HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 September 2007

Reezal arah Syed Arabi paksa Hamidon buka semula penamaan calon UIAM

Ahmad Lutfi Othman

Saya kurang bersetuju dengan cadangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus UIAM 2007/08 dipecat ekoran kontroversi penamaan calon "terpaksa" dibuka semula selepas 11 calon Pro-Mahasiswa diisytihar menang tanpa bertanding.

Apatah lagi pihak yang bakal memecat suruhanjaya itu ialah pentadbiran tertinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sendiri. Sedangkan orang yang bikin onar dan keributan ialah Rektor Dr Syed Arabi Idid, selepas ditekan oleh pihak luar, yang diketuai oleh Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican, yang juga Setpol Menteri Kewangan I.

Bagi saya, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ustaz Hamidon Abdul Hamid, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus UIAM, boleh diumpamakan seperti kambing hitam. Beliau bersama pesuruhjaya, Dr Raihan Othman sudah menjalankan tugas sepertimana diamanahkan.

Agak ramai juga bakal-bakal calon Aspirasi yang tidak melepasi syarat dan kelayakan asas untuk bertanding. Dan ini menimbulkan kemarahan amat sangat Reezal Merican (bersama isterinya, Datin Ismalina), yang seterusnya membuatkan Setpol Abdullah Ahmad Badawi itu menghubungi Syed Arabi mendesak agar dilakukan apa jua jalan bagi menghalang kumpulan Pro-Mahasiswa menang mudah.

Pastinya jiwa Reezal Merican "terbakar hangit", sekali gus diaibkan apabila "budak-budaknya" tewas sebelum berjuang. Ada di kalangan mereka yang terkandas dalam ujian pengucapan awam. Lebih mengaibkan, dua daripadanya tidak mengisi borang pencalonan dengan lengkap, dan ini menyebabkan mereka tersingkir lebih awam.

Sumber memberitahu, selepas diasak Reezal, maka Syed Arabi bertindak segera mengarahkan Hamidon mengeluarkan satu notis baru memaklumkan proses penamaan calon dibuka semula pada hari minggu, 30 September, manakala hari mengundi tidak berganjak daripada tarikh asal, 2 Oktober, Selasa.

Mungkin menyedari beliau akan dituduh sebagai pihak tidak bertanggungjawab atau tidak mahu dilabelkan "pak sanggup", Hamidon, dalam notis umum pada petang 27 September, iaitu sehari selepas penamaan calon (pertama) berakhir, meletakkan ungkapan "Directive From Top Management" pada para awal.

Beliau seperti mahu memberitahu bahawa keputusan drastik (dan tidak munasabah itu) bukan idea Suruhanjaya Pilihan Raya yang dipengerusikannya, tetapi merupakan "wahyu" (yang tidak boleh disanggah) pengurusan tertinggi universiti, merujuk langsung kepada Syed Arabi.

Dalam ayat kedua notis tersebut, Hamidon sekali lagi menekankan: "The Election Commission has been instructed ...."

Peranan Reezal sebagai dalang utama Aspirasi di UIAM terbongkar apabila satu kertas kerja "e-day 07/08" bertajuk "Revival of Students Movement", yang membutirkan langkah pihaknya untuk menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIAM daripada kumpulan mahasiswa yang dianggap propembangkang, bocor kepada warga universiti Islam itu.

Dalam lampiran I kertas kerja berkenaan, disenaraikan panel penasihat mereka, antara lain Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamad; Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein; Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor;Sanusi Junid, Presiden UIAM; Dr Syed Arabi Idid, Rektor UIA; Reezal sendiri; Dr Adham Baba, Setiausaha Parlimen KPT; dan Yuszahari Mohd Yusoff, Adun Gombak.

Dimaklumkan Pengetua Kolej Kediaman Bilal, Dr Jamil Hashim juga merupakan tenaga penting menggerakkan perancangan Reezal itu, termasuk menyediakan beberapa kemudahan logistik dalam kampus. Manakala Adun Gombak Setia, Yuszahari bertanggungjawab memcari markas operasi di luar kampus. Isteri Reezal turut menjadi pembantu kanan beliau.

Dalam kertas kerja itu juga dicatatkan bahawa Reezal menyumbangkan RM1,5000. Anggota Exco Pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail (diperkenalkan sebagai Abang Ikmal) turut menghulurkan wang tunai dalam jumlah yang sama, selain membayar RM1,000 lagi untuk kegunaan segera.

Justeru, ada pihak menjangkakan Hamidon mungkin akan digugurkan selepas ini akibat kegagalannya menjaga maruah dan air muka Reezal. Syed Arabi hanya melaksanakan saja tuntutan pihak luar yang berkepentingan itu.

Ia dapat dijangka lebih awal memandangkan Hamidon tidak pun disenaraikan dalam kertas kerja itu sebagai penasihat, sedangkan tujuh kakitangan UIAM yang lain dilibatkan bersama.

Difahamkan Timbalan Rektor HEP itu sudah lama disangsikan "kesetiaannya" dan jarang dijemput menghadiri siri pertemuan sulit rakan-rakan sejawatannya bagi merumuskan tindakan memenangkan Aspirasi dalam PRK.

Sabtu, 29 September 2007

Salah laku moral tiga 'anak buah' resahkan Khir Toyo

Azamin Amin

KUALA LUMPUR (Hrkh)- Desas-desus hangat memperkatakan bahawa sekurang-kurangnya empat Menteri Besar (MB) bakal digugurkan dalam rombakan kabinet bakal diumumkan oleh Perdana Menteri sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 berakhir.

Mereka yang disebut bakal digugurkan adalah Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, Dato' Seri Ali Rustam, Dato' Abdul Ghani Othman dan Dato' Seri Musa Aman yang dikira mempunyai masalah-masalah di negeri masing-masing yang gagal ditangani dengan baik sehingga dianggap menjejaskan nama baik serta imej Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, sungguhpun begitu, biarpun bakal digugurkan, Dr Mohd Khir dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar bagi memberikan ruang berkhidmat di peringkat pusat sebagai menteri kabinet.

Cuma ramai berpendapat pertukaran Dr Khir ada kaitan dengan pembangunan negeri Selangor tidak seimbang dan kegagalan beliau menangani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk masalah setinggan dan kemiskinan tegar di negeri ini.

Paling meresahkan Khir Toyo ialah dakwaan salah-laku tiga 'anak buah kesayangannya' yang diharap dapat mengangkat Umno Selangor selama ini tetapi telah mencemarkan prestasi dan menjadi bualan hangat masyarakat setempat yang boleh menjejaskan peluang Umno di kawasan tertentu untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka yang dimaksudkan ialah Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang merupakan anggota Exco Wanita Umno Malaysia yang didakwa terlibat dengan isu kontroversi berhubung gambar intimnya dan dakwaan khalwat dengan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Dr Rahman Ismail (orang kuat Khir Toyo) di beberapa hotel yang berbeza sekitar semenjak Disember 2005.

Manakala "anak buah" Khir yang ketiga ialah Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

Menurut sumber, hasil maklumat orang ramai, suami Rozaidah yang merupakan seorang pengurus bank, Radzmi Othman, 47, telah datang ke hotel terbabit kira-kira jam 4 pagi bagi 'menyerbu' bilik yang dipercayai didiami oleh Ketua Wanita Umno Ampang itu dengan dibantu pengurus dan pengawal keselamatan hotel.

Sehingga kini kata sumber, kisah skandal ketiga-tiga pemimpin Umno Selangor ini walaupun berjaya dihidu tetapi sedaya-upaya cuba disembunyikan termasuk mengelak daripada dibicarakan di Mahkamah Syariah mahupun Sivil supaya berpeluang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Difahamkan Norhayati akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang bagi menggantikan Dato' Zakaria Mat Deros yang mempunyai pelbagai masalah sungguhpun 37 tuduhan terhadapnya digugurkan baru-baru ini.

Laporan polis terhadap tiga pemimpin Umno jadi tanda tanya

Terdapat sembilan laporan polis terhadap Norhayati Onn yang masih tidak diketahui perkembangan terkini dan status siasatan oleh pihak Polis, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor yang dilihat menimbulkan syak dan menjejaskan nama baik mereka yaang wajar dijawab segera yang sehingga kini menjadi tanda tanya umum.

Berikut adalah antara laporan polis yang pernah dibuat oleh suami Ketua Wanita Umno Bahagian Kelang itu, Mohd Suffian Abdul Aziz, di Balai Polis Shah Alam bertarikh 8 Oktober 2006:

"Terkandung di dalam telefon bimbit berkenaan (milik isterinya) ada beberapa gambar-gambar yang tersimpan yang menunjukkan gambar-gambar Dato' Dr Rahman bin Ismail, Ahli Parlimen Gombak, berpelukan dengan isteri saya di dalam bilik-bilik hotel iaitu di Hotel Riverview, Kota Bharu, Kelantan semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan dan dalam bilik tidur di Hotel Eastin, Kuala Lumpur."

Ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Shah Alam 11 September lalu, Suffian mendakwa penarikan itu dibuat semata-mata untuk menutup kes khalwatnya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Gombak itu.

"Jika kes ini diteruskan, saya ada peluang untuk kemukakan cerita Norhayati dengan Abdul Rahman.Tetapi peluang itu tiada setelah kes ini ditarik balik," katanya.

Beberapa sumber memaklumkan, Norhayati (anak kepada Pengerusi Tetap Umno Malaysia Tan Sri Onn) menarik balik kes tersebut kerana tidak mahu rahsia salah-lakunya tidak terbongkar memandangkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kes mahkamah menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 kerana beliau dikatakan akan bertanding untuk di Pelabuhan Klang menggantikan Dato' Zakaria Deros pada pilihan raya umum akan datang tersebut.

Sumber menyatakan bahawa sudah ada bukti untuk mengaitkan Norhayati dengan kes salah-laku seperti hampir 10 laporan polis dibuat semenjak Disember 2005 yang sehingga kini belum mempunyai perkembangan terkini termasuk beberapa keping gambar intim kedua-dua pemimpin Umno Selangor itu di lokasi hotel yang berlainan.

Manakala berikut adalah cabutan dan petikan laporan Polis bernombor JTRAZAK/005585/07 yang dibuat suaminya Radzmi Othman 47 tahun yang diterima Koperal Azizan Hassan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

"... saya mengesyaki bahawa Yasmin (anaknya) tiada dalam bilik tetapi berkemungkinan isteri saya bersama lelaki lain di dalam bilik tersebut, Saya sebagai suami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik malah beliau meminta waran daripada pihak polis untuk memasuki bilik tersebut dan selepas itu kami semua beredar dari Hotel Crown Princess ..."

"... Saya datang ke balai polis buat laporan kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan serta kecurangan isteri saya dan mahu rujuk perkara ini ke pejabat agama. Sekian laporan saya."

Pemerhati menjangkakan Dr Rozaidah dan Dr Rahman mungkin tidak terpilih lagi sebagai calon BN dalam pilihan raya ke-12 akan datang.

"Seteru politik masing-masing, dalam Umno sendiri, menunggu peluang untuk mencantas mereka, apatah lagi kedua-duanya dilihat calon bidan terjun dalam pilihan raya lalu," kata sumber, sambil menambah, waktu itu, mereka tidak mempunyai jawatan tinggi dalam Umno bahagian.

Oleh kerana kedua-dua wakil rakyat itu baru ditampilkan dalam pilihan raya 2004, mereka sering dianggap sebagai "orang Khir Toyo".

Justeru, jika Rozaidah dan Rahman dikaitkan dengan pelbagai skandal yang memalukan, apatah lagi dakwaan itu tidak langsung membabitkan pembangkang, ia dikira boleh memalitkan imej negatif kepada Dr Khir, bukan sahaja sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tetapi juga sebagai "kawan rapat" mereka berdua. -az

Minda Pembaca: Komposisi ahli panel siasatan diragui

Oleh Abdullah A Karim


BAGI pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, saya ingin memberi sedikit pandangan berhubung dengan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri berhubung penal menyiasat rakaman video .

Kerajaan telah bersetuju menubuhkan suruhanjaya (panel) untuk menyiasat rakaman video perbualan diantara peguam Dato V.K Lingam dengan seorang hakim kanan yang dipercayai Ketua Hakim Negara.

