PULAU PINANG: Syarikat pemaju terowong dasar laut, Konsortium Zenith
(Zenith) Construction Sdn. Bhd. menerusi peguam mereka menarik balik
notis tuntutan yang dihantar kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri
Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung dakwaan menerima RM3 juta berkaitan
projek tersebut.
Menurut Abdul Azeez, syarikat pemaju itu turut memohon maaf kepadanya
dan mengakui kesilapan dalam notis tuntutan tersebut malah berjanji akan
membantu membersihkan nama beliau yang tercemar ekoran isu terbabit.
“Menerusi surat yang dihantar kepada peguam saya semalam juga, pihak
Zenith turut mengakui saya merupakan mangsa pihak tidak bertanggungjawab
yang menjual nama saya dalam isu ini,” katanya dalam sidang akhbar,
hari ini.
Sebelum ini, Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO membuat
laporan polis berhubung tuduhan kononnya beliau menerima bayaran RM3
juta dan surat tuntutan daripada Zenith berhubung kerja-kerja rundingan
berkaitan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.
Abdul Azeez membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira pukul 9.30 pagi 2 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan