MALAYSIA POST
UMNO berharap agar keputusan rayuan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Umno percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, beliau turut memaklumkan Mesyuarat Perwakilan empat Peringkat Umno iaitu Wanita; Pergerakan Pemuda; Pergerakan Puteri dan Umno Bahagian akan diadakan pada 11, 12 dan 18 Disember di seluruh negara.
“Adalah diharapkan agar mesyuarat tersebut berjalan lancar dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang sewajarnya sentiasa dipatuhi.
“Lebih 20,000 Persidangan Umno Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November 2021 dengan jayanya,” katanya hari ini.
Ahmad berkata, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 akan diadakan di PWTC di ibu negara pada 13 hingga 15 Januari 2022 secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya.
Katanya, langkah itu diambil berdasarkan SOP penjarakan fizikal masih perlu dipatuhi.
“Keterangan lanjut mengenai PAU 2021 akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengucapkan terima kasih kepada semua jentera tempatan dan negeri angkat yang telah melaksanakan tugas cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“MKT juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat dan pengundi Melaka di atas kepercayaan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebanyak 75 peratus atau tiga perempat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka pada 20 November 2021.
“MKT berharap agar kepimpinan kerajaan negeri Melaka yang baharu dapat melaksanakan tugas sehabis baik bagi memastikan kemajuan rakyat negeri Melaka,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan