Pengundi Parlimen Bagan Wilson Moorthy berkata orang ramai sudah terbiasa melihat poster seperti itu lebih-lebih lagi ketika tiba musim pilihan raya.
"Sebagai pegundi lebih 20 tahun di sini, saya sudah lihat banyak poster, karikatur dan lain-lain yang menyerang ahli politik DAP.
"BN membangkitkan persoalan mengenai 51 janji yang tidak dilaksanakan kerajaan negeri. Tetapi adakah BN menunaikan semua janjinya?" katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang berusia 50 tahun itu bagaimanapun berkata kerajaan negeri ada berjanji dalam pilihan raya lepas namun sehingga ini tidak ditunaikan, seperti contoh janji yang dibuat pada 2008 untuk memansuhkan tol Sungai Nyior di Butterworth.
Janji itu tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan yang dipimpin DAP itu tiada kuasa persekutuan.
Bagaimanapun, bagi memuaskan hati semua pihak, kerajaan negeri telah membina jalan alternatif yang membolehkan penduduk negeri itu mengelak menggunakan jalan bertol.
Katanya lagi jika BN mahu membangkitkan sesuatu isu, ia haruslah isu yang bernilai tinggi seperti isi projek terowong dasar laut, daripada menggunakan poster.
"Isu seperti itu akan cepat basi... tapi sekaran ada isu (Ketua Menteri) Lim Guan Eng kenal ahli perniagaan yang dibayar RM19 juta. Ketua menteri harus menjelaskan gambar yang menunjukkan mereka kenal antara satu sama lain."
Wilson merujuk laporan terbaru mengenai gambar Lim dengan ahli perniagaan itu, yang didakwa dibayar oleh kontraktor projek terowang dasar laut dan leburaya untuk "khidmat rundingan" untuk menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gambar mesra mereka berdua di sebuah rumah, dan di dalam sebuah kereta, tular di media sosial baru-baru ini.
"Saya rasa apa yang pengundi mahu adalah singkirkan pemimpin korup. Jadi jika Lim bersalah, dia juga harus disingkirkan. Tidak ada siapa kata yang dia itu malaikat," kata Wilson.
Di samping itu juga, katanya rakyat negeri itu boleh melihat sendiri sama ada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Lim telah melakukan yang terbaik sejak 10 tahun lepas.
"Rakyat tidak bodoh. Jadi poster seperti itu tidak beri banyak kesan."
Eksekutif Pemasaran David Shu, 30, dari Butterworth juga berpendapat yang poster berkenaan tidak akan dapat mempengaruhi pandangan pengundi mengenai kerajaan Pulau Pinang atau PH.
"Rakyat sudah buat keputusan untuk memilih yang mana. Mereka juga ada mata untuk melihat apa yang kerajaan negeri sudah laksanakan untuk Pulau Pinang.
"Pada waktu ini, BN boleh cuba macam-macam perkara tetapi untuk mempengaruhi rakyat itu saya rasa tidak," katanya.
Beliau berkata semakin banyak BN memburuk-burukkan kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan dengan cara itu, semakin pengundi membenci parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan