HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 Mac 2019

KERJASAMA UMNO – PAS TERBUKTI

Oleh: Hazierra Lukman
 



Kerjasama UMNO-PAS jelas terbukti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih apabila undi calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi memperolehi 19,780 undi berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Keputusan PRU14 calon BN Datuk Johan Abdul Aziz memperolehi 14,464 undi. Calon PAS mendapat 6,966 undi.

Rata-rata pemerhati politik beranggapan lebih 70 peratus undi dari ahli dan penyokong PAS telah mengundi calon BN.

Manakala calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi menerima tamparan hebat apabila undi parti itu yang diperolehi calon PH pada PRU14 Allahyarham Mohd Bakhtir Mohd Nor sebanyak 23,428 gagal dipertahankan.

Selepas pengumuman kemenangan, calon BN Zakaria mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi kerana membuat pilihan bijak dan juga pada seluruh jentera parti UMNO dan PAS kerana bertungkus lumus berkempen sehingga membuahkan kemenangan.

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat undi sebanyak 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng pula sekadar memperoleh 725 undi.
Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Semenyih, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar kira-kira pukul 9.20 malam di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian. malam Ahad.

Menurut Mohd. Sayuthi, undi ditolak sebanyak 650 dan peratusan keluar mengundi sebanyak 73.24 peratus.

Kejayaan BN hari ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dalam PRK selepas memenangi PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.

Hadir sama menyambut kemenangan tersebut ialah Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Tiada ulasan: