CHERAS: Kawalan keselamatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad akan
ditambah jika terdapat ancaman, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad
Fuzi Harun.
Bagaimanapun ujarnya, kawalan keselamatan yang membabitkan anggota
Unit Tindakan Khas (UTK) untuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) masih
dikekalkan.
Menjelaskan salah faham beberapa pihak, Fuzi berkata pihak polis hanya
mengecilkan skala anggota UTK yang bertugas menjaga keselamatan bekas
perdana menteri itu.
"Bergantung kepada ancaman, kalau polis fikir ada ancaman serius pada
beliau, kita akan tingkatkan semula jumlah anggota dan beri kawalan yang
perlu," katanya kepada media hari ini.
Minggu lalu Dr Mahathir, melalui posting di Facebooknya berkata dua pengiring peribadinya telah ditarik balik khidmatnya.
Fuzi menafikan dakwaan itu sambil menegaskan hak keistimewaan pada Dr
Mahathir kekal, cuma beberapa anggota pengiring peribadi daripada
anggota biasa diarahkan kembali bertugas dengan Polis Diraja Malaysia
(PDRM).
“Itu tidak benar sama sekali. Pengiring peribadi daripada pegawai UTK masih berkhidmat dengan Dr Mahathir.
“Hanya anggota biasa sahaja kita panggil kembali untuk tugasan lain, itu hanyalah prosedur biasa,” katanya.
Bukan itu sahaja polis juga turut menugaskan anggotanya untuk menjaga
keselamatan isteri bekas perdana menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohd
Ali.
Untuk rekod pada Mei 2016 kerajaan menarik balik polis pengiring Dr
Mahathir. Tindakan itu diambil memandangkang penglibatan pemimpin itu
dalam himpunan antikerajaan.
Sementara itu Fuzi memaklumkan polis akan meneruskan siasatan terhadap
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang dituduh menjalin
hubungan sulit dengan isteri orang, selepas diarahkan oleh Peguam Negara
untuk menyiasat lagi kes itu.
Sebelum ini polis telah menyerahkan laporan siasatan sebanyak dua kali
kepada Pejabat Peguam Negara namun ditolak dengan arahan meneruskan
siasatan.
"Kertas siasatan dihantar semula kepada kami sekali lagi kerana banyak
langkah susulan yang perlu diambil sebelum boleh menghantar semula
kertas itu," katanya.
Fuzi memaklumkan laporan siasatan pertama dihantar pada 17 Oktober manakala yang kedua pada 30 Oktober.
Dzulkifli dikaitkan mempunyai hubungan dengan seornag wanita berstatus
isteri orang sebagaimana video yang tersebar memperlihatkan kedua-dua
mereka bercuti di Bali.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menggoda wanita yang sudah berkahwin.
Dzulkifli sebelum ini menyifatkan penyebaran video itu sebagai 'taktik
kotor' dan bertegas tidak akan tunduk dengan serangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.