Halaman

Selasa, 7 Februari 2017

MIC nafi gesa boikot peniaga Melayu ketika sambutan Thaipusam

 Berita Daily Staff
 
 
Tuduhan MIC menyeru supaya peniaga Melayu tidak berasas dan berlebihan, kata VS Mogan

KUALA LUMPUR: MIC hari ini menafikan dakwaan bahawa cybertroopers parti India itu memainkan sentimen perkauman dengan meminta masyarakat India memboikot peniaga Melayu yang membuka gerai di kawasan tumpuan masyarakat India di Selangor dan Pulau Pinang untuk sambutan Thaipusam akan datang.

Ketua Penerangan MIC, VS Mogan menegaskan cybertroopers tidak pernah menggunakan media sosial meminta penganut Hindu memboikot peniaga Melayu.

“Ini tuduhan yang berlebihan dan tidak berasas,” katanya kepada Berita Daily ketika dihubungi, hari ini.

“Kesemua posting yang dilaporkan berkenaan ‘boikot peniaga Melayu’ hanya pandangan individu. Bukan dari MIC mahupun cybertroopers MIC,” jelasnya.

“Kami (MIC) tidak pernah meminta penganut Hindu supaya boikot peniaga Melayu. Jangan mengheret MIC ke dalam isu ini,” tambahnya.

Terdahulu, Naib Pengerusi PKR Melaka, G Rajandran mendakwa  cybertroopers MIC memainkan sentimen perkauman dengan meminta masyarakat India memboikot peniaga Melayu yang membuka gerai di kawasan tumpuan masyarakat India di Selangor dan Pulau Pinang untuk sambutan Thaipusam akan datang.

Beliau berkata, sejak minggu lalu beberapa individu yang didakwanya ahli MIC menggunakan laman media sosial meminta penganut Hindu supaya memboikot peniaga-peniaga ini dan mendakwa kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mengutamakan peniaga Melayu dan meminggirkan peniaga India dalam pengagihan tapak berniaga untuk sambutan Thaipusam.

Rajandran juga menegaskan bahawa dakwaan di media sosial bahawa Pakatan mengagihkan 80% tapak perniagaan kepada Melayu juga tidak benar sama sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.