Peguam yang mewakili pemilik Equanimity menggesa Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mendedahkan maklumat lanjut berhubung penyerahan kapal layar mewah berkenaan kepada kerajaan Malaysia.
Peguam Equanimity (Cayman) Ltd berkata DOJ bukan saja gagal memberikan maklumat terperinci berhubung siasatan rasmi ke atas Malaysia berhubung kapal layar itu - termasuk sama ada siasatan itu sudah dijalankan atau belum - tapi juga sekadar mengemukakan maklumat am yang boleh didapati dari laporan media.
Dalam pemfailan mahkamah 17 Ogos lalu, DOJ menegaskan kerajaan AS tidak harus terlibat dalam tindakan Indonesia menyerahkan kapal layar berkenaan - yang disifatkan oleh peguam sebagai tindakan yang menimbulkan lebih banyak persoalan.
Merujuk pelbagai laporan media yang memetik pegawai Malaysia berkata bahawa AS sebaliknya terlibat dalam penyerahan penjagaan kapal layar itu, peguam Equanimity menegaskan agar DOJ menjelaskan percanggahan dakwaan itu.
"Laporan DOJ pada 17 Ogos gagal menjelaskan kenyataan berkenaan, termasuk sama ada kerajaan sebenarnya 'dimaklumkan lebih awal tentang hasrat Malaysia untuk mendapat hak penjagaan aset defendan (Equanimity)'.
"Kenyataan-kenyataan ini yang bercanggah perlu dijelaskan.
"Kedua-dua pihak perlu menjelaskan kepada mahkamah kenyataan berkenaan, dan kegagalan kerajaan untuk menjelaskannya hanya menimbulkan keraguan dengan prosiding ini," katanya.
Peguam itu berkata demikian dalam pemfailan mahkamah di Mahkamah California semalam yang keterangan bertulisnya turut dilihat Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan