan?.
"Jika betul ada berlaku penyelewengan dan ada pihak yang bersalah
(dalam 1MDB), pihak yang terlibat akan mengambil tindakan. Rakyat tidak
perlu susah hati dan pening kepala, ini hal orang berniaga," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.