HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Mac 2018

Mufti Kelantan tidak pernah lihat kandungan lafaz bai'ah talak tiga PAS

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mendakwa tidak pernah melihat kandungan lafaz bai'ah talak tiga yang digunapakai PAS negeri itu sejak tahun 2008.
 
Justeru Mohamad Shukri berkata beliau tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut mengenai lafaz bai'ah tersebut sama ada sah jatuh talak atau tidak, jika ada mana-mana pemimpin PAS bertindak melompat parti.
 
Bahkan beliau sendiri tidak pernah dirujuk dan diperlihatkan kandungan lafaz bai'ah dan taklik yang dipraktikkan PAS.
 
"Saya tidak pernah melihat lafaz bai'ah dan taklik yang dilakukan PAS, hanya mendengar melalui media massa sahaja.
 
"Perkara yang dijelaskan dalam media massa, jika lompat parti maka jatuh talak, tapi kandungan sebenarnya saya tak pernah tengok," ketika dihubungi Antarapos.
 
Sebelum ini, banyak pihak tertanya-tanya apakah status perkahwinan tiga pemimpin PAS yang bertindak melompat parti walhal pada masa sama mereka terikat dengan lafaz bai'ah talak tiga.
 
Tiga pemimpin itu adalah Datuk Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai), Datuk Kamaruddin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat) dan Husam Musa (Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan).
 
"Isi kandungan taklik dan bai'ah saya tidak pernah tengok. Sama seperti akad nikah, kandungan taklik berbeza mengikut negeri, bergantung kepada lafaz itu samada jatuh talak atau tidak, jadi nak komen (jatuh talak atau tidak) tak boleh,"  katanya.
 
PAS Kelantan pada 2004, mengikat wakil rakyatnya dengan lafaz bai'ah cerai talak tiga ke atas isteri masing-masing jika merka bertindak melompat parti.
 
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki, partinya terpaksa berbuat demikian berikutan bimbang wakil rakyatnya dipancing menyertai Umno Barisan Nasional (BN) dan menyebabkan kerajaan negeri Kelantan tumbang.
 
Ketika itu PAS hanya mempunyai lebihan dua undi berbanding BN.
 
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata lafaz bai'ah adalah urusan parti dan beliau sama sekali tidak terlibat.
 
"Saya sendiri tidak tahu kerana ini bukan urusan kerajaan , ini urusan parti
 
"Itu yang saya tak boleh nak komen, kalau kita tak tahu apa 'wording' taklik dan isi kandungan bai'ah ,itu yang menjadi permasaalahannya.
 
"Jika saya ulas, akan ada berlaku kesilapan, bak kata pepatah kita garu tempat yang tak gatal," ujarnya.
 
Beliau juga memberitahu tidak pernah mendengar apa-apa perkembangan sama ada tiga bekas pemimpin PAS itu merujuk atau tidak, status perkahwinan mereka ke pejabat agama atau mahkamah syariah.
 
"Jika satu-satu kes dibawa ke mahkamah, maka perlu ada pendakwa, pendakwa yang perlu bawa kes ke mahkamah, baru mahkamah boleh bersidang. Jika pendakwa tidak bawa kes ke mahkamah, jadi tiadalah dakwaan.
 
"Saya tak tahu, maknanya tiada pihak yang membuka siasatan berkenaan isu bai'ah, kalau ada bukti kukuh, pendakwa (akan) bawa ke mahkamah.
 
"Jika tiada bukti kukuh, (maka) tiadalah," katanya.
 
 

Tiada ulasan: