HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Ogos 2018

Pejabat menteri jangan jadi sarkas


Pejabat menteri jangan jadi sarkas
Md Shukri Shuib (kanan).
 
 
SHAH ALAM - Setiap menteri perlu memandang serius teguran dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui segelintir ahli Kabinetnya masih bersikap pembangkang meskipun sudah menjadi kerajaan.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata pemerkasaan terhadap ahli Kabinet perlu bermula di pejabat masing-masing yang merupakan institusi utama dalam mencorak imej menteri tersebut.

Katanya, pejabat menteri tidak harus dijadikan seperti sarkas kerana ia merupakan institusi penting dalam pentadbiran.

“Tun M ini cukup terbuka dan mahukan menteri yang efektif, efisien serta peka dengan keperluan institusi serta rakyat. Jadi, saya harap menteri termasuk pejabat menteri itu perlu diperkasakan, jangan jadikan pejabat menteri itu macam sarkas.

“Pengukuhan bermula di pejabat menteri itu sendiri,di mana SUSK (Setiausaha Sulit Kanan), Setpol (Setiausaha Politik), pegawai khas yang bertanggungjawab dalam memperkasakan personaliti dan minda menteri itu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Tun Mahathir mengakui segelintir barisan menteri masih bersikap seperti pembangkang meskipun sudah menjadi kerajaan kerana perkara itu telah sebati dalam diri mereka selepas lebih 60 tahun menjadi pembangkang.

Namun katanya, perkara itu sedang diatasi dan perubahan sedang dilakukan secara perlahan.

Dalam pada itu, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini mencadangkan Tun Mahathir menganjurkan seminar yang dikendalikan agensi kerajaan bagi memberi panduan kepada menteri terlibat.

“Saya mencadangkan kepada perdana menteri supaya diadakan satu seminar mungkin boleh dikendalikan agensi-agensi kerajaan seperti IDFR (Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri), Intan (Institut Tadbiran Awam Negara), unit-unit protokol Parlimen.

“Agensi-agensi ini boleh memberikan panduan dan perkhidmatan untuk memberikan pencerahan bagaimana seorang menteri harus menguruskan diri, personaliti dan pejabatnya,” katanya.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan segera bagi memastikan rakyat melihat pentadbiran yang mesra dan profesional.

“Perlu dibuat segera kerana menteri-menteri ini contohnya berusia terlalu muda dan terlalu lama dalam blok pembangkang hingga membuatkan dirinya itu sendiri dilambang sebagai elemen pembangkang.

“Maka perlunya perubahan sikap. Mungkin perlu ada penglibatan dari sudut psikologi untuk ujian personaliti dan sebagainya. Kita ada ramai cendekiawan, bantuan-bantuan universiti atau institusi kemahiran pengurusan yang boleh melaksanakan ini kerana itu diperlukan orang yang tepat membantu menteri,” katanya.

Tambahnya, “peranan SUSK, Setpol dan pegawai khas perlu diperkasakan. Jangan melantik hanya orang di sekitar mereka sahaja, perlu lantik orang profesional yang boleh menasihat. Kalau menteri itu muda, mungkin SUSK seorang yang berpengalaman.”

Tiada ulasan: