MGF30092021_NAJIB-MAHKAMAH04
Najib Razak
JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berharap Datuk Seri Najib Razak akan terus membantu parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya, Rabu lalu.
 
Ini kerana, katanya, bekas Presiden UMNO yang merupakan perdana menteri keenam itu masih berpengaruh.
 
“Perbicaraan mahkamah telah dijalankan dan keputusan dicapai di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
 
“Saya masih berharap, walaupun beliau tidak dapat ambil bahagian PRU tetapi terus bantu parti dari belakang kerana beliau ada pemgaruh yang kuat kepada rakyat.
 
“Dan kita masih sayang pada dia walaupun dia dapati bersalah,” katanya ketika diminta memberikan pandangan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan hukuman terhadap Najib.
 
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat tawaran Projrk Perumahan Rakyat (PPR) Perling kepada penduduk Kampung Sungai Pinang, Perling, di sini, hari ini.
 
Mahkamah Rayuan Rabu lalu  mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd
 
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.