HALAMAN SANTAI

Ahad, 19 Ogos 2018

UMNO terus beri sokongan kepada PAS demi rakyat

Oleh MAHIRAH ZAKARIA
 
 

UMNO akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada PAS pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia demi kebaikan rakyat Selangor.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan (menyatakan sokongan) yang telah dimulakan pada PRK Sungai Kandis lalu menjadi platform untuk UMNO mempertingkatkan lagi tahap sokongan dengan lebih tersusun.

“Saya melihat ini sebagai satu sejarah bagi UMNO-PAS setelah kita memulakannya di Sungai Kandis, hari ni kita meningkatkan lagi tahap sokongan kita dengan lebih tersusun.

“Ia dibuktikan lagi dengan kehadiran kita pada penamaan calon dimana UMNO turut dihadiri oleh pemimpin kanan parti,” katanya kepada BNPportal.com pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Ismail Sabri dan Shamsul Anuar turut menunjukkan solidariti bersama penyokong PAS dengan mengikuti perarakan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi menuju ke dewan pencalonan.

Ditanya mengenai penglibatan UMNO pada kempen PRK Seri Setia, Shamsul Anuar berkata, parti akan memastikan jentera di semua peringkat turun untuk membantu calon PAS.

“Kita akan bekerja kuat dan pastikan jentera kita di semua peringkat turun untuk bantu calon PAS bagi PRK ini dan sudah tentu sasaran kita untuk menang di sini.

“Begitu juga apa yang kita lakukan di PRK Balakong walaupun diwakili MCA, PAS (melalui Presidennya) juga akan turut membantu maknanya kerjasama ini satu permulaan dan harap memberi kebaikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

PAS meletakkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Halimah Ali sebagai calon manakala PH meletakkan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser usus pada 2 Ogos.


Tiada ulasan: