HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2009

MARA perlu dirombak

Oleh Afrar Yunus


Apabila MARA atau Majlis Amanah Rakyat membeli komputer riba berharga RM84,000.00 bagi dua unit, maka ini merupakan satu tanggapan pertama dan senyum sinis masyarakat terhadap ketelusan kakitangan agensi ini dan ianya juga merupakan tamparan kepada kepimpinan di organisasi MARA sendiri

Sebelum ini ramai kawan-kawan pernah membangkitkan tentang kelemahan dan masa hadapan MARA.

Terutama sekali baru-baru ini apabila agensi ini dikatakan tidak cukup wang untuk disalurkan sebagai pinjaman atau biasiswa kepada pemohon yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Bukan setakat itu sahaja, MARA dikatakan mempunyai terlalu banyak unit-unit di bawah seliaannya. Ini termasuklah pusat latihan, skim keusahawanan, pembiayaan perniagaan, program teknikal, pusat industri, pusat pengajian, kolej, pengangkutan, pinjaman, unit saham dan sebagainya.

Ramai kawan-kawan yang pernah terlibat dengan pembelian unit-unit amanah di bawah MARA juga melahirkan kebimbangan.

"Dulu agensi ini boleh membayar dividen 30%-40% setahun. Sekarang tinggal 3%-6% sahaja. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kena lihat apa yang sedang dilakukan oleh pegawai-pegawai di bahagian ini" kata seorang pelabur.

"Apabila kita menelefon bertanyakan, pegawai-pegawainya tidak sensitif malah memberikan penjelasan sambil lewa" kata kawan tadi.

Jika boleh, keseluruhan MARA ini perlu dirombak. Ramai yang mengatakan kakitangan MARA menganggap agensi berkenaan sebagai milik elit. Banyak yang dirahsiakan di atas nama Bumiputera.

Sejak penubuhannya pada tahun 1966, sudah 22 Pengerusi dari kalangan ahli politik dilantik.

Jangan-jangan pengerusi dan kakitangan hidup secara elit, esok lusa MARA secara fizikalnya dimakan anai-anai.

Apa yang dikhuatirkan lagi ialah jika MARA merudum menyembah bumi. Pelanggan - pelajar, peniaga, pelabur, penyewa dan pembeli - tidak akan mendapat apa-apa faedah atau pulangan pun

http://alkerohi.blogspot.com/

Kenapa Bila Nak Keluar PKR Harus Burukkan Anwar

Oleh Mohd Sayuti Omar


MEDIA cetak arus perdana telah menyiarkan muka depan pengumuman Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR dan menyokong BN tiga hari lepas. TV juga turut sama melaporkan pengumuman Badrul Hisham itu. Biarpun berita itu berita utama tetapi nilai kejutan kepada orang ramai tidak seberapa.

Badrul Hisham umpama batu kecil yang dilempar ke dalam lautan luas. Ombak dan geloranya tidak ternampak malahan ikan kecil pun tidak terusik olehnya. Kenapa? Sebabnya sudah lama Adun ini hilang dan menyepikan diri daripada runag legaar PKR dan Pakatan Rakyat. Sikap itu tidak siapa mengetahui apakah punca-puncanya dan ia dianggap sebagai misteri.

Walaupun ada laporan mengatakan dia kurang senang dengan cara Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim tetapi orang ramai tidak jelas dari sudut manakah menyebabkan beliau kurang setuju dengan Khalid yang akhirnya membawa kepada tindakan keluar parti. Kalau kerana jenis Khalid yang kurang mesra alam itu dijadikan alasan, ia tidak menjadi persoalan. Sebab itulah stail kepimpinan Khalid yang rata-rata diperkatakan orang. Kalau hendak diikutikan stail Khalid banyak lagi orang PKT Selangor akan meninggalkan parti berkenaan.

Khalid memang tidak pandai berbasa basi dalam politik. Cara dia mentadbir Selangor itu bukan sebagai seorang MB tetapi lebih kepada sebagai CEO. Caranya mengurus Guthrie masih terbawa-bawa dalam tugasannya sebagai MB. Silapnya ialah tidak mahu berubah dari stail korporat kepada politik inilah menjadi masalah menyebabkan Khalid persis mahu menjadikan penyokong partinya seperti pokok-pokok sawit Guhtrie.

Tetapi kerana orang sudah maklum begitu, menyebabkan mereka yang faham tidak akan marah kepadanya. Bahkan menerima Khalid sebagai seorang MB yang efeksyen. Khalid menekan soal keberkesanan dalam pentadbirannya dan benci kepada kerenah politik. Dia lebih penting kepada kebaikan (ketelusan) kepada kerajaan Selangor tanpa mempedulikan rayuan dan eksplotasi politik. Kalau pembawaan ini satu kelemahan, maka itulah kelemahan Khalid. Tetapi soalnya apakah kita menyertai sesuatu perjuangan itu kerana peribadi seseorang atau kerana matlamat perjuangannya?

Khalid mengakui hakikat kelemahan dalam melayan kerenah politik ini. Dalam satu percakapan di rumahnya semasa majlis rumah terbuka raya beliau mengakui sendiri. Sepatah katanya berbunyi; orang politik tidak boleh shake hand, menjelaskan betapa beliau cemas dengan orang politik. Maksud kata-kata itu orang politik tidak boleh dipegang kepada ikrar dan janji berbeza dengan ahli perniagaan. Tambahnya kalau kita shake hand dengan bisnesman, itu dikira sudah jadi, tapi kalau dengan orang politik ia belum tentu lagi.

Apa yang boleh difahmi, dua dunia yang dihuni Khalid sangat berbeza antara satu sama lain. Politik adalah universiti kedua baginya. Kelamahan Khalid dalam politik ini sebenarnya tidak perlu dituturukan lagi. Bayangkan sebagai ahli koprat bertanding ketua cawangan Umno pun dia kalah. Dari sini kita boleh menilai sejauh mana kepintaran dan kelicitan Khalid dalam siasah.

Makanya kalau Badrul Hisham atau sesiapa mengetahui latar belakang dan gaya politik Khalid itu tidak akan marah kepadanya. Jika mereka mengambil sikap membakar kelambu kerana bencikan Khalid ia adalah silap. Tindakan itu tidak bijak. Justeru kepada saya dalam kes Badrul Hisham ini bukan disebabkan Khalid. Mustahil Badrul Hisham tidak memahami Khalid. Tetapi saya percaya ada perkara lain yang sedang menghambat diri Adun berkenaan.

Selain membaham Khalid, untuk menghalalkan tindakannya itu Badrul Hisham cuba melemparkan telor busuk kepada Anwar Ibrahim. Kononnya dia bertindak begitu kerana meragui moral Anwar Ibrahim. Penangguhan perbicara kes liwat Anwar menjadi punca beliau meragui kepada moral Anwar dan meninggalkan PKR. Betulkah?

Sekali lagi ini adalah alasan semata-mata. Hampir semua mereka yang berpatah arang berkerat rotan dengan PKR menjadikan Anwar sebagai penyebabnya. Kononnya moral Anwar menyebabkana mereka terpaksa menukar kiblat dan mengangkat syahadat semula dengan UBN. Bagi saya mereka yang mencari-cari alasan begitu adalah mereka yang lemah dan tidak mempunyai jiwa besar dalam perjuangan, dan tidak pun layak berada dalam parti pembangkang yang semestinya memerlukan orang-orang yang berjiwa besi dan berhati Bugis.

Sejak awal lagi orang-orang ini tidak layak menjadi pemimpin kerana mereka tidak melihat ke sekeliling mereka terlebih dahulu sebelum mereka mengambil biah untuk bersama PKR dan Anwar. Bukankah isu mengenai moral Anwar ini berlaku lama sebelum ini? Butalah mata zahir dan amti hati mereka kalau tidak mendengar kes-kes itu dan memahami konsiprator untuk memburukkan Anwar dengan isu rendah moral itu.

Sebelum terjebak dengan kes liwat dengan pembacuh kopi, Anwar sudah diheret ke mahkamah dengan kes yang sama. Malahan bagi setengah orang termasuk saya sendiri mendengar fitnah Anwar seorang homoseks sejak tahun 1991 lagi. Tetapi kenapa mereka ini (Adun yang keluar parti dan mereka yang 'mufarakah' kerana kes itu) bebuat demikian kebelakangan ini saja, setelah PKR mendapat kuasa bersama Pakatan Rakyat? Rahsia ini yang patut disedari semua orang.

Situasi inilah kepada saya mereka itu munafik dan sengaja mahu memburukkan Anwar bagi menghalalkan tindakan mereka. Sepatutnya kalau mereka penakut dan berjiwa kecil mengaku saja tanpa mencari helah dan alasan lain. Cara itu lebih dihormati kerana mereka gentlemen. Sikap menyalahkan orang, seperti pendendang yang tidak tahu menari mengatakan tanah tinggi rendah. Sikap ini adalah sikap munafikun.

Baik kepada Badrul Hisham ataupun mereka yang bermasalah hendak melarikan diri daripada PKR boleh keluar begitu saja tanpa mengata mana-mana pihak. Janganlah jadi seperti maling yang jahat lagi biadap sudahlah barang orang disapu hendak tinggalkan rumah di berak pula ditengah balai!
Kalaupun Anwar diburukkan ia tidak memberi bekas apa-apa. Semakin diburukkan semakin itu pula Anwar mendapat simpati. Logiknya mudah sahaja kalau negarawan seperti Dr Mahathir Mohamad gagal untuk menghancurkan Anwar apa tah lagi orang-orang seperti Badrul Hisham, Mohamad Azam Mohd Noor dan mereka yang sejenis dengannya.

Dalam Umno terumbang ambing kini saya percaya Umno tidak akan begitu memikir panjang untuk menerima sesiapa saja menyertai mereka termasuk juga mereka yang lemah jiwa moral busuk dan tidak ada kualiti dan sebagainya. Kerana apa kerana Umno benar-benar dalam keadaan terdesak apa pun jenis orang pun parti itu akan memeluknya.

http://msomelayu.blogspot.com/

Pemuda PAS Pantau Kegiatan Penyelewengan Kewangan Kerajaan Negeri

Wartawan Buletin


KEMAMAN – Pemuda PAS Terengganu memantau kegiatan Umno menyelewengkan kewangan kerajaan negeri dan berharap Umno dan Barisan Nasional akan tumbang bersama penyelewengan, salahguna kuasa dan kewangan rakyat negeri Trengganu.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata pihaknya menyedari Umno menggunakan kewangan rakyat dan kerajaan negeri Trengganu, yang diluluskan melalui perbekalan tambahan dalan Dewan Undangan Negeri September lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata sepatutnya kerajaan menggunakan kewangan tersebut memberikan latihan kepada anak-anak muda bukan untuk mengukuhkan Umno dengan program ’Dana Bakti Remaja’.

”Kita mendapat maklumat di Paka ada seratus lebih dan di Sura ada seratus lebih (anak-anak muda) dan kita sedar dimana-mana mereka memanggil anak-anak muda (menyertai program Dana Bakti Remaja),

”sepatutnya RM200 itu (dibelanjakan) untuk kerja yang lain, memberikan latihan, khidmat dan berbagai lagi, yang sepatutnya memberikan mereka (anak-anak muda) kemahiran dalam kerjaya, akhlak yang baik dan kefaham Islam” katanya ketika ditemui selepas ceramah sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) di Kampung Geliga, Chukai, disini kelmarin.

Beliau berkata pemuda PAS Terengganu mengambil tindakan bertemu dengan mana-mana pemuda yang hadir dalam kursus tersebut dan membuat tindakan susulan.

Katanya melalui pertemuan dengan anak-anak muda tersebut, pemuda PAS telah diberi jaminan, walaupun mereka mengambil wang dari Umno, mereka tetap akan menyokong PAS.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri memperuntuk RM23 juta untuk program yang diperkenalkan sejak tahun 2000 itu yang dahulunya dikenali sebagai wang ihsan.

“Setiap remaja yang terlibat yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima sebanyak RM200 seorang dan wang tersebut akan diagih-agih tidak lama lagi kerana borang-borang sudahpun diedarkan kepada remaja-remaja berkenaan,” katanya .

Khalid:Badrul Boleh Saman Jika Mahu

NADIA MOHSIN(TV SELANGOR)


Shah Alam -Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim tidak akan menghalang tindakan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdulllah untuk menfailkan saman malu terhap beliau.

Menurutnya jika mahu, Badrul juga boleh menfailkan saman terhadap beliau menggunakan wang Umno-Barisan Nasional.

“Dia boleh saman kalau dia nak,boleh pakai duit UMNO juga”,katanya berhubung isu ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu ini dalam satu sidang media selepas menghadiri Konvokesyen Universiti industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya pagi tadi.

Terdahulu,Badrul dalam kenyataannya berkata, beliau akan menfailkan saman terhadap Khalid yang kononnya menfitnahnya mengalami masalah mental.

Selepas keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi ADUN Bebas menyokong Barisan Nasional, Badrul dilihat cuba menunding jari menyalahkan kerajaan negeri dan parti di atas keputusan yang diambil.

Bagaimanapun, rakyat khususnya di Pelabuhan Klang sedia maklum dengan perilaku Adun berkenaan yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Tindakan keluar parti itu diambil selepas Khalid mengutarakan usul kepada PKR meminta Badrul meletakaan jawatan bagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masyarakat Pelabuhan Klang.

Walaupun dikecam hebat penduduk Pelabuhan Klang, badrul masih enggan melepaskan jawatannya.

Nelayan pantai timur tidak boleh pohon lesen musim tengkujuh

BERNAMA


PASIR PUTEH: Nelayan di negeri Pantai Timur yang memiliki lesen bot A (tradisional) boleh memohon lesen musim tengkujuh untuk menangkap ikan di kawasan perairan lebih dua batu nautika dari pantai secara bebas, mulai esok.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marim (PGM) Polis Marin Wilayah Timur, DSP Tan Cheng San, berkata sebelum ini mereka hanya dibenarkan menangkap ikan melebihi lima batu nautika dari pantai.

"Kebenaran itu diberikan sehingga tamat musim tengkujuh awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program gotong royong di Jeram Linang, di sini hari ini.

Seramai 60 anggota pelbagai pangkat menyertai program membersih sampah sarap yang membabitkan kawasan riadah pusat rekreasi berkenaan yang popular di kalangan penduduk Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun beliau berkata mereka yang menceroboh kawasan dua batu nautika dari pantai, akan diambil tindakan di bawah Akta Perikanan 1985, kerana kawasan itu hanya dikhaskan kepada nelayan kecil yang menggunakan sampan.

Tan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu termasuk pencerobohan nelayan asing yang dijangka mengambil kesempatan pada musim tengkujuh sebagaimana yang dilakukan pada setiap musim berkenaan.

Beliau berkata sebuah bot pantas RH21 yang mampu mengharungi ombak setinggi antara tiga hingga lima meter akan digunakan bagi menahan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan itu.

"Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan rakyat Thailand di sempadan dengan menyeberangi Sungai Golok untuk menyeludup beras dan barangan keperluan lain secara bebas ketika paras air sungai itu melimpah tebing," katanya.

'Kahwini ibu tunggal bukan untuk cukup 'kuota'

Salhan K Ahmad & S Pathwamathy


Golongan ibu tunggal yang perlu dibantu hendaklah diletakkan di bawah satu kategori khas supaya golongan lelaki tidak mengahwini mereka semata-mata untuk "mencukupkan kuota poligami", kata seorang pemimpin pertubuhan Islam.

Setiausaha agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang menyarankan demikian sebagai mengulas kenyataan exco wanita Kelantan, Wan Ubaidah Omar supaya wakil rakyat yang mengahwini ibu tunggal sebagai isteri tambahan diberi "anugerah."

Wan Ubaidah yang juga pengerusi jawatankuasa wanita, keluarga dan kesihatan Kelantan memberitahu sidang DUN kelmarin bahawa langkah itu dapat membantu ibu tunggal di bawah usia 60 tahun di negeri itu, yang kini lebih 16,500 orang.

Mengulas lanjut, Musa berkata pewujudan kategori tersebut akan dapat memastikan golongan ibu tunggal dibantu melalui poligami.

"Pertama kena tengok kalau ibu tunggal itu tidak bekerja atau sekiranya dia ada ramai anak yang perlu dibesarkan.

"Jadi mungkin kita boleh letakkan kategori itu untuk ibu tunggal, contohnya, yang berpendapatan rendah dan juga anak yang ramai, hingga lima orang anak.

"Inilah kategori yang perlu dibantu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Dianjurkan agama

"Kalau yang cantik, yang tak ada anak dan yang ada pekerjaan bergaji besar, itu sudah kategori lain," tambahnya.

Pendekatan itu, katanya, akan membolehkan masyarakat menghayati amalan Nabi Muhammad yang berkahwin dengan ibu tunggal.

"Antara semua orang isteri nabi, hanya Siti Aisyah seorang yang anak dara. Yang lain kesemuanya ibu tunggal, kebanyakannya yang kehilangan suami akibat perang," katanya lagi.

Sementara itu, ketua setiausaha Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM) juga menyambut baik saranan itu dan berkata amalan berkenaan sememangnya dianjurkan oleh Islam.

"Memandangkan poligami amat biasa di Kelantan berbanding negeri lain di Semenanjung... Ini bukan sesuatu yang memeranjatkan," kata Mohamad Raimi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan amalan tersebut perlu diberi perhatian dan perancangan khusus.

"Pasangan tersebut perlulah mendaftarkan perkahwinan dan walaupun ia sampai ke peringkat di mana pasangan itu perlu bercerai... ia mesti diselia," katanya lagi.

Jadi calon isteri

Menurutnya lagi, ia untuk memastikan poligami diamalkan dengan adil dan saksama kepada semua pihak.

Kebajikan ibu tunggal itu juga, katanya, mesti dipastikan walaupun mereka tidak dikahwini.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin juga mengalu-alukan cadangan tersebut dan menambah langkah itu sememangnya selari dengan ajaran Islam.

"Mula-mula mungkin orang akan hairan kerana penyelesaian yang dianjurkan ialah poligami, tetapi saya boleh faham sebab di sebalik cadangan ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Jika seorang lelaki ingin ambil seorang lagi isteri mengikut cara ini mungkin boleh dijalankan dan ia patut dipertimbang kerana jika seseorang ingin mengamalkan poligami, ia sepatutnya memberi keuntungan kepada seseorang," katanya.

Bagaimanapun, Zaid menambah keprihatinan terhadap kebajikan ibu tunggal ini tidak hanya perlu setakat menjadikan mereka isteri kedua, ketiga atau keempat tapi mereka perlu juga dipertimbang oleh lelaki yang baru hendak berkahwin.

PM: Sekolah satu aliran dilaksana jika dipersetuju rakyat

BERNAMA


Kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensiviti kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan.

Beliau berkata perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih.

"Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan perdana menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB di ibunegara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa anggota parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran selepas cadangan itu ditimbulkan oleh tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas.

Khoo dilaporkan berkata sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata terdapat pelbagai pendapat dalam soal pendidikan.

"Soal pendidikan ini ada macam-macam pendapat. Kita sudah bermula dengan satu kedudukan di mana kita memberi setiap warga Malaysia, kumpulan etnik dan komuniti hak untuk memilih jenis pendidikan.

"Kita hanya akan mengubah dasar berdasarkan kepada kehendak masyarakat, kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan kita akan ubah, selagi masyarakat tak bersedia kita akan kekalkan seperti mana sedia ada," katanya.

Najib berkata tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran sekiranya keputusan tersebut boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial kerana menurutnya sebarang keputusan kerajaan adalah untuk membawa perpaduan kepada semua.

"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.

1Malaysia: PM diingatkan 'jangan tersilap langkah'

Jimadie Shah Othman


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta menunjukkan keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan gagasan 1Malaysia melalui pelaksaaan dasar kerajaan berdasarkan kelayakan dan bukannya warna kulit.

"Keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan (hendaklah) berdasarkan qualification (kelayakan) dan bukan 'kulitfication' (warna kulit), amat penting bagi mengerakkan negara supaya lebih maju dan makmur," kata ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.

Berucap di persidangan perwakilan Wanita Gerakan ke-22 hari ini, Tan berkata, janji-janji supaya semua dasar dilaksana dengan adil tanpa membezakan latar belakang rakyat, tidak harus "sekadar di bibir" sahaja.

Katanya, rakyat yang meletakkan harapan penuh kepada Najib untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar sentiasa memantau dan menilai kerajaan secara berterusan.

"Tersilap langkah mengundang padah dan kehancuran dalam pilihan raya akan datang," kata Tan.

Mengulas keperluan parti itu berubah bagi memenangi semula sokongan rakyat, Tan meminta semua pihak supaya mengelakkan sikap-sikap negatif, antaranya "ekstrim berasaskan perkauman dan ketuanan".

Tan juga mengingatkan BN supaya tidak mendabik dada dan angkuh dengan kemenangan di Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu kerana sudah tujuh pilihan raya kecil sebelum ini diungguli pembangkang.

"Di samping itu, kemenangan dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang wajar dijadikan rujukan dan memberikan keinsafan. Rakyat berkehendakan calon berjiwa rakyat.

"Di sebalik kemenangan ini, kita tidak perlu mendabik dada, merasa angkuh serta begitu yakin bahawa kemangan BN sebagai petanda rakyat kembali menyokong kita," katanya.

Pemuda Gerakan terus desak wujudkan '1BN'

Jimadie Shah Othman


Pemuda Gerakan menggesa Barisan Nasional (BN) supaya 'jangan melupakan' cadangan penggabungan semua parti komponennya menjadi sebuah parti besar yang mewakili pelbagai kaum.

Ketua pergerakan itu, Lim Si Pian berkata, cadangan itu yang dikemukakan oleh Pemuda Gerakan selama dua tahun berturut-turut, telah dilupakan kerana "jatuh ke telinga yang pekak".

"Cadangan ini telah ditolak oleh pemimpim-pemimpin parti komponen atas alasan yang ia tidak praktikal dan belum tiba masanya untuk kita berubah.

"Adakah kita harus tunggu sampai BN kalah di tangan Pakatan sebelum kita mula menerokai cadangan ini," katanya ketika berucap dalam persidangan perwakilan Pemuda Gerakan ke-22 pagi ini.

Lim juga mencadangkan supaya Pemuda BN dapat mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencari jalan untuk merealisasikan struktur baru BN itu.

"Saya berharap, Pemuda BN yang kini di bawah pucuk pimpinan Khairy Jamaluddin tidak mengambil ringan cadangan ini, tetapi sebaliknya membuat persediaan untuk menerokai kemungkinan wujudnya satu parti bersatu seperti itu," katanya.

Lim turut mengambil kesempatan mengkritik beberapa akta kontroversi, antaranya ISA, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)

Mengimbau kembali demonstrasi besar anti-ISA pada 1 Ogos lalu, Lim berkata, Pemuda Gerakan yang berniat untuk ikut serta sebelumnya "terpaksa memutuskan tali persaudaraan" dengan Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) pada masa itu, atas faktor keselamatan.

"Saya terpaksa memikul beban sehingga ke akhirat jika penyertaan kita di perarakan itu mengakibatkan salah seorang daripada ahli-ahli ataupun penyokong saya dimasukkan ke penjara," katanya.

Perketatkan penguatkuasaan prosedur operasi perkhemahan - Muhyiddin

BERNAMA


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu semua sekolah menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) semasa aktiviti perkhemahan pelajar bagi menjamin keselamatan mereka.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata peningkatan kawalan keselamatan pelajar melalui penguatkuasaan SOP perlu walaupun tragedi tiga murid maut apabila jambatan gantung di tapak perkhemahan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Kampar, Perak runtuh Ahad lepas bukan berpunca daripada penguatkuasaan SOP.

"Guruguru dan jurulatih di tapak perkhemahan itu telah mengikut SOP sedia ada tetapi kemalangan itu berlaku disebabkan oleh struktur jambatan.

Jawatankuasa peringkat kementerian kini menyiasat, lebih tertumpu kepada soal struktur jambatan itu," katanya ketika diminta mengulas mengenai SOP tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian bagi Pembangunan Kolej Marborough di Malaysia, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata tapak perkhemahan itu merupakan tapak yang kekal dan sudah berpuluhpuluh tahun perkhemahan pelajar diadakan di situ dan tidak pernah berlaku kemalangan selama ini.

Dr Asri akan sertai parti politik?

Oleh ZIEMAN


Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib berkunjung ke rumah Dr Mohd Asri di Mengkuang Bukit Mertajam baru-baru ini.Foto ihsan laman blog drmaza, Minda Tajdid.

PETALING JAYA: Krisis dalaman PAS yang sedang hangat diperkatakan turut mengheret bekas Mufti Perlis yang khabarnya telah dijemput untuk menyertai parti Islam itu.

Adakah kemungkinan beliau akan terjun ke bidang politik, samada Umno atau PAS. Atau mungkin juga menyertai pihak ketiga? Ini adalah kerana setelah pulang dari UK, Dr Asri yang juga bekas Mufti Perlis, bebas dari jawatan.

Banyak pihak menjemput beliau menjadi aktivis mereka. Yang terbaru, ada khabar angin mengatakan Dr Asri akan menyertai parti politik PAS.

Yang menguatkan lagi kesahihan berita ini apabila tersiarnya gambar Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato Harun Taib yang berkunjung ke rumah Dr Mohd Asri di Mengkuang Bukit Mertajam baru-baru ini di laman web Minda Tajdid (www.drmaza.com).

Khabarnya, majlis yang dipenuhi dengan ukhuwwah dan kemesraan itu diikuti dengan makan malam bersama.

Difahamkan, Ketua Dewan Ulamak PAS itu turut menjemput Dr Mohd Asri menyertai perjuangan PAS dalam menegakkan Islam di Malaysia.

Namun, seperti yang dipetik dari laman web minda tajdid, Dr Mohd Asri hanya mengucapkan terima kasih atas jemputan itu dan menyatakan penghormatan beliau kepada Ketua Dewan Ulamak PAS berkenaan.

Sementara itu, menurut sumber terdekat Dr Asri, bekas Mufti Perlis itu yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, telah membuat kunjungan hormat ke rumah Mahathir untuk mendapatkan nasihat pada minggu ini.

Kata sumber itu, Mahathir tidak setuju jika Dr Asri mengambil apa-apa jawatan lantikan politik termasuk kerajaan.

"Dia menasihatkan Dr Asri agar kekalkan sikap tidak berpihak dan berkecuali. Dia tidak bersetuju kalau Dr Asri mengambil jawatan lantikan politik termasuk kerajaan.

"Alasan Tun, tulisan Dr Asri dibaca oleh semua pihak termasuk Tun sendiri. Jika Dr Asri menerima jawatan lantikan politik, orang akan kurang minat melihat beliau berpihak dan tidak lagi adil," kata sumber itu.

Namun ketika dihubungi, Dr Asri enggan mengulas lanjut.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan berbagai pihak. Yang lain saya tak nak komen," jelas tokoh agama yang selalu lantang menyuarakan pandangannya itu.

Isu lebuh raya bertol masih dikaji

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kerajaan dalam peringkat kedua mengkaji isu pelaksanaan lebuh raya bertol yang turut merangkumi analisis model kewangan, prestasi syarikat konsesi, unjuran trafik dan impak pembinaan lebuh raya bertol ke atas pembangunan sepanjang koridor.

“Kajian juga terus diperhalusi bagi memastikan langkah yang diputuskan oleh kerajaan kelak boleh dilaksanakan dengan implikasi kewangan yang minimum serta tidak mengganggu sentimen pasaran dan pelaburan jangka panjang serta keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis untuk soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) dan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin Perdana Menteri menyatakan perkembangan kajian pengambilalihan lebuh raya dan status cada -ngan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bermanfaat kepada rakyat berkaitan isu lebuh raya bertol.

Nor Mohamed berkata, kajian menyeluruh dan mendalam adalah penting ke arah mencapai penyelesaian jangka panjang yang terbaik bagi semua pihak.

Beliau berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan dua penyelesaian jangka pendek iaitu dengan tidak menaikkan kadar tol bagi lebuh raya tertentu serta memperkenalkan rebat 20 peratus kepada pengguna Touch & Go yang kerap.

Masih ada berharap Pas-UMNO bergabung

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Walaupun Pas sudah menutup pintunya untuk bekerjasama dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, masih ada suara yang berharap dua parti Melayu itu mencari persamaan dan berdamai atas dasar agama dan silaturrahim.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mahu Pas menamatkan pakatannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dikatakan tidak sesuai dengan parti berteraskan Islam itu, katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009.

“PKR ini parti koboi, Pas tidak sesuai dengan dia. DAP pula memang ‘tidak boleh tidur satu selimut’ dengan Pas.

“UMNO kita sebangsa, seagama, senadi, sekiblat, semengucap...rapat...kita carilah persamaan, jangan kita cari perbezaan. Atas sifat sillaturrahim mari kita berdamai,” katanya.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk di negara ini dan mendapat soko- ngan beberapa pemimpin parti itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga Menteri Besar Kelantan itu baru-baru ini mencadangkan supaya diadakan Muktamar Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada pemimpin pro-Kerajaan Perpaduan itu.

Semasa menjawab pencelahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) mengenai cara untuk mengatasi halangan untuk merealisasikan harapan itu, Mohamad berkata, kedua-dua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada dalam menghadapi sebarang cabaran.

“Yang baik tetap baik...memang yang baik cabarannya besar, hebat. Marilah dengan lapang dada kita hadapi segala cabaran demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

Nik Aziz puas hati perjalanan mesyuarat

SINAR HARIAN ONLINE


BACHOK - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan Mesyuarat Khas kelmarin walaupun jawatankuasa memutuskan tidak akan mengadakan Muktamar Khas (EGM) seperti yang dicadangkan beliau baru-baru ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, dengan luahan pendapatnya serta dengan keputusan yang diambil Jawatankuasa Pas Pusat itu, segala gangguan fikiran dan masalah ditimbulkan dari artikel Profesor Dr Abdul Aziz Bari dapat diselesaikan dengan baik.

“Puas hati dah... Mana ada pandangan semua orang terima, ada masa orang terima, ada masa orang tolak, sebab itu dalam artikel saya sebut Nabi Muhammad ditegur oleh Allah.

“Kalau Nabi ditegur jadi pelik apa orang tolak EGM tetapi tukar alternatif dengan menganjurkan seminar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bakti Siswa Mesir 2009 di Masjid Kampung Bakong di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mesyuarat Khas Pas yang turut dihadirinya kelmarin yang mengambil ketetapan tidak akan mengadakan Muktamar Khas EGM) sebaliknya mengadakan seminar politik pada 7 November ini.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam keadaan kini, dua tiga kerat pemimpin bermasalah’ yang menyebabkan timbulnya konflik dalaman parti perlu insaf dan sedar bahawa perbuatan mereka itu boleh merosakkan parti.

“Dr Aziz Bari menggunakan perkataan `kapten` (ketua) kepada ketiga-tiganya, saya guna perkataan sama. Insya-Allah, orang itu akan terasa, benda apa yang dibuat sehingga ditegur, kita nak muhasabah benda ni,” katanya.

Mengulas mengenai siasatan jawatankuasa disiplin yang akan dilakukan terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Nik Aziz berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan berkenaan.

“Dia (Dr Hasan) bukan tajuk (perbincangan) saya, tetapi dia memang ditegur. Macam saya juga ditegur, tetapi saya tidak mahu cakap hal peribadi orang lain,” katanya.:

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, tindakan beliau keluar awal dari mesyuarat tersebut tiada kaitan dengan ketidakpuasaan beliau dengan sesi perjalanan mesyuarat sebaliknya kerana faktor kesihatan.

Penyeludup guna bengkel sembunyi beras seludup

BERNAMA


PASIR MAS: Taktik penyeludup menggunakan bengkel kenderaan sebagai transit pengumpulan beras yang diseludup dari negara jiran gagal apabila kegiatan mereka ditumpaskan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Supt. Rooslan Radzi berkata rampasan berkenaan dilakukan di kawasan kampung Kelar di sini, kira-kira jam 3 petang semalam hasil intipan selama tiga hari.

"Ketika intipan dilakukan, anggota PGA mendapati beras-beras berkenaan dipunggah menggunakan beberapa buah kereta jenis Proton Wira, Waja dan Perodua Kancil dari pangkalan haram Lubok Gong di Rantau Panjang," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata beras berkenaan kemudian dikumpulkan dalam sebuah treler di bengkel sebelum dibawa keluar untuk pasaran Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

"Hasil pemeriksaan terhadap treler itu menemui 230 kampit beras seberat 11,500 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM34,500," katanya.

Menurutnya bengkel berkenaan sengaja digunakan oleh penyeludup untuk mengumpul beras yang diseludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kesemua beras yang dirampas akan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut dan tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu kerana penyeludup berkenaan berjaya melarikan," katanya.

Serangan bom: Dua rakyat Malaysia selamat kerana sarapan di restoran

BERNAMA


SEPANG: Dua rakyat Malaysia yang terselamat dalam serangan bom dan roket ke atas Hotel Serena, Kabul, Afghanistan, Rabu lalu, Jagdish Singh dan S.Sivanathan hari ini menceritakan saat-saat cemas yang mereka lalui di negara yang bergolak itu.

Ketika menceritakan detik cemas itu, Jagdish, 40, berkata beliau dan rakan setugas Sivanathan, 29, kebetulan sedang bersarapan di tempat lain semasa serangan itu berlaku jam 8.25 pagi (waktu tempatan).

"Kami sangat bertuah tidak berada di lobi hotel kerana sedang menikmati sarapan di restoran berdekatan yang jaraknya hanya 30 meter dari tempat kejadian.

"Kami sepatutnya berada di lobi hotel itu pada 8.30 pagi bagi menunggu seorang Menteri Komunikasi Teknologi Maklumat Afganistan untuk menghadiri satu mesyuarat tetapi tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Jagdish dan Sivanathan adalah kakitangan International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT) tiba di KLIA 7.05 minit pagi tadi dengan pesawat MH191.

Mereka berdua sepatutnya berada di Kabul sehingga 3 November ini, namun disebabkan kejadian itu, mereka terpaksa meninggalkan negara berkenaan dengan kadar segera.

Jagdish berkata semasa di restoran mereka dapat melihat dengan jelas sebuah roket menghentam lobi hotel kediaman mereka menyebabkan seluruh kawasan itu bergegar dan suasana menjadi kelam kabut ditambah dengan asap tebal.

Katanya mereka termasuk orang awam lain kemudian diarah pihak keselamatan hotel supaya berlindung di satu ruang khas bawah tanah hotel tersebut.

"Nasib baik laluan ke bawah tanah itu dekat dengan restoran jadi kami mudah untuk sampai ke situ. Walaupun berada di bawah tanah, gegaran masih terasa dan kedengaran empat lagi letupan di luar," katanya yang terpaksa berlindung di bawah tanah itu selama dua jam sebelum dibenarkan pulang ke hotel.

Sivanathan dan Jagdish berada di Kabul bermula 18 Oktober lalu dalam projek usaha sama antara IMPACT dan Kesatuan Telekomunkasi Antarabangsa (I-T-U) bagi mengendalikan penilaian keselamatan siber dan latihan kepada pegawai kerajaan Agfhanistan.

Mereka memuji kecekapan dan kepantasan bahagian keselamatan hotel yang pantas bertindak menyelamatkan mereka.

Dalam serangan yang mensasar pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, seramai 12 orang terkorban termasuk enam petugas PBB, dua pengawal keselamatan dan seorang orang awam.

Mangsa JE Sarawak saman sekolah kerana kecuaian

BERNAMA


KUCHING: Dalam apa yang dipercayai sebagai kes pertama seumpamanya di Sarawak, seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang disahkan menghidap Japanese Encephalitis (JE) ketika tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (Cina) Sungai Menyan di Serian pada 2006, telah memfailkan saman terhadap pihak berkuasa sekolah.

Brisbane Itang menyaman pihak sekolah dan guru besar kerana didakwa cuai serta melanggari kewajipan statutori mereka.

Dia turut menamakan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan, selain kerajaan negeri serta persekutuan sebagai defendan bersama dan menuntut kerugian lebih RM1 juta.

Memandangkan kanak-kanak itu masih di bawah umur, bapanya Itang Lang, 43, mengemukakan saman bagi pihaknya.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan menerusi peguam Shankar Ram, pihak berkuasa berkenaan didakwa gagal memaklumkan kepada ibu bapa pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu, terletak berdekatan sebuah ladang babi, mengenai kemungkinan tercetus wabak JE yang membawa maut dan keperluan untuk mereka mendapatkan vaksin yang sewajarnya terhadap penyakit itu.

Akibat serangan virus itu, Brisbane, yang ketika itu berumur 10 tahun dan belajar di Tahun Empat, mengalami kerosakan otak dan kini hilang upaya kekal iaitu fizikal dan mental, dengan kecacatan neurologi yang serius.

Dia disahkan dijangkiti JE pada 28 September 2006 selepas dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini apabila menghidap demam panas, beberapa hari sebelum itu.

Blair patut dihalang masuk Malaysia

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair perlu dihalang daripada memasuki negara ini kerana dianggap sebagai seorang penjenayah perang.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana turut mempertikaikan kehadiran Blair di Sabah sebelum ini kononnya untuk bercuti.

“Blair sebenarnya diundang untuk memberi ceramah mengenai keadilan di Sabah. Apa yang dia tahu tentang keadilan?

“Adalah satu perkara yang memalukan dan tidak masuk akal bagi kita membenarkan orang seperti Blair berada di Malaysia malah bercakap mengenai keadilan,” katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kelmarin.

Jelas beliau, pihak yang melancarkan perang sebenarnya ialah Amerika Syarikat (AS) dan Britain di samping beberapa negara Eropah.

“Pihak lain sebenarnya tidak banyak terlibat. Kita perlu beri fokus kepada pihak yang melancarkan perang dan mengugut pihak tertentu untuk bersama mereka kerana kuasa yang dimiliki,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan mengubah pandangan masyarakat dunia mengenai peperangan, Dr. Mahathir berkata, perkara itu tidak boleh dicapai dalam masa singkat.

“Ada perkara yang sudah berubah melalui pandangan umum, salah satu contoh ialah AS kini memiliki Presiden berkulit hitam.

Jumaat, 30 Oktober 2009

BN sedia bantu Badrul demi pengundi Pelabuhan Klang

Oleh: ROSLAN BIAN


PKR kini ibarat bom jangka yang sudah meletup. Lebih buruk lagi kesannya berangkai-rangkai.

Itu pendapat Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengulas tindakan Adun PKR Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar parti dan jadi calon Bebas.

Badrul yang sebelum ini dianggap wakil rakyat bermasalah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga membuat keputusan menyokong Barisan Nasional.

Menurut Dr Mohamad Khir tindakan terbaru Badrul selepas beberapa Adun PKR di Perak dan Kedah keluar parti adalah tindakan tepat dan betul.

Katanya, BN Selangor menyambut baik hasrat Badrul untuk bekerjasama walaupun sebagai wakil rakyat Bebas.

“Kita akan membantu beliau demi kepentingan pengundi-pengundi di Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi Agendadaily.

Ditanya mengenai wakil rakyat itu yang dianggap bermasalah, Dr Khir menjelaskan, “ mereka yang bermasalah mesti dibantu, bukannya seperti Khalid yang menyuruh meletak jawatan supaya diadakan pilihan raya kecil,”.

Beliau berkata, dengan pengalaman BN selama ini, parti itu boleh bersama-sama Badrul menyelesaikan masalahnya dan membantu pengundi-pengundi di kawasan Pelabuhan Klang.

Mantan Menteri Besar Selangor itu difahamkan, Badrul bertindak keluar parti kerana tidak puashati dengan kepimpinan Khalid serta cara pemimpin PKR menangani ahli-ahlinya.

“Ini juga satu tamparan hebat kepada Khalid selepas beliau digugurkan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurut Dr Mohamad Khir, ramai lagi pemimpin parti itu sudah mula tidak yakin dengan PKR yang dianggap parti tiga A iaitu Anwar, Datuk Seri (Wan) Azizah (Wan Ismail) dan Azmin Ali.

Beliau turut menyifatkan Pakatan Rakyat berdepan krisis berdasarkan apa berlaku dalam PKR seperti diakui Lim Kit Siang menerusi blognya manakala PAs pula nampak seolah-olah pecah dua.

Mengulas mengenai tindakan PAS Pusat mengarahkan Jwatankuasa Disiplin parti itu menyiasat Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, beliau percaya arahan itu kerana kelantangan Exco itu mempertikai beberapa peraturan kerajaan negeri Selangor.

“Bagi saya Dr Hasan bertindak betul dalam soal mencegah kemungkaran seperti dikehendaki Islam. Mungkin itu mahu menutup mulut beliau selepas ini,” katanya.

Menurut Dr Mohamad Khir, PAS berbuat demikian semata-mata mahu mengambil hati pemimpin bukan Islam dalam PKR dan DAP.

Apa yang BARU dengan UMNO?

Lim Hong Siang


Perhimpunan Agung UMNO ke-60 walaupun cuba ditonjolkan dengan "imej pembaharuan" dalam media arus perdana, namun disindir sebagai "gerombolan lama dengan minda lama", sekadar diperbaharui dengan "kroni baru dan slogan baru". Kritikan sedemikian berdasarkan analisa bahawa UMNO masih mengekalkan struktur politik lama dan tidak memperlihatkan tekad untuk berubah.

Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dominic Lau Hoe Seng cuba mempertahankan "keikhlasan dan tekad PM untuk membawa perubahan", namun dihujani dengan pelbagai kritikan tajam daripada ahli panel yang lain, iaitu Liew Chin Tong (ahli parlimen Bukit Bendera-DAP) dan Low Chee Chong (ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR), malah audiens sendiri semasa sesi soal-jawab.

Demikianlah senario yang berlaku dalam satu forum bertajuk "PM baru? UMNO baru?", yang dianjurkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

UMNO tidak sedia berubah...

Sejajar dengan hujah dalam "media arus perdana", Dominic Lau mengulas dengan panjang lebar bagaimana teks ucapan pemimpin UMNO utama memperlihatkan "keterbukaan" dan "keinginan untuk berubah". Malah, pindaan perlembagaan UMNO juga dilihatnya sebagai "tindakan" (bukan sekadar janji mulut) untuk memerangi rasuah dalam UMNO.

Walaupun "menyambut baik" apa yang berlaku dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini, Dominic Lau tetap menjadi serba-salah untuk menjawab sama ada UMNO telah belajar dari pengajaran "tsunami politik" 8 Mac 2008 atau tidak, hanya disimpulkan dengan "saya berharap demikianlah".

Hujah Dominic disanggah kemudiannya oleh Low Chee Chong apabila menyindir apa yang beza dengan UMNO dahulu hanyalah "kroni baru dengan slogan baru". Low mendakwa kroni dahulu kini digantikan dengan adik Najib, dan slogan 1Malaysia yang "kononnya" dibeli daripada syarikat perunding imej dengan RM20 juta.

Low yang halus dalam pengamatannya, memetik beberapa hujah daripada perwakilan untuk menyokong dakwaannya bahawa UMNO masih berada di takuk lama. Misalnya, perwakilan yang mencadangkan agar jawatan tinggi dalam syarikat GLC (Goverment Linked Company) diberi hanya untuk ahli UMNO yang setia; menuduh parti komponan BN lain yang menyebabkan kekalahan UMNO dan cadangan agar peruntukan kepada negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dihentikan.

Low juga menyentuh beberapa adegan dalam perhimpunan UMNO yang menunjukkan ketidaksediaan perwakilan untuk berubah. Misalnya, apabila Presidennya, Najib Razak bertanya adakah peruntukan wang diperlukan untuk berdialog dengan rakyat? Perwakilan memberi jawapan "Ya", walaupun apa yang diharapkan oleh Najib adalah "tidak".

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang secara peribadi berpendapat agar "media internet harus dibenarkan untuk membuat liputan dalam Perhimpunan UMNO", tetap tidak dipeduli walaupun cadangan yang sama telah diutarakan tahun lalu. Low mempersoalkan, "seandainya perkara sekecil ini pun tidak mampu diubah, apakah kita masih menaruh harapan bahawa Khairy akan mereformasikan sistem negara? Mansuhkan Dasar Ekonomi Baru?"

Malah, Low juga tidak terlepas untuk menyerang Dominic yang mendakwa bahawa UMNO menang di Bagan Pinang kerana meletakkan "orang tempatan" sebagai calon. Low yang berbeza pandangan menganggap UMNO gagal menampilkan calon yang baru, daripada tiga juta orang ahli, dan terpaksa akur kepada "pembesar lama" seperti Isa Samad (gambar kanan) walaupun tercalit kerana terlibat dalam politik wang.

Dengan itu, Low meragui kemampuan UMNO untuk berubah kerana Najib terpaksa tunduk kepada ugutan ahli UMNO tempatan, yang mahukan agar pemimpin mereka dicalonkan. Persoalan ini jikalau didalami, adalah persoalan struktur yang tidak boleh ditangani sekadar dengan "imej" dan "slogan" baru.

Konsep pengasingan antara Parti-Negara

Liew Chin Tong menyusuli "persoalan struktur" ini dengan menceritakan apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh Omar ketika diajukan soalan berdasarkan hujah perwakilan UMNO yang mencadangkan agar peruntukan kepada negeri PR dihentikan, tetap mempertahankan hujah tersebut.

Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, bertanggapan bahawa "tiada salahnya jikalah menggunakan jentera parti untuk melaksanakan dasar kerajaan". Liew melihat hujah sedemikian sebagai minda lama yang tidak "mengasingkan antara parti dengan negara".

Liew Chin Tong seterusnya menggunakan tragedi "perkhemahan 1Malaysia" yang meragut tiga nyawa sebagai contoh untuk mengulas pandangannya. Untuk beliau, kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Perak berlaku kerana masalah "kontraktor".

Beliau memetik statistik bahawa terdapat 46,000 orang yang mendaftar sebagai kontraktor kelas F di Malaysia pada tahun 2005. Kebanyakan kontraktor ini adalah ahli UMNO, dan mereka yang mendapat projek adalah mereka yang berhubungan rapat dengan UMNO.

Oleh itu, Najib Razak menawarkan 40,000 kontrak dalam pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkannya selaku PM merangkap Menteri Kewangan, padahal pekej rangsangan ekonomi negara lain memberi penekanan kepada "mewujudkan peluang pekerjaan".

"Di Malaysia, pekaj rangsangan ekonomi hanya mewujudkan peluang pekerjaan untuk budak UMNO...," katanya.

Dilema UMNO

Liew Chin Tong yang aktif dalam Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) sebelum terpilih sebagai ahli parlimen berkata, walaupun kaum Cina hanya kira-kira satu perempat daripada jumlah populasi Malaysia, namun mencatat lebih 30% dalam struktur pengundi. Keadaan ini berlaku kerana terdapat empat juta warga Malaysia yang layak tetapi belum mendaftarkan diri sebagai pengundi, dan kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu.

"Inilah dilema UMNO. Mereka tidak berani memujuk lapisan genarasi muda Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi, kerana tidak yakin bahawa golongan ini akan mengundi UMNO. Mereka hanya berani menggalakkan ahli UMNO untuk mendaftar diri sebagai pengundi," ulasnya.

Liew mengulangi cadangannya agar usia kelayakan pengundi diturunkan kepada 18 tahun, dan didaftarkan secara automatik mengikut kad pengenalan. Liew berkata, negara yang mengamalkan pilihan raya di Asia Tenggara kesemuanya menggariskan umur 18 tahun sebagai usia kelayakan, kecuali Malaysia dan Singapura. Malah, di Australia, mereka yang berumur 17 tahun sudah berhak untuk mengundi.

Liew juga mencadangkan agar warga Malaysia yang genap umur akan didaftarkan secara automatik, berdasarkan maklumat dalam kad pengenalan.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Implikasi keterangan forensik Dr Pornthip dan inkues Beng Hock

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT (malaysiabebas.com)


KECUALI nama beberapa orang Perdana Menteri Thailand dan beberapa bintang sukan seperti Pakdee Dangwatanapaibul (tekong sepak takraw era 1980-an), Anat Ratanapol (pelari pecut dan pemenang pingat emas acara 100 meter dan 200 meter Sukan Asia 1970 dan 1974), Piyapong Pue-On (penyerang antarabangsa pasukan bola sepak Thailand yang pernah bermain untuk pasukan Pahang musim 1986-1989), tidak ramai nama tokoh tertentu Thailand yang dikenali dan menjadi sebutan rakyat Malaysia.

Hari ini, nama seorang rakyat Thailand kembali meniti di bibir rakyat Malaysia. Nama yang dimaksudkan itu ialah Dr Pornthip Rojanasunand, ahli patologi forensik dan Pengarah, Institut Pusat Sains Forensik, Kementerian Keadilan, Bangkok.

Dr Pornthrip mencuri perhatian umum, apabila ketika memberi keterangan forensik beliau bagi pihak kerajaan Selangor pada inkues kematian Teoh Beng Hock berpendapat bahawa kebarangkalian 80 peratus kematian Setiausha Politik itu adalah bersifat homisid (pembunuhan).

Pendapat profesional pakar forensik patologi Thailand ini sudah tentulah tidak selaras dengan penemuan Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Dr Khairul Azman Ibrahim yang berpuas hati betapa kematian Teo berpunca dari kecederaan berganda akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Ketika memberikan keterangan di mahkaman koroner, Dr Pornthrip antara lain menjelaskan, "sekiranya Teo dalam keadaan sedar sepenuhnya ketika dia terjatuh, maka akan terdapat 'kecederaan reaksi' yang menunjukkan naluri ingin mengelakkan dirinya dari terhempas ke bumi."

Selain daripada itu pakar forensik patalogi itu juga berpendapat kecederaan pada lubang dubur (yang dirumuskan oleh pakar forensik Malaysia sebagai berlaku akibat terjatuh dari tempat tinggi) sebenarnya telah berlaku sebelum Teo didakwa sebagai terjatuh.

Malah menurutnya, bukan semua kecederaan dialami oleh Teo selaras dengan kecederaan lazim mangsa yang terjatuh dari tempat tinggi.

Keterangan Dr Pornthip sudah tentulah jauh berbeza dengan penemuan, rumusan dan keterangan Dr Khairul Azman bersama seorang lagi pakar patalogi.

Hal seperti ini sudah tentulah mendorong umum bertanya bagaimanakah penemuan kedua-dua pihak ini begitu berbeza.

Terdapat gurauan sains perubatan berbunyi: 'Pakar penyakit (physician) tidak tahu apa-apa dan tidak mampu berbuat apa-apa; pakar bedah tidak tahu apa-apa tetapi melakukan segala-galanya; dan pakar patolohi mengetahui segala-galanya tetapi terlewat sehari.'

Kita boleh bersetuju betapa sains perubatan tidak semestinya sains tepat seperti tekonologi komputer dan automotif, sekadar memberi dua contoh, justeru kerap ada pesakit yang didiagnosis oleh doktor sesebuah klinik sebagai menghidap sakit perut tetapi apabila didianogsis oleh seorang doktor di klinik lain atau di hospital maka penyakit yang dihidapinya adalah ulser.

Namun apabila dua orang pakar forensik patalogi bercanggah pendapat tentang penemuman hasil bedah siasat sesuatu mayat yang sepatutnya cukup jelas dan mudah (kerana mayat berkenaan bukannya mati digigit oleh makhluk asing dari planet lain), maka kita mula mempersoalkan apakah kepakaran profesional seperti ini adakalanya dikompromikan bagi sesuatu tujuan dan matlamat tertentu.

Jika kita benar-benar bertanyakan soalan tersebut, maka jawapannya boleh didapati menerusi perwatakan dan personaliti Dr Pornthrip sendiri yang telah memperkenalkan kaedah patologi forensik dan ujian DNA di Thailand.

Akhbar The New York Times (edisi 13 April 2002), menyiarkan sebuah rencana mengenai beliau yang dipetik seperti berikut:

Dalam sebuah negara di mana kuasa dan kedudukan adalah sesuatu ibarat tiket kelas-bisnes yang menawarkan segala keistimewaan dan keselesaan, Dr Pornthip mendedahkan jenayah berprofil tinggi yang menjadikannya sebagai pengacau kepada polis dan mereka yang cuba dilindungi polis.

Barangkali agak mengejutkan kerana terdapatnya seorang ahli fatalogi di barisan hadapan perubahan sosial, tetapi Dr. Pornthip , dalam mengatakan bahawa kecederaan akibat peluru adalah kecederaan akibat peluru, adalah suara utama dalam perjuangan merobah hukum keistimewaan dengan hukum undang-undang.

"Ketua Polis membenci saya," jelasnya, "kerana polis mengamalkan double standard, tetapi bagi saya setiap manusia ada sama. Sebujur mayat yang tidak dapat dikenal pasti identitinya adalah sama sahaja seperti seseorang yang berkuasa."

Dua tahun lalu, apabila polis cepat-cepat mengumumkan kematian seorang Ahli Parlimen adalah akibat membunuh diri, Dr Pornthip menerima ancaman bunuh apabila beliau memberitahu pihak akhbar betapa foto mayat tidak memungkinkan alasan bunuh diri. Polis kemudian menyemak laporan mereka.

Dalam satu kes sensasi tahun lalu polis mendakwa mereka telah serta merta mengenal pasti ketulan tubuh mangsa yang telah berkecai menerusi analisis DNA, tetapi beliau menjelaskan ujian sedemikian mengambil masa dari tempoh singkat yang dilakukan oleh pihak polis. Sekali lagi polis terpaksa mengalah.

Sehinggalah kritikan pedas beliau menyebabkan berlakunya perubahan dalam prosidur dua tahun lalu, hanya polis sahaja yang menjalankan bedah-siasat ke atas mayat mangsa tembakan polis atau mereka yang mati ketika dalam tahanan polis.

"Bagaimana sistem sedemikian boleh dibenarkan wujud?" katanya. "Bagaimanakah orang ramai boleh memastikan bahawa bedah-siasat yang dilakukan oleh institut forensik polis dalam kes-kes pembunuhan extrajudicial tidak diubahsuai bagi membantu polis?"

Rencana mengenai Dr Pornthip ini disiarkan oleh akhbar The New York Times tujuh tahun sebelum kematian Teo Beng Hock dan tatkala amalan patologi forensik dalam kes melibatkan penyokong dan ahli politik adalah sesuatu yang agak lawless atau tidak berundang-undang di Thailand.

Bagaimana pula amalan patologi forensik di negara kita apabila ia melibatkan orang politik diukur berbanding apa yang telah dijelaskan oleh Dr Pornthip itu?

Jangan bazirkan Masa Bincang Masalah "Dalaman".

Oleh Sofi Wahab


Saya mengharapkan seluruh ahli dan penyokong PAS tidak membazirkan membincangkan masalah dalaman parti sedangkan masalah itu sebenarnya masalah tersebut sangat kecil dan tidak perlu dibincangkan lagi.Biar ianya diuruskan pimpinan tertinggi. Kita diperingkat bawah mesti melipatgandakan usaha memenangi hati rakyat dan menjuarai isu rakyat.

Masalah 'dalaman' tersebut sebenarnya hanyalah mainan musuh sehingga semua orang menyangka ianya terlalu besar dan kronik, sedangkan ianya hanyalah perkara biasa sahaja.

Oleh itu mari sama-sama kita satukan hati dan gerakerja kita untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan keadilan di dalam negara kita.

Pilihanraya umum sudah tidak berapa lama lagi. Kita mesti bergerak dari sekarang!.

Program RTM perlu dikaji segera

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL


JELEBU – Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, program Radio Televisyen Malaysia (RTM) harus diolah semula untuk menjadikan ia menarik untuk tontonan rakyat.

Kata Rais, ketika ini tiada kekemasan dalam program yang diterbitkan stesen ini sehingga perlu satu suntikan untuk mengembalikan keremajaannya.

‘‘Dari segi teknikal tidak menjadi masalah tetapi apa yang menjadi punca ialah pengisian program dan kandungannya supaya lebih menarik dan menjurus kepada rakyat berumur dalam lingkungan 30-an ke bawah.

‘‘Kita perlu memperbanyakkan program yang mengisi aspirasi rakyat tetapi kita tidak boleh mengikut selera rakyat 100 peratus. Namun, kita perlu kreatif dalam menjadikan sesuatu program itu lebih menarik dan dipelbagaikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan 119 bakal Haji anjuran UMNO Jelebu di Dewan Budaya, di sini petang ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Jalaluddin Alias.

Rais mengulas mengenai program RTM yang terus ketinggalan berbanding rancangan yang disiarkan stesen radio dan televisyen swasta berdasarkan keputusan terbaru kajian AC Nielsen.

‘‘Esok, selepas mesyuarat Kabinet, kita akan bawa perkara ini secara serius. Yang penting bagi kakitangan RTM ini ialah bagaimana kita boleh memperbaikinya.

‘‘Misalnya isu bagaimana kita memaklumbalaskan sesuatu program. Katalah isu berkaitan pembangunan, di akhir program mestilah ada persoalan seperti apa pandangan anda terhadap program ini. Ini yang tidak dibuat,” tegasnya.

Untuk itu kata Rais, mulai sekarang RTM perlu berterus terang, sekiranya sesuatu program kelihatan lemah dan ia hendaklah dinyatakan sebabnya.

Pendirian Majlis Peguam hapus ISA ditolak

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kerajaan menolak pendirian Majlis Peguam yang bertegas mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapus dan digantikan dengan satu akta baru.

Sebaliknya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu majlis itu meneliti terlebih dahulu butiran membabitkan pindaan yang bakal dilakukan ke atas akta tersebut.

''Saya kata daripada hendak mansuh dan bentang akta baru, lebih baik tengok apa yang kita cadangkan.

''Kalau ia dapat memenuhi kehendak mereka dengan pindaan ke atas akta sedia ada, jadi apalah isunya sangat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan pertemuan awam mengenai cadangan pindaan ke atas ISA di sini hari ini.

Pertemuan tersebut melibatkan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Majlis Peguam, Biro Tatanegara, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Dalam pertemuan itu, difahamkan Majlis Peguam tetap dengan pendiriannya mahu ISA dihapuskan dan satu akta baru dibentangkan di Parlimen.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli-ahli politik, ahli-ahli Parlimen serta individu-individu.

Menurut Hishammuddin, pada pertemuan hari ini, semua pihak termasuk Majlis Peguam bersetuju bahawa undang-undang seperti ISA perlu wujud bagi melindungi keselamatan negara dan menangani masalah keganasan.

Bagaimanapun katanya, semua pihak bersetuju secara konsensus bahawa lima perkara yang sering menjadi pertikaian membabitkan ISA akan diteliti lebih terperinci.

Ini katanya, membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri, persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.

''Persepsi bahawa terdapat pola pertentangan sebenarnya tidak wujud kerana semua pihak cintakan keamanan dan di atas asas itulah kita meneliti pindaan ISA,'' kata beliau.

Dalam perkara berkaitan, Hishammuddin berkata, pihaknya yakin pindaan itu dapat dibentang sekurang-kurangnya bagi bacaan kali pertama pada sesi Parlimen kali ini yang bersidang hingga 15 Disember ini.

''Kita dah tengok draf pindaan yang sedia ada dan berdasarkan pandangan yang dikeluarkan pihak-pihak berkenaan, ia sudah menjurus atau mungkin lebih dekat dengan perjuangan masing-masing,'' katanya.

Badrul didakwa bermasalah sejak Mac 2008

Nazri Abdullah


KLANG : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang hari ini mendedahkan 'perwatakan' sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang mengumumkan keluar dari PKR semalam dan menjadi Adun bebas.

Ketua AMK, Cabang Klang, Irwan Ismail dalam satu kenyataan memberitahu alasan perletakan jawatan yang diberikan Badrul itu sebagai menutup pekongnya yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai masalah.

"Beliau harus sedar bahawa, kegagalan kepimpinan dan sikapnya sendirilah yg menjadi sebab utama punca masalah di Dun Pelabuhan Klang dan sangat tidak wajar serta matang, menyalahkan pihak lain khususnya YAB MB Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Setiausaha Sulit YAB Menteri Besar Selangor," kenyataannya dipetik.

Irwan ketika dihubungi Harakahdaily mengesahkan dakwaan tersebut.

Badrul tegasnya tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat di Dun Pelabuhan Klang sejak menang Pilihan Raya Umum, Mac 2008 lagi.

Beliau didakwa jarang turun padang dan tidak mesra rakyat selain menghabiskan peruntukan yang deberi kerajaan negeri Selangor dari 2008 hingga pertengahan 2009 secara meragukan.

Tegasnya lagi, tiada program yang dibuat Badrul untuk menyalurkan sumbangan kepada rakyat di kawasannya.

"Beliau tidak turun padang dan kurang mesra dgn rakyat, peruntukan beliau utk tahun 2008 sehingga pertengahan 2009 dihabiskan secara meragukan, dengan tiada program & sumbangan kepada mereka yg layak menerimanya," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga didakwa tidak memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri bahkan sering tidak hadir program rasmi kerajaan negeri yan diadakan di kawasannya sendiri.

Sifat Badrul yang eksklusif juga didakwa menyebabkan bukan sahaja beliau terlalu sukar duhubungi dan dutemui rakyat, bahkan oleh pucuk pimpinan PKR sendiri.

AMK Cabang Klang ketanya telah berusaha membantu beliau dalam urusan pentadbiran Dun Klang selain memaklumkan program-program terkini parti, namun usaha menghubungi Badrul tetap gagal.

Sehubungan itu AMK katanya menyeru agar seluruh rakyat di Pelabuhan Klang bertenang dan tidak terpedaya dengan putar belit Badrul.

Mereka juga akan terus menjalankan program biarpun tanpa kehadiran Badrul demi memastikan hak dan kepentingan rakyat khususnya di Pelabuhan Klang terus dibela.

Badrul Hisham pada satu sidang media semalam mengumumkan keluar dari PKR dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Adun bebas yang 'mesra BN'.

Beliau memberi alasan kes liwat membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab beliau berbuat demikian.

Tiga lagi turut didakwa beliau sebagai punca adalah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan setiausaha politiknya kepada Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad.

AMK Klang juga bagaimanapun yakin tindakan Badrul itu akibat telah 'dipengaruhi' oleh 'orang ezam'

Ia kerana Badrul dilihat banyak dipandu bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli sewaktu menjawab soalan para wartawan.

Nizam juga dikenali sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor meninggal PKR dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar. _

Hilang kepercayaan kepada parti tidak sahkan tutup pusat khidmat

Harakahdaily

SHAH ALAM : Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah tidak patut menutup pusat khidmat kepada rakyat di kawasannya sungguhpun benar dia hilang kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, beliau memikul amanah pengundi kawasannya dan tidak boleh menafikan hak mereka untuk mendapatkan khidmat dari beliau.

Demikian kata rakan Adunnya, Nik Nazmi Nik Ahmad. Nik Nazmi adalah Adun Seri Setia yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor sebagaimana dilaporkan laman web Selangorkini.

Badrol mengumumkan keluar dari PKR disebuah hotel dekat Kuala Lumpur petang semalam. Pagi semalam, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, beliau telah mencadangkan kepada PKR agar Badrol meletakkan jawatan.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti lalu keluar dari PKR. Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo pula sebagaimana dijangka berkata sedia menerima 'orang buangan' dari PKR ini.

Nik Nazmi berkata, PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

ImageMenurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekalipun hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, tindakan Badrul meninggalkan PKR dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Badrol tidak lagi layak mewakili PKR dan Pakatan Rakyat kerana beliau gagal berkhidmat untuk rakyat walaupun berulang kali ditegur oleh pimpinan parti.

Khalid berkata beliau mengalu-alukan pengumuman Badrol bahawa beliau kini akan menjadi Adun bebas dan menyokong Barisan Nasional.

"Kita merasakan YB Badrul Hisham tidak boleh mewakili Pakatan Rakyat, melihat kepada rekod kerja beliau yang tidak memuaskan," kata Khalid.

"Beliau dilihat tidak boleh, dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat. Demikian itu, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak-ansur," tambahnya.

Khalid berkata Badrul sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak yang mampu melaksanakan amanah penduduk Pelabuhan Kelang.

"Kita tidak halang beliau menjadi wakil rakyat bebas, tetapi belia dianggap telah menyalahguna parti untuk menjadi calon," kata Khalid._


Kes liwat antara punca Badrul keluar

Andrew Ong


ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab beliau keluar PKR.

Bercakap dalam satu sidang akhbar petang ini, Badrul berkata beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata "saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini".

Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang 'mesra' BN.

Dakwa dianak tiri

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.

Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Bila ditanya teorinya mengapa beliau 'dianaktirikan', Badrul menjawab: "Tanyalah menteri besar".

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Dakwa peruntukan ditahan

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

"Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya," katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.

Kesetiaan pada parti

Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar tersebut, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, yang dilihat berbisik kepada Badrul sebelum ADUN Pelabuhan Klang itu menjawab hampir setiap soalan dari wartawan.

Nizam dikenali sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Nizam berkata Badrul meminta bantuannya untuk menyelaraskan sidang akhbar tersebut. Beberapa orang penyokong Ezam juga kelihatan di sidang akhbar tersebut.

Iklan palsu kerja kosong di jabatan penerangan

MALAYSIA KINI


Jabatan Penerangan Sabah menafi mengiklankan jawatan kosong di jabatan itu di saluran tertentu selain Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Jabatan itu mengetahui tentang perkara itu sejak semalam apabila 13 orang datang bertanyakan mengenai temuduga jawatan yang didakwa diadakan semalam dan hari ini.

Pengarahnya, Azizan Din berkata tiga daripadanya mengatakan mereka telah memasukkan wang sejumlah RM500 ke sebuah akaun, lapor Bernama.

Katanya, iklan mengenai lima jawatan kosong di jabatan itu disiarkan di laman web JobsMalaysia.gov.my dengan tawaran gaji RM1,300 sebulan.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Penerangan akan membuat laporan polis mengenai perkara ini hari ini

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini, Azizan memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada jabatan itu sekiranya terdapat iklan tawaran jawatan menggunakan nama pengarah jabatan tersebut.

Katanya beliau kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama jabatan kerajaan berkenaan untuk menipu orang ramai mengenai
kekosongan jawatan, malah turut mensyaratkan yuran pendahuluan bagi menjamin pemohon mendapat pekerjaan tetap di jabatan itu.

"Jabatan Penerangan Sabah tidak pernah mengiklankan kekosongan jawatan di internet atau mana-mana saluran selain melalui SPA. Perkara ini adalah serius kerana turut melibatkan wang.

"Ini menjejaskan nama baik jabatan kerajaan yang bekerja ke arah mendahulukan rakyat. Kita tidak minta duit sebagai syarat menjanjikan kerja," katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.

Nik Aziz berjaya hantar mesej 'pemimpin bermasalah'

BERNAMA


Walaupun jawatankuasa pusat PAS malam tadi bersetuju mengadakan satu seminar politik pada 7 Nov ini dan bukannya muktamar khas bagi membincangkan kedudukan "dua tiga kerat pemimpin tertingginya yang bermasalah", namun isu sebenar tentang puak ini telah dapat disampaikan kepada anggota parti itu, kata beberapa pemerhati politik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata keputusan mesyuarat jawatankuasa itu malam tadi tidak penting berbanding kejayaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyampaikan mesejnya mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu yang hasilnya akan dilihat pada masa hadapan.

"Beliau telah membuka mata bahawa memang ada masalah dalam kalangan pemimpin parti itu dan harus disingkirkan. Mungkin tidak berlaku sekarang kerana mustahil pemimpin yang berkenaan akan meletak jawatan.

"Tetapi mesej ini akan diingati oleh perwakilan pada pemilihan parti akan datang," kata Abdul Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Nik Abdul Aziz sebelum ini telah meminta parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS yang disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Antara pemimpin yang dinamakan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Merujuk kepada saranan Hasan mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti Islam di Selangor, Abdul Aziz berpendapat bahawa Nik Abdul Aziz sedar tuntutan sedemikian telah menyebabkan PAS kehilangan sokongan bukan Melayu.

"Beliau tahu PAS berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu jika mereka berterusan dengan cara sekarang, dan sebab itulah beliau bersuara agar orang bukan Melayu kembali yakin kepada PAS," katanya.

Abdul Aziz menolak kemungkinan bahawa tindakan mursyidul am itu akan menyebabkan PAS berpecah.

"Sejarah menunjukkan PAS tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik. Ini cuma ribut dalam cawan, dan mereka akan terus bersama sehinggalah penyelesaian sebenar tercapai," katanya.

Seorang lagi pemerhati politik, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata kepimpinan PAS kini dibelenggu beberapa isu yang sukar dirungkai.

"Pada saya masalah ini berakar umbi dengan percanggahan pendapat antara golongan ulama konservatif dan ulama yang agak liberal.

"Sekarang mereka bekerjasama dengan dua parti yang memang jelas liberal dan sudah pasti mempunyai kehendak yang berbeza.

"Mereka mempunyai satu persamaan iaitu mahu menguasai kerajaan pusat, tetapi daripada segi ideologi, bezanya macam langit dan bumi. PAS masih mahu menegakkan negara Islam tetapi apakah ini yang juga dikehendaki DAP dan PKR?" kata pemerhati itu.

Merujuk kepada isu alkohol di Selangor, pemerhati itu berkata Abdul Hadi tidak mampu menggunakan kuasanya bagi melaksanakan keputusan Majlis Syura Ulama agar Hasan dinasihat kerana tindakan sedemikian membawa mesej PAS merestui penjualan alkohol di kawasan majoriti orang Islam.

"Malah kalau kita teliti betul-betul, dulu pun semasa isu (anggota exco Selangor daripada PKR) Elizabeth Wong, PAS secara keseluruhan memisahkan diri mereka daripada isu itu kerana pada hakikatnya PAS masih berpegang kepada ideologi parti iaitu menegakkan ajaran Islam, dan tindakan Elizabeth (yang didakwa berkesedudukan dengan lelaki Islam), sekalipun beliau bukan Islam, adalah isu moral yang tidak patut disokong oleh PAS," katanya.

Berasaskan hujah itu, beliau melihat keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat kelmarin untuk menyiasat PAS Selangor, adalah sekadar untuk memuaskan hati sesetengah pihak.

"Mereka mungkin siasat tapi apakah keputusannya? Beranikah mereka menyingkirkan Dr Hasan Ali? Saya berpandangan isu ini juga lama-kelamaan akan didiamkan begitu saja," kata pemerhati itu.

Kesimpulannya, kata beliau, konflik kepimpinan PAS akan berterusan tetapi parti itu mempunyai formula yang menyatukan mereka sekalipun berkrisis.

"Pada saya perkara ini mungkin berfaktorkan kepada asas penubuhan parti iaitu agama Islam dan para pemimpinnya tetap berpegang kepada asas itu setidak-tidaknya untuk dipamer kepada umum sekalipun di dalam mereka berantakan," kata beliau.

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Asri Salleh, tindakan Nik Abdul Aziz menggoncang bahtera PAS mungkin berpunca daripada peningkatan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya melihat ada dua tekanan yang dihadapi oleh PAS sekarang akibat daripada peningkatan sokongan terhadap Najib ini, iaitu ada puak yang mahu PAS bekerjasama dengan Umno sekarang, dan ada puak yang mahu PAS kekal dengan Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-13.

"Pihak yang pertama ini bimbang jika mereka tidak bekerjasama dengan Umno sekarang mereka akan terlepas peluang kerana jika dilihat keadaan sekarang Umno dan BN mungkin menang besar pada pilihan raya umum 13 nanti.

"Tetapi pihak yang lagi satu pula mahu kekal dengan pakatan sekarang, dan saya melihat Nik Abdul Aziz sebagai seorang tokoh ulama, sudah pasti mahu berpegang kepada janji beliau untuk setia dengan Pakatan Rakyat," kata Asri, pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Terengganu.

Beliau tidak menolak kemungkinan Nik Abdul Aziz diasak oleh kumpulan profesional yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang PAS akan meninggalkan pakatan.

"Pada saya PAS sekarang berada di persimpangan dan mereka seharusnya mengambil langkah konkrit sama ada benar-benar komited dengan Pakatan ataupun bekerjasama dengan Umno," kata beliau.

Pandangan pemerhati-pemerhati politik ini serta cakap-cakap politik sebenarnya merumuskan PAS kini berada di persimpangan dan tidak mampu membuat keputusan kerana tersepit antara ikon mereka iaitu Nik Abdul Aziz dan juga hala tuju parti.

Mereka tidak mungkin menyingkirkan mursyidul am itu dan pada masa yang sama mereka juga perlu menentukan sama ada mahu kekal dengan pakatan yang bebeza ideologi atau menurut arus politik semasa dan bekerjasama dengan Umno.

DAP: Masalah Dr Hassan, bukan PAS

Jimadie Shah Othman


Masalah hubungan antara parti gabungan dalam Pakatan Rakyat di Selangor berpunca daripada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr Hassan Ali dan bukannya pemimpin lain dalam parti itu, kata seorang ahli parlimen DAP.

"Masalahnya dengan Dr Hassan sahaja. Dengan wakil rakyat yang lain tidak ada masalah. Macam wakil rakyat PAS Dr Shafie Abu Bakar (di Bangi) semua ini tidak masalah," kata wakil rakyat Serdang, Teo Nie Ching.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat khas PAS kelmarin yang memutuskan untuk mengheret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu ekoran isu-isu yang ditimbulkannnya – antaranya melibatkan kontroversi kawalan alkohol dan kritikannya terhadap siasatan DUN Selangor.

Dihubungi Malaysiakini, Teo berkata, kontroversi dalam pentadbiran di Selangor yang diakibatkan PAS selama ini berpunca daripada "masalah komunikasi" dalam menyalurkan pandangan masing-masing.

"Masalahnya komunikasi. Dalam parti, terdapat pelbagai pandangan tetapi soalnya bagaimana cara sesuatu pandangan itu hendak disuarakan?

"Dr Hassan yang selalu mengkritik keputusan exco di akhbar sebelum berbincang (dengan DAP dan PKR), itu memang tidak elok," katanya.

Mengalu-alukan campur tangan jawatankuasa pusat PAS semalam, Teo bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan keberkesanan tindakan itu selagi jawatankuasa disiplinnya belum membuat keputusan.

"Saya rasa kita perlu juga tengok apa keputusannya (jawatankuasa disiplin) nanti.

"Perkara ini masih belum tentu, kalau keputusan jawatankuasa disiplin PAS memutuskan Dr Hassan tidak bersalah, bagaimana?" katanya, yang juga timbalan ketua publisiti DAP.

"Bagaimanapun, saya rasa ia sesuatu yang bagus. Saya harapkan campur tangan pihak tertinggi PAS supaya perjalanan parti itu bertambah baik, sekali gus melancarkan hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan di Selangor."

Ditanya sama ada tindakan mengheret PAS Selangor kepada jawatankuasa disiplin parti itu terlalu lambat, Teo berkata:

"Setidak-tidaknya tindakan diambil. Ia sesuatu yang amat menggalakkan. Lebih baik lambat daripada tidak melakukannya.

Perjuangan PKR tidak bergantung pada individu - Wan Azizah

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perjuangan parti itu tidak bergantung kepada mana-mana individu.

Bagaimanapun, Wan Azizah mengakui parti pembangkang itu sedang berdepan dengan masalah dalaman ekoran peletakan jawatan beberapa pemimpin utamanya.

Menurutnya, rombakan kepimpinan PKR yang berlaku telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan pihak tertentu.

“Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya. “Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wan Azizah berkata, beliau sedia berbincang dengan semua pihak mengenai isu tersebut.

Sejak dua hari yang lalu, PKR menerima tamparan ekoran peletakan jawatan Naib Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Timbalan Ketua Wanita Sabah, Christina Liew serta desas-desus mengenai kemungkinan Setiausaha Agung Datuk Salehuddin Hashim juga akan meletak jawatan.

Bagaimanapun, Salehuddin menafikan beliau telah meletakkan jawatannya. Jeffrey dan Liew dilaporkan meletakkan jawatan masing-masing kerana kecewa dengan keputusan pimpinan tinggi PKR berkaitan beberapa isu dan yang terbaru berhubung pelantikan Ahmad Thamrin Jaini sebagai pengerusi PKR Sabah yang baru.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Azizah turut mengakui parti itu sedang berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihan raya umum Mac lalu.

“Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya.

“Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan,” katanya.

Katanya, PKR akan menempuh saat sukar tersebut bagi mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat mereka ke tahap perjuangan seterusnya.

"Sepanjang itu, kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti.

"Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti," katanya.

Nasharudin nafi beliau pemimpin Pas bermasalah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa semalam menafikan beliau seorang pemimpin 'bermasalah' seperti yang didakwa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya jika beliau seorang pemimpin bermasalah sudah tentu perwakilan tidak akan memilih beliau dan majoriti yang diperolehnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-55 pada Jun lepas menunjukkan sebaliknya.

Nasharuddin, yang terkejut kerana namanya turut disebut oleh Menteri Besar Kelantan itu, bagaimanapun berkata ini adalah amalan biasa bagi pemimpin atasan untuk memberi nasihat kepada anggotanya.

"Cara kami bekerja dalam PAS ialah terutamanya pemimpin atasan lebihlebih lagi beliau (Nik Aziz) sebagai pemimpin berpengaruh sentiasa memberi nasihat kepada kami.

"Beliau juga sentiasa mengingatkan kami mengenai sebarang isu dan apa sahaja tetapi dalam kes ini teguran itu datang menerusi blog (Tok Guru)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Penafian itu merupakan kenyataan sulung Nasharuddin sejak Nik Aziz menamakan beliau sebagai antara "dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah" dan mencadangkan parti itu mengadakan satu Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menentukan kedudukan pemimpin-pemimpin itu.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin dalam parti itu termasuk menyebut nama Nasharuddin, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr Hassan Ali yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Nik Aziz mendakwa perlunya ada perubahan dalam "pemainpemain utama" yang menduduki kerusi kepimpinan PAS di peringkat pusat ini kerana masih berterusan dengan isu kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Nasharuddin, bagaimanapun berkata Nik Aziz telah memperjelaskan apa yang dimaksudkannya dalam tulisan berkenaan kepada Jawatankuasa PAS Pusat semalam, dan jawatankuasa itu telah membuat keputusan tidak mengadakan EGM sebaliknya digantikan dengan Seminar Politik.

Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat lebih empat jam semalam sebulat suara memutuskan Muktamar Agung Khas (EGM) tidak akan diadakan, dan sebaliknya akan digantikan dengan seminar politik pada 7 Nov ini.

Selain itu, keputusan yang diumumkan Presiden parti itu turut mengarahkan jawatankuasa disiplin parti menyiasat PAS Selangor berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh Pesuruhjaya PAS negeri itu.

Khamis, 29 Oktober 2009

Penyelewengan Rumah PPRT Siri 1 – Rumah PPRT Jadi Pondok Jaga Kambing


TEPOH - Dua buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang telah siap dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) inimelalui projek Dana Khas (Wang Ehsan) sekitar 6 tahun lalu (tahun 2002), masih belum diduduki oleh pemiliknya,

http://www.buletinonline.net/images/stories/Berita12/PPRT1.JPGSiasatan Buletin mendapati, kedua-dua rumah khusus bagi golongan ‘miskin tegar’ itu dibangunkan berdekatan antara satu sama lain, atas sebidang tanah di Kampung Wakaf Mesira.

Tinjauan dibuat ke lokasi mendapati persekitaran rumah tersebut tidak terurus membuktikan dakwaan beberapa pihak terbabit, ia telah ditinggalkan kosong sejak lebih lima tahun lalu.

Satu sumber dalaman Umno memberitahu, kedua-dua rumah PPRT berkenaan adalah kepunyaan dua anak-beranak, yang telah pun mempunyai rumah kediaman masing-masing.

Bahkan, salah seorang pemiliknya dikatakan pernah bekerja dengan adik ipar kepada seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Pagar Ubi, bersebelahan dengan Kampung Wakaf Mesira.

Kos bagi pembinaan kedua-dua buah rumah tersebut hampir mencecah RM40,000, sepatutnya diberikan kepada dua orang lain yang benar-benar miskin dan memerlukan pembelaan untuk meneruskan kehidupan.

Dengan pemberian dua buah rumah tersebut kepada orang yang ‘bukan berhak’ menyebabkan dua orang yang benar-benar miskin, mungkin terlepas peluang untuk mendapatkan tempat berlindung.

http://www.buletinonline.net/images/stories/Berita12/PPRT2.JPGTindakan ’salahlaku’ pihak-pihak tertentu itu juga mengakibatkan peningkatan dalam perbelanjaan negeri dan negara.

Namun, oleh kerana menjaga ‘hubungan tertentu’ ia diselewengkan dan dilakukan sedemikian, tanpa sedikit pun rasa bersalah dan berdosa.

Sumber tersebut mendakwa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Mohammad Ramli Nuh telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut tetapi mempertahankan tindakan JKKK memberi kelulusan tersebut.

Katanya, Adun Tepoh itu mempertahankan kelulusan JKKK memberi rumah PPRT tersebut kepada orang ’kuat’ Umno kerana kedua-dua layak dan belum mempunyai rumah.

Tinjauan Buletin juga mendapati, terdapat dua ’kandang kambing’ bersebelahan rumah PPRT itu, seolah-olahnya, dua buah rumah sepatutnya dibina untuk membantu ’dua keluarga miskin’ kini hanya menjadi pondok untuk menjaga kambing, kepada golongan yang melakukan salahlaku dan penyelewengan tersebut.

S'gor: Siasat juga pembocor rahsia PAS

Jimadie Shah Othman


PAS Selangor hari ini menggesa parti itu turut menyiasat pembocor "rahsia parti" kepada umum, selain isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti itu malam tadi memutuskan PAS Selangor dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan Dr Hassan masih terlibat dengan isu tersebut.

Menyokong keputusan mesyuarat khas itu, setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Khairuddin Othman turut mendesak jawatankuasa disiplin menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat tuduhan terhadapnya jika didapati ia tidak benar.

"Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

"Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat parti seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog."

Dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Mohd Khairuddin berkata perkara yang dikelaskan sebagai rahsia itu termasuklah "apa yang terjadi dalam mesyuarat parti."

"Ia melibatkah ahli yang membocorkan apa yang berlaku dalam mesyuarat parti. Saya maksudkan mesyuarat badan perhubungan negeri, sebab ia adalah rahsia," katanya.

Ditanya sama ada "penuduh" yang dimaksudkan itu merupakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri yang membangkitkan isu itu di blognya, Khairuddin berkata:

"Tidak. Kenyataan itu dibuat secara umum. Boleh jadi sesiapa sahaja yang membuat tuduhan."

Tindakan disiplin berhubung isu rundingan PAS-Umno, yang berlarutan lebih setahun sehingga mencetus konflik berpanjangan, dibuat susulan desakan tegas Nik Aziz untuk mengadakan muktamar khas.

Menulis seminggu lalu, tokoh besar PAS itu mendesak sedemikian untuk membincangkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah", sehingga membawa kesan kemerosotan undi parti itu, seperti pada pilihan raya Bagan Pinang awal bulan ini.

Selain Dr Hassan, nama-nama yang disebut di Blog Tok Guru yang dianggap bermasalah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.

Berikut kenyataan penuh PAS Selangor:

PAS Selangor ingin merujuk kepada keputusan mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009 di Pejabat Agung PAS.

Pendirian PAS Selangor adalah seperti berikut:

PAS Selangor mengalu-alukan kesediaan PAS pusat untuk menangani kemelut yang berlaku dalam PAS sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat khas jawatankuasa kerja PAS pusat pada 28 Oktober 2009.

PAS Selangor juga menyambut baik keputusan untuk menolak EGM (mesyuarat agung khas) dan seterusnya menyelesaikan masalah dalaman melalui siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Seluruh kepimpinan dan ahli PAS negeri Selangor bersedia untuk disiasat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa disiplin parti. Kami menyeru agar siasatan ini dilakukan dengan serta-merta bagi mengembalikan integriti seluruh ahli-ahli PAS di negeri Selangor.

Bagi memulihkan imej parti, PAS Selangor menggesa agar jawatankuasa disiplin parti dapat membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang mengganggu-gugat PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui saluran media dan blog.

Bagi meninggikan prinsip-prinsip al-'adalah yang ditetapkan oleh Islam, PAS Selangor ingin menekankan jawatankuasa disiplin parti hendaklah juga menyiasat orang yang membuat tuduhan dan mengambil tindakan yang tegas kepada mereka sekiranya tuduhan tersebut tidak benar kerana mencetuskan suasana yang tidak stabil dalam parti dan seterusnya merosakkan imej parti.

Merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan, kami ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAS Selangor di semua peringkat telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan PAS negeri sebagaimana yang telah diputuskan melalui mesyuarat khas badan perhubungan PAS negeri Selangor yang bertarikh 27 September 2009.

PAS Selangor menyeru kepada semua ahli-ahli parti agar menghormati jawatankuasa disiplin parti di dalam menjalankan tugasnya dengan tidak membicarakan isu ini sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai.

PAS Selangor seterusnya menyeru kepada ahli-ahli PAS di Selangor agar bertenang dan membiarkan proses siasatan yang dilakukan oleh jawatankuasa disiplin parti selesai sepenuhnya. Semua ahli-ahli PAS di Selangor mestilah menyatakan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YB Tuan Guru Presiden.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Laporan jambatan runtuh dibentang pada mesyuarat khas Sabtu ini

BERNAMA


IPOH: Semua laporan dan hasil siasatan berhubung kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan sehingga mengakibatkan tiga murid maut akan dibentang pada mesyuarat jawatankuasa khas Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Mohd Zahir Abdul Khalid berkata mesyuarat yang dijangka berlangsung di sini pada pukul 10 pagi itu akan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

"Semua pihak yang terbabit termasuk Jabatan Pelajaran, Jabatan Kerja Raya dan polis akan bersamasama dalam mesyuarat khas itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, difahamkan beberapa pihak termasuk syarikat yang membina jambatan berkenaan, guru dan PPD telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu untuk membuat siasatan terperinci bagi menentukan fakta sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan dan membentangkan laporan itu kepada Alimuddin.

Muhyiddin berkata walaupun beliau dimaklumkan jambatan gantung itu adalah sumbangan sebuah syarikat, jawatankuasa berkenaan akan menyiasat sama ada pengawasan ketika kerja pembinaan jambatan gantung itu telah dilaksanakan dan sama ada pembinaan jambatan gantung itu mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

Dalam kejadian Isnin lepas, tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di pusat ko-kurikulum itu runtuh pada kirakira pukul 10.30 malam.

Kejadian malam tadi berlaku semasa aktiviti ko-kurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran PPD Kinta Selatan yang membabitkan 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah.

Mayat Dina Dewe a/p Nathan, 11, ditemui pada pukul 8.40 pagi Selasa lepas berhampiran loji di sungai itu kira kira empat kilometer dari tempat dia terjatuhMayat Diryasree a/p Vasudevan, 12, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng ditemui pada pukul 10.45 pagi ini berhampiran Tronoh Mine, Sungai Kinta, 25 km dari tempat kejadian manakala mayat Davadharshini a/p Maheswaran, 11, dari SJK (T) Mambang Diawan ditemui terapung pada pukul 11.30 malam tadi berhampiran Jambatan Mat Selangor, Tanjung Tualang, 15 km dari tempat kejadian.