HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2009

Lebih 3,000 Penan kebuluran

Oleh RANIA PARAN


MIRI - Lebih 3,000 penduduk Penan dari enam penempatan di Hulu Rejang, Belaga, mengalami kebuluran sejak tiga bulan lalu selepas tanaman padi, satu-satunya sumber makanan mereka musnah dirosakkan monyet.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, lima penempatan yang paling kritikal ialah Long Abit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim dan Long Ladin diikuti Lusong Laku membabitkan 264 buah keluarga.

''Keadaan di Lusong Laku agak baik kerana mereka masih mempunyai tanaman padi untuk dimakan, namun ia tidak mencukupi memandangkan kesemua penduduk dari kelima-lima penempatan kini bertumpu ke sana untuk mendapatkan makanan.

''Sejak tiga bulan lalu, penduduk Penan di situ terpaksa memakan ubi kayu dan linut iaitu sejenis makanan daripada tepung sago. Selain itu mereka terpaksa memakan tumbuhan liar,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Joseph Entulu tiba di sini selepas pulang mengadakan lawatan kerja ke Hulu Rejang.

Beliau berkata, kebuluran ini dijangka berlarutan sehingga musim menanam padi baru tiba pada Februari tahun hadapan.

''Masalahnya, penduduk di situ menanam padi di kawasan yang berselerak dan ini menyebabkan tanaman mereka mudah diserang oleh monyet,'' katanya.

Mengulas lanjut, Joseph Entulu berkata, beliau akan mengemukakan masalah itu kepada Kabinet negeri bagi menyalurkan bantuan yang sewajarnya dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, sebuah jawatankuasa khas PRS di cawangan Miri, Bintulu dan Sibu akan ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan segera termasuk bantuan kewangan dan bekalan makanan.

''Selain itu, kita akan mencari jalan lain untuk memastikan penduduk di situ mendapat makanan dan keperluan lain secepat mungkin,'' katanya.

Khazanah diminta runding ambil alih semula saham Bernas

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan meminta Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) berunding bagi mengambil alih semula pegangan asing dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Beliau berkata, oleh kerana beras adalah makanan asasi dan Bernas pula merupakan penyimpan utama bahan makanan itu di negara ini, maka adalah munasabah saham 31 peratus yang dimiliki pihak luar diambil alih oleh Bernas.

Menurutnya, beliau maklum penguasaan pegangan asing tidak dapat dielakkan kerana Bernas telah diswastakan, namun berpendapat ia masih boleh dirunding dan diambil alih syarikat milik kerajaan (GLC).

''Kita tidak mahu ia terlepas ke tangan pelabur asing kerana Bernas penting untuk negara walaupun dasar liberalisasi yang diumum Perdana Menteri mengizinkan penguasaan luar.

''Saya akan minta pihak berkaitan membincangkan perkara ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak supaya saham Bernas yang kini dimiliki syarikat asing dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

Akhbar semalam melaporkan firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. kini muncul pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat strategik pembekalan beras negara itu.

Mengikut laporan tersebut, berdasarkan pengumuman urus niaga pemegang saham utama Bernas di Bursa Malaysia baru-baru ini, Wang Tak menguasai 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 470.402 juta saham Bernas.

Ekoran itu, Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa kerajaan mengambil langkah segera mengembalikan saham syarikat asing itu kepada syarikat milik rakyat negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, demi kepentingan nasional, komoditi strategik Malaysia termasuk beras mesti dikuasai rakyat negara ini jika pun tidak dikuasai kerajaan demi menjaga masa depan negara.

PAS jamin himpunan secara aman - Salahuddin Ayub

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak pernah mencabar mana-mana pihak bagi mewujudkan ketegangan dalam demonstrasi menentang Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) esok, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Saya hendak mengulas kenyataan polis semalam bahawa dua kumpulan saling cabar-mencabar. Saya tidak tahu (perkara itu).

"Saya rasa, sepanjang sidang media, ceramah atau sebarang sebaran yang kita keluarkan atas nama GMI, kami tidak pernah menggunakan kata-kata yang mencabar mana-mana pihak.

"Jadi tidak timbul masalah mengatakan kedua-dua pihak ini saling cabar-mencabar," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini, dipetik dari Malaysiakini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh dan Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.

Sambil menayangkan laporan Berita Harian hari ini yang berjudul 'Dua kumpulan saling mencabar', Salahuddin berkata, berdasarkan rekod terdahulu, pakatan pembangkang mempunyai pengamalam menganjurkan perhimpunan aman.

Tambahnya, ia terbukti dalam perhimpunan menuntut pilihanraya bersih pada November 2007 dan perhimpunan menuntut pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Mac lalu.

Salahuddin mengulas kebimbangan polis terhadap kemungkinan berlaku ketegangan dalam demonstrasi esok akibat provokasi daripada dua kumpulan berbeza - GMI dan kumpulan penyokong akta itu Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini dilaporkan berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sudah wujud unsur hasutan dan provokasi di antara kedua-dua kumpulan terbabit.

Sebagai pemimpin kanan PAS, Salahuddin juga menjamin perhimpunan esok akan berlangsung secara aman kerana ia telah dirancang sejak setahun lalu.

"Saya sebagai chief commander ingin perjelaskan bahawa himpunan esok akan diadakan secara aman. Notis ini telah kita berikan kepada rakyat Malaysia enam bulan lalu.

"Kalau ada pihak kata kita sengaja cari sebab bertembung dengan kumpulan satu lagi (Pewaris dan pro-ISA), saya ingin katakan, kita merancang program ini setahun lalu," katanya.

Pemimpin atasan Pakatan Rakyat, termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang akan menyerahkan "deklarasi rakyat" kepada pihak Istana Negara.

Perarakan ribuan penyokong pembangkang dan 83 NGO bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang menganjurkan perhimpunan itu, bergerak mulai jam 2 petang dan dijangka sampai sejam kemudian di Lebuh Raya Mahameru.

Sementara kumpulan penyokongnya pula akan berhimpun di Padang Merbok, sebelah Bank Negara, dan Pasar Seni pada masa yang sama sebelum bergerak ke Dataran Merdeka dan kemudian ke Istana Negara bagi menyerahkan memonrandum kepada Yang di-Pertuan Agong.- azm _

Nik Aziz bangkit soal kerjasama dengan kerajaan pusat Isnin ini

BERNAMA


KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan membangkitkan isu kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat pada satu mesyuarat mengenai Pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) di Putrajaya pada Isnin ini.

Beliau berkata mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razakitu akan juga melibatkan tiga Menteri Besar lain.

"Banyak perkara akan dibincangkan dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan Najib di sini esok apabila Perdana Menteri berada tiba untuk lawatansingkat. Sebelum ini, Nik Aziz menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan kerajaanpusat tetapi menolak untuk berbaik-baik dengan Umno.

Perdana Menteri akan melawat Kelantan esok bagi merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Baharu dan menghadiri Majlis Jamuan Rakyat.

Kematian Mohd Hamdan kehilangan besar kepada PAS

BERNAMA


PULAU PINANG: Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman di sini sebagai satu kehilanganyang amat besar kepada parti itu.

Katanya, Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin yang aktif memperjuangkanisu berkaitan pekerja, malahan mempunyai peribadi yang baik dan merendahdiri.

Ketika dihubungi Bernama, Mujahid berkata, Allahyarham merupakan seorangpemimpin yang telah lama bergiat dalam parti dan sangat fokus dalam tugasnya.

Mohd Hamdan, 63, wakil rakyat tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri PulauPinang, meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara(IJN) Kuala Lumpur pada 7.15 pagi ini selepas beberapa hari menjalanipemeriksaan dan rawatan di situ.

Jenazahnya dijangka tiba di Permatang Pasir pada 2 petang ini untuk dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir.

Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, mengucapkantakziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan beliau sebagai seorang ADUNyang selalu memperjuangkan prinsip yang tegas.

Katanya beliau mengenali Mohd Hamdan sebagai seorang yang sentiasa bercakapdaripada segi prinsip dan berbahas tanpa menyakiti hati mana-mana pihak.

"Saya sedih kerana kehilangan seorang kawan lama. Allahyarham pernah bertanding dua kali menentang saya di DUN Penaga (dan kalah) pada pilihan raya umum 1990 dan 1995 sebelum beralih ke Permatang Pasir," katanya.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, kematian Mohd Hamdan merupakan satu kehilangan bagigabungan pembangkang di Pulau Pinang.

Zahrain, yang berada di Kuala Lumpur, bergegas ke IJN sebaik mendapat beritamengenai kematian itu pagi ini tetapi tidak sempat kerana jenazah telah dibawapulang pada 10 pagi.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Wan Azizah WanIsmail berkata Allahyarham turut membantu dalam perjuangan PKR.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata partiitu akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi mempertahankan kerusi PermatangPasir yang merupakan kubu kuat Pas.

"Lagi pun Mohd Hamdan ini adalah bekas Pesuruhjaya Pas negeri. Dia berada dalam parti lebih lama daripada saya, malahan ketika saya berada di dalam PASdia sudah menjadi Pesuruhjaya PAS negeri itu.

"Jadi Allahyarham banyak korbankan perjuangan, masa dan harta demiperjuangan Islam," katanya.

Isu Pakai Cawat Bukan Menghina

Editor Buletin / Sinar Harian


KUALA TERENGGANU – Pembangkang yakin kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merujuk kepada golongan memakai cawat di Sarawak tidak tahu mengundi dengan betul adalah isu kecil.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kenyataan dikeluarkan pucuk pimpinan parti dalam ceramah pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai lalu itu tidak bermaksud menghina kaum Iban.

“Tok Guru (Hadi) tidak bermaksud begitu tetapi ia adalah lebih kepada mengibaratkan kaum di sana yang memang serasi dengan UMNO dan seolah-olah hanya boleh terima parti lain, sebab itu kita tidak hairan bila kalah di sana” katanya.

Sebelum ini, kepimpinan BN di Sarawak meminta supaya Presiden Pas meminta maaf kepada kaum Iban susulan kenyataan beliau pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai lalu.

Bagaimanapun, Wan Sukairi yakin, gerakan Pas untuk memenangi pengundi di Sabah dan Sarawak tidak akan terhalang dengan isu sedemikian sambil memberitahu pihaknya akan menawarkan cara politik yang betul.

Legasi Imam Hadhari; Sepuluh Lesen Judi

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Minggu lalu, Multi Purpose Holding Berhad, syarikat induk kepada Magnum Corporation yang menjalankan aktiviti judi Empat Nombor Ekor mengumumkan anak syarikatnya itu telah mendapat lesen baru.

Lesen tersebut diperolehi dari Kementerian Kewangan pada bulan Oktober lalu yang diterajui oleh Perdana Menteri sekarang, dato’ Seri Najib Razak.

Ketika itu, Perdana Menteri Malaysia adalah Imam Islam Hadhari, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Itulah kejayaan paling besar Imam Hadhari/Abdullah Ahmad Badawi di saat-saat akhir pemeritahannya dan meninggalkan legasi, kepada pewarisnya Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyidin Yassin.

Sebanyak 10 lesen judi telah diluluskan, sebagaimana dilaporkan oleh akhbar perniagaan Singapura, Business Times Singapore.

’Rating’ pentadbiran Najib dilaporkan meningkat baru-baru ini dan perniagaan judi mungkin merupakan rahsia senjata ampuh yang digunakannya dalam menghadapi suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Kejayaan Imam Hadhari@Abdullah Badawi mengeluarkan lessen judi itu telah berjaya menambahkan pendapatan Negara kerana berjaya menghalalkan ‘judi haram’.

Pada tahun 2008, industri ‘judi halal’ mempunyai nilai yang cukup besar dalam kewangan Negara berjumlah kira-kira RM8 bilion.

Tidak ada sesiapa yang mengetahui berapa besar perniagaan ‘judi haram’ di Malaysia, namun ia dilaporkan 15 kali lebih besar dari industri ‘judi halal’.

Oleh itu, langkah kerajaan dianggap bijak dengan mengeluarkan 10 lesen judi baru itu yang menghalalkan ‘judi haram’ sekaligus meningkatkan hasil Negara dengan memperolehi cukai dari perniagaan ‘judi haram’.

Justeru, kerajaan pimpinan Najib telah meluluskan lesen judi kepada Magnum yang akan memperkenalkan judi baru yang mempunyai nilai ‘jackpot’, satu cepumas yang tinggi nilai hadiahnya.

Dengan perlaksanaannya yang dirancang pada tahun 2009 oleh Magnum sekurang-kurangnya akan meningkatkan pendapatan kerajaan dan akan mengurangkan beban ekonomi akibat masalah yang sedang melanda seluruh dunia.

Hebat penjelasannya !

Mungkin itu jugalah yang dimaksudkan oleh Timbalan Najib, Muhyidin menangkis hujjah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa pilihanraya kecil Manek Urai.

Muhyidin menyatakan UMNO yang terlebih dahulu mempelopori usaha-usaha meningkatkan syiar Islam, jauh lebih baik dari PAS !

Meluluskan lesen judi yang membawa kepada peningkatan pendapat Negara mungkin termasuk dalam amar makruf.

Kerana orang UMNO selalu berhujjah sekiranya ekonomi mundur, pembangunan akan mundur dan bagaimana umat Islam akan maju sekiranya tidak ada pembangunan !

Cukup hebat penjelasannya ?

Maka teruskanlah usaha meningkatkan ekonomi dengan meluluskan sebanyak-banyaknya lesen judi !

Polis Jejak Sampel DNA Di Kot Dan Tali Pinggang Teoh

TV SELANGOR


Dua sampel DNA manusia dikesan di pakaian bekas setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 16 Julai lepas.

Bagaimanapun, identiti pemiliknya masih belum dapat dikenalpasti.

Dalam prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian Teoh di Mahkamah Majistret Shah Alam , peguambela dan peguamcara Tan Hock Chuan menerangkan terdapat satu sampel DNA manusia dikesan di baju kot Setiausaha politik Ean Yong Hian Wah itu dan sampel DNA lelaki turut ditemui di tali pinggangnya.

Pihak polis telah menjalankan ujian DNA ke atas 90 orang untuk menjejak pemilik sampel DNA berkenaan dan sedang dalam usaha mendapatkan ujian DNA daripada 12 lagi individu yang disyaki.

Penguam Pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang ditemui media di lobi mahkamah berharap, sampel DNA yang tidak dikenali itu akan diserahkan kepada mereka secepat mungkin.

“ Kami difahamkan tadi pihak polis dalam proses membuat bandingan DNA kerana siasatan mendapati bahawa terdapat DNA seseorang yang tidak dapat ditentukan pada tubuh Teoh Beng Hock.

“Kami rasa ini amat penting kepada kami, bahawa laporan DNA ini dapat disiapkan dan diserahkan kepada kami dalam masa terdekat,” katanya.

Kematian Teoh yang menimbulkan seribu tanda tanya, memaksa kerajaan pusat menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menentukan kematiannya dan prosedur siasatan SPRM.

Inkues tersebut, yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan kepada 5 Ogos depan.

Nik Nazmi : Kerajaan PR selar tindakan Gerak

TV SELANGOR


Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar tindakan Gerakan Rakyat Anti Korupsi Malaysia (Gerak) yang sentiasa mencari kesalahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia menyifatkan pertubuhan itu sebagai alat Barisan Nasional untuk menyerang Pakatan Rakyat.

“Kita tunggu dan lihat, nak komen awal-awal susah sebab tak tengok bukti, tetapi setakat ini kita tengok Gerak ini telah jadi satu lagi alat yang digunakan oleh BN untuk menyerang Pakatan Rakyat.

“Bagaimanapun, kita tengok apa yang dikemukakan dan minta siasatan adil dijalankan, kita tak mahu kes ini berulang kembali seperti kes Teoh dan kami akan terbuka dengan siasatan ini,” katanya.

Nik Nazmi yang dihubungi Tv Selangor berkata, Gerak tidak sepatutnya melemparkan tuduhan melulu kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pun mengarahkan supaya audit dalaman dilakukan terhadap peruntukan semua Adun di negeri ini.

“Saya rasa kita dah jelas dalam hal ini di mana MB sendiri telah minta untuk audit semua untuk ketepikan sebarang prasangka terhadap penggunaan peruntukan kerajaan negeri dan ini satu sikap yang berani menunjukkan Menteri Besar mengambil sikap yang terbuka dalam hal ini,” katanya.

Presiden Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunos hari ini membuat laporan kepada SPRM kononnya seorang Adun menyalah guna peruntukan wakil rakyat membabitkan kira-kira 375 ribu ringgit.

“SPRM setakat ini tak dapat keyakinan langsung dalam hal siasatan isu rasuah kerana dilihat berat sebelah, sebuah perkakas politik, Adun-adun BN dalam tempoh tiga bulan menghabiskan peruntukan , dan maklumat dah bawa, tetapi tiada sebarang siasatan terhadap mereka dilakukan".

PPSMI, SPRM.. Apa Lagi Selepas Ini Agenda UMNO?

TV SELANGOR


Pakatan Rakyat akan pertahankan Selangor dari usaha Barisan Nasional (BN) sedaya upaya merampas negeri Pakatan Rakyat melalui kekuasaan dan agensi yang dimilikinya, kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Katanya, isu Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Suruhanjaya Diraja Malaysia (SPRM) sehingga berlakunya kes kematian bekas setiausaha politik Exco Selangor Teoh Beng Hock adalah rentetan daripada kekuasaan yang ditunjukkan oleh BN dalam mentadbir negara.

“UMNO tidak menerima kekalahan dan peralihan kuasa terhadap kerajaan negeri dan SPRM disuruh siasat Pakatan Rakyat sebab mahu menggulingkan dan jatuhkan Pakatan Rakyat sedangkan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO tidak disiasat SPRM” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana bertajuk “PPSMI,SPRM apa lagi selepas ini” anjuran PAS kawasan Shah Alam di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam, malam tadi.

Antara ahli panel lain yang memberi ceramah ialah Sasterawan Negara, A. Samad Said, Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim, dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Setiap ahli panel membentangkan ceramah berkisar tentang keangkuhan Barisan Nasional dalam menegakkan isu PPSMI tanpa mengambil peduli suara rakyat dan isu misteri kematian Teoh Beng Hock.

Hampir 300 tetamu menghadiri Ceramah Perdana tersebut yang bermula kira-kira jam 9.45 malam dan berakhir jam 12.00 tengah malam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Selangor, Yaakob Sapari.

Ayuh, kita meriahkan pesta demokrasi 1 Ogos

Umar Mukhtar Luqman hakim


Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memang terkenal dengan kezalimannya. Ia membawa daki karat memisahkan isteri dan suami, ayah dan anak-anak, merosakkan tali persaudaraan dan ikatan persahabatan.

Ada keluarga berantakan dan bercerai-berai. Ada anak yang tertekan jiwa sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital ekoran tidak tertahan menanggung kesan psikologi yang amat sangat.

Tidak kurang karenah jahat polis cawangan khas (SB) yang menabur fitnah, mengadu-domba, selain cuba mematahkan semangat dan menghina idealisme perjuangan tahanan.

Banyak buku-buku yang ditulis oleh bekas tahanan mendedahkan konspirasi jelik SB, pastinya setelah mendapat restu Menteri Dalam Negeri, yang tidak pernah mengira halal-haram dan dosa-pahala dalam mengatur pemerintahan.

Serambi kuasa

Demi memuaskan nafsu golongan elit politik yang menguasai takhta dan singgahsana kuasa, SB tadi mempergunakan pelbagai cara untuk menundukkan kumpulan atau individu yang dilihat bolehmenggugat teraju pemerintahan (bukan menggugat keselamatan awam). Walhal dalam sistem demokrasi, pemerintah boleh dicabar dan digugat penguasaan mereka, asalkan ia dibuat melalui saluran undang-undang yang sah.

Namun, terdapat salah tanggap masyarakat yang harus diperbetulkan tentang kezaliman ISA ini. Antaranya, anggapan bahawa ISA hanya mencari mangsa di kalangan aktivis politik atau NGO yang pandangan mereka tidak selari dengan sikap pemerintah.

Dan dakyah yang selalu dikemundangkan adalah kerajaan terpaksa bertindak awal bagi mencegah sebarang kemudaratan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

ISA sememangnya alat dan perkakas paling berkesan buat pemerintah yang begitu takutkan suara rakyat demi mempertahankan kuasa mereka. Kerajaan yang rasuah, korup, membazir, mengaut khazanah negara untuk mengisi tembolok diri dan kroni, serta menindas golongan yang sentiasa kritikal dengan penyelewengan pemerintah, selalunya hidup dalam ketakutan. Mereka bimbang kuasa sukar dipertahankan jika segala salah laku didedahkan kepada umum.

Jalan paling mudah adalah dengan mencari alasan dan daleh agar seteru politik mereka bukan saja dapat dijinakkan tetapi juga dipenjarakan. Sebelum itu pintu untuk rakyat bersuara dipersempitkan dan ruang demokrasi ditutup. Pentas-pentas debat melalui siri ceramah politik akan cuba dipersukarkan.

Cegah jenayah

Pihak polis yang sepatutnya menumpukan usaha mencegah jenayah dikerah untuk mengawal perhimpunan pembangkang, suatu tindakan yang hanya membazirkan tenaga, masa dan dana awam.

Polis cawangan khas dan perisikan yang lebih diperlukan untuk membanteras jenayah yang semakin berleluasa telah difokuskan untuk melumpuhkan potensi parti-parti alternatif yang dilihat berupaya mencabar kedudukan dan kuasa pemerintah.

Keselamatan negara memang aspek penting yang mesti dipertahankan. Kita tidak sewajarnya bersikap sambil lewa atau berkompromi dengan anasir-anasir yang boleh menggugat keharmonian awam dan menyebabkan masyarakat majmuk di negara kita bercakaran dan berpecah-belah.

Namun,ia sesekali tidak boleh dijadikan alasan untuk pemerintah dengan sewenang-wenangnya menggunakan ISA untuk menahan mereka yang disyaki akan terbabit dengan kegiatan subversif.

Prinsip keadilan sejagat dan hak asasi manusia, terutama hak untuk berhimpun, bersuara dan berpersatuan harus dihormati semua pihak. Kerajaan yang bertanggungjawab dan matang sama sekali tidak pernah bimbang kuasa mereka akan dijatuhkan hanya dengan peningkatan kesedaran berpolitik rakyat.

Rakyat yang terpelajar dan sedar tentang hak-hak awam sebenarnya dapat membantu membangunkan lagi sesebuah negara. Mereka dapat memberi sumbangan terbaik buat negara,tanpa rasa takut dan bimbang. Tidaklah seperti berlaku dalam negara kita apabila ramai cendekiawan, sebahagiannya bertaraf profesor, yang dikunci mulut dan dizip bibir daripadamenyuarakan kepentingan ramai, mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Bila media dipancung kebebasannya

Media yang sewajarnya berperanan aktif menyampaikan maklumat dan informasi sahih juga dipancung kebebasannya, menyebabkan rakyat seperti diperbodohkan. Bayangkan, dalam zamanlangit terbuka tanpa sempadan, negara masih melaksanakan pelbagai peraturan rimba yang memalukan, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang tetap memerlukan permit penerbitan yang mesti diperbaharui setiap tahun.

Pihak menteri pula berkuasa sepenuhnya untuk mengharamkan dan menggantung mana-mana permit penerbitan tanpa perlu memberikan sebab munasabah dan keputusan KDN atau menteri itu langsung tidak boleh dicabar mahkamah. Akta Percetakan ini, seperti juga ISA dan banyak lagi akta menindas dan represif perlu dimansuhkan dengan kadar segera.

Suatu usaha reformasi besar-besaran untuk melihat kembali undang-undang yang ketinggalan zaman itu harus diselaraskan dengan perkembangan zaman. Setiap rakyat yang prihatin usah rasa segan silu untuk sama-sama bangkit menyatakan hak dan suara, menuntut dengan satu keazaman dan kesatuan,agar sang penguasa di atas sana prihatin dengan degup jantung rakyat dan serentak dengan itu dapat melonggarkan segala rantai yang mengongkong.

Ayuh, jangan tunggu dan tangguh-tangguh lagi untuk memeriahkan Himpunan Mansuh 1 Ogos. Datang beramai-ramai ke ibu kota, sekitar jam 2 petang, bagi memastikan pesta demokrasi ini tidak mudah dipatahkan.

Anda tidak melakukan apa-apa kesalahan hanya kerana untuk berhimpun menunjukkan sokongan kepada tuntutan untuk memansuhkan ISA.

Jadikan perhimpunan ini lebih besar dan bermakna, sekurang-kurangnya menyamai perhimpunan Bersih dan membantah PPSMI tidak lama dulu. _

Jangan terpedaya dengan ugutan, perhimpunan MANSUH diteruskan

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang ugutan dan khabar angin yang mahu menggagalkan perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti.

Komander perhimpunan tersebut yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob menegaskan, perhimpunan aman dan perarakan ke Istana Negara untuk menyerahkan deklarasi rakyat menentang penggunaan akta zalim ISA akan tetap diadakan pada 1 Ogos nanti bermula jam 2.00 petang.

Beliau seterusnya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang bencikan kezaliman dan menyokong akta rimba itu dimansuhkan agar meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk berhimpunan pada Sabtu nanti.

"Jangan terpedaya atau terpengaruh dengan mana-mana ugutan atau khabar angin yang mengatakan perhimpunan tersebut dibatalkan kerana pihak GMI dan Sekretariat Perhimpunan MANSUH akan tetap meneruskan perhimpunan dan perarakan pada Sabtu nanti.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang menyokong akta ISA dihapuskan dan mahu bersama berhimpun agar meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur biarpun terdapat banyak sekatan jalan raya," ujar beliau.

Salahuddin juga menjelaskan, hanya arahan daripada komander-komander yang bertugas dan Unit Amal sahaja harus diterima oleh seluruh peserta pehimpunan MANSUH bukan dari pihak lain.

Perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti diadakan dengan tujuan untuk membantah pengunaan akta zalim ISA dan satu deklarasi rakyat akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyatakan sokongan agar akta tersebut dimansuhkan. - mns_

Juruukur khas tentukan lokasi sebenar pelantar minyak

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Kemelut kedudukan sebenar pelantar carigali minyak dan gas dijangka diketahui umum apabila rombongan kerajaan negeri dan anggota-anggota parlimen Malaysia melawat lokasi berkenaan awal Ogos ini.

Turut disenaraikan dalam rombongan tersebut pasukan juruukur khas, Adun, media dan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa berkata, lawatan kerja ke kawasan pelantar minyak itu diharap dapat menentukan kedudukan sebenar pelantar berkenaan.

"Ini memandangkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed sebelum ini mendakwa pelantar terbabit terletak di kawasan tuntutan bertindih di bawah perjanjian antarabangsa membabitkan Malaysia, Thailand dan Vietnam.

"Jadi kita akan buktikan pelantar dimaksudkan masih dalam kawasan perairan Kelantan walau pun mungkin bertindih dengan Thailand," katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai sebelum ini tidak mahu PAS mempolitikkan isu royalti minyak dan gas kerana kedudukan pelantar di kawasan bertindih.

Husam berkata, kalau lokasi pelantar bertindih di antara Kelantan dan Thailand bermakna negeri ini berhak ke atas royalti minyak dan gas sebanyak lima peratus setahun seperti ditetapkan Petronas.

"Adalah tidak berbangkit Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum sebagaimana negeri-negeri lain termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu.

"Jadi lawatan tersebut akan membuktikan apa yang didakwa oleh Dato' Mustapa itu tidak benar dan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti di bawah semangat federalisme," ujarnya.

Beliau juga berkata, Petronas tidak memberi penjelasan dalam tempoh 48 jam seperti diarah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya di Manek Urai baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan ucapan banyak terima kepada sokongan banyak pihak untuk membolehkan Kelantan menuntut royalti terbabit.

Antaranya, mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang menjelaskan Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian dimeterai antara kerajaan pusat, Petronas dan kerajaan negeri.

Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 juga menyatakan perjanjian-perjanjian sedia ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai.

Petronas sebelum ini menandatangani perjanjian dengan semua kerajaan negeri yang mempunyai sumber petroleum untuk memberi hak mendapat royalti lima peratus setahun sama ada di daratan atau lautan.

Pemimpin Umno juga mendakwa Kelantan tidak berhak terhadap minyak yang ditemui 150 kilometer dari persisiran pantai negeri ini.

Sedangkan amalan sedia ada menunjukkan Petronas membayar royalti minyak kepada Terengganu dan Sarawak biar pun pelantar berada lebih 200 kilometer dari pantai negeri terbabit.

Kelantan menuntut Petronas membayar sebanyak RM1 bilion memandangkan carigali minyak dan gas di kawasan PM301 bermula sejak 2004.

Jabatan Perangkaan Malaysia juga menjelaskan nilai pengeluaran kasar industri petroleum pada 2004 di perairan Kelantan, Terengganu dan Sabah berjumlah RM47 bilion. - mj _

Tercedera bergasak di ibu pejabat MIC

MALAYSIA KINI


Ibupejabat MIC di Jalan Rahmah, Kuala Lumpur semalam menjadi tumpuan dua kumpulan berhubung isu membabitkan syarikat pelaburan parti itu - Maika Holdings.

Kumpulan pertama seramai kira-kira 150 orang, diketuai Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof P Ramasamy dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka turut disertai pemegang saham Maika Holdings yang tidak puashati dengan syarikat tersebut.

Mereka telah berarak menuju ke ibupejabat MIC pada jam 12 tengahari, menuntut penjelasan mengenai status kewangan Maika.

Kumpulan kedua diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maika, S Vell Paari bersama pemegang saham yang puashati dengan perjalanan syarikat tersebut.

Kumpulan ini telah mula berkumpul di ibupejabat Maika yang terletak di dalam bangunan ibupejabat MIC sejak jam 9 pagi tadi dan jumlahnya semakin meningkat.

Setibanya di ibupejabat MIC, kumpulan Ramasamy tidak dibenarkan masuk menemui Vell Paari untuk menyerahkan memorandum mengenai status kewangan Maika.

Manakala penyokong Vell Paari berhimpun di dalam bangunan tersebut.

Anggota polis kelihatan memantau keadaan di situ.

Pada kira-kira jam 12.30 tengahari, Vell Paari keluar dari bangunan ibupejabat MIC untuk bertemu dengan kumpulan Ramasamy. Keadan berasak-asak dan beliau terpaksa dikelilingi oleh anggota polis bagi melindunginya.

Akibat itu mengakibatkan berlaku pergelutan antara kedua-dua kumpulan tersebut, beberapa orang dilihat tercedera.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kemudiannya bertindak segera bagi mengawal keadaan.

Ketika keadaan kecoh di luar bangunan ibupejabat MIC itu, Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berada di dalam bangunan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Pakatan hari ini adalah ekoran rasa tidak puas hati ramai pemegang saham Maika terhadap prestasi syarikat tersebut dan menuntut supaya pelaburan mereka dipulang.

Salahkan Koperasi Nesa

Vell Paari, yang juga anak lelaki Presiden Samy Vellu, bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sedia membayar balik pelaburan pemegang saham tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terdapat injunksi oleh Koperasi Nesa - yang diketuai bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam - untuk menghalang penjualan syarikat insurans milik Maika.

Vell Paari pada awalnya mahu menjual syarikat insurans milik MIC - Oriental Capital Assurance Bhd (OCAB) - tetapi dibantah oleh Nesa, yang juga pemegang saham Maika, atas alasan penjualannya tidak menguntungkan sepenuhnya pemegang saham.

Awal minggu ini, Vell Paari memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bersedia bertemu kumpulan yang dipimpin oleh Ramasamy itu untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai status Maika.

Bagaimanapun, tambahnya, Ramasamy juga mesti bersedia memberi penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah diambilnya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang.

Vell Paari juga berkata, beliau akan mempelawa Ramasamy dan kumpulannya untuk menyertai pihaknya berarak ke pejabat Koperasi Nesa di Sentul, Kuala Lumpur, yang menghalang penjualan tersebut, dan seterusnya melambatkan pembayaran balik pelaburan pemegang saham Maika.

Polis risau ketegangan demo 1 Ogos

MALAYSIA KINI


Polis bimbang ketegangan akan berlaku semasa perarakan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akibat unsur provokasi daripada dua kumpulan berbeza yang menyokong dan menentang akta kontroversi itu, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dengan itu mahu penganjur membatalkan hasrat mereka dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu, lapor Bernama.

"Walaupun pihak-pihak penganjur menyatakan perhimpunan dan perarakan ini akan diadakan secara aman tetapi kesannya boleh menggugat ketenteraman awam," beliau dipetik berkata hari ini.

Tambahnya, terdapat agenda berbeza antara Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang menentang undang-undang itu, dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) yang mahu ISA dikekalkan.

Kedua-dua kumpulan itu akan berarak ke Istana Negara dari lokasi masing-masing mulai 2 petang, 1 Ogos.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI merancang bergerak dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA berhimpun di Dataran Merdeka, Pasar Seni dan juga Masjid Negara dengan berpakaian putih.

Bagaimanapun kumpulan-kumpulan ini mungkin mengubah pergerakan masing-masing bergantung pada langkah kawalan keselamatan polis nanti.

Ismail juga dilaporkan berkata polis tidak menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua kumpulan terbabit untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan itu.

"Mana-mana pihak yang mengadakannya adalah bercanggah dengan undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata perhimpunan dan perarakan itu akan melibatkan ramai peserta dan boleh membawa kesan negatif kepada orang ramai termasuk pelancong, para peniaga dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Pewaris batal himpunan di Masjid Negara

MSTAR ONLINE


Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) membatalkan tempat pertemuan penyokongnya di Masjid Negara tetapi mengekalkan dua lagi lokasi - di Padang Merbok dan di Pasar Seni.

Timbalan Pengerusi 11 Pewaris, Rahimuddin Md Harun berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat terakhir malam tadi.

'Keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada alim ulama dan orang lama bagi menjaga kesucian masjid," katanya.

Rahimuddin berkata, pihaknya tidak mahu kesucian masjid tersebut tercemar jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

"Kita juga tidak mahu mengganggu jemaah yang mahu beribadat, katanya.

Ditanya sama ada ia bertujuan untuk mengelak pertembungan dengan kumpulan anti-ISA anjura Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) juga akan berkumpul di tempat yang sama, Rahimuddin berkata:

"Kita lebih memfokuskan kepada hendak menjaga keharmonian. Yang berkumpul di situ, sepatutnya budak-budak silat, boleh kalau nak bertembung, tetapi kesucian tempat ibadat itu lebih penting dipertahankan.

Wacana ilmiah: Jika niat berbeza, usah teruskan, kata Khairy

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mahu mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Al-tantawi sebelum meneruskan wacana ilmiah yang dicadangakan oleh sayap Pemuda PAS itu.

Menurut Khairy, beliau mahu berjumpa dengan Nasrudin untuk bertanyakan tujuan sebenar wacana tersebut diadakan dan mendengar sendiri daripada dari’ isi hati’ Ketua Pemuda PAS itu.

“Saya nak jumpa empat mata dengan dia (Nasrudin). Tak perlu ada Setiausaha dia atau Setiausaha saya, hanya saya dengan dia. Tapi pertemuan, KJ jumpa dengan Nasrudin bukan muzakarah saya cuma ingin tahu apa yang dia (Nasrudin) hendak,” katanya selepas merasmikan pasukan Ragbi Pemuda Umno di Menara Dato Onn malam tadi.

Jelasnya, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Nasrudin pada bulan Jun yang lalu untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda PAS itu.

Bagaimanapun, tegas Khairy, Nasrudin tidak menjawab surat tersebut sebaliknya beliau telah mengarahkan Setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad menulis kepadanya.

“Baru-baru ini saya telah terima surat daripada Setiausaha Pemuda PAS, yang ‘agak pelik sedikit’ bunyinya kerana dalam surat yang saya terima itu, sudah ada jawatankuasa teknikal dan minta saya hubungi mereka.

“Sedangkan dalam surat asal saya tulis surat kepada Nasrudin tapi saya dapat surat daripada Setiausaha (Pemuda PAS) pula. Saya nak jumpa dia dulu, saya harap dia (Nasrudin) boleh jumpa saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau tidak mahu lagi ‘main tarik tali’ dengan PAS kerana wujudnya percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil Dewan Pemuda PAS dalam isu tersebut.

“Saya tak nak mendengar melalui media atau pun berunding melalui jawatankuasa teknikal sedangkan saya kena faham apa isi hati Ketua Pemuda (PAS). Dia (Nasrudin) ketua, saya ketua, dia (Nasrudin) saya kena faham apa yang dia nak dan dia (Nasrudin) pun kena faham apa yang saya sanggup buat.

“Kalau sekiranya usaha ini boleh bawa satu benda yang baik kepada kedua-dua pihak apa salahnya tetapi jika niatnya berbeza maka kita jangan teruskan lah. Inilah bahaya bila kita cakap melalui media dan wakil.

“Saya nak jumpa dia (Nasrudin) dahulu. Saya akan tulis surat esok. Dia (Nasrudin) bagi tarikh, bila-bila masa la, saya akan jumpa dia, di mana-mana pun saya tak kisah,” katanya.

Ketika ditanya apakah perlu wacana tersebut diadakan kerana ada di kalangan pemimpin Umno yang meminta parti itu tidak melayan kenyataan daripada PAS mengenai sebarang bentuk perbincangan, Khairy berkata:

“Bukan saya layan, dan harap sangat tetapi ini soal surat-menyurat dah mula. Kalau dia (Nasrudin) tak nak, saya tak boleh paksa sebab tajuk yang diberikan oleh mereka (PAS) saya rasa tidak berapa sesuai."

“Oleh sebab itu saya nak bincang dengan dia (Nasrudin) soal tajuk, soal format. Kalau betul kita mahu adakan perbincangan, biarlah kita ada persetujuan di antara kedua-dua ketua pada dasarnya,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Pemuda PAS menjemput Pergerakan Pemuda Umno pusat untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Nasrudin menyerahkan surat jemputan untuk mengadakan wacana itu kepada Razali yang mewakili Khairy.

Nasrudin telah mencadangkan tajuk "Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam", namun Razali meminta tajuk tersebut ditentukan kemudian mengikut kesesuaian kedua-dua pihak.

Khairy juga telah menyatakan persetujuan menyertai wacana berkenaan dua hari kemudian.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membincangkan aspek lanjut selepas berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Pilihan raya kecil itu selesai 14 Julai lalu.

Perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

ADUN PAS Permatang Pasir meninggal dunia

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir dari PAS, Hamdan Abd. Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini subuh tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan yang Hamdan meninggal dunia, dipercayai kira-kira 6.10 pagi.

"Anak Allahyarham memberitahu yang beliau meninggal dunia di IJN subuh tadi... anaknya kata bila dia bangun dari tidur, ayahnya sudah tiada (meninggal dunia)," katanya ketika dihubungi.

Hamdan dimasukkan ke IJN Isnin lalu.Permatang Pasir adalah salah satu kerusi DUN di bahagian Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Hamdan, 63, menjadi ADUN sejak 1999.

Jenazahnya sedang dibawa ke pejabatnya di Kg. Permatang Pasir, kata Mahfuz.

"Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kg. Permatang Pasir selepas sembahyang Asar (petang ini)," kata beliau lagi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah berkata, PAS sudah kehilangan seorang pemimpin yang sangat memahami perjuangan parti dan kehendak rakyat.

"Ia satu kehilangan besar buat PAS kerana beliau seorang pemimpin yang gigih dan komited kepada perjuangan parti.

"Malah beliau juga dekat dengan rakyat, sebab itu beliau boleh memenangi kerusi yang ditandingi (Permatang Pasir sejak 1999)," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-12, Mohd Hamdan berjaya menewaskan calon Umno daripada Barisan Nasional Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

Khamis, 30 Julai 2009

‘Haram anjur, sertai demonstrasi jalanan’

Oleh Nazura Ngah


KUALA LUMPUR: Islam mengharamkan umatnya menganjur atau menyertai aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara seperti perhimpunan haram bagi mendesak kerajaan menghapuskan dan mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu ini.

Pelbagai pihak termasuk menteri berkaitan, mufti dan ulama menyifatkan berdosa bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam perhimpunan itu kerana jelas bertentangan dengan Islam kerana boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata Islam tidak menggalakkan mana-mana umatnya untuk menyertai dan menganjurkan majlis yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Beliau berkata, perhimpunan haram itu tidak patut diteruskan kerana boleh mencetuskan kebimbangan semua pihak seolah-olah tiada kawalan keselamatan dalam negara.

“Kerajaan sedang membuat pertimbangan terhadap ISA, oleh itu tidak perlu mengadakan demonstrasi secara besar-besaran atau tunjuk perasaan di jalanan kerana ia boleh diselesaikan di meja rundingan.

“Beri masa pada kerajaan untuk buat yang terbaik kerana tiada guna berdemonstrasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Dari segi agama, adalah haram bersama-sama orang yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat. Maka orang yang akan menyertai dan menganjurkan perhimpunan itu berdosa jika tetap meneruskan perhimpunan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata jika perhimpunan yang boleh mendatangkan huru hara, maka adalah haram mana-mana pihak untuk menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, jika undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, maka hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.

“Wajib ke atas semua pihak untuk taat pada undang-undang demi menjaga keselamatan negara, oleh itu berdosa jika undang-undang tidak dipatuhi,” katanya.

“Mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan itu dinasihatkan supaya membatalkan hasrat mereka, sebaliknya melakukan protes secara aman sama ada melalui surat atau mengadakan pertemuan bagi mendesak kerajaan,” katanya.

Tokoh agama, Datuk Dusuki Ahmad turut sependapat dengan kedua-dua tokoh berkenaan kerana menyifatkan perhimpunan itu tidak memberi manfaat dan faedah kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah dan diyakini boleh memudaratkan adalah haram untuk disertai atau dianjurkan.

“Perhimpunan itu jelas boleh menimbulkan huru hara, menyulitkan selain menyebabkan pemikiran masyarakat bercelaru.

“Perhimpunan itu adalah semata-mata untuk kepentingan politik kepartian dan pihak yang tersepit adalah mereka yang tidak berdosa.

“Malah, kerajaan juga berdosa jika gagal mengambil tindakan walaupun mengetahui perhimpunan itu boleh menimbulkan huru hara dan ketegangan,” katanya.

Remaja mati gantung diri

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui mati dengan leher tergantung pada kipas siling ruang tamu di Taman Seri Selayang, di sini, semalam.

Mayat P Yuvaraj ditemui jirannya yang terdengar jeritan sebelum melihat mangsa terjerut pada kain sari yang diikat ke siling ketika menjenguk ke dalam rumah di Jalan Sri Selayang.

Difahamkan, mangsa tinggal di rumah itu kerana belajar keagamaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata siasatan dilakukan setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan percaya remaja itu menggunakan tangga lipat yang ditemui di ruang berkenaan bagi memanjat ke siling sebelum menjerut lehernya.

“Polis setakat ini tidak mendapat maklumat yang menjurus kepada unsur jenayah, malah ketika kejadian mangsa dipercayai berseorangan di rumah itu,” katanya di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, polis belum mengetahui motif remaja itu bertindak demikian kerana tidak menemui nota atau maklumat.

Katanya, mayat remaja itu dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan polis masih menunggu laporan.

Wanita maut dibelasah suami cemburu

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan berbogel dan kesan lebam hampir seluruh anggota badan, dipercayai dibunuh suaminya kerana cemburu di sebuah hotel bajet di Jalan Kepong, dekat Jinjang, awal pagi semalam.

Mayat Subaidah Abu Bakar, 30, ditemui seorang pekerja hotel yang membuka pintu bilik hotel itu pada kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa yang sudah sembilan tahun berkahwin dengan suspek berusia 34 tahun, dipercayai mati akibat dipukul dengan cerek air dan wayar elektrik serta kepalanya dihentak ke dinding berdasarkan kesan kecederaan dialami mangsa.

Katanya, mangsa dan suaminya yang tinggal di Slim River, Perak dikatakan sering bertengkar selepas menginap di bilik hotel itu sejak Jumaat lalu.

“Antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi (semalam), suspek dipercayai bertindak membogelkan mangsa sebelum memukul dengan cerek air dan wayar elektrik selepas bergaduh kerana menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Selepas jam 4 pagi, suspek bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Devi meninggalkan mangsa begitu saja sebelum pulang semula sejam kemudian tetapi tidak dapat masuk semula ke bilik itu kerana tertinggal kunci.

“Suspek terpaksa meminta pekerja hotel membuka pintu dan mereka terkejut apabila mendapati mangsa terbujur kaku dalam keadaan terlentang dan berbogel di sebelah katil,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, semalam.

Zakaria berkata, suspek melarikan diri selepas mengambil barangan miliknya dan mangsa, tetapi Devi terus berada di bilik berkenaan.

“Suspek turut menumbuk Devi yang kini ditahan polis untuk membantu siasatan.

“Kita sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel, namun rakamannya kurang jelas. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Subaidah yang enggan namanya disiarkan berkata, suspek menghubunginya malam kelmarin dan memintanya datang mengambil mangsa di hotel itu untuk dibawa pulang.

Katanya, dia bersama bapa Subaidah serta dua lagi ahli keluarga mereka tiba dari Jempol, Negeri Sembilan ke Kepong pada jam 10 pagi semalam tetapi gagal menghubungi suspek sehinggalah mereka tahu kejadian sebenar apabila tiba di hotel terbabit.

“Mereka kerap bertengkar dan suaminya memang selalu memukulnya dengan besi. Subaidah juga selalu meminta bapanya mengambilnya kerana tidak tahan dipukul, tetapi pasangan itu akan berbaik semula,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala rakan mangsa masih disiasat polis.

Tambahan polis sukarela di kawasan panas

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Sebahagian anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) diserap sebagai polis sukarela dalam usaha membanteras jenayah di kawasan-kawasan panas di seluruh negara.

Langkah itu merupakan antara tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) susulan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, seramai 254 anggota dua agensi itu dipilih sebagai kumpulan pertama pasukan polis sukarela yang akan mula bertugas pada 16 Ogos ini.

Katanya, kumpulan pertama itu akan menjalani latihan di Pusat Latihan JPAM di Bangi dekat sini.

''Penambahan keanggotaan pasukan polis sukarela ini bergantung kepada jumlah kawasan panas dan bilangan anggota polis yang ada di situ.

''Setakat ini saya tidak mahu mendedahkan kawasan panas berkenaan, manakala bidang kuasa polis sukarela itu akan saya umumkan nanti," ujarnya selepas mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, penubuhan polis sukarela itu akan diperluaskan ke pelbagai agensi termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan badan-badan beruniform.

Katanya, kementerian menggalakkan orang ramai menyertai Rela sekiranya mereka berminat untuk dipilih sebagai polis sukarela.

Bagaimanapun jelasnya, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dikerahkan terlebih dahulu ke kawasan-kawasan panas mulai 2 Ogos ini sementara menunggu pasukan polis sukarela tamat menjalani latihan mereka.

Hishammuddin berkata, KDN juga akan melaksanakan beberapa pendekatan segera bagi menambah baik kebajikan dan perkhidmatan anggota polis secara menyeluruh.

''Sebagai permulaan, KDN akan menaik taraf balai-balai polis di seluruh negara khususnya di kawasan panas yang kerap berlaku jenayah jalanan.

''Ini bermakna balai polis di kawasan panas khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor akan dinaik taraf pada kadar segera," ujarnya.

Kata beliau, KDN juga sedang menilai mekanisme terbaik bagi menyalurkan peruntukan kecil secara terus kepada balai-balai polis di seluruh negara untuk melakukan kerja baik pulih.

Tambahnya, anggota polis juga akan dilengkapkan dengan peralatan asas seperti baju kalis peluru dan pertahanan diri yang lain supaya dapat bertugas dengan selamat.

''Salah satu aspek yang akan turut diberi penekanan secara serius adalah mengenai pelajaran anak-anak anggota dan pegawai polis bagi memastikan kebajikan dan masa depan mereka terbela,'' katanya.

Hanya 23% syarikat milik bumiputera

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Hanya 23 peratus atau 194,412 daripada jumlah keseluruhan syarikat yang diperbadankan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan syarikat bumiputera.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 856,699 syarikat diperbadankan dengan SSM.

‘‘Mengenai perniagaan yang berdaftar dengan SSM pula, sehingga 30 Jun lalu jumlah keseluruhannya ialah 3,951,457 dan hanya 1,290,930 perniagaan atau 33 peratus adalah milik bumiputera,’’ ujarnya.

Rahim berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Kempen Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) di sini hari ini.

Menurutnya, orang Melayu perlu mencontohi masyarakat Cina di mana 80 peratus daripada mereka mempunyai syarikat kerana kumpulan itu sentiasa terdedah kepada budaya perniagaan.

‘‘Segala hartanah yang dimiliki sesebuah keluarga misalnya rumah dan sebagainya boleh ditukar dalam bentuk saham apabila keluarga berkenaan mendaftarkan syarikat mereka,’’ katanya.

Kata Rahim, susulan kepada pelancaran kempen 1K1S di Kuala Lumpur Mac lalu, Gabem dengan kerjasama SSM akan menganjurkan kempen yang sama di Kuala Terengganu pada 15 Ogos ini.

‘‘Kempen di Kuala Lumpur berjaya menarik seramai 854 peserta dan kami berharap untuk menyebarkan maklumat di Wilayah Timur pula sebelum menyebarkan kempen ini ke wilayah lain.

‘‘Gabem turut menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang berminat untuk mengetahui tentang 1K1S,’’ katanya.

Penuduh Mahathir rasis ada agenda

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pihak yang menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai rasis mempunyai agenda tersembunyi untuk terus melihat bangsa Melayu ketinggalan dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, golongan tersebut tidak menghiraukan perbezaan dan ketidakadilan yang wujud sebaliknya mahu kekurangan itu berterusan.

"Semua tokoh yang memperjuangkan bangsanya yang tertekan, terkebelakang atau ketinggalan akan dianggap rasis oleh mereka yang mahukan keadaan itu berterusan atau yang tidak peduli terhadap perbezaan dan ketidakadilan yang wujud.

"Bagi tokoh politik yang puas hati kerana bangsanya dominan maka tokoh yang ingin mengimbangkan suasana pasti dikecam olehnya. Yang dipentingkan oleh seseorang negarawan ialah keamanan dalam negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu mempersoalkan banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina yang kurang senang dengan tulisan Dr. Mahathir mengenai kepentingan orang Melayu dan menuduh beliau sebagai rasis.

Reaksi daripada tuduhan itu, Dr. Mahathir semalam berpendapat mereka yang menuduh beliau rasis semata-mata kerana mempertahankan kepentingan orang Melayu dan menyuarakan hakikat kedudukan semasa kaum tersebut, juga merupakan orang yang rasis.

Tambah Sanusi yang juga bekas Naib Presiden UMNO, seorang negarawan yang bijaksana pasti memperjuangkan golongan tertekan dan ketinggalan kerana keadaan yang tidak seimbang dalam masyarakat boleh membawa kepada keadaan huru-hara dalam negara.

Beliau juga menyuarakan kekecewaannya terhadap golongan bijak pandai dalam kalangan bangsa Melayu dan bangsa lain yang tidak mempedulikan nasib dan hakikat sebenar yang dihadapi orang Melayu di negara ini.

"Banyak cerdik pandai yang tidak peduli nasib orang Melayu termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri, mereka ini buta sejarah dan jahil politik," katanya.

4,000 pusat hiburan, judi, spa haram beroperasi di Selangor

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini mendakwa terdapat lebih 4,000 tempat judi, hiburan dan spa beroperasi secara haram sejak pakatan pembangkang memerintah negeri itu.

Menurutnya, sebelum ini lesen pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700 sahaja tetapi mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdapat lebih 4,000 pusat itu di Selangor sekarang.

‘‘Saya yakin kewujudan banyak pusat seperti ini di Selangor kerana ada ahli politik bertindak sebagai pelindung kepada kumpulan-kumpulan kongsi gelap memandangkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), lesen untuk pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700.

‘‘Secara rasmi memang lesen pusat-pusat tersebut tidak dikeluarkan lagi tetapi kalau kita lihat pusat judi, hiburan dan spa tumbuh macam cendawan di Selangor, saya percaya kesemuanya dibuka secara haram,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kad E-Amal U-Pay Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (Yayasan Bakti) di Ampang dekat sini.

Kad E-Amal U-Pay dikeluarkan dengan kerjasama Yayasan Bakti, Koperasi Usahawan dan Pengguna Perniagaan Elektronik Kuala Lumpur dan MAA Insurans Takaful Berhad.

Kad itu menawarkan faedah seperti khairat kematian, perlindungan kemalangan peribadi, kemudahan mengeluarkan wang, membeli barangan dan juga membayar bil.

Mengulas lanjut, Mohamad Khir memberitahu, di kawasan Sungai Besar sahaja terdapat tiga pusat urut yang besar baru beroperasi.

Beliau menambah, kumpulan kongsi gelap bukan sahaja menguasai pusat-pusat hiburan, judi dan spa malahan perniagaan melombong pasir.

‘‘Mengikut kerajaan pakatan pembangkang, hasil daripada melombong pasir adalah sebanyak RM200 juta setahun tetapi setelah lebih setahun memerintah, pendapatan perlombongan pasir hanya RM4 juta.

‘‘Kalau kita lihat banyak laporan kecurian pasir seperti di Semenyih, tetapi saya yakin ia bukan dicuri sebaliknya terdapat dalang yang melindungi kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini,” dakwanya.

Beliau menambah, Selangor tidak lama lagi akan menjadi negeri bankrap kerana pendapatan kerajaan negeri merosot sebanyak RM200 juta setahun.

Dakwanya lagi, kewangan negeri tidak diuruskan dengan baik terutama berkaitan peruntukan RM500,000 kepada wakil-wakil rakyat.

Ia dipindahkan terus daripada akaun pejabat daerah ke tabung-tabung pusat khidmat masyarakat yang diuruskan parti-parti politik.

‘‘Kemudian baru diagihkan kepada orang ramai, sesuatu yang boleh dipertikaikan dari segi ketelusan kerana tidak boleh diaudit.

‘‘Semasa BN memerintah, peruntukan ini dikendalikan oleh pejabat daerah sepenuhnya,” katanya.

Mohamad Khir memberitahu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat perkara itu kerana kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan rasuah dalam pengendalian tabung-tabung pusat khidmat tersebut.

Beliau juga membidas kerajaan pakatan pembangkang kerana gagal menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Selangor.

Katanya, pada tahun lepas Selangor hanya menarik FDI kurang daripada RM4 bilion sedangkan kerajaan pimpinan BN pada 2007 berjaya menarik pelaburan sebanyak RM11.8 bilion.

‘‘Selangor kini berada di tempat ketiga dalam FDI iaitu di belakang Johor dan Sarawak yang berjaya menarik lebih banyak pelaburan.

‘‘Kegagalan kerajaan pakatan pembangkang menarik FDI menyebabkan hanya 10,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun lepas dan ini menyebabkan banyak pengangguran di Selangor,” katanya.

Mohamad Khir berkata, semasa BN memerintah peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan adalah antara 25,000 dan 30,000 jawatan.

Rabu, 29 Julai 2009

Hujah 'pergi jahanamlah Umno' wajar - Nik Aziz

Salmah Mat Husain


KETEREH - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menarik kenyataannya sebelum ini yang menyebut 'pergi jahanamlah dengan Umno' kerana ia dianggap wajar.

Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin Umno kelihatan kalut dengan kenyataan itu tanpa memikirkan tindakan pemimpin parti itu sendiri yang mencerminkan perkara tersebut.

"Umno langsung tidak pernah fikir ketika pemimpin parti itu memburukkan nama saya sebelum ini.

"Namun setelah pemimpin mereka ditegur sedikit riuh rendah jadinya," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 215 mangsa ribut di Kampung Buloh Poh dan Kampung Lancang petang tadi.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Dr Awang Adek Hussin sebelum ini dilaporkan kesal dengan kenyataan Mursyidul Am PAS berkaitan isu terbabit.

"Takkan saya mengeluarkan kenyataan yang agak keras tanpa sebarang sebab," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa seorang tok guru yang bergelar ulama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Siapa ajar tok guru tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan Allah sendiri dalam al-Quran menyumpah manusia macam binatang.

"Ada juga ayat di mana Allah mengumpamakan manusia ini pekak, tuli, buta.

"Jadi sekiranya ada orang menghina kita, kita senyap tak berbuat apa-apa itu bukan merendah diri, tetapi menghina diri sendiri," tambahnya. - mj _

Kerajaan negeri ajak berbaik jangan Umno bermotif politik

Adnan Ibrahim


Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menawarkan sikap berbaik dengan kerajaan pusat demi kesejahteraan rakyat Kelantan yang sepatutnya menikmati kemudahan sesuai dengan semangat konsep federalisme dalam penubuhan Malaysia dengan negeri lain dalam gabungan tersebut.

Sebagai parti yang menguasai pemerintahan negara tidak selayaknya Umno dilihat terlalu mendesak sehingga sanggup melacurkan parti untuk mengagih simpati PAS. Semua rakyat tahu apa maksud Nik Abdul Aziz dan putar belit Umno hanya menambah meluat dan kebencian rakyat terhadap Umno.

Motif politik Umno demi kepentingan parti mereka maka setiap perkara yang dibangkitkan kerajaan pakatan rakyat diselewengkan. Umno dilihat terlalu bermain politik sehingga melupakan tanggungjawab sebagai kerajaan pusat terhadap negeri dalam kekuasaannya.

Dengan itu hasrat yang diinginkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya orang Umno kembali menyokong parti itu, tidak akan tercapai.

Secara tidak langsung sambutan terhadap 100 hari pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digambarkan penuh dengan penindasan gara-gara Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed memanipulasikan kenyataan Nik Abdul Aziz.

Najib perlu melihat apakah Muhyiddin sesuai bagi pemerintahan beliau yang mahu membuat perubahan dengan slogan `satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' kerana timbalannya sering menimbulkan masalah kepada Najib untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menawarkan sikap berbaik dengan kerajaan pusat sesuai dengan konsep federalisme. Penghormatan kepada konsep tersebut amat penting kerana kerajaan negeri dengan kerajaan pusat adalah saling kait mengait dan memerlukan. Sebaliknya Muhyiddin dan Mustapa memanipulasikan kenyataan tersebut.

Kerajaan pusat perlu menghormati keputusan rakyat di negeri pakatan rakyat yang telah memilih parti selain Barisan Nasional (BN) memerintah mereka. Sebaliknya kerajaan pusat seolah mahu membalas dendam kepada rakyat negeri pakatan rakyat dengan peraturan yang bercanggah konsep federalisme.

Kerajaan pusat tidak menyegerakan wang peruntukan tahunan kepada kerajaan negeri malah terdapat negeri pakatan rakyat dinafikan perbelanjaan tersebut. Sebaliknya Kerajaan pusat tanpa segan silu tetap mengambil cukai di negeri pakatan rakyat.

Di Selangor umpamanya kerajaan pusat memperolehi hasil sehingga RM80 bilion setahun tetapi sehingga kini satu sen pun kerajaan pusat tidak curahkan kepada kerajaan negeri itu kerana sikap Umno bermotif politik disebabkan Selangor diperintah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kelantan pula hanya semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan negeri dapat mengecapi peruntukan perkapita sehingga RM6 bilion setahun sedangkan dalam masa 20 tahun pemerintahan PAS itu, Kelantan hanya diberi tidak lebih RM2 bilion dalam masa negeri lain dibawah penguasaan Umno mendapat peruntukan lebih RM6 bilion malah sampai RM11 bilion.

Apabila Nik Abdul menyuarakan hasrat berunding dengan kerajaan pusat ia sepatutnya menyedarkan Najib bahawa kerajaan pusat selama ini sudah jauh menyeleweng daripada konsep federalisme yang dipersetujui bersama.

Malah dalam setengah keadaan menteri dalam kabinet beliau pun bertindak jauh menyeleweng daripada konsep tersebut dengan menafikan hak kakitangan kerajaan daripada menyertai program kerajaan negeri dibawah pakatan rakyat.

Tugas kakitangan kerajaan pusat adalah saling memerlukan dengan kerajaan negeri bagi kepentingan rakyat sebaliknya Menteri Pertahanan, Dato' Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Industri, Dato' Noh Omar membuat arahan bahawa pegawai kerajaan pusat tidak boleh hadir dalam mesyuarat dan kursus yang dianjur oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh pakatan rakyat.

Alasan yang diberikan ialah kerana negeri pakatan rakyat tidak memberi dana untuk melaksanakan projek pertanian.

Dalam penubuhan agensi kerajaan terdapat senarai kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta pengurusan bersama. Contoh polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tentera, bomba, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain seumpamanya termasuk dalam tanggungjawab kerajaan pusat.

Bagi jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertanian pula senarai bersama. Dalam hal ini, jika pegawai itu daripada pusat, gajinya dibayar dari kewangan negeri di mana dia bertugas. Tugasnya ialah membangunkan negeri tempat dia berkhidmat dalam ruang lingkup tanggungjawab jabatannya.

Pejabat tanah, pejabat daerah, jabatan bekalan air, jabatan agama dibawah tanggungjawab kerajaan negeri. Ini merupakan agensi dibawah kuasa kerajaan negeri dan menjadi sumber hasil yang boleh dibelanjakan terus oleh negeri.

Semua kutipan cukai serta bayaran seperti denda, saman dan sewa melalui agensi kerajaan pusat ini wajib dikembalikan kepada rakyat melalui geran wajib tahunan, peruntukan kementerian kepada jabatan dan projek pembangunan.

Bagi Zahid dan Noh, bagaimana sekiranya kerajaan negeri melarang kutipan cukai LHDN di negerinya dihantar kepada kementerian kewangan. Apa perasaan mereka? Tetapi bukan itu hasrat kerajaan negeri untuk melanggar peraturan dan ketetapan bersama.

Oleh kerana itu kerajaan pusat perlu kembali kepada konsep federalisme supaya keadilan dan hasil mahsyul dapat dikongsi serta dinikmati bersama.

Walaupun sehingga kini kerajaan negeri pakatan rakyat dinafikan hak sedemikian tetapi mereka tetap bersabar supaya kerajaan pusat tidak perlu gopoh untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia akan memberi gambaran yang semakin buruk kepada Najib dan menyingkirkan Umno memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang. _

Umno S'gor: 'Kalau Pakatan tak salah, kenapa gelabah'

Abdul Rahim Sabri


Umno Selangor menasihatkan ADUN Pakatan Rakyat yang berdepan dengan dakwaan salahguna wang peruntukan ADUN, tidak perlu menggelabah dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan tersebut.

"Kalau tak salah, kenapa gelabah. Biar SPRM membuat siasatan.

"Dulu kata dekat Umno dan BN rasuah, zalim. Sekarang kena batang hidung mereka, mereka kata konspirasi daripada BN," kata ketua penerangannya, Abdul Syukur Idrus.

Abdul Syukur yang juga ketua Umno bahagian Selayang mengulas dakwaan Kelab Penyokong Kerajaan Selangor bahawa siasatan terhadap tujuh ADUN Selangor berhubung dakwaan tersebut - yang membawa kepada kematian Teoh Beng Hock - adalah sebahagian konspirasi BN untuk merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat seperti di Perak.

Mengulas lanjut, Abdul Syukur menganggap siasatan yang dijalankan oleh SPRM itu adalah satu prosedur biasa berdasarkan fakta yang diperolehi mereka.

"SPRM teruskanlah siasatan. Jangan jadikan isu ini sebagai halangan untuk meneruskan siasatan," katanya sambil menambah terdapat pemimpin Umno yang disoalsiasat oleh SPRM dan mereka memberi kerjasama sepenuhnya.

Sehubungan itu, Abdul Syukur yang juga ADUN Kuang, tidak timbul dakwaan apa yang berlaku adalah konspirasi BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kelmarin Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Ng Suee Lin mendakwa, konspirasi BN itu bermula dengan penangkapan exco Selangor, Teresa Kok di bawah akta ISA, September tahun lalu.

Tangkapan ADUN Kinrara dan ahli parlimen Seputeh itu didakwa berhubung isu penggunaan pembesar suara bagi kegunaan azan di sebuah masjid di Bandar Kinrara, Puchong.

Manakala episod kedua pula, menurut Ng, membabitkan kes exco Selangor, Ronnie Liu yang didakwa menghalang tugas anggota penguatkuasa di sebuah hotel di Puchong.

Ronnie, juga ADUN Pandamaran, dihadapkan ke mahkamah pada 17 November tahun lalu atas tuduhan bersubahat menghalang tugas penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada menutup sebuah hotel pada 2007.

Episod ketiga pula, dakwa Ng lagi, apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa menyelenggara kereta sendiri dengan peruntukan negeri dan mengagihkan lembu korban daripada dana anak syarikat Selangor di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak, awal tahun ini.

Ng, yang juga ADUN Sekincan, mendakwa bahawa episod seterusnya ialah perbuatan menyebarkan gambar bogel exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Februari lalu.

DNA siapa di pakaian Teoh?

MALAYSIA KINI
(kemaskini 4.29pm)


Inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock diberitahu bahawa satu sampel DNA milik lelaki yang tidak dikenali ditemui di bahagian belakang pakaian dan tali pinggang mendiang.

Identiti lelaki itu belum dikenal pasti walaupun contoh sampel DNA daripada 102 individu terbabit telahpun diambil oleh Jabatan Kimia, kata peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik membantu mengendalikan inkues bagi pihak kerajaan di hadapan Koroner
Azmil Muntapha Abas.

Tambahnya, lima sampel telah diambil daripada bahagian belakang blazer yang dipakai oleh Teoh pada hari kejadian dan hasil laporan menunjukkan terdapat dua DNA lelaki pada bahan bukti itu, lapor Bernama.

Satu daripada DNA itu dikenal pasti sebagai DNA Teoh, yang berpadanan dengan spesimen darahnya, manakala satu lagi pemilik DNA tidak diketahui.

DNA lelaki misteri itu turut ditemui pada bahagian tali pinggang yang dipakai Teoh, yang bercampur aduk dengan DNA mendiang.

"Sampel daripada 102 individu telah diambil bagi menentukan sama ada DNA mereka ini sepadan dengan DNA yang tidak diketahui itu.

"Laporan bagi 90 individu telah siap, sementara 12 lagi belum diperoleh.

"Saya turut dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa terdapat dua orang yang enggan memberikan sampel DNA mereka," Tan dipetik berkata.

Gobind Singh Deo, yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Teoh, menggesa pihak pendakwaan supaya memaklumkan kepada mereka sama ada terdapat sampel DNA daripada 90 individu itu yang sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui tersebut.

"Inilah salah satu sebab lagi mengapa pihak mahkamah perlu menangguhkan prosiding ini bagi menunggu keputusan penuh laporan DNA," Gobind dilaporkan berkata.

Tan menjawab: "Sama ada terdapat padanan DNA daripada 90 individu ini dengan DNA yang tidak diketahui itu, perkara ini adalah lebih baik diberitahu sendiri oleh pakar kimia nanti."

Teoh ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lepas di atas bumbung tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, yang menempatkan bangunan suruhanjaya tersebut.

Kematian setiausaha exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, yang menimbulkan pelbagai persoalan, mendorong kerajaan menubuhkan inkues dan suruhanjaya siasatan diraja bagi menentuk kematiannya dan prosedur siasatan SPRM.

Inkues tersebut, bermula hari ini, ditangguhkan ke Rabu depan.

H1N1: UPSI dan USM ditutup

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dua buah institusi pengajian tinggi (IPT), sebuah kampus pengajian dan sebuah sekolah ditutup hari ini dan semalam selepas beberapa pelajar institusi itu dikesan terkena jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, kampus kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin (A) di Bukit Mertajam diarahkan ditutup selama tujuh hari bermula hari ini manakala Kolej Yayasan Profesional Mara (KYM) Pahang di Kuantan diarahkan tutup seminggu bermula semalam.

Kementerian Kesihatan mengarahkan kampus UPSI ditutup sehingga 3 Ogos dan 14,000 pelajar UPSI diarahkan pulang ke rumah masing-masing selepas 435 pelajar dilaporkan dijangkiti ILI sejak petang semalam.

Hanya kira-kira 4,000 pelajar mendiami asrama di kampus UPSI manakala selebihnya tinggal di luar.

Di IPOH, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Perak berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Pejabat Kesihatan Daerah bagi mendapatkan maklumat bilangan penuntut UPSI yang terlibat dan pertambahan kes jika ada.

"Sehingga kini, kita masih menyiasat sampel darah yang diambil daripada penuntut terbabit bagi mengesahkan sama ada positif influenza A (H1N1)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kesem,ua penuntut yang dijangkiti ILI sebelum ini telah dikuarantin di sebuah blok sebelum arahan penutupan kampus dikeluarkan.

Minggu lepas, semua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Iskandar telah diarah tutup selama seminggu selepas 10 sampel darah pelajar yang dijangkiti ILI disah H1N1.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Pooh berkata arahan penutupan sertamerta Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin (A) dan kampus kejuruteraan USM itu adalah bagi mengelak berlaku penularan virus ILI kepada pelajar lain.

"Langkah segera diambil selepas sejumlah pelajar di sekolah berkenaan dan USM dikesan dijangkiti virus seperti influenza atau ILI kerana Kementerian Kesihatan tidak mahu penyakit itu merebak kepada pelajarpelajar lain," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini kerana semua langkah pencegahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diambil.

"Walaupun semakin banyak sekolah dan pusat pengajian di negeri ini ditutup ekoran wabak itu, keadaan penularan penyakit berkenaan terkawal kerana Jabatan Kesihatan telah mengambil pelbagai langkah segera," katanya.

Phee turut menasihatkan mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan supaya berdisplin dan mematuhi arahan kuarantin yang ditetapkan Jabatan Kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM Mohamad Abdullah menerusi satu kenyataan media di sini berkata USM terpaksa menutup pusat pengajian kejuruteraan berkenaan selepas 20 pelajarnya dikesan dijangkiti penyakit ILI.

Katanya hanya aktiviti akademik serta kuliah ditangguhkan dan ia akan dijadualkan semula nanti.

"Aktiviti lain akan berjalan seperti biasa," katanya.

Di KUANTAN pula, KYPM Pahang ditutup selama seminggu bermula semalam selepas empat pelajarnya disahkan positif influenza A (H1N1).

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar KYPM Naimah Abdul Muttalib berkata pihak pengurusan kolej juga telah mengarahkan supaya semua 1,043 pelajarnya pulang ke kediaman masing-masing.

"Seramai 91 pelajar dikuarantin bermula Jumaat lepas atas arahan Jabatan Kesihatan selepas mengadu demam dan tidak sihat. Selepas melakukan pemeriksaan, seramai 10 orang disyaki H1N1 sebelum mendapati empat orang daripada mereka sah positif H1N1 semalam.

"Semua pelajar juga diarahkan supaya tidak pulang ke rumah dengan menaiki kenderaan awam dan mereka mesti dijemput keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita hari ini.

Mereka juga perlu mengikut arahan keselamatan yang ditetapkan supaya tidak menjangkiti ahli keluarga mereka ketika di rumah, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Naibnaib Canselor/Rektor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pula menasihatkan ibu bapa yang anak-anak mereka menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan dengan virus influenza A (H1N1) di kampuskampus IPTA digalakkan mengambil sendiri anakanak mereka.

Ini kerana dengan membiarkan pelajar menggunakan pengangkutan awam akan mendedahkan mereka kepada orang lain serta meningkatkan penularan dan risiko jangkinan wabak berkenaan, katanya.

"Jawatankuasa NaibNaib Canselor dan Rektor IPTA yang bersidang di Universiti Malaysia Kelantan pagi ini menyeru ibu bapa yang anakanak mereka menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan dengan jangkitan selesema H1N1 supaya dapat mengambil sendiri anak mereka.

"Bagi pelajar yang menuntut di Sabah dan Sarawak, mereka akan dibantu oleh pihak IPTA masingmasing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkifli yang juga Naib Canselor USM berkata mereka yang terpaksa berada di dalam kampus akan dibantu dengan sewajarnya oleh pihak universiti.

"Semua universiti dengan kerjasama agensi-agensi yang terlibat khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkahlangkah yang perlu untuk menangani hal tersebut," katanya.

Dzulkifli berkata para pelajar pula perlu bekerjasama membuat pemeriksaan di klinik-klinik universiti atau pusat kesihatan berhampiran jika mempunyai simptom terutamanya apabila demam yang tinggi dan berterusan.

Katanya universiti akan melakukan apa sahaja untuk menanganinya namun perlu ditegaskan, bagi kampus-kampus yang terlibat hanya aktiviti akademik yang ditangguhkan seketika manakala urusanurusan lain universiti berjalan seperti biasa.

"Ibu bapa dan pelajar dinasihatkan untuk menghubungi universiti jika perlu dan jangan mempercayai khabar angin," katanya.

Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor Dr Robia Kosai berkata enam institusi pengajian tinggi dan satu kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri itu ditutup seminggu sejak semalam bagi mencegah penularan H1N1.

Dr Robia berkata institusi yang ditutup itu adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang, ILP Mersing, ILP Pasir Gudang, Kolej Radiografi Johor Baharu, Institut Kemahiran Mara (IKM) Larkin dan Politeknik Johor Baharu serta PLKN Sekakap, Mersing.

"Prosedur menutup sementara semua institusi dan kem PLKN sehingga 4 Ogos ini adalah prosedur biasa sebagai langkah berjagajaga," katanya.

Katanya notis mengenai penutupan semua institusi itu sudah ditampal dan diedarkan manakala semua pelatih institut itu juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di KUCHING, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bako Kuching diarahkan ditutup selama seminggu bermula hari ini selepas beberapa pelajar di keduadua tempat disyaki dijangkiti influenza A (H1N1) hari ini.

Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua Miri menjadi sekolah pertama di bahagian itu yang diarahkan ditutup selama seminggu selepas seorang pelajar lelaki dimasukkan ke Hospital Miri berikutan simptom seperti selesema.

H1N1: Sekolah tidak akan ditutup sewenang-wenangnya

BERNAMA


SHAH ALAM: Tindakan sama ada wajar atau tidak menutup sekolah bagi menyekat penyebaran jangkitan Influenza A(H1N1) di negara ini diambil berdasarkan kepada ulasan dan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

"Kerajaan tidak akan sewenangwenangnya membuat keputusan itu (tutup sekolah), sebaliknya akan bertindak berpandukan kepada pandangan ikhtisas jabatan kesihatan, dan mereka akan menentukan wajar atau tidak sekolah ditutup.

"Saya nak maklumkan perkara ini sebab ada ramai dalam kalangan ibu bapa yang berasa panik menanyakan mengapa kerajaan tidak tutup sekolah itu dan sekolah ini (hanya disebabkan oleh sebilangan kecil kes H1N1 yang dikesan)," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Gamuda di sini hari ini.

Beliau menasihatkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pengetua dan guru besar sekolah agar sentiasa mencari punca ketidakhadiran pelajar mereka dengan Jabatan Kesihatan negeri masingmasing, sekiranya ia melibatkan jumlah yang ramai.

"Misalnya, jika terdapat seramai 140 pelajar tidak hadir ke sekolah dalam tempoh sehari, maknanya pengarah JPN, pengetua dan guru besar sekolah harus semak puncanya dan ambil tindakan segera," katanya.

Wee berkata pihaknya juga menerima maklumat terbaru bahawa ada beberapa pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gading, Batu Pahat, Johor disyaki menghidapi jangkitan H1N1 dan kini menunggu laporan daripada Kementerian Kesihatan.

Peguam mati selepas dipaksa minum sebotol cecair

BERNAMA


BUTTERWORTH: Seorang peguam mati selepas dipaksa minum sejenis cecair oleh sekumpulan lelaki di sebuah kuil di Jalan Perai Baru disini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Dr Mohd Shah Hussin Shah berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi semasa R. Thinakaran, 37, hendak meletak kenderaannya untuk bersembahyang di sebuah kuil di jalan itu.

Beliau berkata empat lelaki tibatiba muncul dan terus menyerbu masuk ke dalam kereta Thinakaran dan memaksa peguam itu meminum satu botol cecair, sebelum melarikan diri.

Katanya Thinakaran kemudiannya terus bergegas ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan selepas muntahmuntah serta pening kepala, dan dia meninggal dunia di hospital berkenaan pada kira-kira pukul 11.40 malam.

Menurutnya laporan bedah siasat semalam menunjukkan buah pinggang Thinakaran rosak akibat pengambilan cecair itu.

Mohd Shah berkata polis sudah menahan seorang rakan Thinakaran bagi membantu siasatan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BN-Umno kini 'lemas' perlukan 'talian hayat'

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam keadaan 'lemas dan memerlukan 'talian hayat' untuk memberikan suntikan oksigen agar dapat terus bernafas' untuk mendapat sokongan masyarakat.

Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dalam konteks PAS-Umno sedangkan Mursyidul Am PAS itu menegaskan kerjasama yang akan dijalinkan antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.

Jelas Idris, sebagai seorang Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz menyatakan mengenai hak yang perlu diperolehi negeri berdasarkan konsep Persekutuan yang perlu difahami oleh pimpinan BN dan Umno hari ini.

"Apabila bercakap mengenai kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, ia amat berbeza dengan kerjasama antara PAS dan Umno atau BN. Apabila disebut Kerajaan Kelantan, sudah tentu rakyatnya termasuk juga orang-orang Umno dan BN atau 'orang atas pagar'.

"Amat jelas, Tuan Guru Nik Aziz hanya bercakap soal kerjasama antara kerajaan yang perlu diberi oleh kerajaan yang memerintah negara berdasarkan konsep Persekutuan yang perlu dihormati oleh kerajaan,"jelasnya sewaktu dihubungi Harakah.

Idris juga menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu cuba untuk memecah belah keharmonian yang telah dibina dalam Pakatan Rakyat serta bertindak mengelirukan rakyat agar hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Biasalah orang yang dalam kelemasan. Apabila dia lemas, apa sahaja yang datang padanya dia bertaut untuk menyelamatkan diri. Termasuklah bertaut pada batang pisang atau pada buaya sekalipun dia sanggup.

"Orang yang lemas ini juga umpama orang yang 'gila talak'. Talak pula talak tiga. Sebab itulah BN dan Umno ini mempunyai tujuan untuk memecah belah perpaduan yang dibina antara Pakatan Rakyat,"katanya.

Idris turut menyelar kenyataan Muhyiddin yang seolah-olah ingin menggambarkan Melayu mesti bersatu dengan Umno.

Tegasnya, jika Umno sesama kepimpinan mereka sering bertelagah serta tidak bersatu, bagaimana parti itu boleh mengajak PAS untuk bersama-sama menyertai mereka. - mks._

"Saya terjun daripada kapal yang bocor"

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG - "Saya terpaksa terjun daripada kapal yang bocor menaiki kapal baru yang sentiasa menyelamatkan sesiapa sahaja yang mahu melihat masa depan negara terselamat, " kata bekas Menteri Kesihatan, Dato' Chua Jui Meng yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeADIILan) .

Minatnya terhadap Pakatan Rakyat terus memuncak apabila melihat Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkan gabungan tiga parti utama pembangkang yang sebelum ini agak retak setelah Barisan Nasional (BN) mengamalkan dasar kuku besi terhadap negeri yang dimenangi pembangkang.

Beliau ketika beceramah di An-Nahdhoh In, Bukit Indera Muda, Permatang Pauh menambah, tohmahan daripada kempinan MCA dan BN memang diduga berikutan tindakannya melompat parti untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara.

Apa tidaknya tambah beliau, dalam keluarga MCA segala-galaya sudah hancur akibat terlalu pentingkan jawatan dan kuasa.

"Tindakan mendedahkan kepincangan kerajaan ini bukan berniat untuk kepentingan diri sebaliknya menebus maruah ketika bersama BN dulunya, " ujar beliau diiringi tepukan orang ramai.

Kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) juga jelas Chua, menjadi faktor kenapa beliau meninggalkan MCA dan BN.

ISA patut dimansuhkan sebab tidak sesuai lagi digunakan oleh kerajaan yang mengamalkan dasar demokrasi.

"Kerajaan sengaja tidak mahu mansuhkan akta tersebut demi menyelamatkan kedudukan pemerintah apabila mereka buntu berhadapan dengan mana-mana parti atau organisasi yang makin diterima rakyat, " tambah beliau. - mks._

MENJELANG HIMPUNAN 1 OGOS: 1,893 hari di bawah kezaliman ISA

CN Al-Afghani


MENGHARUNGI kehidupan di bawah kongkongan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu lama, bukanlah sesuatu yang diimpikan sebelum ini. Namun, inilah yang dikatakan ISA.

Siapa pun boleh menjadi mangsanya dengan hanya disyaki mengancam keselamatan negara. Jantung anda akan terhenti seketika apabila secara tiba-tiba rumah anda diserbu dan digeledah oleh orang-orang yang bersenjata.

Lebih tragis lagi apabila anda dibawa keluar dengan tangan bergari secara kasar di hadapan anak isteri. Tentu anda dapat bayangkan betapa hancurnya hati ahli keluarga mangsa ISA itu. Ataupun pada suatu ketika, sewaktu anda dalam perjalanan ke tempat kerja atau mahu pulang ke rumah, tiba-tiba kenderaan anda dipintas. Kunci kenderaan anda dirampas dan secara kasar anda diseret ke sebuah kereta lain.

Tangan digari dan anda dimaklumkan yang anda ditahan atas mengancam keselamatan negara. Bagaikan gasing fikiran anda berputar mencari apakah kesalahan yang telah anda lakukan sehingga mengancam keselamatan negara itu. Tekanan fikiran ini akan bermain sejak anda ditahan hingga ke lokasi rahsia di mana anda ditempatkan.

Lokasi rahsia

Seterusnya hinggalah ke sesi soal siasat selama dua bulan di lokasi rahsia tersebut. Dalam sesetengah kes tekanan perasaan ini berterusan hingga beberapa tahun anda ditahan di Kem Tahanan Kemunting (Kemta). Inilah peristiwa hitam yang pernah dan sedang dilalui oleh ratusan tahanan ISA.

Inilah keperitan saya alami sejak ditahan pada 2001 yang deritanya membekas hingga hari ini. Sama ada yang dituduh sebagai kumpulan Al-Maunah, Reformasi, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Daulah Islamiah (DI).

Hingga kini masih terdapat tahanan yang ditahan menjangkau lapan tahun. Saya pernah bersama mereka di Kemta. Dr Abdullah bekas pensyarah dan Mat Shah Satray, bekas juruteknik di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-duanya terkenal di kalangan orang tahanan sebagai tahanan berakhlak, sopan santun dan tidak membuat masalah pada orang lain juga kepada penguasa kem. Tetapi kenapa mereka ditahan begitu lama?

Inilah kezaliman ISA yang amat sukar fahami kerana ia satu tahanan tanpa bicara. Mereka boleh menahan sesiapa saja yang disyaki, tanpa membawa ke muka pengadilan. Dan mereka boleh menahan mangsa selama mana yang dikehendaki. Bukan atas keselamatan negara, sebaliknya atas prinsip tahanan yang tidak mahu tunduk kepada kezaliman ISA itu.

Sebagai contoh, Dr Abdullah amat tegas apabila berhadapan dengan anggota Cawangan Khas (SB) yang turun memantau tahanan setiap enam bulan sekali. Ia mengambil kesempatan setiap pertemuan itu berhujah dengan SB berdasarkan fakta al-Quran dan hadis. Beliau antara tahanan yang banyak bertukar SB, kerana mereka tak sanggup mendengar apa yang disifatkan sebagai ceramah oleh SB.

Belum insaf

Lalu beliau dianggap tahanan yang masih belum insaf. Begitu juga dengan Mat Shah yang tidak berminat bertemu dengan SB kerana dianggapnya tidak memberi faedah. Dia didera atas sikap itu. Juga dikatakan sebagai satu tindakbalas pihak berkenaan terhadap isterinya, Norlaila Othman yang menjadi aktivis dalam Gerakan Mansuh ISA (GMI).

Ramai beranggapan tahanan ISA akan mendapat sedikit keselesaan pada zaman Abdullah Ahmad Badawi. Bukan sahaja sebagai Menteri Dalam Negeri, dia juga sebagai Perdana Menteri.

Sifat lemah-lembutnya dan juga ilmu agama yang dimilikinya diharapkan keadaan tahanan, khususnya kebajikan keluarga mereka diambil perhatian. Rupa-rupanya keadaan sebalik berlaku, malah lebih teruk daripada era sebelumnya, ketika Dr Mahathir Mohamad berkuasa. Abdullah sudah tentu tahu, dalam Islam antara golongan yang perlu mendapat perlindungan pemerintah adalah wanita dan kanak-kanak di samping lelaki tua.

Dalam satu kes, Abdullah telah mengarahkan tangkapan ke atas isteri tahanan anggota JI iaitu Yazid Syufaat sebagai satu ugutan pada suaminya yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan SB.

Menangis keseorangan

Isteri muda ini ditangkap di dalam rumahnya di Ampang ketika bersama anak perempuannya yang baru berusia lebih kurang empat tahun. Ketika si ibu dibawa pergi di tengah-tengah malam, anak itu menangis keseorangan tanpa dikasihani oleh anggota polis bertugas.

Anda bayangkan, bagaimana perasaan seorang ibu yang dipaksa keluar meninggalkan anak kecil sedang meraung ketakutan tanpa ditemani sesiapa.

Hampir 60 hari dia ditahan untuk soal siasat oleh Bukit Aman. Setelah dibebaskan, dikenakan pula tahanan daerah selama enam tahun. Suatu sekatan semata-mata untuk menyusahkan pergerakannya mencari nafkah, juga melawat suaminya di Kemta.

Satu peristiwa berdarah dalam Kemta yang masyarakat luar tidak tahu secara meluas berlaku pada 8 Disember 2004. Ia berlaku di blok T2B yang penghuninya seramai 12 orang terdiri dari orang tahanan (OT) anggota JI dari Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Beberapa hari sebelum operasi, anggota UKP dari Kajang, Pulau Pinang dan Taiping telah ditempatkan di Kemta. Dalam kesempatan pertemuan dengan Pangarah Kemta ketika itu, sempat saya mengingatkan beliau jangan bertindak sebarangan terhadap OT tersebut. Bak kata orang, bagai anjing menyalak bukit. Manalah pandangan dan nasihat orang seperti kami nak didengari.

Berkebin sayur


Pagi 8 Disember 2004 itu, kegiatan harian kami seperti biasa. Joging, main badminton dan berkebun sayur. Tanpa disedari lebih kurang jam 9.00 pagi, semua wardar yang bertugas di semua blok (enam blok) diarah meninggalkan semua blok dengan mengurung tahanan tanpa diawasi.

Suatu arahan luar biasa yang dikatakan bercanggah dengan etika penjara. Yakni wardar tidak boleh meninggalkan orang tahanan atau banduan tanpa pengawasan. Inilah ISA, segala-galanya boleh berlaku.

Ringkas cerita di ruangan yang terhad ini, pihak berkenaan telah melakukan provokasi bagi mewujudkan suasana tidak aman antara UKP dan OT di blok T2B. Lebih 100 UKP yang lengkap dengan topeng serta pakaian keselamatan, merempuh masuk menyerang OT.

Dalam insiden itu semua OT dipukul semahunya, hingga ada yang pengsan, patah jari, cedera di kepala, betis dan anggota badan lain. Saya dan rakan-rakan dari blok T3 yang jaraknya kurang dari 100 meter dapat saksikan dari celah-celah lubang zink dinding blok, bagaimana OT yang cedera diusung seperti binatang ke tempat rawatan.

Hampir semuanya dibasahi darah baju warna putih mereka. Sepanjang hari itu mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, begitu juga makan dan minum. Mereka dilayan betul-betul macam binatang.

Pada malam baru seorang demi seorang dibawa ke hospital Taiping menerima rawatan selanjutnya. Ada maklumat yang menyebut, doktor yang merawat OT, amat terkejut dengan kecederaan serius yang dihadapi setiap mereka. Hingga mereka mencadangkan OT ambil tindakan mahkamah terhadap pihak terbabit.

Degil

Tak cukup di situ, esoknya operasi berjalan pula di blok-blok lain. Kali ini mereka mencari OT yang dikategori sebagai degil atau selalu menyusahkan pihak kem. UKP yang bersikap ganas masuk ke blok T4A dan T4B mengasari sasaran mereka dengan diseret keluar ke tempat asingan (blok T 1) yang jaraknya hampir 200 meter.

Sepanjang perjalanan itu, mereka dipukul, sepak terajang, maki hamun hingga ada yang mencabar 'Allah turun bantu OT'.

Terdapat juga wardar Kemta yang dendam sangat dengan OT telah ambil kesempatan memaki dan meludah OT yang dibawa melintasi mereka. Paling menyedihkan, terdapat OT yang dikategori sebagai ustaz, dibogel dan dihumban secara kasar ke dalam lokap blok.

Mungkin sukar untuk anda percaya, tetapi itulah yang telah berlaku. Selepas tragedi berdarah itu, kami dan keluarga mulai mendapat layanan buruk daripada pihak Kemta dengan alasan mereka mendapat arahan daripada KDN.

Begitulah sekelumit daripada segunung kezaliman ISA. Kami yang menderitai kezaliman ini diminta mengakui bahawa pemerintah yang ada ini baik, adil, bertanggungjawab dan tahanan kami ini adalah wajar. Jika tidak, kami dianggap tidak insaf, sebagai balasannya kami merengkok dalam kem tahanan tahun demi tahun.

Keadaan ini mengingatkan saya apa yang sering disebut oleh Allahyarham Presiden PAS, Ustaz Fadzil Nor dalam mengulas isu ISA ini. Menurut beliau, "apakah adil pada kamu apabila menangkap orang, diikat kaki tangan, dipukul, disepak, diterajang, dikilas tangan dipijak sampai patah kaki, sumbat mulut lalu ditanya orang itu, sakit atau tidak. Sudah tentulah pelaku-pelaku ini terdiri dari orang-orang yang tidak waras."

Beberapa hari sebelum bebas, saya didatangi oleh salah seorang pegawai kanan Bukit Aman. Dia berpesan pada saya agar memaklumkan kepada pihak tertentu atau NGO yang berusaha menghapuskan ISA, bahawa ISA ini tidak akan dihapuskan walaupun terdapat 1,000 NGO membantah.

Harungi kezaliman

Sehingga ini tak ada mana-mana pihak yang saya maklumkan kecuali pada Saari Sugaib yang menziarahi saya setelah dibebaskan. Sepanjang pengalaman 1893 hari mengharungi kezaliman ISA itu, saya yakin apa yang dkatakan pegawai berkenan benar.

Ini kerana, yang menguasai isu ISA ini, sama ada daripada KDN atau Bukit Aman, terdiri daripada mereka yang hatinya keras tidak lut dengan nasihat agama dan hilang kemanusiaan mereka.

GMI, NGO dan parti politik pembangkang sememangnya tidak mampu untuk menghalang keegoan pemerintah. Hanya kebangkitan rakyat sahaja yang dapat menyelesaikan isu ini. Rakyat yang tidak mempunyai maklumat atau memandang remeh isu ini, tak akan bersuara, apatah lagi ke jalanan membuat bantahan.

Terutama pada saat ini, masih menjadi bualan Perdana Menteri baru membebaskan 13 tahanan sebaik saja menganti Abdullah. Rakyat tentu tak tahu bahawa ini satu sandiwara. Mereka diperjudikan semata-mata untuk kepentingan PM baru, Najib Razak.

Tentu kita masih ingat, tiga minggu selepas Abdullah ambil alih kuasa 15 orang tahanan anggota Al-Maunah telah dibebaskan sehari menjelang Aidilfitri pada November 2003. Desas-desus pembebasan mereka ini telah kami dengar tiga bulan sebelum itu. Namun mereka dikambinghitamkan untuk kepentingan politik Abdullah.

Dua minggu selepas itu, saya didatangi SB dari Bukit Aman. Antara perbualan kami menyentuh isu pembebasan anggota Maunah itu.

Sambut raya

Disebutkan pada saya antaranya: "Cuba hang fikir, apabila mereka balik menjelang raya, bukan saja tangan mereka, tapi tangan isteri, anak-anak dan ahli keluarga masing-masing akan angkat doa berterima kasih pada Abdullah kerana dapat menyambut raya bersama keluarga di rumah. Tentu mereka kata Abdullah baik."

Sandiwara ini berulang lagi pada giliran Najib. Tetapi cacat lakonannya kerana tidak semua anggota Hindraf dan JI dibebaskan. Namun Makkal Sakthi yang ditunjukkan oleh masyarakat India berjaya memberi tekanan hingga semua anggota Hindraf dibebaskan. Tinggal lagi anggota JI dan DI.

Semasa muktamar PAS yang lalu, saya bertemu dengan Norlaila, isteri Mat Shah. Menurutnya ketika itu, seminggu lagi beliau akan ke Geneva atas urusan merayu pihak antarabangsa membebaskan suaminya. Dia yakin suaminya akan dibebaskan penghujung Jun yang lalu.

Itulah antara kezaliman ISA, isteri dan anak-anak diberi janji-janji manis. Akhirnya penantian itu berakhir dengan kehampaan.

Tidak lengkap isu ini tanpa menyentuh keadaan anak isteri sepanjang kami ditahan. Sebaik saja ditahan, rumahtangga menjadi kelam kabut, khususnya isteri menjadi tidak tentu arah. Mana nak melayan kerisauannya, terpaksa pula memujuk hati anak-anak kecil yang merindui ayah mereka, juga kejutan anak-anak remaja yang terpaksa menghadapi masyarakat yang pelbagai ragam.

Cuba bayangkan, bagaimana anak-anak remaja ini, khususnya kami daripada KMM yang dituduh membunuh dan merompak. Media membesarkan tajuk ini dengan menyiarkan gambar-gambar kami selaku penjenayah sepanjang Ogos hingga hujung tahun 2001. Waktu ini ada anak-anak kami menghadapi peperiksaan UPSR ,PMR, SPM, STPM dan di pusat pengajian tinggi.

Mohon cerai

Terdapat dalam beberapa kes di mana isteri terpaksa memohon cerai atas tekanan pihak tertentu. Anak remaja yang meninggal kampung kerana tak selesa tinggal lagi dengan fitnah terhadap ayah mereka. Tak kurang pula anak-anak ini yang terpaksa tangguh pengajian kerana masalah ekonomi dan tekanan perasaan.

Paling menyedihkan apabila pihak berkuasa langsung tidak mempedulikan kebajikan keluarga tahanan. Malah terdapat kes di mana pihak tertentu diarah menghalang individu memberi sumbangan wang pada keluarga tahanan.

Pada awal tangkapan ramai yang simpati hulur sumbangan sama ada ketika datang ziarah atau memasukkan wang dalam akaun bank. Dengan halangan itu, akhirnya tak ada lagi sumbangan individu, kecuali NGO atau saluran politik pembangkang.

Ada juga yang simpati, lalu bantu membawa keluarga tahanan ke Kemta seminggu sekali. Dengan halangan daripada pihak tertentu, akhirnya terpaksa menaiki bas ke Kemta. Lebih menderita jika isteri tinggal jauh. Ada dari Sabah.

Teringat saya pada seorang rakan tahanan yang terkenal dengan kesabarannya. Selalunya, apabila pulang daripada bertemu isteri, wajahnya ceria dengan pelbagai cerita baru yang dibawanya.

Air mata mengalir

Suatu hari dia pulang dengan agak kesedihan. Selepas makan dan solat jemaah Zuhur saya ke biliknya. Dalam berbual air matanya mengalir. Katanya, dia terkenangkan betapa setia isterinya bersusah payah datang menemuinya sewaktu dia baru 10 hari melahirkan anak lelaki. Kerana tahu suami berhajatkan anak lelaki, dia tak sabar-sabar datang membawa anak itu untuk ditunjukkan pada dia.

Tidak ada lagi orang yang mahu menghantarnya, lalu isterinya naik bas dari Banting seawal pagi menuju ke KL. Kemudian ambil bas dari Puduraya ke Kamunting. Makan masa hampir enam jam. Di pintu utama masuk kem, dia terpaksa pula jalan kaki hampir satu kilometer ke tempat pendaftaran pelawat.

Usaha mengumpulkan ratusan ribu rakyat mengadakan protes memansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 ini wajar dipandang serius oleh semua pihak. Masih banyak lagi babak-babak kezaliman di sebalik tabir ISA.

Memang benar jumlah tahanan sekarang kurang 10 orang, tetapi amaran daripada Menteri Dalam Negeri baru-baru ini kepada pihak tertentu, membayangkan Kemta bakal dipenuhi penghuni lagi.

Seperti dikatakan, tidak ada kuasa yang boleh menyelesaikan isu ini melainkan kuasa rakyat. Kita lakukan ini bukan untuk kita, tetapi buat generasi akan datang. Bukan sahaja ISA bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia.

Bekas tahanan seperti saya dan rakan-rakan lain masih lagi dibimbangi dengan pantauan seolah ugutan.

Kehidupan harian kami tidak selesa seperti dulu, terutama perbualan telefon kami dirakam. Ada yang dipaksa memaklumkan pada Bukit Aman jika menerima panggilan dari luar negara. Tak kurang pula yang ditahan pasport oleh KDN juga sukar membuka akaun bank.

Ramai antara kami yang keluar terpaksa terkapai-kapai mencari nafkah hidup. Pekerjaan dulunya telah hilang. Yang terlibat dalam perniagaan, terbantut bisnes. Saya umpamanya, terpaksa menanggung hutang hampir RM200,000 akibat projek ternakan ayam yang tersadai sebaik ditahan lebih lima tahun.

Bukan senang bagi saya untuk mengumpul wang dengan jumlah sebegitu banyak dalam usia separuh abad ini.

Apa yang dialami oleh mangsa ISA, terutama mereka yang lebih daripada tiga tahun dalam tahanan, gelora hidup keluarga mereka seharusnya mengamit simpati daripada kita.

Bebas suami tercinta

Bayangkan Norlaila sanggup pergi ke Geneva semata-mata dengan hasrat membebaskan suami tercinta, juga menyatakan kezaliman ISA di mata dunia, mengapa kita tidak sanggup beberapa jam sahaja menyambut seruan pihak tertentu untuk memberi sokongan dalam usaha menghapuskan ISA.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengingatkan pihak berkenaan bahawa tiap helai bulu roma, setitik peluh dan air mata yang gugur atau keluar dari tubuh tahanan tanpa bicara ini, maka akan dipertanggungjawab hadapan Allah kelak.

Justeru, sedikit masa dan keringat kita semasa perhimpunan itu tentunya akan dipetanggungjawab juga hadapan Allah kelak. Bukan sahaja memberi sokongan kepada kegigihan Norlaila serta keluarga Dr Abdullah, lebih jauh daripada itu adalah kita bersama-sama dengan golongan yang menentang kezaliman.

Dalam satu himpunan, satu langkah, satu hasrat dan satu suara rakyat Malaysia: HAPUSKAN ISA! _