Oleh A Kadir Jasin
Pertama sekali, sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas atau masuk penjara sekali lagi, hidup kita, seperti kata penulis kanan akhbar The Star, Joceline Tan, akan merasa kesannya.
Menulis dalam edisi Ahad, 26 Oktober, Tan menyimpulkan: “But lives
will be impacted again whichever way the court decides next week.”
Ada dua senario kepada situasi ini.
1. Kalau Anwar masuk penjara, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan
Rakyat (PR) akan kehilangan ketua yang karismatik, tetapi memperoleh
simpati. Setelah bercakaran dan kacau-bilau akibat krisis menteri besar
Selangor, PR memerlukan simpati dan persefahaman penyokongnya, dan
2. Kalau hukuman salah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan
diterbalikkan (overturned) Mahkamah Persekutuan, Anwar akan muncul
sebagai makhluk suci yang cuba difitnah musuh-musuhnya. Kedudukan beliau
di mata kepemimpinan dan penyokong PR akan bertambah kukuh.
Ramalan PR akan hancur musnah kalau Anwar dipenjarakan mungkin
pramasa (premature).
Sebaliknya simpati yang tercetus daripada
pemenjaraan Anwar akan memberi peluang baru kepada PR untuk memperkukuh
dan memperluaskan sokongan. Ia sudah pun sekian lama mempersembahkan
liwat 2 sebagai persekongkolan (conspiracy) politik.
Generasi lama sudah semakin lupa dan tidak begitu peduli lagi dengan
liwat 1 pada tahun 2000 manakala generasi muda yang kini memegang “trump
card” kuasa politik, tidak tahu atau tidak percaya. Pada 8 Ogos 2000
beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas tuduhan itu.
Akibat pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno pada 1998, Barisan
Nasional hilang sokongan dalam PRU 1999 walaupun ia dipimpin Tun Dr
Mahathir Mohamad yang karismatik dan lincah permainan politiknya.
Mahathir mengekalkan majoriti dua pertiga BN.
Ramalan perlu berlapik
Ramalan PR akan berpecah tanpa Anwar perlu berlapik. Ada dua bentuk
pemangkin yang membuatkan PR berjaya sejak PRU 2008. Pertama, kemampuan
Anwar mencari titik pertemuan di kalangan parti-parti yang berbeza
ideologi, khususnya antara DAP dan PAS. Kedua, ia berjaya
mengeksploitasi keterdedahan (vulnerability) BN.
Daripada aspek psikologi pula, PR berjaya menjitukan semangat
penyokongnya dengan memberikan isyarat yang kuat mereka boleh
mengalahkan BN dan pada masa yang sama mengambil kesempatan daripada
kekecewaan penyokong BN terhadap parti mereka sendiri.
Satu lagi faktor yang memihak kepada PR adalah barisan kepemimpinan
yang muda. Selain veteran seperti Anwar, Lim Kit Siang, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat, parti-parti PR, terutamanya PKR
dan DAP digerakkan generasi pelapis.
Gabungan kepemimpinan pelapis yang meluas dengan bilangan pemilih
muda yang semakin meningkat boleh menjadi dorongan (impetus) kepada
parti-parti PR untuk terus berpakat walaupun wujud perbezaan ideologi
dan dasar yang ketara.
Mereka boleh memilih untuk berpecah dan kekal pembangkang atau
bersatu dalam kepelbagaian dan membina di atas 52 peratus undi majoriti
yang mereka peroleh pada PRU lalu.
Sebahagian kekuatan PR berpunca daripada kelemahan BN. Melainkan BN
sudah pulih secukupnya daripada bencana Tsunami Cina PRU 2013, ia tidak
mungkin boleh meraih apa-apa faedah daripada pemenjaraan Anwar.
Sebaliknya BN mungkin akan menderita beban tuduhan dan kebencian
manakala Anwar akan terus “menerajui” PR dari “suite”nya di penjara. Dan
seandainya dibuang kes maka jadilah beliau “makhluk suci” yang kalis
fitnah. –
kadirjasin.blogspot.com,