Pada hemat saya, penubuhan suruhanjaya ini sedikit sebanyak dapat dilihat sebagai respon positif kerajaan terhadap sentimen sebenar rakyat Malaysia yang amat terkejut dengan pendedahan rakaman perbualan tersebut. Namun, ianya masih menimbulkan keraguan terhadap motif penubuhannya oleh kerana :

1) Ianya bukanlah satu suruhanjaya siasatan diraja yang dibentuk atas titah dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana suruhanjaya-suruhanjaya diraja yang lain yang pernah dibentuk sebelum ini seperti dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim dipukul di dalam lokap.

Suruhanjaya yang diumumkan hari ini adalah jelas hanya ditubuhkan oleh badan Eksekutif, yang mana kerajaan sendiri (melalui nama-nama yang disebut di dalam perbualan tersebut) turut merupakan pihak yang terlibat. Situasi ini menunjukkan bahawa suruhanjaya ini bukan suruhanjaya bebas. Bagaimana suruhanjaya ini nanti dapat menyiasat secara adil dan benar-benar berkecuali?

2) Oleh kerana ianya ditubuhkan oleh kerajaan, sudah tentu ahli-ahli suruhanjaya ini bertanggungan dan answerable kepada kerajaan (khususnya kabinet). Seharusnya, jika pun suruhanjaya ini bukan suruhanjaya diraja, ianya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya kepada eksekutif bagi menunjukkan keberkecualiaan dan transparensi.

3) Komposisi ahli panelnya turut menimbulkan persoalan jika dilihat dari segi latar belakang masing-masing, kecualilah Dato Mahadev Shankar.

Saya merasakan Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Mohamed Noor bukanlah orang yang layak dan sesuai untuk mengetuai suatu suruhanjaya yang begitu mustahak demi mempertahankan wibawa badan kehakiman negara ini. Ini adalah kerana peranan yang beliau mainkan semasa Krisis Kehakiman 1988 yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas.

Pada masa itu Tan Sri Haidar merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Agung dan pada tarikh 2hb Julai 1988, beliau terlibat secara langsung mengarahkan supaya pintu bilik mahkamah dikunci, cop meterai rasmi Mahkamah Agung disembunyikan dan semua kakitangan mahkamah dilarang dari memberikan bantuan kepada mana-mana hakim Mahkamah Agung sekiranya mereka berhasrat untuk bersidang bagi memutuskan permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah tegahan kepada Tribunal dari menyerahkan laporan mereka kepada Yang Dipertuan Agong (untuk maklumat lanjut sila baca buku yang ditulis oleh Tun Salleh Abbas, May Day for Justice).

Bagaimana seorang yang masih terpalit dengan dakwaan keterlibatan dalam menghancurkan badan kehakiman boleh dilantik mengetuai satu suruhanjaya yang begitu penting? Tan Sri Lee Lam Thye juga tidak sesuai untuk terlibat di dalam suruhanjaya ini memandangkan program PLKN yang berada di bawah pengendaliannya pun turut terlibat dengan pelbagai masalah yang hingga ke tahap mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Inilah antara kebimbangan dan keraguan awal yang ingin saya lontarkan berkaitan dengan penubuhan suruhanjaya ini. Setakat ini, masih belum dikeluarkan lagi apakah terma-terma rujukan (terms of reference) secara spesifik berkaitan dengan bidang tugas suruhanjaya ini. Namun, yang penting suruhanjaya ini perlu amanah dalam melaksanakan tugasnya serta bebas dari cengkaman sesiapa.

Kita tidak mahu, sebagai contoh, suruhanjaya ini nanti hanya menyiasat siapa yang mula-mula mendedahkan rakaman perbualan tersebut hingga ianya jatuh ke tangan Dato Seri Anwar Ibrahim. Tetapi yang perlu disiasat ialah kandungan perbualan tersebut.

Penulis merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang - Pengarang


Wang haram: Pegawai polis dituduh lagi RM2.8 juta

TEMERLOH: Seorang pegawai kanan polis berpangkat superintendan yang didakwa atas tiga tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram semalam, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua lagi pertuduhan sama membabitkan kira-kira RM2.8 juta.

Azmi Osman, 52, yang hadir di mahkamah berkemeja putih berpetak dan berseluar hitam bagaimanapun dengan tenang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Ishak Bakri.

Pegawai polis itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM2,093,300 melalui akaun semasanya di Malayan Banking Berhad di No 1, Jalan Haji Kassim, Mentakab di sini pada 6 Feb 2002 dan 20 Dis 2002.

Azmi juga didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM683,850 melalui akaun yang sama dan di tempat yang sama pada 7 Jan 2003 dan 2 Okt 2003.

Pertuduhan terhadap pegawai polis itu yang kini bertugas di bahagian Urusetia Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Kuala Lumpur dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, Azmi boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim Ishak membenarkan Azmi diikat jamin sebanyak RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan pegawai polis itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Ishak juga membenarkan permohonan Ketua Unit Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakkan Harta, Dzulkifli Ahmad yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Johor Baru bagi dibicarakan bersama-sama dengan tiga lagi pertuduhan yang dihadapi Azmi.

Beliau menetapkan 31 Okt ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Johor Baru.

Di Mahkamah Sesyen Johor Baru semalam, Azmi mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM1.2 juta.

Terdahulu, Dzulkifli yang dibantu Muhd Saifuddin Hashim Musaimi mencadangkan kepada mahkamah agar menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap pegawai polis itu yang beralamat di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Peguam C. N. Sritharan yang mewakili Azmi dalam hujahnya yang mengambil masa kira-kira 15 minit bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya juga menghadapi tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Baru dan perlu membayar ikat jamin sebanyak RM200,000.

Beliau berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah subseksyen 4 (1)(a) itu tidak begitu serius kerana mempunyai opsyen untuk hukuman denda dan bukannya penjara mandatori.

"Isu anak guam saya akan lari dari jaminan juga tidak akan timbul kerana sebagai seorang pegawai polis dia dikehendaki dalam prosedur penjawatan beliau untuk melapor diri kepada lembaga tatatertib setiap minggu sehingga kesnya selesai," katanya.

Sementara itu, Azmi yang ditemani peguamnya dilihat meninggalkan kawasan mahkamah pada pukul 12 tengah hari setelah membayar wang jaminan. BERNAMA




Rabu, 26 September 2007

Isu PKFZ: Peguam Negara dipanggil beri penjelasan
Oleh: SA'ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Keputusan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk membeli tanah seluas 400 ha untuk pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada harga RM1.807 bil dibuat setelah kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengambil alih tanah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan negeri itu tidah bersetuju dengan cadangan pengambilalihan tanah berkenaan dengan alasan kawasan berkenaan telahpun mempunyai kawasan yang dibangunkan, sebaliknya berpendapat jika projek itu hendak dibangunkan, LPK perlulah membeli tanah di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa itu akan memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan berhubung tafsiran undang-undang dalam isu itu pada mesyuaratnya mengenai PKFZ akan datang.

Menurut beliau, penjelasan mengenai tafsiran undang-undang itu penting bagi menghilangkan keraguan masyarakat memandangkan kerajaan telah memilih untuk membeli tanah untuk projek berkenaan dan tidak menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pengambilan semula yang sudah pasti akan menjimat kos.

Kerajaan telah membeli tanah yang diperlukan itu daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd pada harga RM25 sekaki persegi, sedangkan harga jika pengambilan tanah dibuat ialah RM10.16 sekaki persegi.

Tanah terlibat adalah tanah kerajaan yang telah diberikan kepada Koperasi Pulau Pembangunan Pulau Lumut yang kemudian menjualnya kepada Kuala Dimensi pada harga RM96 juta atau RM3 sekaki persegi.

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk membeli tanah berkenaan dan tidak menggunakan peruntukan undang-undang untuk mengambilnya telah menimbulkan pelbagai sangkaan buruk dalam masyarakat.

"Jadi kita perlu mendengar penjelasan dari Peguam Negara supaya jika memang ada benda yang tidak kena kita boleh perbetulkan, dan jika tidak, sekurang-kurangnya kita boleh beri penjelasan kepada media dan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen hari ini.

Mengenai dakwaan bahawa harga tanah RM25 sekaki persegi yang dibayar kerajaan adalah jauh lebih tinggi daripada kadar yang dinilai oleh Jabatan Penilaian, Shahri berkata, jabatan itu sebenarnya telah membuat beberapa penilaian ke atas berkenaan atas permintaan pihak yang berbeza.

Penilaian pertama ialah untuk tujuan pembelian dan diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan, kedua untuk tujuan pembelian tetapi diminta oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dikuti oleh penilaian untuk tujuan pengambilalihan oleh kerajaan.

Nilai yang ditetapkan oleh jabatan itu pada setiap penilaian, menurut Shahrir, juga berbeza berdasarkan keluasan tanah yang terlibat serta tahun penilaian dibuat.

Menurutnya, penilaian pertama meletakkan nilai tanah itu pada harga RM17 sekaki persegi untuk tujuan pembelian, diikuti RM10.16 sekaki persegi untuk tujuan pengambilan dan pada penilaian berikutnya harga itu meningkat sehingga mencapai RM21 sekaki persegi.

Wakil Jabatan Penilaian adalah antara beberapa pihak, termasuk Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Zarinah Anwar yang dipanggil memberi keterangan hari ini.

Mesyuarat kali ketiga PAC mengenai isu PKFZ dijangka diadakan selepas raya.

Esok, jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebelum meneliti laporan membabitkan projek pembinaan Institut Latihan Belia Negara yang tidak buat mengikut tender terbuka oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Selasa, 25 September 2007

Tadbir ' silap mata '....

PM tadbir ekonomi negara macam main silap mata - Tan Sri Khalid

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sebelum Malaysia mencapai tahap pusat kewangan Islam antarabangsa, antara perkara penting yang perlu diselesaikan adalah kefahaman struktur kewangan yang mesti dimantapkan dengan kehendak syariah.

Perkara tersebut ditegaskan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas tentang strategi kerajaan dalam Bajet 2008 yang akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Jelas Khalid, pada masa sekarang terdapat perbezaan pendapat besar berhubung amalan dan produk perbankan oleh bank-bank di Malaysia yang dikatakan menjalankan perbankan secara Islam berbanding bank-bank Islam di rantau Teluk.

Katanya, antara yang dipertikaikan adalah cara-cara bank mengemukakan struktur kewangan yang dikatakan mengikut lunas-lunas syariah.

Katanya lagi, pada pandangan pemerhati syariah antarabangsa, Malaysia menjalankan pembiayaan jual beli (Al-Bai Bithaman Ajil atau pembelian dengan harga tangguh) secara 'silap mata'.

Jelasnya bank-bank ini bukan menjalankan usaha 'jual beli' tetapi menjalankan usaha 'pinjaman'. Kadar keuntungan 'jual beli' tersebut katanya disesuaikan dengan kadar faedah (sistem konvensional) yang berada di pasaran.

" Ini adalah satu usaha untuk sengaja mencari jalan supaya tidak ada beza kos mendapat pinjaman dari bank-bank Islam dengan kos pinjaman untuk bank-bank konvensional. Ada kalanya perkataan al-Bait Bithaman Ajil (jual beli) hanya nama sahaja tetapi sebenarnya ialah al-Daim (memberi pinjaman).

"Jadi perkara ini mesti diselesaikan. Jika tidak diselesaikan bererti Malaysia tidak akan dianggap sebagai menjalankan sistem perbankan Islam secara tulen. Malaysia menjalankan sistem bank Islam tetapi disesuaikan dengan cara-cara perbankan bukan Islam (perbankan konvensional). Jadi tidak perlu PM menyatakan kita ingin menjadikan bank Islam peringkat antarabangsa jika konsepnya tidak betul," tegas Khalid.

Khalid yang ditemui di kediamannya baru-baru ini sewaktu sesi temu bual mengenai reaksi Bajet 2008 menyatakan, oleh kerana fatwa-fatwa tidak dihebahkan kepada rakyat, besar kemungkinan rakyat tidak tahu maksud bank Islam yang sebenar.

"Perbankan cara Islam sebenarnya tidak ada perselarian dengan konsep perbankan yang ada sekarang. Perbankan cara Islam bukan sahaja memikirkan tidak ada riba tetapi adalah satu pelaburan bersama antara orang yang meminjam dengan orang yang memberikan pinjaman (mudharabah)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan konsep perbankan yang ada sekarang ialah konsep memberi hutang dan hutang itu mesti dibayar dengan faedah. Tetapi bank-bank secara Islam di Malaysia tidak menyatakan perkara itu faedah sebaliknya menyatakan ia 'kadar diskaun'.

Perkara ini katanya adalah pensesuaian dan konsep ini tidak ada kena mengena dengan konsep perbankan atau konsep kewangan Islam.

"Konsep kewangan Islam mengambil kira risiko dan pulangan hasil daripada penggunaan modal tersebut. Apabila hasil dan pulangan itu didapati, agihan dapat dilakukan.

"Pengagihan faedah atau diskaun tidak boleh ditentukan sebelum hasil-hasil ini didapati. Jadi, kerja-kerja yang dilakukan oleh bank-bank Islam di Malaysia kebanyakannya hanya mengubah suai apakah faedah dengan diskaun tersebut," jelasnya. - mks.

Isnin, 24 September 2007

MEMBONGKAR AJARAN SESAT


( Ini adalah kertas kerja Membongkar Ajaran Sesat, Kertas kerja ini disampaikan oleh wakil Hizbu Tahrir Malaysia, di Hotel Seri Malaysia, Jalan Langkasuka Johor Bharu.

KAEDAH PRAKTIKAL MENANGANI AJARAN SESAT DAN MURTAD

( Kajian Kes Ayah Pin )

1.0 Perbezaan antara Murtad dan Sesat

Masalah ajaran sesat di kalangan umat Islam kini kian menjadi bualan hangat dan sering terpampang di dada-dada akhbar dimana isu yang terakhir berkaitan dengan seorang ketua ajaran sesat yang bernama Ayah Pin. Masalah gejala ajaran sesat ini bukanlah masalah keluarga yang ditipu oleh Ayah Pin sahaja, melainkan ianya juga masalah umat Islam secara keseluruhan, bukan hanya kepada individu yang terlibat dengan gejala ini sahaja.

Mengikut definisi, orang-orang yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama, kerana tidak berusaha untuk mempelajarinya atau orang yang berpengalaman agama yang tidak betul kerana dipelajari dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya. [1]

Manakala kes yang terjadi di Malaysia adalah ajaran yang dibawa oleh orang Islam, dan ajaran yang diselewengkan ini dinamakan ajaran sesat. Perlu dibezakan antara orang kafir yang terus memeluk ajaran sesat Islam seperti ajaran kaum Druz. Maka hukumnya adalah tetap hukum kafir. Jika ada orang-orang yang murtad selepas menjadi muslim dan membentuk satu aliran yang bukan Islam seperti Druz, Bahai, Qadiyani, mereka tidak diuruskan dengan cara murtad, kerana mereka bukan murtad [2], mereka diurus sebagaimana orang kafir. Berbeza dengan orang Islam yang berpindah ajarannya dari Islam kemudian menjadi kafir, lantaran mengikut ajaran sesat maka kaum ini dikategorikan sebagai murtad. Hanya sedikit perbezaan antara murtad dan sesat.

2.0 Lintasan Sejarah Islam tentang Murtad

Dalam sejarah Islam, riddah telahpun bermula sejak zaman Nabi Salallahu 'Alayhi Wasallam lagi tetapi tidaklah banyak dan dari yang murtad itu ada yang kembali semula ke pangkuan Islam dan tidak banyak yang telah dikenakan hukuman mati. Kebanyakan ajaran sesat berlaku beramai-ramai.

Menurut catatan sejarah, ada 11 kabilah Arab yang melakukan riddah dan terhadap mereka telahpun dilaksanakan hukuman bunuh itu dan mereka diperangi sehingga tumpas terutamanya oleh Khalifah Abu Bakar Radhiaallahu anhu. [3]

Di antara 11 qabilah itu termasuklah 3 qabilah yang murtad di waktu Nabi Salallahu 'Alayhi Wasallam masih hidup, 7 qabilah di zaman Khalifah Abu Bakar Radhiaallahu anhu dan 1 qabilah di zaman Khalifah Umar al-Faruq.

Zaman Nabi Salallahu 'Alayhi Wasallam

·

· Al-Aswad al-Ansi yang memimpin Banu Mudlij. Dia adalah seorang tukang tenung yang mengaku menjadi Nabi di Yaman. Akan tetapi dia dibunuh oleh Fairuz ad-Dailami. [4]

·

Musailamah al-Kazzab yang memimpin kaum murtad Banu Hanifah di Yamamah yang juga mengaku menjadi Nabi. Dia dan pengikutnya telah diperangi oleh tentera Islam di zaman Khalifah Abu Bakar Radiallahu Anhu dan Musailamah sendiri telah dibunuh oleh Wahsyi yang sebelum beliau Islam telah membunuh Hamzah, bapa saudara Nabi Salallahu 'Alayhi Wasallam [5]

·

· Tulaihah bin Khuwailid memimpin ajaran sesat Banu Asad di mana beliau juga telah mengaku menjadi Nabi dan memimpin kaumnya itu dalam pemberontakan. Khilafah Abu Bakar r.a. telah memerangi pengikut-pengikut ini di bawah panglima perang Khalid bin al-Walid. Setelah berlaku peperangan yang sengit, maka pengikut-pengikut Tulaihah telah dibinasakan sedangkan dia sendiri dapat menyelamatkan diri ke negeri Syam dan kemudian memeluk agama Islam semula dengan baik.

·

Zaman Khalifah Abu Bakar Radiallahu anhu [6].

·

· Qabilah Fazarah, kaumnya 'Uyainah bin Haishn

· Qabilah Ghatafan, kaumnya Qurrah bin Salamah

· al-Qusyairi

· Qabilah Banu Salim, kaumnya al-Fujaah bin Abdul Jalail

· Qabilah Banu Yarbu', kaumnya Malik bin Nuwairah

· Qabilah Kandah, kaumnya al-Asy'as bin Qais

· Qabilah Banu Bakr bin Waail di Bahrain, iaitu kaum

· al-Hatm bin Zaid.

·

· Sajah seorang wanita tukang tenun telah memimpin sebahagian qabilah Banu Tamim yang mengaku menjadi Nabi. Sajah kemudian berkahwin dengan Musailamah al-Kazzab. Pengikut-pengikut Sajah binti Munir ini dihancurkan oleh Khalifah Abu Bakar r.a. setelah melalui beberapa siri peperangan.

Zaman Khalifah Umar Radiallahu anhu

·

· Tidak begitu ramai yang mengikut ajaran sesat di zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Hanya ada satu golongan sahaja, iaitu Ghassan, kaumnya Jabalah bin al-Aiham yang cukup terkenal ceritanya di dalam sejarah Islam.

Sultan Baybars II (708-9/1308-9) [7]

Yang mula-mula memperkenalkan siksaan keatas orang-orang yang murtad. Satu kes yang dirujuk adalah mengenai seorang wanita yang telah murtad di arak ke sebatang jalan di Kaherah, kemudian dibawa menaiki bot dan dicekik sebelum dihumban ke dalam Sungai Nil.

Afghanistan [8]

Pengikut Qadiyani atau Ahmadiyya (1925) di Afghanistan telah direjam sampai mati.

Di dalam bekas wilayah Turki dan Mesir, juga di tanah Islam di bawah pemerintahan penjajah Eropah

(semenjak pertengahan kurun ke-19) [9]

Pelaksanaan hukuman murtad oleh kadi telah dimansuhkan, tetapi mereka-mereka yang murtad masih dipenjarakan atau dibuang daerah. Namun begitu orang-orang yang murtad ini mungkin akan dibunuh secara diracuni oleh saudara-saudara mereka secara rahsia.


[1] Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Jabatan Perdana Menteri, ms4

[2] Taqiuddin An-Nabhani, Muqadimatu Dustur, hal 32.

[3] Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Hukum Jarimah Murtad dalam Syari'at Islam, ms 107.

[4] Joesoef Sou'yb, Sejarah Daulat Khulafaur Rasyidin, ms 66-50

[5] Ibid, ms 66-72

[6] Joesoef Sou'yb, Sejarah Daulat Khulafaur Rasyidin, ms 73-97

[7] Snouck Hurgroje, Verspr Geschriften, ii /198

[8] S A Rahman, Apostasy in Islam

[9] Isabel Burton, The inner Life of Syria, i / 180.

3.0 HAD MURTAD MENURUT PANDANGAN ISLAM

3.1 Hukuman Mati

Apabila seseorang keluar daripada Islam sedangkan ia baligh dan berakal maka ia diajak untuk kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika mereka kembali setelah itu maka akan diterima dan jika menolak maka akan dibunuh, sebagimana firman Allah swt.

Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, Maka mereka Itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka Itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. [TMQ Al-Baqarah, 2:217]

Hadis Rasulullah saw pula mentsabitkan hukuman kepada orang yang murtad.

Imam Bukhari telah meriwayatkan dari 'Ikhrimah yang berkata, "Dihadapkan kepada Amirul Mukminin 'Ali karamallahu wajhah Orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Maka berita itu disampaikan kepada 'Ibnu Abbas dan beliau berkata 'Seandainya aku, tidaklah aku bakar mereka kerana larangan Nabi Salallahu 'Alayhi Wasallam yang bersabda "Jangan kamu menyiksa dengan siksaan Allah". Akan tetapi pasti kan aku bunuh mereka kerana sabda Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam "Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia" [1]

Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam yang mana baginda bersabda,

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan, "Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh." [2]

"Jangan kamu menyiksa dengan siksaan Allah". Akan tetapi pasti akan aku bunuh mereka kerana sabda Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam. "Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia" [3]

Hadis ini menunjukkan dengan jelas bahawa hukuman bagi orang-orang yang murtad adalah dibunuh, bukan dibakar. Ini disebabkan adanya larangan dari Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam untuk mengazab seseorang dengan azabnya Allah, iaitu dibakar. Selain itu, keumuman hadis, "Barangsiapa murtad maka bunuhlah ia", menunjukkan bahawa hukum murtad adalah dibunuh. Sedangkan apa yang diperbuat oleh 'Ali r.a. tidak boleh dijadikan dalil, sebab mungkin dia belum mengetahui ada riwayat yang melarang mengazab seseorang dengan azab Allah (membakar), sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu 'Abbas.

Selain itu al-Hafidz Ibnu Hajar, menjelaskan bahawa ada hadis dengan sanad hasan, yang menunjukkan bahawa seorang wanita yang murtad juga mesti dibunuh. Bahawa Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam ketika mengutus Mu'az ke Yaman, baginda berpesan,

"Setiap lelaki yang murtad, maka ajaklah dia kembali kepada Islam! Bila dia menolak untuk kembali ke dalam Islam, maka penggallah lehernya! Begitu pula setiap perempuan yang bertindak murtad, maka panggillah dia! Bila dia menolak untuk kembali lagi ke dalam Islam, maka penggallah lehernya" [4]

Juga diriwayatkan oleh Daruquthniy dan Baihaqi dari Jabir,

"Bahawa Ummu Marwan telah murtad. Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam telah memerintahkan untuk menasihatinya agar dia kembali kepada Islam. Jika dia bertaubat (maka biarkan), jika tidak, maka dia dibunuh." [5]

Oleh itu membunuh lelaki yang murtad didasarkan pada zahir hadis dari Ibn Abbas. Sedangkan membunuh wanita yang murtad didasarkan pada keumuman hadis. Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam bersabda "Barangsiapa mengganti (agamanya)". Sedangkan lafaz "man" termasuk lafaz umum.

Bagi anak kecil yang murtad atau orang gila yang murtad, tidak sah hukuman bunuh ini sebab keduanya bukan mukallaf. Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam bersabda,

Di angkat pena dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga bangun dan orang gila hingga dia sembuh.[6]

Berkaitan pembahasan orang yang murtad dianjurkan untuk bertaubat dalam tempoh tiga hari adalah berdasarkan hadis dari Marwan, bahawa Rasulullah Salallahu 'Alayhi Wasallam. memerintahkan agar menasihati orang yang murtad.

Demikian juga yang dilakukan oleh Umar

Dari Muhammad bin Abd al Allah bi Abd al Qariy berkata, 'Seorang lelaki dari sisi Abu Musa menghadap kepada Umar bin Khattab. 'Umar bertanya kepada lelaki tersebut, "Apakah ada khabar dari daerah yang jauh?" Lelaki itu menjawab, "Ada! Iaitu, seorang lelaki telah kafir setelah dahulunya beragama Islam. " Umar berkata, "Apa yang engkau lakukan?" Dia kudekati lalu aku membunuhnya." Umar berkata, "mengapa engkau tidak penjara di rumahnya saja selama tiga hari, kemudian engkau beri makan roti setiap harinya, dan engkau anjurkan agar bertaubat, barangkali dia bertaubat, dan kembali ke agama Allah? Ya Allah, sungguh aku tidak setuju tindakan ini, dan aku tidak redha bila mendengarkannya" [7]

Abu Bakar juga pernah melakukan hal seperti ini. Daruquthniy dan Baihaqiy mengeluarkan hadis, "Bahawa Abu Bakar Radiallahu anhu menganjurkan wanita yang murtad untuk bertaubat. Wanita itu bernama Ummu Qurfah, di mana dia kafir setelah masuk Islam. Wanita itu tidak mahu bertaubat, sehingga beliau (Abu Bakar Radiallahu Anhu) membunuh wanita itu."

Anjuran taubat selama tiga hari, bukanlah qayyid (batasan). Tiga hari adalah batas minima yang umumnya memungkinkan terjadinya insaf. Jika dalam tempoh itu masih juga tidak mahu insaf, maka tempoh itu boleh dilanjutkan. Sebab, maksud dari anjuran bertaubat adalah menyedarkan dia tentang Islam, dan supaya dia kembali kepada Islam sehingga dia mesti diberikan masa yang mencukupi untuk bertaubat. Diriwayatkan bahawa Abu Musa memberi kesempatan bertaubat seorang murtad di mana kemudian Mu'az memerintahkan untuk membunuhnya. Kemudian Abu Musa membunuh orang murtad tersebut, setelah memberi kesempatan taubat selama dua bulan sebelum kedatangan Mu'az.

Diriwayatkan dari Umar bahawa waktu untuk bertaubat adalah tiga hari, jika dia bertaubat maka taubatnya diterima, jika tidak maka dia dibunuh. Walaubagaimanapun, taubat ini diterima jika dia tidak mengulangi kemurtadannya. Jika ternyata dia mengulangi lagi kemudian maka taubatnya tidak diterima dan dia mesti dibunuh segera tanpa diberi tempoh lagi (tidak dikira lagi samada dia bertaubat atau tidak). Firman Allah Subhanahu Wa Taala:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman Kemudian kafir, Kemudian beriman (pula), kamudian kafir lagi, Kemudian bertambah kekafirannya, Maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.

[TMQ Al- Nisa' 4:137]

Maka sekali-kali tidak akan memberi ampunan kepada mereka bermaksud Allah tidak akan menerima taubat mereka. Oleh itu negara tidak boleh menerima taubat mereka.

Diriwayatkan oleh Asyram dari Thibyana bin Umarah, "Bahawa seorang lelaki dari Bani Saad melintas ke Masjid Bani Hanifah, sedangkan mereka sedang membaca sajak Musailamah al Kadzab. Kemudian lelaki itu pergi kepada Ibn Mas'ud dan menceritakan kejadian itu. Kemudian mereka didatangi dan mereka disuruh bertaubat. Semuanya telah meninggalkan jalan keyakinan mereka kecuali seorang lelaki, di mana Ibn Nuwahah berkata kepadanya, "Sungguh aku melihat engkau satu kali, dan aku menduga engkau telah bertaubat, dan aku melihatmu mengulangi lagi perbuatanmu itu. Maka lelaki tersebut dibunuh."

Dari segi perlaksanaan hukum, mereka yang dibenarkan untuk membunuh orang murtad adalah negara bermakna, hanya negara sahaja (orang yang diberi hak oleh negara/penguasa) yang berhak menetapkan dan menjatuhkan hukuman bunuh tersebut.

[1] Hadis Riwayat Jemaah ahli hadis, kecuali Muslim.

[2] Imam Ahmad, Musnad Ahmad, bab Musnad Ansor, #21007

[3] Hadis Riwayat Jemaah ahli hadis, kecuali Muslim.

[4] Riwayat al-Tabrani , Mu'jamnya daripada Muaz bin Jabal, Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, sanadnya hasan (Nailul Awtar VII/193, Nasb al-Rayah III/457)

[5] Sunan Daruqatni III/118; Sunan Baihaqi Kubra VIII/203.

[6] Hadis riwayat Ashabu-Sunan, Ahmad dan al-Hakim dan disahkan sebagai hadis hassan oleh al-Tarmizi.

[7] Ibnu Hajar, Talkhis , IV/50

[8] Ibnu Qudamah, Mughni , IX/18.

3.2 Bilakah Seseorang Dianggap Murtad?

Menurut Syaikh Dr. 'Abdurrahman al-Maliki, seorang Islam jatuh kafir dengan empat indikasi seperti berikut, (1) dengan keyakinan (i'tiqad), (2) dengan keraguan (syak), (3) dengan perkataan (al-qaul), (4) perbuatan.

Pertama, dengan keyakinan. Ini dilihat dari dua sisi; (a) menyakini dengan pasti sesuatu yang berlawanan dengan apa yang diperintah, atau yang dilarang. Contohnya menyakini, bahawa Allah memiliki sekutu. Menyakini bahawa Al-Quran bukanlah Kalamullah. (b) mengingkari sesuatu yang sudah maklum dalam masalah agama seperti mengingkari jihad, mengingkari keharaman khamr, mengingkari hukum potong tangan, dan lain-lain.

Kedua, keraguan dalam berakidah, dan semua hal yang dalilnya qath'i. Contohnya, ragu bahawa Allah itu satu; ragu bahawa Muhammad Salallahu 'Alayhi Wasallam adalah Rasulullah; atau ragu tentang hukum sebat bagi penzina ghairu muhshon.

Ketiga, dengan perkataan yang jelas, tidak perlu ditafsirkan atau dita'wilkan lagi. Contohnya, seseorang yang mengatakan bahawa 'Isa adalah anak Allah, Muhammad bukan nabi, dan lain-lain. Sedangkan perkataan yang masih belum jelas, atau masih perlu dita'wilkan maka tidak memurtadkan pengucapnya.

Keempat, dengan perbuatan yang jelas tanpa perlu ta'wil lagi. Contohnya, menyembah berhala, melakukan ibadat di gereja dengan tata cara ala gereja, sembahyang di Gudwara atau Kuil Hindu dengan ritual Hindu, dan lain-lain. Sedangkan perbuatan yang belum jelas, tidak mengkafirkan pelakunya seperti masuk ke gereja, membaca Injil, dan lain-lain.

3.3 Harta Orang Murtad

Seorang yang murtad sebelum dia bertaubat, maka dia adalah pemilik hartanya, dan apa yang dia usahakan. Namun jika ia minta kembali kepada Islam dia menolak, maka dia dijatuhi hukuman bunuh; atau jika dia meninggal setelah kemurtadannya, maka hartanya digunakan untuk membayar hutang-piutangnya, serta mengurusi jiwanya, memberi nafkah kepada isteri, dan orang-orang yang ada dibawah tanggungjawabnya. Jika hartanya tidak tersisa ( berbaki ) setelah itu, maka masalahnya dianggap telah berakhir. Namun jika ada sisa, maka hartanya diserahkan kepada baitul maal. Harta mereka disamakan dengan harta fai'. Sebab, orang yang murtad mesti diajak untuk kembali kepada Islam, namun jika dia menolak, maka dia wajib diperangi (dibunuh). Dalam situasi seperti ini, hartanya seperti harta fai'.

Dalilnya adalah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Bakar terhadap orang-orang yang murtad. Abu Bakar memerangi orang-orang yang murtad, dan menghalalkan darah dan merampas harta mereka, disebabkan oleh kemurtadan mereka. Atas dasar itu, harta mereka bagaikan harta ghanimah. Seluruh shahabat menyetujui tindakan ini. Ini bermakna, apa yang dilakukan oleh Abu Bakar Radiallahu Anhu telah menjadi Ijma di kalangan para shahabat.

4.0 SANGGAHAN TERHADAP PENAFSIRAN SONGSANG

Dunia Barat yang dengki dan membenci Islam dan kaum muslimin terus menerus menyerang agama Islam. Di satu sisi mereka mencela Islam dengan cara mengada-adakan sesuatu yang tidak ada dalam Islam, sementara di sisi lain mereka menjelek-jelekan sebahagian hukum-hukum Islam, padahal semuanya adalah hukum-hukum yang tidak diragukan lagi kebenarannya dalam menyelesaikan masalah dan persoalan hidup. Menghadapi serangan seperti ini, kaum muslimin terutama kalangan intelektualnya berada pada posisi yang sangat lemah dimana mereka rela menerima Islam sebagai pihak yang tertuduh, lalu mereka berusaha untuk membelanya. Dalam rangka menghindari tuduhan seperti itu, mereka berusaha menginterpretasikan (menakwilkan) hukum-hukum Islam [1]. Sebagai contohnya anda boleh melihat bagaimana umat Islam menyamakan Islam dengan hukum buatan manusia ini.

.Article 18 of the Universal Declaration of Human Rights states, "Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance."

The Glorious Qur'an says, "Let there be no compulsion in the religion: Surely the Right Path is clearly distinct from the crooked path." Al Baqarah, 2:256. [2]

Marina Mahathir mempertikaikan mengapa seseorang tidak boleh diberikan hak untuk murtad ataupun keluar ataupun menukar agamanya. Katanya,

"There seems to be more people keen on prosecuting others for thinking differently from them than ever before. The even weirder thing is that the ones they really go after are those who are actually of the same faith. Its like joining a club that you can never leave when you decide you don't like the rules anymore.

( Terdapat kecenderungan banyak pihak untuk mendakwa sesiapa yang berfikiran berbeza dari mereka, lebih dari sebelum ini. Yang anehnya mereka ini lebih minat memberkas dari kalangan sesama akidah. Ianya umpama menyertai sebuah kelab, dan kemudian anda tidak dibenarkan sekali-kali meninggalkannya walaupun anda sudah tidak menyenangi peraturan-peraturannya.

Manakala Sister In Islam di dalam kenyataan akhbar bertarikh 27hb Julai 2005 (www.sistersinislam.org.my/PressStatement/27072005.htm) mengatakan; isu Kerajaan Langit menunjukkan bahawa pihak berkuasa agama menggunakan sumber kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk menghukum Ayah Pin dan pengikutnya. Ini berlaku sungguhpun kebebasan memilih agama diterangkan dengan jelas di dalam Al Quran dan juga termaktub di dalam Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 18, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (Article 18 of the Universal Declaration of Human Rights)

Sebenarnya apa yang berlaku adalah kedua-dua pihak (Marina Mahathir dan SIS) ingin menafsirkan hukum-hakam Islam menurut perspektif Hak Asasi Manusia maka pentakwilan ayat-ayat Quran menurut selera mereka sendiri ditegaskan bahawa untuk masuk atau keluar dari Islam ianya adalah pilihan individu.

5.0 Hukuman Mati Bertentangan Dengan Al-Quran

Di zaman sekarang ramai orang Islam yang tidak menerima bahawa hukuman bagi orang murtad – yang tidak mahu bertaubat – adalah hukuman mati. Salah satu alasan adalah bahawa hukuman tersebut bertentangan dengan prinsip tidak ada paksaan dalam hal agama (al-Dien), yang terdapat dalam al-Qur'an surah al-Baqarah [2] ayat 256: "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat."

Kesalahan atas memahami fakta murtad dan ayat di atas adalah disebabkan kefahaman yang keliru, dan pertentangan itu lahir atas kesalahan mereka untuk memahami ayat di atas. Jika kita mengkaji ayat di atas dan hadis-hadis yang digunakan, kita akan berkesimpulan bahawa tidak ada pertentangan sama sekali.

Oleh kerana itu, ayat di atas tidak dapat digunakan sama sekali untuk menolak hukuman mati bagi orang murtad kerana ayat di atas hanya terkait dengan pemaksaan terhadap orang kafir untuk masuk Islam. Jadi meskipun wajib bagi orang kafir untuk masuk Islam (lihat Qs. Ali-Imran, 3: 19, 85), mereka hendaklah memeluk Islam atas kesedaraan sendiri, dan bukan kerana ada paksaan (contohnya dengan ancaman terhadap nyawa mereka jika tidak mahu masuk Islam). Sedangkan hadis-hadis yang digunakan terkait dengan hukuman bagi orang Islam – samada dia sudah muslim sejak lahir, atau seorang muallaf – yang keluar dari Islam.