Ke hadapan Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar yang dihormati.
Saya menulis kepada YAB di akhir bulan Ramadan dengan penuh pengharapan bagi melahirkan kebimbangan dan keprihatinan saya berkaitan isu pembangunan di negeri Terengganu.
Alhamdulillah, setelah sekian lama berjuang, impian rakyat Kuala Nerus yang dibawa oleh ayah saya sejak 2006 untuk menyaksikan sebuah jambatan baru penghubung antara Tanjung ke Seberang Takir akhirnya dapat direalisasikan.
Tidak dinafikan dengan adanya jambatan ini, Seberang Takir dan Kuala Nerus tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan negeri. Bagaimanapun, dari satu sudut lain, kewujudan jambatan ini mengundang kebimbangan saya berkenaan nasib kampung Melayu warisan yang masih wujud di Seberang Takir khususnya.
Saya bimbang Seberang Takir akan ditimpa nasib yang sama seperti Kuala Terengganu. Hari ini kita dapat melihat Kuala Terengganu kehilangan nilai aslinya. Atas nama pembangunan, kampung Melayu seperti Kampung Lorong Jamil, Kampung Tanjung, Kampung Ladang Tok Pelam, Kampung Daik dan banyak lagi lenyap diratah arus pembangunan.
Umum mengetahui kampung-kampung di Kuala Terengganu ini mempunyai nilai warisan hidup, seperti Kampung Ladang Tok Pelam yang terkenal dengan kraf pembuatan tembaga. Rumah-rumah kampung tersebut juga gah dengan ukiran kayu yang amat halus dan tinggi nilai seninya sekali gus mempamerkan kegeniusan budaya dan pemikiran Melayu.
Sebagai generasi baru, saya hanya sempat melihat sekelumit keindahan kampung-kampung ini. Sering diceritakan kepada saya oleh Tok tentang keunikan rumah moyang saya di Lorong Jamil yang dirujuk sebagai Rumah Gedong.
Walaupun ia diceritakan secara lisan kepada saya melalui sumber pertama, namun saya tidak dapat menggambarkan kemegahan rumah tersebut di dalam benak saya. Bagaimana pula dengan generasi selepas saya? Bagaimana untuk saya ceritakan sesuatu yang saya sendiri tidak fahami kepada anak-anak dan cucu saya?
Akhirnya, cerita tentang kehebatan kampung-kampung di Kuala Terengganu hanya menjadi mitos.
Apa yang menyedihkan lagi, kampung-kampung ini digadaikan untuk pembangunan yang tidak diperlukan rakyat dan kehendak pasaran, sekali gus membawa kerugian kepada kerajaan yang akhirnya terpaksa mengambil alih premis kosong tersebut yang tidak diguna pakai.
Saya sebenarnya iri hati melihat Kampung Cina yang berdiri megah di pesisir pantai Terengganu.
Tidak ada seinci tanah Kampung Cina ini diganggu oleh pembangunan dan untuk apa-apa tujuan sekali pun. Malah, ia sering ditambah baik sehingga wujudnya Pulau Warisan sebagai sambungan kepada kampung itu. Tidak dapat dinafikan kampung Cina ini juga mempunyai keunikan yang tersendiri.
Anehnya, mengapa kampung-kampung Melayu yang tidak kurang hebatnya dianaktirikan? Mengapa rumah-rumah dan pusat perniagaan orang Melayu tidak boleh dikategorikan sebagai tapak warisan dunia oleh Unesco? Mengapa pembangunan ini tidak boleh dilakukan di tempat lain tanpa mengganggu gugat perkampungan Melayu?
Saya berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Di sana saya melihat bangunan dan rumah lama dipelihara tanpa mengundang cela pada imej perbandarannya. Malah, bangunan ini tidak boleh diubah sedikit pun seni bina luarannya. Sebagai contoh, di London, kota-kota lama mereka dikekalkan dengan ciri tradisional tetapi bangunan moden dibangunkan di kawasan lain seperti Canary Wharf. Begitu juga dengan di Bosnia yang baru sahaja mengecap kemerdekaan pada 1992.
Mereka dapat mengekalkan bandar lama mereka, Old Sarajevo sambil membangunkan Novo Sarajevo di kawasan baru.
Hal ini mewujudkan satu keadaan geografi yang sangat menarik dan unik sekali gus memperbesarlebarkan garis wilayah sesebuah bandar. Tanpa melangkau jauh, perbandaran Sungai Petani turut mengekalkan bangunan bercirikan Moor di kawasan bandar lamanya, sambil membangunkan perbandaran baru di sebelah utara.
Saya turut tersentuh dengan berita Pasar Besar Kedai Payang yang berusia lebih 51 tahun bakal menyembah bumi. Bangunan yang sarat dengan nilai sejarah ini turut dimangsai oleh pelan pembangunan yang tidak sistematik.
Saya faham kerajaan berhasrat untuk menyediakan fasiliti yang mesra pengunjung dan peniaga. Saya juga faham kos bagi memelihara dan mengubah suai pasar ini sangat besar. Malah kosnya mungkin menyamai kos pembinaan sebuah pasar baru. Namun, adalah menjadi tanggungjawab sosial kerajaan untuk memelihara dan memulihara bangunan bersejarah ini tanpa sebarang kompromi.
Lihat sahaja Grand Bazaar di Istanbul yang wujud sejak 1730. Pasar ini sentiasa ditambah baik dan dimodenkan dengan keperluan semasa. Saya pasti kos untuk memelihara Grand Bazaar ini tinggi. Namun, kerajaan Turki memahami nilai sejarah yang terletak pada pasar ini dan komited untuk mengekalkannya utuh.
Pengalaman melawati tempat-tempat begini lah yang di impikan oleh pelancong dari luar negara.
Mereka tidak mahu melihat tempat yang moden menyerupai pembangunan tamadun mereka. Orang barat cukup memahami hal ini, lihat sahaja Oxford Street, kawasan yang sentiasa padat dengan pelancong untuk membeli-belah namun kerajaan Britain mengekalkan jalan 2 lorong di kawasan ini bagi mengekalkan identiti kawasan ini yang sesak. Apabila seseorang pergi ke pasar mereka tidak mengharapkan persekitaran sebuah pusat beli-belah.
Seandainya, termeterai perjanjian untuk pelaksanaan projek merobohkan Pasar Payang ini, saya mohon sebagai kerajaan yang prihatin dan dipilih oleh rakyat untuk membawa suara hati mereka,
agar dikaji semula. Saya tahu akan ada implikasi terhadap kegagalan mematuhi perjanjian ini tetapi ia merupakan satu risiko yang berbaloi untuk ditanggung.
Kita kehilangan banyak bangunan ikonik seperti Istana Kolam, Pasar Tanjung, Pasar Chabang Tiga dan lain-lain lagi atas nama pembangunan. Usahlah ditambah Pasar Payang ke dalam senarai ini.
Saya menulis kepada YAB kerana saya merasakan YAB seorang yang berfikiran terbuka. Mungkin pemimpin sebelum YAB tidak terkesan oleh nilai nostalgia dan sentimen di kawasan Kuala Terengganu ini kerana mereka bukan berasal dari tanah bertuah ini.
YAB juga mewakili rakyat Marang yang berdekatan dengan Kuala Terengganu. Tentunya YAB lebih memahami kebimbangan yang saya rasakan.
Cultural genocide di Terengganu bermula dari Kampung Lorong Jamil yang tergadai kepada YTL sekitar 1999 hingga 2004 semasa pemerintahan kerajaan PAS. Hal ini diteruskan oleh kerajaan BN yang mengambil alih pemerintahan dari 2004 hingga 2018. Saya tidak berniat untuk bermain politik, namun rakyat Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang dapat bertindak di luar tempurung politik. Isu ini bukan tentang BN dan PAS.
Isu ini bukan tentang perbezaan fahaman atau mazhab politik. Sebaliknya, isu ini mungkin wujud kerana masing-masing cuba mempamerkan kehebatan dalam membangunkan Terengganu.
Aspirasi saya dalam hal ini agar YAB dapat menjuarai hati rakyat dengan mengambil tindakan sewajarnya. Apalah ertinya sebuah tamadun tanpa nilai budaya dan warisan lampaunya.
*Aizat Fikri Nasir Fikri ialah bekas timbalan presiden Umno London.