KALAU ada pihak, khususnya di kalangan
saki-baki peniup trumpet Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang
menganggap lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke China sebagai cuti
makan angin ternyatalah mereka silap besar.
Lawatan beliau adalah bagi merungkai
isu-isu besar yang tercetus akibat sikap tidak berhemah dalam urusan
kewangan oleh Kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib.
Dalam lawatan tersebut beliau menemui dan berbincang dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang.
Seperti kita semua ketahui, Perdana Menteri telah memaklumkan kepada mereka mengenai ketidakupayaan Malaysia untuk meneruskan dua projek besar yang dibiayai dan dilaksanakan oleh China, iaitu Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Sabah.
Beliau memberitahu mereka bahawa kedudukan kewangan Malaysia tidak memungkinkan dua projek itu diteruskan tanpa memburukkan lagi beban terhadap rakyat.
Bagaimanapun, pihak berkepentingan atau yang menyokong kerajaan lama tetap berusaha memutarbelitkan fakta.
Portal berita Malaysiakini misalnya, dengan pantas menyiarkan sepucuk surat daripada seorang penulis tanpa nama yang memperkenalkan dirinya sebagai “concerned China-Malaysia observer”, yang menyifatkan lawatan Perdana Menteri itu sebagai “diplomatic disaster” (malapetaka diplomatik).
Penulis yang membaling batu ke arah Dr Mahathir itu memberi amaran bahawa rakyat jelata Malaysia patut berasa bimbang terhadap tindak balas China.
Kita tidak tahu siapa sebenarnya penulis surat tersebut, tapi daripada nada tulisannya seolah-olah beliau sangat pakar dalam hal ehwal China sehingga berani menggambarkan negara tersebut sebagai pendendam.
Penulis tanpa nama itu berkata lagi, tidak
ada pelaburan baru yang besar yang diumumkan hasil lawatan tersebut
sebaliknya ia sekadar meneruskan apa yang kerajaan Mohd Najib telah
lakukan.
Hakikat bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan membatalkan projek hutang era Mohd Najib tidap pula diketengahkan.
Penulis tersebut juga seolah-olah dapat
membaca isi hati pembesar China, khususnya Perdana Menteri Li Keqiang,
apabila beliau berkata Li tidak menjawab kenyataan Tun Dr Mahathit
mengenai negara kaya tidak sepatutnya menakluki negara lain.
Jelaslah masih ada pihak di Malaysia yang berfikir seperti zaman Mohd Najib di mana pemimpin Malaysia senyum simpul sambil berpelukan dengan pemimpin asing tetapi melakukan perkara yang merugikan negara.
Tidak mengapalah kalau China “marah” dan
akan “bertindak balas” terhadap kita. Kita tidak mengundi pemimpin
China. Kita mengundi pemimpin kita.
Adalah kewajipan pemimpin yang kita pilih menjaga kebajikan kita dan mempertahankan kedaulatan negara kita.
Apa yang pemimpin China hendak lakukan, itu adalah hak dan budi bicara mereka.
Tetapi saya yakin China tidak akan
sewenang-wenangnya mengorbankan perhubungan yang dijalin oleh Almarhum
Tun Abdul Razak 44 tahun lalu semata-mata kerana sayangkan anak beliau.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan