Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
PETALING JAYA: Sidang media bagi mengumumkan penyertaan Datuk Zaid
Ibrahim ke dalam DAP, sebentar tadi, tegang seketika apabila penasihat
parti itu, Lim Kit Siang mempertikaikan soalan yang diajukan seorang
wartawan.
Ia bermula apabila seorang wartawan bertanyakan soalan kepada Kit
Siang, sama ada beliau akan menukar nada bersabit skandal Forex dan
Bumiputera Malaysia Finance Limited (BMF) yang mengaitkan Tun Dr
Mahathir Mohamad, sekiranya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) itu tidak 'semeja' dengan beliau.
Pertanyaan itu membuatkan Kit Siang melenting dan bertanyakan kembali, bagaimana ucapannya yang dikatakan berubah nada.
Wartawan itu kemudian cuba menjelaskan kembali soalannya kerana Kit
Siang 'tersalah tafsir' dengan menyangka dia seolah-olah mendakwa
pemimpin DAP itu membuat kenyataan berbeza bersabit isu berkenaan.
Bagaimanapun Kit Siang terus 'menyerang' wartawan berkenaan dan
menyindir bahawa seorang pemberita tidak wajar membuat laporan yang
tidak benar.
"Tidak, bagaimana yang saya kata berbeza? Bagaimana? Jika anda tak boleh nyatakan, anda sedang membuat tuduhan tidak berasas.
"Buktikan, buktikan...anda kata saya cakap dengan berbeza, beritahu
saya, jika tidak anda membuat tuduhan tak berasas," tegasnya.
Situasi itu kembali tenang beberapa minit kemudiannya.
Dr Mahathir baru-baru ini dikaitkan dengan skandal BMF dan Forex yang
mengakibatkan kerugian wang yang besar, ketika era pemerintahannya.
Terdahulu, dokumen rasmi yang didedahkan badan risikan Amerika Syarikat
(AS) baru-baru ini mengenai skandal perbankan besar menggegarkan negara
pada 1980-an menunjukkan ada pembabitan Dr Mahathir Mohamad, menurut
laporan portal berita.
Dokumen itu, antara 13 kertas siasatan yang dikeluarkan minggu lalu
oleh CIA, juga mempertikaikan respons pentadbiran Mahathir dalam
mengendalikan kerugian kira-kira AS$1 bilion itu.
Tidak lama kemudian, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)
Datuk Abdul Murad Khalid dilaporkan berkata, BNM mengalami kerugian
AS$10 bilion (RM40.4 bilion) dalam urus niaga perdagangan matawang pada
awal 90-an semasa era pentadbiran Dr Mahathir.
Ekoran itu, Pemuda Umno mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian yang dialami BNM dalam
urus niaga itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan