HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Disember 2021

PRN Melaka bukti kebangkitan BN – Ahmad Maslan

MALAYSIA POST

PRN Melaka bukti kebangkitan BN – Ahmad Maslan

KEMENANGAN lebih dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu merupakan kebangkitan Umno, MCA dan MIC dalam BN.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemenangan itu perlu diterima dengan rasa tawaduk dan tidak terlalu bongkak atau sombong hingga lupa diri.

Menurutnya, pencapaian itu semua adalah kehendak Allah SWT dan atas sokongan rakyat serta pengundi kepada BN.

“Syukur kerana BN menang lebih dua pertiga iaitu 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan pengundi di Melaka yang telah keluar dan mengundi BN.

“Terima kasih juga kepada jentera BN iaitu jentera Umno, MIC, MCA dan Friends of BN yang membantu,” katanya dalam wawancara khas disiarkan secara langsung di laman Facebook Umno Online, malam ini.

Wawancara itu bagi mengupas isu-isu semasa dan keputusan PRN Melaka.

Menurutnya, jentera BN di PRN Melaka membabitkan jentera tempatan termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM), Cawangan dan Bahagian dalam Melaka.

“Selain itu, ada jentera angkat dari negeri-negeri iaitu Perlis sampai ke Sabah yang membantu jentera tempatan hingga BN menang,” katanya.

Beliau berkata, jangkaan BN dalam pilihan raya itu hasil kerja keras selama lebih sebulan adalah menang 18 hingga 21 kerusi DUN dari awal lagi.

“Ada banyak kombinasi pelbagai faktor yang menyebabkan keputusan yang baik dicapai BN.

“Lama betul BN tidak dapat keputusan dua pertiga bermula 2008 hingga 2013, kemudian 2018 BN kalah. Ini kali pertama kita dapat lebih daripada dua pertiga kerusi ditandingi.

“Apa pun kita mengucapkan kepada semua yang memenangkan BN,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: