MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini berusaha menarik keluar
kapal korek yang terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika di
perairan Parit Jawa, pagi tadi, keluar dari laluan kapal dagang.
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan,
Kapten Maritim Sanifah Yusof, berkata usaha itu dilakukan bagi
membolehkan kapal berkenaan dibawa ke kawasan yang lebih cetek dan
berhampiran pantai.
Katanya, operasi SAR masih diteruskan dan pada masa sama, menunggu
ketibaan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang
membawa pelbagai kelengkapan menyelamat, selain kepakaran dimiliki
mereka.
"Proses menarik kapal korek yang terbalik itu giat dijalankan
menggunakan dua kapal penunda milik syarikat kapal serta persendirian.
"Ia bertujuan mengalihkan kapal terbabit dari laluan kapal perdagangan
yang sibuk, selain ke kawasan lebih cetek berbanding sebelumnya yang
mempunyai kedalaman antara 32 meter hingga 36 meter.
"Maritim Malaysia juga mengunakan peralatan telekomunikasi kapal
memaklumkan kapal perdagangan yang melalui kawasan itu untuk mengelak
dari menggunakan laluan berhampiran lokasi kejadian," katanya ketila
ditemui pemberita di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, di
sini, malam ini.
Pagi tadi, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas, manakala 14 lagi
masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di kedudukan
kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, kira-kira jam 7.50
pagi tadi.
Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.
Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima
panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 krew
dipercayai terperangkap di dalam kapal itu, kira-kira jam 8.50 pagi.
Ditanya kekangan yang dihadapi pasukan SAR dalam menyelamatkan mangsa,
Sanifah berkata, antara faktor utama adalah keadaan laut bergelora dan
cuaca buruk.
"Kami menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengkritik pasukan SAR kononnya melengahkan usaha menyelamat.
"Kita sebenarnya tidak memiliki peralatan khas serta kepakaran untuk
menyelamat di kawasan laut dalam. Keutamaan kami tetap menyelamatkan
nyawa mangsa walaupun berdepan kesukaran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.