Pengerusi PPBM itu menyifatkan langkah yang disuarakan PAS itu jelas mengakibatkan pembangkang berpecah
PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( PPBM) Dr Mahathir Mohamad tidak menganggap cadangan PAS agar kedua-dua parti itu bersama-sama PKR meninggalkan Pakatan Harapan demi meningkatkan pengaruh parti pembangkang pada pilihan raya yang akan dayang sebagai formula yang baik.
Sebaliknya beliau berkata, tindakan sedemikian hanya akan memecahkan dan akhirnya akan mengakibatkan parti pembangkang gagal menewaskan Barisan Nasional (BN) .
“Itu mungkin pembangkang kalah, bila pembangkang berpecah, pembangkang kalah kalau bersatu kita menang,” katanya kepada wartawan di kediaman bekas menteri Zaid Ibrahim hari ini.
Baru-baru ini Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata kekuatan pembangkang akan meningkat sekali ganda sekiranya PKR dan PPBM meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menyertai blok ketiga.
Ujarnya, jika kerjasama itu menjadi kenyataan, peluang bagi menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) lebih tinggi.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara ( Amanah) Khalid Samad semalam ketika diminta mengulas menyifatkan PAS bertindak sedemikian kerana mahu memecah-belahkan parti pembangkang yang bakal memberi keuntungan kepada BN semata-mata.
Dr M dalam pada itu tidak menganggap kenyataan pimpinan PAS itu sebagai syarat untuk kerjasama politik di antara kedua-dua parti itu.
Beliau dalam masa sama memaklumkan perbincangan di antara PPBM dan PAS sehingga kini masih gagal dimuktamadkan.
“Tidak bermakna itu syarat kalau dia (PAS) kata dia katalah, kita nak kata kita punya syarat pula,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan