HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 September 2007

Tadbir ' silap mata '....

PM tadbir ekonomi negara macam main silap mata - Tan Sri Khalid

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sebelum Malaysia mencapai tahap pusat kewangan Islam antarabangsa, antara perkara penting yang perlu diselesaikan adalah kefahaman struktur kewangan yang mesti dimantapkan dengan kehendak syariah.

Perkara tersebut ditegaskan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas tentang strategi kerajaan dalam Bajet 2008 yang akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Jelas Khalid, pada masa sekarang terdapat perbezaan pendapat besar berhubung amalan dan produk perbankan oleh bank-bank di Malaysia yang dikatakan menjalankan perbankan secara Islam berbanding bank-bank Islam di rantau Teluk.

Katanya, antara yang dipertikaikan adalah cara-cara bank mengemukakan struktur kewangan yang dikatakan mengikut lunas-lunas syariah.

Katanya lagi, pada pandangan pemerhati syariah antarabangsa, Malaysia menjalankan pembiayaan jual beli (Al-Bai Bithaman Ajil atau pembelian dengan harga tangguh) secara 'silap mata'.

Jelasnya bank-bank ini bukan menjalankan usaha 'jual beli' tetapi menjalankan usaha 'pinjaman'. Kadar keuntungan 'jual beli' tersebut katanya disesuaikan dengan kadar faedah (sistem konvensional) yang berada di pasaran.

" Ini adalah satu usaha untuk sengaja mencari jalan supaya tidak ada beza kos mendapat pinjaman dari bank-bank Islam dengan kos pinjaman untuk bank-bank konvensional. Ada kalanya perkataan al-Bait Bithaman Ajil (jual beli) hanya nama sahaja tetapi sebenarnya ialah al-Daim (memberi pinjaman).

"Jadi perkara ini mesti diselesaikan. Jika tidak diselesaikan bererti Malaysia tidak akan dianggap sebagai menjalankan sistem perbankan Islam secara tulen. Malaysia menjalankan sistem bank Islam tetapi disesuaikan dengan cara-cara perbankan bukan Islam (perbankan konvensional). Jadi tidak perlu PM menyatakan kita ingin menjadikan bank Islam peringkat antarabangsa jika konsepnya tidak betul," tegas Khalid.

Khalid yang ditemui di kediamannya baru-baru ini sewaktu sesi temu bual mengenai reaksi Bajet 2008 menyatakan, oleh kerana fatwa-fatwa tidak dihebahkan kepada rakyat, besar kemungkinan rakyat tidak tahu maksud bank Islam yang sebenar.

"Perbankan cara Islam sebenarnya tidak ada perselarian dengan konsep perbankan yang ada sekarang. Perbankan cara Islam bukan sahaja memikirkan tidak ada riba tetapi adalah satu pelaburan bersama antara orang yang meminjam dengan orang yang memberikan pinjaman (mudharabah)," katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan konsep perbankan yang ada sekarang ialah konsep memberi hutang dan hutang itu mesti dibayar dengan faedah. Tetapi bank-bank secara Islam di Malaysia tidak menyatakan perkara itu faedah sebaliknya menyatakan ia 'kadar diskaun'.

Perkara ini katanya adalah pensesuaian dan konsep ini tidak ada kena mengena dengan konsep perbankan atau konsep kewangan Islam.

"Konsep kewangan Islam mengambil kira risiko dan pulangan hasil daripada penggunaan modal tersebut. Apabila hasil dan pulangan itu didapati, agihan dapat dilakukan.

"Pengagihan faedah atau diskaun tidak boleh ditentukan sebelum hasil-hasil ini didapati. Jadi, kerja-kerja yang dilakukan oleh bank-bank Islam di Malaysia kebanyakannya hanya mengubah suai apakah faedah dengan diskaun tersebut," jelasnya. - mks.

Tiada ulasan: