HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mac 2018

PR tidak dapat sahkan dokumen pengenalan pada hari mengundi, kata ahli Parlimen

THE MALAYSIAN INSIGHT
SPR tidak dapat sahkan dokumen pengenalan pada hari mengundi, kata ahli Parlimen 
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengkritik SPR kerana tidak mampu untuk memastikan ketulenan dokumen pengenalan yang digunakan pengundi.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak boleh memberi jaminan bahawa kad pengenalan pengundi adalah asli pada hari mengundi, kata ahli Parlimen pembangkang berikutan taklimat suruhanjaya itu berkenaan Pilihan Raya Umum ke 14.

Dalam satu kenyataan bersama, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga ahli Parlimen Pagoh dan beberapa ahli Parlimen lain berkata mereka tidak mendapat jaminan daripada SPR berhubung ketulenan kad pengenalan, pasport, lesen memandu dan laporan polis berhubung kehilangan kad pengenalan yang digunakan untuk mengesahkan pengundi pada hari mengundi.

"Apabila kami tanya mereka bagaimana dokumen ini akan disahkan, wakil SPR berkata alat untuk pengesahan (seperti pengimbas) tidak akan dibekalkan kepada pusat mengundi.

"Ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan bahaya," menurut kenyataan yang ditandatangani Muhyiddin, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking.

Ini yang berlaku pada taklimat yang diadakan 24 Mac lalu oleh SPR kepada wakil Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, menurut kenyatan itu.

SPR memaklumkan kepada mereka yang hadir bahawa pelbagai dokumen oengenalan boleh digunakan tetapi tidak menyatakan bagaimana ia mahu memastikan dokumen berkenaan tulen.

Kenyataan itu turut menyatakan kebimbangan yang dibangkitkan pada Dewan Negara bahawa hospital kerajaan juga tidak mempunyai pengimbas MyKad untuk mengesahkan kad pengenalan pesakit, yang membawa kepada penyalahgunaan perkhidmatan kesihatan awam oleh pendatang asing tanpa izin.

"Apabila kami dengar bagaimana hospital kerajaan tidak mempunyai pengimbas untuk menghalang penyalahgunaan oleh pendatang asing tanpa izin, apa lagi di pusat mengundi yang mana dokumen palsu boleh digunakan oleh mereka untuk membuang undi?

"SPR perlu mengubah Prosedur Operasi Standard dan memastikan hanya dokumen pengenalan tulen digunakan oleh pengundi.

"Jika tidak, ianya jelas bahawa PRU14 merupakan pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah Malaysia," menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan: