HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2009

Minyak RON95 rosakkan enjin?

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Dua ahli Parlimen, masing-masing daripada PKR dan BN membangkitkan persoalan kualiti dan kebimbangan orang ramai terhadap minyak RON95 yang didakwa akan menjejaskan prestasi enjin.

Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) telah membangkitkan kualiti minyak tersebut yang diperkatakan banyak pihak sehingga terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin.

"Ada stesen minyak yang bukan Pteronas telah meletakkan notis bahaya terhadap minyak RON95 dan menyenaraikan jenis kenderaan yang boleh menggunakan minyak ini," katanya mendedahkan kepada Dewan Rakyat.

Manakala Hamim Samuri (BN-Ledang) menyatakan sekiranya minyak kuning (RON95) lebih efisien, maka adalah lebih baik hanya satu jenis minyak sahaja digunakan dan dicadangkan supaya minyak lain seperti RON97 ditarik balik.

Bagaimanapun, tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe yang menjawab solan tersebut.

Katanya sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

Kata Tan negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95.

"Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.

Bukit Antarabangsa: Jangan biarkan Pusat bersembunyi di belakang OSA

Harakahdaily


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tidak bersedia untuk membenarkan Kerajaan Pusat bersembunyi di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan terus menafikan hak penghuni Bukit Antarabangsa dan orang ramai bagi mendapatkan maklumat sebenar berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan bagi memboleh maklumat itu didedahkan sepenuh.

"Pada masa sama, pihak perundangan Kerajaan Negeri sedang mengkaji beberapa peruntukan lain untuk mengubah status dokumen
tersebut sekiranya Kerajaan Pusat terus menafikan permohonan Kerajaan Negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Khalid memaklumkan, kerajaan negeri telah mengeluarkan laporan mengenai kejadian tanah runtuh itu dari dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Namun, pihak kerajaan pusat membantahnya kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka bukannya kerajaan negeri.

Sehingga kini, laporan akhir kajian tentang punca kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa belum pun didedahkan kepada umum.

Ekoran itu Kerajaan Selangor berasa sangat kecewa kerana hasratnya untuk mengubah status laporan tersebut (to declassify) tidak mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

Kerajaan Negeri dan agensinya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudahpun menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya dan Kabinet Kerajaan Pusat memohon kebenaran untuk mengeluarkan laporan kepada umum tetapi sehingga hari ini, belum menerima jawapan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menegaskan pendiriannya sekali lagi bahawa Kerajaan Pusat mesti mendedahkan laporan tersebut demi kepentingan umum, terutamanya kepada penghuni Bukit Antarabangsa.

Laporan tersebut yang disediakan oleh Jabatan Cerun Bukit Kementerian Kerja Raya, dilaporkan sudahpun diserahkan kepada Majlis Perbandara n Ampang Jaya pada September lalu tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

Hanya pada November ini Kerajaan Negeri dimaklumkan mengenai laporan tersebut.

Oleh sebab laporan itu menyentuh isu tanah, iaitu dalam kuasa undang-undang Kerajaan Negeri, maka Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Kerajaan Negeri (MMKN) pada 18 November 2009, bersetuju menggunakan kuasa Menteri Besar menurut Seksyen 2C Akta Rasmi 1972 untuk mengubah status dokumen tersebut (to declassify the document).

"Dengan ini diberi penegasan di sini bahawa Ahli-Ali MMKN (EXCO) bersetuju mengambil tanggungjawab penuh terhadap keputusan pengubahan status laporan tersebut.

"Pegawai-pegawai lain Kerajaan Negeri pula tidak dilibatkan dalam usaha
membuat keputusan tersebut, dan dengan yang demikian, mereka tidak boleh
dikenakan tindakan undang-undang. Maka dalam hal ini, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk melindungi kesemua pegawainya daripada apa-apa tindakan undang- undang, jika ada, yang berkaitan dengan isu ini," kata Khalid dalam kenyataannya.

Kerajaan Negeri, katanya, sedang melakukan segenap usaha bagi memastikan badan-badan dalam Kerajaan Pusat memberikan kebenaran untuk mendedahkan apa-apa laporan kepada orang ramai.

Kematian Dalam Tahanan

Yang Pei Keng


Pada 18 Disember 2002, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Optional Protocol to the UN Convention Against Torture and Other Cruel and Unusual Treatment.

Negara yang menandatanganinya mesti membenarkan pakar hak asasi manusia, sama ada dari global mahupun lokal, untuk memeriksa situasi dan layanan terhadap tahanan dalam negara itu. Malah, pakar hak asasi manusia tersebut juga boleh mencadangkan langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan penahanan, agar selaras dengan Optional Protocol dan lebih memperlihatkan perikemanusiaan.

Ia berakhir dengan sokongan 127 buah negara dan bantahan 4 buah negara. Sementara itu, 42 buah negara memilih untuk berkecuali, dan Malaysia tersenarai dalam golongan ini. Dengan kata lain, Malaysia enggan membuka pintu untuk menyambut kunjungan pakar hak asasi, malah tidak bersedia untuk mempertahankan hak asasi rakyat Malaysia mengikut piawaian Optional Protocol.

Keadaan hak asasi yang buruk di Malaysia

Untuk Asian Human Rights Commission, pendirian Malaysia dalam isu ini tidak di luar dugaan. Antara alasannya, proses penangkapan dan penyiasatan sama ada terhadap suspek mahupun saksi, sering berlaku dengan penggunaan keganasan yang melampau.

Penilaian terhadap keadaan hak asasi manusia di Malaysia agak negatif, antara kenyataan Asian Human Rights Commission adalah:

1. Perlembagaan Persekutuan walaupun menjamin hak pembelaan peguam, tetapi pihak polis menganggap bahawa diri mereka berhak untuk menolak pemohonan suspek agar berjumpa dengan peguam, atas alasan perlembagaan tidak menyatakan masa untuk bertemu dengan peguam. Kuasa mutlak ini dianggap tidak wajar.

2. Banyak suspek berasal dari keluarga yang miskin dan taraf pendidikan yang rendah. Mereka gagal "menjalin hubungan yang baik" dengan polis untuk mengelakkan diri daripada diseksa.

3. Insiden tingkahlaku polis yang kasar, amalan rasuah sering didengar. Kuasa mereka seolah-olah mengatasi undang-undang. Kadang-kala, polis menangkap kerana "mengesyaki", maka "tangkap dahulu, siasat kemudian". Amalan ini menentang prosedur normal, iaitu "siasat dahulu, tangkap kemudian".

4. Kematian dalam tahanan polis sering dijelaskan sebagai "bunuh diri", "sakit jantung", "kematian semulajadi" dsbnya.

5. Apabila polis yang terlibat dalam salah laku didakwa, tuduhan itu biasanya ringan. Malah, polis yang berpangkat rendah sahaja dituduh, dan polis berpangkat tinggi terlepas.

Statistik kematian dalam tahanan

Statistik yang tepat mengenai bilangan kematian dalam tahanan nampaknya gagal ditemui. Wujudnya perbezaaan antara laporan rasmi dengan perangkaan yang dikemukakan oleh badan bukan kerajaan (NGO). Misalnya,

1. Menurut Laporan Hak Asasi Manusia 2008 yang dikemukakan SUARAM pada 23 Julai 2009, sejumlah 1,535 orang tahanan mati antara tahun 2003 hingga 2007 (tempoh empat tahun). 255 orang mati dalam penjara dan 13 orang mati dalam lokap pada tahun 2008 (tempoh setahun).

2. Pada Mac 2009, ketika Menteri Dalam Negeri menjawab soalan daripada ahli parlimen DAP, Liew Chin Tong, jawapan berbunyi 2,571 orang mati dalam penjara, pusat pemulihan, depot tahanan PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) antara tahun 1999 hingga 2009 (10 tahun). Antaranya, 2,563 (98.7%) mati ketika rawatan di hospital, 22 mati dalam perjalanan ke hospital dan 13 mati dalam penjara.

Malah, menurut Menteri Dalam Negeri, 108 orang mati dalam tahanan polis dari tahun 2000 hingga 2006; dan 95 orang mati di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor, dari tahun 2000 hingga 2007.

13 tahun sebelum ini, NGO telah mengemukakan laporan hak asasi manusia yang pertama, dan membangkitkan isu kematian dalam tahanan. Pada 18 Julai 1991, perangkaan rasmi dari parlimen menunjukkan 151 orang tahanan mati antara tahun 1980 hingga 1990 (10 tahun).

Kes-kes yang menonjol

Kerajaan tidak memaklumkan secara terperinci, butiran faktor kematian dan tindakan selanjutnya. Jelas, kerajaan tidak memantau dengan baik berhubung isu kematian dalam tahanan polis.

Dari tahun 1995 hingga 1997, media massa pernah melaporkan beberapa kes kematian dalam tahanan. Yang berikut adalah kes-kes yang mendapat perhatian media, dan memperlihatkan sejauh manakah penyalahgunaan kuasa oleh polis:

1.Kes Lee Quat Leong, tahun 1995

Lee Quat Leong, 42, seorang technician. Ditangkap kerana disyaki merompak bank. Beliau dipukul mati pada 12 Mei 1995. Penyiasatan Mahkamah Koroner mendapati 11 orang pegawai polis terlibat, termasuk empat orang pengawai tinggi yang perlu bertanggungjawab dalam jenayah ini. Namun, pada 14 Disember 1995, Far Eastern Economic Review melaporkan bahawa terdapat 45 luka luaran pada mayat, dan 7 tulang rusuk yang dipatahkan. Bagaimanapun, daripada 11 orang, hanya 2 orang pegawai polis yang didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan sahaja.

2. Kes M.Ragupathy, tahun 2002

Pada Julai 2002, sekumpulan orang muda bertembung dengan polis yang sedang meronda. Polis mengesyaki bahawa mereka terlibat dalam satu kes jenayah, maka kesemua mereka ditangkap. Antaranya, M.Ragupathy pernah menjalani pembedahan jantung. Dadanya kesakitan semasa dalam tahanan. Polis tidak mengendahkannya, walaupun Ragupathy tidak dapat makan untuk tiga hari, malah muntah.

Selepas beberapa hari, barulah polis membawanya ke klinik kerajaan, tetapi doktor tidak ada di situ. Maka, seorang jururawat memberikannya ubat penyakit asma.

Keadaannya semakin parah selepas beberapa hari. Polis menghantarnya ke hospital Putrajaya. Pada hari keesokan, doktor mengesahkan kematian Ragupathy. Dua bulan kemudiannya, Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata dalam parlimen bahawa polis tidak perlu memikul apa-apa tanggungjawab jenayah.

3. Kes Vivasanu Pillay

Vivasanu Pillay yang ditahan oleh polis, telah ditemui mayatnya dalam satu sungai. Polis mendakwa Vivasanu terjatuh ke dalam sungai ketika melarikan diri dari balai polis Dang Wangi. Walau bagaimanapun, keluarganya pula mendakwa Vivasanu telah mati dalam tahanan, dan dibuang ke dalam sungai. Timbalan Menteri Dalam Negeri kemudiannya berkata di parlimen bahawa kematiannya tiada kena-mengena dengan polis.

4. Kes Sudan a/l Lolam, tahun 1995

Pada 4 Mac 1996, satu NGO orang asli di Semenanjung Malaysia mengadu kepada pengarah polis Negeri Pahang, bahawa seorang kaum asli telah meninggal dunia 9 bulan yang lalu, ketika dalam tahanan polis. Polis pula mendakwa bahawa Sudan membunuh diri dengan menggantung dirinya menggunakan singlet.
Buy Apple® Computer Buy a new iMac, MacBook and more direct from Apple.

5. Kes kematian 46 orang PATI, tahun 1995

Setelah laporan penyiasatan Tenaganita diumumkan pada tahun 1995, Timbalan Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa sejumlah 46 orang PATI mati di beberapa pusat tahanan, antaranya pusat tahanan di Semenyih telah mencatatkan kematian 42 orang pendatang asing.

Mereka dikatakan mati kerana penyakit biasa, seperti sakit perut. Tiada laporan bedah siasat mayat. Malaysian Medical Association berkata penyakit sedemikian boleh diubati segera. Sehingga hari, tiada orang disabitkan kesalahan jenayah.

6. Kes A.Kugan, Tahun 2009

Pada 15 Januari 2009, A.Kugan, 22, ditangkap dan ditahan di balai polis Taipan, Subang, mati secara tiba-tiba dalam tempoh lima hari tahanan polis. Beliau yang dituduh mencuri kereta, tidak sedar diri ketika soal siasat polis, dan kemudian dihantar ke hospital Serdang.

Laporan bedah siasat pertama menunjukkan Kugan mati kerana paru-paru berair. Keluarganya yang tidak berpuas hati dengan laporan itu menuntut bedah siasat kali kedua. Hasilnya, Kugan didapati dipukul dengan benda seperti paip getah.

Daripada 11 orang polis yang ditukar jawatan kerana kes ini, hanya seorang yang didakwa atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah bagi memeraskan pengakuan bersalah dari Kugan.

7. Kes Teoh Beng Hock, tahun 2009

Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor (DAP) dipanggil sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk soal siasat satu kes rasuah yang melibatkan wang kira-kira RM2000. Beliau didapati mati di tingkat lima bangunan sebelah pejabat SPRM.

Kes ini mencetus kemarahan orang awam, malah PM terpaksa mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Di-Raja setelah didesak oleh masyarakat umum. Walau bagaimanapun, kes ini masih dalam penyiasatan di Mahkamah Koroner.

*Yang Pei Keng ialah seorang peguam, dan kolumnis di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Adakah Selangor Bakal Dijatuhkan Menjelang Bulan January?

Raja Petra Kamarudin


Dua minggu sebelum kerajaan Pakatan di Perak jatuh, saya menyarankan kepada mereka supaya mengadap Sultan Perak dan meminta agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya diadakan.

Malah saya memberitahu tentang hal ini kepada Anwar Ibrahim. Katanya, kebimbangan saya tidak berasas kerana beliau telah bercakap dengan Lim Kit Siang. Menurutnya, Kit Siang telah meyakinkannya bahawa masalah berkenaan Hee telah diselesaikan dan bahawa segalanya elok-elok belaka.

Namun saya masih berkeras supaya mereka meminta agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan, yakni sementara mereka masih memiliki majoriti kerusi dalam DUN Perak. Ketahuilah bahawa apabila mereka kehilangan majoriti ini, Sultan tidak perlu mempertimbangkan permintaan mereka. Ini kerana pada masa itu, mereka tidak lagi menguasai kerajaan Perak.

Selagi Pakatan Rakyat masih menguasai kerajaan Perak, maka Sultan tidak mempunyai alasan untuk menolak permintaan Pakatan Rakyat. Bahkan jika baginda menolak permintaan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, baginda melakukannya tanpa alasan yang sah. Dengan demikian, memang nampak sangat bahawa baginda adalah alat UMNO.

Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Kita semua tahu bahawa Sultan telah disogok untuk menggulingkan Pakatan Rakyat. Bahkan baginda diugut berkenaan dengan status Raja Nazrin sebagai penggantinya. Pendek kata, baginda ditawarkan kedua-duanya… gula-gula pun ya… rotan pun ya. Maka, seperti mana-mana kanak-kanak yang berhadapan dengan situasi seperti itu, baginda disorong tarik semahunya oleh UMNO.

Selain itu, saya juga ada menulis tentang lain-lain hal yang perlu diwaspadai Pakatan Rakyat. Pada masa ini, memanglah Pakatan Rakyat menguasai majoriti kerusi dalam DUN Selangor. Tetapi ini tidak bermakna bahawa mereka menguasai kerajaan Selangor.

Sebenarnya, ramai di kalangan staf agensi dan jabatan kerajaan negeri merupakan hubaya UMNO. Mana tidaknya… mereka sebenarnya ditempatkan di situ dan dapat naik pangkat disebabkan hubungan mereka dengan UMNO. Jadi, sementara Pakatan Rakyat menguasai ‘kepala’ kerajaan Selangor, mereka takkan dapat mengawal ‘badannya’. Nampaknya, apabila kepala ke kiri, badan pula ke kanan, dan sebaliknya.

Perkara pertama yang Khir Toyo lakukan apabila Selangor jatuh ke tangan pembangkang (selain menghapuskan segala bukti kesalahan) adalah mengarahkan agensi dan jabatan kerajaan negeri untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat. Inilah yang mereka lakukan... saban hari… saban minggu. Maka terjadilah peristiwa yang tidak diduga, seperti isu bir, penangkapan bekas mufti Perlis, perobohan kuil dan lain-lain lagi.

Bolehlah dikatakan bahawa bukan hanya kepala yang bergerak ke arah yang bertentangan dengan tubuh, malah tangan kiri juga tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan.

Inilah taktik mereka bagi menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor - dengan mewujudkan ketidakpuasan hati dengan melakukan banyak perkara yang 'tidak popular', semata-mata kerana ingin menyusahkan rakyat. Akibatnya, para pengundi naik muak dengan pembangkang dan akhirnya, mereka menolak pembangkang. Inilah yang berlaku di Terengganu pada tahun 2004. Pembangkang hanya dapat menguasai kerajaan Terengganu selama lima tahun.

Saya sudah mengingatkan Ronnie Liu tentang hal ini. Sebenarnya, portfolio EXCO Ronnie Liu adalah portfolio yang paling sukar dan paling menimbulkan kontroversi. Ini kerana ia melibatkan majlis tempatan dan sebagainya. Nah, inilah lubuk pelbagai masalah.

Kalau mereka hendak mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat, mereka hanya perlu mengabaikan pembaikian jalan ataupun sengaja tidak mengutip sampah ataupun tidak menukar lampu jalan yang sudah terbakar ataupun tidak membaiki paip-paip air yang pecah. Buatlah yang ini saja pun dah cukup. Dah tentu rakyat naik bosan. Tak perlu buat perkara besar, pun. Cukupah sekadar mensabotaj benda-benda yang remeh, dan rakyat akan menendang kerajaan negeri ke tepi jalan. Itulah… apabila hanya ‘kepala’ yang dapat dikawal, bukannya susah sangat nak sabotaj kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Ramai usahawan Cina di Selangor yang berasa jengkel. Mana tidaknya, rasuah makin menjadi-jadi. Tidak ada perkara yang berubah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih. Kepala samseng UMNO (warlord) masih menguasai pejabat tanah, majlis tempatan dan lain-lain lagi. Nak kelulusan untuk projek? Lesen? Permit? Kalau nak, pergilah mengampu kepala samseng. Kalau anda berurusan melalui Pakatan Rakyat dan melangkau kepala samseng, projek anda takkan berjaya.

Para usahawan Cina mendapati bahawa mereka masih perlu mengadap kepala samseng dan membayar ‘emas permata’ kepada mereka supaya urusan perniagaan mereka berjalan lancar. Bahkan apabila mereka pergi menemui wakil Pakatan Rakyat, mereka mendapati wakil Pakatan Rakyat seperti ketua diikat tangan. Bukan boleh buat apa, pun! Ya, memanglah mereka boleh telefon si polan ataupun si fulan, tetapi itu pun tak jalan. Tetapi jika usahawan-usahawan Cina itu pergi menemui kepala samseng dan membayar ‘ufti’ kepadanya, segalanya beres.

Sedarlah… bukan Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor. Jadi, siapa yang mentadbir Selangor? Siapa lagi, UMNOlah. Jadi, jika anda nakkan sesuatu, tak payahlah jumpa wakil Pakatan Rakyat. Pergilah ‘menyembah’ ketua samseng dan bayarlah wang yang diminta. Pasti semuanya berjalan lancar.

Di Selangor, bukan kepala yang menggerakkan badan, tetapi badanlah yang menggerakkan kepala. Kalau tak percaya, cubalah tanya mana-mana usahawan Cina yang berniaga di Selangor.

UMNO memberitahu 'kuncu-kuncu mereka' di agensi dan jabatan kerajaan negeri Selangor bahawa pada Januari 2010, Barisan Nasional akan kembali menguasai Selangor. Jadi, semua perkara perlu ditangguhkan. Kelulusan dan segala macam permohonan diletakkan ke tepi terlebih dahulu… sehinggalah Barisan Nasional mengambil alih. Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak dapat berbuat apa-apa bagi melancarkan urusan.

Apabila anda berjumpa dengan staf di agensi atau jabatan kerajaan negeri Selangor untuk sesuatu urusan, mereka tidak akan mempedulikan anda. Kalau pun anda membuat aduan kepada wakil Pakatan Rakyat, mereka hanya dapat membuat panggilan telefon… itu saja. Kalau anda meminta wakil Pakatan Rakyat untuk terus campur tangan, alamatnya urusan yang anda nak selesaikan makin tak ke mana. Ia adalah seperti memandu dalam lumpur. Semakin anda memecut, semakin tersekatlah anda.

Jadi, Januari 2010 menjadi tarikh yang disasarkan Barisan Nasional untuk mengambil alih Selangor. Inilah yang diberitahu UMNO kepada kuncu-kuncunya di agensi dan jabatan kerajaan negeri.

Selain itu, ramai di kalangan wakil Pakatan Rakyat akan menghadapi segala macam dakwaan jenayah, termasuk pertuduhan rasuah. Anwar Ibrahim juga tidak terkecuali. UMNO telah mengarahkan jentera pilihanraya mereka untuk bersiap-sedia menghadapi sekurang-kurangnya sepuluh pilihan raya kecil. Ini kerana tak lama lagi, akan ada sepuluh kerusi kosong.

Tidak cukup dengan itu, terdapat ramai manusia berkepala UMNO dalam PKR, PAS dan DAP. Mereka sengaja ditempatkan di situ. Tiba saatnya, semua kuncu UMNO ini akan bertindak, sebagaimana yang berlaku di Perak. Apabila ini berlaku, maka berakhirlah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Pakatan Rakyat, berhati-hatilah. Kerajaan Selangor mungkin takkan bertahan lama. UMNO telah menetapkan Januari 2010 sebagai bulan di mana Selangor kembali menjadi miliknya. Kini, mereka sedang melakukan banyak perkara secara serentak bagi memastikan mereka berjaya. Ya, ketika kami mengingatkan kamu tentang Perak, kamu ketawa terkekeh-kekeh. Sekarang, kami ingin mengingatkan kamu tentang situasi di Selangor. Masih ingin ketawa? Kalau kamu kehilangan Selangor, saya akan kerjakan kamu cukup-cukup. Ingat, ini bukan ancaman kosong.

Pembangunan Tidak Terancang dan Tidak Sempurna Punca Banjir


KUALA TERENGGANU – Banjir merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun di negeri ini, yang menerima kadar hujan lebih banyak pada musim tengkujuh. Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, namun ada nyawa yang turut terkorban, pada setiap kali ia berlaku.

http://buletinonline.net/images/stories/berita14/IMG_6355.JPGWalaupun ia dianggap sebagai bencana alam, tinjauan Buletinonline mendapati, rata-rata rakyat berpendapat ia boleh dikawal sekiranya pembangunan yang dilakukan secara terancang, terkawal dan sempurna.

(Gambar - banjir di jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, pembahagi jalan terpaksa di korek bagi memberikan laluan air, contoh pembangunan yang tidak sempurna)

Wakil Rakyat Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar percaya, sekiranya perparitan sempurna dan ‘longkang tengkujuh’ (Monsoon Drain) dibina dan di selenggara dengan baik, banjir di kawasan bandar dapat diatasi.

Menurutnya, longkang-longkang sedia ada adalah longkang yang sudah lama, ditambah dengan kurangnya penyelenggaran menyebabkan sampah sarap tersumbat.

”Apabila hujan lebat turun, air melimpah dan membanjiri kawasan-kawasan rendah,”katanya ketika dihubungi.

Seorang ibu yang baru selesai mengadakan majlis kenduri kahwin dua anaknya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan banjir melanda kawasan rumahnya, baru-baru ini.

Maria Muda, 52, dari Bandar Dungun menyifatkan, banjir pada tahun ini adalah yang terburuk kerana ia tidak pernah berlaku dikawasan rumahnya sejak lebih 20 tahun lalu.

Beliau yang juga kakitangan kerajaan di Hospital Kemaman berkata, walaupun daerah ini pernah dilanda banjir besar sebelum ini, namun kawasan rumahnya terselamat.

Bagaimanapun katanya, sejak pembinaan laluan pejalan kaki di bahu jalan, rumahnya turut mengalami banjir teruk.

“Habis perkakas rumah termasuk perabot dan peralatan elektrik ditenggelami air. Peralatan kenduri kahwin juga turut musnah.

“Kejadian ini pertama kali berlaku dan ia dipercayai berpunca daripada air hujan bertakung disebabkan tiada saluran keluar susulan projek pembinaan laluan pejalan kaki di bahu jalan, kedua-dua arah,” jelasnya.

Sementara itu, Shafie Ibrahim, 50, seorang daripada 45 mangsa banjir dari Taman Ros berkata, pihak berkenaan sepatutnya membuat perancangan teliti sebelum menjalankan sesuatu projek, walaupun dari segi fizikalnya, ia nampak cantik.

“Projek pembinaan laluan pejalan kaki hanya elok mata memandang, namun apabila hujan lebat, kami rakyat yang terpaksa menanggung derita,” katanya

Manakala di daerah Hulu Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nasi Dingin, Yusuff Taib berkata, banjir gelombang kedua melanda Terengganu beberapa hari lalu adalah kerana limpahan air sungai dan juga air hujan yang bertakung.

Katanya, ia bukan sahaja menyebabkan puluhan kampung di daerah Hulu Terengganu dinaiki air tetapi lebih 10 keluarga, di kampungnya terpaksa menghadapi kejadian banjir kilat.

Katanya, longkang sedia ada di kawasan terlibat bukannya daripada konkrit sebaliknya hanya parit dan sekali gus ‘memudahkan’ air melimpah sekiranya hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Tambah mengecewakan, kejadian seumpama itu bukanlah pertama kali dihadapi mereka sebaliknya sudah bertahun lamanya berpunca daripada sistem perparitan tidak sistematik dan malangnya ia masih belum berakhir kerana tiada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, parit berkenaan juga tersumbat dan dipenuhi pasir atau tanah sehingga mengakibatkan air tidak dapat mengalir lancar.

“Akibatnya, limpahan berlaku sehingga mengundang kejadian banjir kilat kepada penduduk.

“Masalah berkenaan sudah berada dalam perhatian serta pengetahuan pihak berkaitan dan pihak JKKK juga sentiasa membuat susulan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya projek pembinaan longkang konkrit dapat dibina secepat mungkin sebagai cara bagi mengatasi kejadian banjir kilat.

Di Marang, Tuan Sulaiman Tuan Senik, 40, yang berasal dari Kampung Kubu, berkata kerajaan mestilah merancang dengan teliti pembangunan yang dilaksanakan bagi mengelakkan banjir terus berlaku.

Katanya, pembangunan yang pesat adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi, namun sekiranya dilaksanakan tanpa perancangan menyebabkan perlaksanaannya tidak sempurna.

Menurutnya, walaupun berlaku banjir sebelum ini dikampungnya, ia tidak seburuk sebagaimana terjadi pada tahun ini.

”Pembangunan tanah, samada membangun ladang atau kebun, serta membina kawasan penempatan mestilah dirancang,

”begitu juga dibandar-bandar, mestilah pembangunan kemudahan asas seperti jalan dan longkang mesti di bina,”ujarnya.

Katanya, banjir yang berlaku juga boleh dikawal sekiranya semua sungai dan anak-anak sungai di selenggara mengikut keperluan semasa, bagi menampung aliran air mengelakkan limpahan.

Negeri Kedua Termiskin Menawarkan Hadiah Paling Lumayan Di Dunia !


http://buletinonline.net/images/stories/berita14/mcupmembazir.jpgKUALA TERENGGANU – Terengganu, negeri yang kedua termiskin di Malaysia, selepas Sabah, menawarkan hadiah yang paling lumayan dalam edisi kelima Kejohanan Lumba Perahu Layar Piala Monsun.

Sukan yang penuh kontroversi dan misteri itu akan berlangsung di Pulau Duyong di sini dari 1-6 Disember, menawarkan hadiah wang tertinggi dalam semua kejohanan dan sukan pelayaran di seluruh dunia dengan jumlah RM1. 57 juta (USD454, 000).

Peningkatan hadiah wang tunai tersebut dilaporkan kerana komitmen penaja utama dan kerajaan negeri Terengganu.

Pemenang kejohanan tersebut akan meraih RM360, 000 (USD104, 000) sementara pasukan yang terditempatkan terkcorot juga (tempat ke 12) masih boleh menerima RM50, 000 (USD14, 400).

Sementara itu, Pengarah Piala Monsun, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata matlamat tersirat penganjuran piala monsoon tercapai.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun 'kejayaan' yang dimaksudkan sukar diterjemah dalam bentuk data atau statistik, sejak ia dimulakan pada 2004, pelbagai sektor di negeri pantai timur itu menerima manfaatnya sama ada secara langsung atau tidak

200 pegawai Jakim di kampung Orang Asli

BERNAMA


GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menempatkan 200 pegawai di semua perkampungan orang Asli di negara ini bagi memastikan masyarakat itu mendekati agama Islam secara lebih mendalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, rancangan penempatan itu merupakan pendekatan tambahan bagi memperkasakan program dakwah yang menjadi alternatif pendidikan Islam di peringkat rendah bagi golongan tersebut.

“Program ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan dan mendekatkan masyarakat orang Asli dengan masyarakat di sekeliling mereka,” katanya kepada Bernama selepas Program Ekspedisi Kasih sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Pos Hendrop, dekat sini, semalam.

Beliau juga meminta semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Kelantan supaya meningkatkan kerjasama bagi menggerakkan aktiviti dakwah. Pada majlis tersebut Jakim menyumbangkan enam ekor lembu untuk ibadah korban selain menyaksikan 150 penduduk orang Asli memeluk Islam.

BTN tetap diteruskan di Selangor

UTUSAN ONLINE


JITRA - Kursus Biro Tata Negara (BTN) tetap diteruskan di Selangor walaupun kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang di bawah kuasa kerajaan negeri berkenaan dilarang mengikuti kursus tersebut baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana bukan semua kakitangan kerajaan di negeri itu tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Pegawai Kerajaan Persekutuan banyak di Selangor, begitu juga dengan pelajar universiti, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan belia boleh diberi kursus BTN," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian baru UMNO daripada 200 belia di Kampung Seberang di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man dan ADUN Bukit Kayu HItam, Datuk Zaini Japar turut hadir.

Ahmad diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor Rabu lalu melarang kakitangan awam dan pelajar IPT yang di bawah kuasa kerajaan tersebut daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta merta.

Ia berikutan dakwaan kononnya ia sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hinggakan mencetuskan fenomena perkauman.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana BTN dianjurkan bagi memupuk semangat patriotisme tanpa mengira fahaman politik dan menjunjung Perlembagaan Negara.

"Ia juga diadakan supaya nilai murni, disiplin, semangat berpasukan dan hormat menghormati diterapkan kepada peserta agar dapat mengatur kehidupan lebih baik, jadi lebih berani dan yang penting mempunyai disiplin tinggi terutama dalam menjaga amanah.

"Sebab itu diperkenalkan konsep JERI iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan peserta," kata beliau.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa BTN mencetuskan fenomena perkauman, Ahmad menegaskan, pihak berkenaan terutamanya kerajaan Selangor boleh mengadakan kursus tersendiri tetapi jangan sampai mengeluarkan kenyataan tidak elok terhadap BTN.

"Namanya pun Biro Tata Negara, kursus pula Kursus Bina Negara dan tempat diadakan pun nama Kem Bina Negara, ini semua untuk menerapkan semangat cintakan negara.

"Pembangkang kalau nak buat kursus sendiri, buatlah janganlah buat dakwaan tidak betul terhadap BTN.

"Kita (kerajaan) tetap akan teruskan, kita juga mempunyai banyak kem untuk penganjuran kursus ini di Selangor, tidak ada masalah," kata beliau.

Kalimah Allah, Muhammad pada hirisan daging korban



SEORANG penduduk, Marzuki Taib menunjukkan gambar hirisan daging korban yang tertera kalimah Allah dan Muhammmad di Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram, Johor Bahru, kelmarin.

UTUSAN ONLINE

JOHOR BAHRU - Penduduk Taman Bukit Jaya, Ulu Tiram di sini terkejut apabila seketul daging korban yang diterima didakwa mengandungi kalimah Allah dan Muhammad.

Pengerusi surau taman berkenaan, Che Ahmad Safar, 58 berkata, pada mulanya, seorang penduduk menghiris ketulan daging tersebut untuk digoreng di rumahnya petang semalam.

Bagaimanapun katanya, ketika menghiris ketulan daging itu kepada enam bahagian, penduduk itu berasa pelik apabila ternampak urat lemak daging itu mempunyai kalimah tersebut.

Kerana terkejut, penduduk tersebut memberikan hirisan daging berkenaan kepada Che Ahmad.

Pengerusi surau itu kemudian menunjukkan enam ketul hirisan daging itu kepada penduduk lain dan para jemaah surau itu bagi mengesahkan apa yang dilihat.

"Ternyata setiap penduduk mengakui bahawa lakaran tersebut adalah kalimah Allah dan Muhammad.

"Bila saya nampak maka rasa kesyukuran bertambah kerana ini adalah antara tanda kebesaran Allah dan mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada mereka yang menyumbang dengan ikhlas dalam ibadah korban ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, selepas disemak, daging berkenaan adalah daripada bahagian paha seekor daripada enam ekor lembu yang dikorbankan oleh penduduk di surau berkenaan.

Tambah Che Ahmad, setakat ini, lima hirisan berkenaan masih disimpan dalam peti sejuk.

Undang-Undang Kecil PBT Yang Usang Wajar Dipinda, Kata Muhyiddin

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai undang-undang kecil yang dipakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini wajar dipinda atau diubahsuai jika ianya didapati sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata ini penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.

"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai itu...satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa-penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) ke23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini. Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh presiden Anulae Semenanjung Malaysia Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamkan.

Muhyiddin berkata sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PM musykil doa bala Nik Aziz

BERNAMA


Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat menteri besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Perdana menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keislaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata perdana menteri kepada wartawan Malaysia ketika ditanya mengenai perkara itu di Port of Spain semalam.

Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," katanya yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir semalam.

Menurut perdana menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Menyentuh krisis dalaman MCA, Najib berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Saya telah pun menyerahkannya kepada timbalan saya Tan Sri Muhyiddin Yassin (untuk menyelesaikan masalah itu)," katanya.

"Jika tidak, saya mungkin perlu bercakap dengan kumpulan (yang berbalah) itu," kata Najib.

Sukatan kursus BTN akan dirombak

Rahmah Ghazali


Kabinet bersetuju merombak sukatan program kontroversi Biro Tatanegara, yang dipertikaikan Pakatan Rakyat, supaya sejajar dengan slogan 1Malaysia.

Bercakap kepada media di Parlimen hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan jemaah menteri itu dibuat bagi menjadikan kursus itu lebih merangkumi pelbagai kaum dan tidak menjadinya sumber perpecahan.

"Jadi saya bersetuju ia sewajarnya dirombak agar kurikulumnya selari dengan konsep 1Malaysia kerana kita telah membelanjakan terlalu banyak wang (untuk menjayakannya)," katanya.

Tambahnya, beliau percaya arahan untuk merombak kursus BTN telah disampaikan kepada ketua setiausaha negara.

Kerajaan Selangor minggu lalu memutuskan untuk melarang kakitangannya dan pelajar di pusat pengajian tinggi miliknya daripada menyertai sebarang program anjuran biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Ia berhujah program BTN menyebarkan sentimen perkauman dan menyuntik kepentingan politik BN dalam program-programmnya.

BTN: Sharizat dinasihat tumpu selesaikan isu feminisme

Oleh: Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR : Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menasihatkan Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil agar segera menyelesaikan isu-isu feminisme berbangkit berkaitan kementeriannya sebelum ini.

Baginya, Sharizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak perlu terlalu asyik memperkatakan isu keputusan kerajaan Selangor melarang Biro Tata Negara (BTN) dari mengakses mahasiswa, kakitangan awam dan pekerja sokongan kerajaan itu.

“Saya rasa banyak isu feminisme seperti kes rogol juvana kaum minoriti Penan dibangkitkan (oleh) MP-MP (Ahli-Ahli Parlimen) Wanita PAS (dan) Pakatan Rakyat, tetapi beliau (Shahrizat) tak selesaikan,” jelas Nuridah ketika dihubungi semalam.

Beliau juga menasihatkan Sharizat menangani beberapa isu kezaliman berkaitan pembantu rumah wanita Islam-Indonesia belakangan ini.

“Sebenarnya banyak lagi isu berkaitan wanita kalau nak sebut…(seperti) isu penderaan pembantu rumah Indonesia yang beragama Islam umpamanya, dinafikan hak beramal dengan agamanya,” jelasnya.

“Sampai sekarang saya lihat tidak ada suatu polisi yang jelas untuk lindungi hak-hak mereka (pembantu rumah Indonesia)…yang kita lihat ada saja kes-kes penderaan.”

Dalam isu berkaitan, beliau bersetuju dengan pendirian Dr. Halimah Ali mencadangkan Kerajaan Selangor menghentikan serta-merta kursus BTN ke atas penjawat awam negeri itu.

"Saya setuju dengan Dr. Halimah, Adun Selat Kelang (berhubung) BTN berperanan seolah-olah agensi propaganda perkauman Umno, memburuk-burukkan pembangkang khususnya PAS dengan dakyah perkauman Melayu yang ekstrem,” ujarnya.

“Ianya dikatakan lebih mengutamakan agenda sempit kepartian Umno…(Kerajaan) Selangor ada bukti berdasarkan respon dan keluhan peserta yang ikut serta kursus ketatanegaraan BTN.”

Semalam, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata, BTN menerapkan semangat patriotisme selari dengan konsep 1Malaysia, bukanlah seperti yang didakwa pembangkang.

Rabu lepas, kerajaan Selangor mengeluarkan arahan serta-merta menglarang BTN menganjurkan program di Selangor kerana mendakwa badan itu melaksanakan indoktrinisasi yang salah.

'Jejak Fakir Kita Bersaudara' dekati golongan pengemis buta di Sarawak

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Berobjektif mengenali dan memahami masalah kehidupan pengemis buta di jalanan, Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) awal bulan ini telah menganjurkan program Jejak Fakir Kita Bersaudara baru-baru ini..

Menyedari kewajipan sebagai seorang muslim untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, Ketua Penerangan, Amal Amani serta Ketua Muslimatnya bersama-sama jentera muslimat negeri turun padang menjejaki fakir-fakir miskin di sekitar Satok, India Street dan Jalan Gambir.

Bantuan bahan makanan asasi seperti beras dan gula diagihkan kepada mereka yang kurang mendapat pembelaan dari pihak berwajib ini.

Hasil perkenalan mereka dengan golongan peminta sedekah ini, ada di antara mereka yang merantau jauh dari Miri dan menumpang di rumah rakan di Kuching serta terputus bantuan wang ehsan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ekoran tidak menuntut wang tersebut dalam tempoh dua bulan.

Jika difikirkan dari segi logiknya, untuk menyeberang jalan pun golongan ini memerlukan bantuan, apatah lagi untuk pergi sendiri ke JKM bagi menuntut hak mereka yang tidak seberapa, kata Amal.

"Ini jelas menunjukkan JKM sambil lewa dalam menjalankan tugas mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kesempatan itu juga Aaml memberitahu, lebih dua ratus 'flyers' diedarkan kepada masyarakat awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan bagi memperkenalkan PAS kepada masyarakat Sarawak khususnya di Bandaraya Kuching.

Selain itu, bahan-bahan edaran Kita Bersaudara seperti 'batch' dan pelekat turut dihadiahkan kepada masyarakat setempat.

Meskipun program tidak sampai sehari iaitu bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 petang namun ianya sangat bermakna bagi pelaksana kerana kehadiran mereka disambut mesra dan girang oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira golongan kanak-kanak mahupun golongan dewasa dan warga emas.

MB : Program Alternatif Ganti BTN

TV SELANGOR


Kerajaan Selangor akan memperkenalkan kursus jati-diri patriotisma yang tersendiri bagi menggantikan kursus tarbiyah Biro Tata Negara yang diharamkan kerajaan negeri baru-baru ini.

Bercakap kepada wartawan di majlis sambutan ulangtahun Malaysiakini malam semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata usul ini dicadangkan oleh kesemua negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Tan Sri Khalid berkata Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang turut mengekori langkah Selangor menyekat penuntut universiti dan penjawat awam negeri dari menghadiri tarbiyah BTN.

Biro Tata Negara mengundang kontroversi selepas tujuh wakil rakyat Selangor menyerahkan memorandum menggesa penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri dan penjawat awam negeri dilindungi dari program indoktrinasi BTN.

Memorandum tersebut berkata akal peserta BTN disusun-semula supaya membenci kaum Cina dan parti-parti yang tidak sealiran dengan Umno-BN.

Sehubungan itu, Tan Sri Khalid mengambil keputusan menyekat penyertaan penjawat awam negeri dan para penuntut di institut pendidikan milik kerajaan negeri bagi menjaga keharmonian di Selangor yang pernah menyaksikan ketegangan akibat tingkah-laku Umno dalam kes demo kepala lembu.

"Ini idea paling baik daripada Selangor ,kerana program BTN sebelum ini tidak menunjukkan pelajar supaya berfikiran terbuka sebaliknya pelatih mengajar perkara yang tidak sepatutnya diajar kepada pelajar,"jelasnya.

Langkah melindungi minda anak bumi Selangor dari dakyah perkauman sempit bagaimanapun mengundang reaksi keras dari kerajaan Pusat. Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ajaran BTN adalah selari dengan konsep 1 Malaysia.

Tan Sri Khalid bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan itu dan menolak dakyah yang mengajak pengikut kepada membenci manusia lain.

Kerajaan Pulau Pinang Haram BTN

TV SELANGOR


Selang beberapa hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil keputusan melarang pegawainya mengikuti program Biro Tata Negara (BTN) hari ini kerajaan Pulau Pinang pula mengambil langkah sama.

Menurut Ketua Menteri Lim Guan Eng, beliau tidak nampak ada keperluan untuk pegawai kerajaan negeri berkenaan menjalani program tajaan Barisan Nasional itu yang disifatkannya sebagai propaganda politik semata.

Kata beliau program itu dianjurkan hanya untuk kepentingan BN bagi mempengaruhi pegawai kerajaan termasuk penuntut institusi pengajian tinggi awam atau swasta menyokong BN.

Guan Eng berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi dari pegawai kerajaan yang pernah mengikuti program BTN ia tidak lebih dari saluran proses doktrinisasi BN bagi melahirkan fenomena perkauman yang melampau.

Beliau berkata kenyataan pemimpin Umno yang cuba menepis dakwaan keputusan kerajaan Selangor itu adalah semata-mata untuk mengaburi mata semua pihak terhadap BTN.

Projek air bawah tanah tak sesuai

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Projek penuaian air bawah tanah tidak sesuai dilaksanakan di negara ini berikutan sumber air permukaan yang ada masih mencukupi dan mampu menampung keperluan harian pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata berdasarkan keadaan belum ‘terdesak’ untuk mendapatkan bekalan air, projek penuaian air bawah tanah tidak perlu dilakukan.

“Tidak ada alasan untuk melaksanakan penuaian air bawah tanah yang memberi banyak kesan negatif kerana negara kita masih mempunyai sumber air di permukaan yang cukup banyak dan mampu menampung keperluan.

“Langkah untuk mengkaji semula pelaksanaan projek ini oleh Perak amat dipersetujui Fomca, malah jika boleh kita berharap projek itu dibatalkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kerajaan Perak baru-baru ini mengumumkan akan mengkaji semula projek penuaian air bawah tanah di Batang Padang, dengan mengambil kira semua aspek terutama kesan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan negeri akan mengkaji secara teliti dan berhati-hati sebelum melulus serta melaksanakan projek berkenaan.

Beliau berkata, perkara paling penting adalah menjamin pemuliharaan dan keselamatan alam sekitar serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

Projek yang dicadangkan Kerajaan Perak itu mendapat perhatian banyak pihak termasuk Ahli Parlimen yang turut membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat dan meminta kerajaan membatalkan hasrat berkenaan.

Mohd Yusof berkata, Fomca secara dasarnya tidak bersetuju dengan rancangan berkenaan kerana pelaksanaannya bakal memberi banyak kesan negatif.

“Kita belum terdesak lagi untuk menerokai air bawah tanah yang membabitkan kos tinggi, malah projek itu mempunyai kesan negatif kepada alam semula jadi,” katanya.

Doa bukan kali pertama

Oleh Azmi Md Deros, Mohd Roji Abdullah, Norliza Wasilan dan Khairunnisa Kamarudin


KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno mengecam tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendoakan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Umno musnah hanya disebabkan isu royalti minyak, sebagai tindakan untuk menimbulkan kontroversi.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Nik Aziz bukan pertama kali mendoakan seseorang sedemikian malah Mursyidul Am Pas itu juga tidak asing membuat pelbagai kenyataan kontroversi.

"Bukan pertama kali Nik Aziz berdoa demikian, sebab itu di Permatang Pasir dan di Port Dickson, beliau pun (ada) berdoa supaya jahanamlah Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), (malah doa untuk) saya ada dalam (juga terdapat dalam) Youtube.

"Beliau berdoa supaya kami berdua jahanam dan dianggap orang yang paling jahat ialah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanannya... saya tak tahulah apa nyanyuknya (Nik Aziz mendoakan seperti itu), dan ini sekali lagi beliau (Nik Aziz) kata begitu," katanya selepas berucap pada Persidangan Antarabangsa Maritim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Nik Aziz yang menimbulkan pelbagai kontroversi tanpa memperincikan sesuatu isu adalah semata-mata ingin mengalih pandangan umum terhadap masalah perpecahan Pas yang kini semakin kritikal.

"Saya percaya apa yang diluahkan Nik Aziz kebelakangan ini, menunjukkan masalah perpecahan dalam Pas begitu kritikal dan beliau sedaya upaya mahu mengalih perhatian umum (dengan membuat pelbagai kenyataan) tetapi akhirnya ia menimbulkan kontroversi kerana tidak dibuat dengan teliti.

"Kita dalam Umno bukannya mendoakan perpecahan Pas, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kesan daripada perbuatan mereka sendiri yang sering melemparkan pelbagai tuduhan kepada kita selama ini dan saya percaya semua tuduhan itu kini sudah memakan diri," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan hasrat Nik Aziz itu agak keterlaluan, apatah lagi sebagai tokoh agama beliau sepatutnya tahu adab berdoa dan apa yang sepatutnya dipohon kepada Allah iaitu kesejahteraan dan kebaikan.

"Alangkan kepada bukan Islam pun kita doakan yang baik untuk mereka, termasuk diberi taufik dan hidayah. Inikan pula kepada saudara seagama.

"Sebagai orang Islam sepatutnya kita mendoakan yang baik untuk saudara seagama kita. Kenyataan itu tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tok Guru," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata Nik Aziz sepatutnya memikirkan cara untuk menyatupadukan bangsa Melayu serta matlamat partinya daripada mendoakan kemusnahan kepemimpinan.

“Saya sendiri tidak pernah mendoakan kemusnahan kepimpinan dan parti lain sebaliknya sentiasa mengharapkan Umno dan Pas dapat duduk semeja untuk berbincang mengenai cara menyatupadukan bangsa Melayu di negara ini.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, tindakan Nik Aziz itu adalah senjata terakhir yang boleh dilakukan untuk menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat yang didakwanya hak negeri itu.

“Apa yang boleh dibuat lagi...seluruh saluran telah kita gunakan termasuk rundingan dan debat di Parlimen tetapi kerajaan tetap kata Kelantan tidak ada hak.

“Kita bukan minta sesuatu yang di luar Perlembagaan. Kita cuma minta hak kita dan kalau tak nak kita baca doa seperti itu, kembalikanlah hak rakyat Kelantan,” katanya ketika dihubungi. Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan hasrat Nik Aziz untuk berdoa sebagai amaran kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat supaya tidak terus membuat tindakan yang didakwanya menindas rakyat Kelantan.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, tindakan Nik Aziz yang menyebut nama di dalam doanya adalah tidak bercanggah dengan sunnah Rasulullah kerana baginda pernah menyebut nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda dan umat Islam di dalam doanya.

Penduduk Malaysia ambil 26 sudu teh gula sehari

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa penduduk Malaysia adalah pengguna gula ‘tegar’ di Asia Tenggara dengan mengambil 26 sudu teh gula sehari.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, perkara itu amat serius kerana negara ini dilaporkan mempunyai jumlah pesakit diabetes ke-4 tertinggi di rantau Asia kerana jumlah pesakit kencing manis dijangka meningkat kepada 1.3 juta orang menjelang 2010 berbanding 800,000 pesakit pada 2007.

Katanya, kajian CAP turut mendapati 15 peratus rakyat tempatan yang berumur melebihi 30 tahun menghidap diabetes selain mengalami masalah obesiti dan darah tinggi akibat penggunaan gula secara berlebihan dalam kehidupan seharian.

“Pada 1970-an, rakyat negara ini mengambil 17 sudu teh gula sehari dan meningkat kepada 21 sudu teh pada 1980-an dan kini mencecah 26 sudu teh.

“Di negara ini, lebih 13,000 pesakit buah pinggang yang menghidap diabetes menjalani rawatan dialisis dan lebih mengejutkan enam kes baru strok dilaporkan berlaku setiap jam... kita juga difahamkan empat daripada lima pesakit kencing manis meninggal dunia akibat penyakit jantung.

“Orang ramai terutama mereka yang mengambil gula berlebihan dalam kehidupan seharian mereka perlu sedar bahawa ia (gula) boleh menyebabkan 60 jenis penyakit,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Subbarow berkata, laporan terbaru yang diterima kesatuan itu turut menunjukkan hampir 1,000 tin minuman berkarbonat diminum oleh rakyat negara ini setiap minit.

Beliau berkata, setiap tahun kira-kira tujuh juta orang menghidap diabetes dan penyakit itu dikatakan akan menular secara serius menjelang 2025 dengan sasaran 380 juta orang berbanding 246 juta ketika ini akan mengalami kencing manis.

Katanya, risau dengan penggunaan gula yang semakin meningkat di kalangan rakyat negara ini, CAP bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menganjurkan satu kempen berhubung bahaya gula di ibu negara, bulan depan.

“Kempen ini diadakan selama tiga hari bermula 1 Disember ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam di pusat beli-belah The Mall,” katanya.

Subbarow berkata, pada pameran itu, pengunjung berpeluang melihat lebih 150 sampel bahan makanan yang mengandungi kandungan gula amat tinggi selain diberi senaskhah buku panduan penjagaan kesihatan.

Buruh maut digilis komuter

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga Bangladesh ditemui mati dalam keadaan badannya hampir hancur akibat digilis komuter laluan Port Klang-Kuala Lumpur berhampiran Jalan Batu 7, Jalan Klang Lama di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa berusia 30-an itu dipercayai menggunakan landasan kereta api sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari landasan.

Difahamkan selepas dirempuh, mangsa diseret sejauh 10 meter sebelum tercampak ke tepi landasan.

Mangsa dikatakan kerap melalui jalan pintas itu untuk urusan seharian.

Laluan yang digunakan itu merupakan jalan pintas yang kerap digunakan penduduk yang tinggal berhampiran landasan tersebut untuk ke jalan utama.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Waris Tok Shahrom–Tok Gajah

BERITA HARIAN ONLINE


PEKAN: Lebih 600 waris pejuang Melayu zaman British - Tok Shahrom dari seluruh negara dipertemukan pada satu majlis di Dewan Konvensyen Pekan, di sini, kelmarin.

Majlis anjuran Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom - Tok Gajah - Mat Kilau (PWKTSTGMK) diadakan selepas pertemuan pertama pada 5 Januari tahun lalu di Jerantut Hill Resort yang berjaya menghimpunkan 200 waris keturunan pejuang Melayu itu.

Pengerusinya, Datuk Zulkifli Mohamad, berkata perhimpunan itu bertujuan menghimpun dan mewujudkan persefahaman di kalangan keturunan pejuang Melayu itu dan memperbetulkan sejarah yang didakwa ‘menyimpang’ daripada fakta sebenar.

“Generasi hari ini sering didedahkan dengan fakta yang menyatakan mereka adalah penentang dan pemberontak British tanpa mengetahui sejarah sebenar.

“Justeru, menerusi pertemuan seperti ini kami akan menerangkan erti sebenar perjuangan mereka dan mengapa mereka sanggup menentang pihak British ketika itu supaya waris kami terutama yang masih muda mendapat gambaran sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Berdasarkan fakta sejarah, Tok Shahrom atau Teuku Ali adalah putera raja dari daerah Bilah Paning, Sumatera Barat yang terletak kira-kira 150 batu dari Medan.

Beliau menukar nama kepada Tok Shahrom dan berkahwin dengan Siti Hajar (Tok Dinar) Sheikh Ali dan dikurniakan lima anak iaitu Ranting Mas, Maimunah, Khatib Rasu Abd Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin dan Khatib Mohd Meng.

Mohd atau Mat Kilau adalah anak Tok Gajah yang dilabel sebagai penderhaka oleh British dan mengasingkan diri dari orang ramai selama beberapa tahun kerana bersembunyi.

Bagaimanapun, Mat Kilau keluar daripada persembunyian dan mengisytiharkan dirinya yang sebenar di masjid Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut pada 26 Disember 1969.

Sementara itu, seorang ahli persatuan, Muhammad Rafiq Abdul Rahim, 24, berkata pertemuan itu memberi pengertian yang cukup bermakna buat dirinya walaupun sudah mengetahui asal usulnya sejak zaman kanak-kanak lagi.

"Ibu bapa saya dilahirkan dari keturunan Mat Kilau dan saya amat berbangga kerana memiliki darah pahlawan ini dan saya tidak malu mengaku sebagai waris pejuang Melayu yang digelar pengkhianat bangsa.

"Walaupun Inggeris menyifatkan nenek moyang kami sebagai pengkhianat kerana menentang campur tangan Inggeris di Tanah Melayu, mereka tetap wira di hati kami," katanya yang hadir bersama 30 ahli keluarga lain dari Kuala Lumpur.

Generasi Keempat dari keturunan Khatib Mohd Amin (anak keempat Tok Shahrom), Juriah Yusuf, 73, berkata walaupun terpaksa berkerusi roda, beliau tetap bersemangat untuk menghadiri pertemuan itu yang julung kali diadakan.

"Dalam keadaan yang semakin uzur saya tetap perkuatkan diri untuk menghadiri perjumpaan ini kerana saya ingin mengenali semua waris keturunan nenek moyang kami.

"Mungkin ada kalangan kami yang pernah bertemu tetapi tidak tahu daripada keturunan siapa, jadi secara tidak langsung pada majlis ini, kami dapat bermesra dan mengadakan pertemuan susulan selepas ini," katanya yang ditemani 20 ahli keluarga daripada Kuala Lumpur.

Ahad, 29 November 2009

Pengorbanan Bukan Sekadar Cerita…

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


Ketika saya menulis artikel ini, saya berada di Bandung, Indonesia. Datang bersama teman-teman berhariraya Adha ke sini serta berpeluang untuk berceramah dan berkhutbah. Nasib baik tiada pihak yang datang menuntut tauliah ketika saya berceramah dan berkhutbah di sini. Nampaknya ruang dakwah itu tetap ada di mana-mana.

Bumi Tuhan ini luas dan insyaAllah ruang dakwah akan tetap terbuka. Dakwah ini bukannya kegiatan sampingan untuk satu kesukaan, atau mencari kekayaan tetapi adalah tanggungjawab dan amanah. Amanah yang menyebabkan pelaksananya berletihan kerananya. Amanah yang akan menyebabkan terkorbannya kerehatan, harta, bahkan nyawa. Amanah yang akan mengheret insan ke lembah ujian.

Namun ia juga amanah yang menyebab insan merasai nikmat kelazatan iman. Amanah yang menyebabkan insan yang melaksanakannya bebas dari ketakutan terhadap makhluk dan hanya takutkan Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“mereka yang menyampaikan risalah-risalah Allah serta mereka takut kepadaNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala perbuatan makhluk)” (Surah al-Ahzab, ayat 39).

Setiap kali menjelang musim Aidil Adha, maka berceramahlah di sana-sini berbagai penceramah tentang pengorbanan. Berceritalah tentang Nabi Ibrahim a.s sebagai simbol insan yang berkorban. Pun kita tidak tahu, adakah penceramah yang berbicara tentang pengorbanan itu telah berkorban untuk agamanya, atau sekadar untuk poketnya?!

Apakah ucapan itu lahir dari insan yang telah merasai jerit perit pengorbanan perjuangan, atau sekadar memenuhi jemputan sahaja. Maka jadilah ucapan-ucapan itu kontang dari segi ruhnya dan tandus dari segi realitinya.

Maaf, dalam banyak keadaan kita banyak penceramah atau yang disebut ‘qussas’ namun kita kurang pendakwah yang menjadikan agenda ummat itu sebahagian dari kehidupannya. Qussas tidak mementingkan ketulenan fakta, sebaliknya yang dipentingkan ‘orang suka dengar’ sekalipun tiada terasnya.

Bak kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:

“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”. (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr).

Adapun bagi pendakwah, masa depan Islam, penerimaan masyarakat terhadap Islam, kelangsungan mesej Islam dan pandangan baik manusia terhadap agama ini akan menjadi agenda penting dalam kehidupannya.

Bercerita tentang pengorbanan dan menghayati pengorbanan adalah dua perkara yang berbeza. Untuk berbicara amatlah mudah, ramai penceramah boleh lakukannya. Namun untuk menanggung dakwah dan segala tribulasinya amatlah sukar.

Nabi s.a.w dan para sahabah baginda telah merentasi lembah ujian yang perit untuk membawa dakwah ini. Di situlah mereka terpaksa membelanjakan harta, menanggung sengsara dan keperitan hidup, bahkan menggadaikan nyawa. Bukan untuk kepentingan mereka semata, tetapi untuk manusia sejagat.

Di situlah mereka hayati kemanisan iman, kelazatan perjuangan, kenikmatan persahabatan juga kasih-sayang yang sebenar dari lubuk jiwa para pejuang. Di situ mereka menemui cinta yang sejati kepada Allah dan RasulNya. Ketika dunia kehairanan melihat mereka bagaikan memperjudikan diri untuk membawa risalah Tuhan, padahal mereka sebenarnya tenggelam khusyuk dalam lautan nikmat kecintaan dan tawakal kepada yang Maha Esa.

Mereka sebenarnya, menjual diri dan harta untuk mendapat ganjaran agung yang jauh lebih besar dari kehidupan dunia yang sementara. Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahuinya. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga ” Adn “. itulah kemenangan yang besar (Surah al-Saff, ayat 10-12).

Namun sebagai insan, seteguh mana pun perasaan, sekental mana pun jiwa akan terselit juga kesedihan dan dukacita apabila ujian itu datang bertalu-talu. Apabila kebaikan dibalas dengan keburukan. Apabila keikhlasan dibalas dengan kesombongan dan hasad dengki.

Untuk itu, Allah mengubat jiwa para pejuang dengan dihidangkan kisah-kisah pengorbanan, keperitan dan kesakitan yang dibaluti kesabaran yang telah dilalui oleh mereka yang terdahulu yang melalui denai dan becak perjuangan ini. Dengan kisah-kisah itu, akan menjadikan pejuang tidak kesepian, atau rasa bersendirian sebaliknya akan sedar inilah realiti sebuah perjalanan perjuangan yang mesti ditempohi dalam memburu cinta Allah dan kasih rasulNya juga syurga yang dijanjikan.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu mendukacitakan engkau (Wahai Muhammad), sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu keras kepada dengan ayat-ayat Allah. Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu juga pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan mendustakan dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu”. (Surah al-An’am, ayat 33-34).

Dengar mendengar cerita benar tentang pengorbanan dapatlah meredakan gelora perasaan para pejuang. Ya, mendengar cerita tidaklah dapat mengurang tekanan fizikal yang dihadapi, namun ia dapat mendamaikan perasaan.

Dalam banyak keadaan keperitan itu datang dari dalaman jiwa melebihi apa yang berlaku di luar. Maka al-Quran dan juga sunnah menghidang banyak kisah-kisah pengorbanan untuk menjadi bekalan pejuang dalam meneruskan agenda menyampai Islam ini.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dipilih sempena Aidil Adha untuk mengingatkan umat ini tentang perjuangan dan pengorbanan. Hidup Nabi Ibrahim adalah hidup yang dipenuhi oleh perjuangan dan pengorbanan tanpa henti. Bukanlah sukar untuk meletakkan pisau menyembelih seorang anak. Tetapi yang sukar itu ialah untuk bertarung dengan perasaan, kepentingan dan derita hati dalam melakukan perkara yang demikian.

Allah Yang Maha Penyayang bukan mahu supaya Ibrahim a.s. membunuh anak, sebab itu digantikan dengan haiwan yang sebenar. Allah mahu Ibrahim a.s. memperlihatkan bahawa cintanya kepada Allah mengatasi segala perasaannya. Itu kemuncak seorang nabi, itulah kemuncak seorang da’i dan itulah kemuncak seorang pejuang. Apabila kepentingan diri itu tidak lebih besar dari kepentingan dakwah dan perjuangan yang ditanggung.

Apabila kita melakukan korban mencontohi perbuatan Nabi Ibrahim a.s. sedangkan kita gersang jiwa dan kefahaman tentang hakikat perjuangan, maka tujuan pensyariatan itu tidak menuju ke sasarannya. Jadilah kadang-kala majlis korban itu majlis bermegah-megah, atau sekadar memberikan daging dan melupai falsafah perjuangan dan perngorbanan di sebaliknya.

Apabila umat ini meninggalkan tanggungjawabnya sebagai penyampai risalah kebenaran, maka banyaklah syariat yang diturunkan itu hanya ada rupa luaran namun tandus isi dalamannya. Para pejuang itu berkorban haiwan pada hari Aidil Adha, yang bukan pejuang juga melakukan korban. Namun jiwa yang membara, makna yang dihayati dan hakikat yang difahami yang mengalir dalam tubuh setiap mereka tidaklah sama.

Berjuang dan sekadar bercerita tentang perjuangan tidaklah sama. Apabila jiwa tidak sama, rasa pun berbeza. Apabila rasanya berbeza, kelazatan nikmat agama yang dihirup oleh pejuang pastinya tidak sama dengan apa yang dihirup oleh seorang yang bersantai mencerita tentang agama.

Maka, bukan semua yang berkorban binatang pada aidil adha ini dapat menghayati hakikat perjuangan yang disampaikan dalam sejarah Nabi Ibrahim a.s.

Kokus: Pendirian Ku Li waktu terdekat tapi ulangi hak Kelantan dinafi

DETIK DAILY


Tengku Razaleigh Hamzah dijangka akan menyatakan pendirian sama ada menerima tawaran mengetuai kokus Parlimen mengenai pertikaian wang royalti minyak yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam waktu terdekat.

"Saya akan membincangkan respons saya kepada kokus yang disyorkan berhubung isu ini dalam tulisan saya akan datang," kata Pengasas Petronas ini dalam tulisan blognya yang dinantikan banyak pihak, awal pagi ini.

Bagaimanapun dalam tulisan kali ini Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan menekankan bahawa "hak di bawah Perlembagaan rakyat Kelantan telah dinafikan."

Penafian hak itu membawa implikasi melangkaui negeri Kelantan, kata beliau.

"Kerajaan (persekutuan) sudah menyatakan respons kepada tuntutan Kelantan untuk mendapatkan sebahagian keuntungan yang diperolehi daripada sumber-sumber petroleum yang dikeluarkan di luar pesisir oleh Petronas.

"Respons itu bertentangan dengan surat dan perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum.

"Perjanjian ini dibuat dalam bahasa yang mudah, yang cukup untuk pelajar sekolah memahami, dalam kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris," kata beliau.

Tengku Razaleigh menyatakan demikian lima hari selepas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa terserah pada kebijaksanaan beliau sama ada mahu mengetuai kokus yang dibentuk bagi membincangkan pertikaian royalti minyak khususnya kepada Kelantan.

Muhyiddin, Timbalan Presiden Umno, turut menyuarakan keyakinannya yang Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang akan membuat keputusan terbaik berhubung pelantikan itu.

"Saya merasakan beliau sudah lama berada dalam parti, jadi beliau tahu apa keputusan yang hendak dibuat," kata Muhyiddin mengulas kenyataan Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum itu bahawa Tenggku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang telah bersetuju untuk menerima tawaran pelantikan tersebut.

Muhyiddin juga menggesa agar Tengku Razaleigh yang merupakan Pengasas Petronas dan bekas Naib Presiden Umno agar mempertimbangkan dengan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

Mengulas lanjut, penafian hak rakyat negeri Kelantan itu jelas Tengku Razaleigh telah menyumbang kepada empat implikasi utama, antaranya menyangkal perjanjian yang sama dimeterai oleh Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri yang lain dan menafikan hak-hak berperlembagaan masing-masing.

Malah kata beliau, tindakan kerajaan enggan mengiktiraf tanggungjawab kontraktual berhubung peranan Petronas menimbulkan persoalan berhubung status bayaran kepada negeri-negeri lain.

Seterusnya beliau juga mempersoalkan sekiranya Petronas tidak lagi mengiktiraf ikatan perundangan untuk membayar kepada negeri-negeri yang dimaksudkan di bawah akta berkenaan, sama ada perjanjian sedemikian masih sah ataupun sebaliknya.

"Saya membantu menggubal dan merundingkan Akta Pembangunan Petroleum. Sebagai Pengasas Petronas, saya menandatangani perjanjian yang berasingan dan serupa berkaitan pembayaran dengan setiap Menteri Besar.

"Saya perlu menekankan bahawa Petronas seharusnya terikat dengannya dan kerajaan persekutuan tidak wajar campur tangan dalam tindakan mereka untuk memenuhi (peruntukan itu)," kata Tengku Razaleigh.

Wabak taun leburkan rekod kebersihan Terengganu

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa punca utama penularan wabak taun di Terengganu ialah masalah kebersihan. Katanya, pencemaran di kesan berlaku di kilang-kilang ais, bengkel keropok lekor dan pasar basah. Tahap kebersihan amat rendah di premis terbabit memaksa taun diisytiharkan wabak di negeri itu.

“Hasil siasatan melalui sampel ayam mentah dan keadaan air di beberapa buah premis dan kilang ais terbabit didapati tercemar dengan kuman kolera,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pesakit taun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, 21 November lalu.

Menurutnya, sebanyak 115 premis berkaitan makanan dan minuman di sekitar bandaraya itu diperiksa. Hasilnya, 20 premis diarahkan tutup serta-merta apabila tahap pencemaran masing-masing melebihi paras pengawasan. Ia termasuk 11 buah kilang ais, sebuah pasar basah, empat restoran dan empat kilang keropok.

Wabak taun di Terengganu mula dikesan pada 11 November. Ia mencapai tahap kemuncaknya minggu lalu apabila 482 pesakit menerima rawatan di hospital. Mereka termasuk 322 pesakit dengan simptom cirit-birit, 138 yang disahkan jangkitan kolera dan 22 pembawa penyakit. Sehingga rencana ini ditulis ia telah menyebabkan satu kematian.

Penularan wabak itu memaksa pihak hospital menyediakan sembilan wad khas untuk penempatan pesakit-pesakit terbabit. Sebuah bilik khas untuk tujuh pesakit taun mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut disediakan di HSNZ.

Di antara faktor utama memudahkan penularan wabak taun ialah kurangnya kesedaran atau keprihatinan anggota masyarakat negeri itu terhadap aspek kebersihan. Sebab itu sebagai usaha menyedarkan orang ramai mengenai tabie wabak ini, pihak Jabatan Kesihatan merangka 130 sesi pendidikan kesihatan di sekitar Kuala Terengganu dalam masa terdekat.

Bagi kita, di situlah letaknya moral utama di sebalik kes wabak taun ini. Bahawa tahap kesedaran masyarakat Terengganu, khususnya warga bandaraya ibu negerinya, berhubung keperluan menjaga kebersihan sekitar kediaman dan premis perniagaan masih terlalu mendukacitakan.

Hakikat ini tentu agak ironi apabila diambil kira bahawa di Terengganu juga lah rekod gotong royong kebersihan terbesar telah tercipta beberapa tahun lalu. Pada 29 Julai 2006, terpahat satu sejarah di negeri itu apabila 240,830 penduduk di seluruh negeri dikatakan menyertai program gotong royong serentak di daerah masing-masing.

Ia diiktiraf Malaysian Book of Records (MBoR) sebagai program gotong royong melibatkan penyertaan paling ramai secara serentak. Pemimpin yang bertanggungjawab memaksa ideanya direalisasikan pengikut-pengikutnya itu bukan main bangga dengan rekod itu.

Antara ulasan dan tanggapan utama dari program anjuran kerajaan negeri itu ialah sebagai bukti betapa rakyat negeri itu amat mengambil berat soal kebersihan. Ia turut dijustifikasikan sebagai penjana kesedaran lebih positif dalam masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kebersihan.

Malangnya segala kebanggaan mencipta rekod tersebut hanyalah palsu dan tidak membawa apa-apa erti. Walau pun kejayaan program itu amat dibangga dan diulangsebut penganjurnya, kesan positif yang didakwa terhasil darinya hampir tidak ada.

Tanyalah sesiapa pun yang ada di Terengganuu sejak tarikh gotong royong perdana tiga tahun lalu itu, apakah tahap penjagaan kebersihan dan pengurusan sampah penduduknya menggambarkan ada kesan sangat positif dari program yang bermatlamat mencipta rekod dan bermegah-megah itu?

Jawabnya ‘tidak’. Bukti yang ada dalam masyarakat adalah pelbagai. Kemuncaknya ialah apa yang ada di hadapan mata kini. Penularan wabak taun di Terengganu secara jelas dikaitkan dengan tahap kesedaran rakyatnya yang sangat rendah terhadap penjagaan kebersihan.

Ertinya, rekod gotong-royong perdana itu hanyalah pencapaian ‘lipstick’. Ia sekadar memenuhi cita-cita politik seorang pemimpin yang sangat gila mencipta rekod itu dan ini, sedangkan kesan yang digambarkan daripada kesungguhan itu tidak ke mana.

Kononnya Terengganu paling bersungguh memastikan kebersihan negeri. Kini, ke mana lenyapnya kesungguhan rakyat dan juga agensi kerajaannya, sehingga tahap kebersihan sepatutnya bukan sahaja gagal dipertahankan, malah lebih memalukan berbanding negeri-negeri lain yang tidak pernah mencipta rekod kebersihan sebegitu hebat?

Harus diiktibarkan dari kes ini bahawa punca utama kegagalan program yang mencipta rekod kebersihan itu ialah kerana tiada keberkatan dari Allah. Sesuatu amalan yang dilakukan dengan niat mencari kemegahan dan pujian manusia amat jauh dari keberkatan. Amalan yang tidak diberkati Tuhan bukan sahaja menjadi sia-sia tetapi turut tidak memberi kesan baik kepada pelakunya.

Dari perspektif itu, keruntuhan dan kemusnahan yang berlaku kepada beberapa binaan yang dianggap sebagai rekod di Terengganu sebelum ini juga menghasilkan tanggapan serupa. Contohnya, stadium yang sengaja dibina dengan rekabentuk unik bertujuan dimegahkan sebagai paling canggih di Asia, akhirnya runtuh dalam keadaan amat mengaibkan.

Masjid Hadhari yang dinobatkan oleh penganjur pembinaannya sendiri sebagai masjid paling komprehensif dengan pelbagai kemudahan, sudah pun mengalami kebocoran dan kerosakan belum sampai setahun disiapkan.

Jangan biarkan halatuju kita dicatur-bidakkan pihak lain!

Oleh jinbukitridan


Satu [nikaziz] demi satu isu yang nyata bertujuan untuk melemahkan pengaruh Pas kini muncul. Ini barangkali bukan secara kebetulan sebaliknya seolah ada perancangan daripada pihak tertentu yang mempunyai agendanya. Jika kapal yang tersergam gagah yang tidak termampu oleh anai-anai menebuknya maka nakhoda dan awak-awaknya lah yang cuba dirosakkan agar kapal ini terpesong daripada halatujunya

Bijak permainan politik yang nyata cuba dimainkan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti Pas! Menyerang Kelantan dan menyerang Tok Guru ertinya cubaan menyerabutkan Pas yang entah kali ke berapa tahun ini. Kelantan dan Tok Guru seakan sudah menjadi kubu kuat Pas setelah sekian lama.

Paling tidak barangkali jika nakhodanya disibukkan dengan perkara-perkara yang remeh masa untuk mengemudi kapal pasti terbuang.Entah berapa lama lagi Tok Guru dan sekerat dua jundullah yang cuba sedaya-upaya mempertahankan Pas di Kelantan berjaya ,tidaklah diketahui dan semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka. Musuh menyerang kubu Pas paling ampuh! Dengan tekanan demi tekanan , isu demi isu yang seakan berbaris untuk diletupkan namun jika tidak mendapat bantuan daripada rakan-rakan lain daripada pusat barangkali usaha menyelesaikan hal ini barangkali sukar.

Rakyat Kelantan telah memberi sepenuh kepercayaan kepada Pas untuk menerajui negeri mereka hampir dua dekad! Kita fikir itu bukanlah kerana faktor Tok Guru semata-mata tapi kerana Dasar Islam yang diperjuangkan Pas. Jika tidak kerana Islam nescaya Tok Guru pun tidak ada kekuatan untuk bertahan selama ini. Lantaran itulah pimpinan Pusat perlu campurtangan tangan secara pro- aktif dalam merungkaikan setiap kemelut yang melanda Kelantan. Beramal-jamaie. Tok Guru dan pimpinan di Kelantan perlulah sentiasa berlapang dada menerima apa jua cadangan dan idea penyelesaian sebagaimana dalam isu Ariffahmi yang lalu.

Pusat mesti campurtangan. Presiden mesti ke depan!. Dan maruah Pas mesti dipertahankan. Jangan biarkan pihak lain yang mencatur-bidakkan halatuju kita. Isu-isu yang timbul kebelakangan ini sedikit sebanyak pasti akan meninggalkan kesan kepada keutuhan parti jika tidak segera ditangani dan diredakan. Manusia yang penuh dengan persoalan dan spekulasi sudah tentulah akan membuat persepsi yang bukan-bukan.

Paling menyedihkan jika tuduhan puak dan juak dalam pas tidak dibenteras hingga ke lubang cacing. Kepimpinan mestilah diukur dengan kemampuan bukan dengan jalan singkat yang tidak selari dengan perjuangan. Biarlah kita berkerja atas dasar perjuangan dan akidah semata-mata tanpa ada unsur politiking yang melampau. Sebarang keputusan atau cadangan ada baiknya dibincangkan dengan syura dan bermuktamar bukan di dada akhbar.

MB nafi k'jaan negeri tahu dokumen dibocorkan

Rahmah Ghazali


Kerajaan Selangor menafikan bertanggungjawab membocorkan dokumen mengenai tregedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dalam internet semalam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak tahu yang dokumen sulit itu kini tersiar di internet.

"Ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.

"Selain itu, dokumen itu tidak lagi ada dengan kita kerana kita telah memulangkannya kepada MAPJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya)," katanya ketika ditemui di majlis makan malam ulangtahun ke-10 Malaysiakini malam tadi.

Mengulas mengenai cop rasmi seorang exco kerajaan Selangor pada dokumen yang bocor itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan menyiasat perkara itu.

"Kita tidak pernah mengedarkan dokumen tersebut... dan mengenai cop tersebut, kita akan menyiasat sama ada benar-benar (datang dari kita).

"Bagaimanapun, saya tidak fikir ia datang dari (kerajaan) negeri kerana kita masih menunggu kelulusan kerajaan pusat (untuk mendeklasifikasi) dokumen tersebut," katanya.

Menteri besar juga menyuarakan kekecewaannya berhubung proses mendapatkan kelulusan tersebut, sambil menambah setakat ini kerajaan negeri telah menghantar empat pucuk surat kepada jabatan kerjaraya (JKR) dan kabinet.

"MPAJ baru-baru ini telah menghantar sepucuk lagi surat kepada JKR. Kemudian ia (JKR) kata kami sebaliknya perlu hantar surat itu kepada kabinet.

"Dan MPAJ kemudiannya meminta surat lain dari kita untuk dihantar kepada JKR sekali lagi, dan kami masih menunggu jawapannya," kata Abdul Khalid.

Dokumen dibuang?

Semalam, dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, telah disiarkan dalam satu laman web Rapidshare.

Dokumen setebal 86 muka surat itu, yang merupakan salinan fotostat, mempunyai cop rasmi seorang exco kerajaan Selangor.

Setiap halaman tertera cop 'rahsia' dan mengandungi peta terperinci kawasan yang terbabit.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini pagi ini mendapati fail tersebut sama ada telah dipadam atau dibuang dari laman web tersebut.

Dokumen tersebut menunjukkan sebuah jawatankuasa khas, cawangan kejuruteraan cerun JKR ditubuhkan untuk menjalankan siasatan tanah runtuh di situ.

Sejumlah 21 saksi telah dipanggil memberi keterangan dengan jurutera-jurutera cerun tersebut untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah kawasan tersebut serta apa yang berlaku yang mengakibatkan berlaku tanah runtuh di situ.

Intipati laporan tersebut ialah mengenai punca kejadian tanah runtuh itu ialah kebocoran air dari paip di sepanjang rumah yang tidak dihuni, mengakibatkan berlaku tekanan air yang tinggi dalam curun dan meningkatkan kelembapan tanah, dan sekaligus menjadikan cerun itu menjadi tidak stabil.

Pada 18 November lalu, Abdul Khalid mengumumkan yang beliau akan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 2(c) OSA untuk mengumumkan laporan tersebut kepada umum.

Khalid juga membaca ringkasan dan hasil utama siasatan yang mengakibatkan tragedi tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa pada jam 3.30 pagi 6 Disember 2008 yang mengorbankan lima nyawa dan memusnahkan 14 buah rumah.

Laporan penuhnya bagaimanapun tidak jadi diumumkan selepas kerajaan pusat mendakwa menteri besar Selangor telah melanggar OSA, yang membawa hukuman setahun penjara mandotari.

Kit Siang Mahu Kerajaan Pusat Tubuh Badan Siasatan Awam Siasat Kursus BTN

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak kerajaan pusat mengadakan satu mesyuarat khas dan menubuhkan badan siasatan awam bagi menyiasat dakwaan yang dilemparkan terhadap kursus Biro Tata Negara (BTN).

Beliau turut mendesak kerajaan menghentikan penganjuran kursus BTN yang didakwa bersifat rasis dan menimbulkan perasaan benci di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, siasatan tersebut perlu segera dilakukan kerana ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Kerajaan harus membuat keputusan sama ada menghentikan terus program BTN atau Najib perlu membuat pengumuman tentang kegagalan konsep 1Malaysia yang sering dilaung-laungkannya," katanya dalam laman blog beliau semalam.

Kit Siang turut mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin Barisan Nasional lain terutamanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan beberapa pemimpin daripada parti komponen BN yang lain.

Rabu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali mengumumkan bahawa kerajaan negeri itu telah memutuskan bahawa semua penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT), serta kakitangan kerajaan negeri dan juga agensi di bawahnya tidak lagi dibenarkan mengikuti kursus BTN yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Dr Halimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan berkata, keputusan itu diambil selepas beberapa kajian mendapati kursus BTN yang dijalankan merupakan satu proses ‘indoktrinisasi’ Kerajaan Barisan Nasional.

Ini, kata beliau, boleh menimbulkan fenomena yang agak rasis, seolah-olah ingin memecahkan penduduk-penduduk pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Setiap Perjuangan Perlukan Pergorbanan

Oleh Nyza Ayob


Kesanggupan golongan muda bersedia menjadi 'murabitun' iaitu petugas sepanjang masa untuk melaksanakan tanggung jawab perjuangan PAS di semua peringkat merupakan pengorbanan yang sangat besar dalam masyarakat.Ketua Pemuada PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan n sebahagian daripada petugas ini ada yang tidak mengambil elaun tetapi berkorban masa dan tega mereka demi meihat dakwah dan risalah Islam dapat diterima masyarakat.

"Kita menyedari tanggung jawab atau pun tugas mereka lebih banyak daripada masa yang ada. Jika tidak ada petugs-petugas Murabitun ini mungkin akan menghadapi kesukaran untuk mengaktifkan gerak kerja Pemuda PAS.

"Mereka juga mempunyai keluarga dan mempunyai tanggung jawab di bawah mereka tetapi sanggun dikorbankan semata-mata untuk melihat Islam ditegakkan,"katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Tambahnya lagi, ada antara Pemuda PAS yang tidak menerima tawaran -tawaran kerjaya yang lumayan demi mematuhi tuntutan jemaah.

Beliau juga menganggap pengorbanan guru-guru Pasti juga tiada tolak bandingnya.

"Guru-guru Pasti ada yang menerima elaun hanya RM 400 ke RM 500 sebulan. Tetapi tugas mereka mendidik anak-anak bangsa sangat besar dan tinggi. Sementara di sebelah petang atau sebahagian masa yang lain mereka terlibat pula dengan aktiviti Dewan Muslimat PAS sama ada di peringkat negeri, kawasan atau cawangan.

"Sudah tentulah perjuangan mereka tidak ada taranya. Pengorbanan mereka hanya Allah sahaja yang boleh memberikan ganjaran buat mereka,"katanya.

Dalam menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan lebih daripada tenaga dan harta semata-mata taat kepada Allah, justeru katanya kepada yang telah berkorban segala-galanya usahlah rasa kesal.

Jelasnya, kepada golongan Pemuda PAS yang telah berjuang dan berkorban, jangan merasai kekurangan atau berasa ketinggalan berbanding orang lain yang bersenang lenang.

Dalam pada itu katanya, keberanian anak-anak muda menempuhi rintangan dan halangan menyebabkan ada yang ditangkap dan dipenjara tetapi kerana sebuah perjungan, ramai di kalangan mereka yang sanggup menghadapinya.

"Bukan sahaja kita melihat keberanian mereka sewaktu siri-siri demonstrasi yang berhadapan dengan keganasan pihak berkuasa. Tetapi keberanian mereka juga dapat dilihat apabila mereka turun menyebarkan risalah-risalah.

"Walaupun dipandang serong oleh masyarakat, mereka tetap melaksanakan tugas untuk mengedar risalah dakwah. Perkara ini tidak mudah dilakukan melainkan semangat dan pengorbanan yang sinonim dengan perjuangan,"katanya.

Sementara itu katanya, pengorbanan mungkin tidak dapat dilihat melalui mata kasar sahaja tetapi dapat dilihat melalui kesanggupan dan kemampuan serta pengorbanan jiwa disaat pihak lain memberikan pelbagai alasan.

Jelasnya lagi, komitmen golongan muda ini juga dapat dilihat dengan kesungguhan mereka menyertai aktiviti -aktiviti yang dianjurkan parti bersesuaian dengan jiwa mereka yang sentiasa ingin mencuba.

Katanya, kombinasi yang ada pada anak muda ini menjadikan mereka seorang yang bukan sahaja sanggup berkorban tetapi seorang yang hebat sekiranya mereka ikhlas dengan perjuangan Islam.

"Walaupun kita melihat bentuk pengorbanan tersebut hanya berkempen pada musim pilihan raya tetapi oleh kerana pilihan raya itu salah satu wasilah untuk membawa Islam ke mercu penguasaan dan pentadbiran, ia juga dilihat sebagai usaha pengorbanan yang tinggi nilainya.

"Semua aspek yang kita lihat memberi manfaat kepada jemaah, ia adalah perjuangan yang tidak ternilai,"katanya

BTN; ‘Topeng Demokrasi’ Umno Untuk Memecahbelahkan Rakyat Malaysia


http://buletinonline.net/images/stories/berita14/btn4uMNO.gifKUALA TERENGGANU – Sikap Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishamudin tidak sama dengan apa yang diucapkannya berkaitan pembaharuan dalam Umno.

Beliau menyatakan ada usaha dan kemahuan politik untuk berubah dikalangan pimpinan Umno daripada presiden sehingga peringkat bahagian termasuklah timbalan presiden, naib presiden dan majlis tertinggi.


Sebaliknya, beliau sendiri, bukannya mahu menerima kenyataan, malah menyelar dan menuduh mereka yang mengutarakan isu berkaitan Biro Tata Negara (BTN).
Hishamudin berkata, saranan pemimpin Pakatan Rakyat mahu kerajaan memansuhkan program BTN adalah kerana ketandusan isu dan satu percubaan mengalihkan isu-isu dalaman.

”Apa? Saya pun tak faham ! BTN ni dah wujud lama ! Kenapa sekarang baru nak ditimbulkan ? Satu, saya rasa, mungkin mereka ketandusan isu; keduanya, saya percaya mereka nak alih pandangan dari masalah dalaman mereka sendiri,

”dan ketiganya, mungkin mereka bimbang bahawa BTN ini dapat betul-betul menekankan perkara yang cukup penting, iaitu dalam kita hendak membina negara bangsa dan dalam konsep satu Malaysia,”katanya.

http://buletinonline.net/images/stories/berita14/hisham1.JPGHishamudin berkata demikian dalam sidang media di Kampung Tok Jembal, dekat sini, (gambar kanan) ketika menjawab soalan wartawan berkenaan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkaitan isu terbabit.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing berkata, isu BTN bukan baru sekarang ditimbulkan dan bukan hanya berlaku dikalangan pembangkang, malah melibatkan pemimpin bukan Melayu dalam pakatan Barisan Nasional (BN).

Ng turut mempertikaikan kenyataan Hishamudin dan menyatakan pengisian kursus BTN tidak membawa kepada perpaduan dan integrasi nasional, malah bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

Beliau mendedahkan, apa yang dialami oleh anak seorang rakannya, seorang pelajar Kolej Tuanku Abdul Rahman (Koleh TAR) yang menghadiri kursus anjuran BTN kira-kira dua bulan lepas.

Katanya, pelajar berketurunan Cina yang berasal dari Kuala Terengganu itu cukup sedih dan terhina kerana apa yang di ajar dalam kursus BTN adalah mengungkit isu-isu perkauman.

”Bukan sahaja mengungkit isu ‘ketuanan Melayu’ malah, pemimpin Pakatan Rakyat (pembangkang) termasuk orang-orang Melayu, Anwar Ibrahim dan Haji Hadi dianggap oleh penceramah BTN sebagai pengkhianat Negara,”ujar Chai Hing.

Kritikan Chai Hing turut disokong dan dikongsi bersama oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat@ Ramly.

Hanafiah ketika dihubungi berkata, BTN adalah ‘topeng demokrasi’ yang digunakan oleh Umno untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Menurutnya, BTN bermotifkan politik dan propaganda Umno, bukan program yang menimbulkan semangat patriotisma dan tidak akan membentuk negarawan yang mencintai Negara.

http://buletinonline.net/images/stories/berita14/hisham.JPGSebaliknya, kata Hanafiah, ia adalah program untuk melahirkan individu yang ‘racist’, sayang kepada Umno dan kepimpinan Umno.

”Penceramah mengungkit tentang ketuanan Melayu, membangkitkan semangat kemelayuan, kononnya melayu itu Umno dan hanya Umno yang boleh menjaga Melayu,”jelasnya yang mendedahkan, beliau sendiri hadir dalam kursus BTN tidak berapa lama dulu.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil keputusan menolak kursus BTN yang akan dianjurkan kepada para pegawai negeri, seminggu lalu, isu BTN kini menjadi panas dan menjadi percakapan umum.

Semakin ramai yang bekas peserta kursus BTN tampil dan membuat pengakuan bahawa ia satu kursus yang banyak memberikan kesan negatif, namun pemimpin Umno seperti Hishamudin, bukan mahu menerima dan bersikap rasional, malah melemparkan tuduhan pula.

Jemaah boleh balik awal elak terkandas

Oleh Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman



KHEMAH menempatkan lebih 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia di Mina bagi memudahkan ibadat melontar jamrah.

Tabung Haji sedia jadual baru penerbangan

KUALA LUMPUR: Jemaah haji Malaysia yang tidak mahu terkandas atas perubahan jadual penerbangan berikutan arahan Kerajaan Arab Saudi yang membenarkan hanya empat penerbangan ke negara ini setiap hari, boleh pulang awal ke tanah air dengan melaporkan kepada petugas Tabung Haji di Makkah.

Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein, berkata agensi itu akan menyediakan jadual baru penerbangan yang boleh disertai jemaah yang ingin pulang awal ke tanah air.

Beliau berkata, jumlah jemaah terkandas kerana perlu tinggal lebih lama di Tanah Suci berbanding jadual asal penerbangan mereka akan dikenal pasti sebelum kos tambahan penginapan serta makan minum yang dibiayai sepenuhnya Tabung Haji dapat ditentukan.

"Setakat ini, penjadualan semula penerbangan pulang tidak menimbulkan masalah kepada jemaah," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Semalam, akhbar melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom sebagai berkata, pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan arahan cuma empat penerbangan dibenarkan sehari untuk membawa pulang jemaah haji ke tanah air.

Bagi Malaysia, ia membabitkan hanya dua Penerbangan Malaysia (MAS) dan dua Saudi Airlines bertujuan mengelakkan kesesakan di lapangan terbang. Malaysia menghantar 26,000 jemaah tahun ini, termasuk melalui 28 syarikat swasta di bawah Tabung Haji.

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijangka pulang 3 Disember ini dan penerbangan terakhir pula 1 Januari depan.