HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2022

‘Sahabatku PAS dan Umno, tamatkanlah persengketaan ini’

Nasrudin Hassan

‘Sahabatku PAS dan Umno, tamatkanlah persengketaan ini’

HIRUK pikuk apakah ini ? Sungguh ia sangat menyedihkan. Menjatuhkan maruah kita sesama umat Islam. Bercakaran di khalayak, saling tuding menuding dan membalas “tembakan”.

Apakah kita umat Islam tidak ada kitab panduan? Tidak ada rasul bimbingan? Jika ada, kenapa kita masih bersengketa sesama sendiri hanya kerana kuasa politik? Berebut kerusi dan wilayah penguasaan?

Sampai bila umat ini akan tenang? Sampai bila umat ini akan damai? Sampai bila umat ini akan bersatu?

Kenapa tidak dihayati dan praktis kata wahyu di dalam Al Quran : “dan Taatlah olehmu akan Allah dan RasulNya, janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan, bersabarlah. Sungguh Allah bersama orang yang sabar” ~ Al Anfaal : 46

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ke mana pergi azimat warisan yang soleh berbunyi “BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH”?

Izinkan saya bertanya lagi … sama ada PAS atau pun Umno, (yang mewakili parti besar umat Islam di negara ini) bukankah kita semua adalah muslim yang beriman kepada Allah swt?

Ya, kita muslim! Justeru itu tenanglah saudaraku. Tamatkanlah persengketaan ini. Malu pada masyarakat yang menyaksikan kita sesama agama bergaduh tak sudah. Asal ada pilihan raya kita bergaduh. Asal kita bergaduh, ada pilihan raya.

Saya tahu, semuanya ada alasan.

“Dia kata aku dulu, maka aku jawab lah!”

“Orang kata kat kita, mana boleh tak jawab, ini maruah kita!”

“Dia fitnah kita! Mesti balas balik!”

…. dan 1001 satu alasan lagi yang “kukuh” dan “jitu”.

Persoalannya sampai bila kita akan terus bergelut dan bertelingkah begini? Ke mana hilangnya ketenangan dan kesabaran jiwa sebagai  seorang muslim? Kemana perginya kematangan kita berpolitik ?

Sahabat-sahabatku pimpinan PAS dan Umno. Saya melihat kita banyak habiskan bergaduh dalam perkara yang tidak perlu. Hanya kerana mencari “kepuasan hati”. Melayani karenah pihak yang anti perpaduan. Terpedaya dengan provokasi licik ejen perpecahan.

Dalam masa yang sama, kita bercakap bahawa kita mahukan perpaduan. Malangnya kita cepat hilang sabar. Panas baran, cepat melatah, terlalu sensitif, CEPAT KOYAK dan mudah terpedaya dengan provokasi yang datang dari segenap arah termasuk menerusi warlord di belakang media.

Kita bergaduh di tengah laman. Semua orang tengok aksi dan sikap kita. Membosankan. Sikit-sikit gaduh. Kebanyakannya kerana “react” dari kenyataan media.

Lebih duka jika ada di kalangan pemimpin umat Islam dari kedua-dua parti umat Islam ini dah jadi macam kaki gaduh. Asal dia bercakap, cari gaduh. Asal dia menulis di media sosial, cari pasal untuk berbalah. Mencerca dan mengherdik antara satu sama lain.

Sahabat-sahabatku semua. Anda dan kita semua pemimpin negara, negeri mahupun bahagian dan cawangan. Buktikan kewibawaan kepimpinan anda dan sememangnya negara serta rakyat ini perlukan pemimpin yang berwibawa.

Serlahkan kehebatan anda memimpin dengan pemikiran yang membawa gagasan besar menyatukan ummah untuk bina kecemerlangan negara dan rakyat.

Jahitlah luka dan rawatlah kecederaan dengan baik. Jangan dituang minyak pada bara. Bercakaplah dengan ayat yang menyatukan. Menulislah dengan kalimah yang menenangkan.

Kita berjiwa besar nak menyatukan umat Islam di Palestin supaya ambil semula Al Quds. Kita punya idea hebat untuk umat Islam di Syria, Yemen, Afghanistan dan lain supaya bersatu. Usah lagi berperang sebaliknya satukan umat dan majukan negara.

Kenapa tiba-tiba kita berjiwa kecil bila berdepan dengan konflik dalaman negara kita sendiri? Hanya sekadar untuk menyatukan PAS dan Umno saja pun, kita tak jumpa bilik mesyuarat, kita kehilangan meja rundingan.

Sahabat-sahabatku PAS dan Umno. Tamatkanlah persengketaan ini. Jom kita damaikan hati dan diri kita sendiri. Tak nak gaduh dah. Malu kokram! - MALAYSIA NOW
.
(*) Penulis ialah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS

PRN Johor: DAP, PAN guna logo PH, PKR logo sendiri

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk DAP dan PAN menggunakan logo PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Selain itu, majlis berkenaan turut bersetuju untuk PKR menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya itu.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PAN Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, semalam.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat juga bersetuju untuk memuktamadkan keputusan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan PAN selain akan meneruskan rundingan kerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk MUDA.

“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani pilihan raya negeri Johor yang akan datang,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lepas (22 Januari), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong BERSATU (11) dan PAS (satu) manakala PH dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan PAN (enam).

Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad dilaporkan berkata BN memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat, memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan ‘ihsan pembangkang’. – BERNAMA

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT         

Pengurusan mantap kerajaan malapkan masa depan PH

ADA dua perkembangan besar berlaku sepanjang minggu lalu yang dipercayai akan banyak mempengaruhi masa depan politik dan negara dalam waktu terdekat ini. Perkembangan seumpama ini jangan dipandang remeh kerana ia sesungguhnya berimpak besar dan bakal mempengaruhi sentimen dan sokongan rakyat.

Pertama adalah sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini yang dipanggil untuk membincangkan isu banjir besar yang melanda negara bermula 18 Disember lalu. Sidang ini membuktikan keterbukaan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub yang sanggup memikul pertanggungjawaban menjelaskan pada rakyat apa yang sebenarnya berlaku serta langkah-langkah segera dan jangka panjang yang diambil kerajaan.

Banjir ‘luar biasa’ yang melanda sebahagian besar Pantai Barat khasnya di Lembah Kelang itu telah teruk menjejaskan kehidupan rakyat sehingga mencetuskan kemarahan dan pelbagai ketidakpuasan-hati disemarakkan pula dengan mainan media sosial yang cukup hebat mengadu-domba. 

Kerja-kerja menuding jari dan menyalahkan Kerajaan Persekutuan menjadi-jadi sehingga kerajaan dilihat seolah lumpuh dan tidak bermaya menguruskan bencana yang menimpa rakyat ini. Itulah sebenarnya yang mahu digambarkan oleh pihak pembangkang.

Walau bagaimanapun beberapa hari selepas insiden, kemarahan yang meluap-luap pada hari pertama kejadian semakin terkawal dan akhirnya reda apabila bantuan dan pertolongan turun mencurah-curah. Kerajaan Persekutuan serta-merta menyalurkan Bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion khusus untuk mangsa-mangsa banjir. Ini merupakan satu angka yang terbesar dalam sejarah dan turut mencipta sejarah juga apabila ia turun ke tangan rakyat dalam kadar yang begitu pantas sekali.

Demikilanlah yang mahu dijelaskan oleh Perdana Menteri dalam sidang khas Dewan Rakyat agar rakyat jelata khasnya mangsa-mangsa yang terjejas mendapatkan gambaran sebenar. 

Tidak benar bahawa Kerajaan Persekutuan lambat atau lembap bertindak, hakikatnya menurut Perdana Menteri suasana kelam kabut tercetus lebih kerana Kerajaan Negeri Selangor, dalam kes Lembah Kelang contohnya, gagal menguruskan kompleksiti banjir bandar dengan cermat dan baik.

Kelemahan dan kegagalan Kerajaan Negeri PH Selangor ini terserlah sehingga mengakibatkan Perdana Menteri sendiri terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Selangor. Perdana Menteri menyebut di dalam ucapannya di Dewan Rakyat: “Berikutan kelemahan yang dikenal pasti diperingkat negeri dan daerah (di Selangor) menyebabkan saya terpaksa campur tangan.”

Banjir ‘luar biasa’ ini menurut Perdana Menteri lagi juga berlaku di negeri-negeri lain umpamanya di Pahang, malah pada skala yang lebih besar dari Selangor. Tetapi kerana tidak seperti Selangor, Pahang punya jentera pengurusan banjir yang teratur dan bersiap-sedia, bencana di Pahang dapat diuruskan dengan lebih baik berbanding Selangor.

Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat adalah kronologi sebenar, sehingga membingitkan telinga bangku pembangkang yang lebih gemar bemain politik dan menuding jari.

Apapun rakyat kini dapat melihat dan mengiktiraf kesungguhan dan iltizam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri dalam menangani bencana ini dan mereka kini tahu bahawa kelemahan pengurusan Kerajaan Negeri PH Selangorlah antara punca utama kesengsaraan dan penderitaan mereka.

PH perlu jujur menerima kelemahan mereka dan segera belajar dari kesilapan itu agar nyawa dan harta benda rakyat tidak lagi terancam kiranya banjir seumpama ini berulang. 

Yang jelasnya pasti peristiwa bencana banjir ini akan menyedarkan rakyat khasnya di Selangor betapa penting kerajaan negeri itu seiringan dengan Kerajaan Persekutuan, jika tidak, bencana banjir pun boleh menjadi bahan politik.

Perkembangan besar yang kedua, adalah nasib yang menimpa blok terbesar parti pembangkang dalam PH iaitu DAP. 

DAP diperakui selama ini oleh para penganalisa dan pemerhati politik sebagai parti tunjang kekuatan dalam PH. Keupayaan parti yang dipimpin anak beranak Lim iaitu Kit Siang dan Guan Eng ini menguasai undi kaum Cina dan bukan-Melayu merupakan faktor penyumbang terbesar pada kemenangan PH dalam PRU ke 14 lalu.

Ada yang berani menyatakan bahawa tanpa DAP, PH jangan harap boleh menang besar. Kunci kekuatan PKR dan PAN sesungguhnya terletak pada DAP.

Tiba-tiba minggu lalu negara dikejutkan apabila pemuka-pemuka dalam parti ini bertindak keluar seorang demi seorang meninggalkan parti ‘roket merah’ itu. Ia bermula dengan bekas EXCO Pulau Pinang Danny Law veteran 35 tahun ahli DAP. Danny menyatakan beliau terpaksa keluar untuk cari hala tuju baru. Adakah DAP sudah kehilangan hala tuju?

Kemudian 2 ADUN DAP Sabah iaitu Justin Wong dan Calvin Chong pula serta seorang bekas Senator Adrian Lasimbang bertindak keluar parti atas alasan hilang kepercayaan pada pucuk pimpinan parti. Mereka mendakwa DAP juga hilang arah tuju perjuangan dan dilanda krisis kepimpinan yang serius. Dengan tindakan mereka itu DAP cuma tinggal 4 wakil di DUN Sabah.

Terkini ADUN Selangor (DUN Teratai) Bryan Lai yang sebelum ini memenangi kerusi DUN berkenaan atas tiket DAP dan bekas Ahli Parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi pula bertindak meninggalkan DAP dan menyertai Parti Warisan.

Sebelumnya DAP turut kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak. Di Melaka ia cuma menang 4 dari 8 kerusi ia miliki dalam PRU ke-14 manakala di Sarawak ia cuma menang 2 berbanding 7 kerusi DUN dalam PRN 2016.

Ternyata DAP berhadapan krisis yang besar dengan jumlah sokongan pengundi bukan-Melayu khasnya pengundi Cina terhadap mereka semakin berkurangan sebagaimana dalam PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini. 

Adakah DAP akan mampu bangkit, memperbaiki ‘roket merah’ nya yang semakin bermasalah itu, atau roket tadi akan tersadai menjadi besi buruk sesuai untuk dileburkan?

Jika DAP bermasalah, PH apatah lagi juga akan berhadapan masalah kerana DAP tulang belakangnya. Jika tulang belakang telah retak, tulang-tulang lain seperti PKR dan PAN apalah nasib agaknya?

Kedua-dua perkembangan besar ini menunjukkan rakyat akhirnya akan semakin rapat dan menghampiri ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’ sebagai satu-satunya tempat pergantungan buat mereka bagi meniti masa depan seterusnya.

Kerajaan ini berjaya dengan pengurusan di waktu bencana dan kewibawaannya kelihatan menggerhanai parti-parti blok pembangkang yang semakin layu dan berpecah.

Bersama kita mendukung ‘Keluarga Malaysia’, buang yang keruh ambil yang jernih.  – HARAKAHDAILY

PRN Johor: UMNO berbohong kata PAS tolak kerusi ditawarkan


Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ada pihak yang berbohong dengan mendakwa parti itu menolak kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Malah, menurutnya sehingga kini belum ada sebarang rundingan berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Johor itu.

“Jika ada pihak yang mendakwa PAS telah menolak kerusi yang mereka tawarkan kepada PAS atas sebab apa sekalipun, sesungguhnya dia telah berbohong,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau tidak menyebut pihak mana yang berbohong dan menawarkan kerusi itu, namun ia dipercayai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Sebelum ini, Hasni menerusi klip video yang dimuat naik dalam media sosial mengatakan UMNO Johor menawarkan empat kerusi kepada PAS tetapi ditolak oleh parti Islam itu.

Hasni mendakwa PAS lebih berminat terhadap tawaran 15 kerusi oleh Bersatu. Dakwaan ini dipercayai telah dibuat pada Mac tahun lalu.

Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengkritik PAS yang meminta semua kerusi Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) berbanding empat kerusi yang ditawarkan jika mahu bekerjasama dalam PRN Johor akan datang.

“Seingat saya semua kerusi yang BN kalah pada PRU14, PAS juga tanding, PAS pun kalah. Kesemuanya PAS kalah pada BN. Jadi apa logik yang dipakai tuntut kerusi tersebut PAS bertanding di 40 kerusi, semua kalah kepada UMNO (berdasar kiraan undi siapa tinggi) kecuali satu (DUN Bukit Pasir),” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata pembohongan itu bertujuan menimbulkan kebencian dalam kalangan parti terbabit.

Malah katanya dengan melakukan pembohongan itu pihak terbabit juga sedang menyemai bibit-bibit kebencian dan perpecahan dalam kalangan ummah.

“Berbohong tentang sikap PAS yang digambarkan sebagai tamak di hadapan jentera mereka sendiri tidak lain hanya bertujuan menimbulkan kebencian penyokong mereka kepada PAS.

“Jika mereka menyemai kebencian dengan bercakap bohong, adakah akan tumbuh pernyatuan? Tidak! Mereka sedang mengusahakan perpecahan,” katanya.

Ustaz ajak kawan tapi serang macam lawan: Shahril bidas Mokhtar Senik


Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan menegur sikap Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik yang menyerang UMNO, dan pada masa sama parti Islam itu ingin pula menjalin kerjasama.

Beliau juga mengingatkan PAS supaya tidak menyalahkan UMNO sekiranya kenyataan seperti yang dibuat Mokhtar itu akan menyempitkan ruang kerjasama kedua-dua parti pada masa depan.

“Namun, jangan salahkan UMNO jika kenyataan seperti Ustaz Mokhtar ini menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan.

“Hari ini (semalam), Ustaz Mokhtar Senik, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat keluarkan kenyataan menyerang UMNO.

“Setiap yang dikatakan pasti menyinggung hati ahli UMNO. Dan pelbagai lagi tuduhan, tohmahan dan ‘tunjuk ajar’,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Sambil mengingatkan bahawa UMNO tidak akan tunduk kepada tekanan parti luar, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda menegur Mokhtar supaya lebih cermat dan berhemah dalam memberi pandangan.

Menurutnya UMNO tidak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya.

“Sebab itulah kami sentiasa kerja kuat dan tak memandang remeh kemampuan parti lain. Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang UMNO apabila Ustaz Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, dalam isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kepimpinan tertinggi UMNO di negeri dan pusat – Pengerusi Perhubungan mahupun Timbalan Presiden – menyebut bahawa parti akan mengkaji dan memuktamadkan sebarang keputusan sama ada bekerjasama dengan parti lain atau tidak.

Mokhtar yang dilihat keras terhadap UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam menyifatkan parti itu telah kembali dirasuk sifat asal iaitu tamak kuasa dan rakus.

Menurutnya keghairahan UMNO semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri daripada Bersatu kepada UMNO, disusuli dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dan kini cuba menguasai Johor. Berita berkaitan

Susulan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditumbangkan Zahid dan 14 konconya tahun lalu, Mokhtar juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah memberi peringatan kepada rakan-rakannya supaya berwaspada dengan individu tersebut yang tidak disebutkan namanya.

Menurutnya langkah, fikrah, kata-kata dan karakter individu terbabit sudah lama menggambarkan individu itu akan mengkhianati kerajaan PN.

Mokhtar juga dilaporkan berkata beliau menyaksikan sendiri Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dipeluk oleh individu terbabit dan dia menyaksikan wajah pemimpin UMNO itu.

“Wallahi saat itu hati saya tidak percaya dengan kamu. Saat teman-teman saya memuji-muji kamu, saya kawal lidah agar tidak memuji sama. Maaf, hati saya tetap ragu dengan lirik wajah senyum sinismu,” kata Mokhtar.

Anwar naik angin pemimpin Amanah gesa berunding dengan Bersatu


Datuk Seri Anwar Ibrahim naik angin dengan cadangan pemimpin Parti Amanah Johor yang membuat gesaan supaya Pakatan Harapan (PH) membuka pintu rundingan dengan Bersatu.

Ketua Pembangkang itu nampaknya tidak mahu menerima cadangan supaya berunding dengan Bersatu yang dicadangkan beberapa pemimpin Parti Amanah Johor, ia walaupun menyedari peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tipis jika berlaku pertembungan banyak penjuru.

Anwar memberi alasan Bersatu bukan parti pembangkang dan menyatakan keyakinannya dapat menyatukan semua parti pembangkang yang sedia ada.

“Tak bangkit, kita kata pembangkang, Bersatu pembangkang?” soalnya selepas ditanya wartawan berhubung cadangan tersebut.

Anwar terdahulu mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Selain itu, seorang lagi bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman juga berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang, ia ibarat “serah tengkuk” kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua pemimpin tersebut berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran Dewan Undangan Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor pada Sabtu.

PRN Johor terpaksa diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala PH pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Tak bertanding PRN, Muhyiddin mempunyai banyak masa tumpu pengurusan jentera


Keputusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan memberinya banyak lebih masa untuk menumpukan kepada aspek pengurusan jentera parti bagi menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semalam mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandangnya selepas menang semasa Pilihan Raya Umum Ke-4 lalu.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri menjelaskan pengalaman yang dimiliki Muhyiddin dalam arena politik akan dapat dicurahkan sebaiknya kepada calon-calon yang akan bertanding dalam PRN Johor nanti.

“Bersatu Johor yakin, sebagai ahli politik dan pemimpin parti yang berpengalaman mengarahkan pengurusan pilihan raya kecil, PRN serta PRU, YB Tan Sri Muhyiddin mampu memberi kemenangan kepada calon-calon PN dalam PRN ini.

“Jadi inilah kesan positif tindakan YB Tan Sri Muhyiddin kepada Bersatu Johor dan akhirnya meraih kemenangan pada PRN Johor dan seterusnya pada PRU ke-15,” katanya dalam satu kenyataan.

Apabila tidak terikat sebagai calon dalam PRN, Solihan berkata Muhyiddin akan dapat fokus sepenuhnya dalam menguruskan jentera parti bagi menghadapi saingan semasa PRN Johor nanti.

“Tanpa terikat sebagai calon, mantan perdana menteri ke-8 itu boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

“Muhyiddin berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan UMNO yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas PRU-15 akan datang,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 22 Jan, memberi laluan kepada pilihan raya baru diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 9 Feb untuk memutuskan tarikh penting bagi pilihan raya termasuk tarikh pengundian

Isu lambang pun Anwar gagal satukan pembangkang, UMNO bakal menang mudah


Belum pun mula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah gagal menyatukan parti pembangkang untuk duduk mencapai persefahaman berhubung isu lambang.

Isu penggunaan lambang yang gagal diselesaikan sekaligus memperlihatkan betapa lemahnya Ketua Pembangkang tersebut, ia seakan Anwar bukan lagi seorang ketua yang dihormati parti-parti yang berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, ia mencerminkan sikap Anwar yang terlalu mementingkan diri sendiri walhal jika secara konsensus sepatutnya lambang rasmi PH yang dipilih untuk digunakan dalam PRN Johor kerana DAP dan Amanah masing-masing sudah bersetuju untuk kekal menggunakan lambang tersebut.

Hanya Anwar yang bertegas untuk menggunakan lambang PKR, sepatutnya keputusan majoriti yang menentukan hala tuju gabungan tersebut.

Bagaimanapun, Anwar hanya melihat kepentingan PKR berbanding kepentingan untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi melawan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bahkan Anwar seakan tidak berpuas hati apabila pandangan disuarakan supaya PH menimbang membuka pintu rundingan dengan Bersatu, bekas rakan parti dalam PH sebelum ini. Awal-awal lagi Anwar dengan nada tegas menolak cadangan tersebut.

Cadangan tersebut datang daripada pemimpin PH Johor sendiri, dua pemimpin parti Amanah sudah menyuarakan cadangan tersebut yang bertujuan mengelak episod kekalahan teruk di Melaka berulang lagi.

Nampaknya Presiden PKR itu masih tidak berpijak atas bumi yang nyata, realitinya jika berlaku pertembungan banyak penjuru seperti di Melaka sudah pasti UMNO akan memperoleh satu lagi kemenangan besar.

Alasan dangkal yang diberikan kononnya lambang PH tidak mempunyai nilai komersil untuk menarik sokongan pengundi adalah tidak masuk akal sekali, realitinya dua PRN di Melaka dan Sarawak menyaksikan PKR tewas teruk. Tiada satu pun kerusi dimenangi parti tersebut.

Jika alasan tersebut diberikan, adakah dengan keputusan dua PRN tersebut menunjukkan lambang PKR tersebut mempunyai tarikan untuk mendapat sokongan pengundi?

Tidak pasti Anwar membuat penilaian tersebut daripada sudut politik yang mana satu, tidak mustahil juga beliau masih termakan dengan nasihat anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

Keputusan dalam isu lambang ini juga merupakan cerminan episod sama yang berulang semasa di Melaka apabila Anwar berdegil untuk meneruskan strategi dengan meletak dua orang calon bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertanding atas tiket PKR.

Keputusan tersebut mendapat tentangan keras DAP, namun Anwar masih keras kepala dan membuat keputusan mengikut kepalanya sendiri sehingga akhirnya menyaksikan PKR tersungkur di Melaka.
Hasilnya DAP dan Amanah juga terkena tempias apabila kalah banyak kerusi yang dimenangi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam PRN Melaka lalu, PKR meletakkan calon paling ramai berbanding sekutunya dalam PH sebanyak 11 calon.

Berdasarkan daripada senario awal ini, PKR dijangka bakal meletakkan calon paling ramai di Johor seperti PRN Melaka tempoh hari dengan mengambil kerusi yang sebelum ini ditandingi calon Bersatu semasa berada dalam PH.

PKR yakin akan dapat menambah kerusi dengan melawan calon Bersatu, untuk rekod Bersatu memiliki 11 kerusi selepas PRU-14 lalu.

11 kerusi tersebut pasti akan diintai PKR yang berkeyakinan untuk merampasnya daripada Bersatu.

Perkara sama yang berlaku semasa PRN Melaka, Anwar pada mulanya yakin PKR akan dapat menewaskan Bersatu di kerusi yang ditandingi calonnya, ia bagaimanapun menyaksikan undi terpecah banyak ekoran banyak pertembungan tiga penjuru atau lebih dan akhirnya UMNO menjadi pemenang terbesar.

Lebih malang lagi, undi popular PH merosot daripada 51% kepada 36% sahaja (akibat kadar turun mengundi rendah) semasa PRN Melaka.

Dalam keadaan parti pembangkang tidak bersatu padu, tidak mustahil episod sama di Melaka bakal berulang di Johor, walaupun tanpa undi popular memihak kepada UMNO tetapi kemenangan besar masih menjadi milik UMNO.

Keangkuhan dan sikap keras kepala Anwar berkompromi demi satu misi untuk menidakkan kemenangan bakal membawa satu lagi malapetaka dan ia akan memberi kemenangan yang selesa kepada UMNO nanti dalam PRN Johor.

Mampukah PKR berjaya dengan logo sendiri di Johor?

MalaysiaNow

Penganalisis meramalkan parti itu sekali lagi bakal alami kekalahan teruk pada PRN Johor akan datang.

Pemerhati politik tidak yakin strategi PKR untuk menggunakan logo sendiri berbanding logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang akan mengubah nasib malang parti itu yang kalah teruk pada beberapa PRN yang diadakan sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.

Keputusan itu diumumkan oleh pemimpin PH dalam sebuah kenyataan ketika persepsi yang semakin meningkat dalam gabungan PH bahawa pemimpin PKR Anwar Ibrahim yang juga pengerusi gabungan dan calon perdana menterinya, adalah punca gabungan itu sukar untuk kembali berkuasa.

Seorang sumber dalaman DAP baru-baru ini memberitahu MalaysiaNow tentang rasa tidak puas hati berhubung “dominasi” yang berterusan oleh PKR yang terus menuntut peruntukan kerusi paling besar dalam setiap pilihan raya yang disertai gabungan itu.

“Tiga pilihan raya lepas, di Sabah, Melaka dan Sarawak, hanya menunjukkan bahawa peranan ‘abang besar’ PKR tidak lagi boleh diterima sekutu,” kata sumber itu.

Seorang pemimpin PKR Johor ketika dihubungi menafikan keputusan itu menunjukkan keretakan dalam PH.

“Langkah itu sudah lama dijangka. Kami yakin parti kami mempunyai kumpulan penyokong tersendiri di kawasan tertentu, itu sahaja. Tidak seperti DAP, ia tidak terlalu terancam dengan kehilangan sokongan daripada pengundi tradisinya,” katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

“Bagi Amanah pula, parti itu bergantung kepada ihsan DAP berhubung kerusi untuk bertanding, kerana Amanah bergantung kepada undi bukan Melayu untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).”

Beberapa jam selepas pengumuman tersebut, seorang pemimpin PKR mempertahankan tindakan parti itu menggunakan logo sendiri, mengatakan ia perlu menjarakkan diri daripada kerajaan PH yang berusia dua tahun pimpinan Dr Mahathir Mohamad, seorang tokoh yang tidak disukai penyokong kuat PKR.

Pada 2018, PH yang ketika itu turut dianggotai Bersatu, menggunakan logo PKR berbentuk mata bujur, selepas permohonan gabungan itu untuk mendaftarkan organisasi ditolak.

Gabungan PH secara rasmi didaftarkan sebagai parti seminggu selepas ia memegang kuasa pentadbiran persekutuan pada 2018.

Bagaimanapun, gabungan itu berpecah dua tahun kemudian susulan keputusan Bersatu untuk keluar, selain perpecahan dalaman PKR sehingga menyaksikan pemimpin utamanya keluar daripada parti itu.

Nasib malang menanti PKR di Johor?

Penganalisis yang dihubungi MalaysiaNow bersetuju tindakan PKR menggunakan logonya di Johor akan memakan diri, mengatakan parti itu sedang berdepan satu lagi kekalahan teruk pada PRN yang akan diadakan di negeri selatan tanah air itu.

PKR tewas di setiap kerusi yang ditandinginya pada PRN Melaka dan Sarawak akhir tahun lalu, sementara pada PRN Sabah setahun sebelumnya, parti itu hanya memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

Pemerhati politik James Chin berpendapat persepsi bahawa PKR menyebabkan ketidakstabilan politik masih wujud dalam fikiran pengundi.

Beliau berkata kekalahan parti itu di Melaka adalah satu hukuman terhadap peranan Anwar dalam mencetuskan PRN semasa pandemik.

Chin turut berkata langkah terbaru PKR untuk tidak menggunakan logo PH adalah tanda keretakan dalam gabungan tersebut, sambil menambah ia juga tidak dapat menarik pengundi yang lebih suka dengan kestabilan.

“Saya rasa Anwar sudah kehilangan hala tuju politiknya,” kata Chin kepada MalaysiaNow.

“Dia sudah salah membaca banyak perkara sejak kebelakangan ini dan saya fikir dia akan melakukan banyak kerosakan.”

Bagaimanapun, Chin berkata keadaan DAP juga tidak begitu baik, merujuk kepada kenyataan terbaru pemimpin parti itu yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

“Jadi, sudah pasti akan ada masalah di kawasan bandar,” katanya.

‘Masa untuk uji logo PKR’

Seorang penganalisis lain berkata keputusan PKR yang mahu bertanding tanpa logo PH adalah satu perkata yang membingungkan.

“Maksud saya, logo PH, tertulis ‘Pakatan Harapan’, apa yang tidak jelas lagi?” kata Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

“Sekarang anda kata ia bawa kekeliruan dan sebagainya. Hal ini benar-benar sukar untuk dipercayai.”

Oh berkata apa yang parti itu perlukan ialah “muhasabah diri” selepas kekalahan demi kekalahan dalam PRN.

“Saya rasa inilah masalah PKR. Mereka cenderung untuk menyalahkan kekalahan mereka terhadap orang lain dan bukan parti sendiri. Mereka tidak berdepan dengan masalah mereka secara jujur, sebaliknya cenderung menyalahkan rakan kongsi lain,” kata Oh sambil menambah jenama PH masih belum gagal.

Beliau berkata PKR sudah menyalahkan parti lain sejak kalah PRN Melaka, merujuk dakwaan pemimpinnya bahawa simbol parti itu yang berbentuk mata bujur lebih menarik dalam kalangan pengundi di sana daripada logo PH.

“Jadi, biarkan sahaja mereka uji (kekuatan logo parti itu) di Johor, dan mereka akan lihat sama ada logo mereka kuat seperti didakwa,” tambah Oh.

Oh mempersoalkan kerelevanan PH secara keseluruhan dan bukan ketidakyakinan pengerusinya terhadap gabungan itu.

Beliau berkata sekutu PKR, DAP dan Amanah dilihat “agak kecewa”.

“Anwar sebagai ketua gabungan harus memainkan peranannya sebagai penyatu dalam gabungan itu.

“Apa gunanya membentuk Pakatan Harapan?” soalnya.

Sementara itu, Chin yakin wujud pertelagahan dalam PH.

Walaupun terdapat dakwaan gabungan itu memuktamadkan peruntukan kerusi antara mereka, beliau berkata tiada butiran didedahkan.

“Ini bermakna masih banyak kerusi yang belum dimuktamadkan dalam PH. Ini mengejutkan kerana semua orang tahu PRN Johor memang akan berlaku.”

* Nur Shazreena Ali turut menyumbang dalam laporan ini.

Bersatu Johor kenal pasti pengganti Muhyiddin di DUN Gambir

 BERNAMA

Muhyiddin telah meminta agar kepimpinan Bersatu Ledang menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepadanya.

Bersatu telah mengenal pasti calon yang berkelayakan untuk bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Johor Mohd Solihan Badri berkata calon itu akan menggantikan Muhyiddin Yassin, yang mungkin tidak akan mempertahankan kerusi itu.

Beliau yang juga ketua Bahagian Bersatu Ledang berkata Muhyiddin telah meminta agar kepimpinan Bersatu Ledang, menyerahkan senarai calon yang berkelayakan kepadanya.

“Justeru saya sebagai ketua Bersatu Ledang telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan Muhyiddin di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,” katanya menerusi sebuah kenyataan.

Semalam, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu memaklumkan bahawa beliau mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada PRN Johor.

Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional berkata langkah itu diambil bagi menumpukan sepenuh masa kepada soal yang lebih utama di peringkat Parlimen dan pusat serta mengurus hal-hal berkaitan parti.

PAS nafi tolak tawaran kerusi daripada UMNO untuk PRN Johor

PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu menolak tawaran kerusi oleh UMNO kerana lebih tertarik dengan tawaran BERSATU yang dikatakan menawarkan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata setakat ini, belum ada rundingan atau perbincangan dibuat bersama UMNO Johor berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), apatah lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuh permuafakatan ini.

“PAS Johor berharap apa juga isu berbangkit dapat diperbincang secara ukhuwah melalui rundingan supaya hubungan yang terbina akan terus terjaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika mengulas video tular baru-baru ini memaparkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad mempersoal kejujuran PAS dalam MN selepas parti itu didakwa menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan dikatakan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada BERSATU.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi mengelak salah faham, andaian dan laporan mengelirukan di media sosial.

“PAS Johor juga menafikan pembabitan dengan menyokong calon Berjasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai (pada 2019) bahkan jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA ketika itu.

“Justeru, PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh permuafaka

“PAS Johor juga menafikan pembabitan dengan menyokong calon Berjasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai (pada 2019) bahkan jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA ketika itu.

“Justeru, PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh permuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya. – BERNAMA

Pas ajak berkawan tapi tak henti menyerang serupa lawan – Shahril

SHAHRIL HAMDAN

TINDAKAN pemimpin Pas yang menyerang UMNO secara berterusan menimbulkan pelbagai pertikaian ramai kerana bersikap seperti lawan berbanding kawan.

Terbaru, giliran anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mohktar Senik pula menggasak dengan kritikan-kritikan keras terhadap UMNO.

Tindakan Mokhtar itu mendapat perhatian Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang menyifatkan serangan tersebut sebagai tidak relevan.

“Jika hendak beri pandangan, eloklah dibuat secara berhemah. UMNO ialah parti sendiri yang akan buat keputusannya sendiri.

“Tiada halangan untuk parti lain beri pandangan tetapi biarlah lebih cermat dan tidak seperti mengajar UMNO apa yang kita boleh buat atau tidak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Shahril Sufian, anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan mengambil pandangan pelbagai dalam kalangan parti dan membuat ketetapan.

Begitupun, tegasnya, UMNO tidak akan sama sekali tunduk kepada tekanan parti luar.

“PAS juga parti politik yang ada cita-cita dan aspirasi. Itu hak PAS. UMNO tidak pernah menghalang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya.

“Sebab itu kami sentiasa kerja kuat dan tidak memandang remeh kemampuan parti lain. Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang UMNO apabila Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami,” katanya.

Mengulas mengenai Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor, Shahril Sufian berkata, kepimpinan tertinggi UMNO di negeri dan pusat akan memuktamadkan keputusan mengenai sebarang kerjasama dengan parti lain selepas melakukan kajian.

Tegas beliau, rancangan untuk bekerjasama dengan parti lain mungkin menjadi sukar sekiranya terdapat pemimpin yang bersuara sumbang terhadap UMNO.

“Jangan salahkan UMNO jika kenyataan seperti Mokhtar ini menyempitkan ruang kerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan,” katanya.

Mazlan jawab spekulasi keluar Bersatu esok


Spekulasi berhubung dakwaan bakal meninggalkan Bersatu akan dijawab Ketua Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang dalam sidang media esok.

Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya berkata akan membuat penjelasan berhubung khabar angin tersebut selepas didakwa mahu meninggalkan parti dan menyertai parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Tunggulah esok sidang media. Ya semuanya akan terjawab esok,” katanya menurut laporan media.

Satu sidang media khas dijadualkan akan berlangsung pada 2 petang esok di bangunan bersebelahan Pejabat Umno Johor dan Mazlan mengesahkan kehadirannya pada sidang media itu.

Menurut sumber, difahamkan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dijangka menyertai Mazlan dan turut hadir dalam sidang media esok.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin kuat terutama dalam kalangan ahli politik Johor mengaitkan bekas ADUN Puteri Wangsa dan bekas Ketua Bersatu Johor akan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Terdahulu, pada Isnin Mazlan menafikan akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor dan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mazlan meraih 37,545 undi bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, menewaskan empat pencabarnya iaitu Abd Aziz Tohak daripada BN, Abdullah Husin (PAS), Lim Yak Hong dan Ting Choon Hai (masing-masing Bebas).

Gabungan baharu di Johor?

MalaysiaGazette
BENDERA JOHOR
Bendera Negeri Johor. Foto MOHD ADZLAN

JOHOR BAHRU – Demi menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Johor, sesetengah pihak mula mengemukakan kemungkinan pembentukan gabungan politik baharu yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan juga MUDA.

China Press melaporkan, susulan pengumuman UMNO bahawa BN akan bertanding secara “solo” dan menolak kerjasama dengan parti lain, maka sudah timbul usul untuk menggabungkan parti-parti pembangkang untuk menghadapi UMNO.

Keempat-empat parti telah dihubungi mengenai cadangan itu dan mereka juga bersikap “terbuka” mengenai kemungkinan itu.

Menurut laporan, perbincangan semeja juga mungkin diadakan sekiranya empat parti tersebut bersetuju untuk mendalami isu kerjasama.

Sumber dari Bersatu berkata, pemimpin Amanah bersikap terbuka mengenai kemungkinan tersebut dan akan menyampaikan mesej berkenaan kepada dua anggota PH yang lain iaitu PKR dan DAP.

Sumber berkata, walaupun optimis dengan kemungkinan kerjasama untuk mewujudkan keadaan “satu lawan satu” dengan UMNO, tetapi rundingan masih perlu dijalankan untuk menyelesaikan perbezaan yang wujud antara PH, PN, Pejuang dan MUDA.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, MCA meletakkan sasaran untuk tidak balik dengan tangan kosong dalam pilihan raya di Johor.

Kejayaan MCA memenangi dua kerusi di Melaka telah menyuntik semangat kepada parti itu untuk mengulang kejayaan seumpama di Johor.

MCA mahu bertanding di 15 “kerusi tradisi”, selain mengintai tambahan kerusi yang ditinggalkan Gerakan.

MCA melihat enam kerusi sebagai berpeluang dimenangi iaitu Pulai Sebatang, Pekan Nanas, Yong Peng, Parit Yaani, Paloh dan Pemanis.

Walau bagaimanapun, MCA belum mendapat lampu hijau untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut memandangkan rundingan masih perlu diadakan dengan UMNO. – MalaysiaGazette

DISYORKAN UNTUK ANDA:

    BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT         

BN kaji kerjasama dengan Pas tapi akar umbi mahu bergerak solo – Mohamad

MGF1011021_PELANCARAN-MANIFESTO-BN_05
Mohamad Hasan

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan meneliti serta mengkaji secara terperinci mengenai kemungkinan kerjasama politik dengan Pas.

Bagaimanapun setakat hari ini, majoriti kepimpinan akar umbi di semua peringkat bersepakat supaya BN bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

”Walau bagaimanapun kita di peringkat pemimpin tertingi akan meneliti sebaik-baiknya pendirian akar umbi supaya setiap keputusan yang diambil akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” kata Timbalan Pengerusi  Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan BN di Bangunan UMNO Johor, di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri sama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Hasni Mohammad

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya tidak berpuas hati dengan tawaran empat kerusi sahaja oleh UMNO.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas berhasrat untuk mendapatkan kesemua kerusi yang gagal dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengulas mengenai pandangan bahawa BN sukar mendapat majoriti dua pertiga DUN jika bergerak solo, Mohamad berkata, ia sebenarnya bergantung kepada kekuatan jentera parti.

”Kerjasama antara parti BN itu penting bukan bawa haluan masing masing, UMNO dengan UMNO, MCA dengan orang MCA dan MIC dengan MIC.

“Kita perlu bergerak sebagai satu parti yang besar kerana di Johor dan negeri lain memang ada komposisi kaum di setiap zon, itu memang ada. Saya yakin jika dibuat dengan baik, kita boleh mencapai kemenangan jika diberi kepercayaan,” tegas beliau.

Ditanya adakah perjumpaan pagi tadi menyentuh calon PRN, beliau menidakan perkara itu.

Sebaliknya, Mohamad berkata, pertemuan tersebut untuk memberi semangat kepada parti-parti komponen untuk menggerakkan jentera BN bagi hadapi PRN nanti.

”Kata-kata semangat oleh Pengerusi BN dan Hasni adalah penting untuk pastikan gerak kerja jentera BN berfokus. Masing-masing perlu tahu apa hendak dilakukan agar tidak ada kekeliruan sesama sendiri,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

PRN Johor: Pas solo atau tidak, tunggu hari penamaan calon

MGF25012022_MAJLIS-ZAKAT-KORPORAT-8
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Zakat Korporat 2022 di Hotel Dorsett Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN

PUTRAJAYA – Keputusan Pas bertanding solo atau bersama parti lain pada Pilihan Raya Negeri Johor perlu ditunggu pada hari penamaan calon.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad juga tidak menolak akan mengadakan perbincangan dengan parti lain berhubung kerjasama dalam PRN itu.

Namun beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, parti itu tidak perlu terburu-buru kerana tempoh PRN masih jauh lagi.

“Tunggu penamaan calon nanti, Pas solo atau bersama. Insya-Allah (perbincangan) kerana lambat lagi PRN.

“Kita mesti bersatu di kalangan semua parti-parti orang Islam di negara.

“Dan Pas tetap bercakap tentang penyatuan kepada orang Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Korporat Zakat 2022 Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Idris diminta mengulas hasrat Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding secara solo pada PRN Johor dan yakin mampu memperoleh kemenangan dua pertiga majoriti.

Malah gabungan parti politik itu yakin tidak perlu menjalin kerjasama dengan parti lain dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, gabungan parti politik itu akan bertanding di semua 56 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

PRN Johor: Pas tunggu analisis dan kajian dahulu

MGF01022020_Sidang-Media-Dewan-Pemuda-PAS-Malaysia_11
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas belum membuat keputusan muktamad sama ada akan bertanding atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketika ini, parti itu masih menunggu analisis dan kajian, sebelum menetapkan keputusan.

Ketua Penerangannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas mengambil kira analisis situasi politik di negeri itu.

Kita dalam proses membuat analisis daripada laporan PAS Johor dan juga kajian di lapangan sebelum kita menentukan keputusan-keputusan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan PAS tidak mempunyai peluang untuk memiliki kerusi di Johor, kata Ir Khairil Nizam, menang atau kalah hanyalah adat dalam pertandingan pilihan raya.

“Apa yang lebih penting adalah keberkesanan dan kesediaan jentera Pas untuk menghadapi PRN Johor dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka berlaku lebih awal.

“Kita bukan hanya berbicara mengenai PRN Johor, kita juga berbicara mengenai PRU ke-15 yang mungkin akan berlaku lebih awal daripada dijangkakan.

“Jadi, menang atau kalah dalam pilihan raya itu biasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan UMNO pada PRN Johor.

Beliau berkata, Pas akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat.

“Komitmen kita sebenarnya dengan UMNO dan lain-lain parti masih lagi berjalan dan kita harapkan mampu mengadakan kerjasama yang baik dalam konteks politik,” kata Tuan Ibrahim.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dengan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu lalu, selepas menandatangani watikah pelantikan pembubaran DUN Johor, sekali gus memberi laluan kepada PRN.

Kerajaan negeri itu sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi melibatkan UMNO 14 kerusi, MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu), manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – MalaysiaGazette

BN bincang jentera PRN Johor

zahid
Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO hadir pada Majlis Pertemuan Pengerusi BN bersama MCA dan MIC di Bangunan UMNO Johor, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Semua parti kompenan Barisan Nasional (BN) Negeri Johor mengadakan pertemuan bersama pucuk pimpinan tertinggi hari ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di perkarangan Dewan Badan Perhubungan UMNO Jobor di Jalan Yahya Awal kira-kita jam 11 pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Turut kelihatan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon.

Difahamkan pertemuan itu bagi mengemas kini persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Selain, BN juga akan membincangkan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi nanti.

Susulan itu, pemimpin tertinggi BN akan mengadakan pertemuan bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada petang ini.

Malam tadi, Ahmad Zahid dan Mobamad mengadakan pertemuan bersama Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Pertemuan tertutup itu difahamkan diadakan di kediaman rasmi Hasni di Saujana. -MalaysiaGazette

UMNO akur Perlembagaan, tidak tamak kuasa – Ku Nan

discharged acquitted Ku Nan Tengku Adnan Tengku Mansor free conviction Tadmansori Holdings Aset Kayamas Chai Kin Kong corruption conviction
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – UMNO menolak dakwaan negatif terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, semua dakwaan negatif itu tidak benar kerana UMNO tetap akur dengan Perlembangaan dan yakin dengan keluhuran undang-undang.

Katanya, usaha memburukkan UMNO dan BN kini semakin rancak bertebaran, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Macam-macam dakwaan terhadap UMNO dan BN. Kononnya tamak kuasa, mahu menyusahkan rakyat dan hendak lepaskan ‘kluster mahkamah’.

“Semua dakwaan itu tidak benar. Kita tetap akur dengan Perlembangaan dan yakin dengan keluhuran undang-undang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan seorang pemimpin Pas, kononnya UMNO seperti kembali dirasuk sifat asalnya, iaitu tamak kuasa dan rakuskan kerusi apabila menawarkan empat kerusi kepada parti itu sekiranya mahu bekerjasama dalam PRN Johor.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik itu dilaporkan mendakwa, kemenangan UMNO dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini juga hasil bantuan dan pertolongan Pas.

Menurut Tengku Adnan, PRN Johor ini adalah peluang untuk rakyat menentukan pemimpin sebenar berdasarkan kepada pentadbiran kerajaan negeri yang lalu iaitu antara BN sebelum PRU14 kemudian PH, PN dan kembali semula kepada BN.

Katanya, mandat sepenuhnya penting bagi meneruskan pentadbiran dalam kerajaan negeri kerana itu UMNO dan BN kembalikan kuasa kepada rakyat melalui PRN.

“Biarlah rakyat memilih dan mana-mana parti politik yang berhasrat untuk bertanding, tunggulah pengumuman dari SPR nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, UMNO dan BN mahukan kerajaan yang stabil iaitu mempunyai mandat penuh secara demokrasi kerana akan dapat merencana usaha pembangunan dan kemajuan secara mutlak tanpa berdepan dengan tentangan ideologi berbeza pihak lain.

Tengku Adnan turut meminta semua pihak berfikir secara rasional, bukan terpengaruh dengan agenda jahat untuk memburukkan UMNO dan BN. – MalaysiaGazette

PRN Johor: Keputusan Muhyiddin tak bertanding beri kelebihan kepada PN

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

JOHOR BAHRU – Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka memberi kesan positif kepada kempen Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, tanpa menjadi calon membolehkan Muhyiddin tidak perlu berkempen hanya untuk satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi sahaja.

“Jika Tan Sri (Muhyiddin Yassin) tidak bertanding dalam PRN Johor sebenarnya satu kelebihan kerana beliau akan mempunyai banyak masa untuk perkukuh peluang PN.

“Saya yakin dengan kepimpinan dan pengalaman Tan Sri menghadapi pelbagai pilihan raya sebelum ini, kita akan mampu beroleh kemenangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan  tidak akan mempertahankan kerusi DUN Gambir dalam PRN Johor dan akan menyerahkannya kepada tokoh lain.

 Sementara itu, Mohd. Solihan memberitahu, kepimpinan pusat telah membuat keputusan agar kerusi DUN Bukit Gambir diserahkan calon daripada Bersatu Bahagian Ledang.

“Kami sudah mempunyai calon yang bersesuaian dan diterima ahli akar umbi dan juga penduduk setempat di Bukit Gambir.

“Kami percaya calon berkenaan akan dapat menyambung khidmat yang dibuat Tan Sri selain turut memberi nilai tambah kepada penduduk setempat,” katanya.- MalaysiaGazette

Kadang-kadang rasa seperti anak tiri dalam parti sendiri – Mazlan

4EDAB2F0-5F78-4A2E-ACCE-7127213A7395-e1643187762198
Mazlan Bujang

JOHOR BAHRU – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang hari ini memberi bayangan dirinya berkemungkinan besar akan keluar parti.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu bagaimanapun akan mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media khas esok.

“Saya nak lihat kemajuan dan pembaharuan untuk negeri Johor, saya perlukan itu.

“Kadang-kadang terasa seperti dianaktirikan dalam parti sendiri. Semua tunggu esok. Sidang media kita adakan esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin kononnya beliau akan keluar Bersatu dan menyertai parti lain.

Selain itu, dua lagi ADUN Bersatu lain difahamkan turut mengikut jejak Mazlan dan akan menyertai sidang media khas esok.-MalaysiaGazette

Bertanding solo bukan tamak tapi maruah – Nur Jazlan

MGF24012018_MAJLIS-KESYUKURAN-JABATAN-SUKARELAWAN-MALAYSIA-RELA10
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Pendirian UMNO Johor untuk bertanding secara solo sepatutnya tidak mencetuskan rasa tidak puas hati kepada Pas.

Ini kerana parti itu ‘tidak pandang’ UMNO pun selepas menyatakan pendirian untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, baik pemimpin atau akar umbi Pas tidak boleh mengeluarkan kenyataan seolah-olah parti itu ‘dimangsakan’ oleh UMNO.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau mempertahankan keputusan UMNO negeri untuk bertanding solo pada PRN Johor adalah demi kebaikan parti itu.

“Dulu UMNO dilihat macam terhegeh-hegeh, menginding-nginding mempertahankan Muafakat Nasional (MN). Tapi Pas beri macam-macam alasan, tak mengapalah.

“Disebabkan sikap berterusan Pas itu, UMNO Johor berpandangan lebih baik bertanding solo seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Ini bukan soal tamak kuasa ke apa tapi ini soal maruah. Dalam politik perlu ada pendirian yang teguh, pendirian tidak boleh goyah,” katanya.

Beliau percaya keputusan UMNO tidak akan dikecam rakyat bahkan penyokong Pas sendiri kerana selama ini mereka sendiri dapat melihat bagaimana Pas main tarik tali dengan UMNO yang berusaha memperkukuhkan MN tetapi Pas memilih untuk bersama pihak lain.

Lagi pun beliau berpandangan, tidak relevan Pas untuk bekerjasama dengan parti itu pada PRN Johor selepas mereka ‘meninggalkan’ UMNO semasa PRN Melaka walaupun ketika itu UMNO menawarkan Pas sebanyak lima kerusi.

“Tapi mereka pilih untuk tidak bersama UMNO, jadi tidak ada bezanya PRN Melaka dan PRN Johor,” tambahnya.

Nur Jazlan menambah, kerjasama dengan mana-mana parti menghadapi PRN Johor bukan keutamaan UMNO lagi kerana dalaman parti itu di peringkat negeri cukup mantap dan bersatu hati.

Disebabkan itu, fokus UMNO pada PRN kali ini mahu mendapatkan mandat rakyat bagi memulihkan semula Johor dari aspek pembangunan dan ekonomi khasnya demi memastikan kesejahteraan jangka panjang rakyat terjamin.

Selama empat tahun, sudah cukup lama Johor ‘buang masa’ dengan pelbagai karenah politik yang akhirnya tidak membawa apa-apa faedah pun kepada rakyat dan negeri, tegasnya. – MalaysiaGazette

PH muktamad pembahagian kerusi, PKR guna logo sendiri

MGF30032019_BENDERA-PH-PRK03
Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk memuktamadkan keputusan pengagihan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk memuktamadkan keputusan pengagihan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kata sepakat antara ketiga-tiga parti komponen PH itu telah dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan oleh Majlis Presiden PH hari ini.

“Majlis Presiden PH juga memberikan penghargaan kepada pasukan rundingan kerusi yang masing-masing diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dari PKR.

“Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng dari DAP dan Aminolhuda Hassan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah dari Amanah,” katanya.

Mesyuarat tersebut juga mencapai persetujuan sebulat suara mengenai penggunaan logo pada pilihan raya tersebut.

Katanya, logo PH akan digunakan oleh parti komponen DAP dan Amanah sementara PKR pula akan menggunakan logo sendiri.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut mengulangi pendirian untuk meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Katanya, kerjasama itu akan akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani PRN Johor nanti.-MalaysiaGazette

BN bukan ‘main-main’ nak PRN – Tok Mat

MALAYSIA POST

BN bukan ‘main-main’ nak PRN – Tok Mat

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang sah dan memiliki majoriti.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno menjelaskan ini kerana banyak pihak mempersoal kesahihan kerajaan negeri sedia ada, selain majoriti tipis dimiliki BN yang turut disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN).

“Inilah tujuan utama mengapa PRN Johor diadakan… kerana kita nak mengembalikan mandat kepada rakyat supaya kerajaan negeri tidak lagi dipersoalkan kesahihannya.

“Tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan yang diberi mandat itu lebih penting, kita bukan main-main nak adakan PRN di Johor, tetapi ia perlu diadakan kerana sering dipersoalkan kesahihannya.

“Sebab itu kita serah kepada rakyat Johor pilihlah kerajaan yang dapat mandat dan majoriti yang baik, kita tak boleh ada kerajaan yang sentiasa diugut dan tiada masa sepenuhnya untuk agenda membangunkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perjumpaan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN Johor di bangunan Umno di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Mengulas majlis itu, Mohamad berkata ia perjumpaan mesra untuk memberi semangat kepada jentera BN bagi menghadapi PRN.

Menurutnya, gerak kerja jentera yang tersusun amat penting terutama bergerak secara berpasukan sesama parti komponen.

“Kita tidak mahu jentera bergerak berasingan, Umno bawa diri sendiri, begitu MCA dan MIC. Kita mahu semua jentera bergerak secara berpasukan,” katanya. – Malaysiapost

Pengundi Johor perlu pilih calon muslim wibawa, pejuang agenda umat

Athirah Huda Zalhe

Bebas pengaruh asing, angkat Malaysia sebagai negara tamadun Melayu

BANGI – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabtu lalu.

Bahkan, tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Johor juga bakal diketahui tidak lama lagi sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) selesai mengadakan mesyuarat khas 9 Februari ini.

Atas dasar itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – selaku badan pendesak yang prihatin kepada kepentingan Islam dan Melayu – menggesa pengundi muslim di Johor membuat pilihan bijak dengan memilih wakil rakyat yang berwibawa pada PRN nanti.

Ketua Biro Komunikasi Korporat dan Multimedia ISMA, Norzafry Norhalim berkata, calon muslim yang bakal dipilih mestilah memenuhi kriteria wibawa seperti mengangkat agenda Islam dan aspirasi Perlembagaan di Parlimen, memperjuang agensi Bumiputera, berintegriti, cekap serta mahir dalam urus tadbir.

Katanya, calon berkenaan juga mesti bebas daripada pengaruh asing, selain mempunyai agenda perpaduan umat dan rakyat, serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara tamadun Melayu.

“ISMA melihat perkara ini penting supaya dapat meramaikan pemimpin muslim yang akan lantang bersuara dan berani mempertahankan segala kepentingan umat Islam.

“Dengan pemimpin muslim berwibawa yang ramai ini, pasti dapat menjadi suara yang akan menyatukan umat Islam agar segera duduk semeja, berunding, berbincang dan bersepakat demi menjaga hak dan kepentingan umat Islam tanpa mengira blok kepartian sama ada UMNO, PAS Amanah, PPBM dan PKR,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, PRN Johor juga bakal berdepan dengan 700,000 pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun apabila Akta Undi 18 telah diwartakan.

“Perkara ini pastinya menjadi cabaran kepada negara dalam landskap politik, sama ada pengundi muda ini dapat membuat keputusan berdasarkan fakta atau hanya mengikut emosi.

“Justeru, ISMA menyeru kerajaan supaya menggiatkan usaha untuk mendidik generasi muda mengenai politik matang yang bukan berasaskan blok kepartian dan perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

PRN Johor: Mana-mana parti jangan terlalu awal yakin mampu menang besar

Athirah Huda Zalhe

Bilangan pengundi automatik beri ancaman, cabaran utama pada UMNO dan PAS

BANGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat sebagai ‘ibu’ kepada semua PRN kerana berdepan pelbagai kemungkinan termasuk pembabitan 749,953 pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas.

Terdapat perbezaan ketara antara PRN Johor dengan tiga PRN sebelum ini, khususnya dalam konteks kebarangkalian UMNO untuk menang dengan majoriti dua pertiga adalah rendah.

Ini termasuk isu kerjasama politik UMNO dengan PAS dan masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri asal Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya.

Atas sebab itu, mana-mana parti politik yang menyertai PRN Johor tidak boleh terlalu awal dengan yakin mengisytiharkan bahawa mereka mampu menang mudah dan besar, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub. 

“Kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara dan negeri, Johor satu-satunya negeri yang berhadapan 749,953 pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas dalam PRN kali ini. 

“Bilangan pengundi automatik ini membawa ancaman dan cabaran utama kepada parti konservatif Melayu seperti UMNO dan PAS yang kedua-dua diakui masih belum terbuka menerima pembabitan anak muda serta mengarusperdanakan aspirasi belia dalam perjuangan dan organisasi masing-masing,” katanya. 

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Tawfik percaya sekiranya persepsi pengundi automatik tidak ditangani dengan baik, sebuah persekitaran politik baharu berpotensi muncul bagi menggantikan praktik politik lama yang masih berpegang kukuh kepada kronisme, penaungan politik dan rasuah yang ditolak sepenuhnya kelompok pengundi berkenaan.

“Pelbagai kemungkinan boleh tercetus dalam PRN Johor. Misalnya tidak ada sebuah parti mungkin memiliki majoriti bagi membolehkan pembentukan kerajaan.

“… selain wakil rakyat dipilih dalam PRN berkenaan mungkin perlu meninggalkan parti dan membentuk gabungan kerajaan negeri baharu merentasi sempadan parti politik yang mereka wakili,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mohammad Tawfik berkata, pengaruh PAS di Johor juga tidak boleh diketepikan kerana pernah menewaskan calon daripada UMNO-BN secara solo di DUN Bukit Pasir dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dengan majoriti 1,883 undi.

“Sudah pasti gelombang perubahan politik, pergolakan politik tempatan dan kemampuan PAS meningkatkan pengaruhnya di kawasan DUN Bukit Pasir dalam PRU14 tidak boleh dipandang remeh.

“Meskipun PAS pernah memenangi dua kerusi DUN di Johor (Sungai Abong dan Maharani) dalam PRU12, persekitaran politik ketika itu lebih memihak kepada BN berbanding gelombang politik terbesar dalam sejarah negara yang memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam PRU14.

“Maka, kemenangan PAS di Bukit Pasir dalam PRU14 lalu lebih ‘gentleman’ ketika gelombang politik terbesar membadai Johor dan parti itu bertanding secara solo,” katanya.

PRN Johor: Pengundi muda tentukan kemenangan parti?

Siti Hafidah

Rata-rata pengundi atas pagar masih tiada nilai kesetiaan

BANGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dianggap sangat penting untuk dijadikan indikator dan cerminan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini kerana, buat kali pertama dalam sejarah ia membabitkan pengundi automatik berusia 18 tahun ke atas, yakni kemunculan kuasa politik golongan muda di negara ini.

Ekoran itu, timbul persoalan parti politik atau calon mana yang menjadi pilihan pengundi muda ini.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, calon pilihan raya – golongan muda – sering cenderung untuk mengundi calon daripada kelompok rakan sebaya mereka atau calon muda.

Justeru beliau yakin, parti yang dilihat cenderung untuk mengemukakan calon baharu dan muda akan berpeluang mendapat sokongan daripada pengundi berkenaan.

“Dalam PRN Johor ini akan menyaksikan pertambahan signifikan jumlah pengundi baharu sebanyak 30 peratus, iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Ini jelas memperlihatkan cabaran kepada semua parti bertanding. Parti mana yang berjaya menarik minat pengundi muda, parti itulah yang akan memenangi PRN Johor,” katanya menulis di Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau yakin, kemasukan pengundi muda ini akan mempengaruhi corak pengundian dan kemenangan sesuatu parti.

“Persoalan seterusnya adalah bagaimana parti politik boleh memenangi hati dan minda golongan muda ini yang rata-ratanya pengundi atas pagar dan masih tiada nilai kesetiaan kepada sesuatu parti.

“Tiga perkara utama harus dilihat iaitu isu, kaedah kempen dan calon pilihan raya.

“Apakah isu diminati golongan muda? Isu seperti peluang pendidikan dan ekonomi seperti peluang pekerjaan harus dirangka dalam manifesto parti kerana ia akan dapat menarik sokongan golongan muda,” katanya.

Selain itu, isu rasuah dan hala tuju negara juga penting kerana golongan ini mahu melihat masa depan lebih terjamin dan negara bebas rasuah.

Mohd Azizuddin berkata, bagi menarik minat mereka terhadap parti politik, kaedah kempen melalui saluran media sosial adalah sangat penting khususnya TikTok dan Instagram.

“Wacana hal ehwal semasa banyak diperdebatkan di ruangan itu,” katanya.