Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mendakwa tidak
pernah melihat kandungan lafaz bai'ah talak tiga yang digunapakai PAS
negeri itu sejak tahun 2008.
Justeru Mohamad Shukri berkata beliau tidak boleh mengulas dengan lebih
lanjut mengenai lafaz bai'ah tersebut sama ada sah jatuh talak atau
tidak, jika ada mana-mana pemimpin PAS bertindak melompat parti.
Bahkan beliau sendiri tidak pernah dirujuk dan diperlihatkan kandungan lafaz bai'ah dan taklik yang dipraktikkan PAS.
"Saya tidak pernah melihat lafaz bai'ah dan taklik yang dilakukan PAS, hanya mendengar melalui media massa sahaja.
"Perkara yang dijelaskan dalam media massa, jika lompat parti maka
jatuh talak, tapi kandungan sebenarnya saya tak pernah tengok," ketika
dihubungi Antarapos.
Sebelum ini, banyak pihak tertanya-tanya apakah status perkahwinan tiga
pemimpin PAS yang bertindak melompat parti walhal pada masa sama mereka
terikat dengan lafaz bai'ah talak tiga.
Tiga pemimpin itu adalah Datuk Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala
Krai), Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Husam Musa
(Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan).
"Isi kandungan taklik dan bai'ah saya tidak pernah tengok. Sama seperti
akad nikah, kandungan taklik berbeza mengikut negeri, bergantung kepada
lafaz itu samada jatuh talak atau tidak, jadi nak komen (jatuh talak
atau tidak) tak boleh," katanya.
PAS Kelantan pada 2004, mengikat wakil rakyatnya dengan lafaz bai'ah
cerai talak tiga ke atas isteri masing-masing jika merka bertindak
melompat parti.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki, partinya
terpaksa berbuat demikian berikutan bimbang wakil rakyatnya dipancing
menyertai Umno Barisan Nasional (BN) dan menyebabkan kerajaan negeri
Kelantan tumbang.
Ketika itu PAS hanya mempunyai lebihan dua undi berbanding BN.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata lafaz bai'ah adalah urusan parti dan beliau sama sekali tidak terlibat.
"Saya sendiri tidak tahu kerana ini bukan urusan kerajaan , ini urusan parti
"Itu yang saya tak boleh nak komen, kalau kita tak tahu apa 'wording'
taklik dan isi kandungan bai'ah ,itu yang menjadi permasaalahannya.
"Jika saya ulas, akan ada berlaku kesilapan, bak kata pepatah kita garu tempat yang tak gatal," ujarnya.
Beliau juga memberitahu tidak pernah mendengar apa-apa perkembangan
sama ada tiga bekas pemimpin PAS itu merujuk atau tidak, status
perkahwinan mereka ke pejabat agama atau mahkamah syariah.
"Jika satu-satu kes dibawa ke mahkamah, maka perlu ada pendakwa,
pendakwa yang perlu bawa kes ke mahkamah, baru mahkamah boleh bersidang.
Jika pendakwa tidak bawa kes ke mahkamah, jadi tiadalah dakwaan.
"Saya tak tahu, maknanya tiada pihak yang membuka siasatan berkenaan
isu bai'ah, kalau ada bukti kukuh, pendakwa (akan) bawa ke mahkamah.
"Jika tiada bukti kukuh, (maka) tiadalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.