HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Kerdau: Bukan semua mahu pembangunan

Jimadie Shah Othman

Walaupun ramai beranggapan kawasan luar bandar di Kerdau, terutamanya di tiga kawasan Felda dan sebuah Felcra di DUN itu memerlukan lebih pembangunan, perkara itu rupa-rupanya tidak mewakili semua hasrat penduduknya.

Masih terdapat penduduknya, terutama di kawasan 3+1 - gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur – yang mahukan ilmu dan lebih bimbingan agama berbanding kemudahan material.

NONE“Macam pembangunan itu rasanya tak perlu sangat. Kami peneroka, ilmu itu kurang,” kata Rokiah Lob – peneroka selama 14 tahun di Felda Jengka 22 – dalam nada mengeluh.

Rokiah, 47, yang pada mulanya malu diwawancara memberitahu Malaysiakini, beliau kecewa kerana sejak awal berpindah ke situ – 65 kilometer daripada Temerloh – tiada ustaz yang masuk dan menyentuh tentang masalah akidah umat Islam.

“Memanglah ada bab agama (diajar di masjid), tetapi bab fadhilat (kelebihan amalan) itu, fadhilat ini. Kita nak akidah. Itu yang penting,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Cik Kiah.

Antara pengalaman sedihnya, cerita Cik Kiah lagi, apabila hendak berangkat menunaikan haji ke Mekah sebelum ini, beliau mendapat berita yang menggambarkan betapa buruknya “masalah sosial” di kawasan itu.

“Ya Allah, masalah sosial ini, ingat lagi masa pergi haji baru-baru ini, ada budak datang, (beritahu) 'Cik Kiah, Cik Kiah tahu, ada tiga orang bersalin anak luar nikah...'

“Tak dan ambil SPM pun. Salah seorang itu memang cerdik budaknya,” kata Rokiah lagi.

Tolak pi, tolak mai


NONEDitanya sama ada beliau yakin calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad sesuai dipilih bagi menyelesaikan masalah itu kerana mempunyai latar pendidikan agama, Rokiah menjawab ringkas:

“Kalau ustaz pun, kalau dia tak nak didik bab agama dulu, tak pentingkan agama dulu, rasanya sama saja.”

Dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac ini, Syed Ibrahim dicabar calon PAS Hassanuddin Salim – seorang bekas kontraktor untuk projek berskala besar.

Sementara itu, bagi tiga lagi peneroka Abd Hamid Mohd Zin, Abd Hamid Shafie dan Saifudin Ibrahim, isu sekitar kebajikan Felda nampaknya lebih penting kepada mereka berbanding siapa pun calon bertanding.

NONEAbd Hamid Mohd Zin, 58, sepanjang wawancara ringkas dengan Malaysiakini asyik ketawa bila ditanyakan soal calon pilihan hatinya.

“Calon macam mana? Macam biasalah. (ketawa) Kita tengoklah yang mana yang baik,yang mana yang tak baik,” katanya di atas motosikal ketika sampai ke kedai runcit berdekatan rumahnya.

Tetapi, selepas 31 tahun berhijrah daripada Kedah untuk menjadi peneroka di Pahang, bayaran RM1,500 untuk penduduk Felda yang ladangnya diuruskan oleh lembaga itu tidak memuaskan hatinya.

“Bayar sikit sangat. Dia bayar RM1,500. Tolak pi, tolak mai, tak banyaklah,” katanya yang masih pekat dengan loghat negeri kelahirannya.

Akhirnya PM pun umum...


NONERakan sebayanya Abd Hamid Shafie – yang kebetulan mempunyai nama dan umur sama- pula nampaknya gembira dengan perkembangan di Felda, khususnya selepas kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi semalam.

“Dalam pilihan raya umum dulu, kita sudah minta CESS, Alhamdulillah Datuk Najib dah umum terus boleh. Daripada (zaman) arwah Datuk Zaharuddin (Abu Kassim) meninggal kami minta. Akhirnya PM pun umum,” katanya.

Berterus terang mahu terus mengundi calon BN kali ini, beliau berkata isu lain yang menjadi perbualan di kalangan peneroka meliputi soal bayaran bagi tanah yang diusahakan Felda dan isu pertukaran nama di geran apabila pemiliknya meninggal dunia.

“Saya ada tanya, katanya tengah dok proses geran. Dok ada 50 orang lagi (di sini) belum selesai masalah hak milik bila suami meningggal,” katanya.

NONESementara bagi anak muda berumur 28 tahun, yang memilih bekerja sebagai peneroka, membuat pilihan antara kedua-dua calon bertanding nampaknya masih sukar.

Tetapi, bagi Saifudin Ibrahim, sebagai generasi kedua, beliau mahukan diberikan tanah kepada kira-kira 300 orang muda sepertinya di Felda tersebut.

“Bukan dapat pun tanah, janji nak buat,” kata lelaki pendiam itu yang sedang berehat di bawah teduh pokok tengah hari semalam.

Banyak tidak OK

Bagaimanapun, penilaiaan Saifudin jelas apabila beranggapan prestasi wakil rakyat daripada BN sebelum-sebelum ini tidak memuaskan.

azlan“Banyak buat teruk, ambil tanah. Nak dapat bukan senang, payah,” katanya yang berkata menuggu sejak pilihan raya umum pada tahun 2008 dahulu.

Beliau juga berpendapat, walaupun banyak projek memasuki kawasan itu akhir-akhir ini, masih banyak yang “tidak OK”.

“Banyak tak OK. Kawasan ini banyak tak OK. (Gelanggang) futsal itu mana buat. Dekat pilihan raya saja buat. Baru-bari ini nak buat dewan serbaguna, (tapi) belum siap lagi,” katanya lagi.

Pertembungan di kawasan 3+1 itu amat penting kali ini bagi menilai sama ada undi orang Melayu masih kekal bersama BN.

Dengan pengundi seramai 3,721 orang di empat kawasan itu, ia amat penting untuk kedua-dua parti bertanding kerana mewakili satu pertiga daripada keseluruhan 8,999 pengundi yang layak.

Husam: Tiga dalil Dr M pengkhianat Melayu

Abdul Rahim Sabri

Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mengemukakan tiga dalil bagi membuktikan dakwaannya bahawa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad "pengkhianat Melayu".

Menurutnya, beliau sudah lama berpandangan sedemikian. Antara buktinya itu, termasuk pendaratan minyak dan gas ke Songkla dilakukan "secara sengaja dan terancang" bagi menafikan hak Kelantan yang majoriti penduduk Melayu mendapat apa sahaja peluang faedah berkenaan.

"Bila hak Kelantan ternafi sampai kini, hak rakyat Kelantan juga ternafi dan dikhianati. 95 peratus penduduk Kelantan adalah Melayu. Maknanya Tun M mengkhianati Melayu, Melayu Kelantan secara khusus," tulis Husam di blognya.

"Kawasan JDA (perdaratan minyak dan gas) hanyalah 150 km dari pantai Kelantan berbanding 270 km ke Songkla.

"Dari Songkla, terpaksa dibina saluran paip gas daratan sejauh 180 km lagi untuk gas tersebut dibawa semula ke Malaysia melalui Kedah untuk mengelakkan Kelantan tersentuh!" kata Husam.

pas muktamar 55 husam musa 050609Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan berkata susulan itu, hak royalti Kelantan dan faedah industri hiliran turut dinafikan walaupun telaga itu paling hampir dengan Kelantan berbanding semua tempat lain sama ada di Malaysia atau Thailand.

"Namun sedikit pun faedahnya tidak dapat dikecapi oleh rakyat Kelantan, baik Melayu, Cina, India dan Orang Asli. Ia adalah program politik untuk memencilkan Kelantan.

"Secara automatik Melayu Kelantan juga terpencil. Sebagai anak Kelantan, saya merasai bagaimana hak kami dinafikan. Dan saya adalah Melayu," coretnya lagi.

Ahli jawatankuasa PAS pusat itu juga mendakwa "lebih jelas lagi pengkhianatan" Dr Mahathir apabila beliau membatalkan pemberian royalti kepada kerajaan Terengganu yang diberikan selama 22 tahun selepas negeri itu terlepas daripada BN.

"95 peratus rakyat Terengganu adalah Melayu. Sekali lagi Tun M lupa kepentingan Melayu demi kepentingan kepartian Umno semata-mata. Melayu Terengganu juga dikhianati.

mahathir and malay people"Tun M sanggup membatalkan apa yang telah menjadi amalan selama ini demi kerana politik.

"Orang seperti ini meletakkan politik parti mengatasi segala-galanya dan soal Melayu dengan sendirinya adalah lebih kecil dari kepentingan politik," katanya.

Dalam tulisan itu juga, Husam berkata pilihan raya 1999 menyaksikan perubahan sokongan pengundi Melayu terhadap Umno berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri sehingga menyebabkan kuasa Umno tergugat.

"Pengundi bukan Melayu memilih untuk bersama BN pada waktu itu. Apa yang dilakukan oleh Tun M?

"(Beliau) mengubah sempadan pilihanraya dengan memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu ke dalam DUN atau Parlimen majoriti pengundi Melayu di seluruh negara supaya peratusan pengundi Melayu mengecil untuk menjamin kemenangan Umno/BN," katanya.

azlanDengan nada sinis, Husam yang juga ADUN Salor mempersoal angkara siapa yang menyebabkan hari ini pemimpin Umno melaungkan 'ketuanan Melayu' terancam.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk berdebat dalam diskusi ilmiah dengan bekas presiden Umno itu mengenai isu pengkhianatan Melayu oleh Umno

"Sementara itu, siapa sahaja yang mempunyai pandangan terhadap bagaimana Umno mengkhianati Melayu selama ini boleh berkongsi mengenainya dalam FB '54 tahun Umno Khianati Melayu'" katanya.

Umno patut malu bercakap soal Melayu

Ahmad Danial

JASIN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata sepatutnya pemimpin Umno kena merasa malu untuk bercakap soal Melayu yang tertinggal pada hari ini.

“Mereka kena ambil cermin menyuluh kembali muka mereka siapa yang menjadikan Melayu di negara ini merempat," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, Umno yang menjadi tulang belakang BN menjadikan isu Melayu untuk meraih sokongan orang Melayu di negara ini kerana mereka sedar bahawa Melayu adalah tonggak kekuatan politik di negara ini.

Katanya, Umno memainkan gendang yang sama untuk meletakkan bahawa Melayu dalam keadaan bahaya sejak pilihan raya umum 2008.

Seluruh dunia, katanya maklum bahawa sememangnya pemimpin Umno suka Melayu mengemis dan jahil, kerana akan menjadi ulam untuk Umno.

Tambahnya, pemimpin Umno sedar pada hari ini yang menyokong mereka ialah Melayu subsidi dan Melayu yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sedangkan Melayu bandar dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat sudah tidak menyokong Umno.

Menurutnya, satu lagi golongan orang Melayu yang menjadi ‘simpanan tetap’ Umno dan stok penimbal ialah peneroka Felda.

"Sebab itu apabila masalah Felda dibongkar dalam media mengenai susut aliran tunai dalam masa 5 tahun sejak Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai Felda telah menimbulkan kemurkaan pemimpin Umno," katanya.

Katanya, mereka marah kerana bangkai gajah sudah tidak dapat lagi disembunyikan, dengan kewangan yang ada pada Felda pada tahun 2004, RM4.08 bilion telah susut kepada RM1.35 bilion iaitu merosot sebanyak RM2.73 bilion.

Bagaimanapun, ujarnya tidak dinafikan bahawa Melayu adalah kaum pribumi di negara ini dan semua pihak mengakui hal itu.

Tambahnya, atas kesedaran ini semasa kemerdekaan negara semua kaum telah menerima hakikat tersebut.

"Sebab itu Pakatan Rakyat (PR) menggariskan akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai," ujarnya.

Selain itu, ujarnya PR juga melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Menurutnya lagi, PR sebulat suara juga bersetuju untuk mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Beliau berkata, atas asas itulah Pakatan Rakyat menerima ketetapan bersama, kerana ia merupakan perkara asas dalam pembentukan sebuah negara yang akan diperjuangkan Pakatan Rakayat.

Skuad Kamera pantau kempen Umno BN ugut pengundi

Hazayani Zakaria

JASIN: Jentera Pakatan Rakyat di Merlimau menubuhkan Skuad Kamera bagi memantau setiap kempen Umno BN yang didakwa berunsur ugutan kepada pengundi.

Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, skuad ini telah menerima arahan semalam dan akan melaksanakan tugas mereka bermula hari ini.

Menurutnya, skuad ini akan mengekori ke mana sahaja pemimpin Umno BN berkempen dan mengambil gambar serta merakam pergerakan mereka.

"Kita jangkakan dalam hujung minggu ni sampai dekat hari mengundi Umno BN akan melakukan pelbagai perkara.

"Sebab itu kita sedia skuad kamera di setiap peti undi. Ke mana sahaja Umno masuk kita ambil gambar.

"Kalau rasuah pun kita ambil gambar. Siang malam, 24 jam," kata beliau pada sidang media di Markas Induk PAS, dekat sini hari ini.

Tambah beliau lagi, Umno BN ternyata masih menggunakan taktik kotor untuk meraih undi dengan mengugut pengundi-pengundi.

"Ada pihak tertentu dalam Umno mulai sekarang ini mengugut penduduk-penduduk jangan mengundi PAS. Sekiranya mereka mengundi Pakatan semua peruntukan di Merlimau ini akan ditarik balik.

"Ini cara jahat untuk mengugut pengundi supaya terus mengundi Umno.

"Segala peruntukan bukan dari Umno tapi duit rakyat. Kenapa mesti nak tarik?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Kata beliau lagi, pengundi-pengundi di Merlimau perlu berfikir dengan bijak sebelum memilih calon Pakatan Rakyat atau BN.

Ini kerana ujarnya, BN hanya akan mencurahkan pelbagai projek untuk memenangi hati rakyat apabila sesuatu kawasan itu dimenangi Pakatan Rakyat.

"Kalau penduduk di sini nak pembangunan dan ekonomi yang pesat dia kena mengundi Pakatan Rakyat kerana bila mengundi Pakatan Rakyat, calon kita menang, Umno akan usaha mencurahkan segala projek untuk menang balik dalam pilihan raya akan datang.

"Tapi kalau penduduk terus mengundi Umno, tak akan berlaku apa-apa.

"Kalau Umno kalah mesti dia curahkan segala projek untuk kembali memenangi hati rakyat," katanya.

Masjid: Apa Najib kata jika hidup sezaman Rasulullah?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat simpati dengan kejahilan pemikiran perdana menteri yang hanya menilai perjuangan Islam dengan jumlah masjid yang dibina.

Perasaan itu diluahkan beliau melalui laman facebook merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertajuk 'Hanya bina dua masjid dalam masa 20 tahun' yang memetik kenyataan Datuk Seri Najib sewaktu berucap di Sekolah Kebangsaan Batu Sawar, Kuala Krau semalam.

Najib didakwa mempersoal adakah PAS memperjuangkan agama kerana hanya membina dua masjid sepanjang 20 tahun memerintah Kelantan.

Dalam responsnya itu, Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS membayangkan adakah Najib akan mengeluarkan kenyataan sama jika hidup di zaman Rasulullah s.a.w. di Madinah dahulu.

Ini kerana, pada zaman tersebut, baginda hanya membina sebuah masjid sepanjang 10 tahun memerintah Madinah.

"Saya membaca kenyataan Perdana Menteri Malaysia di dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari ini.

"Terdetik di hati saya, jika beliau (Najib) berada di zaman Rasulullah s.a.w., adakah kenyataan ini juga akan dikeluarkan bila melihat Rasulullah s.a.w. hanya membina sebuah sahaja masjid sepanjang 10 tahun mentabdir Madinah?"soalnya.

Tambahnya, penilaian sebegitu juga telah mencerminkan pemikiran Najib yang diracuni fahaman sekular mirip pemikiran bekas Perdana Menteri Turki, Mustafa Kamal Antartuk.

"Wallahu'alam. Pemikiran ala Kamal Atarturk sukar dijangka...," tambahnya.

Dalam laporan akhbar pro Umno itu juga, Najib berkata rakyat tidak seharusnya melihat hanya PAS memperjuangkan agama disebabkan oleh slogan parti tersebut yang berbaur Islam seperti 'Membangun Bersama Islam' dan 'Negeri Serambi Mekah'.

Tambahnya lagi, umat Islam juga tidak boleh mengukur keislaman hanya menerusi penampilan seperti berjanggut, berserban dan berjubah.

Anwar: Islam sedunia bangkit tentang kezaliman

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Para pimpinan negara Asia Tenggara diingatkan bahawa angin perubahan di dunia Islam terhadap kezaliman dan penindasan bakal melanda di kawasan ini sekiranya tiada reformasi yang sempurna terhadap sosio-ekonomi dan usaha dilakukan untuk mengukuhkan institusi demokrasi dan kebebasan.

Demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di dalam seminar Asian Renaissance ke 5 di Phnom Penh kelmarin.

Anwar yang juga bekas Timbalan Prdana Menteri berkata kuasa yang ada sekarang, hanya boleh berterusan sekiranya organ-organ negeri seperti polis, pasukan keselamatan dan tentera melaksanakan tugas mereka untuk menekan perbezaan pendapat rakyat.

Dengan mengambil contoh revolusi yang kini berlaku di Tunisia, Mesir, Yemen, Bahrain dan Libya, Anwar menyifatkan kejatuhan regim sehingga penukaran tampuk pemerintahan yang berlaku di negara-negara tersebut adalah akibat kegagalan organ-organ penting yang disebutkannya tadi berfungsi pada keadaan sepatutnya.

“Masalah yang kini melanda negara-negara Timur Tengah tidak banyak berbeza dengan kebanyakan tempat di dunia yang di bawah pemerintahan autokratik. Pengumpulan harta kekayaan oleh para elit dengan menindas rakyat, infrastruktur yang tidak mencukupi, sistem pendidikan usang, penjagaan kesihatan menyedihkan dan penurunan pendapatan merupakan masalah-masalah yang serupa yang sedang dialami oleh semua negara di bawah regim autokratik.

"Marginalisasi politik dengan segala implikasinya dan pemiskinan ekonomi, ini adalah bahan yang sempurna untuk gejolak politik.

"Rejim yang telah melewati tarikh jatuh tetapi terus melukis topeng keamanan, keselamatan dan bahkan kesejahteraan melalui penggunaan mesin propaganda rumit hanya menunda hisab terakhir mereka,” kata Anwar.

Indonesia terus bersinar

Anwar turut berkata kebangkitan rakyat di Timur Tengah boleh dijadikan sebagai peringatan kepada para pemimpin Asia Tenggara, sambil mengingatkan bahawa banyak undang-undang zalim yang melanggar kebebasan fundamental bersama-sama dengan kehancuran sistemik pemisahan persamaan kuasa telah diwujudkan bagi menghancurkan perlindungan fundamental yang dikuatkuasakan ketika pencapaian kemerdekaan daripada kuasa penjajah.

Menggunakan Indonesia sebagai contoh, di mana beliau menyifatkan sebagai satu contoh negara demokrasi tulen selepas transformasi politik, Anwar menggesa negara-negara Asia Tenggara untuk meniru jejak republik tersebut dalam menjamin kebebasan akhbar dan pilihanraya umum yang bebas.

“Indonesia, setelah mengalami pergolakan transformasi politik dan muncul sebagai sebuah bangsa baru sama sekali, masih tetap bersinar sebagai contoh dari demokrasi yang sebenarnya.

"Kebebasan akhbar masih hidup dan sihat, dan amalan pilihanraya umum yang bebas dan adil menyebabkan jiran-jirannya kelihatan seperti “upstarts” menyedihkan dalam perlumbaan untuk demokrasi,” kata Anwar.

“Memang itu bukan Utopia, tetapi perubahan fenomenal di bidang pemerintahan, penghakiman dan keunggulan pra-aturan undang-undang yang meletakkannya sebagai teladan demokrasi liberal yang baru lahir,” tambah Anwar.

Dalam sebuah pernyataan yang jelas merujuk pada situasi sosial di negara itu, Anwar berkata pemberdayaan satu kumpulan etnik dengan mengorbankan yang lain hanya akan menimbulkan benturan persaingan kepentingan yang pada akhirnya akan mengancam konsensus pengimbang penting dalam masyarakat majmuk.

“Konsensus ini memerlukan penyesuaian terhadap pertindihan tuntutan untuk hak-hak atau matlamat. Oleh itu, ia menjadi kewajipan bagi para ahli politik yang berkuasa atau pembangkang dengan melakukan tanggungjawab sendiri walaupun terpaksa mempertaruhkan populariti mereka.

"Oleh kerana itu, ia adalah percelaan berganda bagi para pemimpin dalam masyarakat multi-etnik yang mengawal organ-organ negara termasuk media massa untuk menyalakan api persaingan etnik dan permusuhan supaya mereka dapat tetap berkuasa," kata Anwar, dalam sebuah penghinaan jelas terhadap Umno, yang kebelakangan ini telah terus memainkan isu perkaumana melalui lidah rasmi mereka, Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata selain keperluan untuk pemilihan umum yang bebas, adil dan telus, sesebuah negara turut memerlukan satu badan kehakiman yang adil yang berfungsi sebagai check and balance yang berkesan terhadap kuasa eksekutif dan perundangan.

“Kita tidak boleh menyatakan betapa pentingnya satu penghakiman yang bebas. Sebuah penghakiman yang dikompromikan boleh dan akan mengambil negara ke ambang kehancuran politik. Ini juga akan menyebabkan kegagalan sistemik dalam mengikuti proses dan undang-undang,” tegas Anwar, yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran kehakiman dalam pertuduhan liwatnya.

Dalam ucapan tersebut, Anwar turut menangkis kaitan agama Islam dengan pengongkongan kebebasan dan demokrasi seperti yang diwar-warkan pemimpin Barat yang Islamophobia dengan menyatakan bahawa revolusi yang berlaku di Timur Tengah sudah cukup untuk membuktikan bahawa umat Islam akhirnya akan memilih kebebasan daripada kediktatoran jika diberi peluang.

“Dalam apa keadaan pun, ketakutan bahawa Islam akan merampas hak kebebasan dan demokrasi adalah tidak berasa.

"Oleh itu, ungkapan terbaru ini adalah kosong, dan semata-mata sebagai satu cara baru untuk mengalahkan hantu Islam, dalam pelbagai manifestasi dari Islamofobia,” ujar Anwar sambil menambah bahawa ketakutan kepada Islam masih lagi ada semenjak kejadian September 11.

Islamophobia

Anwar turut berkata bahawa pada zaman ini masalah Islamophobia tidak tertakluk pada Barat sahaja malah telah menular ke Timur.

"Kita ada dalam rekod seseorang yang sepatutnya sudah bersara di Asia Tenggara yang menyatakan pendapatnya tentang orang Islam tanpa memikirkan soal sensiviti.

"Kita pun mempunyai pemimpin Islam di kawasan ini yang seolah-olah paranoia tentang Ikhwanul Muslim sehingga tahap mengalahkan kata Mubarak dan golongan neo-kontra Amerika,” bidas Anwar yang jelas merujuk kepada Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kuan Yew di dalam buku terbarunya telah mencetuskan kontroversi apabila menyeru orang Islam Singapura untuk melonggarkan amalan Islam demi integrasi nasional, manakala Najib pula mengeluarkan kenyataan yang dilihat mengaitkan ulama dunia terkenal Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwan Muslimin sebagai pengganas dalam satu laporan National Review.

“Kita telah melihat bermula daripada revolusi Tunisia, dan keseluruhan fasa kebangkitan Mesir dan sekarang Libya, Yemen dan tempat lain, seruan yang sama untuk menuntut kebebasan terhadap kezaliman dan penindasan.

"Tuntutan-tuntan rakyat tetap berkisar kepada pengurusan kerajaan yang baik, kebertanggungjawaban terhdap rasuah, pemberdayaan politik dan keadilan sosial,” tegas Anwar di penghujung ucapannya.

Bangsa bukan penyelamat hingga liang kubur

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Siapakah yang sanggup mengaku dirinya Umno dan Melayu sekiranya rakyat Perak dan Malaysia insaf dan sedar bahawa Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir seperti yang disiarkan dalam Sinar Harian edisi Perak hari ini di muka hadapan sebagai berkata “DAP yang akan menggantikan PAS, bukan parti itu akan menggantikan Umno".

“Saya merasa sangat terkejut dan hairan dengan kenyataan yang tidak berasas itu.

“Malah saya melihat bagaimana Zambry sudah kehabisan modal dengan mengeluarkan kenyataan yang lucu dan pelik itu,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Zambry, ahli Umno tidak pernah malu untuk mengaku sebagai bangsa Melayu tetapi ada parti yang malu untuk mengaku mereka adalah bangsa Melayu.

“Siapakah yang sanggup mengaku dirinya Umno dan Melayu sekiranya rakyat Perak dan Malaysia insaf dan sedar bahawa Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Tambahnya, tuduhan Zambry yang mengatakan PAS menghadapi kecelaruan pemikiran yang keterlaluan sehinggakan sanggup untuk tidak mengaku bangsa sendiri adalah tuduhan yang memperbodohkan dirinya sendiri.

Menurutnya, mana ada pemimpin PAS yang tidak mengaku dirinya Melayu, dan apalah lebihnya mengaku sebagai Melayu kerana bangsa bukan merupakan penyelamat sehingga ke liang kubur.

Di sudut lain, tanya beliau adakah Zambry sedar sebagai seorang Islam bahawa tidak ada ajaran memperjuangkan bangsa, apa lagi mempertahankan Umno yang mempergunakan perjuangan bangsa demi untuk meraih sokongan orang Melayu.

Jelasnya, dakwaan Zambry yang berkata Pakatan seolah-olah hanya tidur sebantal tetapi mimpinya berlainan adalah dakwaan usang yang menggambarkan ketakutan BN kepada kesepakatan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang lebih baik.

Malah, ujarnya yang juga Adun Titi Serong tawaran 100 hari yang dikemukakan dalam konvensyen itu merupakan hujah kuat bahawa PR sudah bersedia untuk menggantikan BN di Putrajaya.

Zambry yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri menyebut perkara itu semasa berucap kepada ahli Umno yang hadir pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini, semalam.

Saman ekor: Kase di JPJ Wangsa Maju esok

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), menjemput semua mangsa saman ekor yang perlu memperbaharui lesen dan cukai jalan mereka untuk hadir ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, esok.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau bersama barisan peguam Kase akan berada di sana sejam bermula jam 10 pagi bagi memberi khidmat nasihat kepada mereka yang mempunyai masalah disenarai hitam kerana enggan membayar saman ekor tertunggak yang tamat hari ini.

"Kita akan berada di sana esok juga untuk untuk melihat penyelarasan baru kadar kompaun kesalahan trafik yang berkuatkuasa 1 Mac, iaitu esok.

"Jadi kita seru kepada mereka yang ada masalah saman ekor tetapi perlu memperbaharui cukai jalan dan lesen esok, untuk buat pembaharuan tersebut di pejabat JPJ Wangsa Maju agar kami boleh membantu," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Esok akan berkuatkuasa kadar kompaun baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dikeluarkan JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ianya ekoran kabinet sebelum ini menyusun semula kesalahan lalu lintas daripada tiga kategori kepada empat kategori, iaitu mengikut kelas kenderaan, tahap keseriusan dan jenis kesalahan, nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun dan kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang.

Mengikut penyelarasan baru itu, pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan kadar kompaun dalam tempoh 15 hari akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, seterusnya dinaikkan kepada RM300 sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

Sementara pemandu yang gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari pula akan diheret ke mahkamah.

Bagi pemandu yang menyumbang kepada kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi, kadar kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan dan ia tidak akan dikurangkan walaupun dijelaskan lebih awal.

Daftar warga Thai untuk tawan Kelantan

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Pihak lawan sedang berusaha mendaftarkan seramai mungkin warga Thai sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-13 bagi merampas kerajaan Kelantan yang kini ditadbir oleh PAS hampir 21 tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata tiga Parlimen, iaitu Rantau Panjang, Tanah Merah dan Tumpat akan menjadi perhatian mereka sebagai ‘target’ untuk merampas negeri ini keseluruhannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis seminar mahasiswa mahasiswi Mesir, di Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.

Menurutnya, PAS Kelantan mempunyai senarai penuh berhubung perkara itu.

“Kita amat kesal dengan kejadian ini dan sekiranya ia berterusan berlaku, bermakna masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing dan bukannya rakyat negara sendiri,”ujarnya.

“Ini kerana warga asing itu akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang,”ujarnya.

Husam menambah, kerana kepentingan diri mereka sanggup berbuat demikian walaupun bersalahan dengan moral dan undang-undang.

Beliau seterusnya berkata, sekiranya perkara ini berterusan ia langsung tiada beza dengan kerajaan Mesir yang digulingkan rakyat di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.

Tambahnya, walaupun menang besar pada pilihan raya baru-baru ini, namun Hosni Mubarak direntap keluar oleh rakyat.

“Kiranya menang besar kerana pilihan raya, sudah tentu kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak akan berlaku,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, kebangkitan besar itu turut memberi kesan besar pada negara sekitar di Timur Tengah lain yang juga inginkan keadilan.

Kata Husam lagi, lanskap politik di Asia Barat akan berubah sekurang-kurangnya setahun akan datang.

Program anjuran Alumni Keluarga Pelajar, Kelantan-Mesir itu dirasmikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Tiga orang pemimpin telah diundang untuk menjayakan majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Manakala wacana serta perasmian penutupnya disampaikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seramai 1,082 orang pelajar Mesir Kelantan hadir pada majlis yang penuh bermakna buat mereka.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Persatuan Alumni Keluarga Pelajar Mesir, Ustaz Zulkifli Yusof.

Demo aman: Kerajaan Malaysia talam dua muka

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Barisan Nasional yang sering menggunakan alasan ‘mencemarkan imej negara’ bagi menutup tindakan keras dan tidak profesional pihak polis menghalang Parti Hak Asasi dan juga kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) semalam adalah memalukan.

Sehubungan itu, Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung menggesa pihak kerajaan berhenti menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan menuntut agar ruang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan perhimpunan rakyat di Libya, maka beliau tidak seharusnya mempraktikkan muka dua talam dengan menahan rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Tambahnya, Suaram mengecam tindakan pihak polis yang menghalang Parti Hak Asasi dan Hindraf untuk melakukan demonstrasi secara aman bagi membantah kandungan dalam novel 'Interlok' karya sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Suaram juga, katanya mengecam tindakan pihak polis menahan beberapa wartawan tempatan yang sedang menjalankan tugas dan ini telah menunjukkan sikap tidak professional dan tindakan melulu yang ditonjolkan oleh pihak polis.

Katanya, pihak polis juga telah secara jelas menyalahgunakan kuasanya dengan menggeledah barang peribadi serta menahan orang awam yang berada di sekitar jalan menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Lebih teruk lagi, pihak polis menahan pemimpin dan pengikut kumpulan tersebut tanpa sebarang alasan dan sebab sebelum demonstrasi dilakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengikut berita Malaysiakini (bertarikh 28 Februari 2011), sekitar 123 orang awam telah ditangkap termasuk 109 orang yang telah dilepaskan malam semalam dan 14 orang lain yang telah dibebaskan pada hari ini dari lokap Bukit Jalil.

Katanya, Suaram telah mengeluarkan kenyataan pada 25 Februari bagi menuntut pihak polis menghormati hak kebebasan suara rakyat serta tidak menghalang perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Hindraf.

Namun, ujarnya polis enggan bertindak demikian malah telah membuat tangkapan terhadap 123 orang awam.

Kes Fitnah Ke-2 : Rakaman CCTV Pintu Utama Kondo Dan Lif Tidak Selari

TVS NEWS


KUALA LUMPUR: Masuk minggu ke tiga prosiding kes fitnah 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguambela meneruskan soal balas terhadap Juru Analisa Audio dan Video Makmal Forensik PDRM, ASP Fauziah Che Mat.

Dalam keterangannya, Fauziah menjelaskan pada 3 Julai 2008, DSP Jude Blacious Periere hadir ke makmal forensik PDRM untuk menyerahkan dua bungkusan mengandungi cakera keras video keselamatan kamera litar tertutup (CCTV) untuk dianalisa.

Peguam Anwar, Sankara Nair seterusnya merujuk catatan rakaman video Khamis lalu yang mengesan kehadiran individu yang dipercayai pengadu, Saiful Bukhari Azlan yang menggunakan kereta Fiat Ulysse bernombor plat WPK 5925 masuk ke kawasan kondo pada 2.47 petang menggunakan pintu utama.

Namun kamera di lif mencatatkan masa individu tersebut naik ke tingkat 5 pada 2.42 petang.

Berdasarkan rakaman video berkenaan, peguambela mendapati masa yang direkodkan pada sistem CCTV di pintu utama dan lif tidak selari.

Justeru Sankara Nair menyoal sekiranya penelitian terperinci mengenai kedudukan CCTV dan sistem komputer di kondo berkenaan dipantau Fauziah sendiri untuk mengesan perbezaan masa.

"Apa yang terdapat dalam cakera keras adalah ketetapan komputer dan tidak boleh diubah.

"Saya tidak dapat jelaskan perbezaan masa dalam sistem kerana saya bukan pakar. Anda boleh rujuk kepada syarikat yang memasang CCTV," jawab Fauziah.

Khamis lalu mahkamah dipertonton video CCTV kondominium Desa Damansara bertarikh 26 Jun 2008.

Dalam video tersebut, mahkamah mengenalpasti kelibat tujuh individu dan kenderaan termasuk Saiful Bukhari Azlan keluar masuk kawasan kondo berkenaan sekitar jam 12 tengahari hingga 4 petang pada tarikh yang sama.

Sankara kemudian mempersoal sikap profesional juru analisa anggota polis berkenaan namun mendapat bantahan pendakwaraya Yusof Zainal Abiden.

"Tidak menjadi kebiasaan saya pergi ke tempat kejadian. Saya cuma membuat analisa berdasarkan rakaman imej sahaja," jelas Fauziah.

Sementara itu, Fauziah menjelaskan analisa yang dilakukan menggunakan rakaman video yang telah diklonkan dan bukan cakera keras asal.

Mahkamah kemudian memanggil Ketua Seksyen Audio Video PDRM, ACP Fazil Ahmad.

Fazli menjelaskan beliau telah dihubungi oleh DSP Jude pada 30 Jun 2008 sekitar jam 1 petang untuk hadir ke Kondominium Desa Damansara bagi membantu siasatan.

Beliau kemudian menjelaskan telah memanggil syarikat Cyber Security untuk membuat pengklonan cakera keras sistem keselamatan CCTV kondo tersebut pada hari yang sama dan selesai pada jam 10 malam sebelum merampasnya.

Ketua Jabatan Forensik Digital Cyber Security, yang hadir memberi penjelasan sebagai saksi ke 10 berkata, masa yang dicatatkan pada komputer yang disambungkan pada CCTV lif kondo berkenaan lewat 19 minit daripada masa sebenar.

Mohd Zabri Aidil Talib menjelaskan waktu tersebut teah dibandingkan dengan masa standard Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Saya sudah semak dengan waktu Jabatan Meteorologi dan saya perlu menambah 19 minit untuk daripada waktu yang dicatatkan dalam komputer untuk mengetahui masa sebenar," jelas beliau.

Mahkamah kemudian berehat sebentar.

Jangan Ambil Ringan Protes Rakyat- Lim Kit Siang

TVS NEWS


SHAH ALAM: Penasihat DAP, Lim Kit siang menyeru kerajaan Umno-BN agar tidak mengambil ringan isu protes membantah buku 'Interlok' yang dibuat oleh Hindraf semalam dan mengingatkan kerajaan pusat bahawa bantahan kecil sebeginilah yang telah menyemarakkan semangat perubahan di negara-negara Timur Tengah baru baru ini.

Laporan ThemalaysianInsider menyatakan, beliau turut memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sekiranya Najib enggan melepaskan kesemua yang ditahan semasa demo 'Interlok' semalam, ia berkemungkinan boleh menyebabkan BN mendapat reaksi yang buruk dalam pilihanraya umum akan datang.

"Apa yang telah berlaku di seluruh dunia.. revolusi Tunisia, India, dunia Arab.. ini telah memberi semangat baru, memberitahu kita bahawa kita juga mahukan perkara yang sama di sini," tegas beliau.

Semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran DAP Selangor sempena harijadinya yang ke-70, beliau turut memberitahu Najib agar belajar daripada revolusi Timur Tengah yang memperlihatkan dua pemimpin yang telah begitu lama mentadbir dijatuhkan, dengan menunjukkan komitmen bagi membawa perubahan di dalam negara.

Kata beliau, walaupun Najib telah menjanjikan perubahan tetapi tindakan polis menahan peserta demo semalam menunjukkan kebebasan berkumpul dan berekspresi masih kekal sebagai konsep yang asing.

Katanya lagi, Najib perlu membebaskan kesemua 109 peserta rali yang ditahan, membatalkan pengharaman Hindraf dan mempraktikkan kebebasan berkumpul sekiranya Najib mahu mengelakkan pemberontakan rakyat yang serupa seperti di Timur Tengah.

Beliau seterusnya menjelaskan, hanya dengan cara itu kesemua rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama menyatakan keinginan mereka.

"Ini merupakann hak asasi yang dipinta oleh kaum sejagat untuk keadilan dan masa depan yang lebih baik," tegas beliau.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin sedar bahawa gema pemberontakan Timur Tengah boleh dirasakan di sini walaupun kedua-duanya menafikan kebenaran tersebut.

Kata beliau, walaupun Najib dan Muhyiddin mendakwa Malaysia tidak serupa dengan Mesir mahupun Tunisia, tetapi jauh di dalam hati mereka sedar arus revolusi yang dahagakan perubahan sudah mula bergema di Malaysia dan kesannya berkemungkinan dapat dirasakan pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

"Dan pada masa itu, kita akan melihat satu perubahan yang kekal," kata beliau lagi.

Kit Siang menambah, satu-satunya perubahan yang diperlukan oleh Malaysia adalah perubahan pemerintahan.

"Umno boleh berubah, tetapi Umno hanya boleh diubah dengan kuasa rakyat," tegas beliau.

Anwar : Faktor Leila Trabelsi, Suzanne Ada Di Malaysia

TVS NEWS


IPOH : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga mempunyai persamaan dengan negara Tunisia mahupun Mesir yang menyumbang kepada kebangkitan rakyat di negara itu.

Persamaan yang dimaksudkan beliau ialah pentadbiran negara yang dikuasai oleh isteri-isteri pemerintah.

" Leila Trabelsi ini orang menyampah lebih daripada Zine El Abidine Ben Ali. Isteri presiden ini orang menyampah lebih daripada suami dia. Saya tanya kenapa? Dia kata, sebab kalau kita tengok televisyen, Ben Ali, lepas itu Leila, lepas itu Ben Ali, lepas itu Leila, Leila, Leila. Hari ini rambut gaya macam ini, besok rambut sanggul sebelah ini, baju fesyen ini.

" Orang panggil dia Leila Majnun, Majnun ini maksudnya gila. Gila harta, gila rupa, gila sanggul," kata Anwar disambut gelak tawa hadirin pada makan malam anjuran Ranting Taman Jati dengan kerjasama Cabang Tambun yang dihadiri hampir 1,000 orang.

Keadaan yang sama kata Anwar turut berlaku di Mesir apabila isteri Hosni Mubarak, Suzanne juga turut mempunyai tabiat seperti Leila.

Suzanne katanya hanyalah seorang juru solek, namun apabila dia berkahwin dengan Hosni Mubarak, dia mengumpul harta dan kekayaan untuk anak-anak dan keluarganya.

Kekayaan yang dimiliki adalah hasil 'rompakan' wang rakyat.

Selepas kedua-dua pemerintah negara tersebut digulingkan, mereka kemudiannya bersama isteri dan anak-anak membawa keluar wang puluhan bilion US Dolar hasil
'rompakan' mereka.

Lantaran tidak tahan dengan pemerintahan diktator kedua-dua pemimpin yang sewenangnya memenuhkan kantung sendiri, akhirnya rakyat bangkit menentang pemimpin zalim itu.

Oleh yang demikian, Anwar mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak supaya membuka ruang perubahan dan tidak bongkak dengan keamanan yang masih dinikmati di negara ini.

Walaupun berbeza daripada pelbagai aspek seperti budaya, ekonomi dan politik, namun persamaan tetap wujud.

" Mubarak selepas seminggu tercetusnya Tunisia, dia kata Tunisia bukan Mesir.Gaddafi dalam ucapannya dua hari lalu mengatakan, ini Libya bukan Mesir. Datuk Seri Najib minggu lalu mengatakan ini Malaysia bukan Mesir. Kalau tanya sama sebagai Ketua Pembangkang yang digantung dari parlimen, saya pilih cara aman. Saya pilih cara pilihan raya, saya pilih cara Perlembagaan.

" Sekarang saya mahu beri ingatan dan amaran kepada Najib, pastikan pilihan raya akan datang bebas dan adil, kalau tidak rakyat akan bangkit bantah. Apa yang kita minta? kita cuma pilihan raya yang adil dan bersih. Apakah ini tuntutan kita. Ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan sejak 1957," katanya lagi.

Taib Kemuka Syarat Untuk Elak Debat Tanah NCR-Baru Bian

TVS NEWS


SHAH ALAM : Penerimaan bersyarat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk berdebat berhubung isu tanah adat Orang Asal, dianggap sebagai cara halus pemimpin itu untuk menghindarkan dirinya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian berkata, syarat yang dikenakan oleh Taib itu nyata satu alasan di samping ingin menyediakan hujah mereka apabila meminta Pakatan Rakyat mendedahkan terlebih dahulu maklumat yang dimiliki berhubung isu tanah adat itu.

"Dia (Taib) nak saya keluarkan bukti dulu, baru dia nak setuju. Ini mudah dan logik saja. Kita cuma nak debat. Kenapa kita perlu beri kepada dia bukti kita? Bukti itu kita akan keluarkan masa debat. Itu syarat kita berdebat. Mungkin saya percaya dia nak mengelak untuk teruskan debat.

"Dia mengatakan menerima debat tetapi mesti mengeluarkan bukti dulu. Saya kata baiklah, terima kasih kerana di menerima debat itu. Tetapi bukti itu kita hanya akan keluarkan semasa debat. Kalau dia nak bukti itu juga, sekarang sudah 200 kes dia ada di mahkamah. Itu pun sudah bukti. Kita akan keluarkan buktinya semasa berdebatlah," kata Baru ketika dihubungi Tv Selangor.

Menurut Baru lagi, ini adalah masa yang tepat untuk bertindak setelah sekian lama Taib Mahmud dan keluarganya mengaut keuntungan atas penindasan ke atas rakyat Sarawak.

Beliau menambah, rakyat Sarawak kini sudah mulai sedar dan bijak dalam menilai keadaan sebenar masalah Tanah Adat Bumiputera, khususnya masyarakat Orang Asal di negeri itu.

Tambahnya lagi, pihaknya sudah bersedia dengan bukti-bukti yang kukuh di samping meletakkan syarat agar debat tersebut dilakukan di tempat yang terbuka dan dihadiri oleh rakyat serta media.

"Banyak bukti. 200 kes di mahkamah itu satu bukti. Saya akan keluarkan bukti lain keputusan Mahkamah Tinggi itu yang penting kita akan keluarkan semasa debat itu.

"Kita sudah beri dia 3 tarikh. Minggu ini juga akan diadakan. Saya minta dia sediakan panel untuk berdebat dan juga saya cadangkan tempat, iaitu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching tempat terbuka dan besar supaya orang boleh datang dan media juga perlu ada," tambahnya lagi.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menerima cabaran Ketua Majlis Pimpinan Negeri PKR, Baru Bian berdebat secara terbuka berkenaan isu tanah adat Orang Asal (NCR).

Laporan portal berita Theborneopost.com turut menyatakan Taib Mahmud meletakkan syarat bahawa Baru perlulah mengemukakan bukti kukuh menyokong dakwaan Baru bahawa kerajaan negeri Sarawak telah merampas tanah NCR.

Taib dilaporkan berkata demikian sebagai respons beliau bersabit cabaran Baru Bian kepada kerajaan Sarawak berdebat mengenai isu tersebut.

Baru membuat cabaran tersebut dan membidas dakwaan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua serta Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bahawa pihak pembangkang sentiasa mengungkit isu tanah NCR yang mana pada pendapatnya merupakan isu lapuk.

Awang Tengah dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah merampas tanah dari mana-mana pemilik tanah di Sarawak.

Baru mencadangkan kepada Taib agar menghantar Awang Tengah ataupun Menteri Pembangunan Tanah, Datuk Seri James Masing untuk berdebat sekiranya Taib tidak dapat hadir.

Beliau juga mencadangkan agar debat tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan liputan dari stesen televisyen.

Baru seterusnya meminta kerajaan Sarawak memberikan respon dalam masa dua minggu dan hanya selepas itu, beliau akan menghantar surat jemputan rasmi untuk berdebat.

Ketua SPRM antara tokoh paling pengaruh dalam etika perniagaan

BERNAMA

KUALA LUMPUR– Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC), telah dinamakan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan bagi 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York.

Abu Kassim, yang menduduki tempat keempat dalam senarai tokoh terkemuka itu, dihakimi daripada peranannya dalam kategori kerajaan dan amalan peraturan.

Tujuh lagi kategori ialah kepimpinan pemikir; kepimpinan perniagaan; budaya korporat; pelaburan dan penyelidikan; reka bentuk dan kemampanan; media dan pemberi maklumat; NGO; dan sifat dermawan.

Ethisphere menyatakan Abu Kassim, yang menyertai badan pencegah rasuah itu pada 1984, telah memainkan peranan penting dalam melaksanakan program pencegahan rasuah di Malaysia, yang telah menerajui usaha itu di Asia Tenggara.

Beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia dalam senarai itu yang didominasi warga Amerika dan Eropah, dipilih bersama-sama 99 yang lain yang dikatakan telah memberikan impak penting dalam etika perniagaan dalam tempoh setahun, menurut Ethisphere Institute, badan pemikir antarabangsa khusus untuk reka cipta, peningkatan dan perkongsian amalan terbaik dalam etika perniagaan, tanggungjawab sosial korporat, pencegahan rasuah dan kemampanan.

Malaysia tak perlukan fatwa songsang PAS, kata Muhyiddin

TERKINI

JASIN — Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh PAS seringkali mengeluarkan fatwa-fatwa songsang untuk mengelirukan akidah orang Islam selain mahu mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, orang Islam tidak memerlukan sebarang fatwa baru apatah lagi fatwa songsang dikeluarkan PAS terutamanya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Sudah pelbagai fatwa yang dikeluarkan (PAS), kita orang Islam fatwa yang ada sudah cukup kerana tidak pesongkan akidah.

“Apa guna tok guru PAS buat fatwa baru? Apabila ada pilihan raya kecil ada sahaja fatwa baru, kalau dulu cakap undi PAS masuk syurga dan undi BN masuk neraka,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Jamuan Rakyat di Sekolah Menengah Dang Anum di sini.

Pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bulan lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan didakwa mengeluarkan fatwa bahawa undi Umno akan jadi jahiliah.

Malah sebelum ini PAS turut didakwa mengeluarkan pelbagai fatwa termasuk undi PAS boleh masuk syurga; diharamkan makan daging binatang ternakan yang disembelih orang Umno; sesiapa yang menentang PAS bererti menentang Islam kerana Islam itu PAS dan PAS itu Islam; menuduh kerajaan BN kafir kerana tidak menjalankan hukum Allah s.w.t dan membuat tuduhan bahawa kerajaan Malaysia memisahkan agama dari politik dan dengan itu menjadi kafir.

Bagaimanapun ia dikritik oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Kata Muhyiddin, fatwa songsang yang dikeluarkan PAS itu akan menyebabkan akidah orang Islam akan terpesong.

“Fatwa yang dikeluarkan ini boleh memberikan kesan dan akan pesongkan akidah orang Islam.

“Tapi saya tahu ini adalah politik semata-mata, saya harap pengundi di Merlimau tak terpedaya dengan dakyah dibawa pembangkang,” kata timbalan presiden Umno ini.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Roslan, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan Yuhaizat Abdullah iaitu Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kempen BN bagi memenangi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dan DUN Pahang kawasan Kerdau, yang memasuki hari ketiga hari ini, mendapat sambutan yang amat baik daripada semua kaum.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan tersebut nampak jelas daripada gerak geri badan dan kenyataan secara terbuka oleh mereka.

“Maksudnya sentimen positif dapat kita rasakan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baru Kepada Guru Besar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar di Merlimau dekat sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Muhyiddin berkata kempen BN di DUN Merlimau dan Kerdau sedang rancak dijalankan dengan pertemuan dengan semua pengundi dan juga diadakan ceramah bagi memperjelaskan kepada pengundi penyelewengan yang dilakukan pemimpin PAS dan parti pakatan pembangkang lain, supaya mereka tahu keadaan sebenar.

“Tapi bagaimana biasa, saya sebutkan jangan kita ambil mudah sehinggalah selesai 6 haribulan, barulah kita boleh tahu, jadi selagi belum sampai 6 haribulan malam, saya sudah beritahu jentera jangan relaks, jangan goyang kaki, mesti kerja bersungguh-sungguh (berkempen),” katanya.

Muhyiddin berkata calon pun perlu bersungguh-sungguh untuk pergi ke seluruh kawasan DUN berkenaan bagi menemui semua pengundi.

“Saya sudah beritahu, calon pun tidak boleh tidur, dia kena pergi semua kawasan, bertemu dengan semua pengundi, bersalam salaman dengan mereka, dan kita bermesra dengan mereka kerana ramai yang nak mengenali calon, jadi itu kita akan bawa ke seluruh pelusuk kawasan baik di Kerdau mahu pun di Merlimau,” katanya.

Ditanya andaian PAS mengatakan ia boleh menang pada pilihan raya kecil itu dengan jumlah peratus tertentu, Muhyiddin berkata parti pembangkang boleh membuat perkiraan tetapi itu hanya taktik dan helah politik.

“Dia (PAS) boleh buat perkiraan begitu, macam lain-lain pilihan raya pun dia kata begitu, di (DUN) Galas (Kelantan) dia kata dia boleh menang, di (DUN) Tenang (Johor) dia kata dia boleh menang lebih 55 peratus tapi kita (BN) dalam politik ini, kita faham kita tahu, itu cuma taktik dan tipu helah nak tunjukkan kononnya mereka dapat sokongan, main psikologi pengundi,” katanya bahawa PAS kini menyedari sudah ramai tidak menyokong parti pembangkang itu.

Kedua-dua pilihan kecil tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional.

Muhyiddin turut mengingatkan calon dan jentera pilihan raya BN supaya mendampingi semua pengundi bagi mendengar masalah dan kehendak mereka kerana dalam situasi ini pengundi adalah “raja”.

Ditanya PAS akan menubuhkan skuad kamera untuk mengintip pergerakan calon BN bagi mengesan salah laku, Muhyiddin berkata, “terima kasih dia beritahu kepada kita, nanti bila depan kamera kita senyum lebih, kita beritahu dia terima kasih lah kerana nak berkempen membantu kita.”

“Kita (BN) dalam strategi kempen kita tumpu kepada pengundi, kita tidak tumpu kepada calon dan jentera. Kita lebih kepada pengundilah. Kalau dia nak menang dia pergi kepada pengundi, pasal apa dia pergi pada calon kita, calon kita sudah tentu tidak sokong dia,” katanya.

Mengenai sokongan badan bukan kerajaan (NGO) kepada BN, Muhyiddin mengalu-alukan sokongan tersebut dan berkata mereka mengetahui jasa yang dilakukan kerajaan BN.

Saman ekor: Ketahui hak anda

Oleh Zulhazmi Shariff

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

(*) Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Nik Aziz Seru Pengundi Beri Kepercayaan Kepada PAS-Pakatan Rakyat Tadbir Negara

KELAB GREENBOC

Pengundi perlu ubah kepercayaan hanya Umno-BN boleh tadbir, kata Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rakyat negara ini khususnya para pengundi perlu “mengubah daripada kepercayaan” bahawa hanya Umno-BN boleh memerintah dengan turut memberikan peluang kepada PAS-Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan membuat seruan ini ketika pengundi Merlimau dan Kerdau bersiap sedia untuk menuju peti undi sempena pilihan raya kecil serentak Ahad ini.

Malah wujud spekulasi negara akan mengadakan pilihan raya umum ke-13 tahun ini manakala rakyat Sarawak pula akan menyaksikan pilihan raya negeri bila-bila masa dari sekarang, kemungkinan awal April.

Pakatan Rakyat mencatatkan prestasi terbaik dan membentuk gabungan formal selepas pilihan raya umum 2008.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, menghadapi pilihan raya kecil ini, “saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.”

“Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air,” kata beliau dalam tulisan di blognya hari ini.

Dalam memberikan justifikasinya, Nik Aziz menambah, ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan.

“Dan, kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor,” kata beliau lagi dalam perutusan sempena hari pengundian Ahad ini.

Nik Aziz yang memimpin kerajaan negeri PAS Kelantan sejak 1990 menulis, PAS di Kelantan mencapai kejayaan kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah, masuliah dan itqan yang selari dengan kehendak syariat.

“Justeru itu, kerajaan negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan.


“Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama,” katanya lagi.

Nik Aziz berkata bermakna kerajaan negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama - bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati.

“Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum bahawa apa yang dilaksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini.

“Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah dinar emas dan dirham dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam,” katanya lagi.

Malah Nik Aziz juga menulis bahawa Islam mengajar rakyat supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya.

Oleh itu katanya, setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok.

“Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS,” katanya lagi.

“Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam,” katanya.

Oleh sebab amalan itu tegas beliau, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini.

“Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya,” kata Nik Aziz lagi.

Bertolak daripada itu kata Nik Aziz, beliau penuh yakin calon PAS-Pakatan Rakyat Yuhaizad Abdullah dan Hassanuddin Salim yang masing-masing membawa cabaran di Merlimau dan Kerdau adalah calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi.

Katanya, mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat. -TMI

ALI RUSTAM KENA BELAJAR DARI USTAZ AZIZAN RAZAK TENTANG CIRI PEMIMPIN YANG ADIL

Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd Ali Rustam sebelum ini dengan angkuh memberitahu bahawa beliau akan mengutamakan penyokong BN dalam sebarang projek pembangunan. Kepada satu pertubuhan pendidikan Cina di Merlimau dengan nada sinis beliau memberitahu, bantuan akan dibincangkan kalau hanya BN menang di Merlimau.

Ini versi kenyataan pemimpin Umno yang kononnya menjadi juara rakyat serta mengulang-ulang slogan rakyat didahulukan.

Ada kata dengan kenyataan ini keluar dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau daripada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat? Kalau ada nescaya tujuh hari tujuh malam akan keluar dalam surat khabar dan TV.

Mari kita renungkan pula apa yang Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Razak kata apabila mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung semua perbelanjaan pelajar negeri itu kembali ke Mesir beserta duit poket RM 500 seorang.

"Jangan terima kasih kepada Kerajaan Negeri. Ini duit rakyat. Duit cukai. Keuntungan balak. Keuntungan pelaburan di Kulim Hitech untuk kamu semua belajar. Belajar bersungguh-sungguh. Jangan hampakan harapan ibu bapa,“Rakyat bersama kita menangani sebarang isu. Rakyat bangga anak-anak Kedah berjaya masuk pengajian tinggi, belajarlah dengan sungguh-sungguh,” katanya.

Inilah keadilan dalam Islam tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik sama ada Pas atau Umno. Ali Rustam patut malu pada dirinya sendiri kerana masih lagi bersikap berat sebelah, mengamalkan diskriminasi walaupun kononya berbangga Melaka sudah maju 2010. Mungkin inilah mentaliti pemimpin negeri maju yang lebih kurang sama dengan dasar Apartheid

ENIGMA KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA

Oleh: ROBIN C. HOOK (sabahkini)

SARAWAK, satu fokus utama penulisan ikhlas dan lensa penceritaan pula disasarkan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia buat tatapan kita di awal tahun 2011. Sebelum saya melontarkan suara-suara dari hayunan tangan yang mungkin dianggap merepek oleh sebilangan pembaca.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf jika semua kajian, penilaian, serta semua aspek komunikasi yang saya gunakan untuk mencari maklumat akan mungkin dikatakan berunsur hasutan atau penipuan. Tetapi hakikat sebenar semuanya datang dari rasa hati serta keluhan-keluhan dari mereka yang menyarung seragam Biru Muda Bergaris Kuning di bahu.

Dari kaca mata saya, perlantikan Datuk Seri Mohamad Khalid Bin Yusof sebagai Ketua Pengarah Kastam Malaysia merupakan satu kesilapan besar yang dilakukan oleh Kerajaan dan Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia.

Suasana kesilapan ini cukup dirasai bahangnya meledak ke seluruh pelusuk Sarawak terutamanya di semua Bahagian Perluasan Empayar mereka di sekitar Sibu, Bintulu, Miri hingga ke Kawasan Limbang serta Lawas.

Mungkin pembaca akan tertanya-tanya bahang apa yang cuba sayas tonjolkan di sini? Apa lagi kalau bukan ‘RASUAH’ atau sedap diucap dengan bahasa pasar ‘KANTAU'.

Satu pembohongan jika tauke-tauke besar, para penyeludup yang memegang standard ‘A Class’ sehinggalah ke ‘C Class’ mahupun individu-individu kecil yang melakukan urusniaga terlarang tidak mengenali Datuk Seri Mohamad Khalid Bin Yusof.

Sungguh mesra dan senang diucap oleh lidah-lidah bukan melayu dengan nama Khalid memberi satu warna serta sinar cerah kepada para penyeludup untuk menyambung aktiviti warisan serta khazanah dunia ini.

Lihat dan periksa sendiri ‘bala tentera’ kerahannya di semua stesen Sibu, Bintulu, Miri dan sebilangannya di Kuching serta Tebedu. Ada yang bertugas lebih 15 tahun di Bahagian Pencegahan. Persoalannya kini kenapa Pencegahan dijadikan menu utama?

Jawapannya senang sahaja, kerana Bahagian itulah yang agak bahaya tetapi senang diatur. Kebanyakan pegawai di bahagian penguatkuasaan adalah hasil daripada perlantikan Khalid sendiri.

Contoh paling ketara adalah Dato’ Materang dilantik sebagai Penolong Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan; Supian Sanusi juga orang kuat Khalid khabarnya tidak lagi dilantik sebagai Pengarah Kastam dan berpuluh lagi Pegawai pencegah yang berada di Bahagian Pencegahan lebih dari 15 Tahun.

Nampak sungguh kekayaan serta timbunan kemewahan terpampang jelas di mata kami yang sama menyarung seragam seperti mereka yang khabarnya dihalalkan oleh Khalid ini. Bukan cemburu, jauh sekali iri hati, tapi sakit sekali hati bila sering mendengar suara-suara awam yang sering berkata "Ahhhh.... Duit Kantau Mana Tidak Senang," sedangkan kami yang tidak ikut serta, turut menerima impak yang sama.

Umpama Segitiga Bermuda yang kenyang menelan puluhan kapal-kapal dan pesawat adalah satu perbandingan terbaik untuk menggambarkan persamaanya dengan pegawai-pegawai yang bertugas di Pelabuhan Sibu, Bintulu dan Miri.

Seperti misteri kehilangan kapal-kapal yang melalui Segitiga Bermuda, begitu jugalah misteri bagaimana barang-barang terlarang seperti rokok, mercun dan minuman keras secara lancarnya dapat membolosi pengimbas yang boleh dikatakan canggih.

Tetapi secanggih manapun sistem atau peralatan yang ada, segalanya tidaklah sekuat serta secanggih mana berbanding arahan yang diberikan oleh Khalid. Dengan anugerah yang Tuhan beri, tangan menekan, mulut berbicara terus kepada cuping telinga yang mendengar dan mata yang melihat dikaburkan cuma kerana sekeping kertas yang dianggap bermaruah.

Sarawak dijerebukan oleh asap-asap rokok pelbagai jenama seperti Rave, Parkway, Di-gi dan berpuluh lagi jenama lain serta dibanjiri beer atau minuman keras seludup yang semuanya ‘Sah’ masuk dari ketiga-tiga pelabuhan ini.

Adik abang yang berlainan bangsa sering bekerjasama untuk merealisasikan misi penyeludupan ini. Sering dilabelkan sebagai Gabenor dan Raja-Raja Sarawak nama-nama gah seperti Mr.Koh, Mr.Goh dan Acheek adalah saudara tidak sebangsa kepada Khalid, tapi hakikatnya mereka sehati dan sejiwa.

Satu khabar lagi dari Miri, pada tahun lepas Pihak SPRM telah melakukan satu tangkapan ke atas penyeludup Chicken Wing yang didalangi oleh orang kuat Datuk Seri Mohamad Khalid Bin Yusof ini. Namun paling menyedihkan apabila kes ini ditutup semata-mata kerana seorang daripada pengarah syarikat itu adalah isteri Datuk Khalid sendiri.

Sekali lagi kemenangan berpihak kepada ‘Sekeping Kertas’ yang dianggap bermaruah. Khabarnya lagi pegawai SPRM yang mengemudikan kes ini telah memesongkan layarnya ke arah sekeping kertas yang dianggap bermaruah. Jika ini bukan fitnah lagi, khabarnya ratusan ribuan ringgit diberikan kepada pengemudi kes ini oleh seorang ‘Tokan Besar’ yang bernama Thomas Hwa yang mana merupakan rakan kongsi Datuk Khalid.

Dari Miri kita ke Kuching pula. Maklumat yang perolehi dari sahabat saya di sana menyatakan bahawa semasa Datuk Khalid menjadi Pengarah Kastam Sarawak, semua bahan binaan dan peralatan luar/dalam bangunan untuk mendirikan Bangunan Masja tidak dibayar cukai Kastam semasa dibawa masuk melalui Pelabuhan Senari.

Semua proses ini diuruskan oleh Dato Materang Suhaili yang merupakan Timbalan Penguatkuasa pada masa itu. Untuk merialisasikan program ini mereka telah melantik seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Senari bernama Jahid. Sekali lagi ia dapat dikelaskan sebagai ‘HARAM’.

Bukan sewenang-wenangnya saya menuduh atau sengaja menyebarkan khabar angin. Tapi bagi kami yang berkhidmat di dalam satu Jabatan, kebenaran serta ketelusan amat kami perlukan. Bukan untuk meminta ‘share’ ke atas aktiviti tidak bermaruah ini, tapi harap-harap kebenaran akan terbukti. Susah sangatkah kita ingin mencari kebenaran?

Dengan sistem kita yang canggih, semak sahaja semua pertikaian yang ada. Dari aspek perlantikan, penutupan kes oleh SPRM, pembinaan Bangunan Masja sehinggalah ke kes-kes penyeludupan dari pelabuhan-pelabuhan di Sarawak. Sekali ini sahaja, cuba kuatkan semangat dan abaikan wang ringgit dahulu demi anak-anak bangsa kita.


Sensasi, Ribuan Ahli PAS & PKR Keluar Parti

SABAH DAILY

Menjelang mana-mana PRK (terkini Kerdau dan Merlimau) atau PRU maka berbondong-bondonglah diberitakan ahli PAS dan PKR serta pemimpin kedua-dua parti ini yang akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Saya tidak pernah mengira tapi kononnya sejak beberapa tahun yang yang lalu mungkin telah belasan ribu ahli PAS & PKR yang diberitakan oleh media perdana serta portal pro Umno yang menyertai parti tersebut.

Anehnya walau pun demikian yang di war-warkan, namun keputusan penuh liga PRK “M” tidak pula menyaksikan kemenangan penuh kepada Barisan Nasional.

Jika ini lah keputusan nya maka nyatalah bahawa berita serta portal pro-umno memang tidak berguna langsung kepada kita semua sebagai rakyat jelata tetapi bagus juga untuk penyokong parti mereka supaya tidak perlu bekerja keras lagi kerana sudah semakin ramai menyertai mereka dan mereka bakal menang mudah dalam setiap PRK dan PRU.

Terkini laman sesawang Bernama melapurkan bahawa sejak Januari lepas, seramai 1,800 anggota dan pemimpin PAS menyertai Umno Pasir Puteh selepas berasa tertipu dengan perjuangan parti tersebut.

Ketua Umno bahagian itu Zawawi Othman berkata mereka menyerahkan borang keanggotaan menerusi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising.

“Ramai lagi anggota PAS terutama di peringkat akar umbi dalam proses menyertai Umno,” katanya kepada pemberita selepas menerima 30 borang permohonan menyertai Umno di Kampung Wakaf Bunut, DUN Selising, di Pasir Puteh hari ini

Beliau berkata antara yang menyertai Umno itu termasuk bekas ketua Pemuda, ketua Muslimat dan anggota jawatankuasa PAS cawangan yang telah bersama PAS antara 30 hingga 40 tahun.

Kemasukan mereka secara beramai-ramai yang diluar jangkaan ini memberi harapan cerah kepada BNl untuk merampas kembali empat DUN tersebut dan kerusi Parlimen Pasir Puteh pada pilihan raya umum akan datang, katanya.

Sementara itu, bekas bendahari PAS cawangan Tualang Rendah Wan Mahmood Wan Abas, 56, yang ditemui pemberita pada majlis penyerahan borang tersebut berkata beliau merasa tertipu dengan parti yang disertainya sejak 30 tahun lepas.

Ini kerana katanya, tidak ada apa yang disumbangkan PAS kepada masyarakat sepanjang beliau memperjuangkan parti tersebut.

Bekas anggota jawatankuasa Muslimat PAS cawangan Kampung Wakaf Bunut, Saripah Mamat, 38, pula berkata beliau kecewa dengan sikap pemimpin PAS yang banyak bercakap tetapi gagal membantu rakyat yang susah.

Berbanding PAS, Umno tidak banyak bercakap tetapi sibuk membantu rakyat terutama dalam persekolahan anak-anak menerusi program seperti Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang diberi setiap tahun, katanya.

Membaca cerita rekaan tulisan Bernama ini membuatkan ramai boleh kecut perut dan Kerajaan PAS Kelantan boleh tumbang bila-bila masa jika Pilihnaraya diadakan.

Malangnya dengan pertolongan laman sesawang Bernama dan Portal Umno ini Umno Kelantan terus syok sendiri kerana semakin di beritakan pimpinan dan ahli PAS yang keluar parti maka semakin KURANG pula kerusi DUN yang dimenangai oleh Umno dan Barisan Nasional di Kelantan sehingga bakal Menteri Besar Umno pun tumbang tertongeng dan tergolek-golek di DUN sendiri.

Sementara itu, diberitakan juga sekumpulan 154 anggota sayap wanita PKR di Perak turut bertindak keluar parti dan menyertai Umno kerana sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti khususnya sayap itu.

Diketuai bekas naib ketua Wanita PKR Ipoh Barat Siti Aminah Mansor, mereka mengemukakan borang keanggotaan kepada ketua Wanita Umno Perak Datuk Rosnah Kassim.

Dalam sidang media selepas itu, Rosnah berkata tindakan anggota Wanita PKR Ipoh Barat dan Tambun tersebut mengukuhkan lagi kenyataan yang dibuat bekas anggota PKR sebelum ini bahawa ada yang tidak kena dengan parti pembangkang terbabit.

Justeru kata beliau, PKR tidak wajar menuding jari kepada Umno dan BN sebagai punca semakin ramai anggota mereka bertindak keluar parti.

Sementara itu, Siti Aminah berkata tindakan beliau dan rakan-rakannya itu berpunca daripada rasa kecewa dengan pucuk kepimpinan PKR.

“Selain itu kami melihat dan terbukti perjuangan PKR dan kepimpinan mereka adalah untuk kepentingan peribadi mereka dan bukan untuk kebaikan kami dan rakyat jelata,” katanya.

Ini kerana kata beliau, perebutan kuasa menyebabkan pucuk pimpinan lupa anggota di akar umbi yang selama ini bertungkus lumus menghidupkan PKR sebelum tsunami politik pada 2008.

Turut menyerahkan borang keanggotaan Umno hari ini ialah 34 wanita yang tidak pernah menyertai sebarang parti politik sebelum ini.

Dari Blog Parlimen Kota Raja

Remaja mula masuk surau

SINAR HARIAN ONLINE


SABAK – Kehadiran golongan remaja dari semasa ke semasa semakin bertambah memenuhi Surau Raudhatul Jannah yang menjadi pusat dakwah dan hub ilmu bagi masyarakat Islam di Taman Pertama dan sekitarnya.

Pengerusi surau, Imam Asmui Rasidin berkata, permainan seperti ping pong dan karom antara medium yang dapat menarik golongan itu menjadikan surau sebagai pusat sehenti menjalankan aktiviti.

“Pada masa sama, kita juga melaksanakan program motivasi dan tazkirah untuk golongan remaja pada Rabu malam Khamis setiap minggu.

“Dari situ, kita dapat melihat kehadiran mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa. Selain itu, kita turut mengadakan tazkirah Subuh setiap Sabtu dan Ahad yang disampaikan oleh penceramah jemputan dan tempatan bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya ketika ditemui pada Program Karnival Mini Maulidur Rasul 1432 Hijrah, Surau Raudhatul Jannah, Taman Pertama, di sini, semalam.

Hadir merasmikan majlis, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali. Hadir sama, ketua jabatan, penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Katanya, surau berkenaan dalam proses merancang untuk mengadakan program remaja melibatkan belia dan beliawanis setempat pada musim cuti sekolah pada Jun nanti.

Menurut Imam Asmui, karnival tersebut diadakan dengan sumbangan dana sebanyak RM10,000 daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak di samping kerjasama padu daripada pelbagai jabatan kerajaan.

“Kita merancang untuk mengadakan program tersebut sejak sekian lama dan persiapannya sudah dilakukan sejak dari awal lagi. Ia bertujuan menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah di samping menyemarakkan ikatan ukhuwah dalam kalangan penduduk di Taman Pertama dan Serendah.

“Kita juga mahu, ia meningkatkan lagi fungsi surau tersebut sebagai pusat ibadah, pusat dakwah dan hub ilmu serta menjinakkan masyarakat setempat dengan surau. Kita bercadang untuk mengadakan program seperti ini tiga hingga empat tahun sekali bagi memastikan masyarakat tidak jemu dan sentiasa menyokongnya,” katanya.

Katanya, dalam karnival mini yang julung kali diadakan ini, antara aktiviti yang diadakan adalah Pertandingan Perarakan Maulidur Rasul yang disertai empat kontinjen iaitu Taman Pertama Fasa I, Taman Pertama Fasa II dan Serendah, Taman Pertama Fasa III serta Taman Pertama Fasa IV.

“Kita juga adakan pelbagai pengisian yang dapat menarik semua lapisan masyarakat sertainya antaranya kuliah Subuh, slot motivasi remaja daripada Ustaz Zamri Zainal Abidin, pertandingan masakan kering, sukaneka dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Program ziarah daftar pengundi

SINAR HARIAN ONLINE

PULAU PINANG – Dalam usaha menarik pengundi baru mendaftar, UMNO Bahagian Jelutong melaksanakan program turun padang untuk membantu golongan muda mendaftar sebagai pemilih.

Ketuanya, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, lebih 6,000 termasuk 2,600 ahli UMNO dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi di kawasan itu meskipun mereka layak berbuat demikian.

Katanya, program ziarah yang dianjurkan di seluruh bahagian itu sebanyak dua kali sebulan diharapkan mampu memastikan golongan yang belum menjadi pemilih berbuat demikian dengan segera.

“Kita mulakan program ziarah itu hari ini di kawasan Kampung Sungai Pinang diikuti seterusnya Kampung Dodol dan Kampung Jelutong.

“Selain menolong mereka yang belum mendaftar, kita juga ingin melihat secara dekat masalah yang dialami rakyat kawasan ini.

“Masalah ini akan kita cuba bantu selesaikan dan yang mana tidak boleh, kita rujuk kepada pihak bertanggungjawab,” katanya semasa mengadakan program ziarah UMNO Bahagian Jelutong di Kampung Sungai Pinang di sini.

Pada program itu, seramai 50 ahli sayap parti itu yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri bergerak mengikut kumpulan ke 250 rumah yang terdapat di kampung itu untuk meninjau masalah yang dihadapi.

Katanya, melalui pendekatan ini, proses pendaftaran pengundi dapat dipermudahkan malah menggalakkan lebih ramai golongan muda mendaftar.

“Kita juga membantu mereka yang bertukar alamat untuk mengemas kini pendaftaran masing-masing.

“Ketua setiap kumpulan mengedarkan borang berkenaan selain maklumat tentang isi rumah.

“Ini untuk memudahkan kita mengetahui mengenai latar belakang penduduk di kawasan ini dan mencari alternatif terbaik untuk membantu mereka,” katanya.

11 pelajar dakwa diraba

SINAR HARIAN ONLINE


AMPANG - Sebelas pelajar perempuan tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa guru disiplin di sekolah itu melakukan gangguan seksual terhadap mereka. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi Jummat lalu di dalam bilik guru sekolah berkenaan.

Mangsa mendakwa guru berkenaan menyentuh di bahagian atas payu daranya dengan alasan mahu memeriksa denyutan nadi sebelum dihukum rotan.

Guru itu juga dikatakan menyentuh peha pelajar terbabit untuk memeriksa sama ada pelajar itu membawa telefon bimbit.

Seorang bapa mangsa berkata, anaknya bersama pelajar lain termasuk dua pelajar lelaki dibawa seorang pengawas berjumpa guru disiplin itu kerana kesalahan tidak menghadiri perhimpunan pagi itu.

“Anak kami ketika itu berada dalam kelas kerana menyiapkan kerja sekolah, namun pengawas berkenaan membawa pelajar terbabit berjumpa guru disiplin,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, semalam.

Dia berkata, anaknya memberitahu kejadian menimpa pelajar perempuan itu berlaku selepas empat guru wanita yang berada dalam bilik guru keluar daripada bilik itu.

“Kejadian itu hanya menimpa pelajar perempuan, berikutan insiden itu, ibu bapa pelajar mengambil keputusan untuk berjumpa pengetua sekolah itu Isnin ini (hari ini) bagi mendapat penjelasan pihak sekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa berkata, guru itu juga merakam gambar dada, kaki dan bahagian belakang badan pelajar berkenaan secara sembunyi.

“Berikutan itu, kami berasa takut dan malu, kami mahu mempertahankan diri kami namun bimbang apa-apa akan berlaku ke atas kami. Disamping itu, kami mendapat tahu guru terbabit merakam gambar kami apabila mendengar bunyi sesuatu daripada telefon bimbit yang dipegangnya,” katanya.

Jenice Lee berkata, pembantu pejabatnya bersama ibu bapa pelajar berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah.

“Disiplin di sekolah penting, bukan saja pelajar, malah guru juga harus menunjukkan disiplin yang baik. Pengetua harus menyiasat segara apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, seorang peguam sudah dihubungi untuk membantu ibu bapa mangsa mengendalikan kes itu,

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes masih disiasat.

Kerajaan Terengganu Belanja RM 223750 Beli Itik Dan Angsa

Staff Berita Semasa

Whooper Swan landing JS8Q2001 Kerajaan Terengganu Belanja RM 223750 Beli Itik Dan Angsa

Tanpa kami sangka, Kerajaan Negeri Terengganu telah membelanjakan hampir suku juta ringgit membeli itik dan angsa demi memenuhi hasrat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

1. Whooper Swan, angsa putih dibeli dengan harga RM5,600 seekor
2. Red Brested Goose, sejenis itik dibeli dengan harga RM4,200 seekor
3. White Swan, angsa putih dibeli dengan RM3,800 seekor
4. Black Swan, angsa hitam dibeli dengan RM3,800 seekor
5. Ashy Headed Goose, sejenis itik, dibeli dengan harga RM3,800 seekor

kerajaan terengganu beli itik Kerajaan Terengganu Belanja RM 223750 Beli Itik Dan Angsa

Sebanyak sebelas jenis itik dan angsa kesemuanya berjumlah 101 ekor telah dibeli oleh kerajaan bernilai RM223, 750 untuk ditempat di Pulau Burung Tasik Kenyir yang dibina dengan kos RM6 juta.Jawapan bertulis yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam Sidang DUN baru-baru ini bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak.

Satu sahaja kami nak tanya di sini, adakah keselamatan “angsa” dan “itik” itu akan terselamat dari kes kecurian? Seperti yang pernah berlaku di Melaka sedikit waktu lalu? Siapa yang tidak geram dengan angsa dan itik yang harganya mencecah ribuan ringgit ini.

Namun, signifikannya, mengapa perlu beli itik import? Dah takde itik lagi kat Malaysia ni? Atau Menteri Besar Terengganu memikirkan kalau pakai itik dan angsa tempatan tidak mampu menarik perhatian? Bagi kami, ini satu pembaziran.

Membazir tanpa ada reliabiliti dalam masa jangka pendek dan juga jangka panjang untuk rakyat.Bukanlah kami katakan kami tidak menyokong pengindahan flora dan fauna, tapi kita perlu lihat juga signifikannya dan samada waktu ini sesuai atau tidak untuk melaksanakan sesuatu idea mahupun hasrat.

Itik tempatan juga boleh digunapakai.Tidak cacat pun Tasik Kenyir kalau pakai itik dan angsa tempatan pun.Boleh dapat kos yang jauh lebih murah, dan demi tujuan yang sama.Itu lebih baik menurut pandangan kami.

Rockers pun kena ikut Rasulullah

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Jadilah sebagai sesiapa pun di dunia ini termasuk anggota kumpulan dan peminat rockers, namun setiap orang mestilah ingat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik kepada semua.

Ingatan itu dititipkan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor yang bercakap di dalam majlis tazkirah sempena Ijtima' Rockers yang diadakan di pekarangan Stadium Malawati, malam tadi.

Majlis Green Zone itu diadakan sebagai aktiviti sampingan ketika mana peminat Maher Zain yang sempat membeli tiket menikmati dendangannya di dalam stadium, mereka yang datang namun tidak dapat masuk boleh mengikuti hiburan di luar.

Beberapa kumpulan rock telah mengadakan persembahan namun terbaiknya kerana boleh dikatakan setiap lagu dimasukkan unsur ketuhanan dengan lirik puitis dilagukan mereka sama ada secara solo atau berkumpulan.

Berselang seli dengan nyanyian rock itulah, Riduan menjelaskan keperluan semua manusia kembali kepada Allah dan Rasulnya dalam usaha menjayakan kehidupan sebagai Muslim di atas dunia penuh cabaran ini.

"Rabiul Awwal yang kita sambut bukan sahaja merupakan tarikh kelahiran Nabi kita, ia juga adalah bulan kewafatan dan peristiwa hijrah Nabi Muhammad daripada Makkah ke Madinah dalam usaha penegakan sebuah Negara Islam," tegasnya.

Beliau juga menyatakan keperluan menjadikan Nabi sebagai ikutan walaupun mereka berambut panjang atau pendek, berjanggut atau bermisai, suka kumpulan Loudness, Scorpion atau Deep Purple, mereka wajar ingat cintai Nabi adalah wajib.

Sebagai orang muda, jelasnya, boleh mendengar lagu namun mereka hendaklah berikan masa untuk mengkaji bagaimana Nabi mengubah sistem kehidupan jahiliah daripada buruk kepada terlebih baik.

"Sebagai orang muda, kita hendaklah menjadikan kehidupan kita menjadi lebih manfaat, ya kita berhenti sekejap untuk beri laluan kepada adik kita untuk meneruskan persembahan dan kita jumpa lagi selepas ini," jelasnya.

Banyak acara lagi yang diadakan sepanjang sehari program Green Zone ini termasuklah acara pertandingan nyanyian lagu Maher Zain dan sebagainya di mana hadiah kepada pemenang disampaikan sendiri oleh Maher.

Yuhaizad sedia berkhidmat tanpa kira kaum

Hazayani Zakaria

JASIN: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kaum.

Yuhaizad, 38, berkata kepada pengundi di Merlimau adalah jelas iaitu rakyat sentiasa di hatinya dan PAS.

"Saya akan berkhidmat untuk rakyat. Saya akan jumpa semua pengundi dan banyak isu yang akan dikemukakan.

"Tak ada janji khusus kerana saya bukan kerajaan tapi saya akan berkhidmat untuk rakyat. Saya yakin untuk menang dan rakyat di hati kami," katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Politeknik Merlimau, dekat sini hari ini.

Menurut Yuhaizad, beliau akan mengikut strategi kempen yang telah disusun oleh parti bagi memastikan kempen berjalan lancar dan mesej yang ingin disampaikan diterima pengundi.

"Saya akan mengikut strategi yang diatur oleh parti, saya akan turun berjumpa dengan seluruh pengundi Dun Merlimau.

"Kita tengok nanti bagaimana suasana kempen dan apa yang perlu diubah. Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal," kata beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa pada sidang media yang sama berharap tempoh kempen kali ini bebas daripada provokasi mana-mana pihak.

"Kita mengharapkan tempoh seminggu daripada sekarang ini akan berlaku aman dan tenang bagi membolehkan rakyat tanpa provokasi daripada mana-mana pihak untuk memilih calon kita Yuhaizad Abdullah untuk mewakili Pakatan Rakyat kali ini," katanya.

Terdahulu,sewaktu tempoh bantahan dibuka, PAS telah mengemukakan bantahan berhubung perletakan jawatan calon BN, Roslan Ahmad daripada sebuah syarikat kerajaan.

Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali berkata, jawatan Roslan dinyatakan sebagai 'tiada' sedangkan tiada surat perletakan jawatan diterima.

Bagaimanapun, bantahan itu ditolak dan Roslan Ahmad turut diumumkan sebagai calon BN.