HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2021

Pas tak payahlah terhegeh-hegeh bila Zahid tanya, ”ada lagi ke Muafakat Nasional”


‘’Saya nak tanya balik, adakah Muafakat Nasional ini lagi? “Kalau kita…apa ni yang dipanggil netizen bahawa UMNO  ini dikhianati..saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional” .

Itulah jawapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya dalam satu wawancara dengan sebuah portal semalam berapa jangkaan kerusi dan negeri yang boleh dimenangi jika Barisan Nasional (BN)  bertanding bersama Muafakat Nasional.

Kenyataan dikatakan mengejutkan banyak pihak bukan sahaja dalam kalangan pemimpin Pas tetapi juga UMNO, malah ada sumber memberitahu, perkara itu tidak dibincang dalam mesyuarat MT UMNO.

Persoalannya adakah kenyataan Ahmad Zahid itu atas kapasiti peribadi atau sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN? Dan adakah pendirian itu dipersetujui oleh ahli-ahli MT UMNO?

Bagaimanapun apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid mungkin atas kapasiti peribadi dan mungkin tidak terima oleh pemimpin-pemimpin UMNO lain yang tetap mahu mempertahankan Muafakat Nasional. Anehnya Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut pada 14 September lalu melalui akaun telegramnya menyiarkan ucapan tahniah sempena Ulangtahun kedua Muafakat Nasioanal.

Tetapi semalam beliau juga bertanya , ‘’adakah Muafakat Nasional ini lagi’’? Jadi apa sebenarnya berlaku?

Lebih menarik Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan perbicaraan berpuluh-puluh tuduhan rasuah dan salahguna kuasa dengan bangganya menegaskan;

‘’Saya fikir elok kalau UMNO terus bertanding cara solo dengan menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Kita fikir elok kerusi free for all. Kalau kita mahu bentuk kerajaan pun selepas parti-parti yang bertanding di seluruh negara dapat keputusan berapa kerusi diperolehi oleh parti dan ketika itu mungkin rundingan boleh dilakukan.’’

Maknanya, sudah ada tekad atau pendirian daripada Ahmad Zahid bahawa UMNO akan bertanding di semua kerusi waima milik Pas sekalipun dan ia turut mewujudkan kekeliruan kerana sebelum ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara UMNO dan Pas kini sudah mencapai tahap 70 peratus.

Jelas beliau, kata sepakat antara UMNO dan Pas dipersetujui menerusi siri mesyuarat Muafakat Nasional yang telah diadakan di antara kedua-dua parti itu sebelum ini.

Beliau berkata, menerusi persefahaman itu, formula yang telah dipersetujui sebelum ini masih lagi kekal iaitu mana-mana parti yang telah memenangi sesuatu kerusi akan kekal bertanding di kawasan yang sama pada PRU15.

Kalau begitulah kata Mohamad atau Tok Mat Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang disiarkan oleh Astro Awani pada 3 September lalu, bagaimana pula dengan kenyataan terbaru Ahmad Zahid ini? Adakah UMNO sudah membuat keputusan baru tanpa memaklumkan kepada Pas atau adakah Tok Mat Hasan pun tidak diberitahu oleh Ahmad Zahid?

Ahmad Zahid sepatutnya lebih berani untuk membuat kenyataan rasmi bagi memaklumkan apakah pendirian UMNO dalam soal hubungan dengan Pas melalui Muafakat Nasional. Kalau betul UMNO sudah tidak mahu lagi meneruskan hubungan itu maka buat secara rasmi, bukan hanya berdegar-degar dalam wawancara sahaja.

Muafakat Nasional bukannya ditubuhkan melalui mana-mana wawancara tetapi diisytiharkan secara rasmi melalui majlis menandatangani Piagam Perpaduan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada 14 September 2019.

Justeru Ahmad Zahid perlu lebih matang atau profesional dalam berpolitik melibatkan parti lain. Kenyataan rasmi perlu dikeluarkan melalui MT yang sebelum ini dijadikan landasan oleh Ahmad Zahid untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Tetapi penulis percaya kenyataan Ahmad Zahid bukan pendirian rasmi UMNO, sebelum inipun kita sudah dengar perkataan, ‘’kirim salam kepada Muafakat Nasional’. Bagaimanapun pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional serta memperkukuhkan perpaduan ummah dengan merangkul bersama Bersatu perlu bangkit menyatakan pendirian mereka.

UMNO tidak boleh dilihat terlalu angkuh mahu bertanding secara solo dalam PRU-15 dengan keyakinan boleh menang banyak kerusi. Tindakan bersandarkan kepada keputusan PRU-14 yang mana UMNO menang 79 kerusi adalah perkiraan yang salah dan tidak strategik sama sekali kerana senario politik kini amat berbeza.

Bagaimanapun jika Ahmad Zahid begitu yakin UMNO tidak memerlukan Pas, maka Pas pun tidak perlulah terhegeh-hegeh atau ‘’hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ untuk terus mempertahankan Muafakat Nasional. Tambahan pula Pas kini anggota Perikatan Nasional yang turut disertai oleh sebuah lagi parti Melayu iaitu Bersatu.

Pas bukanlah parti kecil yang harus dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata mahu bersama Ahmad Zahid dan UMNO. Pas mempunyai kekuatan dan kelebihan sendiri apatah lagi jika bergabung tenaga dengan Bersatu.

Tetapi seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, ‘’ tu dia yang kata bukan UMNO (secara rasmi), jadi Pas akan terus dengan agenda jajaran politik perpaduan ummah.’’

Maksudnya Pas akan melaksanakan agenda menyatukan ketiga-tiga parti Melayu dalam PRU-15 bagi mengelakkan perpecahan dan pertembungan yang akan merugikan keseluruhan kuasa politik orang Melayu.

Hakikatnya, kita tidak pasti sejauh manakah usaha Pas akan berjaya tetapi yang pasti UMNO tidak akan menang besar jika bertanding bersendirian!  UTUSAN TV

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT          

Teruskan siasatan kes kematian Muhammad Adib – UMNO

SIASATAN kes melibatkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim perlu diteruskan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid, kes berkenaan telah menjadi suatu aspek kepentingan umum dan perlu diteruskan sehingga kebenaran dapat dirungkai.

Beliau berkata, UMNO sentiasa memerhati dengan rapat perkembangan kes tersebut selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan.

Kata beliau, parti itu juga percaya pihak berkuasa perlu diberi masa dan ruang untuk melaksanakan siasatan bagi mencari kebenaran.

“Justeru, kenyataan seorang menteri baru-baru ini bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu amat mendukacitakan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, UMNO tidak pernah melupakan kes kematian Muhammad Adib dan sentiasa menuntut keadilan supaya dapat ditegakkan.

“UMNO berpegang kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 berhubung inkues kematian anggota bomba tersebut.

“Keputusan mahkamah adalah kematian Muhammad Adib selepas insiden rusuhan pada 27 November 2018 adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu,” jelas beliau.

Sabtu lalu, media melaporkan kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

RMK-12 jadi tumpuan Sidang Dewan Rakyat hari ini

Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, satu hala tuju yang bakal memacu negara bagi tempoh 2021-2025.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Ismail Sabri dijangka mengemukakan usul RMK-12 pada 11.30 pagi, sebaik selesai sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang bermula 10 pagi.

Selain itu, takwim Dewan Rakyat memaklumkan selepas pembentangan itu, persidangan dewan akan ditangguhkan pada Selasa untuk sesi perbahasan RMK-12 oleh Ahli Dewan Rakyat yang dijadual selama empat hari.

Bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia, RMK12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan, perlindungan sosial dan projek-projek berpaksikan rakyat yang menjadi keutamaan berbanding projek mega baharu.

Sementara itu, isu berhubung rancangan strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk terus menjadikan Malaysia negara mesra pelabur pasca COVID-19 bagi menarik pelaburan syarikat gergasi antarabangsa akan dikupas pada persidangan hari ini.

Soalan pertama berkenaan dikemukakan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Selain itu, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) akan bertanya mengenai maklum balas terkini status vaksinasi kepada pekerja tempatan dan asing di sektor pembinaan kepada Menteri kerja Raya.

Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) pula akan mengajukan pertanyaan kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai perancangan aspek kebajikan khususnya perumahan mampu milik kepada anggota tentera yang bersara, berpencen atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt. -BERNAMA

‘Kurangkan bunga, banyakkan buah’ tegur Azhar pada wakil rakyat

“KURANGKAN bunga, banyakkan buah.”

Demikian teguran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menegur sikap beberapa Ahli Parlimen yang meleret-leret bertanya soalan sehingga membuang masa sidang sewaktu sesi pertanyaan jawab lisan pagi tadi.

Sebelum itu, Azhar turut menegur Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mengajukan soalan tambahan disifatkan tidak selari dengan isu dijawab Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee ketika itu menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Bachok) berhubung langkah kerajaan memperkasa inisiatif digitalisasi ekonomi sebagai kesinambungan fasa reformasi ekonomi negara.

Ketika bangun untuk bertanyakan soalan tambahan, Hassan bertanyakan soalan mengenai sistem digital e-lelong yang mengakibatkan kerugian kepada lebih 2,000 pelelong berlesen seluruh negara.

“Pasir Gudang, saya rasa soalan itu tak berkenaan dengan soalan yang asal. Timbalan Menteri boleh bagi jawapan bertulis,” kata Azhar.

Cara Eddin Syazlee menjawab soalan turut dikritik apabila Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) bangkit mencelah mengatakan tidak faham dengan apa yang diucapkan Eddin Syazlee sewaktu beliau menjawab soalan Nik Mohamad Abduh.

“Saya daripada Kota Marudu (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili) dan Kuala Pilah (Eddin Syazlee), saya tak tahu orang lain tapi kami tak faham apa yang mereka cakap dan tak dengar.

“Saya kira sepatutnya bagi pihak menteri menjawab, perlu jelas jawapannya kerana kami yang bertanya nak dengan jawapan jelas.

“Jika tidak, diberikan jawapan bertulis ataupun diwakilkan kepada menteri atau timbalan menteri. Kami menghabiskan berpuluh-puluh minit hanya untuk mendengar dan melihat tetapi tak faham yang diperkatakan,” katanya.

Nik Mohamad Abduh yang bangun selepas itu juga mengakui tidak jelas dengan jawapan Eddin Syazlee dan meminta jawapan bertulis.

“Saya faham mungkin Timbalan Menteri tak sihat, saya mohon jawapan bertulis,” katanya.

Wee cabar Guan Eng debat isu dasar kabotaj

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, beliau mencabar Lim Guan 
Eng berdebat selama satu jam atas apa-apa isu yang dibawa oleh mereka 
termasuk isu dasar kabotaj.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong secara terbuka mencabar Lim Guan Eng (PH-Bagan) untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.

Cabaran itu dibuat susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh Wee berhubung isu terbabit di Dewan Rakyat.

Wee berkata, beliau mencabar Guan Eng berdebat selama satu jam atas apa-apa isu yang dibawa oleh mereka termasuk isu dasar kabotaj.

“Saya sedia berdebat dengan (Ahli Parlimen) Bagan, dulu (dia) kata saya tak layak jadi presiden MCA.

“Sekarang saya cabar, satu jam kita boleh bincang dalam apa-apa program,” katanya.

Bagaimanapun, Wee tidak menyatakan tarikh dan tempat perdebatan itu akan mengambil tempat.

Guan Eng kemudian menyahut cabaran itu.

“Saya terima cabaran daripada menteri, bila-bila sila tetapkan masa. Saya akan datang,” kata Guan Eng.

Terdahulu, Guan Eng meminta Wee menyatakan status kehilangan pelaburan luar negeri daripada projek Apricot, Facebook dan Google dan anggaran RM12-15 bilion oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ekoran dasar kerajaan Perikatan Nasional yang membatalkan pengecualian kabotaj untuk syarikat teknologi tinggi yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menjawab pertanyaan Lim, Wee berkata, pembatalan pengecualian dasar kabotaj sekarang hanya kepada kerja pembaikan kabel dasar laut dan ia tidak menghalang kemasukan pelaburan asing dalam industri digital.

“Projek Apricot adalah projek pemasangan kabel, baik semasa zaman pemerintahan BN (Barisan Nasional), PH atau kerajaan sekarang. Polisinya tetap sama, iaitu masih tertakluk kepada dasar kabotaj yang diamalkan sejak 1980.

Pembatalan pengecualian dasar kabotaj sekarang hanyalah kepada kerja pembaikan kabel dasar laut ini dan ia tidak menghalang kemasukan pelaburan asing dalam industri digital,” katanya.

Kata Wee, ia dapat dilihat melalui pelaksanaan projek kabel dasar laut baharu seperti MIST Cable System yang menghubungkan Malaysia, Singapura, Myanmar, Thailand dan India serta India-Asia Xpress Cable System.

Ahmad Jazlan dilantik Pengerusi FELCRA


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub yang melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) awal tahun ini, dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad.

Pelantikan itu dikongsi oleh Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said di Facebooknya hari ini yang mengucapkan tahniah kepadanya.

“Semoga menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik. Selamat maju jaya,” katanya dalam catatan itu yang disertakan gambar Ahmad Jazlan menerima dokumen, dipercayai watikah pelantikan daripada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Jazlan dilantik sebagai Pengerusi MPOB di bawah kerajaan terdahulu pada 8 April tahun lalu, menggantikan Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Tetapi, beliau meletak jawatan pada Januari lalu sebagai bantahan terhadap kegagalan pentadbiran Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen.

Ketua Umno Kelantan itu turut menyuarakan pendirian tidak sedia bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional.

“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Kalau saya tarik diri, saya akan sertakan sekali (surat) peletakan jawatan. Saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya pada awal tahun ini.

Najib beritahu juruaudit buang bahagian ‘sensitif’ laporan 1MDB, mahkamah diberitahu

Najib Razak menegaskan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB perlu 
dikaji semula sebelum disiarkan kepada pencetak, kata seorang saksi kepada 
Mahkamah Tinggi.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya untuk memaklumkan juruaudit agar tidak memasukkan kandungan “sensitif” dalam laporan audit 1MDB.

Shukry Mohd Salleh, yang berkhidmat dengan Najib pada 2015 hingga 2016, berkata perbualan itu berlaku di Pejabat Perdana Menteri pada 26 Feb 2016.

“Beliau berkata “Shukry, beritahu Audit (Jabatan Audit Negara) bahawa isu sensitif termasuk Jho Low (Low Taek Jho), tidak dimasukkan dalam laporan. Jika diketahui pembangkang, ia akan menjadi isu,” katanya.

Selepas itu, Shukry berkata, beliau menghubungi bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan memaklumkannya mengenai arahan Najib.

Katanya, sebelum itu pada Feb 2016, Najib telah mengarahkannya untuk mendapatkan laporan audit 1MDB daripada JAN, sambil menyatakan bahawa ia “perlu diperiksa sebelum dicetak”.

“Perdana Menteri bimbang laporan itu mengandungi perkara yang bukan kebiasaan,” kata Shukry.

Saksi terbabit memberitahu mahkamah, beliau menghubungi bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang untuk menyampaikan arahan Najib.

“Pada mulanya beliau enggan, sambil menyatakan laporan itu perlu dicetak segera untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Mahkamah turut mendengar bahawa Ambrin dan beberapa pegawainya melaksanakan audit 1MDB bermula 9 Mac 2015 hingga 4 Mac 2016.

Shukry berkata, Najib bertegas bahawa laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB perlu diteliti dan beliau memaklumkan Ambrin mengenai perkara itu.

“Saya menerima bungkusan daripada Saadatul pada 20 Feb 2016 yang mengandungi laporan itu,” katanya.

“Saya tidak membaca laporan itu tetapi memaklumkan Perdana Menteri mengenai bungkusan terbabit. Saya mencadangkan supaya beliau meminta Arul Kanda (Kandasamy) melihat laporan itu dan beliau bersetuju.”

Shukry berkata, beliau bertemu Arul Kanda beberapa hari kemudian di pejabatnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif itu memaklumkan “beberapa fakta perlu dipinda”.

“Dia memberitahu yang dia bertemu dengan Ambrin berhubung kandungan dalam laporan audit dan banyak dokumen tiada dengan 1MDB.

“Saya mencadangkan kepada Arul Kanda untuk bercakap dengan Ambrin dan dia (Arul Kanda) turut memberikan beberapa kertas penilaiannya mengenai laporan itu,” katanya.

Shukry berkata beliau dan Ambrin bertemu Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Ali Hamsa pada 23 Feb 2016. Ali berkata beliau telah mengatur satu mesyuarat pada hari berikutnya dan menjemput pegawai kanan kerajaan daripada Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Peguam Negara dan Arul Kanda untuk membincangkan perkara itu.

“Saya memberitahu Ali dan Ambrin bahawa 1MDB adalah ‘krisis yang perlu ditangani segera’ kerana syarikat itu telah menjadi perbualan di dalam dan luar negara,” kata Shukry.

Apa yang diberitahu Shukry dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Ambrin dan beberapa pegawainya menghadiri mesyuarat dipengerusikan Ali pada 24 Feb 2016.

“Pada dua salinan laporan kewangan, saya memaklumkan dalam mesyuarat bahawa perkara ini mempunyai kesan terhadap keyakinan pelabur terhadap kita,” kata Shukry.

“Ini boleh menggambarkan bahawa syarikat milik kerajaan seperti 1MDB boleh dimanipulasi.”

Katanya, Ali telah meminta bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Isa Hussain untuk membuat laporan polis berhubung dua penyata kewangan itu.

Selepas mesyuarat berkenaan, juruaudit kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan empat perkara – dua salinan penyata kewangan dan rujukan terhadap Low dan penerbitan bon – daripada laporan akhir.

Shukry berkata beliau turut membangkitkan permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk menggantung penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) ketika Najib menghadap Baginda pada 27 Mei 2009.

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Najib bersetuju dengan cadangan Agong untuk menggantung penerbitan bon terbabit tetapi maklumat itu tidak disampaikan kepada Jemaah Menteri pada hari yang sama.

“Komen juruaudit menunjukkan Perdana Menteri cuba menyembunyikan sesuatu. JAN bersetuju untuk mengeluarkannya selepas mendengar nasihat Dzulkifli Ahmad (wakil Pejabat Peguam Negara),” katanya.

Najib dibicarakan atas tuduhan menyalahguna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan imuniti tindakan undang-undang dan meminta laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan dalam mesyuarat PAC.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung pada 20 Oktober depan.

Bersatu lantik ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara ketuai sayap bukan Melayu

 MALAYSIA NOW

Bersatu turut menetapkan 18 dan 19 Disember untuk persidangan agung tahunan parti.

Bersatu melantik Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara sebagai ketua pertama bagi sayap bukan Melayu parti tersebut.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata keputusan tersebut diambil secara sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin semalam.

“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan percaya bahawa pelantikan Santhara mampu menarik lebih banyak penyertaan ahli-ahli bersekutu dan seterusnya meningkatkan sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat kepada Bersatu,” katanya.

Beliau turut berkata persidangan agung tahunan parti itu akan diadakan pada 18 dan 19 Disember.

“Persidangan-persidangan tersebut akan dilakukan secara fizikal, maya atau ‘hybrid’ bergantung kepada kelulusan serta SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.

Penubuhan sayap baru ahli bersekutu parti itu dilihat sebagai sebuah langkah untuk menyatukan keanggotaan dalam Parlimen dalam kalangan ahli Parlimen ukan Melayu yang keluar dari PKR ketika krisis politik 2020.

Selain Santhara ia termasuk Ahli Parlimen Saratok Ali Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yassin.

Kerajaan Sabah pimpinan GRS tidak terkesan dengan pembubaran Parlimen - Hajiji

Bernama
Kerajaan Sabah pimpinan GRS tidak terkesan dengan pembubaran Parlimen - Hajiji
HAJIJI: Mandat kami adalah lima tahun dan tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh melengkapkan penggal tersebut. - Gambar fail BERNAMA
 
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditubuhkan pada 26 Sept tahun lalu selepas Pilihan Raya Negeri tidak akan terjejas, walaupun Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
 
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata kerjasama parti dalam gabungan itu dilihat tetap utuh dan semangat berpasukan akan diteruskan bagi menerajui kerajaan negeri hingga cukup satu penggal sehingga 2025.
 
"Ya. Mandat kami (GRS) adalah selama lima tahun dan tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh melengkapkan penggal tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita malam tadi.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita apakah GRS akan terus kekal memerintah sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengadakan PRU15.
 
GRS terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS); Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
 
Pada 26 Sept lepas GRS secara rasmi membentuk kerajaan negeri setelah memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 dengan memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri.-- BERNAMA

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT         

Pencen Ahli Parlimen jangkau RM100,000 sebulan, syor tubuh jawatankuasa khas - Syed Saddiq

Umavathi Ramayah
Pencen Ahli Parlimen jangkau RM100,000 sebulan, syor tubuh jawatankuasa khas - Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, lebih lama perkhidmatan seseorang Ahli Parlimen itu maka lebih tinggi bayaran pencen yang diperoleh mereka. - Gambar fail/Facebook
 
KUALA LUMPUR: Pencen seorang Ahli Parlimen jika digabungkan dengan jawatan-jawatan yang dipegang sepanjang perkhidmatannya dianggarkan menjangkau RM100,000 sebulan.
 
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas- Muar) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberitahu, lebih lama perkhidmatan seseorang Ahli Parlimen itu maka lebih tinggi bayaran pencen yang diperoleh mereka kerana pembayaran itu tidak mengambil kira statik gaji.
 
Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan perkara terbabit dan digabungkan bersama perbincangan mengenai isu Akta Pembiayaan Dana Politik.
 
"Pencen bagi wakil rakyat, menteri bukan satu. Ada pencen bagi Ahli Parlimen, bagi Senator Dewan Negara, pencen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, timbalan menteri, menteri dan Perdana Menteri tidak disatukan.
 
"Jika kamu Ahli Parlimen yang berkhidmat sebagai Exco, ADUN, menteri bukan pencen berasingan, kalau digabungkan ia boleh menjangkau RM100,000 sebulan jika kamu berkhidmat dalam banyak kedudukan," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menambah, gaji seorang menteri adalah kira-kira RM55,000 sebulan dan tidak termasuk beberapa insentif lain seperti sebuah rumah di Putrajaya, Permit Import (AP) untuk dua buah kenderaan, nombor pendaftaran kereta, sebidang tanah di Putrajaya dan elaun percutian boleh melebihi RM100,000 hingga RM200,000 kepada mereka yang sudah berkeluarga setiap tahun.
 
"Bukan itu sahaja apabila dihentikan dapat gratuiti persaraan sehingga RM1 juta hingga RM2 juta kerana pembayaran tidak dilakukan berdasarkan tempoh berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bukan sebagai menteri.
 
"Maksudnya jika kamu Ahli Parlimen empat hingga lima penggal dan sekiranya kamu berkhidmat sebagai menteri meskipun satu hari sekalipun kamu akan mendapat gratuiti melangkau RM1 juta.
 
"Saya berharap kerajaan yang bertukar tiga kali dan ada menteri yang kekal tiga kali, adakah gratuiti hanya sekali atau setiap kali dia berhenti akan dapat RM1 juta," soalnya.

Dakwaan Syed Saddiq pencen Ahli Parlimen jangkau RM100,000 sebulan tidak berlandas fakta - Noor Azleen

Kenyataan Media
Dakwaan Syed Saddiq pencen Ahli Parlimen jangkau RM100,000 sebulan tidak berlandas fakta - Noor Azleen
Noor Azleen Ambros berkata, ucapan Syed Saddiq itu bersifat semberono dan tidak bertanggungjawab. - Gambar/ Facebook Noor Azleen Ambros
 
SAYA terkejut dengan laporan portal berita Sinar Harian dan Astro Awani hari ini (Rabu, 29 September 2021) yang membuat liputan sebahagian perbahasan wakil rakyat dari Parlimen Muar dalam Dewan Rakyat hari ini.
 
Wakil rakyat Muar tersebut semasa mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) petang tadi, telah mendakwa bahawa pencen yang diperolehi oleh seorang Ahli Parlimen mampu mencecah lebih RM100,000 sebulan.
 
Saya berpendapat bahawa ucapan beliau itu bersifat semberono dan tidak bertanggungjawab, selain bertujuan untuk membangkitkan sentimen kebencian dalam kalangan rakyat, tanpa berlandaskan asas dan fakta yang sebenar.
 
Namun, itu tidaklah menghairankan kerana itulah sifat sebenar yang dimiliki oleh wakil rakyat tersebut yang konsisten menunggang sentimen rakyat bagi meraih simpati dan sokongan.

Sebagai bekas menteri dan bekas anggota pentadbiran, beliau harus lebih bertanggungjawab dengan terlebih dahulu merujuk kira-kira kasar beliau mengenai pencen seseorang Ahli Parlimen kepada Akta 237 Undang-undang Malaysia iaitu Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 Pindaan 2015.
 
Akta 237 ini dengan jelas ini menjadi rujukan dan garis panduan tentang hak-hak saraan dan kelayakan pencen seorang Ahli Parlimen, termasuk anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri dan Menteri-Menteri.
 
Akta tersebut juga jelas memberi panduan mengenai kiraan tentang pencen seorang Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran dengan mengambil kira kadar, amaun gaji terakhir, tempoh perkhidmatan dan tempoh minimum perkhidmatan bagi melayakkan seseorang Ahli Parlimen itu layak menerima saraan pencen.
 
Seksyen 11 Akta tersebut juga menyentuh mengenai asas yang diguna pakai bagi mengelakkan pergandaan gaji.
 
Jadi, nasihat saya kepada wakil rakyat berkenaan, jadilah individu yang lebih bertanggungjawab serta jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan isu yang berkait dengan kepentingan rakyat.
 
Kerana saya yakin, andai beliau konsisten bersikap jujur dan ikhlas, tidak mungkin dana parti yang diamanahkan kepada beliau selaku pemegang jawatan akan masuk ke akaun ASB peribadi beliau sendiri.
 
Noor Azleen Ambros
Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang
Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia

Rabu, 29 September 2021

Isu kos buku RMK12: Dakwaan Anwar suatu kejanggalan

 Oleh YUSMAN AWANG

PUTRAJAYA – Kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 bilion untuk projek buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) disifatkan sebagai suatu kejanggalan, kata pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul  Razak (Unirazak), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata, dakwaan Anwar mengenai perkara tersebut kedengaran agak janggal, memandangkan kos RM2 bilion tersebut agak terlalu tinggi nilainya jika ia dibelanjakan semata-mata untuk projek buku RMK12 berkenaan.

Anwar ketika membahaskan mengenai RMK12 dalam Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Parlimen pada Selasa lepas mempersoalkan mengenai perkara tersebut, dengan mendakwa peruntukan lebih RM2 bilion berkenaan telah diberikan kepada konsultan, yang mana sebahagian daripada kos tersebut, iaitu sebanyak RM1.8 bilion dibelanjakan kepada konsultan luar negara sejak lima tahun lalu.

Menurut Barjoyai, beliau agak terkejut dengan dakwaan Anwar berkenaan yang diibaratkan sebagai perumpamaan ‘lebih besar tali daripada lembu’, merujuk kepada kos yang terlalu tinggi dibelanjakan untuk projek buku RMK12 sepertimana yang didakwa Anwar itu.

“Jika benar kos RM2 bilion itu dihabiskan sebahagian besarnya untuk kos khidmat konsultan luar negara, Anwar boleh kemukakan nama konsultan tersebut.

“Agak janggal jika kerajaan membelanjakan sehingga RM2 bilion untuk kos buku RMK12, sedangkan negara ini memiliki pakar-pakar ekonomi dari universiti-universiti tempatan, selain projek berkenaan dikendalikan dengan rapi oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM),” ujarnya kepada HarakahDaily.

Katanya lagi, kos percetakan buku RMK12 dianggarkan hanya mencecah RM1 juta.

“Adakah kemungkinan Anwar keliru dengan kos untuk program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy/NBOS), atau projek Balanced Scorecard (BSC) semasa era pemerintahan kerajaan terdahulu?” soal Barjoyai.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed pada Selasa lepas menafikan dakwaan Anwar tersebut dengan berkata, perancangan pembangunan negara untuk lima tahun bagi projek buku RMK12 berkenaan disediakan oleh pegawai UPE, JPM di bawah seliaannya, hanya melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media, dan tidak pernah membelanjakan sehingga mencecah RM2 bilion.

Mustapa juga memohon Anwar agar dapat memperbetulkan kenyataannya tersebut bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE, JPM dan kerajaan. – HARAKAHDAILY

Ramai wanita bertanding pilihan raya tetapi kalah, kata timbalan menteri

Ahmad Mustakim Zulkifli

Timbalan Menteri KPWKM Siti Zailah berkata, meskipun keadaan demikian ia tidak bermakna calon-calon wanita tidak setanding dengan calon lelaki. 

Ramai calon wanita yang bertanding kerusi Parlimen namun tidak ramai yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi, sekali gus menyukarkan sasaran 30% perwakilan wanita di Dewan Rakyat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, meskipun sedemikian ia tidak bermakna calon-calon wanita tidak setanding dengan calon lelaki.

Katanya, usaha meletakkan lebih ramai wanita sebagai calon ahli Parlimen bergantung kepada parti politik masing-masing.

“Sebenarnya ramai wanita yang dicalonkan, tapi tak ramai yang menang. Di sinilah satu cabaran kepada wanita untuk melihat kekurangan untuk ditambah baik.

“Ada YB-YB wanita yang sesetengahnya lebih baik daripada YB lelaki. Wanita bukan tidak mampu, tetapi suasana dan penerimaan masyarakat yang mungkin merasa wanita tidak mampu menghadapi (cabaran),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Katanya, kementeriannya merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua parti politik dalam masa terdekat bagi meningkatkan jumlah penyertaan wanita sebagai calon ahli Parlimen menjelang Plihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Terdahulu, pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, beliau memaklumkan jumlah perwakilan wanita di Dewan Rakyat ketika ini ialah sebanyak 15% atau 33 daripada 220 jumlah keseluruhan (dua kekosongan), manakala di Dewan Negara seramai 15% atau lapan wanita daripada 53 jumlah ahli (17 kekosongan).

Di peringkat penjawat awam, Siti Zailah memaklumkan seramai 38.2% penjawat awam wanita di peringkat pembuat keputusan melalui pengisian Gred Utama C dan ke atas pada tahun 2020.

Manakala di sektor swasta, penglibatan wanita mencecah 25.8%  berdasarkan keanggotaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 syarikat tersenarai awam teratas.

“Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, didapati terdapat jurang gender yang agak ketara antara lelaki dengan wanita dalam penyertaan politik iaitu dengan skor 0.108 daripada 1.0 skor penuh,” katanya ketika menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok).

Azrina ingin tahu mengenai usaha kementerian untuk menginstitusi dan meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen bagi memastikan sasaran minimum 30% dicapai.

Dalam pada itu, Siti Zailah memberitahu sebanyak 178 program dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita membabitkan 95,182 peserta bagi merealisasikan pemerkasaan wanita.

Najib mohon periksa pegawai LHDN berhubung notis muflis

 BERNAMA

Najib memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi melakukan pemeriksaan ke atas lima pegawai atas alasan LHDN gagal memberi butiran pengiraan jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan terhadapnya.

Najib Razak memohon untuk memeriksa lima pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengikrarkan afidavit mereka berhubung notis kebankarapan terhadap bekas perdana menteri itu kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata permohonan itu difailkan pada 22 September lepas, menurut Kaedah 47 Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017.

Najib, 68, memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi melakukan pemeriksaan ke atas lima pegawai lelaki berkenaan, atas alasan pihak LHDN gagal memberi butiran bagaimana pengiraan jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan terhadapnya.

Wee berkata ketika pengurusan kes secara dalam talian (Zoom) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif hari ini, pihak LHDN memaklumkan bahawa mereka akan memfailkan permohonan untuk membatalkan permohonan pemeriksaan berkenaan.

“Mahkamah kemudian mengarahkan LHDN memfailkan permohonan itu pada 13 Oktober ini dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 9 November,” kata Wee.

Peguam kanan hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN yang turut serta dalam prosiding itu, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Kerajaan, melalui LHDN memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi pada 4 Februari lepas terhadap Najib, selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pada 9 September lepas, Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas menolak rayuan Najib.

Najib pada 13 September lepas, telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Wang RM1.1 juta dikutip daripada rakan-rakan Ahmad Maslan


Wang sebanyak RM1.1 juta yang digunakan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membayar kompaun dikutip daripada rakan-rakannya, ia selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Ahli Parlimen Pontian itu.

Perkara itu dijelaskan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq iaitu peguam mewakili Ahmad dalam satu kenyataan hari ini yang berkata wang tersebut hasil kutipan rakan-rakan yang menyokong perjuangan Ahmad.

“Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Ahmad sepanjang perjuangan beliau,” kata kenyataan media itu.

Jelas peguam Ahmad lagi, proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat.

Katanya lagi, proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus serta teratur.

“Penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang. Datuk Seri Ahmad juga telah menyelesaikan komitmen beliau bagi tujuan penyelesaian ini iaitu melunaskan pembayaran kompaun sepertimana yang telah dipersetujui oleh pendakwaan dan pembelaan,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Keputusan dibuat selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta

Sebelum ini Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.

Usaha memburukkan UMNO gagal, rakyat kembali sokong kami: Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa istilah ‘kluster mahkamah’ merupakan propaganda yang dicetuskan bertujuan untuk memburukkan pemimpin parti itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) rakyat sudah hilang keyakinan terhadap parti yang mereka sokong sebelum ini dan langkah ‘pembunuhan karakter’ tersebut tidak berjaya apabila rakyat kembali menyokong UMNO sekarang.

“Istilah ‘kluster mahkamah’ direka oleh pasukan propaganda sebagai usaha berterusan memburuk-burukkan sebilangan pimpinan UMNO selepas PRU-14.

“Ia ‘character assassination’ yang seterusnya selepas menyaksikan sebilangan besar rakyat mula hilang keyakinan terhadap parti politik yang mereka dokong dan kembali menaruh harapan kepada UMNO,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Jelasnya lagi, terdapat segelintir bekas pemimpin UMNO yang mahu menyelamatkan diri daripada terjerumus sama dilabel ‘kluster mahkamah’ dengan bertindak lompat parti dan cuba buat-buat lupa.

“Namun mereka buat-buat lupa bagaimana sebahagian daripada pemimpin parti politik mereka menyelamatkan diri daripada momokan ‘kluster mahkamah.

“Mereka ini terlepas daripada momokan Kluster Mahkamah dengan meninggalkan perjuangan parti dan melompat kepada parti yang menang PRU-14,” katanya lagi.

Zahid memuji beberapa pemimpin UMNO lain yang masih berani dan setia bersama parti untuk mempertahankan perjuangan mereka walaupun dilabel dengan gelaran tersebut.

“Hanya pimpinan UMNO yang berani dan setia kepada perjuangan parti sanggup bertahan dan menentang walaupun dilabel sebagai ‘kluster mahkamah.

“Justeru mereka yang lompat parti sebenarnya tiada ‘moral standing’ untuk memberi pandangan terhadap individu yang konon mereka gelar sebagai kluster mahkamah,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zahid kini sednag berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi jenayah pecah amanah, lapan bagi tuduhan rasuah dan 27 bagi tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol pembantu rumah: Pegawai penyiasat

 

Pegawai penyiasat dalam kes Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam, bahawa siasatan mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu telah merogol pembantu rumahnya.

Asisten Superintendan Yap Siew Cheng, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, berkata beliau telah menjalankan siasatan dengan lengkap dari pelbagai sudut iaitu di tempat kejadian, rakaman percakapan saksi dan semakan dengan pihak telekomunikasi.

“Hasil siasatan mendapati segala maklumat yang dimaklumkan oleh mangsa, saya telah buat siasatan dan semakan dengan pihak Telco dan Kedutaan Besar Republik Indonesia mendapati masa serta tarikh yang dimaklumkan adalah sama,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Yong tidak merogol mangsa dan cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya direka kerana dia ingin pulang ke Indonesia serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

Bagaimanapun, Yap bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa terdapat dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada tertuduh dan keluarganya berdasarkan perbandingan.

Memetik Bernama Yap berkata beliau tidak menjalankan siasatan bagi mengetahui pemilik DNA itu.

Yap juga berkata terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ di dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

Saksi itu berkata beliau telah merujuk laporan pemeriksaan perubatan mangsa di negara asalnya bertarikh 8 April 2019 sebelum mula bekerja di rumah tertuduh pada Mei tahun sama dan bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada laporan perubatan spesifik atau pakar untuk mengesahkan keadaan mental wanita tersebut ketika kejadian.

Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Berbaloi Ahmad Maslan bayar RM1.1 juta selesai kes, kata Najib


Langkah Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan membayar kompaun RM1.1 juta adalah berbaloi untuk menyelesaikan kes mahkamahnya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod, Najib juga terpalit dalam kes melibatkan Ahmad yang dibebaskan Mahkamah Tinggi hari ini kerana isu pemberian wang RM2 juta tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kompaun dibayar Ahmad itu berbaloi kerana dapat mengelakkan kos-kos lain yang hanya akan merugikan tertuduh disebabkan perjalanan perbicaraan kes yang memakan masa yang lama.

“Sebab itu sebagai seorang ahli politik, RM1.1 juta yang dibayar Ahmad Maslan untuk selesaikan kes mungkin dianggap berbaloi oleh dia sebab mampu mengelakkan kos guaman, kos masa mahkamah serta pencalaran imej bertahun-tahun lamanya untuk dilabel tuduhan ‘kluster mahkamah’.

“Berhubung perkara ini, bagi pertahankan keadilan terhadap tertuduh serta menjimat kos guaman kedua-dua pihak, pejabat peguam negara kerajaan BN masa dahulu hanya akan mendakwa sebarang kes sekiranya cukup bukti dan kebarangkalian untuk menang kes adalah setinggi 90 peratus,” katanya dalam hantara Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Najib juga mempersoalkan pertuduhan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) hampir semuanya kalah dan motif disebalik pendakwaan terhadap pemimpin UMNO.

“Jadi, persoalan paling mustahak ialah kenapa pula kes-kes yang dituduh peguam negara masa kerajaan PH hampir 100% kalah di mahkamah?

“Adakah mereka telah salah gunakan institusi kerajaan untuk melancarkan serangan politik?” ujarnya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Keputusan dibuat selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta

Sebelum ini Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.

Setahun pentadbiran GRS, badai politik diharungi, fokus majukan Sabah

 Assim Hassan

Setahun pentadbiran GRS, badai politik diharungi, fokus majukan Sabah
Sidang media pertama Hajiji (tengah) selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah pada 29 September 2020. - Gambar fail BERNAMA
 
HARI ini genap setahun satu hari Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipilih mentadbir negeri Sabah.
 
Dikemudi Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang baharu - rakyat dan pemerhati politik tidak sabar untuk melihat kemampuan kerajaan GRS ini.
 
Adakah mereka dapat menyantuni suara 'lantang' anak-anak Sabah yang mahukan sedikit kelebihan tanpa hanya berpaksikan kepada telunjuk Semenanjung?
 
Dapatkah mereka membawa pembangunan, menyediakan kemudahan asas di pedalaman yang dipinggirkan sekian lama - setahun ini tidak adil untuk menilai pencapaian GRS itu sendiri.
 
Jika dilihat, perancangan dan usaha ke arah mengangkat anak bangsa itu ada. Benar ia masih di peringkat awal.
 
GRS merupakan gabungan parti Perikatan Nasional (Bersatu, Star, PBRS), Barisan Nasional (UMNO, MCA dan MIC), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan juga Pas.
 
Dan pada tarikh ini tahun lalu (28 September 2020), penulis sudah berada lebih 45 hari di Sabah (kerana membuat liputan Pilihan Raya Negeri ke-16) masih lagi berada di pekarangan sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kota Kinabalu.
 
Walaupun sudah menang pada PRN ke-16, belum ada sosok tubuh pemimpin yang tampil mengangkat sumpah di Istana Negeri sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
 
Belum ada. Media terus berspekulasi ketika itu. Macam-macam drama.
 
Rata-rata pemimpin kanan Bersatu di peringkat Pusat dan negeri berkampung di hotel tersebut - Pemimpin kanan UMNO Pusat dan negeri pula dikatakan berkampung di kediaman Datuk Seri Bung Moktar Radin.
 
Ini kerana masih belum ada kata putus mengenai calon Ketua Menteri Sabah walaupun GRS sudah diumumkan menang majoriti pada PRN Sabah ke-16 dengan 38 kerusi.
 
Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu pada 29 September 2020.
Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang 
baharu pada 29 September 2020.
 
Ditambah pula, tiga kerusi yang dimenangi calon bebas iaitu DUN Kemabong (Datuk Rubin Balang); Kuamut (Datuk Masiung Banah) dan Pitas (Datuk Ruddy Awah) memberi sokongan kepada GRS.
 
Ini sekali gus menidakkan parti pemerintah sebelum itu iaitu Warisan Plus untuk meneruskan perjuangan mentadbir negeri Sabah apabila menang 32 kerusi pada waktu itu.
 
Hinggakan aplikasi WhatsApp mengejutkan pengamal media. Hajiji dipanggil mengadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri petang 28 September 2020.
 
Waktu itu, penulis dan beberapa rakan kru Astro AWANI sedang minum petang, pisang goreng PM yang terkenal di lintasan Deasoka, Kota Kinabalu. Tidak pikir panjang, terus bergegas ke pekarangan Istana Negeri bagi mendapatkan respon Hajiji.
 
Kemelut berakhir, Hajiji dengan ringkas memaklumkan akan mengangkat sumpah esoknya (29 September 2020) selepas dipilih sebulat suara oleh pimpinan GRS selaku Ketua Menteri Sabah.
 
Sentimen Borneo
 
Jika disingkap kembali, arena politik di peringkat Pusat sedikit kucar-kacir hingga perubahan tampuk pentadbiran negara juga berlaku.
 
Hal ini turut memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan di peringkat negeri Sabah. Mana tidaknya, GRS itu dianggotai oleh PN dan BN itu sendiri.
 
 
Namun, Hajiji pantas bertindak. Beliau memastikan gabungan itu tidak goyah dengan apa yang berlaku di peringkat Pusat termasuk mendapat jaminan dan sokongan parti komponen dalam GRS sendiri terutama UMNO dan PBS.
 
"Sentimen Borneo itu dilihat kuat sekarang. Para pemimpin tidak lagi sanggup mengikut rentak politik di Semenanjung.
 
"Seperti ada satu ikatan kekitaan walaupun mereka berlainan parti politik tetapi tujuan dan fokus mereka sama. Iaitu membangunkan Sabah dan rakyatnya serta yang penting memperjuangkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," jelas penganalisis politik, Romzi Ationg.
 
Pembangunan Sabah
 
Dalam tempoh setahun itu, barisan kepimpinan GRS tidak hanya berpeluk tubuh. Selain perjuangan MA63, usaha membangunkan Sabah itu sendiri dirancang dan dilakukan.
 
Sebagai contoh Pelan Pembangunan Sabah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan Hajiji pada 29 Mac lalu adalah insiatif untuk meningkatkan negeri itu dan rakyatnya dalam tempoh lima tahun.
 
Hajiji (kanan) selepas melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Hajiji (kanan) selepas melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
 
"Pada saya, semua atau hampir kesemua elemen yang dinyatakan dalam pelan pembangunan ekonomi di bawah inisiatif SMJ berupaya mewujudkan kesan positif kepada ekonomi Sabah.
 
"Sebagai contoh, kesan pengganda kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih banyak, meningkatkan atau memperbaiki kemudahan infrastruktur sedia ada, meningkatkan keupayaan sumber daya sedia ada, meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dalam pasaran, di samping memberikan isyarat yang positif kepada para pelabur asing dan domestik serta pemegang taruh yang lain," kata Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf Universiti Malaysia Sabah, Rafiq Idris.
 
Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo amat ditunggu-tunggu rakyat Sabah.
Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo amat ditunggu-tunggu 
rakyat Sabah.
 
Setahun pentadbiran GRS dilihat punyai cara mentadbir yang dimahukan 'orang Sabah'. Lebih mudah ada sedikit autonomi atau keberanian keputusan pemimpin untuk tidak selari dengan arahan di peringkat persekutuan.
 
Jika dilihat dari aspek yang luas, itu bukan 'penderhaka' atau tidak ikut perintah... sebaliknya corak pentadbiran kerajaan negeri mengadaptasi situasi semasa di Sabah. 
 
 
Malah, esok Hajiji dan barisan kepimpinan GRS akan mengadakan Majlis Setahun Kerajaan GRS Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
 
Yang akhirnya, semua fokus dan inisiatif ini adalah untuk tanahair tercinta dan rakyatnya agar Sabah terus maju jaya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT         

Pas Perak sedia berdepan Anwar Ibrahim pada PRU15

Amirrul Rabbani
Pas Perak sedia berdepan Anwar Ibrahim pada PRU15
Mohd Akmal Kamaruddin berkata, jentera parti sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya Ketua Pembangkang mahu bertanding di mana-mana kawasan yang ditandingi calon Pas di Perak. - Gambar fail BERNAMA
 
IPOH: Pas Perak berlapang dada sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
 
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, jentera parti tersebut telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya Ketua Pembangkang itu mahu bertanding di mana-mana kawasan yang ditandingi calon Pas di negeri ini.
 
“Itu politik dialah (Anwar), dia nak bertanding mana-mana dia punya sukalah. Sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Perak, jentera kita sudah bersiap sedia di semua peringkat.
 
“Siapa sahaja calon lawan kita bersedialah… dan kalau Datuk Seri Anwar mahu bertanding kebetulan di kawasan Pas, kita bersedialah untuk lawan,” katanya.
 
Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzudin Shah di sini, pada Selasa.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dilaporkan mempelawa Anwar untuk bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Perak pada PRU-15.
 
Media melaporkan, tawaran itu dibuat Farhash Wafa dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR negeri baru-baru ini sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan Perak.
 
Dalam pada itu, Mohd Akmal yang juga Exco Perak meminta PKR negeri agar tidak terlalu berpolitik ketika ini, sebaliknya, memberi tumpuan terhadap usaha membendung penularan COVID-19 dalam negara.
 
“Nasihat saya kepada PKR jangan terlalu berpolitik sangat. Kita tumpu pada usaha vaksinasi dan memutuskan
 
penularan COVID-19 supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini.
 
“Jadi kita nasihat supaya henti sekejap politik itu. Nanti hendak dekat PRU, baru kita umumkan siapa calon untuk lawan dia (Anwar) ke atau siapa calon-calon kita di tempat-tempat tertentu,” ujarnya lagi

Kerajaan gantian tidak membayangkan UMNO sudah bercerai dengan Bersatu – Tengku Razaleigh

MGF24092021_OWH-MG-KU-LI-1-3
Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Pembentukan kerajaan baharu tidak menunjukkan kesungguhan kepimpinan UMNO hari ini untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai mana yang dikehendaki oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menterjemah kehendak akar umbi yang menolak Bersatu dalam sebarang bentuk kerjasama. 

"Tiada makna PAU 2020 meluluskan satu usul nak memutuskan sebarang kerjasama dengan Bersatu.

“Sedangkan apa yang diwujudkan sekarang ini kerajaan gantian tidak membayangkan kita sudah bercerai atau putus hubungan dengan Bersatu.

“Bukan saya ada apa-apa terhadap Bersatu, tetapi semangat itu tak dizahirkan oleh penubuhan kerajaan baharu.

“Nampaknya tak diterjemahkan sebagai mana yang dihasratkan oleh ahli-ahli di peringkat akar umbi,” katanya dalam program Owh MG terbitan MalaysiaGazette, semalam.

Kesal dengan pendirian itu, Tengku Razaleigh bertindak meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, berkuatkuasa 20 September lalu.

Tambah beliau, bukan beliau sahaja berasa kecewa berhubung perkara itu tetapi banyak pihak turut merasainya dan ia seperti menukar gambar atau ‘bermain bayang’ yang menyebabkan ramai tidak berpuas hati.

Menurutnya, apakah ini had kemampuan dan kebolehan UMNO pada masa ini.

“Kalau saya terus jadi pengerusi penasihat, tak upaya saya mengubah perkara penting seumpama ini iaitu menterjemahkan keputusan usul yang diluluskan oleh PAU 2020 sebulat suara.

“Tak perlu saya kekal di situ lagi, saya tak upaya lakukannya, baik saya tarik diri itu tujuan dan sebab sebenar saya berundur,” katanya.

Tengku Razaleigh mendakwa, tindakan Ismail Sabri melantik menteri dan timbalan menteri dalam Kabinetnya dalam kalangan kerajaan terdahulu selah-olah UMNO merestui kerajaan gagal.

“Mengapa kerajaan yang ditolak oleh rakyat disifat sebagai kerajaan gagal, ditubuh balik, cuma bertukar jawatan atau portfolio sahaja menteri di kementerian A pergi ke kementerian B, ada B pergi ke A,” ujarnya.

Tengku Razaleigh berkata, rakyat tidak bodoh dan tidak boleh diperbodohkan kerana banyak nyawa melayang akibat pandemik Covid-19.

“Kita serius, setiap hari beratus mati, kes jangkitan Covid-19 beribu, 17,000, 18,000 sehingga 22,000 pada satu ketika, negeri-negeri pula naik beribu, Sarawak lebih 2,000 sehari, Selangor begitu juga.

“Saya rasa kita tak boleh main-main, ini tanggungjawab kita untuk menyelamatkan nyawa rakyat,” katanya.

Beliau berpendapat, rakyat akan marah dan kecewa kepada jika kerajaan memandang rendah terhadap masalah kehidupan mereka.

Katanya, langkah untuk mengatasi krisis kepercayaan rakyat terhadap UMNO hanya melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Serah balik mandat kepada rakyat, biar rakyat menentukan siapa yang layak diangkat sebagai kerajaan baharu, itu sebaik cara, ikut proses demokrasi.

“Kerana Covid-19, mungkin kempen pilihan raya akan mendedahkan banyak pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya kepada jangkitan penyakit berjangkit ini boleh membahayakan ramai rakyat.

“Mungkin kita cari jalan juga suatu hari nanti bagaimana kita dapat mengatasi masalah ini kalau kita mesti juga adakan pilihan raya dengan cepat,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengharaman UMNO tidak dicabar kerana takutkan Tun M, dakwa Ku Li

MGF24092021_OWH-MG-KU-LI-30
Temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988 yang mengharamkan UMNO tidak pernah dicabar mana-mana pihak hanya kerana takut kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah mendakwa, tidak hairanlah jika tiada seorang peguam pun berani berbuat demikian kerana pengaruh kuat Dr Mahathir.

“Saya rasa keadaan tidak mengizinkan, oleh kerana pada masa itu pimpinan negara begitu kuat, pengaruhnya luar biasa.

“Orang semua naik takut oleh kerana berlakunya pemecatan ketua hakim negara dan tiga hakim Persekutuan pada ketika itu.

“Menakutkan orang, pegawai-pegawai kerajaan pun diturun pangkat dan sebagainya.

“Raja pun kekebalannya dikurang, dibuang dengan pindaan Perlembagaan yang dilakukan oleh pemimpin ketika itu,” katanya dalam program Owh MG terbitan MalaysiaGazette, semalam.

Tengku Razaleigh berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membuat lebih ramai takut untuk mempertikaikan tindakan Dr Mahathir ketika itu.

Katanya, ia menyebabkan tiada sesiapa berani bertindak dan beliau tidak tahu mengapa peguam tidak membangkitkan soal ini ketika itu.

“Kemudian ada pula ISA, undang-undang yang boleh mencekup sesiapa tanpa beri notis nak ditahan dan sebagainya. Jadi orang naik takut, tak siapa berani nak bertindak.

“Ya, seolah-olahnya (takut kepada Dr Mahathir) begitulah dan media pun dikawal, tak bebas nak menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

i-Citra: Saya bukan menteri kewangan – Najib

Najib Razak new cabinet Ismail Sabri Yaakob
Najib Razak

KUALA LUMPUR – “Aduh,” keluh Datuk Seri Najib Razak yang dipersalahkan oleh warga maya kerana had pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih belum dinaikkan dari RM5,000 kepada RM10,000.

Kata beliau, dia bukan perdana menteri atau menteri kewangan.

Meskipun begitu, bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak pernah lupa untuk mengetengahkan isu tersebut kerana dia paling awal menyarankan skim i-Lestari.

”Yang tuntut sehingga dapat i-Sinar walaupun diberitahu PM8 dengan MP lain bahawa ianya sukar dan seumpama syarat Gunung Ledang, saya.

”Yang bantah syarat-syarat terlalu ketat i-Sinar pada awalnya sehingga ianya dilonggarkan, saya.

”Yang diserang dan dimaki jentera kerajaan PN termasuk JKOM sebab saya tuntutkan i-Sinar masa itu, saya. Yang perjuangkan i-Citra ketika bermulanya PKP 3.0, saya.

”Tapi saya juga yang disalahkan sebab had pengeluaran i-Citra belum dinaikkan dari RM5k ke RM10k walaupun saya bukan Menteri Kewangan ataupun PM? ,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Najib berkata, beliau akan berbahas pada persidangan Dewan Rakyat petang ini dan isu had pengeluaran i-Citra tidak akan dilupakan.

Tetapi petang ini, fokusnya akan lebih kepada mencari jalan dengan memberi cadangan-cadangan untuk kerajaan memulihkan simpanan-simpanan rakyat dalam KWSP serta cara-cara kerajaan boleh bantu rakyat membina kekayaan peribadi. – MalaysiaGazette

Istilah Kluster Mahkamah direka burukkan pemimpin UMNO – Zahid

spine injury Yayasan Akalbudi corruption trial Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi court subpoena specialist doctor Dr Mohd Shahir Anuar from Avisena Specialist Hospital
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Istilah Kluster Mahkamah yang direka oleh pasukan propaganda sebagai usaha berterusan memburuk-burukkan sebilangan pimpinan UMNO selepas PRU-14.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, istilah itu adalah ”pembunuh karakter” yang seterusnya selepas menyaksikan sebilangan besar rakyat mula hilang keyakinan terhadap parti politik yang mereka dukung dan kembali menaruh harapan kepada UMNO.

Namun mereka buat-buat lupa bagaimana sebahagian daripada pemimpin parti politik mereka menyelamatkan diri daripada momokan Kluster Mahkamah.

”Mereka ini terlepas daripada momokan Kluster Mahkamah dengan meninggalkan perjuangan parti dan melompat kepada parti yang menang PRU-14.

”Hanya pimpinan UMNO yang berani dan setia kepada perjuangan parti sanggup bertahan dan menentang walaupun dilabel sebagai Kluster Mahkamah,” kata Ahmad Zahid.

Justeru mereka yang lompat parti sebenarnya tiada moral standing untuk memberi pandangan terhadap individu yang konon mereka gelar sebagai Kluster Mahkamah.

Dengan itu adalah wajar mereka menginsafi tingkah laku kerana rakyat zaman ini hidup di zaman bermaklumat yang mengerti apa yang berlaku, ujar beliau. – MalaysiaGazette

Bagaimana RMK-12 dibiayai? – Mohamad

MGF27122020_MAKKAL-SAKTI-7
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjelaskan bagaimana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh perdana menteri baru-baru ini akan dibiayai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rancangan yang baik hanya akan menghasilkan impak terbaik dengan pembiayaan yang mapan.

Dalam keadaan hasil negara sangat terkesan akibat pandemik, hutang negara hampir mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan yang terencat semenjak dua tahun lepas, maka kejayaan RMK-12 sangat bergantung kepada pembiayaannya.

Oleh itu ketelusan tentang bagaimana rancangan ini akan dibiayai, akan menjadikan RMK-12 bukan sahaja realistik tetapi mempunyai daya kebolehlaksanaan.

Tambahnya, kerajaan juga mengambil kira bahawa impak pandemik telah menghapuskan pelbagai status quo dalam pencapaian ekonomi dan kehidupan masyarakat selepas Malaysia telah kehilangan hampir dua tahun yang produktif.

Selain itu, kesusutan luar biasa golongan kelas menengah, penggandaan golongan miskin mutlak dan tegar, kehilangan daya saing pelbagai sektor ekonomi serta kelohongan jelas dalam pelbagai sistem kesihatan, pendidikan dan sosial.

Justeru, rancangan ini mesti dilaksanakan dengan mengambil kira semua kesusutan ini dan mesti diselarikan dengan strategi pemulihan untuk mengembalikan semula status quo Malaysia sebelum lonjakan sewajarnya disasarkan.

”Pada perkiraan kasar saya, Malaysia telah mengalami kesusutan nilai pembangunan sebanyak lima ke lapan tahun ke belakang dalam senario kes terburuk. Contohnya, penengah gaji dan upah yang mengambil kira kesan inflasi menyusut lebih daripada lima tahun ke belakang akibat krisis ekonomi kini. Mampukah Malaysia mengembalikan semua kehilangan ini dalam masa empat tahun akan datang?,” soal beliau dalam kenyataan di sini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menambah, strategi mengurangkan jurang ekonomi dalam negara adalah sangat penting memandangkan negeri-negeri dan wilayah dalam Malaysia mempunyai kesenjangan yang sangat ketara.

Oleh itu, strategi pembangunan untuk Sabah dan Sarawak wajar lebih radikal kerana ia adalah wilayah yang menyumbang hasil mahsul yang besar kepada negara dan mempunyai kawasan geografi yang sangat meluas dan jurang keberadaan yang sangat kritikal.

Namun ia juga mempunyai potensi luar biasa terutama dari segi ekonomi dan sumber asli.

Mohamad berkata, dengan pelaburan dan peruntukan berganda, Sarawak dan Sabah boleh menjadi ‘kuasa ekonomi baharu’ untuk Malaysia tetapi RMK-12 masih lagi dengan paradigma biasa dalam perancangannya untuk Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, penyediaan infrastruktur terus menjadi strategi penting RMK-12 dan penekanan terhadap pelbagai infrastruktur digital adalah sangat bertepatan.
Namun tiada projek prasarana baharu berskala mega yang diperkenalkan dalam rancangan kali ini.

”Pembangunan pelbagai mod sistem rel nasional berskala mega seharusnya diperkenalkan kerana pelbagai daerah dan wilayah dalam Malaysia masih lagi tidak terhubung dengan pengangkutan berkelajuan tinggi.

”Bandar raya utama seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang masih lagi tidak terhubung dengan Kuala Lumpur dan Singapura melalui sistem rel berkelajuan tinggi. Prasarana termaju akan menjadi asas kepada ekonomi yang moden dan masyarakat yang maju. Pembiayaan secara besar-besaran dalam sektor ini adalah sangat strategik,” ujar beliau.

Dari segi penjagaan kesihatan, pemodenan sektor kesihatan negara seharusnya melangkaui pelaburan infrastruktur fizikal termasuk pembinaan lebih banyak hospital serta menaiktaraf kualiti hospital nasional.

Tambahan pula, kerajaan perlu memperuntukkan dana lebih besar untuk melipatgandakan latihan kepakaran, memperkenalkan sistem pembiayaan kesihatan yang lestari, mengupayakan pelbagai penyelidikan kesihatan serta memperhebat strategi pencegahan penyakit.

Tuntasnya, sektor kesihatan perlu menjadi asas keutamaan dalam setiap perancangan dan belanjawan negara. Kesejahteraan Keluarga Malaysia hanya akan direalisasikan apabila kesihatan warganya menjadi keutamaan nasional.

Selain itu, ujar beliau, RMK-12 tidak memberikan penekanan yang wajar dan penting kepada sektor pertanian, penternakan, kelautan dan makanan negara sedangkan ia menjadi dokumen yang mencetuskan satu revolusi pertanian dan perikanan yang sangat diperlukan oleh Malaysia.

”Potensi sektor pertanian dan maritim Malaysia tidak terletak dalam radar penting keutamaan pembangunan negara sedangkan Malaysia mempunyai sumber asli yang besar dan kaya. Agenda sekuriti makanan negara dapat wajar dikukuhkan dengan memacu Felda sebagai peneraju pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap industri kelapa sawit.

”Penerokaan ekonomi maritim wajar menjadi keutamaan kerana sumber kekayaan Laut China Selatan itu sangat besar sehingga ia menjadi medan sengketa wilayah pelbagai negara kerana kekayaannya,” tambahnya.

Katanya, dari aspek fiskal negara, RMK-12 sepatutnya menerapkan usaha konsolidasi fiskal terutamanya menjelang tahun 2024 dan 2025, ini penting disebabkan baki fiskal kepada KDNK tahun 2020 sebanyak -6.2% jauh terpesong dari sasaran RMK-11 sebanyak 3.0%.

Dalam jangka masa sederhana semasa ekonomi negara semakin pulih, kerajaan perlu komited terhadap reformasi cukai termasuk melebarkan asas cukai dengan mempertimbangkan perlaksanaan semula cukai kepenggunaan dengan mereka bentuk cukai GST yang lebih progresif. – MalaysiaGazette