HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Mac 2018

BN boleh menang semula Selangor kalau 3 penjuru

BN boleh menang semula Selangor kalau 3 penjuru
Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo berkata Barisan Nasional berdepan cabaran lebih hebat pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan adanya Dr Mahathir Mohamad mengetuai pakatan pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 
 
BARISAN Nasional (BN) hanya boleh menang semula Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika berlaku pertembungan tiga penjuru kerana cabaran yang dihadapi parti pemerintah itu kali ini lebih hebat berbanding dua PRU yang lalu, kata bekas menteri besarnya, Dr Khir Toyo.

Katanya, cabaran yang dihadapi oleh BN sekarang ialah Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan beberapa isu nasional "yang tidak boleh diterangkan" yang tidak ada pada dua PRU yang lalu.

Beliau mengingatkan BN agar tidak memperkecilkan kemampuan Dr Mahathir menggerakkan "tsunami Umno" – peralihan penyokong Umno kepada pembangkang – dan memberikan kemenangan kepada PH.

Katanya, BN mula hilang pengaruh pada 2008 kerana serangan bekas perdana menteri itu ke atas penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi dan gelombang itu tidak berhenti pada 2013 biarpun Dr Mahathir ketika itu sudah "menyokong 100%" Najib Razak sebagai perdana menteri.

"Tetapi sekarang ada isu banyak yang tidak boleh diterangkan dan keadaan Dr Mahathir di sebelah sana (PH), malah tawarkan diri jadi perdana menteri.

"Kita bimbang pengaruh Dr Mahathir pada Umno… boleh bawa atau tidak (kepada) tsunami Umno," katanya kepada The Malaysian Insight.

"Saya rasa kita (BN) hanya boleh menang dengan tiga penjuru atau lebih," tambahnya.

Selain pertembungan tiga penjuru, Khir juga melihat BN juga ada kelebihan yang boleh memihak kepadanya iaitu kempen undi rosak dan generasi muda yang tidak mendaftar sebagai pengundi.

"Bila mana ramai pengundi muda tidak mendaftar ini beri kelebihan buat Umno. Senario sekarang orang muda lawan kerajaan.," katanya.

"Dari segi demokrasinya tidak bagus tapi ia menjadi kelebihan buat Umno… kalau buat gerakan besar-besaran daftar pengundi, ini sukar untuk BN, sama juga undi rosak, ia kelebihan buat BN."

Dr Khir pada September lalu menyatakan kesediaannya membantu BN mengalahkan PH di Selangor pada PRU14 nanti.

"Sebagai ahli Umno saya ada tanggungjawab membantu apabila diperlukan," katanya.
Barisan Nasional buat pertama kalinya terlepas Selangor kepada pembangkang pada 2008 dan gagal gagal merampasnya semula pada Pilihan Raya Umum 2013, malah hilang lapan lagi kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2018.
Barisan Nasional buat pertama kalinya terlepas Selangor kepada 
pembangkang pada 2008 dan gagal gagal merampasnya semula 
pada Pilihan Raya Umum 2013, malah hilang lapan lagi kerusi. 
– Gambar fail The Malaysian Insight
Beliau ketika itu mengulas kenyataan Pengerusi BN dan Umno Selangor, Noh Omar yang mahu melibatkan tiga bekas menteri besar Selangor dalam kempen menawan semula negeri paling kaya di Malaysia itu.

Dua lagi bekas menteri besar itu ialah Muhammad Muhammad Taib dan Abu Hasaan Omar.

Muhammad kembali ke pangkuan Umno tahun lalu selepas keluar parti untuk masuk PAS pada 2013 dan kemudian masuk PKR pada 2015.

Pada 2008, BN buat pertama kalinya terlepas Selangor kepada pembangkang selepas hanya menang 20 daripada 56 kerusi negeri. DAP yang menang 14 kerusi, PKR 13 dan PAS 4 kemudiannya bergabung atas nama Pakatan Rakyat dan membentuk kerajaan, dengan Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai menteri besar.

BN gagal merampas semula Selangor pada 2013 malah kalah lapan lagi kerusi.

Dr Khir, 52, menerajui kerajaan BN di Selangor antara 2000 hingga 2008 dan kemudian jadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor antara 2008 hingga 2010, sebelum beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah berhubung pembelian rumahnya di Shah Alam.

Beliau sabit kesalahan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan. Enam bulan hukuman itu dijalaninya di Penjara Kajang sementar baki enam bulan sebagai tahanan parol.

Mengimbas dua episod getir dalam hidupnya itu, Dr Khir bersyukur kerana dihadapkan dengan "ujian yang memberikan pengalaman berharga". Malah beliau juga menegaskan setia dengan Umno walaupun ada menerima tawaran menyertai pembangkang, yang tidak beliau namakan.

"Saya akan setia walaupun ketidakadilan berlaku. Saya dapat banyak manfaat daripada apa yang saya lalui. Saya rasa bersyukurlah. Saya belajar banyak tentang kehidupan," katanya.

"Apabila sudah tiada jawatan kawan satu parti jangan pijak kepala, jangan salahkan orang. Kita tahu permainan orang atas dan sekarang mereka rasa apa yang berlaku.

"Saya terima kenyataan itu, yang saya lihat saya nampak pemimpin kita sombong, semangat setiakawan tiada. Ada jawatan jadi kawan tiada jawatan tidak ada, hanya ada kepentingan dia gunakan kita," katanya.
Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir mengenali siapa kawan, siapa lawan selepas melalui dua episod getir dalam hidupnya itu. Beliau didapati bersalah menggunakan kedudukannya dan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 18 Mac, 2018.
Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir mengenali siapa kawan, 
siapa lawan selepas melalui dua episod getir dalam hidupnya itu. 
Beliau didapati bersalah menggunakan kedudukannya dan dijatuhkan 
hukuman penjara 12 bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh 
Najjua Zulkefli
 

Dr Khir tahun lalu mempertahankan dirinya apabila Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor menyalahkan bekas menteri besar itu punca BN kalah Selangor pada 2008.

Dalam satu tulisan di Facebook, beliau menempelak BN yang masih belum jumpa punca kenapa BN kalah di Selangor walaupun sudah dua kali pilihan raya.

Beliau bertanya kalau betul BN kalau di Selangor pada 2008 kerana dirinya, kenapa BN kalah juga dan kalah lebih teruk pada 2013.

Dr Khir, bekas Adun Sungai Panjang antara 1999 hingga 2013, sehingga ini masih aktif dalam politik di kawasannya di Sabak Bernam dan Sungai Besar dan mahu lebih aktif selepas ini.

"Saya nak tengok semula hasil pilihan raya kali ini. Ini pilihan raya paling teruk akan dihadapi BN.

Perikatan pada 1969 pun tidak seteruk seperti ini kerana kita berhadapan serangan bukan sahaja dari dalam tapi luar negara.

"Kalau BN menang, kita kena dianggap hebat," katanya.

Tiada ulasan: