HALAMAN SANTAI
Isnin, 31 Ogos 2009
Peta Lokasi Berhubung Kuil Seksyen 19
Memandangkan persoalan kuil Seksyen 19 yang ingin dipindahkan telah menjadi isu Nasional, saya sertakan di sini peta-peta yang menunjukkan kedudukan lokasi-lokasi yang relevan berhubung persoalan ini. Oleh yang demikian, tuan-tuan boleh menilai sendiri samada tapak cadangan di Seksyen 23 adalah wajar atau sebaliknya.
[PETA 1 - Seksyen 19,20,22 dan 23]
Peta pertama menunjukkan kedudukan Seksyen 19, 20, 22 dan 23 serta kedudukan kuil di Seksyen 19, tapak cadangankan asal oleh BN di Seksyen 22 dan tapak yang dicadangkan di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa Seksyen 22 merupakan kawasan Industri berat (berwarna gelap) tanpa adanya rumah berhampiran sepertimana peta yang kedua. Dakwaan Seksyen 22 adalah kawasan majoriti masyarakat India adalah dakwaan palsu.
[PETA 2 - Seksyen 22]
Peta ketiga menunjukkan ‘close-up’ Seksyen 19 dan bagaimana Kuil berkenaan dikelilingi rumah. Jarak di antara rumah terdekat dan Kuil adalah lebih kurang 20 kaki iaitu selebar jalan.
[PETA 3 - Seksyen 19]
View Larger Map
Peta keempat adalah ‘close-up’ lokasi di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa kedudukan yang dicadangkan adalah dipinggir kawasan Industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke Kuil adalah 200 meter atau 600 kaki iaitu 30 kali lebih jauh dari di Seksyen 19. Begitu juga dengan jarak dari tapak cadangan kuil ke surau. Di antara rumah dan kuil terdapat dewan orang ramai dan taman permainan kanak-kanak. Di antara Surau dan kuil adalah rumah pencawang TNB dan taman permainan kanak-kanak yang sama.
[PETA 4 - Seksyen 23]
View Larger Map
Mungkin bagi orang-orang tertentu tiada bezanya di antara Seksyen 19 dan 23. Kedua-duanya kawasan majoriti ummat Islam. Namun harap maklum, Kuil Seksyen 19 dipindahkan BUKAN kerana Seksyen 19 merupakan kawasan majoriti ummat Islam. Ia dipindahkan kerana Kuil tersebut berada di depan rumah orang (20 kaki). Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat parkir kereta dan ini menyebabkan kesesakan berlaku apabila pihak Kuil mengadakan upacara mereka.
Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini disebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?
WaLlahu ‘Alam
Anwar Seru Rakyat Tolak Provokasi
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sekumpulan orang yang mengadakan tunjuk perasaan dengan berarak membawa dan memijak kepala lembu Jumaat lalu.
Datuk Seri Anwar berkata tindakan melampau kumpulan terbabit dengan sengaja menghina simbol suci penganut Hindu ini di khuatiri boleh menjejaskan hubungan antara kaum.
Beliau menegaskan setiap rakyat Malaysia perlu menghormati sensitiviti anutan agama setiap individu di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan demi menjamin kesejahteraan semua pihak.
"Saya ingin tegaskan prinsip kita menghormati agama Persekutuan dan agama rasmi di negeri Selangor. Kita tetap memartabatkan, menghormati dan mengangkat martabat Islam, tetapi perlu hormati juga penganut agama lain," kata Anwar.
Dalam kejadian itu, sekumpulan 50 orang berhimpun di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam sebagai membantah pemindahan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.
Mereka mengheret kepala seekor lembu ke pintu masuk bangunan SUK Selangor selepas solat Jumaat.
Pimpinan Pakatan Rakyat berkata Umno mendalangi tunjuk perasaan tersebut, yang bertujuan menghasut orang Melayu untuk membantah pemindahan kuil itu dari Seksyen 19 ke seksyen 23.
Tapak baru itu adalah kira-kira 200 meter jauh dari kawasan perumahan. Tapak lama kuil itu di seksyen 19 adalah hanya 20 meter dari kawasan perumahan.
Sambil melaung-laungkan kata-kata berbentuk ugutan dan hasutan, penunjuk perasaan terbabit memijak dan meludah kepala lembu berkenaan. Unit Simpanan Persekutuan yang dikerah ke sini tidak mengambil sebarang tindakan.
Menyuarakan kehampaan beliau, Anwar menyifatkan tunjuk perasaan ini tidak bertamadun dan condong kepada provokasi.
Ketua Pembangkang itu juga melahirkan rasa kesalnya apabila UMNO Barisan Nasional tidak henti- hanti melancarkan siri merampas Selangor, menggunakan cara kotor.
"Matlamat merampas Selangor dibuat dengan pelbagai cara. Sebelum ini mereka menggunakan institusi kerajaan, polis dan suruhanjaya pencegahan rasuah malaysia. Kononnya untuk bebaskan negeri dari rasuah. Rasuah besar boleh ditutup walaupun boleh dihidu, tetapi hal-hal membabitkan wakil rakyat Pakatan Rakyat diperbesarkan," kata Anwar.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat negeri Selangor bersikap rasional dan menilai dengan cara yang matang.
Anwar merayu rakyat Selangor untuk menolak politik yang mengapi-apikan sentimen keagamaan dan perkauman.
Guan Eng sedia bersemuka dengan Tsu koon
Ketua Menteri, Lim Guan Eng menerima cabaran Gerakan untuk berdebat berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinannya yang dikatakan sering menyalahkan kerajaan negeri terdahulu, apabila timbul sesuatu masalah.
Bagaimanapun, Lim mahu Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sendiri bersemuka dan berdebat dengannya bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan negeri ini.
Katanya, Koh yang merupakan bekas ketua menteri tidak perlu menghantar pemimpin atau anggota partinya bagi merealisasikan cabaran debat berkenaan, lapor Bernama.
"Kalau dia (Koh) berani berdepanlah dengan saya, jangan hanya menghantar proksi untuk berdebat.
"Saya mengalu-alukan sekiranya beliau mahu berdebat dan memberi jawapan ke atas segala persoalan yang dibangkitkan sejak pakatan pembangkang mengambil alih Pulau Pinang Mac tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas hadir pada perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri hari ini.
Turut hadir menyaksikan perarakan berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan Exco kerajaan negeri.
Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dilaporkan berkata Gerakan bersedia berdebat dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kepimpinan negeri itu yang sering menyalahkan kerajaan terdahulu apabila timbul sesuatu masalah.
Koh berkata pihaknya akan menghantar pemimpin dan anggota parti terutama di peringkat Pemuda Gerakan yang sentiasa bersedia untuk berdebat dan memberikan
fakta jelas.
Lim, yang juga setiausaha agung DAP, turut menetapkan syarat supaya debat yang dicadangkan Koh itu disiarkan secara langsung di televisyen bagi mengelak ia diputar belit media.
"Saya bersedia hadir sekiranya debat berkenaan disiarkan secara langsung. Kalau tiada, tidak guna kerana akan ada media memutar belit kenyataan serta fakta diberi," katanya.
Perjuangan Kemerdekaan belum selesai -Presiden PAS
KUALA TERENGGANU : PAS akan meneruskan perjuangan memerdekakan rakyat di negara ini yang dianggap "masih belum selesai" khususnya dalam berdakwah memperbetul akidah mereka.
Manusia khususnya penganut agama Islam di negara ini belum merdeka jika masih tunduk dan mengabdikan diri kepada makhluk bukannya kepada Allah SWT.
Kefahaman ini penting supaya maksud sebenar merdeka tidak di salah erti sebagai pembebasan dari kuasa penjajahan barat semata mata.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam perutusannya sempenan Kemerdekaan berkata, erti merdeka pada Islam adalah kejayaan membebaskan aqidah (pegangan) dari mengabdikan diri kepada makhluk kepada pengabdian diri kepada Allah SWT.
Menurutnya, perjuangan itulah yang dipikul oleh Nabi Muhammad SAW sepanjang hayat baginda. Dan sesiapa yang berjaya membebaskan diri mereka dari perkara tersebut, dialah yang sebenarnya merdeka.
"Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT."
"Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh Jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW sendiri, sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar." ujarnya ketika menyampaikan perutusan khas sempenan hari kemerdekaan negara ke 52 malam tadi.
Dalam keadaan negara sekarang ujarnya, warisan jahiliah dilihat terus menyubur dalam diri masyarakat dalam negara ini. Tidak kira dalam aspek pentadbiran, kehidupan sosial harian, ekonomi mahupun politik, budaya jahiliah katanya seolah olah tidak ditelan zaman cuma bezanya ia dipraktik secara moden.
Sehubungan itu, perjuangan kemerdekann katanya belum lagi selesai. Parti Islam Se-Malayisa (PAS) tambahnya tidak akan berhenti menyambung perjuangan memerdekakan masyarakat seperti yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.
"Walaupun negara kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun dahulu, tetapi warisan penjajah masih lagi wujud, bertapak dan berakar umbi di dalam masyarakat kita. Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai."
"PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya ataupun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT." tegasnya.
Teks ucapan penuh
PERUTUSAN KHAS PRESIDEN PAS SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.
Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.
Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.
Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.
Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.
Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta'ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.
Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.
Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.
Dan 'obor' kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi'e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub'ie yang terkenal.
Kata Rubi'e, "Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat".
Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.
Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.
Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.
PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.
Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.
Sekian, Wassalam_
Hadiah hari merdeka, harga minyak naik lagi?
KUALA LUMPUR : Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.
Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.
"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.
PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.
Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.
Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.
"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin. _
Kepala Lembu: Penduduk tempatan bantah aksi ekstrem
oleh Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM : Sempena dengan hari Kemerdekaan negara 31 Ogos hari ini, kebanyakan penduduk Seksyen 23 menyifatkan demontrasi kepala lembu berdarah dan menconteng dinding dengan kata-kata kesat sebagai sesuatu yang ekstrem, keterlaluan serta tidak menghormati kepelbagaian penganut agama penduduk tempatan.
Dakwaan mereka, insiden terbabit sebenarnya bukan mewakili suara penduduk tempatan yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dan berpegangan moral, sebaliknya ia adalah usaha pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.
Bagaimanapun, kebanyakan responden tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, memindahkan kuil Hindu ke kawasan kejiranan mereka.
Namun, mereka yang ditemui menegaskan bahawa penduduk setempat hanya bersetuju menggunakan pendekatan bermesyuarat, rundingan, diplomasi dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri dalam isu pemindahan kuil tersebut.
Jumaat lepas, sekumpulan NGO Melayu yang mendakwa mewakili penduduk Seksyen 23 Shah Alam berarak dari Masjid Negeri ke Pejabat SUK Selangor yang menempatkan Pejabat MB, dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah.
Sambil mengarak, mereka menyepak-nyepak kepala lembu itu dan memaki serta megutuk tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk memindah kuil Hindu di Seksyen 19 ke satu tapak industri di Seksyen 23.
Tiga pemimpin kerajaan negeri yang menjadi sasaran mereka iaitu Adun Batu 3 dan Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan MB, Tan Sri Khalid Ibrahhim.
Kira-kira 10 anggota polis mengawal tindakan mereka namun tidak ada usaha memberhentikannya.
Pada 18 Ogos lalu, akhbar Utusan melaporkan UMNO Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti umat Islam di Seksyen 23 itu.
Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana bantahan penduduk terhadap keputusan itu adalah wajar serta mempunyai asas-asas kukuh selain bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Berikut adalah tinjauan Harakahdaily yang menemui penduduk Seksyen 23 sendiri sehari sebelum Kemerdekaan negara bagi mengetahui apa pandangan mereka mengenainya.
PENDAPAT 1
Shahril bin Lan, jurujual berkata, "Saya waktu berkumpul mula-mula itu, saya ada datang. Tapi, saya tidak setuju. Saya tidak ikut (sertai mereka).
"Rasa-rasanya cara itu memalukan orang-orang di sini. Saya rasa mentaliti mereka (yang terlibat), ini ada agenda-agenda tertentu, cuba memporak-perandakan ketenteraman.
"Kita lebih suka cara diplomasi. Kalau dah berarak (dengan) kepala lembu, itu nak buat apa benda (melainkan) berniat politik parti-parti tertentu lah. Yang menyertai itu (orang tempatan) sebenarnya adalah lima (atau) enam orang je."
Bagaimanapun, jelasnya lagi, penduduk tempatan rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, membina kuil di sini.
Antara alasan yang diberikan, majoriti penduduk tempatan di sini, beragama Islam.
"Orang di sini memang tidak suka kuil itu didirikan di sini. Kalau boleh, biarlah (didirikan) jauh sikit dari sini. Sebab di sini majoritinya orang Islam kan."
PENDAPAT 2
Nazri Ismail, Akauntan berpendapat insiden terbabit banyak mengganggu emosi kenalan-kenalannya, yang kebanyakkan berbangsa India dan beragama Hindu.
Beliau sendiri yang awalnya tidak ambil peduli cadangan pembinaan kuil di sini pun, mula prihatin isu tersebut.
"Sebenarnya, macam saya kan di pejabat ramai berbangsa India. Jiran saya yang baru pun berbangsa India. Jadi, untuk menghalang dibuat kuil (untuk) mereka itu tidak wajarlah. Tetapi, disebabkan isu-isu yang dibangkitkan sekarang dan untuk jangka masa panjang mungkin ada konflik lain," katanya.
Berhubung cadangan kerajaan negeri untuk membina kuil di sini, beliau juga mencadangkan agarnya ianya dipindahkan ke tempat lain disebabkan insiden melampau terbabit.
"Pada mulanya, saya sendiri tidak kisah. Tetapi, disebabkan isu (dan) tindakan mereka (pelampau) terbabit, saya rasa lebih baik dipindahkan ke kawasan lain."
PENDAPAT 3
Puan Maslina Binti Asmi atau lebih dikenali khalayak tempat sebagai Ustazah Salmi, Guru Kafa mendakwa insiden terbabit dilakukan demi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.
"Bagi saya semua (perarakan kepala lembu) yang berlaku ini dirancang pihak tertentu yang jelas, seolah-olah nak menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (di Selangor)."
Beliau yang juga ahli jawatankuasa Surau al-Jannah, Seksyen 23 mendakwa di sebalik insiden terbabit adalah pemimpin Umno Shah Alam sendiri.
"Sewaktu ketuanya memulakan bantahan (di Surau), bukan sahaja mengarak (dan) memijak-mijak kepala lembu. Mereka mulanya laungkan kalimah takbir (Allahu Akbar), kemudiannya ditukar pada Take Beer (ambil arak). Itu pun menampakkan mereka cuba nak menjatuhkan (negeri) Pakatan Rakyat, memang Umno lah."
Jelasnya lagi, walaupun isu sebenarnya ialah cadangan membina kuil di sini, tetapi yang kelihatan menonjol adalah aksi menconteng pagar berzink yang menutupi kawasan tapak cadangan itu, dengan cacian terhadap pemimpin kerajaan negeri sendiri.
"Sebabnya, daripada isu kuil. Yang mencontengnya lebih pada pemimpin," katanya.
Pada peringkat awalnya, beliau juga secara peribadi tidak bersetuju kuil terbabit dibina di sini.
"Bila jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil mengutip tanda tangan (sokongan), saya juga menandatanganinya. Tetapi, bila difikirkan balik (semula), jika di situlah yang ditetapkan tempatnya, saya berasa tidak ada masalah."
PENDAPAT 4
Bagi Fauzi Ramli, Jurutera turut mengkritik telahan beberapa media, kononnya demontrasi ekstrem mengarak kepala lembu berdarah dan aksi conteng terbabit merupakan suara sebenar mewakili penduduk tempatan.
"Tengok (menyertai) masa awalnya, saya memang tidak setuju. Mereka melampau. Sebab itu, saya balik (tidak sertai demontrasi tersebut).
"Mula-mula mereka takbir (Allahu Akbar) itu, dengan memakai jubah dan sebagainya. Tapi, saya nampak mereka ini (daripada) muka-muka nampak macam muka (ahli-ahli) Umno, sebab dia pakai songkok, pelik.
"Bila mereka mula memekik 'take beer' (ambil arak), baru saya sedar mereka ini sebenarnya cuba merosakkan imej Pakatan Rakyat, khususnya PAS, seolah-olah menakutkan orang-orang tempatan dengan imej sebegitu melampau.
"Ada di kalangan mereka cakap, mereka adalah ahli PAS seumur hidup, tapi yang menyebut 'take beer', bukannya takbir ini setahu saya pemimpin Umno negeri sahaja," kata Fauzi.
Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa hari sebelum tercetusnya demontrasi ekstrem mengarak kepala lembu berdarah itu, sudah kelihatan beberapa kain rentang mengutuk tokoh agama (Islam) tempatan.
"Ada satu kain rentang di simpang jalan masuk, tertulis nama Rodziah (Adun Batu Tiga/PKR), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam/PAS) dan Ustaz Azrul (Pengerusi Surau Seksyen 23) sebagai pengkhianat bangsa (dan) terdapat (lukisan) babi," beritahu beliau.
Tambahnya lagi, surat layang yang berbaur perkauman (Melayu) ekstrem turut disebarkan secara liar dari rumah ke rumah, khususnya kediaman-kediaman penduduk Melayu dan India.
Beliau turut menjelaskan bahawa isu pembinaan kuil di sini sudah lama diperkatakan secara khabar angin, bukannya baru sehari dua belakangan ini.
"Kalau tidak salah, ianya diumumkan di surau sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Cikgu Zainuddin."
Katanya, "Cikgu Zainuddin sesudah solat Isyak bangkit mengumumkan bahawa akan ada sebuah kuil didirikan di Seksyen 23 ini. Selepas perbincangan di Surau itu, ada dua (atau) tiga orang menawarkan diri untuk menyiasat. Sampai pertemuan kali kedua pun, perkara itu (siasatan) tidak dapat dipastikan."
"Saya hanya sertai beberapa peringkat sahaja, tidaklah sampai mengarak kepala lembu dan conteng sana sini. Kita (ahli jawatankuasa bertindak) hanya bersetuju (melalui mesyuarat) buat referandum penduduk sahaja, dapat sokongan 320 keluar atau lebih 700 tandatangan penduduk (membantah cadangan bina kuil)."
Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan jawatankuasa bertindak secara asasnya tidak bersetuju dengan cadangan membina kuil di kawasan mereka, namun beliau menafikan bahawa penduduk tempatan sendiri merancang beberapa aksi melampau tersebut.
"Kami tak anjur perhimpunan sebegitu (ekstrem). Tapi, dari klip video Malaysiakini, yang memijak (kepala lembu itu) Ibrahim Sabri, Mahyuddin Manaf (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak) dan Haji Azmi."
PENDAPAT 5
Rohaya Samad, suri rumah mendakwa bahawa hanya lima orang sahaja dikenali sebagai penduduk tempatan, berdasarkan klip Youtube akhbar elektronik Malaysiakini.
"Akak (Rohaya) sudah tengok video Malaysiakini. Seingat akak, lima orang sahaja penduduk tempatan. Selebihnya tidak (dan) akak tidak kenal."
Jelasnya lagi, jawatankuasa bertindak beberapa kali menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepadanya sebelum ini untuk usaha tersebut, tetapi beliau tidak dapat memberikan komitmen disebabkan ada komitmen peribadi.
Bagaimanapun, beliau yang juga ahli jawatankuasa penduduk tempatan menjelaskan bahawa aksi bantahan dengan menaikkan kain rentang 'Khalid, Rodziah dan Ustaz Azrul pengkhianat Melayu' di pintu masuk Seksyen 23 itu mula disedarinya pada 18 Ogos lalu.
Tambahnya lagi, semalam beliau mendapat sms meminta dirinya membuat laporan polis berhubung usaha penduduk tempatan Hindu mula mencabar penganut Islam, tetapi beliau tidak percaya sms tersebut.
"Dalam sms itu, minta akak pergi buat laporan Polis. (Penganut) Hindu sudah membuat 98 laporan polis (seolah-olah) mencabar umat Islam. Akak tidak percaya. Jiran akak pun India (penganut Hindu), tapi tidaklah seperti yang digambarkan. Akak rasa itu kerja Umno untuk memburukkan orang-orang PAS," katanya.
"Akhbar Umno kata (kepala) lembu berdarah itu bermaksud pemimpin Melayu Pakatan (Rakyat) umpama 'lembu dicucuk hidung', tetapi penganut Hindu anggap suatu penghinaan kepada agama mereka kerana lembu binatang suci (menurut) agama mereka," kata puan Rohaya memberikan pendapatnya.
Beliau turut mempersoal penafian yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Haji Mahyuddin Manaf bahawa dirinya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kepala lembu misteri itu.
"Macam mana Tuan Haji Mahyuddin boleh kata tidak tahu, sedangkan dia sendiri memijak-mijak dan tendang kepala lembu itu sebelum ini. Kalau dia tidak tahu, sudah tentu dia halang (aksi ekstrem tersebut)."
PENDAPAT 6
Mohd Azrin Azahari, penuntut sebuah universiti di Timur Tengah (sedang bercuti) mendakwa hampir seratus peratus penduduk Islam membantah cadangan pembinaan kuil, tetapi mereka diingatkan agar tidak mencemuh penganut agama-agama lain.
"Kiraan saya, hampir seratus peratus bantah kuil dibina, tapi penduduk sudah diingatkan untuk berdiplomasi (dan) tidak hina penganut agama Hindu di surau dulu," katanya.
Beliau yang mengikuti setiap siri perbincangan peringkat jawatankuasa surau menegaskan bahawa demontrasi melampau mengarak kepala lembu berdarah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.
PENDAPAT 7
Seorang penganut agama Hindu, penduduk tempatan yang enggan identitinya diketahui melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku.
"Saya tidak sangka mereka boleh buat begini (ekstrem). Setiap kali keluar (dari rumah ke tempat) kerja, saya terpaksa lihat semua conteng-conteng hina YB Khalid, Rodziah di dinding.
"Bagaimana mereka boleh hina orang baik ini. Kami (penganut Hindu) tidak pernah minta kuil itu dibina di sini. YB Khalid yang cadangkan ianya dipindah di sini kerana hormat penganut agama lain di sini dan Seksyen 19. Ini Islam sebenar, ini (pemimpin) Melayu sebenar."
Celah isteri ahli perniagaan India itu yang enggan identitinya diketahui kerana takut diganggu kerana ramai kenalannya berbangsa Melayu, menyifatkan perarakan mengangkat kepala lembu berdarah itu suatu yang mengguris emosi penganut agama Hindu.
Bagaimanapun, beliau yakin aksi ekstrem itu bukan mewakili penduduk setempat, tetapi ahli politik tententu dalam Umno.
PENDAPAT 8
Seorang lagi penganut agama Hindu/kakitangan kerajaan yang enggan identitinya diketahui menjelaskan bahawa bukan mudah bagi penganut agama Hindu untuk mengubah kuil berusia 150 tahun dari Seksyen 19 itu ke sini.
"Sepatutnya orang Islam boleh menghargai pengorbanan itu," katanya. Kuil di Seksyen 19 terlalu dekat dengan masjid di sana.
"Lagi pun tapak kuil baru itu sangat jauh dari Surau Seksyen 23 dan kediaman penduduk. Ada pihak kata kuil itu dekat dengan taman permainan di sini, cuba lihat hal sebenar baru tahu ia (tapak kuil) itu cukup jauh," katanya.
"Di Seksyen 16, ada surau lebih dekat dengan kuil. Tiada apa-apa masalah. Orang Islam dan Hindu boleh hormat sama-sama mereka. Di sini, orang politik Umno sebenarnya buat kacau," tambah beliau.
Mewakili lebih 100 keluarga minoriti India tempatan, beliau mendakwa penganut Hindu cukup menghormati Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana menunjukkan amalan Islam yang sebenar dalam politiknya.
Beliau berharap pemimpin-pemimpin Melayu yang didakwanya ahli Umno agar rasional, tidak mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.
TINJAUAN SETEMPAT
Tinjauan yang dibuat di seeluruh kawasan Seksyen 23 menyaksikan sudah ada sejumlah besar Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan di Dewan Serbaguna, di sini sejak dua hari lalu.
Kelihatan juga surat layang berunsur perkauman (Melayu) ekstream bertebaran di atas jalan serta di Surau al-Jannah, Seksyen 23.
Sekitar tapak cadangan membina kuil, kelihatan beberapa individu berpakaian biasa berjaga; dipercayai Special Branch.
Seorang pegawai PGA yang enggan nombor badannya diketahui, menjelaskan bahawa sejak kelmarin beberapa Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang memadamkan contengan-contengan yang berbaur perkauman sempit itu dengan cat ringkas.
Semalam, dua pemuda 'misteri' berbangsa Melayu turut ditangkap di sini kerana cuba menconteng sesuatu di ruang berbekas cat tersebut, kemudiannya dilepaskan dengan amaran.
Seorang pemuda yang lain waktu ditemui, mendakwa bahawa Cikgu Zainuddin merupakan antara dalang yang merancang insiden ekstrem terbabit.
Jelasnya, Cikgu Zainuddin bukan sahaja prejudis dengan bangsa-bangsa lain, malah sedang bertungkus-lumus merampas tampuk kepimpinan Surau al-Jannah Seksyen 23 itu; yang kemudiannya dikatakan akan diubah suai menggunakan dana Zakat Selangor.
Jelasnya lagi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjemput seluruh penduduk tempatan dan wartawan sendiri menyertai dailog harmoni bersamanya pada Sabtu, 5 September di Dewan Banquet MBSA.
Zainuddin cuba dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut pagi tadi, namun gagal.
Insiden ekstrem terbabit walaupun mencabar kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, namun media arus perdana tidak memberikan liputan menyeluruh.
Dikatakan insiden itu mampu menghakis kepercayaan rakyat Malaysia terhadap usaha kerajaan persekutuan dalam memperkenalkan '1Malaysia' serta meraikan Hari Kebangsaan Malaysia ke-54, hari ini. _
Selepas 52 tahun merdeka, Melayu sepatutnya kuat
SABAN tahun sambutan kemerdekaan dirasakan semakin kurang dirasai, apatah lagi tahun ini bulan kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadan, jadi amatlah bertepatan jika ia disambut secara sederhana dengan menzahirkan keinsafan dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.
Kita mungkin sering tertanya-tanya apakah erti sambutan kemerdekaan yang sebenarnya? Adakah sambutan memperingati kemerdekaan itu sudah cukup dengan kilauan percikan bunga api? Adakah memadai dengan kita mengalunkan irama-irama yang menyebut ‘kemerdekaan’? Adakah mencukupi dengan sekadar mengibarkan bendera dan meletakkan bendera di kereta masing-masing walaupun secara paksa rela?
Hakikatnya erti kemerdekaan menuntut setiap penduduknya memahami, menghayati dan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi di bumi berdaulat dahulunya yang dipanggil Tanah Melayu daripada tercemar dengan kerakusan kita sendiri agar generasi pewaris bangsa dapat memahami dan menilai erti sebuah kemerdekaan.
Walaupun saya tidak dapat merasai keperitan bersama mereka yang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan, namun saya cukup berbangga dan bersyukur kerana dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos, sekurang-kurangnya aura kemerdekaan itu dapat dirasai.
Namun apa yang menjadi persoalan berdasarkan isu-isu yang berlaku kebelakangan ini, tidak ada sebab untuk kita menolak daripada memikirkan di mana Melayu disaat kita meraikan kemerdekaan? Sepatutnya dengan kematangan 52 tahun kemerdekaan, orang Melayu menjadi bertambah kuat dan bersatu bukannya berpecah hanya kerana sedikit perbezaan ideologi.
Cuba kita fikirkan kenapa setiap hari di dada akhbar kita diseru untuk bersatu? maknanya cukup mudah iaitu adanya bibit-bibit perpecahan dan persengketaan, sama ada kita sedar atau buat-buat tidak sedar, tepuk dada tanyalah diri masing-masing.
Jika kita merasa risau dan bimbang tentang untung nasib bangsa Melayu, kita tidak akan pernah merasa jemu dan menyerah kalah untuk membangkitkan kesedaran serta menyeru bangsa yang hebat ini untuk bersatu.
Pelbagai resolusi, debat, seminar dan bermacam-macam lagi telah dicanang namun hakikatnya masih sama, adakah kita sudah berpuas hati dengan sekadar seorang dua saja bangsa kita yang terselit di celah-celah senarai orang terkaya?
Adakah cukup dengan seorang dua bangsa kita yang menerima pelbagai anugerah kecemerlangan? Hakikatnya kita perlu melahirkan lebih ramai jaguh di kalangan bangsa Melayu, tetapi di mana Melayu? Apa yang dibimbangkan, bagaimana untung nasib bangsa kita dalam jangka masa 10 atau 20 tahun akan datang? Adakah hanya Melayu akan tinggal nama saja? Kita perlu bangkit dari dibuai mimpi semalam.
Jika orang Melayu tidak bangkit dan berusaha, kita bimbang putaran waktu akan mempercepatkan kejadian yang amat kita takuti itu. Apa yang lebih dibimbangkan jika suatu hari nanti kita menjadi pedagang di bumi sendiri, lebih menakutkan jika kita menjadi ‘tetamu’ di rumah sendiri dan yang lebih merisaukan jika di saat kita membangkitkan bangsa Melayu ada di kalangan kita yang berkenduri besar atas apa yang berlaku.
Jika kita tidak memperjuangkan nasib bangsa dan kedudukan kita, siapa lagi yang akan ambil peduli?
Persoalannya adakan kita semua sedar di mana kedudukan kita sekarang ini? atau sekadar membiarkan apa yang berlaku kepada pemimpin yang ada? Ternyata tanggungjawab ini bukan terletak di atas bahu seorang individu sahaja tetapi setiap warga bangsa Melayu perlu memikul tanggungjawab agar segera bangkit dari lamunan memperjuangkan nasib bangsa.
Kita perlu tanya pada diri sendiri kenapa semua permasalahan ini berlaku? Kenapa kita dianggap lemah? Kita mudah melatah dan melenting apabila dicuit tetapi kembali berlembut apabila sduah sejuk.
Sempena bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan serta bulan untuk menyambut kemerdekaan yang ke-52, atas dasar Melayu/Islam marilah kita bersatu. Kita perlu buang ego masing-masing, buang jauh-jauh ‘peperangan emosi’, hindarkan peperangan psikologi dan tolak sama sekali peperangan politik.
Sebaliknya ambillah kesempatan walau sedetik untuk duduk semeja bertemu empat mata di antara kedua-dua pihak untuk membincangkan perpaduan Melayu/Islam. Jangan sampai gajah dengan gajah berperang tetapi kancil yang tersempit di tengah-tengah.
Rakyat ternyata sudah ‘muak’ dengan apa yang berlaku. Pilihan raya demi pilihan raya mengajar kita betapa pentingnya erti sebuah perpaduan Melayu/Islam. Apa salahnya demi kerana sebuah penyatuan kita lupakan seketika sengketa remeh dan perbezaan ideologi sebaliknya bulatkan tekad untuk duduk semeja bertemu secara empat mata-mata dari hati ke hati. Percayalah bahawasanya seekor ular yang bisa menyusur akar tidak akan hilang bisanya.UM
ISU KUIL HINDU : NGO MELAYU BIKIN MALU AGAMA SENDIRI
Tindakan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu dan memijaknya di hadapan bagunan SUK Selangor dua hari lalu telah mencemarkan imej penganut dan agama Islam itu sendiri.
Akibat tindakan segelintir pihak itu, seluruh penganut Islam terpalit sama dan boleh dipandang serong.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS negeri Kelantan Ustaz Muhammad Mustafa berkata, selain menyinggung perasaan penganut agama hindu, tindakan di luar ajaran Islam itu juga mampu mencetuskan ketegangan kaum.
"Apakah dengan membuat demonstrasi membawa kepala lembu tersebut satu cara penyelesaian? Ini akan menyinggung perasaan penganut agama Hindu yang mereka menganggapkan lembu sebagai seekor binatang suci. Islam tidak menyuruh kita menyinggung perasaan penganut agama lain," ujar Adun Demit tersebut.
Beliau yang hairan dengan sikap pihak tersebut yang mendakwa mereka juga Islam, namun bertindak jauh melampaui batas dan tunjuk ajar agama dan sering kali menjadi dalang kepada perpecahan Islam dan perpaduan kaum.
Beliau yakin tindakan itu dilakukan kerana kurangnya kepada kefahaman agama islam itu sendiri.
"Mereka ini cuba menunjuk hero apabila mencanangkan merekalah pembela agama tetapi langkah membawa kepala lembu yang diletakkan di pejabat SUK Selangor adalah perbuatan yang tidak bertanggung jawab dan memalukan umat Islam di negara ini," ujarnya lagi.
Beliau yakin tindakan tersebut bermotif politik melihat kepada beberapa serangan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor khususnya dalam perkara membabitkan sensitiviti agama Islam.
Sebelum ini Selangor diserang dengan isu "kandang babi moden" yang ingin diperkenal kerajaan Selangor bagi mengatasi beberapa masalah berkaitan akibat sistem penternakan babi tradisional yang diamal sekarang.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan Pakatan Rakyat itu juga diserang dengan isu 'penjualan arak' yang didakwa tidak sensitif terhadap ummat Islam negeri.
Jika diperhatikan, dalam kedua dua isu tersebut, kerajaan Pakatan Selangor sebenarnya tampil dengan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dibina zaman pemerintahan kerajaan BN dahulu lagi. Namun sebarang usaha penyelesaian itu pula telah dipolitikkan.
Selangor juga pada waktu ini sedang berdepan pelbagai lagi serangan, khususnya terhadap Menteri Besar dan exco DAP negeri itu.
Mengulas perkara itu Muhammad berkata, Pakatan negeri itu perlu bersedia kerana BN tidak akan berdiam diri untuk menjatuhkan Selangor seperti yang dilakukan kepada kerajaan Kelantan sejak dulu.
"Kalau dulu mereka sering menyerang negeri Kelantan dalam pelbagai isu yang juga melibatkan pelbagai kaum, namun Alhamdullillah sehingga kini kerajaan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat bertahan dan kaum-kaum lain dapat hidup aman dan mereka juga tidak dinafikan tempat-tempat ibadat mereka," ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada Armalah (ubu tunggal) dan Anak Yatim di DUN Demit.
Seramai 400 golongan Armalah dan Anak Yatim dalam DUN itu menerima sumbangan kerajaan negeri Kelantan bagi menghadapi bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
Mereka diberikan sejumlah RM200 setiap orang dan melibatkan keseluruhan RM80 ribu. Peruntukan ini dikeluarkan setiap tahun kepada seluruh DUN di Kelantan dan mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan.
Jumaat lalu kira-kira 50 orang Melayu dari beberpa NGO mengarak kepala lembu dari Masjid Negeri menuju ke pejabat Menteri Besar sebagai bantahan terhadap cadangan memindahkan sebuah kuil di syeksyen 23 Shah Alam.
Media hari ini melaporkan pihak polis sedang membuat siasatan terhadap kes ini dan akan menggunakan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 dan Akta Hasutan ke atas mereka yang terlibat dalam perarakan berkenaan.
Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pada itu kesal dengan tindakan NGO tersebut seolah olah tidak menghormati suasana Ramadhan dan juga suasana menyambut hari Kemerdekaan.
PR PERINTAH MELAKA LEPAS PRU 13 (?)
Melaka bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya ke 13 nanti. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah umpama angan-angan ‘Mat Jenin’ yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Malah penyokong dan pemimpin BN sudah pasti mentertawakan sesiapa sahaja yang mendakwa mereka akan kecundang pada Pilihanraya Umum akan datang.
Namun begitu pernah kita terbayang, Selangor dan Khir Toyo; Perak dan Tajol Rosli; Tsu Kon dan Pulau Pinang serta Kedah dan Mahdzir akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sebelum ini. Sudah tentu tiada siapa yang menduga selepas Pilihanraya Umum ke 12 semua negeri-negeri kuat BN itu akan bertukar pemerintah.
Begitu juga keadaannya dengan Johor dan Negeri Sembilan yang dikatakan tidak mempunyai ruang langsung untuk PAS menang walaupun dengan satu kerusi. Tetapi itulah yang berlaku. Apabila Johor dan Negeri Sembilan berjaya diteroka oleh PAS apabila PAS menang masing-masing 2 dan 1 kerusi DUN pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu yang penuh dengan sejarah.
Maka tidak hairanlah semua perkara mustahil seperti itu juga bakal berlaku di Melaka. Pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Pakatan Rakyat berjaya memenangi 5 kerusi DUN melalui DAP. 5 DUN yang dimenangi oleh DAP ialah Kesidang (YB Goh Leong San), Kota Laksamana (YB Betty Chew), Bandar Hilir (YB Tey Kok Kiew), Bachang (YB Lim Jak Wong) dan Ayer Keroh (YB Khoo Poay Tiong).
Dengan 5 kerusi yang sudah dalam tangan Pakatan hanya memerlukan 10 kerusi lagi untuk merampas negeri Melaka yang penuh sejarah ini. Apakah ini mustahil? 15 kerusi DUN sudah cukup bagi Pakatan Rakyat memperolehi majority mudah iaitu kelebihan 2 kerusi dari BN untuk memerintah Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN secara keseluruhannya. Jika Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi maka BN sudah tentu hanya mendapat 13 kerusi DUN sahaja.
Dari pengamatan pemerhati politik, Melaka juga akan mengalami perubahan iklim politik pada Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Ini berdasarkan kepada ‘mood’ rakyat keseluruhannya yang dilihat semakin hari semakin condong meyokong Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi dengan kemenangan 7 kali berturut-turut Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia yang tempiasnya terkena kepada rakyat negeri Melaka.
Rakyat Melaka khasnya kaum Tionghua dan India semakin jelas menyokong Pakatan Rakyat sepertimana rakan-rakan dan saudara mara mereka di negeri-negeri lain. Jika senario seperti ini terus kekal hingga Pilihanraya Umum akan datang Pakatan Rakyat dijangka dengan mudah merampas kerusi DUN seperti Lendu, Machap, Bemban, Duyong, Klebang, Bukit Baru, Paya Rumput dan Merlimau yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang melebihi 20 %. Dengan kerja kuat yang berterusan Pakatan Rakyat dijangka dapat merampas 2 lagi kerusi majorit Melayu yang lain.
Oleh itu hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk merobohkan ‘khurafat’ (hanya BN yang boleh memerintah Melaka) di Melaka akan menjadi kenyataan.
Namun begitu gerakerja untuk menyedarkan rakyat Melaka tentang betapa pentingnya negeri Hang Tuah ini di perintah Pakatan Rakyat bukan suatu perkara yang mudah dan enteng. Seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat dari sekarang tanpa menoleh ke belakang.
Pakatan Rakyat Melaka juga mesti memantapkan perpaduan sesama mereka bagi memberikan gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menerajui Negeri Melaka. Persepsi ini amat penting kerana selagi rakyat tidak yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat maka selagi itulah mereka tidak akan mengundi Pakatan Rakyat.
Gerakerja secara kolektif, terancang, interaktif, kreatif dengan komitment tinggi di kalangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat mesti dimulakan dengan segera tanpa berlengah.
Sejak akhir-akhir ini, Pakatan Rakyat Melaka dilihat mula menggerakkan jentera secara kolektif di mana banyak program-program bersama telah dijalankan. Antaranya gerakan mendaftar pengundi baru, ceramah bersama, program kebajikan rakyat secara bersama dan program turun padang bersama. Ini merupakan perkembangan sihat yang cukup menggerunkan BN Melaka.
Isu-isu tempatan yang begitu banyak sudah tentu boleh digunakan Pakatan Rakyat untuk menenggelamkan Ali Rustam dan kuncu-kuncunya. Isu paling besar yang sebenarnya memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat ialah isu rasuah Ali Rustam, isu pembaziran kerajaan negeri, isu hutang lapuk kerajaan negeri, isu kronisme dan lain-lain sebenarnya belum dieksploitasi sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat.
Rakyat Melaka juga mesti diberi kefahaman yang cukup tentang hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Contoh-contoh program dan aktiviti kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang mesti diwar-warkan supaya rakyat negeri Melaka faham dan mengerti perbezaan antara pemerintahan Pakatan Rakyat yang mementingkan kebajikan rakyat dan pemerintahan kerajaan BN yang lebih mengutamakan tembolok pemimpin dan kroni-kroni mereka.
Dengan bantuan isu nasional dan antarabangsa maka tidak mustahil rakyat Melaka akan berubah dan beralih angin menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum akan datang.
Adun Lunas didesak letak jawatan
PADANG SERAI : Tekanan semakin hebat ke atas Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh agar beliau melepaskan jawatan Adunnya selepas keluar dari PKR menjadi Adun bebas.
Ini kerana, mereka mengundi Radzhi kerana dia bertanding atas tiket PKR bukannya bebas apatah lagi menjadi alat kepada Barisan Nasional (BN) pula.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mendesak Radzhi supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Adun Lunas kerana ianya tidak bertepatan dengan kehendak penduduk dan pengundi kawasan tersebut.
Menurut beliau pada pilihan raya umum yang lalu pengundi kawasan tersebut mengundi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Justeru itu sebagai menghormati para pengundi dan penduduk kawasan yang dimenangi oleh Radzhi atas tiket PKR itu maka beliau harus mengosongkan kerusi tersebut supaya ia dipulangkan kepada pengundi dan penduduk kawasan tersebut untuk membuat pemilihan.
"Beliau telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi kepadanya.
Image"Jika beliau memang seorang yang berpendirian maka beliau akan melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas dan memulangkan kepada pengundi dan penduduk untuk membuat keputusan samada mahu menerimanya atas tiket bebas atau sebaliknya," kata Gobala.
Lunas adalah salah Dun di bawah Parlimen Padang Serai yang diwakili Gobala.
Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan bahawa Radzhi harus sedar dengan perkenan Tuanku Sultan Kedah untuk menggugurkan beliau sebagai Exco sudah jelas membuktikan kemurkaan Tuanku dengan perbuatan beliau.
"Saya yakin keputusan yang telah diambil oleh Tuanku Sultan untuk menggugurkan Radzhi daripada jawatan Exco adalah untuk menjaga nama baik istana. Radzhi sepatutnya faham mesej yang ingin disampaikan oleh Tuanku kepada beliau.
"Pada waktu yang sama selepas beliau dilucutkan daripada jawatan Exco maka pada ketika itu juga Radzhi sepatutnya melepaskan jawatan sebagai Adun Lunas.
"Saya juga yakin majoriti daripada pengundi dan penduduk yang diwakili beliau itu mahukan kerusi Lunas dikosongkan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum yang lalu adalah atas tiket PKR dan bukannya Bebas."
Radzhi sebelum ini mengambil keputusan keluar dari PKR setelah mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan menjadi Adun Bebas.
Rentetan daripada itu beliau kemudian telah dilucutkan jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia oleh Tuanku Sultan Kedah. _
PEMBELIAN SISTEM PERTAHANAN NEGARA TIDAK DIBUAT SECARA TELUS
Maklumat ini diperolehi secara email dari seseorang yang terlibat dalam 'pertahanan negara'. Diperturunkan semula di sini untuk perbincangan semua...
WAKIL SENJATA KECEWA APABILA PEMBELIAN SISTEM PERTAHANAN NEGARA TIDAK DIBUAT SECARA TELUS
1. Wakil-wakil syarikat sistem pertahanan senjata di negara ini mahu Kementerian Pertahanan supaya lebih berhati-hati dalam urusan pemberian tender memandangkan ada syarikat yang menawarkan peralatanyang sudah ketinggalan zaman dan bakal menyebabkan kerajaan Malaysia kerugian jutaan ringgit.
2. Isu penawaran sistem latihan Air Combat Manoeuvering Instrumentation (ACMI) untuk melatih juruterbang jet pejuang menjadi "Top Gun" secara sewaan sebanyak RM20 juta selama setahun untuk jangkamasa 10 tahun telah membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil-wakil syarikat sistem pertahanan di negara ini.
3. ACMI yang ditawarkan untuk Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) akan dipasang di pengkalan udara Kuantan dan Butterworth bakal menjimatkan wang kerajaan yang selama ini banyak dibazirkan apabila terpaksa menghantar juruterbang jet pejuang TUDM, pesawat serta kakitangan terlibat untuk berlatih di pengkalan udara Korat di Thailand pada setiap tahun.
4. Penghantaran pesawat dalam jumlah yang tidak diketahui itu sekaligus menimbulkan isu keselamatan apabila jumlah pesawat TUDM yang tinggal di dalam negara menjadi kurang bilangannya.
5. Malaysia tidak pernah mempunyai sistem ACMI sedangkan negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia sudah mendahului TUDM, sistem itu akan melatih juruterbang TUDM dalam pertempuran olok-olok tetapi menyerupai peperangan sebenar termasuk gangguan dari sistem pertahanan elektronik.
6. ACMI mula-mula sekali dibangunkan oleh Israel yang amat bergantung kepada
kecekapan juruterbangnya untuk menghadapi ancaman dari negara-negara Arab.
7. Kecekapan juruterbang Israel dalam menembak jatuh lebih kurang 80 pesawat Syria dengan kehilangan hanya tiga pesawat negara Yahudi itu dalam pertempuran udara di Beeka Valley, Lebanon pada tahun 1982 benar-benar membuka banyak negara sehinggakan Amerika Syarikat membangunkan sistem ACMInya sendiri.
8. Sistem ACMI terkini berdasarkan pada teknologi yang dikategorikan sebagai generasi P5, Singapura, Thailand dan kebanyakkan negara sekutu Amerika Syarikat (kecuali AS) masih menggunakan sistem ACMI yang berada dalam generasi P4.
9. Penggunakan sistem ACMI walaupun kelihatan mudah dan tidak "glamour" seperti pembelian pesawat Su-30MKM tetapi impak pada keselamatannya amat besar kerana ia membabitkan data pesawat, elektronik, taktik dan strategi TUDM serta frekuensi komunikasi sulit di antara pesawat dan bilik kawalan.
1o.Pada pertengahan tahun 2002, Kementerian Pertahanan menawarkan tender ACMI secara terbuka melalui akhbar tempatan dan tiga buah firma antarabangsa dengan diwakili oleh broker masing-masing yang berpengkalan di Kuala Lumpur membida tender itu.
11.Tender terbuka itu kemudian ditutup tanpa sebarang alasan dan ditukar menjadi rundingan terus kepada sebuah syarikat tempatan yang menawarkan sistem ACMI pada kategori teknologi generasi P4 (ketinggalan zaman dalam jarak 20 tahun dengan generasi P5) milik AS yang jelas bertentangan dengan dasar kerajaan Malaysia dan prinsip yang diamalkan oleh Kementerian Kewangan serta pemimpin tertinggi negara ini.
12.Pengerusi Kira-kira Wang Awam Datuk Shahrir Samad dalam kenyataannya pada sebuah akhbar tempatan pada Okt 2007 dahulu mengakui bahawa pemberian tender secara rundingan terus adalah amat membahayakan dan pilihan itu hanya patut dibuat jika tidak ada sebarang pilihan lain yang lebih baik.
13.Seorang wakil sistem pertahanan dari Jerman yang enggan dikenali memberitahu, tawaran itu tiba-tiba ditutup dan diberikan kepada sebuah syarikat lain tanpa sebarang alasan yang kukuh, syarikat terbabit menawarkan sistem ACMI generasi lama buatan AS iaitu P4
14."ACMI P4 milik AS tidak serasi dengan pesawat TUDM yang kebanyakkannya dari buatan Russia. Tidak mungkin orang Russia mahu bekerjasama dengan jurutera AS untuk mengintegrasikan sistem pesawat MIG dan Sukhoi dengan perisian AS kerana ini secara tidak langsung akan mendedahkan Source Code pesawat mereka kepada AS," katanya.
15.Beliau berasa kesal kerana pihak TUDM memilih sistem ACMI milik AS sedangkan sistem ACMI buatan Jerman yang ditawarkan olehnya merupakan dari kategori P5 dan tentera udara Jerman yang turut menggunakan pesawat MIG-29 sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa sistem ACMI buatan mereka boleh dipasang pada pesawat buatan Russia, AS dan British yang TUDM pakai.
16."Persoalan sekarang mengapa TUDM sengaja memilih sistem yang ketinggalan zaman. Ia juga lebih mahal berbanding dengan sistem terkini yang ditawarkan oleh Jerman. Perlu diingatkan pembelian ini tidak melibatkan tawaran timbal balas seperti perpindahan teknologi dari negara pembuat...jadi tidak ada alasan untuk menjadi mahal," katanya lagi.
17.Beliau mendedahkan negara seperti AS tidak akan bermurah hati untuk memberikan Malaysia teknologi terkini berbanding dengan negara sekutunya dan ini sudah terbukti dalam pembelian pesawat F/A 18-Hornet buatan Boeing, di mana AS tidak mahu memberikan "Source Code" pesawat itu kepada TUDM.
18.Kata-kata beliau mempunyai kebenarannya apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu ucapannya pernah mendedahkan bahawa kuasa besar itu tidak mahu memberikan "Souce Code" pesawat Hornet dan ini menyebabkan TUDM tidak dapat mengoptimumkan kuasa tempur pesawat Hornet kepada tahap 100 peratus.
19.Katanya lagi, pemakaian ACMI pada pesawat AS dan stesyen kawalan darat membabitkankeselamatan negara kerana ia akan merekodkan komunikasi sulit, taktik dan strategi TUDM, ada baiknya jika TUDM mendapatkan sistem ACMI yang turut menawarkan "Source Code"nya sekali supaya ia mampu dikendalikan oleh anak tempatan.
20.Seorang lagi wakil syarikat dari Korea Selatan yang menawarkan sistem yang sama dari negara itu turut melahirkan rasa kesal dengan sesetengah pegawai TUDM dan Kementerian Pertahanan termasuk juga syarikat yang mewakili sistem keluaran AS itu yang seolah-olah mengenepikan aspek keselamatan dan kepentingan negara dalam hal ini.
21.Teknologi ACMI pada kategori P5 buatan Korea Selatan itu adalah yang paling murah berbanding dengan dua pesaingnya iaitu sistem ACMI dari Jerman dan AS tetapi merupakan teknologi yang dibangunkan secara "Reverse Engineering" dari sistem milik Israel yang pernah dipakai oleh tentera udara republik itu.
22."Bukan soal untung rugi yang dipertikaikan di sini tetapi sampai bila soal ketelusan dan kepentingan orang-orang tertentu dalam TUDM dan Kementerian Pertahanan mahu kita sembunyikan," katanya.
23."Bayangkan jika TUDM menggunakan teknologi P4, sampai masa kita kena upgrade kepada P5. Syarikat terbabit mendapat dua kali untung. Tidakkah ini membabitkan pembaziran wang, janganlah abaikan kepentingan negara di atasfaktor yang berdasarkan soal keuntungan," katanya.
24.Beliau mendedahkan pucuk pimpinan TUDM mengetahui akan perkara itu dan tahu TUDMmempunyai pilihan yang lebih baik tetapi atas sebab-sebab tertentu cuba mendiamkan isu terbabit dan pada masa yang sama memastikan firma lain tidak memenangi bidaan itu.
25."Saya pernah melihat surat yang ditandatangani oleh seorang pegawai tinggi kerajaan di Kementerian Pertahanan, surat itu menyebut, rundingan terus terpaksa dibuat memandangkan TUDM tidak mempunyai pilihan lain yang lebih baik," katanya.
Persoalan kuil Seksyen 19 dan tindakan Pewaris
Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan “signature” BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan “lain-lain”.
Di antara yang “lain-lain” itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.
Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.
Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.
Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut.
Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina “gelanggang silat” di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!
Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia “mewakili rakyat” dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama “Pewaris” kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.
Saya menyatakan “wakil rakyat” di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang “berhoneymoon” selama 50 tahun adalah BN!
Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.
Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”!
Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.
Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, “kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel”.
Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT.
Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.
Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.
Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!
Isu kuil: Polis mahu siap siasatan Selasa ini
Polis berharap dapat menyiapkan siasatan berhubung protes pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dan perarakan kepala lembu menjelang Selasa depan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.
Menurutnya, beberapa individu, termasuk pihak penganjurnya, telah dipanggil untuk disoalsiasat dan dirakam kenyataan mereka.
Khalid berkata, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut.
"Kes ini disiasat mengikut Akta Hasutan, dan kami berharap dapat menyelesaikan siasatan menjelang Selasa ini," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga ini.
Mengenai kritikan bahawa pihak polis lambat menyiasat kes itu, Khalid berkata pihak polis perlu mengikuti prosedur siasatan.
Beliau menjelaskan, pihak polis perlu mendapatkan pandangan DPP dan mengumpul maklumat terlebih dahulu.
"Kita tidak boleh menangkap orang begitu sahaja dan mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan," tambahnya.
Pihak polis dikritik kerana didakwa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi Jumaat lalu.
Menjawab dakwaan tersebut, Khalid berkata, anggotanya mengambil tindakan yang betul apabila meminta peserta demonstrasi itu mengalih kepala lembu bagi mengelak masalah seterusnya.
Sebelum itu, peserta demonstrasi tersebut telah mengarak kepala lembu ke bangunan kerajaan negeri Selangor kerana membantah pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam.
Ahmad Said Kata JKKK Wajar Letak Jawatan Kerana Buah Kurma Dan Air Zam-Zam Tak Sampai Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sekali lagi mengkritik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang gagal menjalankan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata kegagalan mereka menjadi perantaraan yang baik antara kerajaan dengan rakyat, bakal merosakkan nama baik kerajaan negeri dan JKKK wajar meletakkan jawatan mereka.
Katanya, jika perkara itu berterusan, apa sahaja bantuan dan sumbangan yang diberikan kerajaan negeri tidak akan sampai ke tangan rakyat.
"Saya amat kesal dengan tindakan sesetengah JKKK yang tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan sehingga menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan kerana bantuan tidak sampai.
"Jika perkara yang tidak sebesar manapun tidak dapat dilakukan, lebih baik mereka meletak jawatan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Parlimen Kuala Nerus semalam.
Namun apa yang membuatkan beliau marah pada kali ini?
Rupa-rupanya Ahmad marah kerana katanya, beliau telah mendapat banyak laporan daripada penduduk tentang sesetengah JKKK yang tidak menyampaikan sumbangan buah kurma dan air zam-zam kepada rakyat seperti yang diarahkan.
"Setiap JKKK perlu menyerahkan sumbangan tersebut dari rumah ke setiap rumah namun ada di kalangan JKKK tersebut memberikan sumbangan itu di masjid selepas selesai menunaikan solat tarawih.
"Ini menyebabkan ada yang menerima dan ada yang tidak menerima sumbangan tersebut malah ada yang menerima lebih daripada sepatutnya," ujarnya yang turut dipetik beberapa akhbar arus perdana.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana JKKK yang menyalahgunakan amanah yang telah diberikan.
Di Kemaman, kurma dan air zam-zam yang sepatutnya disampaikan oleh JKKK kepada setiap rumah hanya disangkut di pintu pagar.
Bendahari PAS Kemaman Haji Johan ketika ditemui semalam memberitahu, beliau mendapat kurma dan air zam-zam tersebut, namun tidak tahu siapa yang menghantarnya.
”Tak tahu siapa yang hantar, saya jumpa plastik yang berisi kurma serta air zam-zam tersangkut pada pagar depan rumah,”katanya.
Di Kuala Nerus, ramai penduduk yang tidak pun menerima hantara kurma dan air zam-zam tersebut.
Seorang penduduk di sebuah Taman Perumahan Seberang Takir berkata sehingga kini beliau belum menerima pemberian kerajaan negeri tersebut.
Manakala beberapa laman blog tempatan juga turut melaporkan, mereka hanya menerima hantaran kurma dan air zam-zam itu yang disangkut di pagar rumah sahaja.
Kerajaan Negeri membelanjakan RM8.3 juta untuk membeli kurma dan air zam-zam untuk diagih kepada umat Islam di Terengganu pada bulan Ramadan ini.
Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan merancang untuk mengagihkan 300,000 bungkus buah kurma dan air zam-zam itu kepada 300,000 buah rumah di seluruh negeri.
Perbelanjaan wang kerajaan yang begitu banyak menimbulkan tanda tanya dikalangan rakyat Terengganu.
Seorang ADUN BN pernah memberitahu pihak media supaya menyiasat pembelian kurma dan air zam-zam tersebut yang dikatakan, kontrak pembeliannya dianugerahkan kepada seorang ’kroni’.
Ahmad Said dilihat mengambil kesempatan, mencari publisiti dan menonjolkan dirinya dalam pemberian kurma dan air zam-zam ini kerana apa yang tertulis di kotak dan botol air zam-zam bukanlah ia hadiah dari kerajaan negeri Terengganu tetapi ”dari YAB Dato’ Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu”.
Umno Bukan Pejuang Kemerdekaan Sebenarnya
KUALA TERENGGANU - Hari ini adalah ulangtahun Kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British, yang kononnya dipelopori oleh Umno dan setelah 52 tahun perginya penjajah, kebanyakan rakyat Malaysia difahamkan bahawa Umno sahaja yang berjuang menentang penjajah.
Sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan tidak diketahui kerana samada ianya telah dilenyapkan atau dipadam dari buku-buku sejarah.
Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengetahui sejarah sebenar negara sendiri dan janganlah kita menjadi rakyat Malaysia buta sejarah.
Sebahagian pejuang-pejuang telah gugur dan sebahagiannya masih hidup dan bernafas di depan mata kita.
Perjuangan awal menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan secara moden bermula pada tahun 1906 oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha)
Selepas itu, perjuangan menentang penjajahan British dan Jepun turut digerakkan dan dirancakkan dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM)
KMM ditubuhkan pada Mei 1937 di Kampung Bahru Kuala Lumpur. Antara pemimpinnya adalah; Ibrahim Haji Yaakob, Mustapha Hussein, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al Helmy
Semasa perang dunia ke-2, (1942 – 1945) Jepun telah menakluk Tanah Melayu pada Disember 1941 dan KMM telah bekerjasama dengan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) atau Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA).
Penjajah dan tentera British lari ke England meninggalkan rakyat tempatan menentang Jepun. Pada 1942 Jepun telah mengharamkan KMM kerana perjuangan kemerdekaan Malaya.
Selepas tamat peperangan dunia pertama dan berundurnya Jepun dari tanah Melayu satu gabungan Melayu Islam telah membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
PKMM Ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh Perak. Dan meluluskan slogan MERDEKA dan benderanya ialah MERAH-PUTIH.
Semboyan MERDEKA dilantangkan dan berjaya mengembleng seluruh tenaga dari pelbagai aliran agama, nasionalis dan sosialis namun ditentang oleh elit Melayu dan kakitangan atau penjawat jawatan yang pro pemerintah.
Antara yang memimpin PKMM adalah; Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Abdullah CD (Cik Dat Abdullah), Ahmad Boestamam, Musa Ahmad, Khatijah Ali, dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir
PKMM telah berkembang pesat dan digabungkan dengan pelbagai pertubuhan yang menjadi tulang belakang dan penggerak di seluruh Malaya, antaranya
1.API (Angkatan Pemuda Insaf). Dibawah pimpinan Ahmad Boestamam. Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno Dato Onn Jaafar.
2.AWAS (Angkata Wanita Sedar). Diketuai oleh Samsiah Fakeh. Diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.
3.BTM -Barisan Tani Malaya (BATAS). Ditubuhkan pada 7 Julai 1947 di Kajang. Ketuanya ialah Musa Ahmad. Setiausaha disandang oleh Abas manakala Mokhtar sebagai bendahari dan Kadir menjadi ketua bahagian propaganda. Pimpinan Negeri ialah Mokhtar - Kedah, Selangor - Musa Ahmad, Pahang - Abas,Johar - Kadir dan Negeri Sembila - Ibrahim Baba.
4. Jabatan Kerja Melayu (JKM). Didirikan pada awal tahun 1946. Diketuai oleh Alimin, Setiausaha oleh Abdullah CD dan merangkap ketua bahagian selatan. Bahagian utara oleh Rashid Maidin dan bahagian timur oleh Kamaruzaman Teh.
5.Hizbul Muslimin.Ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Tokoh yang terlibat ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ustaz Abdul Rab, Dr Burhanuddin Al Helmy dan Kiayai Masyur Azahari. Pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar mengharamkan Hizbul Muslimin yang dianggap 'Parti Islam Merah' dan merupakan 'bahaya dari gunung' kepada mereka.
6.GERAM -Gerakan Angkatan Muda. Pimpinan Abd Aziz Ishak dan A Samad Ismail.
7. Kesatuan Buruh Melayu SeMalaya. Ditubuh pada tahun 1946 di bawah pimpinan Abdullah CD. Dipanjangkan penubuhan ke negeri-negeri pada 1947.
8.Pan Malayan Federation of Trade Union (PMFTU). Gerakan buruh berbagai kaum. Pada 1947, kongres telah memilih Ganapathy sebagai Pesiden, Abdullah CD sebagai Naib Presiden dan Chen Lu sebagai Setiausaha.
8.Kesatuan Opera Melayu.
9.Persatuan Pemandu Teksi.
10.PETA -Pembela Tanah Air. Ditubuhkan apabila KMM diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan YDP Umno, Onn Jaafar.
11.Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya(MATA). Pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.
Pada tahun 1947, sepuluh tahun sebelum merdeka, PKMM memperkuatkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan Islam dan bukan Melayu dalam Malaya Democratic Union, membentuk Barisan Bersatu Putera-AMCJA.
Barisan Bersatu Putera-AMCJA ditubuh pada 1947 dan menggubal 10 fasal Perlembagaan Rakyat untuk kemerdekaan.
Antara gerakan yang dilakukan oleh Barisan Bersatu Putera-AMCJA yang sangat berjaya dan menggugat kedudukan British adalah mogok seluruh Malaya yang dikenali sebagai HARTAL.
HARTAL telah berlangsung pada 16 September, 1947 yang telah mencatatkan sejarah satu mogok umum, di mana pada hari tersebut, satu aktiviti pun tidak dilakukan oleh seluruh rakyat Malaya.
Pada masa yang sama, British telah berpakat dengan Elit Melayu yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Perkembar – yang kini dikenali sebagai Umno), menggubal satu lagi perlembagaan yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
British tidak menerima desakan Barisan Bersatu Putera AMCJA, telah menolak perlembagaan rakyat dan menggantikan Malayan Union dengan membentuk Persekutuan Tanah Melayu serta melantik Dato’ Onn menerajuinya.
Barisan Bersatu Putera AMCJA dan seluruh anggota gabungannya, diharamkan pada 18 Jun 1948 pihak penjajah British dengan persetujuan Yang Dipertua (YDP) Umno, Dato' Onn Jaafar.
British telah mengisytiharkan Darurat pada tahun 1948, dengan alasan menentang gerakan komunis di Malaya dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengambil tindakan menangkap sesiapa sahaja yang menentang.
Antara bukti bahawa Darurat 1948 diisytiharkan adalah semata-mata satu tindakan ’pecah perintah’ British adalah lebih 2,800 orang ahli-ahli gabungan Barisan Bersatu Putera ACMJA ditangkap dibawah ISA, termasuk Ustaz Abu Bakar Al-Baqir pemimpin MATA dan Hizbul Muslimin yang kemudiannya didaftarkan secara rasminya sebagai Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Mereka bukan komunis, namun tindakan British itu melumpuhkan perjuangan rakyat dan telah menghidupkan satu parti yang berkuasa sehingga kini iaitu UMNO.
KBS kemas kini program rakan masjid
KEMAMAN: Kementerian Belia dan Sukan akan mencari satu mekanisme terbaik untuk mempelbagaikan aktiviti masjid di seluruh negara dalam usaha untuk menarik golongan muda mendekati institusi itu menerusi program Rakan Masjid.
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata walaupun program Rakan Masjid sudah lama diwujudkan, namun ia perlu dikemaskini dan pemantauan perlu dilakukan oleh Jabatan Belia negeri untuk memastikan program yang direncanakan dapat dilaksanakan.
"Program ini adalah untuk menggalakkan belia pergi ke masjid bukan untuk solat saja tetapi juga melakukan aktiviti yang boleh mendekatkan orang muda dengan masjid seperti kuliah, gotong royong dan aktiviti sukan yang bersesuaian.
"Sudah tentu ia memerlukan tempoh masa yang lebih lama untuk melihat keberkesanannya dan memerlukan pemantauan yang lebih kemas dan cara bagaimana untuk meningkatkan keberkesanan program ini," katanya selepas menghadiri program bersama rakyat di Masjid Jamek Kemasik di sini, hari ini.
Shabery berkata, sebagai permulaan kementerian akan memilih masjid tertentu di setiap negeri untuk dijadikan sebagai perintis program berkenaan dengan melaksanakan aktiviti yang sudah dirancang selain untuk memudahkan pihaknya membuat perencanaan peruntukan.
Dasar Sukan Negara bakal menggunakan modul AS
KEMAMAN: Dasar Sukan Negara (DSN) yang baru akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet, 8 September ini bagi membolehkan modul sukan negara yang selama ini banyak bergantung kepada kerajaan berubah menjadi satu industri yang menjana pendapatan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata cadangan perubahan itu antara langkah yang diambil oleh kementerian untuk mengemaskinikan Dasar Sukan Negara dalam usaha meningkatkan pencapaian atlit dan sukan di negara ini.
"Antara perkara yang akan dikemaskinikan ialah tentang tuntutan semasa bagi memenuhi keperluan sukan dalam konteks generasi baru yang selama ini kita lebih tumpukan bagaimana mewujudkan infrastruktur dan budaya sukan di kalangan masyarakat dan juga untuk memperoleh pencapaian tertinggi dari segi pencapaian pingat.
"Tetapi kita tidak pernah bincang peranan sukan sebagai sebagai industri, bagaimana ia boleh melahirkan peluang pekerjaan, memberi pendapatan dan pembabitan sektor swasta dalam sukan kita," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama penduduk di Masjid Jamek Kemasik di sini, semalam.
Beliau berkata, di Amerika Syarikat, walaupun tanpa bantuan dan campur tangan kerajaan, industri sukan di negara itu mampu memberikan pendapatan sebanyak AS$1 trilion setahun dan pendapatan jualan tiket sebanyak AS$300 juta setahun.
Keadaan itu disebabkan semua pihak di negara tersebut melihat sektor sukan sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan menyebabkan pihak yang terbabit berusaha keras untuk melahirkan atlit dan pasukan yang kuat.
"Manchester United sendiri disenarai dalam Bursa Saham London dan mereka bukannya kuat kerana kerajaan tolong dan perkara inilah yang akan kita rasakan perlu dijadikan contoh.
"Perubahan perlu dilakukan sama ada segalanya bergantung kepada kerajaan ataupun melihat ia sebagai industri yang boleh beri keuntungan dan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.
40,000 remaja dijangka khatam al-Quran
BALING - Lebih 40,000 remaja yang menyertai program Rakan Muda Ramadan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka khatam al-Quran pada penghujung bulan puasa ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, remaja tersebut kini bersama-sama umat Islam yang lain mengikuti program Tadarus al-Quran di 1,000 buah masjid dan surau di seluruh negara.
''Kementerian telah membelanjakan RM1.5 juta bagi melaksanakan program Rakan Muda Ramadan yang sudah memasuki tahun ke-15 dengan harapan golongan remaja dapat mendekati masjid bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan lain,'' ujarnya.
Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kedah di Masjid Tok Bandar, Pulai, dekat sini semalam.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi Che Hussin.
Kira-kira 1,000 remaja dari seluruh negeri menyertai program tersebut yang turut diselitkan dengan tazkirah dan 100 anak yatim juga menerima sumbangan wang tunai.
Pada majlis itu, Razali turut menyampaikan naskah al-Quran kepada pegawai belia setiap daerah di negeri ini bagi melaksanakan program tadarus al-Quran.
Dalam pada itu, Razali turut meminta golongan remaja menjadikan pembacaan al-Quran sebagai salah satu amalan dan cara hidup secara berterusan.
Jelasnya, KBS mahu program yang dilaksanakan itu bukan sahaja mampu membawa perubahan positif kepada golongan remaja malah boleh menjauhkan diri daripada perbuatan menjolok mata di kalangan remaja Islam.
"Kita mahu membawa perubahan, apa sahaja gejala atau perbuatan menjolok mata tidak lagi dikaitkan dengan remaja Melayu Islam," tegasnya.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau mengingatkan generasi muda Melayu supaya tidak mudah tertipu dan membiarkan diri mereka diperalatkaan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.
Katanya, ingatan itu perlu memandangkan golongan muda yang mewakili 45 peratus penduduk Malaysia sering menjadi sasaran pihak tertentu untuk dipergunakan menerusi tindakan yang merugikan diri sendiri.
Malah, katanya, pihak berkenaan turut membabitkan generasi muda dengan demonstrasi jalanan yang jelas bermotifkan politik.
"Jangan biarkan diri kita diperalat dan dipergunakan pihak tertentu yang berkepentingan sehingga akhirnya merugikan diri sendiri," ujarnya.
Beliau bimbang dengan penglibatan remaja dalam kegiatan yang didalangi pihak tertentu yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Kata beliau, golongan itu sepatutnya menggunakan tubuh badan dan pemikiran yang sihat untuk membantu membangunkan negara dengan lebih baik.
Ahad, 30 Ogos 2009
Institusi pengajian yang bercampur lelaki dan perempuan membawa kearah penzinaan
"Bemula dari muqadimah zina atau dipanggil sebagai perkara yang membawa kearahnya (zina) iaitu percampuran antara lelaki & perempuan, aktiviti bersama-sama, pandang-memandang, membuat hubungan, bersentuh-sentuhan dan lain-lain, seterusnya boleh membawa kearah melakukan penzinaan itu sendiri. Telah maklum diketahui umum bahawa menyatukan pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam institusi pengajian, sama ada dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi adalah kebiasaan yang menular di Negara kita ini. Tambah pula segala aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran & kokurikulum pun sedemikian jua. Lebih-lebih teruk lagi, Asrama lelaki & perempuan berdekatan tanpa ada apa-apa penghadang. Cerita-cerita yang pernah saya dengar sendiri daripada murid-murid saya dari kalangan pelajar-pelajar universiti tempatan dalam aliran agama bahawa mereka menyatakan perkara yang tidak enak didengari apabila kita timbangkan dengan neraca syariat.
Pelajar-pelajar jurusan agama ini menyatakan bahawa menjadi kebiasaan pelajar-pelajar membuat hubungan istimewa sesama mereka. Ini kerana, bila setiap hari melihat pelajar perempuan di dalam satu kelas atau pelajar perempuan yang lain pada sesuatu tempat dalam kampus.
Lebih-lebih lagi pelajar perempuan yang mempunyai rupa paras menawan, menjadi rebutan di kalangan pelajar-pelajar lelaki. Sehinggakan ada yang mengirim bunga untuk menawan hati sigadis jelita tersebut. Perhubungan begitu mudah, dengan telefon bimbit memainkan peranan yang penting dalam misi menakluki hati pelajar yang diminati serta sebagai alat yang dapat melayan perasaan pasangan-pasangan yang bercinta ini. Terdapat juga pelajar yang menjalin hubungan ‘istimewa’ dengan pensyarah muda yang memiliki rupa, yang baru menjawat tugas sebagai seorang pensyarah. Dalam kelas menghormatinya sebagai pendidik, dalam telefon bimbit dijadikannya sebagai seorang kekasih yang dirindui.
Lebih parah lagi ada yang berdating sambil berpegangan tangan dan terdapat kes ditangkap berdua-duaan dalam tandas. MasyaAllah!! Na’uuzibillah min zalik! Bukanlah semata-mata saya membongkar perkara-perkara aib sedemikian untuk melekeh & mencela. Saya terpaksa berbuat demikian, hanyalah bertujuan menyatakan hukum syariat tentang pencampuran pelajar lelaki & perempuan. Harap maaf!!! ‘Perkara yang baik dijadikan teladan dan perkara yang buruk dijadikan sempadan.’ Inilah realiti yang berlaku serta diakui sendiri oleh pelajar-pelajar IPT, baik dari aliran agama mahupun aliran biasa (lebih parah). Ini kerana, jawapan yang saya terima adalah sama di kalangan pelajar IPT yakni pencampuran pelajar lelaki-perempuan itu membawa kepada elemen-elemen yang tidak baik.Terdapat juga pelajar lelaki menyusup masuk ke dalam bilik pelajar perempuan dan sebaliknya.
Takutilah bala bencana Allah Taala yang berbentuk bencana alam seperti ‘Tsunami’, gempa bumi yang melenyapkan dan membinasakan apa saja atau berbentuk wabak penyakit seperti wabak ‘Je’, selsema burung, selsema khinzir dan lain-lain, datangnya tiada diduga. Ianya disebabkan oleh maksiat-maksiat yang dilakukan oleh penduduk bumi itu sendiri. Hadis yang bermaksud:
“Tiadalah timbul @ nyata (secara terang-terangan) pada sesuatu kaum manusia, penzinaan dan amalan riba melainkan mereka sendiri meluluskan AZAB ALLAH (BALA BENCANA ALLAH).”
PUNCA-PUNCANYA
Kenapakah perkara ini tidak boleh berlaku? sedangkan semenjak dari kecil lagi muda-mudi kita dikotori fikiran mereka itu dengan tunjuk ajar yang negatif di sisi agama oleh syaitan yang besar iaitu TV & seumpamanya melalui rancangan-rancangan & filem-filem yang dipertontonkan. Didikan buruk yang menyalahi dengan syara’ yang terdapat di dalamnya seperti budaya berasyik-asyik dalam percintaan, adengan-adengan pergaulan bebas yang terbabas daripada batasan-batasan agama Allah Taala. Tidak kurang juga didikan membuka aurat dengan berpakaian yang ketat, singkat & menyingkap segala yang sepatutnya ditutup. Sehingga maruah harga diri seorang muslimat tidak kelihatan lagi melainkan dilihat seperti ciri-ciri perempuan orang kafir yang seperti binatang, bebas tanpa ikatan agama. Begitu juga dengan bahan-bahan cetak yang memainkan peranan penting dalam merosakkan moral muda-mudi kita.
MUQADIMAH ZINA
Bemula dari muqadimah zina atau dipanggil sebagai perkara yang membawa kearahnya (zina) iaitu percampuran antara lelaki & perempuan, aktiviti bersama-sama, pandang-memandang, membuat hubungan, bersentuh-sentuhan dan lain-lain, seterusnya boleh membawa kearah melakukan penzinaan itu sendiri.
Allah Taala melarang keras hambanya melakukan muqadimah zina dan zina itu sendiri dalam firmanNya, yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina!”(surah al- Israa:32)
Imam Ibnu Kastir menafsirkan ayat ini dalam kitab tafsir beliau dengan katanya: “Allah Taala berfirman (dengan ayat ini) yang mana Dia melarang hambaNya daripada melakukan zina, menghampiri zina, melakukan sebab-sebab kearah zina serta segala perkara yang boleh membawa kepada penzinaan.”
Tersebut dalam kitab Hasyiah Futuhat ilahiyah pada menerangkan ayat ini: “Kerana ayat ini memberi pergertian larangan daripada melakukan muqadimah zina seperti bersentuhan, bercium, melihat (lelaki pandang kepada perempuan atau perempuan melihat kepada lelaki)…”
Pandang-memandang
Firman Allah Taala, yang bermaksud: “Katakan kepada kaum muslimin, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”. (surah AN-Nur:30)
FirmanNya lagi, yang bererti: “Katakanlah kepada kaum muslimat, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”(surah AN-Nur:31)
Al-Hafiz Ibnu Qayim Aljauziah menyatakan dalam kitab Addaa Wa ddawaa’ m/s 163, bahawa ‘pandangan’ merupakan salah satu daripada punca-punca kemasukkan maksiat pada hamba Allah. Beliau menerangkan hal tersebut dengan katanya: “Adapun pandangan-pandangan itu ianya menarik kepada syahwat & utusannya (syahwat). Kawalan pandangan ialah asas bagi penjagaan alat kelamin (daripada melakukan perkara haram), maka sesiapa melepaskan pandangannya tanpa kawalan nescaya ia meletakkan dirinya ke tempat kebinasaan-kebinasaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, bermaksud: “Janganlah engkau ikutkan satu pandangan dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya tidak mengapa bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak harus (haram) bagi engkau pandangan kali kedua.”
Ibnu Qayim menjelaskan lagi: “Pandangan itu asal kebanyakkan terjadinya bala bencana yang menimpa manusia. Ini kerana, ianya mendatangkan lintasan, seterusnya lintasan itu mendatangkan ingatan, seterusnya ingatan itu menerbitkan syahwat, seterusnya syahwat menerbitkan keinginan yang kuat maka jadilah azam yang teguh, lantas berlakulah perbuatan (zina) selagi tiada sesuatu yang menghalangnya. Kerana inilah, dimadahkan: “Sabar pada memejam mata (tiada melihat perkara haram) ialah terlebih mudah daripada sabar terhadap kesakitan yang akan terjadi selepasnya…”
Bersentuhan
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban & Ishak bin Rahawaih daripada Asmaa binti Yazid, yang bermaksud: “Bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan…” Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan hadis ini adalah hadis hasan.
Hadis yang bermaksud: “Demi Allah! Bahawa dicucuk seseorang daripada kalangan kamu di kepalanya dengan jarum besi adalah terlebih baik daripada ia bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya.”(Riwayat Tabarani). Al-Hafiz Ibnu Hajar membilang hadis ini sebagai hadis hasan.
Hubungan percintaan
Membuat hubungan percintaan di antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah terlebih dahulu adalah haram. Allah Taala melarang hambaNya daripada apa bentuk perkara, sama ada dengan melihat, membuat hubungan, menyentuh dan lain-lain yang merupakan habuan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan. Membuat hubungan intim hingga asyik dalam percintaan adalah merupakan muqadimah zina. Keasyikkan dan mabuk di alam percintaan ini membawa kekancah yang terlebih keji.
Ibnu Qayim menyatakan bahawa keasyikkan cinta pada sesuatu itu tidak dapat memberi kemaslahatan kepada dunia dan akhirat bahkan kemudaratannya bersangatan.
Beliau menerangkan di antara beberapa sebab keburukan yang terjadi daripada keasyikkan itu, dengan katanya: “Bahawa kerosakkan segi keduniaan dan keakhiratan bagi orang-orang yang asyik mabuk dengan sesuatu itu (asyik percintaan lelaki dengan perempuan atau asyik mabuk dengan perkara maksiat) terlebih cepat daripada api menghanguskan kayu yang kering. Ini adalah kerana hati, setiap kali ia berdekatan dengan keasyikkan dan kuat perhubungan dengannya nescaya jauhlah ia daripada Allah. Sejauh-jauh hati daripada Allah adalah hati orang-orang yang asyik dengan sesuatu. Apabila hati itu jauh daripada Allah, maka datanglah kepadanya kerosakkan-kerosakkan dan Syaitan mengambil alih memerintah hati tersebut dari segenap segi serta dapat mengerasinya. Syaitan tidak akan membiarkan dengan memberi kemudharatan yang semungkin ia dapat berikan kepada hati itu melainkan ia akan lakukannya. Maka apakah lagi diandaikan pada hati yang telah dapat musuhnya menguasainya dan bersungguh-sungguh menyesatkan dan membinasakan makhluk Allah?? Apakah yang dapat diandaikan pada hati yang jauh daripada penjaganya (Allah) sedangkan tiada ada kebahagiaan, kejayaan & kegembiraan melainkan dengan menghampiriNya serta di dalam penjagaanNya??
Disebabkan keasyikkan inilah, mereka sanggup merelakan & melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Syariat sepertimana keasyikkan cinta Zulaikha yang mendalam terhadap Nabi Yusuf, membuat ia bertindak di luar batasan.
Firman Allah, bermaksud: “Zulaikha memujuk-mujuk Yusuf untuk melakukan perbuatan sumbang ketika mana Yusuf di dalam biliknya (Zulaikha) & ia mengunci pintu biliknya itu, seterusnya berkata kepada Yusuf: “Kemarilah padaku…”(Yusuf:23). Ini adalah disebabkan keasyikkan cintanya yang mendalam terhadap Nabi Yusuf. FirmanNya Taala yang menceritakan perbualan perempuan-perempuan di Bandar Mesir terhadap Zulaikha, bermaksud: “…Sesungguhnya Zulaikha itu terlalu asyik mencintai hambanya (Yusuf)…”(Yusuf:30).
BAHAYA PERCAMPURAN DAN HIJAB PENGASINGAN
Bertitik mulai daripada ‘percampuran lelaki dengan perempuan’ itulah yang membawa kepada muqadimah-muqadimah zina yang lain seperti melihat, membuat hubungan, bersentuhan dan lain-lain serta boleh membawa kearah penzinaan itu sendiri. Kerana inilah, Allah Taala melarang hambaNya daripada pencampuran antara lelaki dengan perempuan melalui penurunan ‘Ayat Hijab’.
FirmanNya, bererti: “ Apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka itu (isteri-isteri Nabi), maka pintalah kepada mereka melalui belakang tabir (penghadang). Demikian itu, terlebih membaiki & membersihkan hati kamu & hati mereka (isteri-isteri Nabi).” (Al-Ahzab:53).
Imam Qurtubi berkata: “Allah Taala menghendaki dengan ayat ini bahawa (meminta melalui belakang tabir) terlebih membersihkan hati daripada segala lintasan yang tidak baik, yang mendatangi bagi kaum lelaki pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum wanita & yang mendatangi bagi kaum wanita pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum lelaki. Yakni, demikian itu terlebih menafi & menjauhkan daripada tomahan serta terlebih teguh pada kawalan (daripada berlaku perkara yang ditegah)…”
Ayat Hijab bersifat umum
Ayat Hijab ini umum hukumnya bagi sekalian Muslimat, bukan hanya untuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Ini kerana, apabila golongan sebaik-baik umat iaitu para sahabat & isteri-isteri baginda disyarakan hijab penghadang antara mereka maka umat yang terkemudian, yang mana kemungkaran berleluasan terlebih utama lagi dengan hukum ini. Lebih-lebih lagi, telah diyakini dengan secara umum bahawa berlakunya muqadimah zina & seterusnya penzinaan, apabila tiada mengasingkan antara lelaki dengan perempuan seperti yang berlaku di insitusi-insitusi pengajian.
Imam Qurtubi menjelaskan bahawa ayat Hijab ini umum hukumnya, dengan katanya: “Pada ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Taala membenarkan meminta kepada isteri-isteri Nabi s.a.w disebalik tabir, apabila terdapat sesuatu hajat atau pun masalah agama yang diminta fatwa daripada isteri-isteri baginda. Termasuklah sekalian perempuan (tidak hanya isteri-isteri Nabi) dalam hukum sedemikian dengan pergertian yang difahami daripada ayat tersebut&juga dengan apa yang terdapat di dalamnya asas-asas syariat iaitu dari segi diri wanita itu adalah aurat, sama ada badannya&suaranya (di sisi mazhab Syafie: suaranya aurat jika seseorang lelaki terasa enak apabila mendengarnya)…”
Sokongan bahawa Ayat Hijab bersifat umum
Sebagai menguatkan bahawa ayat Hijab ini bersifat umum, terdapat di antara beberapa riwayat hadis tentang sebab turunnya ayat ini, riwayat yang menunjukkan bahawa pencampuran itu membawa kepada perkara-perkara yang tidak elok. Hadis yang dikeluarkan oleh Nasaie daripada Mujahid seterusnya daripada Aisyah, yang bererti: “Adalah aku makan ‘Haisan’(bubur yang dibuat daripada tamar,minyak sapi&gandum) bersama Nabi s.a.w di dalam satu mangkuk maka Umar melewati kami lalu baginda menjemputnya&ia pun makan bersama. Kemudian, tersentuh tangan Umar dengan tanganku lantas ia berkata: “Bagus-bagus!!” atau “Wah-wah!!”(nada tidak menyukai). Umar menambah lagi: “Jika diikutkan kehendakku terhadap isteri-isteri Nabi ini, aku harap mereka tidak dilihat oleh mata manusia, lalu diturunkan ayat Hijab.”
Nabi saw memandang serius tentang percampuran
Nabi s.a.w mengambil perhatian serius dan memberi penekanan yang berat terhadap percampuran tersebut sehinggakan kelibat kaum Hawa ini pun, baginda tidak membenarkannya. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih Bukhari daripada sanadnya yang berhubung kepada Az-Zuhri daripada Hindun Bt. Haris seterusnya daripada Ummu Salamah radhiyallah -anha, berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila memberi salam (di dalam solat), lalu kaum perempuan bangun berdiri ketika telah selesai salam baginda. Baginda tetap sejenak di tempat duduknya sebelum bangun berdiri. Kata Perawi (Az-Zuhri): “Kami berpendapat (wallahu ‘aklam) perbuatan Nabi tersebut supaya kaum wanita beredar sebelum dapat dilihat oleh seorang pun daripada kaum lelaki.” (Sahih Bukhari: bab solat kaum wanita di belakang kaum lelaki)
AZAB DAHSYAT BAGI PEREMPUAN YANG TIDAK MENUTUP AURAT DAN BERPAKAIAN MENJOLOK MATA
Wahai kaum perempuan yang tidak menutup aurat atau berpakaian seluar dan baju ketat @ singkat yang boleh membangkitkan nafsu lelaki! takutilah kamu azab sengsara yang Allah Taala sediakan di akhirat kelak. Janganlah dituruti cara berpakaian perempuan kafir dan artis-artis yang fasik.
Ambillah iktibar dengan perkhabaran Junjungan Besar Nabi kita saw yang menceritakan kepada Saidina Ali tentang perempuan yang diazabkan ketika malam ‘Isra’ & Mikraj’, maksudnya: “Wahai Ali! Ketika malam diisra’kan daku ke langit, aku melihat perempuan daripada kalangan umatku yang diazabkan dengan berbagai-bagai azab maka aku menangis takala melihat bersangat azab mereka itu. Aku melihat perempuan yang digantung dengan rambutnya hingga mengelegak otaknya…” Kemudian Saidatina Fatimah menanyakan sebab diazabkan sedemikian, Nabi menerangkan, maksudnya: “Wahai anak kesayanganku! Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu disebabkan dia (di dunia dahulu), tidak menutup rambutnya daripada kaum lelaki….”(Azzawajir, m/s 67)
Nabi saw menceritakan di antara sifat @ kelakuan salah satu daripada empat golongan perempuan yang menjadi ahli neraka, bermaksud: “…Seseorang perempuan yang tidak menutup aurat dirinya daripada lelaki (ajnabi) dan dia keluar daripada rumahnya dengan ‘Tabaruj’(menzahirkan keelokan/berhias-hias untuk menarik pandangan/keinginan/perhatian kaum lelaki)..”(Azzawajir Ibnu Hajar Al-Haitami, m/s 66)
Sabdanya lagi, bermaksud: “Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi masih bertelanjang (tidak menutup aurat dengan sempurna), yang menjadikan dirinya sebagai contoh ikutan terhadap perbuatan keji mereka (membuka aurat), yang menyimpang daripada ketaatan terhadap Allah (tidak menunaikan kewajipan ke atas mereka), rambut kepala mereka seperti ungguh unta Khurasan, mereka tidak akan masuk surga dan tidak dapat mencium baunya (surga).” (Riwayat Muslim: Kitab Al-Libas, bab an-nisa al-kasiyat al-‘aariyaat)
Jangan terlampau bebas keluar & menzahirkan diri di khalayak lelaki
Kebebasan seseorang perempuan dari sudut syariat Islam adalah terbatas, tidak seperti lelaki. Mereka tidak digalakkan bebas keluar rumah dengan menzahirkan diri di khayalak ramai. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab:33, bermaksud: “ Hendaklah mereka (perempuan) tetap di dalam rumah mereka dan janganlah bertabarruj sebagaimana bertabarruj perempuan-perempuan jahiliah yang dahulu.”
Makna ‘Tabarruj’ ialah menzahirkan keelokkan/perhiasan/berhias-hias/menarik perhatian kepada lelaki ajnabi (asing yang bukan mahram). Mujahid, murid Ibnu Abbas, berpendapat bahawa perempuan-perempuan berjalan mundar-mandir bersama-sama dalam khalayak kaum lelaki maka itulah dinamakan ‘Tabarruj’.
Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani, bermaksud: “Tidaklah Perempuan berhak keluar dari rumahnya melainkan terpaksa (perkara yang mustahak/tidak dapat tiada) dan tidaklah mereka berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepi jalan sahaja.”
Tersebut dalam kitab Azzawajir bagi Ibnu Hajar Al-Haitami, Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka apabila ia keluar daripada rumahnya, nescaya syaitan mendongak melihat kepadanya. Terlebih menghampiri diri seseorang perempuan kepada Allah Taala ialah apabila ia berada di dalam rumahnya.”
Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka kamu tahanlah mereka di dalam rumah-rumah…. .(dalam kitab Azzawajir :m/s 66)
Saidina Ali berkata: “Adakah kamu tidak malu?, adakah kamu tidak cemburu? Seseorang daripada kalangan kamu membiarkan isterinya keluar di khalayak lelaki. Isterinya melihat mereka. Mereka melihatnya.”
Saidina Ali bertanya kepada isterinya, Fatimah: “Apakah sesuatu yang terbaik bagi seseorang perempuan?Fatimah menjawab: “ Bahawa dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak dapat melihatnya.” .(dalam kitab Azzawajir: m/s 66)
AKHIR KALAM
Lantaran itu, kembalilah! kearah Tuhan Rabul ‘izzah, Tuhan semesta alam, yang mencipta serta mentadbirkan kita dengan sifat RahmanNya, dengan membaiki segala kesilapan, kealpaan dan kegelinciran kita yang tersimpang jauh daripada landasan SyariatNya. Hendaklah kita berpegang teguh dengan syariat Allah, walau apa jua keadaan sekalipun.
WALLAHU’ALAM….