KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan
semakan kehakiman yang difailkan oleh 48 pengundi Segamat dari DAP dan
Amanah berhubung kemasukan 949 nama anggota tentera dan pasangan mereka
dalam rang daftar pemilih tambahan di kawasan itu oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR).
Hakim Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan itu selepas memutuskan
bahawa kemasukan yang telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) itu tidak boleh dicabar di mahkamah.
Peguam Michelle Ng yang mewakili 48 pengundi selaku pemohon, ketika
ditemui pemberita, berkata mahkamah menolak permohonan mereka selepas
bersetuju dengan hujahan Pejabat Peguam Negara bahawa Seksyen 9(A) Akta
Pilihan Raya 1958 adalah terpakai.
Beliau berkata, seksyen itu menyatakan bahawa nama pengundi yang sudah
diwartakan dalam daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah.
Katanya, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos.
Ng berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada untuk mengemukakan rayuan.
Peguam Kanan Persekutuan, Muzila Mohamed Arsad mewakili SPR dan dua lagi yang dinamakan selaku responden.
Pada 26 Februari lalu, pengundi terbabit memfailkan permohonan
kebenaran untuk semakan kehakiman dengan menamakan SPR, Pendaftar
Pemilih Negeri Johor, Shafie Taib, dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan
Yunus sebagai responden pertama hingga ketiga.
Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan
pengekalan 949 nama berkenaan ke dalam rang daftar pemilih tambahan di
kawasan itu
Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa kemasukan dan
pengekalan 949 nama terbabit adalah tidak berperlembagaan kerana tidak
mematuhi Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, pemohon berkata siasatan awam yang dijalankan berhubung isu
kemasukan nama itu jelas melanggar keadilan asasi dan tidak mengikut
prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan