HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2015

NAJIB MASIH ADA MASA SEHINGGA 12 MALAM INI UNTUK TUNAIKAN JANJINYA

shahbudindotcom

 

Mudah-mudahan sebelum tibanya detik 12 tengah malam hari ini di mana tirai tahun 2015 akan melabuhkan episod suka dan dukanya, Najib Razak yang mungkin sekarang ini sama ada sedang berada di Dubai atau Hong Kong, akan segera tampil dengan janji yang pernah dibuatnya pada 14 Jun lalu.



 
 
Dalam janji yang dibuatnya di hadapan kira-kira 1,500 ketua penerangan dan setiausaha UMNO bahagian seluruh negara pada tarikh tersebut, Najib memberi jaminan bahawa isu berkaitan 1MDB akan diselesaikan sebelum akhir tahun 2015 ini.

Tetapi, selain daripada penjualan Edra Energy kepada syarikat China yang menyebabkan negara hilang aset berharga, tiada apa-apa yang ternampak dilakukan untuk menyelesaikan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion itu.

Bila lagi isu hutang 1MDB yang menimbulkan kritikan ramai dan misteri itu mahu diselesaikan? 

Apakah ketua-ketua penerangan dan setiausaha-setiausaha UMNO bahagian seluruh negara masih ingat dengan janji Najib itu?

Apakah jika tiada janji dan jaminan yang dibuat Najib itu, mereka masih sedia memberi sokongan kepadanya?

Atau adakah maksud "selesai"  itu hanya kerana berjaya memecat Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Ghani Patail, melantik orang pilihannya sebagai  Peguam Negara yang baharu, merombak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan melakukan kacau ganggu terhadap SPRM yang sedang melakukan penyiasatan terhadap 1MDB yang sarat hutang itu?

Di hari terakhir 2015 ini dan sebelum memasang azam atau menaruh sebarang harapan baharu untuk tahun 2016, jika janji yang satu ini dapat ditunaikan, tentunya ia  sudah cukup memadai buat kita semua, walaupun Najib turut memungkiri banyak janji lainnya, terutama ketika kempen PRU 13 lalu.

Bagaimanapun,  kiranya janji yang satu ini tidak juga mampu ditunaikan sebelum tenggelamnya detik 12 tengah malam 31 Disember ini, bermakna tiada apa lagi yang boleh diharapkan kepada Najib seawal bermulanya hari pertama tahun 2016 nanti.

Sudah tentu, selain rakyat biasa, Najib telah mengecewakan kelompok pimpinan dalam UMNO sendiri dengan pemungkiran janjinya yang pernah dibuatnya itu.

Tahun 2016 hanya menjadi tahun yang kosong buat kita semua. 


Warga kota keluh, dua kerja pun tak cukup tampung pendapatan

Shakira Buang


 


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan yang mencetuskan kontroversi apabila menyarankan rakyat melakukan dua kerja demi survival mereka khususnya di kota terus dicemuh rakyat.

Bagi sebahagian warga kota, sekalipun dengan dua kerja, ia tidak cukup untuk menampung pendapatan isu rumah di sebuah kota besar seperti di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi Johari Basri, 36, setiap hari dia akan bangkit sekitar 6 pagi untuk keluar bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam.

Bapa kepada tiga anak ini berkata sekitar tahun 2000 gaji pokok sebanyak RM2,000 sebulan sudah cukup untuk menampung hidupnya sekeluarga.

Namun, ia berbeza dengan keadaan ekonomi sekarang di mana pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 belum mampu menampung tiga per empat keperluan hidup bekeluarga.

“Sebelum ini ekonomi tidaklah teruk sangat tapi sekarang ini semakin teruk. Bukan saya saja yang rasa begitu ramai lagi kawan-kawan yang sama meniaga dengan saya rasa macam itu.

“Kalau dulu ekonomi okey, kerja kilang pun boleh buat kerja lebih masa tapi sekarang ini harapkan gaji pokok sahaja.

“Kalau nak harap gaji pokok hidup bujang bolehlah pendapatan dalam RM2,000 tapi kalau dah ada keluarga gaji RM3,000 ini macam tahun 2000 yang mana dengan gaji pokok RM800-RM1,000 macam itu kita dah cukup makan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dah lama 2 kerja...

Justeru, bagi menikmati keselesaan hidup Johari merancang membuat dua kerja pada sekitar tahun 2013 apabila kos sara hidup mereka lima beranak sedikit meningkat ekoran kenaikkan harga beberapa barangan.

Berkat usaha menyimpan sejumlah wang setiap bulan selama 12 tahun bekerja di kilang membuat kompenen elektronik Johari memulakan perniagaan menjual aksesori telefon pintar.

Namun, ia bukanlah peluang untuk Johari hidup mewah sebaliknya apa yang diusahakan itu sekadar meringkan beban hidup mereka sekeluarga yang terpaksa menampung kos perbelanjaan yang meningkat setiap tahun.

“Meniaga ini pun nak kata mewah itu tidaklah tapi boleh lepaslah untuk duit minyak pergi dan balik kerja...macam itulah, nak kata hidup mewah itu tak dapat,” katanya.

Malah, Johari berkata walaupun dengan dua pekerjaan, beliau masih sukar untuk menyimpan wang kerana kos sara hidup semakin tinggi.

“Buat dua kerja ini dah lama berlaku, kalau dulu orang yang buat dua kerja ini ada simpanan tapi hari ini kalau nak harapkan simpanan pun tak ada. Kalau ada (simpanan) pun habis dah dikorek.

“Dengan keadaan sekarang ini saya berani cakap RM50 untuk keluarga saya macam RM10 kalau nak beli barang. Dulu RM50 dua beg plastik barang saya dapat sekarang satu pun belum tentu penuh,” keluh Johari.

Tambah Johari, untuk sesi persekolahan 2016 ini sahaja beliau menghabiskan sebanyak RM1,000 bagi perbelanjaan tiga anaknya.

“Kalau ikut tiga orang anak saya belanja RM1,000 untuk sesi persekolahan akan datang,” katanya.

Malah, beliau juga tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya pada musim cuti persekolahan kerana terpaksa bekerja di waktu siang dan meniaga di malam hari selain mengambil sikap berjimat cermat dalam berbelanja.

“Sekarang ini pun bila musim cuti sekolah terus terang saya kata kami tak boleh pergi mana,” keluh Johari dengan bergenang air mata.

Mengulas mengenai kenyataan Ahmad Maslan, Johari berkata ramai warga kota yang telah lama melakukan dua kerja, namun sebagai timbalan menteri, beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang bdianggap satu penghinaan.

“Dia (Ahmad Maslan) menteri bolehlah cakap dan kalau saya jadi dia pun saya boleh cakap tapi saya tak fikir akan keluarkan kenyataan sebegitu. Kalau orang yang boleh berfikiran waras ini dia tak akan cakap macam itu,” katanya dengan nada kesal.

Berniaga burger

Bagi Fauzi Ahmad Sani, 35, beliau melakukan dua kerja selama lebih empat tahun.

Penghantar surat di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu bekerja sebagai peniaga burger pada malam hari.

Bapa kepada satu anak itu berkata, pada awalnya beliau membuat dua kerja kerana mahu menampung perbelanjaan perkahwinannya.

Namun, Fauzi terpaksa meneruskan kedua-dua kerjanya itu bagi menikmati keselesaan hidup mereka berdua sekali gus mengorbankan masa untuk perniagaannya.

Fauzi berkata, kerja tambahannya itu memerlukan beliau kerja sehingga lewat malam kerana tempat beliau meniaga merupakan tumpuan orang ramai.

“Empat tahun lepas saya meniaga burger ini sebab nak tambah duit belanja kahwin. Lepas kahwin saya berhenti sekejap buat dua kerja konon nak menikmati alam perkahwinan," katanya dan menambah hasil jualannya itu hanya dapat menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.

Kata Fauzi, apabila memulakan dua pekerjaan, beliau mampu menyimpan sedikit wang tunai namun keadaan ekonomi yang mendesak hari ini beliau terpaksa menyekat beberapa perbelanjaan bulanan mereka.

“Tapi lepas dah kahwin saya rasa saya masih perlu lakukan dua kerja sebab fikir jangka panjang nak buat simpanan bila dah ada anak nanti senang sikit.

“Tapi dengan keadaan ekonomi sekarang kami tak dapat menyimpan sebab keperluan perbelanjaan sehari-hari semakin meningkat lebih-lebih lagi ada GST. Semua barang naik, sampai kadang nak belanja lebih untuk makan pun kami terpaksa berkira supaya tak membazir,” kata Fauzi.

Malah, Fauzi berkata isterinya kini turut membantu beliau menampung keperluan harian mereka tiga beranak melalui perniagaan dalam talian dengan menjual karipap sejuk beku.

“Meniaga ini okeylah sikit boleh tampung mana-mana yang kurang tapi nak kata hidup mewah tak dapat.

“Sekarang ini pula dah ada anak, belanja barang anak memang boleh tahan mahalnya, rumah sewa lagi. Bila kira-kira gaji saya seorang bekerja siang dan meniaga malam cukup untuk bayar hutang saja.

“Jadi, berkat isteri saya pandai buah kuih dia buat perniagaan dalam talian jual karipap sejuk beku,” tambah Fauzi.

Menanggung malu

Sementara itu, Muhamad Kamarul Nizam,32 yang bekerja sebagai pemandu peribadi merangkap penghantar surat di syarikat swasta berkata beliau perlu mencari masa bagi membolehkannya melakukan kerja keduanya kerana sudah tidak sanggup menanggung malu apabila terpaksa meminjam daripada keluarga terdekat kerana kesempitan kewangan.

“Sekarang ini komitmen banyak, harga barang pula banyak yang dah naik macam susu, lampin pakai buang, yuran sekolah anak-anak. Nak simpan RM50 sebulan pun susah, dulu kalau tak buat kerja sampingan nak beli susu dengan lampin anak pun saya kena pinjam (duit) orang,” kata Kamarul.

Kamarul yang tinggal di Sri Petaling dan bekerja di Puchong berkata dengan sedikit berkat beliau bersama isterinya menyimpan modal mereka dapat menjalankan perniagaan menjula pakaian bayi.

“Sebelum ini terfikir juga sampai bila nak pinjam duit orang tapi lepas bincang dengan isteri saya kami sepakat nak jual baju bayi. Modal pun kecil saja, mana yang dapat kami jual sikit-sikit.

“Nak kata senang itu memang tak boleh sebab bila campur gaji saya dan isteri pun dalam RM5,000 sahaja belum tolak duit taska untuk dua orang anak RM700, tadika untuk seorang lagi anak RM400, sewa rumah, sewa kereta semua memang cukup-cukup sahaja.

“Macam meniaga ini pun untuk tampung duit belanja dapur, beli susu anak dengan lampin pakai buang,” kata Kamarul sambil menambah tindakan kerajaan melaksanakan GST semakin membebankan rakyat.
Perniagaan dalam talian

Manakala, Liyana Azmi, 31 yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta berkata beliau pada awalnya hanya suka-suka menjalankan perniagaan dalam talian.

Namun, ujar ibu kepada dua anak ini beliau terpaksa menjadikan perniagaannya itu sebagai kerja kedua beliau bagi meringankan beban suaminya.

“Saya buat perniagaan dalam talian ini suka-suka saja pada awalnya. Tapi sebab nak bantu ringankan beban suami saya teruskan.

“Walaupun kami berdua bekerja tapi dengan kos sara hidup sekarang dan tinggal di kota buat kami rasa tak cukup.

“Tapi bila saya dan suami buat dua kerja ia dapat membantu kami adakan simpanan untuk anak-anak, cukupkan perbelanjaan harian dan ada rezki lebih sikit dapatlah kami bawa anak-anak bercuti,” tambah Liyana.


Musang berbulu ayam: Polis arah ketua PPIM beri keterangan

Zikri Kamarulzaman


 


Polis telah mengarahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan untuk tampil memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa ada anggota polis bersubahat dalam kes penipuan terutamanya di Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata Nadzim sepatutnya membenarkan polis untuk menyiapkan siasatan berhubung kejadian itu termasuk membabitkan ahli kumpulan persatuan pengguna itu.

"Saya telah memanggil Nadzim selepas membaca wawancaranya di Utusan Malaysia, di mana beliau berkata terdapat ‘musang berbulu’ dalam pasukan polis.

"Saya mahu tahu siapa yang dimaksudkannya itu.

"Dia boleh beri maklumat tersebut kepada saya atau pergi membuat aduan dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” kata Tajudin kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Dalam laporan Utusan hari ini, Nadzim melahirkan kebimbangan bahawa mungkin ada anggota polis yang terlibat dalam aktiviti haram seperti pusat perjudian.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sesetengah pengusaha premis berani melakukan penipuan secara terang-terangan seperti ada yang melindungi mereka.

Sementara itu, Tajudin berkata tangkapan ahli PPIM baru-baru ini adalah sebahagian daripada siasatan polis.

"Penahanan itu dibuat untuk membantu siasatan. Biar kami lengkapkan siasatan dan jangan sebarangan mengulas mengenai kes itu," katanya.

Tambahnya, seorang lelaki akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menipu dalam pergaduhan di kompleks Kota Raya itu.

"Dia akan didakwa mengikut Seksyen 415/417 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Kami sedang mencari seorang lagi suspek," kata ketua Polis Kuala Lumpur itu.

Kota Raya adalah menyaksikan satu perbalahan pada 20 Disember lalu apabila mangsa yang mendakwa ditipu cuba berdepan dengan beberapa peniaga dan pekerja sebuah kedai telefon mudah alih. Dua lelaki cedera ringan dalam pergaduhan yang tercetus kemudian itu.


Bos 1MDB gelak disoal dakwaan WSJ

Geraldine Ton


 


Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengetepikan beberapa soalan yang berkaitan dengan masalah syraikat pelaburan negara itu, khususnya berhubung dakwaan dari akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

Ini pada sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini, selepas majlis menandatangani perjanjian penjualan saham Bandar Malaysia Sdn Bhd dengan konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd.

Seorang wartawan meminta Arul Kanda untuk mengulas dakwaan berterusan WSJ terhadap 1MDB.
"Saya minta maaf, kita cakap tentang Bandar Malaysia sahaja. Bagaimanapun, cubaan yang baik," katanya, sambil ketawa.

Sebelum itu, pengacara majlis mengingatkan wartawan supaya memberi tumpuan kepada soalan yang berkaitan dengan tawaran perjanjian itu tetapi beberapa wartawan tetap mengajukan beberapa soalan lain.

Arul Kanda cekap menepis dengan berkata, pihaknya akan menganjurkan satu lagi sidang akhbar pada masa akan datang bagi menjawab isu-isu 1MDB berkenaan.

Selasa lalu, WSJ membongkar kisah terbaru dengan mendakwa bahawa 1MDB berbelanja tidak sepadan dengan aliran tunai dan memberi keutamaan kepada perbelanjaan politik seperti yang diarahkan oleh ahli perniagaan Jho Low.

PAS akan bekerjasama dengan komponen PH jika Hadi berundur sebagai presiden - Hu Pang Chaw

Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw tidak menolak kemungkinan ia akan bekerjasama semula dengan komponen pembangkang sekiranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lagi memegang jawatan presiden pada pemilihan parti itu dua tahun lagi. 
 
Ujar bekas pemimpin kelab yang kemudiannya dinaiktaraf menjadi sayap PAS, senario politik dalaman parti itu akan berubah jika Abdul Hadi tidak memegang jawatan nombor satu selepas muktamar dan pemilihan parti sesi 2017.
 
"Bagi saya dalam muktamar 2017 di mana pemilihan parti akan berlaku dan sekiranya Hadi tidak lagi memegang jawatan presiden selepas 2017 maka senario politik PAS akan berubah.
 
"Mereka akan kembali untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dan kalau kita lihat fenomena sekarang ialah Umno tidak berminat nak jumpa dengan PAS lagi," katanya kepada Antarapos.
 
Mengulas lanjut, Hu yang kini bersama Parti Amanah Negara (PAN) berkata kedudukan hubungan PAS-Umno juga kelihatan goyah selepas tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat sejak 2008 menemui kegagalan. 
 
"Umno juga tidak berminat untuk sokong usul hudud di Parlimen dan Umno tidak berminat untuk respons balas setiap kenyataan yang dibuat oleh PAS.
 
"Maknanya Umno menjauhkan diri dari PAS selepas berjaya memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan PAS selain menghilangkan keyakinan bukan Islam terhadap PAS," katanya.
 
Justeru Exco Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional ini menambah hubungan PAS-Umno juga akan menemui kegagalan meskipun terdapat usaha untuk memastikan kedua-dua parti itu bekerjasama.
 
"Bila Umno mencapai matlamat-matlamat ini maka mereka tinggalkan PAS cuma PAS masih ingat ia penting kepada Umno.
 
"Tapi sebenarnya tidak kerana dalam Umno sendiri pun bermasalah," katanya.
 
PAS akan temui kegagalan jika bersendirian pada PRU14
 
Ditanya bagaimana kedudukan pembangkang di Selangor jika PAS mendahului jumlah kerusi di peringkat negeri pada pilihan raya umum akan datang, demikian jawapan yang diberikan Hu.
 
"Sebab itu saya kata parti-parti yang menanag dalam DUN mereka nak ke mana? Mereka nak ke arah berkuasa atau mereka nak jadi pembangkang yang kuat dalam DUN?
 
"Jadi bagi saya masalah yang wujud sekarang adalah antara PAS dan Amanah," katanya.
 
Beliau menambah senario berbeza di Pulau Pinang yang menyaksikan PAS akan gagal jika berhasrat mencabar DAP di kerusi yang disandang parti demokrat itu.
 
"Dengan DAP tiada masalah walaupun PAS kata nak bertanding di semua kerusi yang ditandingi DAP dan bagi saya itu adalah satu kenyataan yang tidak berasas.
 
"Kalau kita tengok pada hakikat kerusi yang DAP tanding itu memang kubu kuat dia dan kalau PAS nak tanding di situ boleh hilang deposit," katanya.
 
 
 

PAS arah ahli sertai demonstrasi bantah TPPA bulan depan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS akan mengarahkan kesemua ahlinya untuk menyertai Demonstrasi Rakyat Bantah TPPA yang dijadualkan pada 23 Januari 2016 di Dataran Merdeka.
 
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, pendirian itu diambil PAS setelah diputuskan di Muktamar ke 61 lalu.
 
Ia bagi meneruskan bantahan terhadap kerajaan yang akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) itu tahun depan.
 
"Bagi pihak PAS berhubung isu TPPA ini, sudah dimaklumkan dalam muktamar yang lepas, kita sebulat suara setuju dengan usul supaya kerajaan tidak tandatangani TPPA.
 
"Muktamar PAS konsisten PAS tolak perjanjian TPPA, sebagaimana dinyatakan dengan pihak lain. Ia beri kesan buruk bukan sahaja kepada negara tetapi (beri) kesan kepada ekonomi," katanya di sidang media Bantah TPPA di Kuala Lumpur hari ini. 
 
Selain PAS, demonstrasi akan turut disertai Kongres Rakyat selain mendapat sokongan lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO).
 
"Dengan menandatangani TPPA ini, ia akan timbulkan persaingan bermula daripada ekonomi dan menjurus persaingan ketenteraan yang sekarang ini pun dah berlaku antara China dan Amerika di wilayah Laut China Selatan," katanya lagi. 
 
Demonstrasi perhimpunan aman yang dijangkakan dihadiri ribuan peserta itu akan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Bantah TPPA di Dataran Merdeka.
 
Menurut Timbalan NGO Bantah TPPA, Azlan Awang demonstrasi itu akan bermula jam 2 petang di Dataran Merdeka dan masih belum mendapat notis kebenaran daripada mana-mana pihak berkuasa.
 
"Kami merancang untuk mengadakan sebuah demonstrasi aman pada 23 Januari ini dan kami harap rakyat akan bersama dengan kami untuk menyuarakan tentangan terhadap TPPA sebelum ia dibahaskan di Parlimen," kata Azlan.
 
 

Skandal rasuah paling teruk dunia: Malaysia di tangga 3

MALAYSIAKINI


 


Malaysia telah dinamakan sebagai antara enam negara yang mempunyai "skandal rasuah paling teruk" di dunia bagi tahun 2015.

‘Anugerah’ itu diberikan oleh foreignpolicy.com - sebuah bahagian di bawah Washington Post Company - dalam laporannya dua hari lalu.

Laporan itu, antara lain menyatakan bagaimana pemimpin-pemimpin terpalit dalam skandal rasuah besar-besaran, hakim mahkamah tinggi dan juga mereka yang mengendalilakn industri bola sepak dunia.

Bagi skandal rasuah, Malaysia berada di tangga ketiga, di belakang Federation Internationale de Football Association (FIFA) dan Nigeria.

Honduras dan Guatemala mengambil tempat keempat, manakala hakim-hakim di Ghana dan Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu berada di tangga kelima dan keenam.

Menurut laporan itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berada dalam kedudukan yang janggal apabila beliau melawat Malaysia bulan lalu.

Ini kerana empat bulan sebelum itu, akhbar The Wall Street Journal melaporkan bahawa AS$700 juta (kira-kira RM3 bilion) dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dana AS$700 juta yang didakwa datangnya dari wang pelaburan negara itu mengaitkan Najib secara langsung dengan firma yang dicetusan ilhamnya - 1MDB.

Najib: Seperti dijanjikan, musim sejuk 1MDB berakhir

MALAYSIAKINI


 


Memetik janjinya pada bulan Jun lalu bahawa semua masalah yang dihadapi 1MDB akan diselesaikan,

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata syarikat pelaburan negara yang sarat hutang itu kini menyaksikan musim bunga.

"Oleh itu, adalah jelas bahawa cabaran utama 1MDB kini di belakang seperti yang saya janji pada musim panas lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Najib dengan bangganya menghuraikan bagaimana 1MDB telah menandatangani beberapa perjanjian yang akan menyaksikan hutang syarikat itu berkurangan kepada kira-kira RM40.4 bilion.

Katanya, ini mewakili sebahagian besar daripada hutang RM46 bilion yang ditanggung oleh 1MDB.

Antaranya, adalah penjualan 60 peratus ekuiti dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation.


Perjanjian itu diumumkan hari ini dan Najib berkata ia akan membebaskan 1MDB dengan jumlah hutang sebanyak RM7.1 bilion.

Sebelum ini, 1MDB juga melupuskan aset tenaga miliknya, Edra Energy.

"[...] Dan apa yang tinggal adalah bagi perjanjian yang telah dimeterai diselesaikan dan langkah-langkah terakhir program rasionalisasi 1MDB disiapkan," kata Najib.

Penjelasan Najib tepat pada waktunya apabila bekas ahli Umno Anina Saadudin, semalam menuntut perdana menteri menunaikan janji-janjinya.

Keahlian Anina dalam Umno secara automatik dibatalkan selepas dia memfailkan saman terhadap parti Melayu itu dan Najib berhubung derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.

'Baki 40% Bandar Malaysia boleh dipindah kepada k'jaan'

 Geraldine Tong


 


Baki 40 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd yang masih dimiliki 1MDB boleh dipindahkan kepada Kementerian Kewangan, kata Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Bercakap pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Arul berkata perkara itu adalah antara pilihan yang sedang dipertimbangkan mereka.

"Pada masa ini, tiada keputusan muktamad telah dibuat.

"Ia adalah satu pilihan seperti yang dibayangkan di bawah pelan rasionalisasi yang diumumkan pada Jun 2015," kata Arul Kanda.

Beliau menegaskan pada masa ini, tiada keputusan dibuat ke atas apa yang perlu dilakukan dengan baki 40 peratus pegangan.

"Tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya pada masa ini. Bagaimanapun, ia adalah satu pilihan yang disenaraikan dalam pelan rasionalisasi berkenaan," katanya.

Awal hari ini, 1MDB mengumumkan ia telah menjual 60 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation Sdn Bhd.

1MDB yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan sebelum ini dibelenggu pelbagai kontroversi, termasuk hutang sebanyak RM42 bilion.

Syarikat itu merangka satu pelan rasionalisasi yang diumumkan pada Jun tahun ini, dengan janji bahawa ia akan menyelesaikan masalah menjelang akhir tahun ini.

Salah satu matlamat dalam pelan rasionalisasi itu adalah supaya anak-anak syarikatnya menjadi syarikat yang mandiri.

Pada sidang akhbar hari ini, wartawan diminta memberi tumpuan kepada soalan berkaitan perjanjian antara 1MDB dan konsortium itu.

Arul Kanda juga disoal mengenai isu lain, tetapi mengetepikan soalan berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh syarikat pelaburan negara itu.


Rafizi dakwa aset negara dijual untuk kambus hutang 1MDB

MALAYSIAKINI


 


Perjanjian jual beli antara 1MDB dan syarikat asing dalam pembangunan Bandar Malaysia mengesahkan lebih banyak aset dan projek negara akan jatuh ke syarikat asing, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas tindakan 1MDB menjual kepentingan 60 peratus miliknya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (CREC) Sdn Bhd.

"CREC akan mempunyai 40 peratus dari 60 peratus pegangan di dalam Bandar Malaysia (pegangan 24 peratus di dalam keseluruhan projek) iaitu satu bidang hartanah yang cukup bernilai dan strategik,"

"Perjanjian hari ini hanya mengesahkan amaran saya sebelum ini bahawa kemelut kewangan 1MDB akan mengheret negara sehingga banyak aset-aset penting negara akan dijual demi untuk mengambus hutang besar 1MDB," katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau percaya pegangan itu akan memberi kelebihan kepada CREC untuk membida dan memenangi projek lebih besar yang berkait rapat dengan Bandar Malaysia iaitu pembinaan sistem keretapi laju Kuala Lumpur–Singapura.

Projek itu dijangka menelan belanja USD11 bilion atau bersamaan RM47 bilion jika mengikut kadar tukaran semasa, kata Rafizi.

"Saya berani meneka bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak juga sedang berkira-kira untuk menganugerahkan projek itu juga kepada syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan China.

"Jika ini berlaku, Malaysia akan memasuki era baru yang lebih sulit apabila banyak kepentingan negara berhubung kait dengan pemilikan oleh syarikat-syarikat kerajaan China yang sudah tentu merumitkan pendirian negara dalam isu-isu serantau seperti tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly," katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian antara 1MDB dengan dua rakan kongsi baru mereka diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, kepentingan 60 peratus saham syarikat itu dijual kepada konsortium berkenaan pada nilai RM7.41 bilion manakala penilaian semasa Bandar Malaysia diletakkan pada RM12.35 bilion

'Pangkalan tentera Israel di Malaysia tak masuk akal’

MALAYSIAKINI





DAP hari ini menolak dakwaan bahawa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion pada pilihan raya umum lalu dan sebuah pangkalan tentera Israel akan dibina di negara ini jika mereka mengambil alih Putrajaya.

"Ini tidak masuk akal," kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berhubung dakwaan itu.

Loke berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang dibuat oleh Pengarah Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki mengenai perkara berkenaan.

Zuhdi dipetik oleh portal The Rakyat Post semalam bahawa DAP telah ditawarkan sejumlah wang dan sebagai balasan akan membina sebuah pangkalan tentera Israel di Port Dickson jika ia berjaya merampas Putrajaya.

Pemimpin PAS juga berkata DAP tidak pernah menafikan atau memberi penjelasan mengenai dakwaan tersebut.

Sementara itu, ditanya sama ada DAP merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Zuhdi, Loke berkata pengumumannya akan dibuat kemudian.

"Kami akan umumkan kemudian," katanya.

Zuhdi mencuri tumpuan tahun lalu selepas paparan skrin perbualan di WhatsApp mendedahkan bahawa pemimpin jawatankuasa pusat PAS secara aktif membincangkan senario bagi meninggalkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Paparan skrin - yang diedarkan di Facebook - menunjukkan Zuhdi membincangkan bekerjasama dengan Umno.


ADUN DAP lapor polis bimbang diburu pemungut hutang

BERNAMA


 


Seorang ADUN DAP di Pulau Pinang membuat laporan polis ekoran bimbang akan keselamatan dirinya yang kini diburu pemungut hutang selepas dikatakan gagal melunaskan pinjaman sebanyak RM200,000.

Difahamkan, wakil rakyat lelaki berusia 35 tahun yang memenangi kerusi negeri dalam Parlimen Tanjong dalam pilihan raya umum ke-13 itu membuat laporan polis pada Selasa selepas beberapa kali menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menuntut hutangnya sejak Isnin lepas.

Sumber berkata pusat khidmat ADUN itu di Jalan Free School, di George Town turut didatangi dua lelaki pada Selasa bagi menuntut hutang yang dipinjam wakil rakyat berkenaan.

Katanya berdasarkan siasatan awal polis mendapati peniaga berusia 37 tahun yang memberi pinjaman kepada ADUN itu mendakwa mereka mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2012 dan beberapa kali memberi pinjaman kepada wakil rakyat berkenaan.

"Lelaki yang merupakan pemilik sebuah kedai pajak gadai itu mendakwa memberikan pinjaman wang tunai beberapa kali dan paling banyak RM150,000 pada tahun lepas iaitu bagi menampung kos pembinaan sebuah projek perumahan yang dijalankan ADUN berkenaan dengan seorang ahli perniagaan di negeri ini.

"Semua urusan pinjaman itu dibuat di pusat khidmat ADUN itu bagaimanapun tiada sebarang dokumen perjanjian kerana ia berdasarkan atas faktor percaya pada kawan," katanya.

Sumber itu berkata wakil rakyat berkenaan bagaimanapun menafikan ada membuat pinjaman walaupun sebelum ini telah beberapa kali menerima panggilan telefon daripada individu terbabit yang mahu menuntut hutang daripadanya.

Katanya peniaga itu juga memaklumkan sehingga Mei tahun lepas, hanya dua bayaran melalui cek berjumlah RM20,000 dibuat oleh ADUN berkenaan dan selepas itu tiada sebarang bayaran dibuat.

"Selepas itu lelaki berkenaan beberapa kali menghubungi wakil rakyat terbabit untuk menuntut pinjamannya bagaimanapun pelbagai alasan diberikan ADUN tersebut.

"Sebab itu dia buat keputusan untuk menghantar dua pekerjanya ke pusat khidmat wakil rakyat berkenaan pada Selasa bagi menuntut hutang sebelum laporan polis dibuat ADUN terbabit kerana bimbang keselamatannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan polis dari ADUN itu.- Bernama


Ahmad Maslan: Ada juga minat cadangan 'dua kerja'

Shakira Buang


 


Meskipun dikritik kerana saranan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menangani kos sara hidup, Datuk Ahmad Maslan masih tetap berharap cadangannya itu dilihat dari sudut positif.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, masih terdapat rakyat yang berminat dengan cadangan tersebut.

"Saya harap cadangan itu dilihat dari sudut positif. Saya berniat ikhlas memberikan satu idea tambahan kepada rakyat.

"Jika rakyat tidak bersetuju, ada juga yang berminat.

"Bila idea itu dimulakan pada hari Sabtu lepas, saya lihat dalam media sosial memang ada pihak yang tidak bersetuju tetapi pihak yang memahami cadangan saya itu bersetuju. Ramai yang bersetuju," katanya.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media selepas Program Turun Padang ke Sapura Industrial Berhad di Bangi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerimaan rakyat berhubung saranan itu berbeza ketika kerajaan mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

"Tidak seperti GST dulu, daripada cabaran yang saya hadapi, yang tak bersetuju itu agak ramai sebab tiada siapa yang bersetuju membayar cukai, bukan? soalnya.

"Tetapi cadangan yang kali kedua ini, yang bersetuju dan tak bersetuju lebih seimbang," katanya yang juga Ketua Penerangan Umno.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Pontian itu berkata cadangan itu bukan merupakan satu arahan dari kerajaan.

"Saya tak kata cadangan itu 100 peratus sempurna. Ia hanya satu cadangan bukan arahan kerajaan," tegasnya.

Selain itu, Ahmad juga berkata MITI telah mengarahkan agensi yang terlibat untuk mengadakan kursus mengenai perniagaan dalam talian bermula esok.

"Saya juga memaklumkan bermula esok ini kita adakan kursus perniagaan dalam talian dari peringkat bawah," tambahnya.

Tambahnya, saranan tersebut dibuat berdasarkan formula ‘PKPK’ untuk mengatasi kos sara hidup dan dalam bidang keusahawanan melalui perniagaan dalam talian.

PKPK adalah formula seperti pendidikan tinggi, kemahiran tinggi dan produktiviti tinggi.


1MDB: Johor, China beli ekuiti Bandar Malaysia‎

1MDB: Johor, China beli ekuiti Bandar Malaysia‎


KUALA LUMPUR - [VIDEO] Sebahagian tanah Bandar Malaysia milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dijual kepada sebuah konsortium usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan sebuah syarikat mega dari China.

Menurut 1MDB, pihaknya melaksanakan tandatangan Perjanjian Jual Beli Saham Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) sebanyak 60 peratus yang bersamaan RM7.41 bilion itu, hari ini.

Tanah Bandar Malaysia berukuran 486 ekar itu dinilai RM12.35 bilion secara keseluruhannya.

Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah perkongsian awam-swasta antara Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, proses pembidaan dilakukan secara terbuka dengan penyertaan 40 pelabur dari dalam dan luar negara.

"Hasil daripada jualan ini, 76% daripada Bandar Malaysia akan dimiliki entiti Malaysia yang mana kira-kira 54% daripada projek tersebut dimiliki Kerajaan Pusat dan Johor.

"Kemasukan CREC sebagai rakan kongsi antarabangsa dengan ekuiti projek sebanyak 24% mewakili Pelaburan Langsung Asing (FDI)," katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Perjanjian itu yang turut dihadiri wakil IWH, Tan Sri Lim Kang Hoo serta wakil CREC, Cai Zemin dan Ma Li.

Menurut Arul juga, pembangunan di Bandar Malaysia telah menerima kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun ini.

Kebenaran bersyarat yang diberi berdasarkan pelan induk Bandar Malaysia itu adalah untuk pembangunan bercampur pada purata nisbah plot kasar 4.05 melangkau keseluruhan tapak seluas 486 ekar di Sungai Besi.

1MDB akan menerima deposit 10% bersamaan RM741 juta setelah perjanjian Jual Beli Saham itu dimetrai dan urusniaga itu dijangka lengkap menjelang Jun 2016.

Bandar Malaysia akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun pada unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion.


Jabatan Peguam Negara terima dokumen siasatan Justo

SINAR HARIAN


Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara telah menerima dokumen berhubung siasatan terhadap bekas eksekutif Petrosaudi International Xavier Andre Justo, daripada Jabatan Peguam Thailand, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dokumen itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk disemak dahulu sebelum ia diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Segala dokumen yang polis mohon sebelum ini berkaitan siasatan terhadap Justo telah diberi oleh pihak berkuasa Thailand termasuklah dokumen yang mengandungi transkrip yang Justo serah kepada Claire Brown.

