HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2020

20 peratus calon pilihan raya, lantikan untuk anak muda

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meminta 20 peratus daripada calon pilihan raya dan lantikan mestilah terdiri daripada anak muda.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata jumlah itu termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta khidmat sokongan anggota pentadbiran kerajaan.

Golongan mahasiswa dan profesional muda perlu diyakinkan untuk aktif berpolitik dan Armada harus menyusun semula platform dan gerak kerja untuk golongan ini di bawah payung Mahasiswa BERSATU Negara.

"Namun ini perlu dibuat di bawah panji dan jenama yang tunggal dan tidak berbelah bahagi, logo bunga raya kita," katanya dalam ucapan dasar Ketua Armada BERSATU pada Perhimpunan Agung BERSATU 2020 hari ini.

Beliau berkata, rombakan segera terhadap sistem pendidikan terutamanya untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) supaya setiap belia, sebelum meninggalkan alam persekolahan sudah mempunyai peluang kerja yang sesuai dengan bakat dan minat masing-masing.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, melalui dasar jaminan pekerjaan di bawah Majlis Pekerjaan Negara, skim-skim ini boleh diperkasa supaya peluang pekerjaan dapat dicipta dan dimajukan.

"Sistem 'talent matching' yang mengenal pasti dan memadankan bakat-bakat muda dengan peluang yang terbaik juga perlu disegerakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya konsep Satu Keluarga, Satu Kerjaya perlu diperkenalkan yang mana setiap isi rumah perlu ada sekurang-kurangnya seorang pekerja berkemahiran tinggi atau yang bekerja dalam sektor yang ada nilai tambah tinggi.

"Selain daripada pakar IT (teknologi maklumat) dan pakar ekonomi, kita juga mahu belia memimpin dalam bidang kepintaran buatan, robotik, dan yang paling penting teknologi hijau untuk menjamin kelestarian alam sekitar kita. Ini fardu kifayah yang tidak boleh kita tinggalkan dari kalangan kita.

"Wabak COVID-19 membuktikan kebergantungan kepada tenaga kerja asing adalah satu liabiliti. Armada percaya masalah ini harus dikurangkan beransur-ansur dan guna tenaga tempatan dipertingkat.

Tiada ulasan: