| Oleh Aspan Alias |
Saya telah cuba untuk tidak menulis tentang Dr Mahathir lagi tetapi tidak dapat saya berbuat de
Dalam tulisan beliau dalam Mingguan Malaysia semalam beliau menzahirkan perasaan sedih di atas apa yang telah terjadi kepada orang Melayu yang pada beliau akan hilang kuasa politiknya disebabkan perpecahan sesama sendiri.
Tidak susah untuk memikirkan siapa yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir
sebagai Melayu yang tamak kuasa yang telah memecahkan Melayu itu. Ia
tidak lain selain dari Anwar Ibrahim yang telah menjadi duri dalam
daging kehidupan sepanjang hayat beliau. Mahathir masih lagi bercakap
tentang Melayu yang beliau sendiri telah pecahkan dan hasil dari
perpecahan itu dilontarkan kesalahannya kepada semua orang kecuali diri
beliau sendiri.
Utusan menggambarkan yang beliau telah menangis memerhatikan perpecahan
orang Melayu sekarang ini. Tetapi Dr Mahathir mesti faham yang orang
Melayu telah lama menangis dan tersedu di atas perbuatan beliau
memecahbelahkan pimpinan dan premis perjuangan Melayu iaitu UMNO selama
ini. UMNO telah beliau jadikan sebagai alat permainan beliau dengan
menggunakan sentimen Melayu yang menebal dan menggunakan simpati dan
sokongan Melayu itu untuk kepentingan peribadi beliau.
Kata perbilangan ‘sesal dahulu pendapatan, kesal kemudian tiada
gunanya’. Inilah yang patut Dr Mahathir rasakan sekarang dan berhenti
mengalih dan melontarkan kesalahan kepada orang lain seperti Pak Lah dan
Anwar Ibrahim. Di sini Dr Mahathir perlu merasakan kekesalan di atas
permainan politik melampau beliau sehinggakan UMNO tidak ada lagi
pemimpin yang mempunyai roh perjuangan yang sejati melainkan
pemimpin-pemimpin yang datang secara ‘dubious’ yang kita tidak tahu asal
usul perjuangan mereka dan keluarga mereka.
Dr Mahathir telah mendapat segala kehendak politik peribadi beliau
tetapi ‘at what cost?’ Berapakah harga yang terpaksa dibayar untuk
mempertahankan Dr Mahathir itu? Kerosakan tentunya bermula dari suatu
masa dan adalah tidak wajar Dr Mahathir untuk menyatakan yang kerosakan
itu bermula dari zaman kepimpinan Pak Lah semata-mata.
Kerosakan yang kita lihat sekarang begitu teruk dan tidak mungkin ianya
bermula dari zaman Pak Lah yang baru sahaja empat tahun meninggalkan
kuasa setelah menjadi PM hanya selama lima tahun. Pak Lah itu sendiri
merupakan pemimpin yang dari awal tidak sepatutnya menjadi Perdana
Menteri. Begitu juag Najib dan Muhyiddin yang ada pada hari ini.
Tetapi mereka-mereka ini muncul ke depan kerana ketiadaan dan
ketandusan kepimpinan dalam UMNO hasil dari penyingkiran
pemimpin-pemimpin yang baik oleh Dr Mahathir dahulu. Berjayalah Dr
Mahathir memperolehi apa yang beliau inginkan, iaitu barisan kepimpinan
yang hanya ‘mengangguk seperti burung balam’ dalam UMNO. Tetapi
Mahathir itu adalah makhluk seperti kita semua juga. Sampai masanya
beliau terpaksa bersara dan apabila beliau bersara, di sinilah
bermulanya masalah yang kita sedang hadapi sekarang. UMNO sudah menjadi
parti yang kekeringan pimpinan, kosong dan tidak bermaya lagi.
Dr Mahathir tidak menjadikan alam yang terbentang luas ini sebagai
guru. Padahal bukan kita tidak nampak jika sesebuah negara itu dipimpin
oleh seseorang dengan jangkamasa yang terlalu panjang, negara itu akan
kehilangan kepimpinan kerana semua mereka yang berkepimpinan itu akan
mati ditelan masa. Bukan tidak ada contoh yang jelas yang boleh kita
lihat dan dijadikan pelajaran. Presiden Tito memerintah hampir 3 dekad,
akhirnya apabila beliau tiada Yugoslavia berpecah menjadi 5 negara kecil
yang berperang tiada kesudahannya.
Presiden Marcos, seorang yang mula pemimpin yang demokratik akhirnya
menjadi diktator dan memerintah selama 20 tahun, akhirnya Filipina
sehingga hari ini belum lagi dapat bangun ke tahap yang mereka pernah
alami dalam tahun enam puluhan. Begitu juga Indonesia yang diperintah
Suharto selama 30 tahun menjadi haru-biru dan baru sekarang sahaja
negara tersebut telah kembali menjadi negara yang disegani dan negara
demokrasi terbesar selepas India di Asia ini.
Kita boleh perhatikan di mana-mana negara yang pemimpinnya memerintah
sebegitu lama, akan mewarisi negara yang sarat dengan korupsi yang susah
untuk dibendung. Euthopia, Algeria, Indonesia, Filipina, Zimbabwe dan
terlalu banyak contoh yang membuktikan yang negara yang dipimpin oleh
seorang pemimpin terlalu lama akan menghadapi penyakit politik dan
sosial yang besar dan memakan masa yang panjang untuk diperbetulkan.
Tuduhan Mahathir yang orang Melayu telah berpecah belah dan menganggap
Melayu mudah lupa, tetapi elok kita ingatkan yang Mahathir sendiri sudah
terlalu banyak perkara yang beliau telah lupa. Beliau terlupa kepada
hakikat yang segala perbuatan kita akan diadili oleh rakyat pada masa
yang akan datang. Ada di antara penyokong tegar UMNO membenci saya
kerana saya tidak berhenti-henti menyebut perkara yang lama. Tetapi
kalau tidak ada yang lama masakan ada yang baru.
Perbuatan pemimpin akan disebut sampai bila-bila. Apa yang dilakukan
oleh Mahathir itu merupakan sejarah yang baru dan masih ramai yang hidup
dan mengingatinya. Sejarah tetap diperkatakan selalu walau selama mana
pun usia sejarah itu. Abu Jahal telah mati lebih dari 1400 tahun dahulu,
namun namanya tetap disebut dengan apa yang dia telah lakukan.
Firaun tetap menjadi bacaan sejarawan walaupun zaman Firaun tu telah
berlalu lebih dari 3 ribu tahun yang lalu. Sesiapa pun tidak boleh
mengelakkan sesiapa dari menyebut hal sejarah walaupun sejarah itu telah
berlalu ribuan tahun yang lalu. Sejarah tetap sejarah dan ia akan tetap
menjadi bahan telaah rakyat di masa yang akan datang.
Dr Mahathir tidak boleh menyalahkan apa yang berlaku kepada orang
Melayu kepada orang lain. Mahathir telah membiarkan UMNO menjadi reput
dan apabila sampai ke tahap UMNO sudah tidak dapat diperbaiki lagi ini,
beliau masih hangar-bingar menyebut isu ini seolah-olah beliau tidak ada
kena mengena dengan keadaan yang berlaku ini.
Orang Melayu sedar yang mereka telah berpecah-belah. Maka mereka (orang
Melayu) sekarang begitu ‘conclusive’ mengambil keputusan untuk bersatu
di luar UMNO dan BN. Jika pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, termasuk dengan
Dr Mahathir sekali inginkan perpaduan, saya mencadangkan supaya
mereka-mereka ini turut sahaja kehendak orang Melayu untuk berpadu di
luar UMNO itu. Pemimpin UMNO harus menerima pandangan banyak pihak yang
kali ini pembangkang akan menang secara ‘outright’. Tsunami politik akan
lebih hebat lagi dari tsunami 2008 dahulu. Siapa yang tidak percaya
dengan pandangan ini, itu hak masing-masing.
Menganggap Melayu akan selamat hanya di bawah UMNO sahaja merupakan satu mitos yang tidak boleh diikuti dan dipercayai. “Enough is enough,” kata seorang pemimpin UMNO sendiri kepada saya semalam. Beliau seterusnya berkata, “selagi kita meyakini UMNO selagi itulah pemikiran kita diperangkap. Buat itu tak boleh buat ini tak boleh. Sampai bila kita hendak diperangkap dan perkuda oleh pimpinan yang hanya memikirkan kepentingan mereka semata-mata?”
Kita sudah tidak ada masa untuk mendengar ‘gelembong’ UMNO lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan