HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2016

APAKAH NAJIB BENAR2 PEDULI NASIB UMNO?

shahbudindotcom


Tanyalah siapa juga pun, pasti tidak ada yang setuju bahawa pertukaran Menteri Besar Kedah ini akan menjadikan UMNO negeri itu bertambah kuat atau kedudukan kerajaan secara automatik bertambah kukuh.

Juga, tidak ada yang dapat memberi jaminan sama sekali bahawa dengan menggugurkan Mukhriz Mahathir akan menjadikan kedudukan UMNO secara keseluruhannya akan bertambah baik serta Najib serta merta lebih diterima rakyat.

Tanpa keraguan oleh sesiapa juga yang waras pertimbangannya, imej UMNO dan Najib akan bertambah buruk dengan menggugurkan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah. 

Ia bukanlah semata-mata kerana Mukhriz lebih baik atau lebih diterima rakyat dan imej kepimpinannya yang tiada skandal, tetapi juga disebabkan calon penggantinya kelihatan jauh lebih buruk dan tiada apa-apa nilai tambah di mata rakyat.

Sejarah tewasnya Kedah pada pilihanraya 2008 akan lebih mudah berulang kerana pasukan yang pernah kalah dan diketuai oleh mereka yang  kalah sebenarnya lebih mudah untuk dikalahkan oleh pihak lawan.

Kenapa nama Ahmad Bashah tidak diyakini di saat-saat akhir pilihanraya 2013 dan Mukhriz segera ditonjolkan ketika itu?

Sebabnya, tentulah tidak lain kerana beliau tidak diyakini boleh menang ketika itu. 

Lalu, apakah dengan menukar Mukhriz kepada Ahmad Bashah pula, UMNO dan BN ada harapan lebih baik dalam pilihanraya akan datang?

Lantaran itu, jika Najib benar-benar memikirkan mengenai kedudukan dan masa depan UMNO, menukar Menteri Besar Kedah bukanlah pilihan yang betul atau yang lebih baik yang harus dilakukannya. 

Menggugurkan  Mukhriz hanyalah menunjukkan kebolehannya menggunakan kuasa, sambil dapat melepaskan dendam kepada Tun Mahathir Mohamad yang menjadi pengkritik utamanya ketika ini, tetapi langsung tiada kelebihan untuk UMNO dan negeri Kedah .

Pertukaran Menteri Besar Kedah sekarang tentulah juga berbeza dengan pertukaran yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu sebagaimana yang disebut oleh Mahadzir Khalid semalam.

Ketika itu bukan saja tidak ada isu mengenai imej Perdana Menteri yang terlalu buruk, bahkan calon penggantinya iaitu Sanusi Junid yang ditonjolkan untuk mengambil alih tempat Osman Aroff, juga dilihat lebih berwibawa, lebih diyakini dan lebih baik.

Falsafah melakukan pertukaran mestilah daripada keadaan yang tidak berapa baik kepada keadaan yang lebih baik. Sanusi ketika itu ditolak oleh majoriti wakil-wakil rakyat hanyalah kerana watak politiknya, bukan kerana beliau tidak baik atau tidak ada kelebihan.

Ia berbeza dengan sekarang. Menteri Besar yang baik dan disukai oleh rakyat Kedah ingin ditukar dengan yang tidak berapa baik serta pernah berada dalam pasukan yang ditolak oleh pengundi pada 2008 lalu.

Maka, adakah pertukaran itu nanti menunjukkan Najib benar-benar peduli dengan nasib dan masa depan UMNO?

Jika diimbas perlakuan-perlakuan Najib sejak menjadi Perdana Menteri, apa yang yang difikirkannya adalah lebih tentang dirinya berbanding nasib UMNO serta negara.

Kemelut yang berlaku dalam 1MDB dan membenarkan akaun bank peribadinya digunakan sebagai tempat berlabuhnya derma berbilion ringgit saja sudah cukup menunjukkan hakikat itu.

Pemimpin yang memikirkan nasib dan masa depan UMNO serta negara pasti tidak berbuat demikian dalam apa keadaan sekali pun. Maknanya, beliau melakukannya kerana memikirkan tentang dirinya lebih daripada segala-galanya.

Lebih jelas lagi, bagaimana Najib mempertahankan dirinya dalam kedua-dua isu tersebut juga memperlihatkan hakikat yang sama. Beliau seolah-olah tidak peduli apa akan jadi kepada UMNO, negara dan penilaian rakyat kerana yang penting baginya ialah bagaimana untuk menyelamatkan kedudukan dirinya semata-mata.

Dengan segala kuasa yang ada padanya, memang sehingga ini Najib kelihatan selamat, tetapi apakah UMNO dan negara juga turut selamat melalui perlakuan-perlakuan untuk menyelamatkan dirinya itu?

Apakah juga UMNO lebih selamat dalam pilihanraya akan datang?

Pasti tidak ada yang dapat memberi jawapan positif mengenainya, malah lebih ramai yang mengatakan UMNO dan negara akan lebih selamat jika tanpa Najib sebagai pemimpinnya.

Begitu juga dalam kes pertukaran Menteri Besar ini. Najib bukanlah memikirkan tentang UMNO dan negara dalam keinginan berbuat demikian. Beliau hanya memikirkan tentang dirinya yang ingin menunjukkan kuasa dan membalas dendam kepada Tun Mahathir.

Wakil-wakil rakyat Kedah yang menolak Mukhriz juga berbuat demikian hanyalah kerana mereka tahu Najib ada dendam yang ingin dilangsaikannya terhadap Tun Mahathir. Apa yang berlaku selepas itu bukan lagi dalam pertimbangan mereka untuk memikirkannya.

Yang difikirkan mereka, sama seperti Najib, hanyalah kepentingan diri semata-mata. 


Tiada ulasan: