HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2018

Bekas pegawai perisikan pertahan diri dari tuduhan khianat

 
Hasanah Ab Hamid berkata mengesahkan dia ada menulis surat kepada CIA mengatakan Najib sekutu penting AS.




KUALA LUMPUR: Bekas pegawai tinggi perisikan negara mempertahankan diri daripada tuduhan khianat selepas pendedahan surat kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggesa Amerika Syarikat menyokong Barisan Nasional jika gabungan itu menang tipis pada pilihan raya lepas.

“Tak ada unsur derhaka dalam surat tersebut. Itu semua bohong, mereka menipu dan tak masuk akal,” kata Datuk Hasanah Ab Hamid, bekas ketua pengarah Bahagian Penyelidikan (ME10) di Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibacakan peguamnya, Datuk Shaharudin Ali pada sidang media selepas beliau membuat laporan polis hari ini.

Hasanah menjelaskan pertukaran maklumat risikan antara agensi-agensi risikan adalah amalan biasa dalam komuniti itu, selaras dengan tujuan penubuhan ME10 iaitu memastikan keselamatan negara.

“Bukan buat aktiviti derhaka seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau menambah surat itu “didraf, diperiksa dan dianalisis” oleh tidak kurang daripada 10 pegawai kanan di bawahnya.

“Ia ditulis dengan niat yang baik,” tambahnya.

Sementara itu, peguam turut ditanya tentang kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menafikan tahu menahu mengenai komunikasi antara pengarah ME10 dan pengarah CIA.

“Itu tahap jawatan yang dimilikinya. Ada dokumen yang perlu dimaklumkan kepada perdana menteri, ada yang tidak perlu,” kata Shaharudin.

Beliau mengingatkan komunikasi antara pengarah ME10 dan pengarah CIA itu berstatus sulit dan tidak boleh dilihat atau dipaparkan kepada masyarakat umum.

Shaharudin mengesyaki pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai akses kepada dokumen rasmi perisikan bertanggungjawab membocorkannya.

“Jika anda dedahkan maklumat sulit negara, anda akan tanggung akibatnya,” katanya.

Ini kali pertama Hasanah mengesahkan dia menulis surat bertarikh 4 Mei 2018 kepada Gina Haspel.

Surat itu antara lain menggambarkan Najib sebagai sekutu penting AS, berbanding Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang “anti-Barat” dan “anti-Yahudi”.

Najib berkata beliau tidak pernah mengarahkan surat itu ditulis dan tidak tahu menahu tentang kewujudannya.

Pegawai trafik udara insiden MH370 akan dikenakan tindakan

 
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jawatankuasa dalaman akan ditubuhkan bagi menentukan bentuk tindakan terhadap pegawai terbabit.


Anthony Loke berkata beberapa pegawai trafik udara yang bertugas pada waktu itu masih bertugas dengan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Pegawai trafik udara yang bertugas semasa pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 akan dikenakan tindakan kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata satu jawatankuasa dalaman akan ditubuhkan serta-merta bagi menentukan bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas beberapa pegawai trafik udara berkenaan.

“Saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian menubuhkan jawatankuasa dalaman ini dan tindakan yang bakal diambil dijangka diputuskan dalam tempoh sebulan lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menurutnya, beberapa pegawai trafik udara yang pada ketika itu bertugas dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini masih bertugas dengan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pelanggaran SOP itu didedahkan dalam Laporan Siasatan Keselamatan berhubung kehilangan MH370 oleh pasukan penyiasatan keselamatan yang dikeluarkan semalam.

Dalam pada itu, Loke mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi CAAM dengan notis 14 hari.

“Saya tidak kata tentang sebarang salah laku tetapi berdasarkan laporan itu, beliau meletak jawatan.
Tiada sebarang laporan terhadap mana-mana orang. Menurut laporan itu SOP tidak dipatuhi dan dia DG (DCA) pada masa itu. Sekarang apa yang dia buat adalah letak jawatan untuk mengambil tanggungjawab itu,” katanya.

Ditanya sama ada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Azharuddin, beliau berkata perkara itu terpulang sekiranya siasatan lanjut dijalankan.

Penerbangan MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang kebanyakannya warga China, hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Terdahulu, Loke dalam usul khas di Dewan Rakyat bersempena pengeluaran laporan itu, berkata pasukan penyiasatan antara lain membuat analisis ke atas lencongan pesawat daripada laluan pelan penerbangan yang difailkan dan perkhidmatan operasi kawalan trafik udara.

“Profil kru penerbangan, ‘airworthiness’, penyelenggaraan sistem pesawat, komunikasi satelit, maklumat berhubung bangkai serta impak pesawat, maklumat berhubung organisasi dan pengurusan DCA dan MAS serta konsainan kargo pesawat turut dianalisis, katanya.

“Dalam hubungan ini, kerajaan sedang meneliti syor-syor keselamatan yang dibuat dan akan mengambil tindakan penambahbaikan sewajarnya bagi mengelak kemalangan udara pada masa hadapan.

“Pada masa sama, kerajaan akan turut menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku yang dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada sesi itu, Loke turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Kok Soo Chon selaku ketua penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) Malaysia dan semua yang terlibat kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

“Pengeluaran laporan siasatan ini menunjukkan komitmen dan ketelusan Malaysia dalam mematuhi tanggungjawabnya sebagai sebuah negara pejanji Konvensyen Chicago dan Annex 13.

“Pasukan penyiasat telah diberi kebebasan sepenuhnya dalam menjalankan siasatan dan tiada sebarang pindaan yang dibuat ke atas laporan tersebut. Jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada 11 Julai 2018 diberi taklimat dan mengambil maklum hasil penemuan laporan berkenaan,” katanya.

Ku Li gesa Kelantan warta tanah rizab Orang Asli

 
Ahli parlimen Gua Musang itu mengulas mengenai masalah pekerja ladang durian Musang King dan Orang Asli saling membuat sekatan dekat Pos Tohoi di Gua Musang.


Ku Li meminta kerajaan negeri menjaga kepentingan Orang Asli di Kelantan.


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata satu penyelesaian perlu dibuat bagi mewartakan tanah rizab Orang Asli di Kelantan.

“Saya rasa satu penyelesaian mesti dibuat (seperti) di negeri lain yang mewartakan sebahagian sebagai rizab Orang Asli, tapi di Kelantan tak ada yang dirizab sebagai kawasan Orang Asli,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sekatan yang dibuat membabitkan pekerja ladang durian Musang King dan Orang Asli dekat Pos Tohoi di Gua Musang.

Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li berkata ini disebabkan Orang Asli merasakan tanah adat atau hutan simpan merupakan kawasan mereka.
Ku Li menambah, apa yang diperkatakannya itu merupakan pendapat daripada Orang Asli.
“Jadi dia rasa tak puas hati lah tak dapat layanan, kita pun duduk di tengah.

“Kita memang jaga kepentingan Orang Asli tapi kerajaan negeri kena ambil kira perasaan mereka dengan beri layanan permintaan mereka, itu pendapat saya,” katanya.

Mengulas mengenai penstukturan Khazanah Nasional Berhad, beliau berkata kerajaan mempunyai prerogatif (keistimewaan) untuk menstruktur syarikat itu mengikut kemahuan.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelantikan 5 ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad baharu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi.

Turut dilantik sebagai Pengarah adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.

Penjelasan kerajaan tak kukuh isu Pulau Batu Puteh, kata PAS


KUALA LUMPUR: PAS hari berkata penjelasan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung keputusan menggugurkan semakan semula kes Pulau Batu Puteh tidak konkrit.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim berkata, ini disebabkan wujud banyak soalan lain yang masih perlu diberikan oleh kerajaan.

Amzad turut mengemukakan 5 soalan yang perlu dijawab PH, antaranya adalah pendirian rasmi kerajaan terhadap penemuan fakta baharu pada 4 Ogos 2016 lalu.

“Kedua, mengapa tindakan menarik balik semakan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa tanpa melalui konsultasi bersama bekas peguam negara Tan Sri Apandi Ali.

“Ketiga, apakah kandungan pandangan bertulis kolektif yang diberikan oleh peguam-peguam antarabangsa yang dilantik sehingga menyebabkan kerajaan mengambil keputusan tersebut,” katanya pada sidang medianya di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, Amzad turut mengemukakan soalan, apakah rundingan yang dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) pada 2009 yang ditugaskan bagi melaksanakan penghakiman ICJ terbabit.

“Apakah kerajaan akan merangka suatu persempadanan maritim yang jelas terhadap pertindihan wilayah perairan Baru Tengah dan Tubir Selatan yang menjadi milik Malaysia dengan Batu Puteh yang dimiliki Singapura,” katanya.

Menurut Amzad, jawapan kepada persoalan tersebut adalah penting bagi memastikan peristiwa kehilangan Pulau Batu Puteh akibat kecuaian kerajaan tidak berulang lagi.

Pada 30 Mei lalu, Malaysia dilaporkan sah menarik diri daripada semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan keputusan pada 2008 melibatkan kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut laporan Channel News Asia yang memetik kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA), kementerian tersebut dimaklumkan oleh ICJ mengenai keputusan Malaysia bagi menggugurkan 2 semakan kes berhubung perkara tersebut.

Menteri amat daif – Ahmad Murad

Ainul Asniera Ahsan

Murad-Merican
Prof Dr. Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Petikan video Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran yang mendakwa Melayu golongan pendatang di negara ini, sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu adalah ungkapan yang amat bahaya dalam konteks keaslian dan asal-usul etnisiti dan entiti bangsa itu.

Kenyataan itu juga menunjukkan Kula Segaran tidak mengetahui dinamka tanah air sebagai satu entiti konsep dalam psyche (roh) Melayu, sekaligus daif mengenai idea rumpunisme dalam perhubungan rangkaian Melayu di alam Melayu

Ahli Akademik Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, tidak ada Melayu pendatang kerana semua Melayu merantau menggunakan saluran selat dan perairan serta merentasi lautan berulang alik dari satu tempat ke ruang yang lain.

Semuanya dalam linkungan air dan darat ruang geografi budaya yang sama.

Keluasan geografi dan budaya Alam Melayu dari Pulau Malagasi ke Pulau Hawai, dari Rapanui ke New Zealand, adalah “motherland” orang Melayu.

Ujarnya lagi, orang Melayu tiada masalah berkongsi tanah airnya.

“Menteri amat daif dengan erti rantau perantauan. Menteri seperti katak di bawah tempurung dalam pemahamanya mengenai Melayu.

“Beliau ingat Melayu hanya wujud di Semenanjung Tanah Melayu sahaja walaupun mungkin maksudnya Malaysia,” jelas beliau sambil menyifatkan Menteri Sumber Manusia itu tidak faham sejarah kepulauan dan Alam Melayu.

Ahmad Murad menambah, Melayu wujud di pulau-pulau Melayu dan talian persaudaraan yang akrab, ramai ahli keluarga Melayu di Malaysia yang bertebaran, bermastautin dan berulang alik dari Sumatera, Singapura, Pulau Jawa dan Borneo, tak lupa juga dengan wilayah apa yang kita kenali sebagai selatan Thai.

Menurutnya, Melayu berlegar sejak berzaman, sebelum zaman Hindu lagi, dalam perairan kepulauan Melayu.

Ahmad Murad berkata, Kula perlu faham konsep dan amalan tanah air.

“Melayu perantau dan bukan pendatang. Melayu tidak pernah jadi pendatang dan merentasi ruangnya budaya dan geografinya.

“Jika tidak faham atau tidak sengaja faham, jangan sentuh taman dan tanah air orang Melayu. Sejarah orang-orang Melayu lebih besar dari sejarah negara Malaysia,” tegas beliau.

Kepulauan Melayu yang dikenali sebagai ”Malaysia” dari abad ke 16 bermaksud “pulau-pulau Melayu” dan Melayu telah dikenali oleh ahli pemetaan dan geografi Mesir/Yunani, Ptolemy sejak abad pertama lagi.

Pelbagai nama variasi di beri termasul Malae kolon, dan juga kunlun oleh orang China yang merujuk kepada penduduk yang bermastautin di Kepulauan Melayu.

Katanya, walaupun Melayu pernah sampai ke India dan China, berdagang dan merantau sejak berabad lalu, orang Melayu tidak pernah menyentuh keperibadian dan kedudukan orang India (yang digelar Keling) dalam bahasa dan wacana Melayu lama), misalnya.

Tuan menteri, Kepulauan Melayu ialah taman permainan dan kehidupan budi dan jiwa Melayu.

Beliau berkata, memang betul pada satu masa dulu orang Melayu beragama Hindu. Malah, tuan menteri dan pengikutnya tidak ada keupayaan untuk bezakan agama Hindu dan keaslian Melayu di Kepulauan Melayu.

Kula Segaran dalam video berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.

Tambahnya, masyarakat Hindu yang mula menjejakkan kaki di negara ini sejak 2,500 tahun lalu dan semua bukti mengenai kedatangan agama Hindu terdapat di Lembah Bujang, Kedah dan banyak kuil telah ditemui di sana.

Kenyataan Kula Segaran dalam bahasa Tamil itu dibuat ketika menghadiri program di Nilai.

Bagaimanapun, semalam beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Sebaliknya, beliau menyifatkan laporan media berhubung isu itu adalah satu fitnah dan pembohongan.

“Saya tidak pernah berkata begitu. Ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenarnya,” katanya. – MalaysiaGazette


Hidupkan semula kempen membaca

Mohammad Arif Nizam
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tengah) beramah mesra dengan para murid dan pelajar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIRYE SALIM, 31 JULAI 2018
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tengah) beramah mesra dengan para murid dan pelajar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Penyampaian Hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2018 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIRYE SALIM,
 

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi tanggungjawab menghidupkan kembali Kempen Membaca Kebangsaan sebagai salah satu usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya berharap rakyat Malaysia akan dikenali sebagai masyarakat dan rakyat paling ramai membaca di dunia pada tahun 2030.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan turut menggalakan setiap pelajar menguasai bahasa asing sebagai nilai tambah untuk meningkatkan ilmu dan memenuhi keperluan kerjaya.

“Walaupun pelajar diberi penekanan kepada penguasaan bahasa Inggeris, mereka juga digalakan menguasai bahasa tambahan yang lain seperti bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Jerman, Perancis dan bahasa antarabangsa serta bahasa ibunda lain.
MGF31072018_Festival Bahasa dan Sastera 2018_005
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. foto NOOR 
ASREKUZAIRYE SALIM
“Kebolehan menguasai pelbagai bahasa ini dapat melahirkan generasi yang mampu berkomunikasi dengan baik dan berkesan di peringkat antarabangsa serta berjaya menguasai ilmu yang terdapat dalam pelbagai bahasa.

“Usaha dan gerakan yang digarap mantap tidak mustahil lagu dan filem dalam bahasa Melayu berkumandang di stesen luar negara, tidak mustahil keberadaan bahasa Melayu dalam dunia internet, peranti telekomunikasi terkini dan semakan bahasa secara automatik,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera di sini hari ini.

Nie Ching menambah, kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan turut memastikan setaraf dengan Bristish Council, Goethe Institute dan Nippon Institut bagi melaksanakan pemartabatan bahasa kebangsaan dan menjadi kenyataan.

Jelas beliau, ia bukan sahaja memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini tetapi di peringkat serantau dan global.

Sementara itu, Festival Bahasa dan Sastera itu melibatkan pertandingan koir dan deklamasi puisi untuk pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina, Pertandingan Pidato dan Bercerita untuk pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil serta pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan. – MalaysiaGazette


Imej buruk perkhidmatan awam, Ali patut letak jawatan

Wartawan MalaysiaGazette

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi penjelasan tentang urusan penjualan tanah di Taman Wahyu di sini pada harga bawah nilai pasaran kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan UMNO.
Ali Hamsa

KUALA LUMPUR – Kumpulan 25 menggesa Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) melepaskan jawatan berikutan pelbagai kritikan berhubung perkhidmatan awam termasuk daripada Perdana Menteri.

Kumpulan 25 percaya semua kritikan teruk dalam perkhidmatan awam itu sama ada yang datang daripada ketua politik atau orang awam, mencerminkan kepimpinan Ketua Setiausaha Negara dalam memastikan disiplin dan profesionalisme terutama di peringkat tertinggi ketua-ketua setiausaha.

“Memandangkan mereka (ketua-ketua setiausaha) berada di bawah perintah, KSN mesti mengambil tanggungjawab untuk semua publisiti yang buruk yang telah ditanggung oleh perkhidmatan awam akibat salah laku mereka dan kegagalannya sendiri dalam memberikan contoh yang baik,” kata Kumpulan 25 dalam satu kenyataan di sini.

Tun Dr Mahathir dalam wawancara bersama CNN baru-baru ini, mengkritik perkhidmatan awam yang didakwa tidak boleh dipercayai dan mengamalkan rasuah.

Jelas Kumpulan 25, kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu telah menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Sedangkan, katanya, perkhidmatan awam sepatutnya menjadi tonggak kekuatan dan kestabilan pentadbiran.

“Tetapi sekarang ada segelintir penjawat awam yang menjadi sebahagian daripada masalah negara.

“Meskipun masih ada sebahagian besar penjawat awam yang profesional dan bebas dalam menjalankan tanggungjawab mereka, tetapi keburukan segelintir mereka telah menjejaskan keseluruhan perkhidmatan awam,” tambahnya.

Orang awam juga, katanya telah hilang keyakinan terhadap perkhidmatan awam sebagai sebuah institusi bebas yang boleh dipercayai dalam memberikan nasihat berhubung dasar kepada menteri-menteri.

“Ali sepatutnya menawarkan untuk meletakkan jawatan bagi menyelamatkan perkhidmatan awam daripada terus dimalukan,” menurut Kumpulan 25.

Jelasnya, dengan peletakan jawatan Ali, ia akan mengembalikan semula kedudukan perkhidmatan awam.

Ali, 63, dilantik sebagai KSN pada tahun 2012 dan dijangka bersara pada Ogos ini. – MalaysiaGazette


Turunkan umur pengundi tidak boleh dibuat secara tiba-tiba – SPR

Muhammad Azizul Osman
  MGF09052015_Undi-PRU14-BTR02-681x454
Salah seorang pengundi Cina Orang Kelainan Upaya menanda kertas undi sempena hari mengundi Pilihan Raya ke-14 (PRU14) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Selatan, Cheras Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

PUTRAJAYA – Cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan had umur pengundi tidak boleh dilaksana secara tiba-tiba.

Setiausaha Bahagian Pendaftaran Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Yusniati Ishak berkata, cadangan itu akan memakan masa yang panjang untuk dilaksanakan kerana melihatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“SPR melaksanakan tugas berdasarkan kepada undang-undang yang berkuatkuasa. Sebarang cadangan untuk menurunkan umur mengundi melibatkan pindaan kepada undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui media selepas Taklimat Mengenai Proses Penyediaan Daftar Pemilih Tambahan Setiap Suku Tahun di ibu pejabat SPR hari ini.

PH menerusi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan bercadang untuk membuat pindaan undang-undang dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Cadangan itu adalah salah satu manifesto dalam PH bagi mengubah usia layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, perubahan ke arah itu memerlukan pindaan pada Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Untuk berbuat demikian, PH nyata memerlukan kerjasama daripada anggota Parlimen pembangkang disebabkan kekangan status dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Yusniati menambah, SPR hanya akan melaksanakan cadangan itu sekiranya ia dibawa ke Dewan Rakyat untuk pindaan.

“SPR adalah badan yang akan melaksanakan sekiranya pelaksanaan itu sudah dibuat dan boleh dilaksana.

“Tidak boleh dibuat secara tiba-tiba sebab ia menggunakan undang-undang tersebut. Kalau belum dipinda maka SPR tidak dapat buat,” katanya.

Malah katanya, SPR juga belum bercadang untuk menggunapakai kaedah elektronik bagi proses pendaftaran pemilih. -MalaysiaGazette


PRK SG KANDIS: ZAWAWI YAKIN DAPAT 100 PERATUS UNDI INDIA




Calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mendakwa akan memperoleh sokongan 100 peratus pengundi India di kawasan itu.

Mohd Zawawi berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterima oleh beliau dalam tempoh kempen PKR sejak minggu lalu.

“Sebanyak 10 peratus atau lebih 5,000 pengundi India ada di DUN Sungai Kandis. Saya yakin sokongan ini akan diterjemahkan pada hari pengundian 4 Ogos ini.

“Keyakinan saya juga berdasarkan pelbagai program yang dijalankan kerajaan negeri sejak 2008 yang ternyata disenangi golongan ini.

“Kerajaan Selangor bukan sahaja membela kaum Melayu sahaja tetapi juga kaum lain membabitkan bantuan pendidikan, pembangunan dan kebudayaan.

“Ia juga termasuk pembinaan rumah ibadat dan kemudahan infrastruktur lain,” katanya pada sidang media di Jalan Raja Nong pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, beliau berjanji akan menyelesaikan beberapa isu berbangkit antaranya melibatkan isu jalan raya dan lampu jalan, jika berjaya memenangi PRK Sungai Kandis.

“Sudah tentu apabila dipilih sebagai rakyat, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk selesaikan isu setempat,” katanya.


Penganggur ramai, tanah terbiar banyak

IZWAN ABDUL HALIM

 
 
KUALA LUMPUR: Kewujudan tanah-tanah pertanian terabai dan ketika sama ramainya belia negara menganggur khusus dalam kalangan mahasiswa adalah situasi kontradik yang memerlukan mekanisme penyelesaian daripada kerajaan.
 
Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) berkata, keadaan tanah sedemikian akan menyebabkan satu tempoh masa pula digunakan bagi membaiki keadaan itu dan punca belia tidak berminat menceburi usahawan tani perlu dikenalpasti dan ditangani.
 
“Ketika ini sudah mencecah 3.4 peratus iaitu lebih kurang 516,000 yang menganggur. Ada satu program di bawah Kementerian Pertanian sebelum ini MyAgrosis Usahawan. Adakah impak program ini kepada usaha kita bagi belia-belia ini menceburi bidang pertanian?
 
“Ataupun adakah program ini hanya sekadar program untuk mengisi masa yang terluang di pihak belia-belia yang menganggur?” ujarnya mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.
 
Beliau juga mengutarakan mengenai luasnya tanah-tanah pertanian yang terbiar dan ditukar status hingga keadaan tersebut dilihatnya boleh mempengaruhi secara kritikan terhadap jaminan makanan negara (food security).

Sehubungan itu katanya, memerlukan kepada kewujudan polisi atau undang-undang lebih baik ke arah memastikan pengurusan berkaitan tanah dapat menangani keadaan yang sedemikian. - HARAKAHDAILY 


Sebab sebenar kehilangan MH370 tidak dapat ditentukan

Sebab sebenar kehilangan MH370 tidak dapat ditentukan



Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 tidak dapat menentukan sebab sebenar yang mengakibatkan kehilangan penerbangan malang pesawat itu, kata ketua pasukan tersebut Datuk Kok Soo Chon.

Beliau berkata pasukan itu telah mempertimbangkan semua teori konspirasi, khabar angin dan gosip di media sosial dan akhirnya mengenal pasti tujuh teori mungkin untuk pertimbangan mereka.

“Dari tujuh bidang yang kami kenal pasti, tidak terdapat asas langsung tetapi hanya spekulasi termasuk teori bahawa bateri lithium telah menyebabkan kebakaran oleh kerana kami telah menjalankan ujian,” katanya pada taklimat media oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia semalam.

“Memang orang ramai tidak puas hati kerana kami tidak dapat membuat kesimpulan…tetapi kami tidak boleh berbuat demikian kerana bangkai pesawat belum ditemukan,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata laporan siasatan setebal 1,500 muka surat telah diperakui oleh tujuh negara yang menyertai siasatan iaitu United Kingdom, Australia, Perancis, China, Amerika Syarikat, Indonesia dan Singapura.

Beliau bagaimanapun menegaskan laporan hari ini belum muktamad, sehingga bangkai utama pesawat ditemukan.

Sementara itu, Kok berkata pasukan itu telah membuat tujuh perakuan untuk Jabatan Penerbangan Awam, Lembaga Penerbangan Awam Vietnam (tiga), Malaysia Airlines (lapan) dan satu perakuan masing-masing kepada Malaysia Airports dan ICAO.

Kok berkata Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan membentangkan laporan itu di Parlimen esok dan beliau (Kok) akan memberi taklimat kepada waris keluarga yang hilang di Beijing, China pada 3 Ogos.

Penerbangan MH370 lenyap pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pesawat 777-200ER itu mempunyai 12 anggota kru dan 227 penumpang, dengan kebanyakan mereka adalah warga China.

Pada 29 Mei 2018, Ocean Infinity mengesahkan pencariannya ke atas bangkai MH370 dihentikan

Mohd Zawawi buat dua laporan polis dakwaan difitnah



Mohd Zawawi buat dua laporan  polis dakwaan difitnah



Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis daripada PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini membuat dua laporan polis selepas mengesan wujudnya penyebaran fitnah terhadap beliau menerusi media sosial sejak semalam.

Mohd Zawawi yang diiringi peguamnya, Mohd Khairul Anwar Ismail membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, bagi mendesak pihak berkuasa itu menyiasat pemilik akaun Facebook atas nama ‘Unit Media Wangsa Maju’ dan pemilik akaun Twitter ‘@MHSBI1’ yang didakwa menyebar fitnah tersebut.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa mengambil tindakan sedemikian kerana fitnah yang tersebar melalui media sosial itu tiada asasnya dan sengaja diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkan reputasinya yang sedang melakukan jelajah kempen PRK.

“Laporan polis pertama adalah tentang dakwaan mengatakan saya bersetuju dan menyokong (persembahan) tarian gelek untuk mengutip derma Tabung Harapan Malaysia baru-baru ini dan laporan kedua berkaitan dakwaan menuduh saya menyalahgunakan wang semasa berkhidmat di sebuah sekolah di Sungai Bertih, Klang pada tahun 1998.

“Saya amat terkejut dengan dakwaan seperti ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tarian gelek itu malah saya tidak tahu sumber mana pula pihak tersebut ambil sehingga boleh kata saya menyalahgunakan wang di sekolah sedangkan saya telah meninggalkan sekolah itu 20 tahun lepas,” katanya seperti dilapor Bernama.

Pada PRK Sungai Kandis  calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan berhadapan dengan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas  K.Murty pada 4 Ogos ini.

Hanipa mengadu kepada Nik Aziz, di Sungai Kandis lagi terserlah

Hanipa mengadu kepada Nik Aziz, di Sungai Kandis lagi terserlah


“InsyaAllah Tok Guru. Sebab tu kami tubuh Parti Amanah Negara meskipun berlori lori difitnah,difatwa,dimaki, dikeji ,dihina dan 1001 lagi oleh parti tu. Kami ingat pesan Tok Guru agar bersabar

“Lepas pemergian Tok Guru dah nampak lain sangat parti tu. Sekarang di Sg Kandis lagi makin terserlah Tok Guru.

“May Allah bless the ruh of my beloved murrabbi. Amin,” ujar Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin di laman facebookya.



Beliau dipercayai meluahkan perasaannya susulan tindakan pimpinan Pas mahu pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK)Sungai Kandis agar mengundi calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

PRK Sungai Kandis bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmd Mughni, Datuk Lokman Noor Adam (BN) dan Calon Bebas K. Murty.

PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos depan susulan kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser lomfoma pada 2 Julai lalu.

Di PKR Sungai Kandis Pas bekerjasama dengan Umno  memberikan laluan untuk tidak meletakkan calon Pas di Sungai Kandis.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata sekiranya parti pembangkang tidak berhasrat hendak bertanding dan menjadikan pertandingan itu satu lawan satu, kemungkinan besar Pas akan meletakkan calon.

Apabila BN menyatakan hasrat untuk meletakkan calonnya maka Pas memberi laluan itu.

Bagaimanapun Pas tidak ketinggalan turut mengadakan siri ceramahnya di Sungai Kandis walaupun pemimpinnya tidak turun padang bersama calon BN.

Pada Sabtu calon BN Lokman Adam  kelihatan muncul di sebuah ceramah anjuran Pas Kawasan Kota Raja.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Salehin Muhyi dipetik berkata, ceramah ‘Bangkit Selangor’ yang diadakan itu bukan untuk menyokong BN sempena PRK Sungai Kandis sebab itu calon BN tidak dijemput dan duduk sebaris dengan pimpinan pas di pentas malam itu.

Dalam ceramah berkenaan turut hadir Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan yang secara terbuka menyeru ahli Pas menolak Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Sungai Kandis kerana gabungan itu tidak mengamalkan dasar pemerintahan Islam, katanya.

“Kita tak nak kerajaan jahiliah diganti kerajaan jahiliah, kerajaan PH tidak mengamalkan pentadbiran Islam.

“Kita kena pastikan mereka kalah, PH kita kena tolak.

“Jadi nak undi siapa, nak kena tunjuk juga ke? Tu undi dia (Lokman),” katanya ketika berceramah sambil menuding ke arah calon BN itu.

Pada PRU 14, Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Datuk Lokman Noor Adam yang hadir dalam ceramah anjuran Pas walaupun Pas  mendakwa kehadiran calon BN itu tidak dijemput.


Pemilihan PKR: Adakah Azmin akan tumbang di tangan Rafizi?




“Jom lawan Azmin!” Itulah mood yang sedang dibina secara tidak langsung oleh Rafizi Ramli yang melancarkan kempennya untuk berebut jawatan timbalan presiden PKR yang disandang Datuk Seri Azmin Ali.

Dengan penyertaan Nurul Izzah Anwar, anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ini dan juga calon tunggal presiden PKR akan datang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam kem Rafizi, pemilik badan pemikir Invoke telah melahirkan persepsi inilah barisan yang dikehendaki keluarga presiden PKR.

Sama ada persepsi itu betul mahupun tidak, asalkan persepsinya begitu, maka ia akan dianggap betul di dalam PKR kerana itulah makanan harian mereka.

Apapun, niat Rafizi bertanding adalah untuk menyingkirkan Azmin dan kini ia diketahui umum. Apa pergeseran yang berlaku di antara mereka, hanyalah mereka yang tahu.

Rafizi berkata, antara sebab beliau berebut jawatan timbalan presiden PKR ialah untuk membebaskan PKR daripada budaya “salam cium tangan” dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.

Tiada hadiah untuk sesiapa yang dapat meneka kem mana yang dimaksudkan Rafizi sebagai pembawa budaya itu.

Berbalik kepada Azmin, sebenarnya Rafizi adalah penyumbang terbesar secara tidak langsung kepada perkembangan pesat politik Azmin yang tidak diketahui umum.

Sebelum Langkah Kajang yang dicipta Rafizi, Azmin cumalah seorang Adun biasa dan ahli Parlimen di Selangor. Ketika itu, yang memegang jawatan menteri besar Selangor ialah Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak sebulu dengan Azmin.

Azmin mendapat durian runtuh apabila Langkah Kajang Rafizi gagal menaikkan Wan Azizah mahupun Anwar sebagai menteri besar Selangor dan jawatan itu jatuh ke tangan Azmin. Bermula dari situlah kerjaya Azmin berkembang pesat sehinggalah kini beliau menjadi menteri hal ehwal ekonomi.

Meskipun Azmin ditekan dan diserang pelbagai arah di dalam PKR, kepetahan politik Azmin menyebabkan beliau sentiasa berada di depan Rafizi mahupun Anwar, dan kedudukan Azmin tidak pernah goyah, walaupun suatu ketika Rafizi pernah memegang jawatan setiausaha agung PKR.

Contoh terbaru yang menonjolkan lagi kehebatan berpolitik Azmin di dalam PKR ialah siapa yang menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.

Ia bukan satu kebetulan Adun Dusun Tua, Amirudin Shari dipilih menggantikan Azmin sebagai menteri besar Selangor dan bukannya Dr Idris Ahmad seperti yang diwar-warkan media sebagai pilihan utama.

Seperti Langkah Kajang, Azmin masih mendiamkan diri terhadap pendiriannya di dalam pemilihan PKR. Beliau membiarkan Rafizi melancarkan segala “kerjanya” dahulu.

Baru-baru ini, ada 4 peletakan jawatan di dalam PKR Selangor yang didakwa tidak berpuas hati dengan amalan “kronisme dan nepotisme” di dalam lantikan ahli majlis.

Dan kebetulan, isu ini mendapat perhatian Datuk Johari Abdul yang diumumkan Rafizi sebagai salah satu anggota pasukannya semalam yang menggesa “kepimpinan Selangor” menyiasat dakwaan kronisme dan nepotisme di dalam parti kerana ia berpotensi menjejaskan reputasi kerajaan negeri.

Siapa pengerusi PKR Selangor? Sudah tentunya Azmin! Jadi, tidak perlulah kita teka siapa yang sedang disasarkan Johari daripada pasukan Rafizi di dalam gesaannya di atas.

Tiada apa yang akan berlaku kepada Rafizi, sekiranya beliau tewas di dalam perebutan kuasa kali ini. Namun, jika Azmin dan pasukannya tewas, Azmin mungkin terpaksa kembali ke zaman sebelum Langkah Kajang.

Apakah Azmin akan tumbang di tangan Rafizi kali ini?

Ataupun Rafizi akan tersilap taktik lagi sehingga membawa kerugian kepada Anwar dan memberikan durian runtuh sekali lagi kepada Azmin sehinggakan akhirnya Azmin bakal menguasai PKR secara total dan bebas daripada kongkongan keluarga Anwar?

Yang paling penting, apakah kesudahan yang diinginkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Calon BN pertikai SPR arah sepanduk BN diturunkan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KLANG: Calon BN bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengarahkan sepanduk kempen parti itu diturunkan secepat mungkin hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima arahan itu daripada SPR pagi ini atas alasan paparan isi kandungan sepanduk berkenaaan menimbulkan ‘rasa kurang selesa’ kepada orang lain.

“Semasa kempen PRU14, kerajaan sebelum ini tidak pernah mengarahkan jentera PH menurunkan sepanduk mereka yang memaparkan manifesto gabungan parti itu,” katanya kepada pemberita selepas jelajah kempennya di Taman Setia, Johan Setia, di sini hari ini.

Maka kali ini, beliau berkata, pihaknya juga tidak akan mencabut atau menanggalkan mana-mana sepanduk kempen BN kerana ia jelas tidak memutarbelitkan fakta mahupun mempunyai unsur fitnah kepada kerajaan baharu.

Lokman Noor dalam pada itu menggesa SPR mengeluarkan surat rasmi berhubung arahan tersebut secepat mungkin atau pihaknya akan membawa perkara tersebut ke mahkamah.

“Sepanduk BN bukan banyak pun, poster saya pun saya tak buat. PH ada majoriti sekitar 12,000 undi (pada PRU14) jadi kenapa nak takut dengan kami dan kenapa perkara seperti ini mahu dijadikan isu.

Kami cuma cakap undilah BN jika mahu PH tunaikan janji, itu saja,” katanya.

Pada PRK DUN Sungai Kandis, Sabtu ini, Lokman Noor akan berdepan dua pencabarnya iaitu calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy.

Ia merupakan PRK pertama selepas PRU14, yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.– Bernama

Pemuda UMNO buat laporan polis terhadap Kula

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini membuat laporan polis serentak di seluruh negara ekoran kenyataan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran yang mendakwa bangsa Melayu adalah pendatang seperti yang dilaporkan sebuah akhbar nasional sebelum ini.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan Naib Pengerusi DAP itu mampu mencetuskan ketegangan kaum dan ketidakstabilan dalam masyarakat.

“Sebagai seorang menteri, beliau harus mempunyai moral yang tinggi dan tidak boleh menipu rakyat dengan sewenang-wenangnya.

“Kita tidak mahu keharmonian yang dikecapi selama ini digadaikan hanya kerana seorang menteri yang bersikap perkauman melampau,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Beliau juga berkata Kula Segaran perlu diambil tindakan kerana Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman pernah didenda kerana menerbitkan artikel berbaur hasutan pada 2016.

Ucapan Kula Segaran pada satu majlis di Nilai, Negeri Sembilan pada 21 Julai lepas telah mencetuskan kontroversi selepas ia tular setelah dimuat naik di laman YouTube.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata ucapan beliau itu telah disalah tafsir sehingga mengandaikan beliau telah menggunakan istilah ‘pendatang’ dengan merujuk kepada pihak yang tidak senang dengan penggunaan perkataan itu terhadap mereka.

Sehubungan itu, Kula Segaran memutuskan untuk memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut untuk mengelakkan kontroversi itu menjadi lebih buruk.

Sementara itu di SHAH ALAM, Ketua Pemuda UMNO Selangor Rizam Ismail berkata Pemuda UMNO turut mendesak pemimpin DAP itu meletakkan jawatan sebagai menteri.

“Sebagai seorang menteri beliau seharusnya berhati-hati ketika berucap dan mengeluarkan kenyataan, beliau seharusnya fokus kepada kerja-kerja untuk meningkatkan prestasi kementeriannya,” katanya ​​​​​​​kepada pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Turut hadir kira-kira 100 anggota Pemuda UMNO Selangor.

Di IPOH, Ketua ​​​​​​​Pemuda UMNO Perak Mohd Ariff Abdul Majid dan dua NGO iaitu Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Gerakan Belia 4B Perak turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam.

“Walaupun beliau (Kula Segaran) telah membuat permohonan maaf tetapi sebagai seorang menteri yang menjadi rujukan kepada rakyat, beliau harus bertanggungjawab atas kenyataan yang dilakukannya.

“Kita juga mendesak supaya Kula Segaran segera meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan.

Di ​​​​​​​SEREMBAN, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Zaidy Abdul Kadir berkata kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan oleh menteri itu.

“Malaysia sudah lama merdeka… jadi tidak perlulah mencetuskan isu perkauman malah Pakatan Harapan sudahpun menjadi kerajaan pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Di ALOR GAJAH, Pemuda UMNO Melaka turut membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal terhadap anggota Parlimen Ipoh Barat itu kerana menyifatkan kenyataannya itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu tetapi juga kaum India.

“Nasi sudah menjadi bubur dan beliau (Kula Segaran) telah mengeluarkan kenyataan dan video (kenyataan) tersebut telah tular,” katanya ketika ditanya tentang tindakan Kula Segaran memohon maaf bagi kenyataannya itu.

 Di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata laporan polis yang dibuat hari ini ini bukan mahu mencetuskan huru-hara, provokasi atau sentimen perkauman tetapi UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bangsa Melayu melihat kenyataan itu sebagai sesuatu yang serius dan berat.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan sikap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat mendiamkan diri berhubung isu kontroversi itu tanpa membela masyarakat Melayu.

“Apakah pendirian dalam isu ini. Sebagai parti yang menggunakan nama pribumi dan ahlinya berbangsa Melayu, adakah mereka hanya mahu duduk diam sahaja dan menikus?,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Sentral.

Di KOTA BHARU, Pemuda UMNO Kelantan menegaskan kenyataan berbaur perkauman yang kemudiannya disusuli permohonan maaf selepas menerima kecaman adalah satu sikap yang perlu dihentikan.

“Perbuatan meminta maaf selepas melakukan provokasi melampau seakan sudah menjadi kebiasaan sejak kebelakangan ini dan ia bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah.

“Kita khuatir perkara sebegini akan dipandang ringan oleh pihak lain pula selepas ini dan sewenangnya akan mengulangi perkara sama. Tindakan tegas perlu diambil,” kata Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.

Di GEORGE TOWN, Pemuda UMNO Pulau Pinang mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Kula Segaran walaupun sudah memohon maaf.

“Kami tidak mahu tindakan memohon maaf selepas membuat kenyataan bersifat perkauman sebegini menjadi budaya dalam kalangan masyarakat,” kata Ketuanya Anuar Faisal Yahaya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.– Bernama

3 perkara dipersetujui Mohd Asri, Ramasamy

MALAYSIAKINI

 


Pertemuan antara Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy semalam bersetuju agar majlis keharmonian agama dan kaum diwujudkan.

Mohd Asri yang berkongsi hasil pertemuan itu menjelaskan bahawa platform berkenaan akan membolehkan tokoh-tokoh pelbagai agama bertemu dan berunding.

"Satu platform yang membolehkan tokoh-tokoh pelbagai agama bertemu dan berunding dalam isu-isu yang membabitkan keharmonian antara agama dan kaum perlu diwujudkan.

"Semua pihak jangan menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menegangkan hubungan antara penganut agama dan kaum.

"Bawa ke meja rundingan terlebih dahulu. Saluran melalui platform tersebut diharapkan dapat membantu ke arah Malaysia yang lebih harmoni dan damai," katanya melalui kenyataan di Facebook, semalam.

Selain itu, dalam pertemuan yang diatur Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof itu, beliau dan Ramasamy juga bersetuju bahawa isu berhubung Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) merupakan isu keselamatan negara dan bukannya isu peribadi dua pemimpin berkenaan.

"Pertemuan tadi bukan platform penentu siapa yang sabit atau siapa yang dibersihkan. Hak penentu dalam isu LTTE ialah pihak polis.

"Kita membiarkan hal itu di bawah siasatan polis. Kita menunggu kenyataan polis. Maka, pertemuan tersebut tidak membincangkan tentang status LTTE dan orang yang terlibat dengannya. Kita serah dan menanti siasatan polis," katanya.

Perkara ketiga yang dipersetujui Mohd Asri dan Ramasamy adalah agar isu melibatkan penceramah kontroversi Zakir Naik tidak lagi dibangkitkan dan menyerahkannya kepada kerajaan.

"Tidak perlu dibangkitkan lagi. Apa yang penting, semua penceramah dari semua agama hendaklah mengikut peraturan negara dan tidak menimbulkan apa-apa konflik antara penganut agama dan kaum," katanya.

Sebelum ini Ramasamy mengkritik Putrajaya kerana enggan mengekstradisi Zakir yang dikehendaki pihak berkuasa India atas beberapa dakwaan termasuk terlibat aktiviti keganasan dan mencetuskan kebencian antara kaum.

Susulan itu, timbul dakwaan yang mempersoalkan sama ada Ramasamy sendiri terlibat dengan aktiviti keganasan melalui LTTE.

Mohd Asri kemudian menggesa agar pemimpin DAP itu menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun anggota dewan undangan negeri Perai itu menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan penyertaannya dalam misi keamanan melibatkan LTTE adalah pada masa sama ketika beliau menyertai misi keamanan di Aceh sekitar 2003 dan 2006.


Ketua setiausaha negara digesa berundur cara terhormat

MALAYSIAKINI



Kumpulan bekas penjawat awam tersohor G25 mendesak Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa meletakkan jawatan.

Gesaan itu dibuat selepas timbul siri publisiti buruk dan kritikan kepimpinan baru terhadap perkhidmatan awam negara.

“Kami rasa KSN tidak patut tidak pedulikan kenyataan keras daripada pemimpin kita dan sebaliknya, beliau patut mengaku pada diri sendiri bahawa beliau bertanggungjawab bertindak demi kepentingan seluruh perkhidmatan awam dengan meletakkan jawatan.

“Kami dengan ini mendesak KSN mengambil langkah terhormat dengan menawarkan peletakan jawatannya tanpa teragak-agak bagi menyelamatkan perkhidmatan awam daripada terus menanggung malu dan berdepan publisiti buruk.

“Tawaran peletakan jawatannya akan membolehkan perdana menteri membuat keputusan betul terhadap pentadbiran negara,” kata G25 dalam kenyataan hari ini.

Semua kakitangan kerajaan, kata mereka, akan menghargai “pengorbanan” peribadi Ali bagi memberi laluan kepada KSN baru mengembalikan semula reputasi perkhidmatan awam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata terdapat penjawat awam tidak memberikan komitmen kepada agenda reformasi kabinet kerana masih setia pada pemimpin lama.

Perkara itu, kata Mahathir, menyebabkan sukar untuk pentadbiran baru mempercayai mereka untuk melaksanakan dasar-dasar pembaharuan yang mahu diperkenalkan


Lebih banyak JK dwipartisan parlimen akan dibentuk

 
   
Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mahu memberikan keutamaan terhadap sistem pembentukan jawatankuasa pilihan khas parlimen yang baik.

 Perkara itu antara reformasi Dewan yang cuba diperkenalkan speaker baru itu.

“Kebanyakan debat hari ini kamu lihat dalam dewan utama, tetapi kita sedang lihat demokrasi matang, banyak kerja-kerja dilakukan melalui jawatankuasa yang cenderung dwipartisan,” katanya.

“Pihak berkaitan berhubung dengan baik dan profesional (dalam jawatankuasa khas parlimen).

"Saya rasa kita patut menuju ke arah itu,” kata Ariff kepada Malaysiakini dalam wawancara di pejabatnya di parlimen semalam.

Sistem tu, yang diharapkannya dibentuk segera, akan lebih mempromosikan ketelusan.

Idea itu selari dengan manifesto Pakatan Harapan supaya parlimen diawasi oleh beberapa institusi utama.

 “Beberapa perkata adalah terbaik dicapai di peringkat jawatankuasa pilihan khas.

“(Jawatankuasa itu boleh) membawa pakar luar dalam perkara dibincangkan, pihak yanng berminat dengan tajuk itu” kata Ariff.

Sementara itu, speaker juga berkata mahu mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992.

Akta itu, jika dikembalikan, akan membolehkan parlmen menjalankan pentadbiran, menggaji kakitangan serta menguruskan kewangan sendiri.

Dalam manifesto pilihan raya umum ke-14, HARAPAN berkata mahu memperkenalkan semula akta itu, dengan beberapa penambahbaikan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Najib perli Mat Sabu ‘joker’, pertikai kemampuan jadi menteri

 
Bekas menteri pertahanan itu berkata, presiden Amanah itu tidak kelihatan begitu yakin untuk memegang jawatan penting. 



Mat Sabu (kanan) menunjukkan kebolehan memasak dalam KD Mahawangsa, bulan lalu.(Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan kemampuan Mohamad Sabu menjadi menteri pertahanan kerana presiden Amanah itu lebih seperti bahan lawak dalam laporan media baru-baru ini sejak dilantik ke jawatan itu.

Najib yang pernah menjadi menteri pertahanan selama 14 tahun memberitahu hadirin dalam sebuah program kempen Barisan Nasional di Sungai Kandis baru-baru ini yang Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bukan seseorang yang kelihatan begitu yakin ketika mewakili Malaysia ke luar negara.

“Menteri pertahanan pun kartun. Pakai (topi) beret pun macam kartun, naik kapal perang cakap nak buat kari ikan.

“Awak ini menteri pertahanan, cakap pasal dasar pertahanan negara, jangan cakap nak buat kari ikan. Ini bukan taraf menteri pertahanan, ini joker, ini kartun,” katanya.

Najib berkata, beliau tiada keyakinan terhadap kemampuan Mat Sabu untuk berdepan rakan sejawatan di negara lain, termasuk setiausaha pertahanan Amerika Syarikat.

“Kalau Mat Sabu berdepan setiausaha pertahanan Amerika Syarikat saya tak jamin sebab dia akan cakap pasal ikan.

“Setiausaha pertahanan Amerika betul-betul kepala dia pun pusing agaknya. Dia kata macam mana standard kita ini di Malaysia? Pelik, orang macam ini boleh jadi menteri,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Mat Sabu yang terkenal dengan kemahiran berpidato dan kebolehan menarik orang ramai ke ceramah, antara kumpulan pertama menteri kanan dinamakan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Di kolej, bekas ahli politik PAS itu mengambil kursus sains makanan dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang menghabiskan masa bersamanya di Kem Tahanan Kamunting, Perak bercakap mengenai kemahiran memasaknya.

Selepas dilantik sebagai menteri pertahanan, Mat Sabu melawat kem tentera dan kapal perang.

Pada 7 Jun lalu, Mat Sabu bersama anggota tentera laut berbuka puasa dalam Kapal Diraja (KD) Mahawangsa, di mana beliau menunjukkan kemahiran memasaknya dan bergurau beliau boleh menyediakan hidangan ikan untuk mereka, jika mereka dibenarkan memancing di laut.

LIHAT VIDEO DI SINI

Menteri: Pusat jagaan dikenakan tindakan jika HFMD meningkat

 
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata tindakan akan diambil jika pusat penjagaan merekodkan beberapa kes yang mencapai tahap berbahaya.



Dzulkefly Ahmad berkata penularan HFMD berlaku di premis yang menjadi tumpuan kanak-kanak seperti taska, tadika, tabika dan pra-sekolah. (Gambar Youtube)


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pemilik pusat penjagaan kanak-kanak jika didapati merekodkan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) makin meningkat, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

“Jika pusat penjagaan merekodkan beberapa kes yang mencapai tahap berbahaya, kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Setakat ini tiada tindakan diambil terhadap mana-mana pusat jagaan, tetapi pentingnya pusat-pusat itu sendiri menyedari pentingnya kebersihan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan sedang mengawal peningkatan kes HFMD melalui kempen pelaksanaan 5 perkara utama.

Katanya, kempen ini akan dilaksanakan secara intensif dan berterusan selama 3 minggu yang melibatkan semua taska, tadika, tabika dan pra-sekolah.

“Penyakit ini berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran serta mudah menular di kalangan kanak-kanak kecil berumur kurang daripada 7 tahun, terutamanya di premis yang menjadi tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska, tadika, tabika dan pra-sekolah.

“Melalui kempen ini, 5 perkara yang akan ditekankan adalah penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan di pintu masuk premis dan nyahkuman di permukaan yang tercemar,” katanya sambil memaklumkan sehingga kini 2 kematian dicatatkan dan kes di Selangor paling tinggi iaitu 11,668 kes.

Menurutnya, bagi kawalan dan pencegahan jangka panjang, latihan kepada pengusaha taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah akan diadakan setiap tahun.

“Latihan ini akan dijalankan bersama kementerian dan agensi terbabit menggunakan garis panduan sedia ada.

“KKM percaya dengan meningkatnya ilmu pengetahuan dan pematuhan pelaksanaannya, ianya akan menjadikan polisi tersebut kekal diamalkan,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya memandang serius terhadap kehadiran produk pencegahan HFMD yang berada di pasaran.

“Semua ini akan kami ambil sebagai satu yang serius untuk kita pastikan implikasi dan keberkesanannya,” katanya.

K'jaan digesa gugur semua kes Akta Hasutan

MALAYSIAKINI

 

Amnesty kebangsaan Malaysia menggesa penghapusan Akta Hasutan susulan pembebasan kartunis politikal Zulkiflee SM Anwar Ulhaque (Zunar) dan beberapa yang lain dari dakwaan di bawah akta berkenaan.

Selain Zunar, bekas anggota parlimen Padang Serai N Surendran dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa juga dibebaskan daripada dakwaan di bawah akta itu.

"Pembebasan mereka merupakan perkembangan positif namun pihak berkuasa Malaysia perlu melakukan lebih untuk melindungi rakyat yang berani bersuara.

"Kerajaan baru perlu mengambil peluang ini untuk membuka jalan kepada era baru bagi hak asasi manusia dengan mengembalikan sepenuhnya kebebasan berekspresi dan menghapuskan Akta Hasutan 1948 yang merupakan undang-undang usang yang sering digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat," kata pengkaji badan berkenaan, Rachel Chhoa-Howard dalam kenyataan hari ini.

Rachel juga menggesa agar pihak berkuasa menggugurkan dakwaan lain di bawah Akta Hasutan dan memastikan tiada lagi pihak lain yang ditahan, disiasat, didakwa atau dipenjara sementara proses pemansuhan akta itu.

Semalam, Pejabat Peguam Negara menarik semula dakwaan ke atas Zunar dan Surendran atas dasar pihak pendakwaan tidak lagi berminat ke atas kes terhadap mereka.

Zunar sebelum ini didakwa menghina badan kehakiman melalui kenyataan di Twitter berhubung pensabitan kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surendran pula didakwa kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan media "menghasut" bertajuk "Keputusan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan dalam kes Fitnah 2 tempang dan tidak berasas"
Manakala dakwaan ke atas Sivarasa digugurkan selepas Pejabat Peguam Negara menerima surat perwakilan beliau.

Dakwaan ke atas Sivarasa adalah berhubung ucapannya dalam himpunan Kita Lawan pada 2015 yang dikatakan mengkritik sistem kehakiman berhubung pemenjaraan Anwar kes liwat.

Ideologi LTTE tetap wujud, berbahaya - bekas IGP

 
   
 
Kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang bertanggungjawab dalam pertumpahan darah selama lebih tiga dekad di Sri Lanka diketahui telah beberapa tahun ditewaskan pasukan keselamatan negara itu.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kepada Bernama menerusi temuramah eksklusif di sini, baru-baru ini, namun ideologi kumpulan itu dan penyokongnya tetap wujud di seluruh dunia serta mampu memberi ancaman kepada mana-mana negara, termasuk Malaysia.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.

Kempen keganasan LTTE menerima sokongan moral dan pembiayaan daripada ramai pihak termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

Musa berkata ancaman LTTE tidak boleh dipandang ringan kerana Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyenaraikan mereka sebagai kumpulan pengganas dan selaras itu, ia diharamkan di Malaysia dan 32 negara lain.

Baru-baru ini Timbalan II Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy menerima kritikan kerana dikatakan terlibat dengan perjuangan LTTE sehingga parti beliau, DAP, meminta penjelasan akan pembabitannya dengan kumpulan itu.




Musa berkata sebelum ini, Polis Diraja Malaysia pernah menangkap enam rakyat Malaysia (pada 2004 dan 2005) yang berlatarbelakangkan profesional seperti peguam dan akauntan kerana terlibat dengan LTTE.

“Ketika itu saya dapat maklumat daripada polis Sri Lanka bahawa mereka mengutip dana dibantu oleh rakyat kita dan kita ambil tindakan,” katanya.

"Berkemungkinan masih wujud, ideologi LTTE tidak mati, sama juga macam Komunisme, ideologi tidak boleh hilang. Setiap kumpulan ekstrimis adalah ancaman kepada negara kita.

"Kini, walaupun ketua mereka Prabhakaran sudah mati, saya percaya rangkaian mereka masih wujud,” katanya.

LTTE terus mendapat sokongan pihak yang bersimpati dengannya, terutama daripada pelarian Tamil yang menetap di Barat semasa memuncaknya konflik bersenjata di Sri Lanka.- Bernama


Azalina bimbang pengguguran kes babitkan pemimpin HARAPAN

MALAYSIAKINI

   

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan kebimbangan dengan trend pengguguran kes-kes mahkamah yang membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak kebelakangan ini.

“Lebih membimbangkan apabila kes-kes tersebut melibatkan kes jenayah seperti kes hasutan, pecah amanah, pembocoran maklumat dan lain-lain.

“Perkara ini memerlukan penjelasan yang kukuh kerana dibimbangi akan memberi persepsi negatif terhadap amalan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman perlu kekal bebas daripada mana-mana campurtangan termasuk dari badan eksekutif mahupun legislatif.

“Kerajaan HARAPAN perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil agar tidak mewujudkan persepsi yang salah terhadap badan kehakiman dan perundangan di negara ini.

“Maka semua pihak seharusnya berpegang dengan prinsip ‘rule of law’ supaya prestij badan kehakiman negara terus dihormati,” katanya.

Azalina juga mahu semua pihak menghormati akan kedudukan dan kuasa seseorang Peguam Negara untuk berperanan secara adil dan saksama seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Perkara 145(3) turut menegaskan bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya.

Kenyataannya itu dibuat selepas pembebasan kartun politik Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, yang lebih dikenali sebagai Zunar, dan beberapa yang lain yang dibebaskan daripada dakwaan hasutan mereka semalam.

Selain Zunar, bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa turut dibebaskan dari tuduhan hasutan mereka.

Sebelum ini, pengkritik mendakwa bahawa badan kehakiman sering mengikut rentak kerajaan yang memerintah.


Isnin, 30 Julai 2018

Melayu pendatang: Akhirnya Kula Segaran mohon maaf terbuka

 
Melayu pendatang: Akhirnya Kula Segaran mohon maaf terbuka



Selepas menerima kritikan hebat berhubung kenyatan Melayu adalah pendatang di sebuah majlis di Nilai baru-baru ini, M. Kula Segaran akhirnya membuat permohonan maaf.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Menteri Sumber Manusia itu, beliau menarik balik kenyataan itu kerana enggan kontroversi itu terus berlanjutan mengeruhkan keadaan.

Meskipun begitu, Naib Presiden DAP itu masih mempertahankan kenyataan yang menyebabkan kontroversi telah disalah anggap.

“Saya dengan ini secara tidak langsung meminta maaf atas salah faham dan menarik balik semula rujukan yang sumbang dalam ucapan spontan.

“Saya bukan dan tidak pernah menjadi kontroversi mengenai isu-isu bangsa dan agama di dalam negara kita dan akan sentiasa mematuhi apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, kata-kata seperti ‘sesumpah’ yang boleh menimbulkan perbezaan maksud apabila diucapkan dalam bahasa berlainan.

“Untuk mengelakkan ia berlarutan, saya telah membuat keputusan untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu untuk mengelakkan kontroversi daripada semakin teruk,” ujarnya.

Sebelum ini, Kula Segaran telah menafikan laporan media mengenai kenyataannya yang mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu.

Beliau mendakwa pandangannya telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum.

Penafian Kula Segaran itu tidak menghentikan kritikan pelbagai pihak, malah media dan netizen terus melakukan pembandingan terjemahan kenyataan yang dibuat dalam bahasa Tamil itu.

Dan, terjemahan yang dibuat oleh pelbagai pihak itu jelas menunjukkan kenyataan yang dibuat oleh Kula Segaran mempunyai maksud yang sama.

Tambah Ahli Parlimen Ipoh Barat ini, ucapannya di Nilai baru-baru ini telah disalah erti yang mendakwa beliau menggunakan perkataan ‘pendatang’ merujuk kepada orang Melayu.

“Saya dengan ini meminta maaf di atas wujudnya rasa terluka kepada sesiapa sahaja dengan kenyataan tersebut,” ujarnya.

Kula Segaran mencipta kontroversi baru-baru ini apabila beliau dikatakan mendakwa orang Melayu adalah pendatang di Malaysia dan orang India adalah antara yang terawal berada di Malaysia.

K'jaan teliti kaedah untuk hapuskan hutang peneroka Felda

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan akan meneliti semula kaedah dan insentif yang bersesuaian untuk menghapuskan hutang peneroka Felda bagi memastikan mereka tidak dibebankan dengan masalah kewangan yang berterusan.

Perkara ini dinyatakan dalam jawatan bertulis bagi menjawab soalan anggota parlimen Kota Tinggi,
Datuk Halimah Mohamed Sadique yang bertanya sejauh mana janji kerajaan untuk menghapuskan hutang tidak wajar yang dikenakan ke atas peneroka.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, pada masa ini hutang peneroka Felda terdiri daripada tiga kategori iaitu hutang pembangunan dan tanam semula, hutang baja dan hutang sosio ekonomi.

Menurutnya, pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil sepanjang tempoh lapan tahun yang berjumlah RM129,500 merupakan komponen utama kepada hutang peneroka.

Secara purata, baki hutang setiap peneroka adalah sekitar RM63,200 selepas mendapat hasil dari tahun pertama hingga tahun kelima dan selepas ditolak kos operasi serta pinjaman berkenaan.

"Jumlah hutang pembangunan dan tanam semula ini juga dikenakan faedah pada kadar 6.25 peratus setahun dengan kaedah baki berkurangan.

"Kadar faedah efektif (EIR) bagi tempoh 15 tahun bayaran kembali yang dikenakan adalah 3.8 peratus sahaja. Kadar faedah hanya dikira selepas tanam semula selesai dan hasil pokok telah stabil- biasanya pada tahun kesembilan umur pokok.

"Walaupun pihak Felda pernah melaksanakan penghapusan sebahagian hutang peneroka sebelum ini,
kerajaan akan meneliti semula kaedah dan insentif yang bersesuaian dalam penghapusan hutang-hutang ini bagi memastikan peneroka tidak lagi dibebankan dengan masalah kewangan yang berterusan sebagaimana dijanjikan dalam manifesto kerajaan," jelasnya.

Justeru itu, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan baru Felda untuk mengatasi kelemahan pengurusan operasi ladang peneroka agar lebih efisien dan produktif.

"Kerajaan seterusnya akan berbincang dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi mendapatkan sumber dana yang sesuai seperti dana pembinaan jalan pertanian dan juga dana tanam semula bagi mengurangkan kos operasi ladang dan seterusnya meringankan beban peneroka.

"Kerajaan juga akan membuat kajian berkaitan bekalan baja dan lain-lain input pertanian bagi kebun-kebun peneroka untuk memastikan hasil kebun yang tinggi dan seterusnya mampu mengurangkan hutang peneroka," jelasnya.


Pertikaian Asri-Ramasamy selesai, kata Mujahid

 


Laporan pertikaian antara Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Mufti Perlis Datuk Seri Mohd Asri Zainul Abidin telah diselesaikan susulan pertemuan mereka tengah hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mujahid Yusof Rawa yang mengaturkan pertemuan tersebut berkata kedua-dua tokoh itu telah menyelesaikan perbezaan mereka mengenai pendakwah Zakir Naik dan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Mereka berdua bersetuju bahawa isu yang dikaitkan dengan LTTE ini diserahkan kepada pihak authority.

"Dan yang kedua berkenaan isu Zakir Naik juga, mereka juga bersetuju perkara itu akan diserahkan kepada pihak kerajaan. Apa yang diputuskan oleh kabinet itu adalah perkara yang mereka terima," kata Mujahid kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Ramasamy dan Asri di lobi Kompleks Islam Putrajaya.

Mujahid berkata pertemuan yang berlangsung selama 40 minit itu berjalan dalam suasana mesra dan kedua-dua tokoh itu mendapati mereka berkongsi beberapa persamaan.
 
"Pertemuan tadi berlangsung mesra...tiada ada apa-apa yang boleh dianggap sebagai pertemuan yang terpaksa atau ada apa-apa perkara yang tidak elok.

"Mereka dapat kenal mengenali antara satu sama lain," kata Mujahid.

Pertikaian timbul selepas mufti Perlis itu mencadangkan debat antara Ramasamy dan Zakir mengenai 'siapa pengganas sebenar' merujuk dakwaan wakil rakyat DAP itu dengan LTTE.

LIHAT VIDEO DI SINI

PSM: Lupakan hakim bersih tandas, fokus nasib tukang cuci

MALAYSIAKINI



Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata berlaku salah tumpuan isu dalam sorotan terhadap para hakim dan kakitangan mahkamah membersihkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, termasuklah tandasnya selepas tukang cuci mogok.

Ahli jawatankuasa pusat PSM, R Rani berkata fokus patut diberikan terhadap nasib tukang cuci yang tidak dibayar kontraktor mereka selama beberapa minggu.

Beliau berkata ini bukan kali pertama pekerja kontrak di premis kerajaan tidak mendapat gaji mereka.

Rani menjelaskan perkara ini sebagai bentuk ketidakadilan terhadap golongan berpendapatan rendah seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan tukang kebun.

"Keseluruhan sistem kontrak yang dipakai kerajaan untuk pekerjaan sebegini di premisnya adalah tidak adil, bersifat eksploitasi dan melanggar hak-hak pekerja.

Pakej kerja kontrak

"Pekerjaan seperti tukang cuci, tukang kebun dan mengawal keselamatan di sekolah, hospital dan jabatan kerajaan lainnya bersifat tetap dan diperlukan selagi premis berkaitan beroperasi.

"Ia hal yang penting apabila pekerjaan tetap dipakejkan sebagai kerja kontrak dan ditawarkan kepada lelaki dan wanita pada peringkat paling bawah pekerjaan yang cuba untuk mendapat gaji berpatutan untuk menyara keluarga mereka," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Rani berkata di bawah sistem kontrak, gaji tidak berubah tanpa jaminan pekerjaan.

"Tukang cuci kontrak yang telah berkhidmat selama 20 tahun tetap menjadi pekerja baru, pada permulaan gaji, dan dilucutkan daripada semua manfaat jangka panjang perkhidmatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang lebih tinggi, lebih banyak cuti tahunan dan kemudahan perubatan serta lain-lainnya.

"Pihak kontraktor seterusnya menambah kesengsaraan pekerja kontrak di jabatan kerajaan, sejumlah besar mereka memaksa pekerja mereka dengan mengambil sebahagian daripada upah pekerja mereka, lambat membayar gaji pekerja, memotong gaji pekerja tetapi tidak menyumbang kepada KWSP dan Perkeso serta sesuka hati memecat pekerja," katanya.

Rani berkata kerajaan pembayar pendapatan kepada beratus-ratus ribu pekerjaan kontrak sedemikian, sebuah sistem yang diwujudkan oleh kerajaan sebelumnya yang memberi manfaat kepada kontraktor kroni dengan mengorbankan golongan berpendapatan rendah.

"Keadaan ini perlu berubah, dan kerana amalan salah ini juga merupakan trend dalam sektor swasta, kerajaan Pakatan Harapan perlu memimpin dan menjadi suri teladan dengan mengakhiri sistem kontrak untuk pekerjaan tetap dan mengambil pekerja secara langsung di premisnya," katanya.


SPR tetapkan kempen 21 hari di Balakong

 
   
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama  21 hari bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Balakong pada 8 Sept.

Pada sidang akhbar tengah hari ini, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood mengumumkan bahawa kesemua calon bertanding akan memfailkan pencalonan mereka pada 18 Ogos di dewan Pejabat Daerah Hulu Langat.

Ini bermakna ia merupakan antara tempoh kempen terpanjang yang ditetapkan untuk pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum (PRU) setakat ini.

Tempoh berkempen selama 21 hari itu juga selaras dengan tuntutan yang dibuat badan reformasi pilihan raya, BERSIH.

Kerusi DUN Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya dari PKR, Eddie Ng Thien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai.

Ia merupakan pilihan raya kecil kedua diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei lalu.

Pada PRU lalu, Ng menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti 35,538 undi.


PAS dan UMNO perlu bekerjasama membentuk gabungan


Saya rasa buat masa sekarang, UMNO dan PAS, sebagai dua buah parti terbesar Melayu dan Islam, sepatutnya berfikir secara serius untuk mengadakan kerjasama antara keduanya. Saya mencadangkan agar berlakunya kerjasama dan bukannya gabungan kerana dengan kerjasama, gerak kerja dapat diselaraskan tanpa meleburkan mana-mana parti. Cadangan kerjasama ini mestilah turut memperincikan perkara-perkara ini:

1-Asas kerjasama ini mestilah Islam. Kedua-dua parti mestilah bersetuju dan memeterai perjanjian bahawa kerjasama ini adalah berpaksikan Islam. Mana-mana pemimpin secular yang tidak mahu menerima paksi ini, seperti Nazri Aziz dll boleh berundur diri dan jika masih mahu berpolitik, boleh menyertai parti-parti lain.

2-Kerjasama ini bukan hanya atara UMNO dan PAS. Ia mestilah juga disertai oleh NGOs Islam yang lain. Jangan dilupa. Masih ramai lagi pejuang2 Islam di Malaysia yang tidak terikat dengan mana-mana parti, tetapi memperjuangkan Islam dengan sedaya upaya mereka. Selepas kerjasama ini, mereka mesti tetap kekal di dalam NGO mereka, dan tidak bertukar menjadi ahli politik. Mereka akan menjadi check & balance dan pemantau kepada kerjasama ini.

3-Suatu sekretariat dibentuk demi menyelaraskan kerjasama ini. Sekretariat ini juga akan dinaggotai oleh NGOs Islam. Mereka juga akan dilibatkan di dalam membuat keputusan-keputusan.

4-Sebarang item kerjasama ini mestilah disebutkan dengan jelas (broad framework) dan dipersetujui bersama. Butiran kerjasama ini dinyatakan kepada umum (public) secara terbuka, sehingga sebarang ketergelinciran daripada melaksanakan butiran perjanjian ini akan dapat disemak oleh rakyat secara umumnya.

5-Kerjasama ini mestilah melakulkan deklarasi bahawa kerjasama ini akan menolak sebarang amalan rasuah sekeras-kerasnya dan bersedia untuk disiasat atas sebarang tuduhan rasuah. Pihak SPRM adalah bebas untuk menyiasat mana-mana pimpinan yang dituduh terlibat dengan rasuah. Kerjasama ini mestilah menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan memberikan kerjasama kepada SPRM utk menyiasat mana-mana pimpinan dan kerjasama ini tidak akan melindungi mana-mana pimpinan ini.

Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa bagaimana PAS dapat berkerjasama dengan parti UMNO yang banyak rasuahnya. Jawapannya ialah, sekarang UMNO bukan lagi menjadi pemerintah.

Mereka dengan bebas dapat disiasat. Siasatlah, dan ambillah tindakan kepada sesiapa yang didapati bersalah. Takkan kita hanya mahu menuduh sahaja tanpa membawa sebarang bukti. Jangan lupa Tun Mahathir juga dituduh dengan pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa oleh pihak pembangkang dahulu sehinggga digelarkan “bapa rasuah”. Namun tiada sebarang tuduhan dikenakan ke atas beliau (betulkan saya jika saya tersilap). Standard yang sama juga harus dipakai kepad orang lain. Siasatlah dan dakwalah jika mereka didapati bersalah. Selagi mana tiada bukti, maka qaedah (maxim) asal “tidak bersalah melainkan dibuktikan” mestilah terpakai kepada semua orang.

Kerjasama ini pada hakikatnya akan membuka suatu lembaran baru di dalam lanskap perjuangan Islam dan melayu di Malaysia. Tenaga dapat diselaraskan dan lebih terurus. Selama ini banyak bullet yang ditujukan antara PAS dan UMNO. Dengan kerjasama ini, bullet-bullet tersebut boleh dilaraskan kepada mereka yang selalu mengganggugugat paksi kenegaraan kita, terutamanya yang berkaitan dengan Islam, melayu dan raja.

Saya rasa tidak perlulah saya menyatakan bahawa menjadi nasionalis bukanlah suatu perkara yang bertentangan dengan syarak. Nasionalis yang berpandukan kepada Islam dan mahu melihat watan kita ini ditadbir secara Islam adalah sesuatu yang mulai dan amat dituntut oleh syarak. Majmu’ Rasail Hasan al-Banna telah memberikan penjelasan yang amat jelas dalam hal ini.

Saya tahu akan berlaku pelbagai usaha untuk memastikan bahawa kerjasama sebgini tidak berlaku. Sudah tentulah kerjasama antara umat Islam di Malaysia menjadi suatu nightmare kepada mereka yang mengambil kesempatan di atas perpecahan umat Islam ini. Oleh kerana itu, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan kerjasama ini, bermula dengan berfikiran negative dan sinis, sehinggalah mereka akan melakukan pelbagai tindakan demi menggagalkan usaha kerjasama ini. Kerjasama ini perlu cekal di dalam menghadapi segala macam ancaman dan tribulasi sebegini.

Kerjasama ini, kemudiaannya boleh terus berkerjasama dengan mana-mana parti dan NGO yang bukan Islam, selagi mana mereka juga brsetuju dengan broad framework yang telah dimeterai.
Sebagai umat teras dan majoriti, kestabilan umat Islam melayu di Malaysia adalah suatu pertanda baik kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia akan membawakan kestabilan kepada negara yang kita cintai ini. Mereka yang bukan Islam tidak seharusnya takut kepada kesatuan umat Islam di Malaysia.

Saya amat berharap pimpinan umat Islam melayu di Malaysia akan dapat berusaha untuk merealisasikan kerjasama sebegini. Ini hanya cetusan idea saya. Sesiapa yang mempunyai formula yang lebih baik seharusnya memberikan idea masing-masing untuk dipertimbangkan oleh pimpinan-pimpinan umat Islam di Malaysia. Ini adalah antara saham utama kita untuk kesatuan umat dewasa ini.

Tuan-tuan boleh mencambahkan lagi idea di atas. Wallahu A'lam.