Sewa hotel 'projek' sejam
Oleh Hadzlihady Hassan
Bilik hotel itu dikatakan boleh disewa walaupun untuk setengah jam menyebabkan pasangan terbabit gemar mengambil kesempatan melakukan maksiat di situ.
Perbuatan keji mereka itu dilihat ketika wartawan Harian Metro membuat tinjauan di hotel terbabit.
Ketika tinjauan dibuat, ada dua pekerja berusia lingkungan 40-an dan seorang perempuan warga emas turut bertugas di hotel terbabit sebagai ‘penyambut tetamu’.
Kemudian,
Sejurus si lelaki membuat tempahan, teman wanita yang ditinggalkan di luar hotel akan menyusul naik mengikut pasangannya selepas memastikan keadaan benar-benar selamat.
Difahamkan, hotel itu hanya mengenakan bayaran RM25 bagi tempoh sejam, namun kadar yang sama turut dikenakan jika pelanggan ingin menyewa bilik selama setengah jam.
Pelanggan yang ingin mendaftar bagi tempoh sejam akan diminta membayar deposit RM20 sebagai tambahan kepada sewa RM25 itu.Deposit itu akan dikembalikan ketika mereka mendaftar keluar.
Selain sudah beberapa tahun beroperasi, lokasi hotel berkenaan yang tersembunyi dan strategik memudahkan remaja Melayu terbabit membawa pasangan masing-masing untuk melakukan maksiat.
Pekerja hotel terbabit ketika ditanya wartawan yang menyamar pelanggan, berkata hotel itu tidak pernah diserbu penguat kuasa agama.
Justeru, katanya, pasangan tidak perlu khuatir kerana jika serbuan hendak dilakukan ke atas hotel itu, pekerja di situ akan memaklumkan terlebih dulu kepada pelanggan.
“Jangan risaulah pasal serbuan, kalau awak nak bilik cakap saja, boleh booking (tempah) dulu, lepas tu bawa ‘amoi’ (teman wanita) masuk dalam.
“Lagipun sini tak pernah ada operasi, awak jangan takut, berapa lama mau duduk? Setengah jam pun boleh,” katanya ketika berbincang mengenai harga bilik dengan wartawan Harian Metro.
Katanya lagi, pasangan tidak perlu bimbang dengan kakitangan syarikat swasta yang bekerja di sekeliling hotel itu kerana mereka tidak akan mengganggu dan melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Dia orang takkan kacau punya, sini semua buat hal masing-masing, kita sama-sama cari makan,” katanya.
Bagaimanapun, wartawan Harian Metro berjanji akan datang semula untuk menempah bilik dan pekerja hotel itu dengan bersungguh-sungguh memintanya kembali semula dan membawa lebih ramai pasangan berminat.
Sementara itu, seorang pekerja di kawasan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrin, 35, memberitahu, setiap hari dia melihat pasangan Melayu datang ke hotel itu, terutama pada hujung minggu tanpa segan silu untuk memadu kasih.
Menurutnya, dia jelik dengan sikap pasangan terbabit yang kebanyakannya remaja Melayu kerana mengambil kesempatan melakukan maksiat di hotel berkenaan.
“Saya kesal kerana mereka sanggup melakukan perkara terkutuk di situ. Pernah juga beberapa kali saya terserempak dengan remaja perempuan bertudung yang mengikut teman lelaki masing-masing menyewa bilik hotel berkenaan,” katanya.
Katanya, dia sudah beberapa kali melaporkan perbuatan berkenaan kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), namun kesal kerana tiada tindakan diambil.
“Jawi meminta diberikan nombor bilik yang diduduki pasangan berkenaan. Jika tidak memberi nombor bilik, mereka mengatakan tidak boleh mengambil tindakan terhadap hotel terbabit,” kata Shahrin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan