KUALA LUMPUR: Air masih ada di Selangor disebabkan projek-projek
tebatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun rizab
margin simpanan air adalah sifar peratus, kata Persatuan Air Malaysia.
“Situasi khas Selangor apabila margin simpanan juga dikira berdasarkan
Kapasiti Pengagihan Keseluruhan ialah untuk membantu menjelaskan mengapa
walaupun rizab margin adalah sifar peratus, bekalan air masih ada
kerana projek tebatan oleh Kerajaan Persekutuan,” kata presidennya Datuk
Abdul Kadir Mohd Din.
Margin simpanan juga berubah-ubah dan mengalami perubahan berdasarkan
pola penggunaan dan musim, menurut persatuan itu, sebuah pertubuhan
bukan kerajaan yang menggemblengkan para profesional dan jurutera,
perancang, ahli akademik, penyelidik, perunding, pembekal, kontraktor
dalam bidang air dan air limbah di negara ini dan rantau ini.
Sebagai contoh, turun-baik permintaan setiap hari tidak penting dan
ditampung oleh penyimpanan tetapi turun-naik bermusim adalah lebih
ketara semasa tempoh pra perayaan atau tempoh cuaca panas, kata beliau
dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Abdul Kadir berkata seperti terbukti sejak beberapa hari
kebelakangan ini, impak negatif yang paling signifikan ialah pemulihan
yang perlahan kepada bekalan penuh selepas berlaku gangguan bagi
pengeluaran atau bekalan utama.
“Sebagai contoh, jika pengeluaran anda terjejas sebanyak 15 peratus
disebabkan insiden tertentu, dan jika pada masa itu, margin simpanan
adalah tiga peratus, secara teknikal anda mengambil masa lima hari untuk
pengeluaran pulih kembali dan mencapai pemulihan penuh.
“Kesannya ialah pengguna akan menghadapi masalah tiada air selama lima hari,” kata beliau.
Lebih 400 kawasan di Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air selama beberapa hari awal bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan