HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mac 2018

Saya tiada dalam senarai calon MB Selangor, kata Noh Omar



Noh berkata soal siapa calon BN untuk jawatan menteri besar di tangan perdana menteri.


KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar memaklumkan namanya tidak tersenarai sebagai calon menteri besar Selangor jika BN berjaya menawan kembali Kota Darul Ehsan.

“Saya ini tidak ada dalam senarai lah,” katanya pada sidang media selepas satu majlis Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di PWTC hari ini.

Ditanya berhubung khabar angin Pegawai Khas Perdana Menteri Isham Jalil akan bertanding di Selangor dan bakal diangkat sebagai menteri besar, Noh berkata BN Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti untuk tentukan.

“Soal siapa menteri besar biar perdana menteri selesaikan.

“Saya tidak tahu dan saya sendiri pun tidak tahu saya bertanding ke tidak,” katanya dan memaklumkan BN Selangor belum memutuskan siapa calon menteri besar.

Sebelum ini media melaporkan Isham disebut-sebut bakal dicalonkan sebagai calon BN untuk jawatan menteri besar Selangor daripada BN.

Isham yang merupakan graduan Universiti Harvard itu dikatakan antara nama yang mungkin bertanding di DUN Paya Jaras, yang sebelum ini dimenangi PAS.

Cadangan turut disokong Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menyifatkan pegawai perdana menteri itu antara calon yang layak.

“Beliau memang selayaknya dan terbaik untuk calon Menteri Besar Selangor. Saya akan memberikan sokong tanpa belah-bahagi,” kata Jamal.

Sementara itu, Noh yang juga menteri KPKT berkata, Barisan Nasional akan menyediakan 6,000 unit rumah khusus untuk golongan muda jika BN berjaya menawan Selangor.

Tiada ulasan: