Halaman

Ahad, 1 Mac 2020

Perikatan Nasional rampas hak demokratik rakyat, kata bekas menteri

Ahli Parlimen Batu Sapi dan bekas menteri undang-undang Liew 
Vui Keong berkata, pemimpin Perikatan Nasional akan gagal 
kerana mereka bukan gabungan politik yang dipilih secara 
demokratik.
 
KOTA KINABALU: Bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong hari ini berkata, hak demokratik rakyat Malaysia sekali lagi dirampas oleh “sekumpulan penipu, pencuri dan perompak” yang berada dalam gabungan politik Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun katanya, kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan mempertahankan kuasa tidak perlu ditangisi kerana kebangkitan PN tidak akan bertahan lama.

Liew berkata, PN, yang diketuai presiden PPBM Muhhyiddin Yassin, dan juga perdana menteri ke-8 yang baru dilantik, perlu berdepan undi tidak percaya di Parlimen pada 9 Mac depan.

“Mereka menang melalui penipuan, mencuri dan merompak demokrasi rakyat. Membentuk kerajaan melalui pintu belakang sinonim dengan pemimpin PN.

“Kerajaan pintu belakang tidak sah…mampukah mereka berdepan dengan kita, berjabat tangan dan berkata, ‘terima kasih kerana memilih kami sebagai kerajaan?”, kata ahli Parlimen Batu Sapi daripada Warisan itu di sini, hari ini, selain menambah bahawa rakyat akan mencemuh pemimpin PN.

PN terdiri daripada pemimpin Barisan Nasional (BN), PAS, PPBM, bekas ahli Parlimen PKR dan beberapa yang lain.

Perebutan kuasa di peringkat persekutuan selama seminggu berakhir hari ini apabila Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Liew berkata, pemimpin PN akan gagal kerana mereka bukan gabungan politik yang dipilih secara demokratik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.