SAYA berasa kesal
membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, YAB
Amirudin Shari yang meminta Dr Halimah Ali meletak jawatan sebagai Ahli
Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS)
selepas beliau dinamakan oleh PAS sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil
N.32 Dun Seri Setia.
Begitu juga kekesalan dan kekecewaan
saya akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha Angkatan
Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman.
Adalah diketahui bahawasanya jawatan Dr
Halimah Ali dalam PPAS bukanlah berelaun bulanan sebagaimana syarikat
berkaitan Negeri (GLC) seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS).
Bahkan beliau kekal memegang jawatan
tersebut kerana minat mendalam beliau akan bidang bacaan malah hasil
sumbangan beliau pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai "The Largest Outdoor Reading Event" yang berjaya mengumpul 15,271 peserta semasa penganjuran Pesta Buku Selangor di PPAS.
Saya mengharapkan Kerajaan Pakatan
Harapan (PH) usahlah bermain politik dendam murahan sebegini di saat
mereka melaungkan hak demokrasi yang patut diberikan sama rata kepada
semua rakyat tanpa mengira latar belakang. Apakah demokrasi hanya
terpakai kepada PH sahaja?
Politik sebegini hanya akan menyebabkan
rakyat muak dan bosan akan kerenah kerajaan sedia ada sepertmana yang
dihadapi oleh mereka daripada Kerajaan BN terdahulu. Sekarang adalah
masa untuk membina semula negara dan menunaikan segala yang dijanjikan
kepada rakyat.
Adakah PH menyedari bahawasanya mereka
kini merupakan Kerajaan Persekutuan yang mentadbir Malaysia pasca PRU14?
Realitinya, mereka hendaklah bertindak seperti kerajaan dan bukannya
masih mempunyai mentaliti pembangkang.
Atau apakah kontroversi ini sengaja
dicipta agar rakyat dapat dialihkan dari isu kegagalan Kerajaan PH
menunaikan Manifesto 100 Hari seperti yang dijanjikan atau isu pembantu
khas kepada seorang Menteri atau isu pemilikan tanah selama 999 tahun
atau isu LGBT yang sedang hangat diperkatakan sekarang?
Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan
tahniah dan syabas kepada Dr Halimah atas sikap berjiwa besar beliau
yang akan melepaskan jawatan dalam PPAS walaupun beliau layak untuk
terus memegang jawatan tersebut kerana tidak mahu mencetuskan polemik
yang berterusan.
Inilah yang seharusnya dilakukan oleh
seorang pemimpin yang memikirkan mengenai keutamaan agenda rakyat yang
patut didahulukan berbanding agenda peribadi.
Di kesempatan ini juga, saya ingin
menyeru kepada semua pengundi N.32 Dun Seri Setia supaya keluar mengundi
untuk memenangkan Dr Halimah dalam Pilihan Raya Kecil yang akan
diadakan tidak lama lagi bagi memastikan Kerajaan Negeri Selangor
mempunyai pembangkang yang kuat untuk proses semak dan imbang.
Pencapaian dan kejayaan yang dilakarkan
oleh Dr Halimah semasa menjadi Adun Selat Klang dan Exco Kerajaan Negeri
Selangor wajar dipertimbangkan oleh pengundi Seri Setia sebelum membuat
keputusan yang pastinya akan menguntungkan masa depan mereka.
"Sik Sejahtera Bersama Islam"
*YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN,
Timbalan YDP PAS Kawasan Sik /
Ahli Parlimen Sik
- HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan