SETELAH pimpinan DAP
seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua menyelar Ketua Pesuruhjaya SPRM
sebagai monyet serta menyifatkan pula bilangan penjawat awam yang ramai
umpama memikul ‘biawak hidup’, kenyataan Timbalan Presiden PPBM Mukhriz
Mahathir baru-baru ini bahawa Pakatan Harapan akan memecat pegawai
tertinggi kerajaan yang tidak ‘sebulu’ dengan mereka nyata
memperlihatkan permusuhan jelas pakatan pembangkang itu dengan penjawat
awam.
Tentulah Mukhriz telah tampil dengan
langkah ‘damage control’ beliau dengan mengatakan bahawa kenyataannya
berkenaan hal itu telah diputar belit. Seperti bapanya juga, langkah
untuk ‘memperbetulkan’ keadaan itu tidak memberi apa-apa makna dan tidak
juga mampu menutup kembali tembelang beliau yang telah pecah.
Hakikatnya, kita hidup di zaman di mana semua perkembangan yang berlaku
berada di hujung jari dan rakyat pula dapat menilai sendiri cerita
sebenar yang dibuktikan melalui rakaman-rakaman audio dan video yang
tersebar luas di media sosial.
Atas sebab itu, rakyat sendiri yang akan
menilai siapa sebenarnya yang memutar belit fakta. Dalam isu yang
melibatkan Mukhriz, kita tentu sudah tahu bahawa ini bukanlah kali
pertama beliau cuba menyalahkan pihak lain atas kenyataan celupar yang
dibuatnya. Sebelum ini pun Malaysia pernah dihebahkan bagaimana Mukhriz
menyatakan beliau malu mengaku sebagai rakyat Malaysia ketika berada di
luar negara khususnya ketika mengerjakan ibadah umrah. Tambah Mukhriz,
beliau terpaksa mengaku sebagai rakyat Brunei kononnya akibat daripada
rasa malu dengan pentadbiran negara pada masa ini khususnya apabila
membicarakan isu 1MDB.
Dalam keadaan beliau menafikan perkara
tersebut, video yang tersebar pula membuktikan sebaliknya. Apabila
Mukhriz menuduh media memutarbelitkan kenyataannya itu, rakyat pula
dapat menilai sendiri siapa sebenarnya yang berbohong. Dalam isu
pemecatan pegawai tertinggi kerajaan ini, ternyata Mukhriz cuba
mengambil langkah serupa tetapi akhirnya rakyatlah yang lebih bijak
menilai siapa sebenarnya yang berdusta.
Kenyataan Mukhriz untuk memecat penjawat
awam yang berpihak kepada PM Najib dan kepimpinannya sedikit sebanyak
mencerminkan sikap autokratik dan kuku besi yang diwarisi daripada
ayahnya, Mahathir. Tidak hairanlah sebelum ini rakyat turut dikhabarkan
mengenai kepincangan pentadbiran negeri Kedah sewaktu beliau memegang
tampuk pemerintahan negeri itu pada awal pasca PRU13 yang lalu. ‘Ugutan’
yang dibuat Mukhriz ini nyata membuktikan bahawa anak emas Mahathir itu
masih belum matang berpolitik dan berdendam pula.
Bagi penjawat awam khususnya,
kekhuatiran mereka mengenai hasrat Pakatan Harapan untuk mengecilkan
saiz dan bilangan kakitangan kerajaan nampaknya bukan perkara yang boleh
diremehkan lagi. Apa yang dinyatakan Mukhriz itu nampaknya perlu
dipandang dengan serius.
Selama ini kita menjangkakan hanya DAP yang
beria-ria mahu mengurangkan bilangan penjawat awam, rupa-rupanya PPBM
pun tidak terkecuali. Kita masih belum pasti apakah pendirian PKR dan
AMANAH dalam hal ini. Namun kapasiti Mukhriz sebagai timbalan presiden
PPBM sudah cukup membayangkan betapa langkah pengurangan bilangan
penjawat awam adalah sesuatu yang mungkin sahaja dipertimbangkan oleh
Pakatan Harapan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan