HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Jun 2021

110 Cabang AMK tolak kepimpinan Akmal Nasir

MGF28112019_SIDANG-PARLIMEN_35
Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman yang berlaku dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) makin serius apabila kira-kira 110 Ketua AMK Cabang menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Ini berlaku selepas Akmal Nasrullah melakukan rombakan besar-besaran struktur kepimpinan sayap parti PKR itu termasuk melucutkan jawatan Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi berkuatkuasa serta merta.

Kenyataan bersama AMK Cabang yang turut ditandatangani Najwan hari ini mendakwa, Akmal Nasrullah yang lebih dikenali dengan panggilan Akmal Nasir tidak lagi layak menerajui kepimpinan sayap parti itu.

“Berikutan rombakan besar-besaran yang dilakukan pucuk pimpinan AMK pusat tanpa pengetahuan kepimpinan sayap di seluruh negara, kira-kira 110 Ketua AMK Cabang PKR menyatakan tidak lagi menyokong ketuanya itu.

“Beliau ternyata tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila melucutkan jawatan sebahagian besar pemimpin muda yang bekerja kuat menguatkan parti selepas ‘Langkah Sheraton’.

“Untuk makluman, AMK mempunyai 137 cabang dan 110 Ketua AMK Cabang yang menang secara rasmi dan sah dalam pertandingan tahun lalu telah menolak kepimpinan Akmal Nasir,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lalu, Akmal Nasir membuat kejutan menerusi surat bertajuk, “Rombakan Menyeluruh Struktur Jawatankuasa AMK Selangor”, membubarkan seluruh jawatankuasa AMK negeri itu termasuk melucutkan jawatan disandang Najwan.

Surat yang ditandatangan Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razak itu menyatakan, ada keperluan untuk AMK Malaysia melakukan rombakan strategik bagi bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memastikan gerak kerja lebih berfokus dan tersusun.

Selain Najwan, turut menandatangani kenyataan bersama itu ialah bekas Ketua AMK Perlis Azam Karap dan Naib Ketua AMK pusat, Syed Badli Shah, masing-masing digugurkan oleh AMK pusat dua hari lalu.

Menurut kenyataan itu, jika AMK pusat hendak membuat rombakan atas alasan pemilihan PKR dilanjutkan sehingga tahun 2023, adalah lebih baik dilakukan secara keseluruhan terhadap tampuk kepimpinan AMK.

“Sudah terang lagi bersuluh Akmal Nasir adalah Ketua AMK Malaysia paling lemah dan tidak efektif dalam sejarah kepimpinan sayap parti.

“Oleh itu, kami menggesa AMK Malaysia mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi melantik Ketua baharu yang mempunyai keabsahan,” katanya. – MalaysiaGazette

Kenapa ‘strict’ dengan Sabah?

Wartawan MalaysiaGazette

sabah

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah hairan kenapa Kerajaan Persekutuan begitu ‘strict‘ dengan Sabah sedangkan kes harian tidak melebih 500 sehari.

Exconya, Yillson Yanggun berkata, beliau faham prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mampu mengekang penularan wabak Covid-19, namun setakat hari ini, ramai pemain industri khususnya pengusaha restoran-restoran dan perniagaan lain terjejas teruk.

”Persoalannya lagi, sampai bila kita akan laksanakan PKP ?

”Kita sudah laksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei 2021, tapi sehingga hari ini kes terus meningkat dan belum ada tanda-tanda pengurangan untuk dua minggu akan datang. Sampai bila kita begini ?,” soal beliau dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, rakyat sendiri bingung dengan SOP yang ditetapkan, umpamanya, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tapi kedai buku pula ditutup.

Justeru, beliau merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk memahami keadaan Kerajaan Negeri Sabah.

Lagipun, katanya, Sabah memiliki pemimpin berkaliber untuk mengawal pandemik ini.

”Biarlah kerajaan Persekutuan teruskan membantu negeri salurkan bantuan. Yang pasti, kerajaan negeri ada idea tersendiri dan perlu dihormati. Bukan pula dihalang untuk buat tindakan.

”Apa yang penting adalah tanggungjawab Kabinet Negeri Sabah untuk menetapkan SOP yang kukuh di samping bantuan-bantuan bakul makanan kepada rakyat di bawah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Jangan peduli adu domba, fokus perkasa parti – Zahid

MGF19102019_KONVENSYEN-UMNO-SELANGOR05
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Usaha mengadu domba oleh pihak tertentu terhadap UMNO tidak akan melemah dan memecahbelahkan kepimpinan parti itu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu mengajak pimpinan dan ahli untuk terus memberi fokus kepada kerja memperkasakan parti.

Katanya, adu domba itu tidak akan mengalihkan tumpuan kepimpinan daripada usaha menjulang kembali UMNO.

“Semangat dan persiapan UMNO berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap bingkas dan terus mara, dengan pimpinan dan ahli parti akan terus mengambil berat keadaan rakyat dan negara.

“Saya menyeru semua pimpinan dan ahli, berusahalah semampu boleh untuk membantu walau dalam kapasiti yang terhad, tetapi pada masa sama berhati-hatilah dengan percaturan serta propaganda lawan. Kita kena bijak menilai kelicikan musuh,” katanya menerusi hantara Facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ahli dan pimpinan juga perlu berhati-hati dengan muslihat serta tipu daya musuh.

Katanya, UMNO tetap UMNO dan pemimpin serta akar umbinya tahu apa terbaik untuk parti, bukan mempercayai kata-kata musuh yang bersifat memuji.

Beliau memberi jaminan, UMNO berada di landasan yang tepat dan mempunyai strategi untuk bangkit. – MalaysiaGazette

Pejabat Parlimen Setiawangsa nafi tak bantu penduduk Desa Rejang

Nik-Nazmi-pantau-proses-vaksin-Desa-Rejang
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad memantau perjalanan proses vaksinasi di Dewan Serbaguna DBKL, Cawangan Setiawangsa, 

KUALA LUMPUR – Pejabat Khidmat Parlimen Setiawangsa hari ini menafikan dakwaan kononnya wakil rakyatnya tidak turun padang membantu penduduk Perumahan Awam (PA) Desa Rejang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 18 Jun lalu.

Menurut pegawainya, Farid Iqmal Shamshuddin, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad antara yang terawal turun padang menyantuni penduduk sebelum Desa Rejang dikenakan PKPD.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang penerima bantuan kononnya YB Nik Nazmi tidak pernah turun padang membantu penduduk Desa Rejang.

“Sebenarnya, YB Nik Nazmi lebih awal turun ke situ ketika proses vaksinasi dijalankan di Dewan Serbaguna DBKL, Cawangan Setiawangsa pada 13 Jun lalu.

“Malah sehari sebelum PKPD dilaksanakan, YB Nik Nazmi sempat menyampaikan sumbangan barang keperluan dan beberapa permintaan penduduk kepada pihak PDRM,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 26 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang penduduk, Kahalid Ghazali, 59, mendakwa sejak PKPD dilaksanakan di Desa Rejang, tiada mana-mana wakil rakyat yang turun padang membantu penduduk terjejas.

Dakwa Khahalid, sebaliknya bantuan termasuk barang keperluan asas banyak disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang bertali arus turun ke kawasan PKPD itu.

Nik-Nazmi-sumbang-600-papar-telur-untuk-Desa-Rejang
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyerahkan 
600 papan telur kepada penduduk Perumahan Awam Desa 
Rejang yang terjejas akibat pelaksanaan PKPD pada 23 Jun 
2021.

Dalam pada itu, dakwaan itu tidak berasas malah amat mengecewakan wakil rakyatnya sedangkan dua hari sebelum laporan itu dikeluarkan, Nik Nazmi turut menyampaikan bantuan bekalan telur kepada penduduk terjejas.

“Pada 24 Jun lalu, YB Nik Nazmi sempat menyerahkan 600 papan telur kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diedar kepada penduduk Desa Rejang yang berdepan PKPD,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Kem Farhash dipecat kecam Akmal ketua AMK paling teruk dalam sejarah


Sayap pemuda PKR, AMK kini dikatakan berpecah kepada dua kumpulan antara pengikut Rafizi Ramli, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Ketua AMK) dan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Kem Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dipecat oleh kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, menuduh Akmal Nasrullah Mohd Nasir adalah Ketua AMK Malaysia paling lemah dalam sejarah.

Serentak itu enam daripada pemimpin AMK yang dipecat mendesak sayap Pemuda PKR itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi melantik Ketua AMK Malaysia yang baharu.

28 Jun lalu Agenda Daily melaporkan ‘perang’ dua kem dalam PKR membabitkan Rafizi dan Farhash, memuncak apabila Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Selangor, dipecat daripada jawatan Ketua AMK Selangor.

Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut membubarkan seluruh jawatankuasa AMK Selangor dan Perlis serta memecat beberapa Exco AMK Pusat yang dilihat menyebelahi Farhash dan Anwar.

Akmal Nasir dilihat sebagai anak didik Rafizi, sementara Najwan dan kemnya adalah penyokong kuat Farhash.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan Rafizi mendedahkan kartel baharu dalam PKR yang membabitkan orang kanan Anwar.

Peringatan secara terbuka Rafizi kepada Anwar berhubung tindak-tanduk Farhash dalam media sosial mencuri perhatian ramai.

Sementara itu memetik laporan MalaysiaKini hari ini, enam daripada mereka yang dipecat, termasuk Najwan menggesa mesyuarat agung luar biasa diadakan bagi melantik ketua AMK yang baharu.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Akmal Nasir merupakan Ketua AMK Malaysia paling lemah dan tidak efektif dalam sejarah kepimpinan AMK.

“AMK Malaysia perlu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi melantik Ketua AMK Malaysia baru yang mempunyai keabsahan,” kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Najwan; bekas ketua AMK Perlis, Azam Karap; bekas naib ketua Syed Badli Shah; bekas penolong setiausaha AMK; Naqib Nasruddin; bekas timbalan pengarah strategi AMK, Fakhrulrazi Zailan; dan bekas ketua biro mahasiswanya, Shahrul Nizam.

Mereka juga mendakwa 110 daripada 137 ketua cabang AMK hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Akmal Nasir.

PKR terus bergolak, pemimpin Pemuda PKR Selangor bantah pemecatan ketuanya

 Staff Writers MALAYSIA NOW

Tiada alasan kukuh diberikan untuk memecat Najwan yang juga Adun Kota Anggerik itu.

Pemimpin-pemimpin Pemuda PKR Selangor hari ini membantah keputusan pemecatan ketua mereka Najwan Halimi, yang dikatakan sebagai keputusan terburu-buru, menambahkan pergolakan parti pimpinan Anwar Ibrahim itu.

Mereka juga berkata tiada alasan kukuh diberikan untuk memecat Najwan yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik itu.

“Kami membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsensus,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

MalaysiaNow melaporkan hari ini PKR kini bakal berdepan krisis dalaman terbaru selepas kembali menjadi pembangkang, kali ini dalam bentuk perubatan kuasa dan pengaruh antara dua orang pengikut setia Anwar.

Perkara ini berlaku selepas ketegangan antara setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meletus sejak beberapa minggu lalu.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 17 ketua-ketua Pemuda PKR Selangor, Najwan mempamerkan kepimipinan cemerlang selama dua tahun dan berjaya menyatupadukan sayap itu di Selangor sejak peristiwa Langkah Sheraton tahun lalu yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

“Beliau juga memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik,” katanya.

“Kami juga turut menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar selaku presiden PKR dan akan terus mempertahankan beliau dari digugat oleh pihak-pihak yang cuba melemah serta memecahbelahkan parti.”

Bicara kes 1MDB Najib bersambung Isnin depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion, akan bersambung pada 5 Julai di Mahkamah Tinggi, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berkata kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara semalam dan hari ini, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, namun ditangguh berikutan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kami menerima e-mel daripada mahkamah petang semalam memaklumkan perbicaraan kes 1MDB dilapangkan untuk minggu ini. Mengikut jadual ditetapkan sebelum ini, tarikh perbicaraan seterusnya bermula 5 hingga 8 Julai," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Perbicaraan kes 1MDB kali terakhir didengar pada 27 Mei lalu.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, apabila perbicaraan bersambung nanti.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – BERNAMA

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT     

‘Kenapa Takiyuddin Hassan salah’

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan bahawa persidangan parlimen hanya boleh bersidang hanya selepas tempoh darurat tamat adalah salah, kata ahli parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Lim merujuk pentadbiran kerajaan BN sebelum ini tidak membatalkan proklamasi darurat selama lebih dari 40 tahun tetapi parlimen tetap bersidang.

"Takiyuddin salah dari segi undang-undang dan sebenarnya dengan mengatakan bahawa parlimen hanya dapat bersidang setelah darurat berakhir kerana Parlimen Malaysia telah bermesyuarat dalam beberapa keadaan darurat selama lebih dari empat dekad.

"Yang terbaru adalah pada 24 Nov 2011 di mana parlimen membatalkan banyak pengisytiharan darurat dan Malaysia menjadi negara yang lebih normal.

"Ini diikuti usul di parlimen oleh perdana menteri ketika itu, Najib Abdul Razak, pada 24 Nov 2011, untuk membatalkan pengisytiharan darurat 1966, 1969 dan 1977," katanya.

Takiyuddin Hassan 

Kata Lim, sejak 1979 dia menganjurkan untuk mengakhiri pengisytiharan darurat.

"Seperti yang saya katakan dalam usul saya di parlimen tahun 1979 untuk membatalkan pengisytiharan darurat: 'berlanjutannya pengisytiharan darurat, ketika keadaan darurat yang dibuatnya sudah tidak ada lagi, sudah tentu ini merupakan penyalahgunaan kuasa dan tidak berperlembagaan'.

"Ini juga merupakan gejala keangkuhan kuasa yang telah lama memberi masalah kepada Umno dan BN pada waktu itu," kata ahli parlimen DAP itu.

Namun, Lim berkata usulnya kemudian ditolak dan hanya pada tahun 2011 mereka akhirnya membatalkannya.

Oleh itu, Lim mengulangi cadangannya untuk mengembalikan peruntukan asal dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Dia berkata peruntukan asal yang diperuntukkan untuk mana-mana peraturan darurat akan berakhir secara automatik dalam masa dua bulan selepas ia dikuatkuasakan kecuali diluluskan oleh parlimen.

Sebagai alternatif, ia akan berakhir 15 hari dari ketika Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang, jika tidak dipersetujui oleh kedua-dua dewan.

Lim berkata ini untuk memastikan tidak ada penyalahgunaan kuasa dan bagi memastikan pengisytiharan darurat tertakluk kepada kajian dan kawalan parlimen.

Kerajaan mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan pada 11 Januari lalu dan akan berakhir pada 1 Ogos.

Bagaimanapun pada 16 Jun, selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu,Yang Di-Pertuan Agong bertitah agar parlimen bersidang “secepat mungkin”.

Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun mengeluarkan kenyataan pada 25 Jun bahawa parlimen sedang mengkaji persidangan secara hibrid, dan memerlukan masa untuk membuat persediaan.

Dijangka, parlimen secara hibrid dapat mula bersidang pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya awal September depan.

Sehari kemudian, kedua-dua mereka dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Di sebalik kenyataan Rais dan Azhar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata kerajaan belum memutuskan sama ada persidangan parlimen akan berlangsung secara fizikal atau hibrid, dan kenyataan speaker hanyalah cadangan sahaja.

Namun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah semalam sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pandangan Seri Paduka itu disampaikan ketika berkenan menerima menghadap Rais dan Azhar.

Kumpulan Najwan gesa EGM untuk lantik ketua AMK baru

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Pemimpin Pemuda PKR (AMK) yang dipecat baru-baru ini secara terbuka mencabar ketua sayap parti itu, Akmal Nasir.

Dalam satu kenyataan bersama, enam daripada mereka yang dipecat, termasuk bekas Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi menggesa mesyuarat agung luar biasa diadakan bagi melantik ketua AMK yang baru.

"Sudah terang lagi bersuluh bahawa Akmal Nasir merupakan Ketua AMK Malaysia paling lemah dan tidak efektif dalam sejarah kepimpinan AMK.

"AMK Malaysia perlu mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi melantik Ketua AMK Malaysia baru yang mempunyai keabsahan," kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Najwan, bekas ketua AMK Perlis, Azam Karap, bekas naib ketua Syed Badli Shah, bekas penolong setiausaha AMK, Naqib Nasruddin, bekas timbalan pengarah strategi AMK, Fakhrulrazi Zailan, dan bekas ketua biro mahasiswanya, Shahrul Nizam.

Mereka mendakwa sejumlah 110 Ketua AMK cabang daripada 137 secara keseluruhannya menolak serta hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal.

Seluruh kepimpinan AMK Selangor dan Perlis dipecat pada Selasa. lalu dengan beberapa pemimpinnya di peringkat pusat turut mengalami nasib sama.

Alasan yang diberikan adalah "rombakan strategik" itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 memandangkan pemilihan PKR dilanjutkan hingga 2023.

Namun, kumpulan Najwan berkata sekiranya alasan tersebut diberikan, keseluruhan tampuk kepimpinan AMK harus dirombak.

"Kami berpandangan bahawa jika rombakan mahu dilakukan atas asbab Pemilihan Parti Keadilan Rakyat dilanjutkan sehingga tahun 2023, maka lebih baik rombakan itu dilakukan secara keseluruhan terhadap tampuk kepimpinan AMK," jelas mereka.

Pertelingkahan itu berlaku di tengah perebutan kuasa antara kem bekas naib presiden parti itu, Rafizi Ramli dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Akmal dilihat sebagai anak didik Rafizi dan baru-baru ini membuat komentar tajam mengenai pembantu Anwar itu, khususnya "Geng Baju Hitam" yang dipimpin oleh Farhash.

Najwan bertanding merebut jawatan ketua AMK pada tahun 2018 dalam pertandingan tiga penjuru.

Pertelingkahan terbaru itu berlaku kira-kira selepas setahun pergolakan dalam PKR menyebabkan berlaku insiden lompat parti dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Memalukan bila Pemuda PH ajar rakyat menyerah kalah sebelum bertempur

Mendalam sungguh bidasan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Mat terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH), khusus kepada Ketua Pemudanya.

Apa yang dikatakan oleh Nik Abduh itu sebenarnya itulah yang diajarkan Islam. Berdepan dengan masalah negara, negeri, daerah, kampung, hatta dalam rumah sendiri – angkat tangan mohon doa pertolongan Allah kerana kita telah berusaha.

Kemudian selepas itu berdoa dan akhir sekali tawakal kepada Allah. Bukannya ajar orang ramai untuk terus mengalah dan menyalah anggap perbuatan baik sehingga menjadi dipandang serong.

Tujuan asal letak bendera putih depan rumah untuk memberitahu kesusahan dialami oleh keluarga berkaitan. Bolehlah jiran-jiran yang takut keluar rumah sekarang ini kerana Covid-19 tahu kesusahan dan hulurkan bantuan segera apa yang perlu.

Tanggungjawab jiran juga untuk memberi bantuan. Kalau buat tak tahu kesusahan jiran, tunggulah di akhirat nanti. Jawablah dalam senarai panjang sejauh mata memandang di Masyar kelak.

Dan satu lagi! Pasang bendera putih di pagar rumah tu siapa-siapa pun boleh letak, kemudian ambil gambar. Boleh jadi juga puak-puak blok pembangkang yang letak dan ambil gambar kemudian kirim dalam media sosial untuk jadikan isu.

Aduh, pelik betul rasanya puak-puak ini. Fikir singkat. Macamlah rakyat tak boleh baca cara politik mereka. Macam mana lah nak jadi pemimpin masa depan. Memalukan anak bangsa. Sebab itu pemimpin mereka Anwar Ibrahim masih jadi ‘PM tepi’.

Itu nasib lah letak bendera putih. Kalau letak bendera merah separuh tiang, atau ikat kain merah di tiang rumah, pasti lagi cepat dapat bantuan. Maaf! Hanya pihak tertentu dan keadaan tertentu sahaja buat macam ni dan difahami pula oleh orang tertentu.

Hari ini Ketua Pemuda PH Shazni Munir Mohd kata kempen bendera putih adalah bukti kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menjaga kebajikan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu sajakah yang mampu difikirkan oleh pemuda-pemuda PH, setelah kerajaan PN mengumumkan lagi bantuan kepada rakyat berjumlah RM150 bilion semalam?

Sebaliknya, Nik Abduh menasihatkan kita semua supaya mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan Allah SWT, bukannya angkat bendera putih.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” tegas Nik Abduh.

Tuduhan Shazni kononnya kerajaan PN mencari pelbagai alasan untuk mengekalkan kuasa adalah satu lawak jenaka. Siapa yang tergila-gilakan kuasa? Siapa yang gilakan sangat kerusi Perdana Menteri tu?

(*) Tok Akhi
Pemerhati politik kampung

Sidang Parlimen khas sebelum 1 Ogos, kata Yang Dipertua


Sidang Parlimen akan diadakan sebelum 1 Ogos.

Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mencadangkan persidangan khas Parlimen untuk diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam satu kenyataan bersama, Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan majlis menghadap semalam.

Menurut kenyataan itu, pada majlis menghadap berkenaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Majlis itu turut dihadiri timbalan-timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan agar sidang Parlimen dijalankan secepat mungkin semasa pertemuan dengan kedua-dua Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Negara dan Dewan Rakyat di Istana Negara.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong semasa pertemuan satu jam dengan Speaker menzahirkan Sidang Parlimen perlu dibuka dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook Istana Negara.

Mahkamah tolak permohonan Azmin batal tuntutan pengundi Gombak

Dalam tuntutan mereka, pengundi di Gombak mempertikaikan bahawa Azmin 
Ali mengatur ‘Langkah Sheraton’ untuk kepentingan diri dan kemajuan politiknya 
sendiri, bukan untuk manfaat kawasan pilihan rayanya.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali gagal membatalkan tuntutan yang dikemukakan oleh 10 pengundi kawasan berkenaan terhadapnya kerana didakwa melanggar kewajipan fidusiarinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir menolak permohonan Azmin untuk membatalkan tuntutan berkenaan dengan alasan ada isu yang perlu diadili sebelum perbicaraan penuh. Mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes dari 7 hingga 10 Jun 2022.

Azmin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, diwakili oleh peguam Nizamuddin Abdul Hamid, sementara Yohendra Nadarajan dan Surendra Ananth mewakili pengundi.

Kumpulan pengundi tersebut dalam tuntutan mereka berkata, Azmin mempunyai kewajipan fidusiari dan merupakan pemegang amanah bagi kawasan pilihan rayanya itu.

Mereka mempertikaikan bahawa Azmin meninggalkan PKR dan mengatur “Langkah Sheraton” untuk kepentingan diri dan kemajuan politiknya sendiri, bukan sebagai manfaat bagi konstituennya.

Kata mereka, Azmin tidak perlu mengenali setiap kawasan pilihan rayanya untuk beliau menjalankan kewajipan fidusiarinya kerana mereka memilihnya berdasarkan prinsip bahawa seorang Ahli Parlimen berkhidmat untuk semua orang.

Pengundi-pengundi itu juga berkata, “Langkah Sheraton” tidak membawa sebarang manfaat kepada kawasan Gombak.

Mereka turut berasa kecewa dengan tindakan Azmin yang menipu dan menyalahi undang-undang dan memohon deklarasi bahawa beliau melanggar sumpah jawatannya untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Akhtar turut menolak permohonan pengundi untuk menghapus perenggan tertentu dalam kenyataan bela oleh Azmin yang berkait tuduhan salah laku seksual Anwar Ibrahim dan amalan nepotisme dalam PKR.

Azmin, bekas timbalan presiden PKR, dalam pembelaannya mendakwa tingkah laku seksual Anwar adalah antara punca beliau meninggalkan parti dan kemudian bergabung dengan Bersatu.

Azmin berkata, beliau akan mengemukakan bahan bukti yang tidak pernah diketahui umum semasa perbicaraan ketika saman itu didengar.

Katanya lagi, beliau memutuskan untuk keluar parti setelah membuat kesimpulan bahawa Anwar tidak layak memimpin PKR mahupun menjadi perdana menteri.

Kenyataan Nik Abduh ‘tak peka, pelik’, kata penganalisis

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis mengecam seorang pemimpin PAS kerana memperlekehkan “kempen bendera putih” yang dimulakan di media sosial baru-baru ini untuk membantu rakyat dalam kesusahan ekoran usaha kerajaan membendung Covid-19.

Kata mereka, ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Abdul Aziz, memperlihatkan sikap tidak peka dan kurangnya kemahiran kepemimpinan ketika beliau menyiratkan bahawa kempen berkenaan adalah untuk orang-orang lemah yang bersikap seperti orang kalah.

Kempen berkenaan menyeru sesiapa yang memerlukan bantuan segera, terutamanya dari segi makanan, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 untuk mengibarkan bendera putih di rumah.

Dalam catatan di Facebook semalam, Nik Abduh berkata: “Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih.”

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Pawi menyifatkan kenyataan Nik Abduh sebagai “pelik”, dengan berkata, beliau tidak faham mengapa PAS tidak menyokong kempen berkenaan dan mengapa Nik Abduh tidak dapat melihat perbezaan antara doa sebagai “isyarat dalaman” untuk meminta bantuan dan kempen berkenaan sebagai “isyarat luaran”.

“Ia seruan untuk mendapatkan bantuan makanan,” katanya kepada FMT.

Bekas ahli akademik, Azmi Hassan berkata, para pemimpin PAS sepatutnya menunjukkan budi bicara ketika bercakap mengenai kempen yang bertujuan membantu orang dalam kesusahan.

Azmi dan Awang Azman mempersoalkan kualiti kepimpinan dalam PAS, terutama sekali dalam peranannya dalam kerajaan.

Kata Azmi, nampaknya seperti PAS tiada “pengetahuan asas” sekalipun untuk mentadbir negara.

Beliau berkata, ramai ragu-ragu dengan kemampuan parti tersebut ketika ia menyertai kerajaan dan keraguan mereka telah dibuktikan benar.

“Pemimpin PAS telah membuktikan (tanggapan ini) dengan membuat terlalu banyak kesilapan. Keputusan mereka kadang-kadang cetek dan tidak mempunyai justifikasi,” katanya.

Dua hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, Dewan Rakyat hanya boleh bersidang setelah darurat berakhir pada 1 Ogos, walaupun Yang di-Pertuan Agong sebelum ini memperkenan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.

Kata Azmi, ini antara contoh kegagalan pemimpin PAS mengkaji sesuatu isu sebelum memberi komen.

Awang Azman berkata, PAS belum lagi menunjukkan mereka dapat mencari penyelesaian kepada masalah-masalah sosial yang kini muncul akibat rakyat kehilangan pendapatan.

Beliau memberi contoh semakin ramai orang meminjam dengan Ah Long, yang katanya, kini menjadi isu besar.

“PAS sepatutnya cari penyelesaian kepada masalah-masalah seperti itu,” katanya.

Kita cuba yakinkan PM adakan Sidang Khas Parlimen sebelum Ogos, kata Rais

Rais Yatim berkata, sesi pertama hendaklah diadakan dalam bentuk sesi fizikal, 
bukannya secara hibrid disebabkan kekangan Peraturan Mesyuarat dan undang-
undang sesi sidang Parlimen.

PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim akan berbincang dan cuba meyakinkan perdana menteri untuk mengadakan sidang khas Parlimen sebelum 1 Ogos, susulan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong semalam yang menyuarakan hasrat supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengutus surat kepada Pejabat Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin mempunyai dua pilihan, sama ada menghantar sahaja surat memaklumkan tarikh persidangan khas atau bermesyuarat untuk menentukannya dengan pihak berkaitan.

Katanya, sidang khas Parlimen disaran diadakan lima hari secara fizikal, sementara persidangan Parlimen akan berlangsung pada hujung Ogos untuk memberi notis 28 hari kepada semua Ahli Parlimen.

“Tarikh sidang khas Parlimen akan ditakwimkan perdana menteri. Mungkin dua hari, mungkin lima hari. Kemudian persidangan biasa akan dibuat pula pada hujung Ogos ini,” katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.

Selain Rais, turut diterima menghadap Agong semalam ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan lima timbalan yang dipertua.

Selepas pertemuan itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengulangi kenyataan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan serta Parlimen.

Agong juga berpandangan semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk melaksanakan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus telus, berintegriti serta bertanggungjawab.

Rais berkata, sesi pertama hendaklah diadakan dalam bentuk sesi fizikal, bukannya secara hibrid disebabkan kekangan Peraturan Mesyuarat dan undang-undang sesi sidang Parlimen.

“Namun kami menasihatkan Tuanku dari segi peraturan, Ketua Majlis iaitu perdana menteri hendaklah bertindak menjadikan sesi itu sebagai kenyataan.

“Kami akan berbincang dengan perdana menteri untuk melihat tarikh yang terbaik. Tapi ditekankan Agong supaya tidak boleh lewat daripada jangkaan. Kita akan cuba meyakinkan perdana menteri supaya persidangan dapat diadakan sebaiknya sebelum 1 Ogos ini.”

Jika tahu apa akan berlaku sekarang, saya lebih rela kekal, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysia kini ditadbir kerajaan kleptokrasi.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, jika tahu apa yang akan berlaku dalam pentadbiran di Putrajaya sekarang, beliau lebih rela kekal mentadbir kerajaan pusat selepas berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Berucap di pentas maya sempena Persidangan Kepimpinan Asia 2021, beliau meluahkan kekecewaan terhadap prestasi kepimpinan sedia ada dan mendakwa kerajaan semasa menyalahgunakan kuasa untuk melakukan perkara tidak betul.

“Tetapi sudah tentu kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya yang menyifatkan negara kini ditadbir kerajaan kleptokrasi.

Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk kepimpinan negara selepas Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2020 dan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan Muhyiddin mentadbir negara, Mahathir mendakwa presiden Bersatu itu adalah perdana menteri yang sangat lemah kerana gagal mengurus pandemik Covid-19 dengan baik.

Hari ini Mahathir berkata, selepas berjaya menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia ketika mentadbir negara selama 22 tahun, beliau berpandangan mana-mana pemimpin yang menggantikannya harus meletakkan kepentingan negara berbanding agenda peribadi.

“Namun apa yang berlaku sebaliknya,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu tanpa menamakan mana-mana individu.

Mengulas situasi Covid-19 di seluruh dunia, Mahathir berkata, negara kaya dan berkemampuan harus menunjukkan empati dengan menghulurkan bantuan kepada negara miskin dalam proses pemulihan.

Katanya, ketika dunia berdepan pandemik yang tidak pasti pengakhirannya, negara kuasa besar seharusnya menghentikan pencerobohan ketenteraan terhadap negara serantaunya.

“Harus diingat, virus ini tidak membezakan antara penyerang dan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dunia akan benar-benar pulih selepas negara kaya dan miskin mampu bangkit semula.

“Jika separuh kekal ‘sakit’, tiada jaminan ia tidak akan mengheret separuh lagi ke dalam kehancuran yang berpanjangan.”

Bagaimanapun katanya, kejayaan program pemulihan itu bergantung pada kualiti kepimpinan setiap negara.

“Sekiranya mereka mempunyai integriti, kejujuran, keikhlasan dan benar-benar prihatin terhadap nasib bangsanya, separuh pertempuran akan dimenangi.”

Sultan Nazrin berkenan DUN Perak bersidang 25 Ogos

Saarani Mohamad berkata Sultan Nazrin Shah berkenan Sidang DUN Perak 
diadakan selama empat hari bermula 25 Ogos. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang bermula 25 Ogos.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata, Sultan Nazrin turut berkenan ia diadakan selama empat hari.

Pada 21 Jun lalu, Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan mencadangkan tarikh bagi mengadakan sidang DUN kepada Sultan Nazrin untuk memohon perkenan baginda.

Perak menjadi negeri kelapan yang bakal mengadakan sidang DUN selepas Yang di-Pertuan Agong meminta persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

BERITA LANJUT MENYUSUL

400 petugas Parlimen mula dapat vaksin Covid-19 hari ini

PETALING JAYA: Seramai 400 petugas Parlimen mula terima suntikan vaksin hari ini, kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Mereka akan mendapatkannya di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar ibu negara, tambahnya.

UMNO dilihat tamak kuasa jika keluar kerajaan PN - Penganalisis politik

Astro Awani
UMNO dilihat tamak kuasa jika keluar kerajaan PN - Penganalisis politik
Kata Jeniri, tindakan sedemikian juga boleh mengundang kecaman dan dipandang negatif rakyat yang melihat sepatutnya sekarang parti itu membantu menyelamatkan negara berdepan COVID-19. - Gambar fail/Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: UMNO akan dilihat rakyat sebagai parti yang tamak kuasa dan tidak boleh bergantung harap jika bertindak keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
 
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, tindakan sedemikian juga boleh mengundang kecaman dan dipandang negatif rakyat yang melihat sepatutnya sekarang parti itu membantu menyelamatkan negara berdepan COVID-19.
 
"Jangan salahkan rakyat kalau mereka terus melihat pemimpin politik kita sebagai orang tidak boleh bergantung harap. UMNO sepatutnya membantu menyelamatkan negara tetapi mereka dilihat cuba meruntuhkan negara.
 
"Jadi, jangan burukkan lagi keadaan. Ini masa untuk mereka memperagakan personaliti dan watak yang unggul, harus menjauhi kepentingan peribadi dan politik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
 
Pada Isnin, Ahli Parlimen PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pembentukan jajaran baharu UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) sama ada boleh berlaku dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
 
Beliau berkata, Ahmad Zahid boleh membuat keputusan menggunakan Majlis Tertinggi (MT) untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan sekiranya tuntutan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.
 
Dalam pada itu, Jeniri berkata, sekarang bukanlah masa untuk mana-mana parti politik mengganggu keadaan politik negara lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.
 
"Permainan politik ketika ini digerakkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi untuk menyelamatkan dirinya bukan untuk menyelamatkan kepentingan negara.
 
"Jadi sepatutnya kita selamatkan kepentingan negara, ketepikan kepentingan peribadi dan puak bagi meletakkan kita berada atas landasan betul dan memepercepatkan langkah vaksinasi.
 
"Pastikan angka COVID-19 diturunkan dan dapat beri fokus inisiatif baharu kerajaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) membabitkan wang begitu banyak," katanya.
 
UMNO baru-baru ini memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk memutuskan tarikh Parlimen bersidang, membayangkan tindakan keluar kerajaan jika ia tidak berlaku.

Ia dikukuhkan oleh ura-ura Umno akan bersama PKR-DAP untuk menubuhkan kerajaan baru bernama Jajaran Harapan dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
 
MT UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada 7 Julai ini susulan keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen seawal bulan September akan datang.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT     

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 naik, berapa kali PKP gagal – Najib

MGF04022018_PM-PELANCARAN-FELDA18
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Najib Razak mempersoalkan berapa kali kerajaan mahu gagal dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 telah naik kepada 1.04 setelah dalam trend menaik sejak dua minggu lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata, kadar ke atas paras neutral 1.0 bermakna kes baharu dalam trend meningkat dengan pesat.

Selain itu, kes baharu juga naik semula ke atas paras 6,000 kes semalam.

Dakwa beliau, kadar positif (kes positif berbanding jumlah saringan) semalam terus naik ke paras tertinggi bulan Jun ini pada 9.46%.

kkm-2
Data KKM

Ia berdasarkan data di bawah:

22 Jun: 69,064 saringan, 4,743 kes (6.87%)
23 Jun: 76,636 saringan, 5,244 kes (6.84%)
24 Jun: 74,542 saringan, 5,841 kes (7.84%)
25 Jun: 74,148 saringan, 5,812 kes (7.84%)
26 Jun: 75,753 saringan, 5,803 kes (7.66%)
27 Jun: 66,969 saringan, 5,586 kes (8.34%)
28 Jun: 61,025 saringan, 5,218 kes (8.55%)
29 Jun: 68,052 saringan, 6,437 kes (9.46%) (semalam)

Tanya Najib, adakah kerajaan sedar bahawa ketiga-tiga petunjuk utama, iaitu kes baharu, kadar kebolehjangkitan dan kadar positif, sedang berada dalam trend menaik.

Soalnya lagi, apakah peluang bagi kes jatuh ke bawah 4,000 kes untuk tujuh hari berturut-turut supaya negara boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan dalam masa terdekat ini.

“PKP 2.0 gagal. PKP 3.0/3.1 gagal.

”Adakah total lockdown juga akan gagal?

”Berapa kali mahu gagal?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

Sudah setahun baru nak turun padang? – Puad

Mohd Puad ZarkashiMohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – ”Baru tubuh jawatankuasa? Memang mengarut,” kata Datuk Mohd Puad Zakarshi.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bersama pihak Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi mengenal pasti kawasan yang tiada liputan Internet atau capaian lemah bagi mengatasi masalah ketika pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini berkata, menerusi jawatankuasa itu, pihaknya akan turun padang untuk melihat dan memantau sendiri kawasan yang tiada liputan atau capaian Internet rendah dan mengambil langkah segera mengatasinya.

Soal Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, tidakkah Kementerian Pendidikan dan KKMM berbincang sebelum mahu melaksanakan PdPR sebelum ini.

Katanya, isu capaian Internet ini sudah setahun berlalu.

Masalah ini tercetuskan apabila seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin yang terpaksa panjat pokok di Pitas untuk mendapatkan capaian Internet.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang berkata, pihaknya akan turun padang untuk melihat dan memantau sendiri kawasan yang tiada liputan, Mohd Puad bertanya: “Baru nak turun padang?”.

”Kes Veveonah dulu tidak turun padang ke? Kerajaan PN semakin ke laut nampaknya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

AMK Selangor bantah pengguguran Najwan, anggap keputusan dibuat secara semberono

Astro Awani
AMK Selangor bantah pengguguran Najwan, anggap keputusan dibuat secara semberono
AMK Selangor menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan Halimi (gambar). - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membantah sekeras-kerasnya keputusan menggugurkan Najwan Halimi dari mengetuai sayap pemuda PKR negeri itu.
 
Dalam satu kenyataan, 14 Ketua Cabang AMK dan tiga Timbalan Ketua AMK Selangor menganggap keputusan itu dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsesus pimpinan AMK negeri itu.
 
"Sepanjang tempoh lebih dua tahun beliau memimpin AMK Negeri Selangor, Najwan Halimi telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang serta berperanan penting dalam menyatupadukan anggota AMK yang berpecah belah pasca Langkah Sheraton.
 
"Beliau juga telah memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di Negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik.
 
"Justeru, kami menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan Halimi serta menuntut Ketua AMK Malaysia agar menarik semula keputusan beliau semalam dan mengekalkan kedudukan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Negeri Selangor demi memastikan kestabilan sayap pemuda Keadilan serta untuk mengelakkan perpecahan dalaman parti," kata kenyataan tersebut.
 
Kesemua 17 pimpinan cabang AMK Selangor itu juga menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Pada Isnin, menerusi satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab memaklumkan pemecatan pemimpin sayap pemuda PKR itu.
 
Manakala AMK Selangor dan Perlis pula dibubarkan dan Ahmad Syukri menambah dalam surat itu bahawa Ketua AMK, Akmal Nasir akan melakukan rundingan untuk melantik kepemimpinan baharu di Selangor dan Perlis.

Buka Parlimen: "Kalau faham Bahasa Melayu, mereka akan akur Titah Tuanku" - Anwar Ibrahim

Firdaus Azil

Buka Parlimen: "Kalau faham Bahasa Melayu, mereka akan akur Titah Tuanku" - Anwar Ibrahim
Kata Anwar, saranan Agong perlu disegerakan, adalah jelas, bagi memastikan Proklamasi Darurat dapat dibahaskan sebelum 1 Ogos. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Titah berterusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar Parlimen dibuka dengan kadar segera, perlu dijunjung kasih dan dilaksanakan dengan segera, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Ketika mengulas mengenai Titah Tuanku hari ini, Presiden PKR itu berkata, beliau menggesa Menteri bertanggungjawab untuk tidak memutar belit kenyataan Istana Negara, dan mengeluarkan teori perundangan bahawa Parlimen boleh ditangguh hingga hujung Ogos atau September.
 
Jelasnya lagi, saranan Tuanku bahawa ia perlu disegerakan, adalah jelas, terutamanya bagi memastikan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibahaskan di kedua-dua Dewan sebelum 1 Ogos ini.
 
“Bagi yang cerdik, bagi yang tak putar belit kenyataan, mereka tahu berulang kali (maksud) secepat mungkin Jangan ada Menteri…yang agak keterlaluan kalau saya sebut – angkuh, sombong, biadab - nak bawa teori Ogos, September dan sebagainya.
 
“Kerana secepat mungkin, bagi yang faham Bahasa melayu, bermaksud sesegera mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan. Supaya dapat dibahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat sebelum 1 Ogos,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
 
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah hari ini sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan dan Parlimen Malaysia.
 
Jelas beliau lagi, Tuanku Baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, awal hari ini.
 
Selain itu, Ahmad Fadil berkata, pandangan dan seruan yang dinyatakan, merupakan pendirian Agong dan Raja-raja Melayu, yang bertindak sebagai Raja Berpelembagaan, berlandaskan prinsip keluruhan Perlembagaan Persekutuan, dan kedaulatan undang-undang.
 
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau percaya saranan Agong adalah selari dengan pandangan dan harapan majoriti Ahli-ahli Parlimen, serta rakyat secara keseluruhan.
 
Bayangkan satu kerajaan tidak terasa malu dan diaibkan bila YDP Agong terpanggil untuk memberi gesaan sedemikian, kerana saya yakin Agong hanya menyuarakan pandangan majoriti Ahli-ahli Parlimen, dan majoriti rakyat negara ini.
 
“(Agong) yang lebih faham derita mereka, kesukaran mereka, tidak angkuh dan sombong seperti kita lihat jawapan oleh menteri-menteri dan pimpinan dalam negara kita termasuk Peguam Negara dan Speaker,” katanya lagi.

Siti Mariah Mahmud memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin.


Siti Mariah Mahmud memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin.

Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud meminta maaf kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung tuduhan bekalan vaksin yang tidak mencukupi ke negeri itu.

Terdahulu, Siti Mariah menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pagi tadi dan mendengar sendiri taklimat dan diberitahu Selangor akan menerima sejumlah 4,008,710 dos vaksin Covid-19 pada Julai, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

CITF merupakan pasukan petugas khas untuk menguruskan pelaksanaan PICK diketuai Khairy Jamaluddin.

“Selangor akan dapat 4,008,710 dos vaksin untuk Julai. Bekalan yang tertinggi. Terima kasih Yang Berhormat Menteri (Khairy). I will be in your meeting Insya-Allah without fail (saya akan sentiasa hadir dalam mesyuarat anda, Insya-Allah).

Siti Mariah turut bergurau dalam ciapan Twitternya itu berkata: “Alhamdulillah, your nose tak panjang tadi (dengan emoji senyum) Normal. Mohon maaf dunia akhirat @Khairykj”.

Beliau turut berkongsi gambar berkenaan peruntukan bekalan dan pengedaran vaksin pada Julai bagi semua negeri yang menunjukkan Selangor menerima jumlah vaksin tertinggi diikuti Sarawak yang akan menerima 2,389,582 juta dos vaksin, Kuala Lumpur dan Putrajaya 1,614,421 dan Johor 950,618.

Sebelum ini, Siti Mariah membidas Khairy dengan mendakwa Selangor mungkin berdepan masalah bekalan vaksin.

Siti Mariah berkata beberapa PPV di negeri itu mungkin terpaksa ditutup tidak lama lagi sekiranya Selangor tidak mendapat bekalan baru secepat mungkin.

Bagaimanapun, Khairy menafikan dakwaan dilemparkan Siti Mariah Mahmud berhubung isu bekalan vaksin baru-baru ini, walhal realitinya hanya Selangor sahaja masih di tahap bawah 80% dalam penggunaan vaksin ketika ini.

“Saya minta Selangor cepatkan kadar penggunaan vaksin, jadi tuduhan vaksin tidak dihantar tidak betul,” katanya dipetik semasa sidang media hari ini.

Kata tangguh pemilihan PKR, kenapa pecat? kata Ketua AMK Perlis dipecat


Sayap pemuda PKR, AMK kini dikatakan berpecah kepada dua kumpulan antara pengikut Rafizi Ramli, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Ketua AMK) dan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Tindakan memecat dua ketua AMK Negeri, Selangor dan Perlis adalah mengejutkan memandangkan PKR sudah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti tersebut semasa Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-15 baru-baru ini.

Tindakan tersebut dibidas bekas Ketua AMK Perlis, Nor Azam Karap yang menjadi salah seorang mangsa pemecatan walhal usul semasa kongres sudah meluluskan untuk mengekalkan tempoh memegang jawatan bagi sesi kepimpinan 2018/2021.

“Saya tak pasti kenapa saya jadi sasaran. Sedangkan parti telah keluarkan arahan tangguhkan jawatankuasa sedia ada sehingga 2023, bermaksud semua jawatan di semua peringkat kekal hingga tamat tempoh itu.

“Saya bukan daripada mana-mana kem dalam parti, walaupun ada pihak melabel kami dari kem tertentu. Kami tak ambil peduli dan hanya mahu fokus pada agenda parti,” katanya dipetik laporan media.

Selain Nor Azam, seorang lagi ketua AMK, Najwan Halimi juga menerima nasib sama apabila dipecat daripada jawatan Ketua AMK Selangor.

Laporan juga menyebut Ketua AMK Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru bertindak membubarkan seluruh jawatankuasa AMK Selangor dan Perlis berkuat kuasa serta-merta.

Pada Isnin, AMK dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil langkah progresif dengan melaksanakan penyusunan semula kepimpinan dan merombak jawatankuasa organisasi AMK Perlis dan Selangor.

Nor Azam turut berharap pimpinan parti semua peringkat berhenti ‘berpolitik’ dan tumpukan kepada menyelesaikan permasalahan rakyat yang semakin menghimpit sejak pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan Rafizi Ramli mendedahkan kartel baharu dalam PKR yang membabitkan orang kanan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peringatan secara terbuka Rafizi kepada Anwar berhubung tindak-tanduk Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam media sosial mencuri perhatian ramai.

“In Sha Allah saya akan saman budak Farhash ni, @anwaribrahim pls take note (sila ambil maklum). Will instruct my lawyer (akan arahkan peguam saya),” kata Rafizi dalam akaun Twitternya yang dipercayai merujuk kepada Farhash.

Tidak pasti punca perbalahan antara Rafizi dengan Farhash yang mencetuskan amaran untuk saman terhadap orang kanan Anwar tersebut, bagaimanapun Rafizi membayangkan kewujudan satu lagi kumpulan kartel dalam PKR.

“This is what the people in your office cultivate – another rotten culture in PKR to become #kartel2 (Ini sebenarnya orang dalam pejabat anda sedang semaikan, satu lagi budaya busuk dalam PKR yang akan menjadi kartel 2),” katanya lagi.

Selain itu, tular juga mesej yang didakwa ditulis Danish Hairudin yang mendakwa bertugas sebagai setiausaha politik kepada ADUN Selangor, menuduh tindakan memecat Najwan sebagai langkah politik rakus.

Danish mendakwa Najwan dipecat kerana mesra dengan kumpulan baju hitam yang setia mempertahankan Anwar, sedangkan kepimpinan AMK di bawah beliau berjaya menyatukan semua ahli selepas berlakunya Langkah Sheraton.

Dia menuduh tindakan Akmal memecahbelahkan ahli AMK.

“Ini merupakan politik khianat dimana memecat seorang pimpinan berkarisma demi kelangsungan politik,” dakwanya dalam mesej tular itu.

PN jaga kepentingan rakyat beri peruntukan kepada pembangkang


Pemuda PN menyokong penuh Pakej PEMULIH diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan memperuntukkan RM300,000 kepada bukan sahaja Ahli Parlimen kerajaan, tetapi juga pembangkang membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin kepada rakyat.

Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khairudin keputusan itu juga menunjukkan PN bersifat inklusif dan bertanggungjawab tanpa mengira ideologi politik.

“Pemuda PN ingin memuji sikap profesional kerajaan apabila dengan rasa penuh tanggungjawab memberikan peruntukan sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen baik daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang,” katanya dalam kenyataan bersama ketua-ketua pemuda parti gabungan PN hari ini.

Beliau berkata beberapa pengumuman dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sememangnya ditungu-tunggu oleh rakyat dalam berdepan penularan pandemik Covid-19 sekarang.

“Moratorium kepada semua golongan masyarakat dan peniaga, kawalan harga minyak masak, diskaun tarif elektrik kediaman dan pengeluaran KWSP.

“Pemberian ini sememangnya sesuatu yang dinantikan dan semestinya melegakan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu Khairil Nizam berkata Pemuda PN merakamkan penghargaan dan tahniah kepada barisan Kabinet dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas perancangan teliti serta terperinci pelaksanaan PEMULIH.

Sekalipun dalam keterbatasan, ternyata perincian PEMULIH ini jelas membuktikan kerajaan begitu prihatin dengan keluh kesah dan kesusahan rakyat di mana segala keputusan diambil berlandaskan keperluan semasa, bertepatan dengan denyut nadi rakyat, katanya.

PEMULIH meliputi nilai keseluruhan berjumlah RM150 bilion yang merangkumi suntikan fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi, diumumkan Perdana Menteri Semalam.

Bantuan terbaharu ini adalah yang kedua terbesar selepas pakej Prihatin diumumkan Perdana Menteri pada Mac tahun lalu membabitkan RM250 bilion.

Ketika sedang berdepan kemelut dalaman, UMNO sahkan tangguh pemilihan

 
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

UMNO mengumumkan keputusan menangguhkan pemilihan parti hari ini ketika parti tersebut sedang berdepan kemelut dalaman susulan tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merancang jajaran baharu bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Pemilihan tersebut akan ditangguh selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021 melibatkan semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata keputusan dicapai dalam mesyuarat MT dan selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 yang menyatakan MT berhak menangguhkan pemilihan.

“Pada 30 Jun 2021 ini genap tiga tahun pemilihan UMNO. Maka UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula.

“Namun, Mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar UMNO merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.

“Saya telah menemui sendiri dan menulis surat kepada Ketua Pengarah MKN, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menulis kepada Ketua Pengarah ROS,” katanya.

Jelasnya, UMNO sudah menerima jawapan balas KKM dan MKN mencadangkan supaya mesyuarat dan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga Covid-19 kembali terkawal sekiranya ia tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Beliau juga berkata terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan dengan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO.

“Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

“Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu. Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat atau PKP Diperketatkan,” ujarnya.

Ahmad Maslan menambah, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat dan pihaknya khuatir masalah akan berlaku sekiranya ada kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, mesyuarat peringkat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan tetap diadakan secara dalam talian tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya satu perempat korum iaitu 25 peratus ahli yang terbabit.

“Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat satu perempat kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mesyuarat Pengurusan yang telah dibentang dalam Mesyuarat MT mencadangkan tarikh Mesyuarat Cawangan empat peringkat tanpa pemilihan perlu diadakan pada 15 Ogos hingga 30 September 2021.

Menurutnya, mesyuarat tersebut boleh diadakan dengan kehadiran hanya satu perempat atau 25 peratus daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan cawangan itu mempunyai liputan internet.

“Di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh prosedur operasi standard (SOP).

“Jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada Ibu Pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada ROS,” katanya.

Angkara Selangor, negeri lain sengsara!

 Man Che Wil

MalaysiakiniGambar hiasan

Kes jangkitan Covid-19 negara masih lagi turun naik sejak sebulan ini. Ada hari grafnya menurun, ada hari angka bilangannya menaik walaupun tidak mencanak seperti beberapa bulan lalu.

Beberapa buah negeri mula menunjukkan penurunan mendadak sehingga kepada angka sifar seperti Perlis.

Kelantan, Terengganu, Perak dan Putrajaya pula mencatat dua angka manakala negeri-negeri lain mencatatkan tiga angka jangkitan.

Selangor pula sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa menduduki carta pertama kes paling tinggi di negara ini. Sejak beberapa minggu ni kes jangkitan harian di negeri itu berada pada paras 1,000 kes dan mula melepasi angka 2,000 sehari dua ini.

Peningkatan kes di negeri berkenaan berpunca daripada kluster tempat kerja terutama di kilang.

Penurunan bilangan kes di negeri-negeri lain membuktikan prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan larangan rentas daerah dan rentas negeri yang dikuatkuasakan sejak sebulan lalu sangat berkesan.

Kes jangkitan yang tinggi di Selangor menjadi penyumbang kepada jumlah kes kumulatif di seluruh negara melebihi 5,000 kes. Keadaan ini menyebabkan Fasa 1 Perintah Kawalan di bawah Pelan Pemulihan Negara disambung lagi sedangkan di kebanyakan negeri lain kes-kes jangkitan sudah menurun dengan ketara sekali.

Keadaan ini menyebabkan ada cadangan daripada beberapa pihak agar pelan pemulihan dilaksanakan mengikut keadaan di sesebuah negeri berdasarkan kepada nilai ambang yang berlainan, kes harian dan jumlah yang sudah menerima vaksin.

Sebilangan negeri yang mencatat kes jangkitan satu, dua dan tiga angka sudah bersedia untuk beralih ke fasa seterusnya dalam pelan pemulihan. Bagaimanapun hasrat tersebut terbantut hanya kerana kes di Selangor masih tidak turun-turun.

Melihat kepada tahap `geger bagai nak rak’ kerajaan negeri Selangor dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang akur dan patuh kepada apa sahaja keputusan kerajaan dalam menangani isu pandemik Covid-19, sedikit pun tidak logik kes jangkitan di negeri itu tidak dapat dikurangkan.

Dalam berhadapan dengan isu pandemik ini, kerajaan negeri Selangor `gah’ dan berbangga kerana kononnya mempunyai segala jenis pakar perubatan termasuk bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Tahun lalu kerajaan negeri Selangor mengumumkan penubuhan Pasukan Tindakan Khas Covid-19 yang diketuai oleh Dr. Dzulkefly sendiri dan dianggotai oleh pakar-pakar kesihatan hebat seperti Dr. Siti Mariah Mahmud, Datuk Dr. Christopher Lee Kwok Choong, Datuk Dr. Prof. Adeeba Kamarulzaman, Datuk Dr. Fadzilah Kamaludin, Prof. Dr. Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr. Yap Wei Aun.

Selangor juga memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi berhadapan dengan pandemik ini seperti peruntukan kewangan khas bernilai RM555 juta, ujian saringan Covid-19 percuma serta Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) untuk mempercepatkan sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk negeri tersebut.

Beberapa pakar kesihatan `hebat’ lantikan kerajaan negeri ini pula tidak habis-habis mengkritik dan menyerang kerajaan yang dituduh gagal menangani pandemik Covid-19, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) lembab serta pelbagai lagi.

Bagaimanapun di sebalik segala kehebatan pakar dan `persiapan rapi’, kes jangkitan di negeri tersebut tidak juga turun-turun. Angka jangkitan naik dan terus naik melebihi 2,000 kes. Beberapa hari ini kes di negeri tersebut semakin membimbangkan. Kes-kes pandemik di Selangor seolah-olah seperti tidak terkawal.

“Justeru apa yang pakar-pakar kesihatan lantikan kerajaan negeri ini buat?”

Di sesetengah kawasan di negeri lain, jika kes jangkitan naik mendadak, kawasan terlibat sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Bagaimanapun keadaan ini tidak berlaku di Selangor.

Kenapa tidak turut dikuatkuasakan? Benarkan dakwaan mengatakan kerajaan negeri sendiri tidak bersetuju PKPD dikuatkuasakan kerana bimbang boleh menjejaskan ekonomi negeri tersebut?

Sudahlah `degil’, kerajaan negeri Selangor juga tidak mahu mengaku salah dan tidak habis-habis membuat tuduhan semberono ke atas kerajaan Pusat dalam isu pemberian vaksin di negeri tersebut.

Baru-baru ini Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud mendakwa beberapa Pusat Pemberian Vaksin di negeri tersebut akan kehabisan bekalan vaksin dalam tempoh beberapa hari lagi dan aktiviti pemberian vaksin terpaksa dihentikan sekiranya tidak menerima bekalan baharu.

Bagaimanapun dakwaan itu tidak benar apabila Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Prof. Madya Dr. Mohd. Ghows Mohd. Azzam menjelaskan Selangor mempunyai kira-kira 339,000 dos vaksin dan mampu bertahan.

Dengan kadar penggunaan sebanyak 40,000 dos sehari, bekalan cukup untuk seminggu. Bekalan tersebut juga akan ditambah dari semasa ke semasa melalui penghantaran yang sudah dijadualkan pada 28, 29, 30 Jun dan 1, 2, 3 dan 4 Julai. Terbaharu timbul pula satu dakwaan kononnya kerajaan negeri mula menjual vaksin kepada orang ramai dan kilang-kilang atas alasan mahu mempercepatkan pemberian vaksin kepada penduduk negeri itu.

Rakyat di negeri lain terpaksa menanggung akibat yang sangat besar angkara negeri Selangor. Fasa 1 Perintah Kawalan Pelan Pemulihan Negara sepatutnya sudah beralih kepada Fasa 2 tergendala. Apabila bersambung lagi, bermakna rakyat negeri lain terpaksa akur dengan segala larangan dan SOP yang telah dikuatkuasakan.

Kehidupan seharian mereka, aktiviti sosial dan ekonomi tidak dapat dijalankan seperti biasa walaupun kes jangkitan sudah banyak berkurangan. Semuanya hanya kerana disebabkan kes di Selangor tidak turun-turun.

Justeru adilkah jika negeri-negeri lain yang taat dan mematuhi segala SOP sehingga berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik ini terus dihukum dengan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh hanya kerana Selangor yang kesnya tidak turun-turun? Adilkah? - AGENDA DAILY

(*)  Pembaca Agenda Daily yang sentiasa mengikut isu semasa dalam negara berkaitan sosial, politik dan isu-isu am.

Jajaran baharu UMNO-PKR-DAP semakin jadi kenyataan

aladin Hassan Salleh

  

( Gambar hiasan ).

Pembentukan jajaran baharu politik yang menggabungkan UMNO, DAP dan PKR bukan samar-samar lagi, malah semakin menjadi kenyataan

 Kalau sebelum ini para pemimpin tiga parti politik tersebut cukup berlapik dan begitu berhati-hati apabila bercakap mengenai kerjasama ini, sekarang tidak lagi. Semuanya sudah tidak berselindung lagi.

Semalam Ahli Parlimen PKR Kapar, Datuk Abdullah Sani yang diketahui ramai sebagai `ayam sabung’ Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berterus terang menyatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah `kunci’ kepada pembentukan jajaran baharu antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh terdekat.

Abdullah Sani menegaskan, Ahmad Zahid boleh memainkan peranan untuk melunaskan segera kerangka yang dirancang untuk membantu menyelamatkan negara.

Beliau meminta Presiden UMNO itu menggunakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika desakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.

Ura-ura pembentukan jajaran baharu politik yang akan diketuai oleh Anwar bermula apabila Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengutus surat secara diam-diam kepada Istana Negara tanpa pengetahuan MT UMNO bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dipilih sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib juga pernah memberi kenyataan bahawa tidak mustahil UMNO boleh bekerjasama dengan pihak atau parti yang pernah dilabel sebagai musuh politik seperti DAP dan PKR.

Zahid pula turut memberi bayangan bahawa corak politik negara bakal berubah apabila UMNO membentuk jajaran politik baharu dinamakan Perikatan 3.0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Presiden UMNO itu memberi bayangan usaha ke arah pembentukan itu sedang berjalan selepas mempertimbangkan bahawa dinamik politik sentiasa tidak menentu.

Walaupun tidak menyatakan parti politik mana bakal menyertai jajaran politik baharu, beliau menggambarkan kerjasama itu tidak melibatkan PN pimpinan Muhyiddin.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa pernah membuat pendedahan menggemparkan pada Januari lalu dengan mendakwa wujud percubaan dan rundingan politik dengan PH dalam apa yang disifatkan sebagai pembentukan jajaran baharu politik.

Walaupun kenyataan Zahid dan Najib menimbulkan kemarahan majoriti ahli UMNO yang bertegas dengan prinsip `No Anwar, No DAP’, para pemimpin pembangkang menyambut baik ‘keterbukaan’ dua pemimpin UMNO itu. Mereka seolah-olah sudah tidak sabar membentuk satu pakatan politik dengan UMNO, tidak kiralah sebelum atau selepas pilihan raya umum.

Tidak sukar menelah kenapa segelintir pemimpin UMNO serta para pemimpin PH begitu teruja dengan cadangan jajaran baharu politik ini. Inilah peluang terbaik kepada PH untuk kembali berkuasa di peringkat persekutuan selepas hanya sempat merasa 22 bulan sebagai kerajaan sebelum ini.

Inilah juga satu-satunya peluang bagi membolehkan Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri. Inilah juga satu-satu peluang yang masih ada kepada segelintir pemimpin UMNO daripada `kluster mahkamah’ untuk dibebaskan daripada dakwaan sebagaimana dijanjikan jika kembali berkuasa.

Mereka melihat peluang tersebut semakin cerah berikutan perkembangan terbaharu politik negara lebih-lebih lagi setelah Yang di-Pertuan Agong membuat titah cadangan agar Parlimen dibuka untuk bersidang semula.

Walaupun gagal memperoleh sokongan dalam Parlimen pada sidang yang lepas, Anwar masih lagi menaruh harapan Parlimen kali ini dapat `mengubah nasibnya.’ Beliau yakin segelintir ahli- Parlimen UMNO akan menyokong beliau walaupun ahli-ahli Parlimen parti Pejuang dan Warisan secara terbuka sudah menolak beliau.

Anwar, Zahid dan Najib sangat-sangat memahami sifir politik negara. Mereka tahu nasib tidak akan menyebelahinya lagi jika pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat. Mereka juga juga sudah dapat mencium bau `kekalahan.’

Tidak hairanlah masing-masing begitu terdesak mahu Parlimen dibuka segera kerana inilah satu-satu pentas percubaan terakhir menjatuhkan kerajaan sedia ada seterusnya merealisiasi semua `cita-cita’ yang sudah lama dirancang!. AGENDA DAILY

(*) Saladin Hassan Salleh- Pemerhati politik

Selasa, 29 Jun 2021

Pemimpin PKR sahkan pendedahan Nazri berhubung pakatan Anwar-Zahid


Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya jangan lupa pendirian UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan secara tidak langsung pendedahan pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa wujud pakatan antara Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengakuan tersebut dibuat Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang berkata keputusan untuk menjayakan jajaran baharu bergantung kepada Zahid dan PKR sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Jadi selepas Ahmad Zahid membuat keputusan, maka tidak ada masalah jajaran baharu boleh dibentuk demi negara dan rakyat. Terpulang kepadaZahid untuk membuat keputusan, semua bergantung kepada beliau.

“Kita sentiasa bersedia bila-bila masa saja juga tidak sabar untuk bersama UMNO atau tidak kira siapa sahaja atau mana-mana parti sekali pun termasuk parti bebas,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengakuan Abdullah Sani ini secara tidak langsung sudah wujud persefahaman awal antara kedua parti, namun Zahid perlu membuat keputusan dengan segera dan memuktamadkan kerjasama antara UMNO dengan PKR.

Jelasnya, PKR sangat mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri atas tujuan untuk menyelamatkan negara dan mengelak kerosakan yang lebih teruk.

“Kalau sekiranya ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alhamdulillah. Kita mengharapkan sedemikian. Apabila Ahmad Zahid menyebut jajaran baharu yang diperkenalkannya, tentulah langkah mengkiblatkan kepada negara ini dibina semua dan menyelamatkan negara.

“Jadi tidak ada masalah kerana dalam konteks menyokong itu bukan bermakna membeli orang dengan jawatan-jawatan dan sebagainya. Sudah memadai ia diberikan keinsafan kepad ahli Parlimen bahawa negara ini sudah berada dalam keadaan kerosakan luar biasa dan tidak boleh lagi diselamatkan kalau diteruskan PN memerintah,” katanya.

Nazri sebelum ini mendedahkan sudah mengumpul surat akuan (SD) untuk menyokong Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap rasmi kepada 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), ia sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Nazri berkata langkah itu sebagai tindakan balas terhadap Zahid yang memberikan maklumat mengelirukan kepada YDPA berhubung sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Nazri juga mendakwa ditipu Zahid semasa menarik sokongan terhadap kerajaan pada Oktober tahun lalu apabila ketua perancang tersebut mendapat peruntukan untuk kawasan Parlimennya dan beliau pula tidak diberikan peruntukan kerana tindakan menarik sokongan itu.

Kibar bendera putih bukti rakyat makin tertekan – Shazni

Wartawan MalaysiaGazette
Shazni Munir Mohd Ithnin
Shazni Munir Mohd Ithnin

KUALA LUMPUR – Kempen kibar bendera putih yang tular sejak kelmarin membuktikan rakyat sudah tidak mampu menanggung kesan Covid-19 ini dengan mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa, kelembapan edaran dan agihan bantuan daripada kerajaan menyebabkan masyarakat semakin ditekan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi dan juga kesihatan mental.

Kadar kematian daripada kejadian bunuh diri melonjak naik sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memakan masa hampir dua tahun.

Beliau berkata, keadaan itu bertambah buruk apabila pelan bantuan yang diumumkan kerajaan tidak menyentuh secara keseluruhan lapisan masyarakat.

”Kami menyokong penuh kempen “Kibarkan Bendera Putih” ini dengan harapan bahawa kita dapat membantu individu-individu ataupun keluarga yang terkesan supaya mereka dapat terus bertahan sehingga negara keluar daripada masalah pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen kibar bendera putih itu berteraskan atas dasar keprihatinan masyarakat setempat bertujuan untuk memberi sokongan dan bantuan keperluan harian kepada yang terperangkap dirumah tanpa sebarang pendapatan.

Shazni berkata, kempen yang ditularkan ini adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap kebajikan rakyat semasa pelaksanaan PKP.

Sebaliknya, kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. – MalaysiaGazette