"Bagaimanapun, bagi kami masa untuk meneliti dan menyiasat kesemua dokumen berkenaan," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di sini, hari ini.

Pada 16 Disember, Khalid mengesahkan pihaknya telah selesai merakam keterangan Justo berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di penjara di Bangkok dan melahirkan keyakinannya kes berkaitan Justo dapat diselesaikan selepas pihaknya menerima dokumen berkaitan kes terbabit daripada pihak berkuasa Thailand. 

Justo dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan pada 17 Ogos lalu selepas mengaku mencuri 90 gigabait data termasuk e-mel, dokumen dan bahan lain daripada PetroSaudi International sebagai cubaannya untuk memeras ugut.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai status siasatan polis berhubung 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Khalid berkata sisatan 1MDB hanya akan dijalankan selepas Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selesai siasatan mereka.

"Untuk siasatan polis yang pertama kami akan siasat berkenaan pembelian tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX), kebocoran maklumat perbankan dan lain-lain siasatan berkaitan 1MDB.

"Namun, polis akan tetap menjalankan siasatan 1MDB tetapi selepas Jabatan Audit dan PAC mengeluarkan laporan mereka dan polis tidak mahu siasatan bertindih-tindih kerana kita semua siasat benda yang sama," katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang sebelum ini Pesuruhjaya Polis Sabah dilantik sebagai Pengarah JIPS Bukit Aman yang baharu bagi menggantikan Datuk Jamshah Mustapa yang bersara. - Bernama


2015: Kronologi isu vape di Malaysia

Vape
Gambar hiasan
 

ISU penggunaan rokok elektronik atau vape merupakan antara isu besar pada tahun ini yang menarik perhatian pelbagai pihak, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, masyarakat umum dan pengguna vape itu sendiri.

Walaupun sesetengah blog atas talian menyatakan vape sudah bertapak di Malaysia sejak 2009, kehadiran trend baru tersebut mula menjadi perhatian bermula pada Ogos selepas beberapa laporan mengenai penggunaan vape menjadi viral di laman sosial dan menarik perhatian media massa.

Berikut merupakan kronologi berita berkenaan isu vape sepanjang tahun 2015 di Malaysia.

12 Ogos: KKM saran henti sementara guna vape

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memberitahu kementerian sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan vape kepada kesihatan.

"Pada pandangan kementerian, kami menganggap ia sebagai satu lagi bentuk rokok tetapi caranya berbeza. Pengguna akan mendapat semua kesan seperti menghisap rokok cuma mungkin kandungan tar lebih rendah tetapi kesan nikotin adalah sama," kata Subramaniam.

14 Ogos: Pendapat pakar kanser mengenai vape

Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) mengeluarkan pendapat bahawa tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap kanser itu sendiri.

"Nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh

menyebabkan kanser," kata Ketua Pegawai Perubatan NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin kepada Bernama

17 Ogos: Persatuan Perubatan Malaysia gesa pengharaman vape

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan menimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik kerana alat itu 'berkemungkinan besar' menyebabkan kemudaratan.

"Cecair mengandungi nikotin yang digunakan untuk 'vaping' tetap berpotensi menyebabkan terjadinya tabiat dan ketagihan," kata Presiden MMA, Dr Ashok Zachariah Philip kepada Bernama.

16 Ogos: Isma nyata pendirian

Pegawai Majlis Ulama Isma, Muhammad Firdaus Zalani risau apabila terdapat pihak menyebut kononnya antara kebaikan rokok elektronik ini adalah ianya menjadi ubat kepada perasaan ketagih terhadap perbuatan menghisap rokok.

Katanya Firdaus, kegagalan dalam memahami hal tersebut akan menyebabkan rosaknya kefahaman masyarakat akan seluruh perkara yang berkaitan maksiat, bukan sekadar berkaitan rokok.

"Dalam Islam, konsep berkaitan perlakuan sesuatu maksiat itu jelas lagi terang iaitu; Ia hendaklah ditinggalkan dan ditolak serta digantikan dengan amalan kebaikan!" jelas Firdaus lagi.

2 September: Video pengguna vape tidak sensitif viral

Sebuah video konfrantasi seorang pengguna laman sosial dengan seorang penghisap vape yang telah menghisap alat berkenaan di pusat membeli-belah tanpa menghiraukan pandangan masyarakat awam menjadi viral dan dikecam netizen.

21 September: Parlimen Belia cadang pengawalan keatas vape

Persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM) kali ketiga yang melibatkan 125 anggota Parlimen Belia Malaysia (APBM) mencadangkan supaya pengedaran, penjualan dan penghasilan vape di Malaysia dikawal.

27 September: Organisasi vape serah 50,000 petisyen

Malaysia Organisation of Vape Entities (MOVE) menyerahkan 50,000 petisyen yang dikumpulkan dari ahli-ahli organisasi mereka sejak bulan Julai.

Presiden MOVE, Samsul Kamal Arrifin berkata, ia bagi memastikan pembuatan, penjualan dan pengedaran produk berkaitan vape dikeluarkan secara sistematik, selamat serta berstruktur.

2 Oktober: Kawal selia vape dan vape sebagai alternatif

Penyelidik dan pakar kardiologi utama The Onassis Cardiac Surgery Centre (OCSC), Dr Konstantinos Farsalinos berpendapat satu sistem kawal selia khusus diperlukan untuk menyelaras penggunaan dan penjualan vape.

Dr Konstantinos juga berkata bahawa adalah penting untuk menjadikan e-rokok sebagai produk yang sah di sisi undang-undang dengan memberi pilihan kepada perokok yang ingin mengurangkan ketagihan nikotin sebagai pengganti kepada penggunaan tembakau konvensional.

25 Oktober: Bateri vape terbakar semasa penerbangan

Pada 6.45 petang, bateri vape milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba ketika berada dalam penerbangan Malindo Air yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke KLIA2.

Tindakan pantas anak kapal berjaya mengawal kebakaran dan pesawat jenis Boeing 737-800 terbabit selamat mendarat di KLIA2 pada 8.44 malam.

26 Oktober: Vape dilarang dibawa dalam kabin pesawat

Malaysia Airlines Berhad (MAB) mengeluarkan kenyataan bahawa penumpang penerbangan MAB dikehendaki menyimpan rokok elektronik dalam bagasi bawaan mereka.

"Penggunaan rokok elektronik tidak dibenarkan sama sekali dalam  kabin," kata MAB.

29 Oktober: Keputusan timbang pengharaman vape ditentang

Wira Perkasa Malaysia membantah kenyataan Menteri Kesihatan Datuk S. Subramaniam yang menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vapor.

“Mengapa rokok tembakau yang jelas dan nyata membahayakan kesihatan tidak diharamkan? Adakah kerana hasil penjualan vapor ini tidak memberi manfaat kepada kerajaan untuk mengutip cukai? Jangan berat sebelah. Meluluskan rokok tembakau bercukai dan mengharamkan vapor yang ‘bebas cukai’,” kata Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris dalam satu kenyataan.

29 Oktober: Menteri cadang pengharaman vape diteliti

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mencadangkan supaya pengharaman vape diteliti.

"Insya-ALLAH saya akan beri pandangan saya supaya cadangan tersebut dikaji dengan teliti supaya vape tidak diharamkan kerana laporan dari Britain mendapati vape tidak diharamkan malah penghisap rokok digalakkan bertukar kepada vape," katanya dalam sebuah perkongsian di Facebook.

29 Oktober: CAP dakwa pelajar sekolah guna vape

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Kementerian Kesihatan mengharamkan vape selepas ia digunakan oleh pelajar sekolah secara meluas.

Kata Presiden CAP, S.M Mohamed Idris, aduan daripada ibu bapa dan guru beberapa sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan pada jumlah pengguna vape.

30 Oktober: Kerajaan Malaysia tidak haramkan vape

Kabinet Malaysia memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape di kalangan pengguna dan penjual vape.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengesahkan kenyataan tersebut di Facebook.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan putus tidak haramkan vape]


30: Majlis fatwa kaji penggunaan vape

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata Felo Penyelidik Majlis Fatwa Kebangsaan bersama pakar kesihatan, ekonomi dan alam sekitar kini sedang menjalankan kajian tentang vape.

1 November:  MBS gesa wujud garis panduan penggunaan vape

Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Datuk Irmohizam Ibrahim  meminta kerajaan mewujudkan garis panduan mengenai penggunaan rokok elektronik atau vape agar ia tidak disalahguna.

2 November: Mufti berpendapat vape tidak tepati syarak

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata penggunaan  vape belum boleh disifatkan sebagai haram sekiranya kajian menyeluruh berhubung perkara itu belum dimuktamadkan.

“Benda kalau tak boleh, tak bolehlah, apa faedahnya vape, kalau tidak merosakkan, tetapi berbelanja atas perkara tidak berfaedah...ia tetap tidak dibenarkan oleh syarak,” ujarnya ketika ditemui pada Karnival Ukhuwah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Ipoh.

3 November: Penjualan cecair nikotin tanpa lesen akan dirampas

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata penjualan vape yang mengandungi cecair itu akan dirampas jika didapati tidak memiliki lesen untuk menjualnya.

"Kami akan gunakan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan  1983," katanya pada sidang media mengenai Kempen Makan Secara Sihat bersempena Hari Deepavali.

7 November: Anak Najib sokong vape tidak diharamkan

Melalui Facebook, anak lelaki Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib meluahkan memberi sokongan terhadap industri vape dan berharap ia tidak diharamkan  dinegara ini.

8 November: Pengusaha vape bimbang, tertekan

Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta), Allan Foo memberikan reaksi kurang senang terhadap operasi serbuan yang dijalankan Kementerian Kesihatan ke atas premis vape di seluruh negara.

Selain itu, pihaknya membuka pintu kerjasama dengan kerajaan dan berharap kerajaan menyediakan garis panduan berhubung penjualan vape.

8 November: Menteri saran henti serbu peniaga vape

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghentikan serbuan ke atas premis menjual cecair perisa rokok elektronik (vape) buat sementara waktu sehingga jawatankuasa yang ditubuhkan kementerian itu bagi menyelesaikan isu berkaitan vape membuat keputusan mereka.

9 November: Hanya ahli farmasi berlesen boleh jual cecair vape

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Cecair perisa vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Kata Noor Hisham, ia merupakan keputusan terbaru kementerian dalam usaha mengawal penggunaan dan penjualan Vape di Malaysia.

10 November: Perisa vape campur dadah?

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz mendakwa terdapat kes yang berlaku di luar negara yang menunjukkan pengguna vape mencampurkan dadah di dalam cecair vape.

“Perbuatan ini sudah menjadi satu trend di Amerika Syarikat. Jadi bagi saya lebih baik vape diharamkan sebelum budaya mencampurkan dadah dalam vape merebak ke negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

11 November: Dua NGO desak kerajaan teruskan penguatkuasaan

Dua pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) serta Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyah) mendesak Kementerian Kesihatan meneruskan pengkuatkuasaan undang-undang terhadap larangan penjualan vape.

"Apa yang dirisaukan adalah sesiapa sahaja terutamanya pelajar sekolah dan kanak-kanak bebas membeli cecair vape bernikotin di mana sahaja," kata Presiden MCTC, Dr Molly Cheah.

Anggota tetap Jam'iyah, Shaari Ahmad Junid pula memberitahu pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya tiada tindakan dilakukan terhadap penjualan vape.

13 November: SAMM, Vapor Malaya desak KKM mohon maaf

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Vapor Malaya (VM) mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon maaf secara terbuka kepada komuniti vape di negara ini.

Penyelaras SAMM Rembau, Akmal Noradzmi Abdul Rahim berkata tindakan itu perlu bagi memulihkan semula imej komuniti vape khususnya yang terlibat dalam rampasan cecair perisa sejak awal bulan ini.

Akmal Noradzmi juga mendesak KKM memulangkan semula segala barangan vape yang dirampas dari premis-premis susulan kerajaan masih gagal menyediakan garis panduan kepada pengusaha.

17 November: Rokok, vape sama berbahaya, kata Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, vape berbahaya kerana kandungan nikotin yang tinggi dalam produk itu.

"Percayalah, rokok elektronik tidak baik dan sama seperti rokok. Rokok

elektronik menghasilkan bau harum dan berperisa. Apabila anda menghisap rokok,

anda hanya mendapat bau asap. Tetapi apabila anda menghisap rokok elektronik,

anda memperoleh bau yang harum seperti strawberi dan mangga," kata Mahathir.

November 17: KDN pandang serius dakwaan perisa vape mengandungi dadah

Timbalan Menteri KDN, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata KDN memandang serius dakwaan ada cecair perisa vape yang mengandungi dadah.

"KDN terlibat dengan penguatkuasaan, maknanya kalau ada penggunaan dadah berbahaya, ia adalah satu aktiviti haram dan KDN ada kuasa untuk mengambil tindakan," kata Nur Jazlan.

22 November: 20 universiti awam haramkan vape

Sebanyak 20 universiti awam (UA) mengharamkan penggunaan vape di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 UA berkenaan yang bermesyuarat pada 20 November lepas.

26 November: Jawatankuasa Fatwa Kedah haramkan vape

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan hukum menghisap vape adalah haram.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hukum berkenaan diputuskan melalui hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju mengekalkan keputusan mesyuarat 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok disebabkan ia memudaratkan dan membazirkan.

27 November: Usim larang penggunaan vape di kampus

Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) akan menguatkuasakan larangan penggunaan vape di kawasan kampus bermula 1 Januari tahun hadapan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad memberitahu garis panduan larangan penggunaan vape di dalam kampus akan dikeluarkan pada pertengahan bulan hadapan.

Beliau berkata, pelajar yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib dan denda.

27 November: KKM tunggu bukti kajian vape

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman memberitahu kementerian sedia menunggu bukti berkenaan melalui hasil kajian saintifik daripada mana-mana pihak dari dalam dan luar negara.

"Jika (kajian) terbukti benar, bolehlah dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pindaan undang-undang berkaitan larangan vape," kata Lokman Hakim kepada media.

29 November: Johor haramkan penggunaan vape

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu bermula 1 Januari 2016.

""Saya mahu premis vape ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan," titah baginda.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan haramkan vape di Johor, tutup operasi]

Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang untuk merangka perancangan bagi memudahkan proses tersebut.

30 November: Peniaga vape Johor minta tempoh kembali modal

Peniaga vape di negeri ini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan larangan penjualan produk itu dan memberi tempoh kepada mereka mendapatkan kembali modal perniagaan sebelum ia dikuatkuasakan.

"Berilah masa untuk kami mendapatkan kembali modal bagi penjualan vape ini," kata Noor Azlan Nardi.


Najib berjaya ketepikan saman Ainina

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
 
 
KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mengetepikan saman yang difailkan oleh bekas Wanita Umno Langkawi, Ainina Saadudin berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab sebentar tadi selepas membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman tersebut.

Pada 28 Ogos lalu, Ainina, 40 memfailkan saman itu melalui Tetuan Haniff Khatri turut menamakan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai defendan kedua.

Melalui penyata tuntutannya, Ainina mendakwa Najib sebagai pemegang amanah konstruktif Umno telah melanggar Perlembagaan Umno dan peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu Ainina mendakwa, Najib yang juga merupakan Presiden Umno telah bertindak pecah amanah dan melanggar kepercayaan yang diletakkan kepada beliau sebagai pemegang amanah konstruktif Umno.

"Najib atau Majlis Tertinggi Umno telah bertindak ultra vires  dan melakukan 'fraud' terhadap ahli Umno,"dakwanya.

Sehubungan itu beliau menuntut perintah injunksi agar tindakan disiplin diambil terhadap defendan ganti rugi dan kos.

Pemandu bas sebabkan empat kematian didakwa‎

Pemandu bas sebabkan empat kematian didakwa‎
Tertuduh (depan) tiba untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret Machang.
 
 
MACHANG - Pemandu bas ekspres yang terbabit nahas hingga mengorbankan empat penumpang di Kilometer 124, Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli, 25 Disember lalu, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Machang.

Muhammad Amir Hakimi Ahmad Zaki, 26, dari Kuala Terengganu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas tuduhan memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, empat penumpang bas ekspres dipandu tertuduh maut selepas kenderaan terbabit bergesel dengan lori treler dari arah bertentangan.

Mereka yang maut ialah Muhamad Ami Abdul Rahim, 19, Mohd Shafiq Azrul Azmi, 25, Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, dan Hasiah Osman, 57.

Pendakwaan dilakukan Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Nizam Mohamed.

Majistret Amal Razim Alias kemudian menetapkan tertuduh perlu membayar wang ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh disimpan di mahkamah dan lesen memandunya di gantung sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 6 Mac 2016 sebagai tarikh sebutan semula kes.


Jual Bandar Malaysia, 1MDB kurangkan hutang lagi



1MDB


KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akui mencapai sasaran pelan rasionalisasinya dalam rangka mengurangkan hutang syarikat milik kerajaan itu dalam tempoh enam bulan yang dijanjikan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, ianya tercapai setelah langkah terakhir diambil hari ini dengan penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada konsortium.

"Bagi pelan rasionalisasi ini, kami telah capai apa yang kami sasarkan.

"Dan hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2015 seperti yang dijanjikan, kami telah mencapai 'final piece of puzzle' dengan menjual Bandar Malaysia dengan secara keseluruhannya jumlah pengurangan hutang sehingga RM12.35 bilion ," katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Perjanjian Jual Beli Saham di sini, hari ini.

1MDB menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia bersamaan RM7.41 bilion kepada Konsortium iaitu usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan sebuah syarikat mega dari China.

Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah perkongsian awam-swasta antara Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Sebelum ini, 1MDB telah menjual semua asetnya terhadap Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) untuk RM9.83 bilion.

CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.

Selain penjualan ekuiti dalam syarikat tenaga Edra, pelan rasionalisasi 1MDB termasuk pelaksanaan pertukaran hutang dengan ekuiti, dengan syarikat pelaburan petroleum dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak kira-kira RM16 bilion.

Rabu, 30 Disember 2015

Pulangkan derma RM1.2 juta Taib, kata pemimpin Penan

MALAYSIAKINI


 


Sebelas pemimpin Penan menuntut Universiti Adelaide di Australia supaya mengembalikan sumbangan derma A$400,000 (kira-kira RM1.2 juta) yang dihulurkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tun Taib Mahmud.

Surat yang dihantar kepada naib canselor universiti itu, Warren Bebbington ditandatangani mereka dengan menggunakan cap jari.

Mereka mendakwa sumbangan itu harus dikembalikan kepada Sarawak kerana wang itu diperolehi secara haram oleh Taib.

"Apabila Taib belajar undang-undang di Adelaide, dia seorang anak muda yang miskin seperti kita hari ini. Selepas itu, dia mengambil keputusan untuk menjadi ahli politik.

"Tetapi bukan bantu kami penduduk pribumi. Taib jadi tamak dan hanya minat kumpul duit untuk diri sendiri dan ahli keluarganya," petik surat itu yang ditandatangani oleh bekas penghulu Penan James Lalo Keso.

Katanya, segala yang mereka perlukan sebelum ini adalah mencukupi sehingga Taib (kini Gabenor Sarawak) mengadaikan tanah mereka kepada syarikat pembalakan dan perladangan.

"Bukan satu rahsia lagi, bahawa syarikat pembalakan banyak memberikan rasuah kepada Taib dan ahli keluarganya," petik surat itu lagi.

Justeru, pemimpin Penan itu berkata, Bebbington harus "mengambil keputusan berani" dan memulangkan semula sumbangan daripada Taib untuk membetulkan ketidakadilan yang dilakukan selama ini.

"Kita perlu wang ini segera untuk bangunkan Taman Aman Penan dan hantar anak-anak kita ke sekolah dan dapatkan pendidikan tinggi.

"Bagi kamu, A$400,000 tidak banyak, tetapi bagi masyarakat Penan, ini jumlah wang yang boleh bantu mengubah kehidupan generasi muda kami," petik surat itu lagi.

Masyarakat Penan adalah pemburu-pengumpul hasil hutan nomad sehingga hutan khatulistiwa mereka sebahagian besarnya dimusnahkan oleh pembalakan dan perladangan sepanjang tempoh perkhidmatan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak bermula pertengahan 1980-an.

Penduduk pribumi telah sekian lama berjuang untuk melindungi hutan mereka selama hampir 30 tahun. Taman Aman Penan ini adalah cubaan terbaru mereka untuk mengekalkan hutan simpanan yang bakal ditadbir oleh penduduk pribumi.

Sumbangan derma Taib kepada Universiti Adelaide didedahkan oleh wakil rakyat Parti Hijau Australia, Mark Parnell melalui akta kebebasan maklumat negara itu.


5 perkara yang ‘NAIK’ pada 2015

 
Semua NAIK! Itu naik! Ini naik! FMT menuras lima perkara yang menandai liputan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.


cost_living_600


1. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Pada 1 April 2015, kerajaan telah menguatkuasakan GST dengan kadar cukai pengenalan sebanyak enam peratus.

Pelbagai bantahan dan demonstrasi telah dilakukan bagi menolak cukai yang dikatakan akan membebankan rakyat.

2. Pengangkutan Awam

Pada 2 Disember, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan kenaikan harga tambang iaitu sehingga RM7.20 sehala.

Manakala, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) juga mengumumkan untuk menaikkan tambang sebanyak RM20. Namun ia berkuatkuasa pada 1 Januari 2016 ini selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Manakala, tambang bagi perkhidmatan LRT dan Monorel di sekitar Kuala Lumpur juga naik bagi sesetengah kawasan, namun kadar tambang di beberapa stesen kekal dan ada yang turun. Rasionalisasi ini berikutan keputusan Prasarana Malaysia Bhd bertindak menyemak semula struktur tambangnya.

3. Kadar tol naik

Lapan lebuhraya bertindak menaikkan harga tol dengan kenaikan lebih 17 hingga 80 peratus iaitu di antara RM0.20 sen hingga RM3.00 pada 15 Oktober lalu.

Kementerian Kerja Raya berkata, penyelarasan kadar tol hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar sahaja.

4. Utiliti

Pada 1 Ogos lalu, kadar tarif air di Johor telah dinaikkan antara RM2.00 dan RM3.00 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan. Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Perkara yang sama turut dilakukan oleh negeri Pulau Pinang yang menaikkan kadar tarif air pada hari sama Kerajaan Persekutuan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1 April.

5. Darah rakyat ‘NAIK’!

Kenaikan beberapa perkara secara mendadak telah menaikkan kemarahan rakyat di negara ini. Ramai berpendapat kenaikan itu tidak sepadan dengan kualiti dan perkhidmatan yang masih di takuk lama.


Jangan ‘tutup mulut’ orang bahas isu agama

 
Bahaya jika rakyat tidak diberi perspektif yang tepat dalam isu agama apabila ada pihak berpendapat mereka sahaja layak memberi pandangan


mujahid-rawa


PETALING JAYA: Mana-mana pihak tidak seharusnya cuba ‘menutup mulut’ orang lain untuk membahaskan apa-apa isu termasuk yang melibatkan agama Islam.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan itu akan mengakibatkan rakyat tidak mendapat perspektif yang tepat dalam sesuatu isu.

“Amat bahaya jika rakyat tidak diberi perspektif yang tepat dalam apa-apa isu kerana ada pihak tertentu yang fikir hanya mereka sahaja yang layak mengutarakan pandangan.

“(Maka) Semua pihak, sama ada G25 dan juga Perkasa, perlulah berbahas secara ilmu, bukan berdasarkan emosi semata-mata,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkan jurucakap kumpulan G25 Datuk Noor Faridah Ariffin tidak layak bercakap tentang soal agama kerana tiada pengetahuan mendalam mengenai agama Islam.

Dalam pada itu, Mujahid tidak melihat sebarang masalah dalam tindakan Noor Faridah mengkritik undang-undang jenayah syariah sebelum ini.

“Saya meneliti apa yang diperkatakan Noor Faridah dan ia adalah isu pentadbiran agama, bukannya prinsip agama itu sendiri. Jadi kita kena meletakkannya dalam konteks undang-undang.

“Mengkritik pentadbiran agama tidak boleh disamakan dengan mengkritik agama,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agama bukan mengenai aspek penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga merangkumi aspek pendidikan.

Sebelum ini, pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Naser Tun Rahman juga mengatakan umat Islam perlu lebih mengutamakan soal pendidikan berbanding hukuman.

Azmi Sharom bangkang Ibrahim Ali

 
Sesiapa sahaja berhak mengutarakan pandangan dalam soal agama asalkan mereka memiliki hujah yang kuat.


azmi-sharom-Ibrahim-ali


PETALING JAYA: Sesiapa sahaja boleh bercakap dalam soal agama jika mereka mempunyai hujah yang kuat bagi menyokong pandangan itu, kata pensyarah undang-undang, Dr Azmi Sharom.

Beliau menyangkal kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkan jurucakap kumpulan G25 Datuk Noor Faridah Ariffin tidak layak bercakap soal agama kerana dilihat tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang agama Islam.

“Isu siapa yang layak atau tidak sepatutnya tidak timbul. Sesiapa sahaja boleh bercakap dalam soal agama asalkan dapat menjustifikasikan pandangannya.

“Kita boleh rujuk hadis atau mana-mana pemikir Islam (dalam menyatakan pandangan). Ini semua kita boleh cari sendiri,” katanya kepada FMT.

Dalam satu sidang media semalam, Ibrahim berkata hanya orang yang berautoriti dan berlatar belakangkan Islam boleh berbicara mengenai persoalan syariah Islam.

Noor Farida sebelum ini menggesa agar enakmen kesalahan jenayah syariah yang dianggap ‘menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat’ dikaji semula dan serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama dihentikan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata kenyataan Ibrahim itu hanyalah satu cara untuk mengawal minda orang Islam di negara ini daripada menerima pandangan yang berbeza.

“Sikap Ibrahim yang hanya mahu segolongan elit sahaja memberi pendapat adalah bagi mencacatkan kebolehan orang Islam di Malaysia untuk meluaskan minda dan pemikiran mereka,” katanya lagi.

Pengusaha vape Kelantan mahu hantar memorandum kepada kerajaan negeri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Pengusaha industri vape Kelantan bercadang mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan kerajaan negeri untuk menyerahkan memorandum meminta kerajaan negeri menarik balik arahan penutupan kedai vape yang dibuat sebelum ini. 
 
Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM) Kelantan, Mohd Azlee Che Mohd Zaid berkata, sebagai alternatif, pihaknya meminta agar peniaga vape diberikan lebih masa sambil menambah, seramai 350 ahli pertubuhan itu meminta tempoh penangguhan enam bulan untuk menghabiskan jualan bagi mengurangkan kerugian mereka.
 
"Kami berpendapat bahawa kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada fatwa lain yang dikeluarkan oleh mufti negeri mengenai rokok dan penjualan komoditi seumpamanya di Kelantan," katanya dipetik The Star Online.
 
"Kami juga menyeru kepada kerajaan untuk menerima pakai pendekatan yang lebih bertolak ansur dan mengambil kira kehidupan pengusaha industri vape yang akan kehilangan berjuta-juta ringgit membeli peranti dan cecair," kata Mohd Azlee.
 
Kerajaan negeri Kelantan akan menguatkuasakan larangan penjualan vape mulai 1 Januari 2016.
 
Notis juga telah dihantar kepada 350 pengusaha supaya mengosongkan kedai mereka.
 
Kelantan merupakan negeri kedua selepas Johor yang mengharamkan penjualan vape kerana pengaruh dan isu-isu kesihatan yang tidak baik.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan mengharamkan penjualan vape dibuat selepas pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kesihatan, polis, jabatan mufti dan badan-badan lain berkaitan.
 
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil kira semua aspek sebelum memutuskan pengharaman berkenaan, selain mendapati iatidak berfaedah kepada masyarakat.
 
Abdul Fattah berkata, pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengabaikan larangan itu termasuk menyita barangan dan mengeluarkan kompaun terhadap peniaga degil.

SU PAS Pulang Pinang gagal cabar pemecatannya daripada MBPP

MALAYSIAKINI


 


Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, menolak semakan kehakiman yang difailkan Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim bagi mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pemecatannya daripada semua daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah juga mengarahkan Iszuree membayar kos sebanyak RM5,000 kepada defendan pertama dan ketiga iaitu MMKNPP dan kerajaan negeri serta RM5,000 lagi kepada MBPP.

November tahun lalu, Iszuree memfailkan permohonan bagi mencabar tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana mengeluarkan beliau daripada semua jawatankuasa tetap MBPP.

Beliau juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung serta dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.

Permohonan itu difailkan Iszuree, yang juga Ahli Majlis MPPP sejak tahun 2010, menerusi peguamnya, Mohd Harris Abdullah.


'Dari main Facebook, lebih baik meniaga online'

Yap Jia Hee


 


Setelah kontroversi demi kontroversi, Datuk Ahmad Maslan hari ini terus mempromosikan perniagaan atas talian sebagai kerja sampingan.

Katanya, lebih baik rakyat Malaysia belajar perniagaan atas talian daripada menghabiskan masa melayari media sosial sampai ke tengah malam.

“Rakyat Malaysia ini minat media sosial, kadangkala berwhatsapp sampai jauh tengah malam, FB dan Twitter.
Tak tahulah hasil apa yang mereka dapat itu.

"Alangkah eloknya kalau mereka belajar tentang e-dagang. Dalam digital ekonomi ini boleh menambah pendapatan,” kata timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) itu.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Pameran Eksport Malaysia hari ini.

Ahmad sebelum ini dirundung kontroversi dengan laporan berkaitan kenyataannya berkaitan dua kerja rakyat Malaysia bagi menghadapi kenaikan kos hidup.

Setelah kritikan hebat, beliau kelmarin menegaskan beliau sendiri terlibat dalam tiga pekerjaan, iaitu timbalan menteri, anggota parlimen dan ketua penerangan Umno.

Beliau juga semalam menjelaskan bahawa pandangannya itu dibuat dalam konteks perniagaan atas talian sebagai kerja sampingan.

Ahmad hari ini turut mengemukakan contoh kejayaan perniagaan atas talian, dengan meniagakan barangan keluaran tempatan.

"Ada pegawai maklumkan kepada saya, contoh kejayaan ialah jual gula melaka, dia dapat jualan empat juta ringgit Malaysia.

“Itu sebab saya amat gembira untuk menghebahkan tentang perniagaan atas talian," katanya.

'Spin' jadi positif

Namun, Ahmad juga mengeluh kerana pandangan beliau selalu dilihat dari sudut negatif di media sosial.

"Apa kata kalau rakyat Malaysia kita spin sesuatu itu ke arah positif. Kalau kita spin suatu perkara ke arah negatif maka selamanya ia akan negatif dan kita tak dapat mencapai apa-apa manfaat," nasihat Ahmad.

Melihat kepada potensi perniagaan atas talian, Ahmad Maslan berkata beliau telah meminta agensi bawah MITI untuk lebih menumpukan kepada perniagaan e-dagang pada tahun hadapan.

"Punca saya beri pandangan itu kerana saya lihat potensi perniagaan atas talian ini dan kerana ramai rakyat Malaysia ada telefon pintar dan minat media sosial.

"Jadi janganlah apa yang saya cadang dilihat dari sudut negatif, spin ke arah negatif selalu tak adil terhadap saya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad berpendapat rakyat Malaysia akan memahami kenyataan yang diucapkan olehnya suatu hari nanti.

"Perkara (seperti) GST (cukai barangan dan perkhidmatan) selalu difikir negatif tetapi akhirnya GST selamatkan ekonomi negara. Tak apalah, akhirnya rakyat akan faham," katanya.


'Lanjutan sementara bagi ahli majlis tempatan di Selangor'

Alyaa Azhar


 


Tempoh khidmat semasa ahli majlis tempatan Selangor dilanjutkan selama dua bulan lagi.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad mengesahkan perkara itu ketika ditanya mengenai status rancangan untuk memperuntukkan kerusi ahli majlis tempatan kepada pemimpin-pemimpin parti itu.

"Saya difahamkan bahawa mereka telah melanjutkan tempoh khidmat ahli majlis tempatan semasa selama dua bulan lagi.

"Oleh itu, akan ada lebih banyak perbincangan yang menyeluruh, itu situasinya," katanya kepada Malaysiakini.

Tempoh khidmat ahli majlis tempatan sekarang sepatutnya berakhir esok.

Ada kemungkinan bahawa tempoh itu dilanjutkan kerana lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan masalah agihan jawatan kerana PAS, PKR dan DAP perlu bersedia menyerahkan kerusi mereka kepada AMANAH.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin pula berkata keputusan untuk mengagihkan kerusi untuk AMANAH akan dibuat dalam masa satu atau dua minggu lagi.

Zuraida turut mengesahkan bahawa beliau bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pelantikan ahli majlis PKR.

Beliau mengakui segala cadangan akan dibawa kepada Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali bagi keputusan.

"Ya, ini belum lagi (diselesaikan)," akuinya.

Tiada lanjutan diberikan.

Bagaimanapun, Exco Selangor Ean Yong Hian Wah dalam responnya kepada Malaysiakini menjelaskan tiada tempoh lanjutan akan diberikan kepada ahli majlis di Selangor.

"Saya ingin menjelaskan bahawa mesyuarat exco hari ini mengesahkan bahawa tiada lanjutan akan diberikan.

"Senarai ahli majlis akan disahkan Rabu depan dan tempoh baru akan bermula 15 Januari 2016 hingga 31 Disember 2017," katanya.

Ketika ditanya sama ada AMANAH akan termasuk dalam senarai ahli majlis, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.
Semalam Ean dilaporkan berkata kerajaan negeri Selangor masih belum memutuskan sama ada akan memperuntukkan AMANAH kerusi majlis tempatan.
Selangor mempunyai 288 ahli majlis - 120 kerusi diperuntukkan kepada PKR manakala DAP dan PAS masing-masing mendapat 98 dan 70 kerusi.

Pemuda AMANAH Selangor, bulan lalu menggesa supaya parti itu diberi beberapa kerusi ahli majlis tempatan pada tempoh akan datang.

AMANAH mempunyai dua kerusi DUN Di Selangor . Mereka adalah Saari Sungib yang mewakili Hulu Kelang dan Hasnul Baharuddin yang mewakili Morib.

AMANAH adalah parti serpihan PAS yang dilancarkan pada 16 September lalu dengan sebahagian besar ahli dan pemimpinnya terdiri daripada ahli-ahli PAS terutamanya yang tidak berpuas hati dengan pemilihan parti tahun ini yang menyaksikan pihak konservatif menang besar jawatan tertinggi parti.