Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Selagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said
berada 'di dalam' pentadbiran kerajaan negeri, maka selagi itulah
pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Razif Abdul Rahman
tidak akan lancar, kata penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir.
Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata,
tindakan ADUN Kijal itu yang kerap mengkritik Ahmad Razif bukan saja
memperlihatkan pentadbiran kerajaan negeri yang lemah malah lebih besar
ia akan memberi kesan kepada rakyat.
Oleh itu beliau berpendapat, jalan terbaik kepada krisis ini adalah
Ahmad Razif perlu berundur daripada jawatan Menteri Besar ataupun
membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
"Selagi Ahmad Said berada 'di dalam', Ahmad Razif tak akan dapat
menjalankan tugas dengan baik, beliau akan terus diganggu dan tidak
dapat tidur lena malam.
"Tidak ada akhirnya selagi keadaan sekarang tidak diselesaikan secara
muktamad, iaitu pertama Menteri Besar sekarang berundur, dan kedua,
bubarkan DUN dan adakan pilihan raya mengejut. Itu saja jalan terbaik,"
kata beliau sebagai mengulas kemelut politik di negeri berkenaan.
Malah ujar Jeniri, penyelesaian yang bakal diputuskan oleh kepimpinan
tertinggi negara kelak perlu mengambilkira segenap aspek agar masalah
tidak berulang.
Dengan erti kata yang lain, ujar jeniri, kepimpinan tertinggi perlu
mengambil jalan tengah yang diterima kedua-dua pihak, pihak istana dan
juga rakyat.
"Kalau tidak dapat cari jalan penyelesaian yang saya fikir memang sukar
untuk mereka berkompromi, tidak ada jalan lain. Kepimpinan tertinggi
negara kena ambil tindakan yang disenangi atau yang boleh menyenangkan
hati rakyat dan pemimpin peringkat ADUN dan bawahan," ujar beliau.
Ahmad Razif bagaimanapun menegaskan tidak akan berundur sekalipun didesak untuk berbuat demikian.
Beliau malah berkata, punca kekalutan yang melanda Terengganu sekarang berpunca daripada Ahmad Said.
Ujarnya, pentadbiran Ahmad Said gagal dan ia boleh dilihat menerusi
pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU13), di mana parti itu hilang tujuh kerusi daripada 24 kerusi pada
PRU12.
BN kini mempunyai 17 kerusi daripada 32 kerusi DUN. PAS mempunyai 14 manakala PKR mempunyai 1 kerusi.
Sebarang kemungkinan, sama ada Umno memecat Ahmad Said ataupun pemimpin
itu keluar parti, akan menyebabkan kerajaan negeri yang diterajui BN
goyah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.