HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2008

Dakwaan politik wang di Pengerang
Muda Mohd Noor


Ketua bahagian Pengerang, Harun Abdullah mendakwa beliau mendapat kurang pencalonan kerana pengaruh politik wang ketika mesyuarat lebih 20 cawangan di bahagian itu.

Beliau berkata, perkara itu akan diadukan kepada Lembaga Disiplin Umno.

Setakat mesyuarat 25 cawangan, Harun mendapat hanya tiga pencalonan.

Sementara menteri pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga naib ketua bahagian itu, mendapat 22 pencalonan untuk mengetuai bahagian itu.

Daripada lapan lagi cawangan yang belum bermesyuarat, Harun mesti mendapat empat lagi pencalonan bagi melayakkannya mempertahankan jawatan tersebut.
K'jaan setuju naik tambang bas
Malaysiakini


Kerajaan bersetuju tambang bas ekspres dan bas henti-henti seluruh negara dinaikkan tetapi tidak sehingga 100 peratus seperti yang dipohon oleh Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.

Katanya kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi, termasuk harga diesel yang melonjak kepada RM1.43 seliter berbanding 71 sen seliter sejak kali terakhir tambang bas itu dinaikkan pada 2005.

"Peningkatan kos operasi juga disebabkan kenaikan harga barang-barang lain seperti tayar, minyak pelincir dan bateri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi kakitangan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Noh berkata perunding yang dilantik oleh kementerian untuk mengkaji paras kenaikan yang bersesuaian telah menyiapkan kajian itu dan kadarnya baru itu akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Sekarang ini kita sedang berunding dengan persatuan supaya terima cadangan daripada konsultan ini," katanya.

Semalam persatuan itu yang diketuai presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali menyerahkan memorandum kepada Majlis Mesyuarat Inflasi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memohon untuk menaikkan tambang bas ekspres dan bas henti-henti sebanyak 100 peratus, seperti yang dituntut oleh persatuan itu pada Mei lalu.

Persatuan itu memberi alasan pengusaha bas kini tertekan berikutan kenaikan harga minyak dan menggesa kerajaan supaya bertindak segera agar mereka dapat beroperasi seperti biasa terutama menjelang musim perayaan.

Noh berkata sistem bagi mengasingkan bas ekonomi dan bas mewah akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi.

Menerusi sistem itu, harga tiket bagi bas ekonomi akan dikawal kerajaan manakala tambang bagi bas mewah adalah terbuka.

"Namun kita akan sentiasa memastikan bahawa pengusaha bas ini akan sentiasa memperuntukkan beberapa bas sebagai bas ekonomi bagi mengelak kekurangan bas jenis ini," katanya.
(Dikemas kini)

Meliwat: Anwar mahu siasatan dihentikan, laporan doktor HKL dipertahan
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

Sehubungan itu, tegas Anwar, beliau mahu polis menghentikan dengan segera siasatan yang dijalankan berhubung isu berkenaan.

"Saya harap pihak polis mengentikan siasatan yang dijalankan dan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara kerana saya percaya tiada kes," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pagi ini.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan tetap menerima penemuan pemeriksaan ke atas bekas pembantu khas Anwar yang dijalankan oleh doktor-doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung dakwaan dia diliwat.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau sekali lagi dimomokkan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional kerana sudah terbukti paling penting iaitu laporan doktor perubatan yang pertama ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Semalam, portal berita Malaysia Today mendakwa polis telah menahan seorang doktor bagi membantu siasatan kes liwat membabitkan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, portal berkenaan juga mendedahkan salinan laporan pemeriksaan doktor di sebuah pusat rawatan swasta di Kuala Lumpur, menjelaskan tiada kesan meliwat terhadap bekas pembantu kepada Anwar, Mohd Saiful.

Malah, semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta polis turut memberi tumpuan terhadap dakwaan terbaru bahawa tiada unsur meliwat tehadap Mohd. Saiful.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai pula telah meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican melihat perkembangan tersebut dengan memastikan aspek profesionalisme amalan perubatan dipatuhi.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat masih yakin dengan kandungan laporan perubatan pertama dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

“Nampaknya siasatan polis cuba menutup bukti paling penting iaitu laporan kesihatan doktor pertama yang menjalankan siasatan terhadap Saiful,” katanya.

“Ia juga ada kaitan dengan laporan polis yang saya buat terhadap (Ketua Polis Negara, Tan Sri) Musa (Hassan) dan (Peguam Negara, Tan Sri) Gani Patail kerana memalsukan maklumat pada kes 1998.

“Saya sudah memberi kerjasama pada polis termasuk terpaksa berbogel walaupun saya tak pernah yakin dengan kaedah siasatan yang dijalankan," katanya.

Anwar mendakwa, beliau enggan memberikan sampel DNA sebab tahu perkara ini akan berlaku.

“Inilah sebabnya mengapa saya enggan menyerahkan sampel darah saya untuk ujian DNA kerana yakin ada konspirasi jahat terhadap saya,” katanya.

“Saya amat berharap agar kerajaan hari ini meninggalkan kaedah yang tidak profesional dan dendam dengan menghukum musuh politik dengan pelbagai cara,” katanya.

Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita semalam sebagai tulen dan benar.

Ditanya adakan beliau risau akan keselamatan doktor tersebut, "ya, sudah pasti saya risau tentang keselamatan beliau dan keluarganya kerana tidak mahu pengalaman lalu berulang lagi” seolah-olah merujuk kepada ‘kehilangan’ penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda, P. Balasubramaniam.

Dalam pada itu, peguam kanan pasukan Anwar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya yakin laporan perubatan doktor Pusrawai adalah tulin.

“Bagi saya tiada sebab wujudnya dakwaan jenayah (liwat) terhadap Datuk Seri Anwar. Keadaan ini juga sangat jelas menunjukkan wujudnya double standard, penipuan dan konspirasi berhubung siasatan terhadap Anwar,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap laporan kesihatan yang pertama itu.
Empat program bantu usahawan
Sinar Harian

DENGKIL – Empat program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu usahawan di negeri ini dijangka dapat meningkatkan industri perniagaan yang diceburi dan menggelakkan berlakunya kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, program ini melibatkan mereka yang baru menunjukkan minat untuk menjadi usahawan dan juga usahawan yang sedia ada di negeri ini.

“Bagi mereka yang belum berniaga, mereka perlu menyertai seminar sehari yang dinamakan Program Pembudayaan Keusahawanan (PPK),” katanya sewaktu ditemui selepas merasmikan Majlis Gotong-royong, Hari Keluarga dan Sukaneka, Taman Dengkil Jaya, di sini semalam.

Beliau berkata, mereka yang menyertainya akan diberi pendedahan dan motivasi mengenai keusahawanan serta diberi ujian psikologi.

“Mereka yang berjaya dalam ujian ini akan dibawa ke Program Pembangunan Usahawan (LPU) selama seminggu dan bagi yang gagal akan diberi projek perniagaan kecil-kecilan.

Menurut Yaakob lagi, pada program tersebut, mereka perlu mengenal pasti bidang perniagaan yang diminati dan perlu mengikuti program mentor mentee selama enam bulan hingga setahun sebelum mereka yang berjaya diberi tunjuk ajar.

“Program-program ini dilakukan dalam jangka masa yang panjang bagi mengurangkan kelemahan yang ada pada bakal usahawan kerana berdasarkan pengalaman kita, ramai yang gagal berniaga dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, mereka yang dilatih ini akan dilepaskan secara perlahan-lahan untuk menguruskan perniagaan mereka.

Beliau berkata, bagi mereka yang sudah bergelar usahawan pula, terdapat program yang disediakan untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan memberi pelbagai kursus kemahiran seperti kursus pengurusan, pemasaran dan perakaunan.

“Bagi usahawan yang sudah berjaya ke peringkat global, kerajaan negeri akan membantu mereka meningkatkan perusahaan dengan mencari peluang pasaran yang lebih luas dan menjadikannya berstandard antarabangsa.

“Kerajaan negeri juga akan menyediakan jaringan kepada industri kecil yang ada dengan pasaran bagi meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yaakob berkata, ‘Ops Statik’ yang dilancarkan pada 23 Julai lalu bagi mengekang kes kecurian pasir di negeri ini berjaya mencapai objektif yang diharapkan.

“Laporan yang diperoleh amat menggalakkan dan aktiviti mencuri pasir didapati menurun dengan banyak,” katanya.

Beliau juga berkata, pengawalan kes kecurian pasir ini hanya dapat dibendung sekiranya amalan rasuah tidak berlaku dan ‘Ops Statik’ yang dilancarkan adalah bertujuan bagi mengawal aktiviti ini.
"Hubungan sesama 'pakatan' masih mantap" Wan Azizah
Oleh Mstar


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yakin keanggotaan Pas bersama Pakatan Rakyat akan terus kekal dan mantap.

“Hubungan kami (PKR, Pas dan DAP) masih baik dan akan terus baik seperti biasa,” kata beliau kepada mStar Online untuk mendapatkan ulasan mengenai tanda-tanda keretakan yang wujud dalam Pakatan Rakyat apabila Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mempersoalkan keanggotaan Pas bersama Pakatan Rakyat.

Ditanya mengenai cadangan yang dikemukakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai pembubaran Pas dan Umno bagi membentuk sebuah parti baru, beliau berkata, perkara itu mungkin hanya cadangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah orang Melayu.

“Mungkin beliau (Nik Aziz) cuba selesaikan masalah. Namun saya belum mendapat penjelasan lanjut mengenai cadangan yang dikemukakan itu.

“Kita perlu dengar dulu penjelasan Pas. Buat masa ini saya tak boleh beri komen lanjut,” katanya.

Beliau turut ditanya sama ada ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai isu ini, beliau berkata “soalan itu kena tanya Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim).”

Dr. Wan Azizah bagaimanapun menyifatkan Umno sengaja membesar-besarkan isu ini kerana parti itu sememangnya mengamalkan budaya politik perkauman.

“Umno mengamalkan politik perkauman, namun Pakatan Rakyat adalah berteraskan keadilan untuk pelbagai kaum dan etnik di Malaysia,” katanya.
PPP syor semua komponen BN bubar untuk tubuh Parti BN


KOTA BHARU: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M.Kayveas mengesyorkan agar semua parti komponen Barisan Nasional dibubarkan dan kemudiannya bersatu menubuhkan sebuah parti baru dinamakan Parti BN.

Katanya, cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar PAS dan Umno dibubarkan adalah satu cadangan munasabah tetapi perlu diperluaskan kepada semua parti dalam komponen BN.

"Di Malaysia tidak perlu banyak parti, cukup ada Parti BN dan parti Pakatan Rakyat. PPP bersetuju dengan cadangan tok guru (Nik Aziz) itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tiga hari lepas, Nik Aziz membuat cadangan agar PAS dan Umno dibubarkan dan ditubuhkan sebuah parti baru berteraskan Islam.

Kayveas berkata, gabungan PAS dan Umno sahaja tidak memadai kerana ia hanya bertujuan menyelesaikan masalah perpaduan bangsa Melayu dan juga Islam tetapi jika Parti BN diwujudkan, ia akan menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum dan agama.

"Kalau PAS dan Umno gabung ia tidak cukup, nanti apa kata parti lain," katanya.

Beliau berkata, siapa yang menjadi presiden parti itu dan Perdana Menteri bukanlah menjadi soal kerana perpaduan dalam BN yang ada ketika ini boleh diteruskan.

"Kita sudah menerima sejak merdeka siapa (saja) yang menjadi Perdana Menteri, dan (menerima) Islam sebagai agama rasmi, dan tidak sebab mana-mana pihak boleh mempertikaikan lagi perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Mengulas tindakan DAP yang tidak berpuas hati terhadap PAS mengenai isu itu, Kayveas mengesyorkan agar DAP bergabung sahaja dengan Parti Keadilan Rakyat untuk menubuhkan sebuah parti baru. BERNAMA
Amaran PAS: DAP, jangan campur urusan parti runding


ALOR STAR: PAS hari ini memberi amaran kepada DAP untuk tidak mencampuri urusan parti itu sambil menegaskan bahawa ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingininya termasuk Umno.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, PAS sama sekali tidak rela untuk mengikut telunjuk sesiapa dalam perjuangannya dan ekoran itu DAP yang menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat tiada hak untuk menghalang atau menentukan tindak tanduk PAS.

"PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bekerjasama sebagai satu Pakatan Rakyat untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) dalam pilihan raya lepas, bukan gabungan macam BN," katanya.

"Malaysia adalah negara bebas dan mengapa kita mesti mengikut telunjuk orang," katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh agar Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan PAS berikutan tindakannya mengadakan rundingan dengan Umno demi perpaduan Melayu.

Semalam, Karpal menganggap tindakan PAS itu sebagai tidak ikhlas kerana ia mengundang keraguan tentang kredibiliti parti itu dalam Pakatan Rakyat dan oleh itu keanggotaan PAS perlu dikaji semula.

Kenyataan terbaru Karpal itu dilihat sebagai tanda perpecahan mula ketara dalam pakatan parti pembangkang itu.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Karpal tidak berhak untuk mempertikai sebarang tindakan yang diambil PAS atau meminta PAS merujuk dahulu kepada DAP atau Pakatan Rakyat jika ingin berbincang dengan Umno.

"Karpal sendiri pernah menyatakan langkah mayat dia dulu kalau mahu Pakatan Rakyat berunding dengan Umno. PAS sudah melaksanakannya. Sekarang terpulang kepada dia (Karpal untuk tindakan lanjut)," kata Azizan.

Beliau berkata PAS sebenarnya menyambut baik usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno untuk bermuzakarah, kerana PAS telah lama berharap usaha murni itu dapat direalisasikan.

"Cerita PAS mengajak Umno bermuzakarah bukan baru, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan oleh parti dalam Pakatan Rakyat," kata Azizan.

Di SHAH ALAM, Pengerusi PKR Selanor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika cuba untuk meredakan keadaan menyifatkan perkembangan antara PAS dan DAP itu sebagai masalah politik yang biasa berlaku dalam setiap parti politik.

Beliau berkata pergeseran dan perbezaan pendapat bukan sahaja berlaku di antara parti di bawah Pakatan Rakyat tetapi juga wujud di antara parti di dalam BN.

"Masalah politik ini adalah masalah biasa, dalam Umno pun ada masalah politik, dalam Pakatan Rakyat pun ada perbezaan pendapat tetapi akhirnya tujuan mereka jalankan usaha politik ialah untuk kebajikan rakyat. Kalau tidak, buat apa mereka masuk politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel anjuran "Task Force" Tanah dengan kerjasama kerajaan Selangor di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpendapat tindakan PAS mengadakan pertemuan dengan Umno itu bukan satu kesalahan, Abdul Khalid menjawab: "Tak ada, ini politik...saya rasa ia (PAS) akan cuba nilai keadaannya tetapi bagaimanapun kepimpinan PAS, PKR dan DAP menyatakan bahawa Pakatan Rakyat adalah mantap."

Di IPOH, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menawarkan kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan negeri Perak berikutan sikap negatif DAP terhadap PAS selain sebagai permulaan ke arah penyatuan kedua-dua buah parti itu.

Beliau berkata tawaran itu juga adalah bagi menyahut saranan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

"Umno Perak mahu memulakannya dengan langkah pertama ke arah pengabungan...ini langkah awal elak perpecahan Melayu dan bagi mewujudkan kestabilan politik serta kerajaan negeri Perak yang lebih kukuh," katanya kepada pemberita di pejabat Umno Perak di sini.

Beliau berkata cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu adalah baik dan Perak sebagai sebuah negeri bermasyarakat majmuk ia adalah tempat terbaik untuk menguji dasar pemerintahan hasil gabungan antara PAS dan Umno berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan Islam.

Tajol Rosli berkata Umno dengan 27 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang dari MCA sedia bekerjasama dengan PAS yang mempunyai enam ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh berbanding kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) dengan 31 ADUN sekarang.

Beliau berkata Umno dan PAS boleh bekerjasama memerintah Perak terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk meneruskan perbincangan peringkat Presiden serta menubuhkan jawatankuasa ke arah pembubaran dan pembentukan sebuah parti baru.

Tajol Rosli berkata kerajaan negeri Perak yang dibentuk bersama oleh Umno dan PAS Perak akan lebih stabil dan kukuh berbanding kerajaan PR sekarang yang agak lemah dengan anggotaanggota ADUN yang saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

"Umno Perak sanggup menerima Menteri Besar dari PAS...perbezaan antara DAP dan PAS adalah lebih jauh berbanding dengan PAS dan Umno yang pernah bekerjasama pada zaman (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak dahulu," katanya.

Tajol Rosli berkata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah seorang pemimpin yang baik tetapi menerajui sebuah kerajaan yang rapuh.

Kerajaan PR yang memerintah Perak dianggotai 18 ADUN DAP, 7 PKR dan 6 PAS.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata DAP tidak sewajarnya meragui kredibiliti PAS semata-mata kerana PAS mengadakan "pertemuan biasa" dengan Umno.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak berkata PAS memberi komitmen akan terus bersama Pakatan Rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

"Sebenarnya tidak ada muzakarah (PASUMNO). Kalau kita lihat balik yang ada itu hanya satu perjumpaan biasa, satu temuramah iaitu muqabalah. Jadi tidak timbul persoalan muzakarah.

"Kita tidak bercantum dengan Umno. Kalau bercantum dengan Umno mungkin persoalan itu timbul tetapi tidak ada (percantuman dengan Umno)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP).

Mohammad Nizar juga menolak tawaran Umno Perak untuk bergabung dan bersama memerintah kerajaan negeri Perak kerana telah memberikan komitmen kepada DAP dan PKR untuk kekal dan bersama-sama memimpin negeri itu. BERNAMA
Sistem pengagihan kuasa untuk pentadbiran tanah di Selangor


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bercadang menggunakan sistem pengagihan kuasa kepada agensi relevan bagi memperkemaskan pengurusan pentadbiran tanah di negeri ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, kaedah itu juga akan dapat mengelakkan berlaku kelewatan dalam proses kelulusan pertukaran hak milik tanah yang pada masa ini hanya dipertanggungjawabkan kepada Menteri Besar.

"Kalau tidak proses kelulusan akan mengambil masa lama dan banyak permohonan akan tertangguh. Bayangkan semalam (Ahad) saya tandatangan kira-kira 854 permohonan untuk tukar status hak milik tanah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel mengenai pengurusan tanah di sini, hari ini.

Beliau berkata, sistem pengagihan kuasa itu boleh dilaksanakan kerana semua maklumat mengenai tanah telah direkodkan dalam sistem komputer.

Abdul Khalid menjelaskan, undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa diberikan kepada Menteri Besar berkaitan soal tanah supaya jika berlaku kesilapan, kerajaan negeri akan bertanggungjawab untuk memperbetulkannya. BERNAMA
Nizar tolak jalin kerjasama dengan UMNO
mstar online

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan Pas negeri akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri itu berkata, pihaknya sentiasa memberikan komitmen untuk terus bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menerajui kerajaan pembangkang di negeri ini.

''Tidak mungkin Pas negeri bekerjasama dengan UMNO negeri ini kerana rakyat telah memilih kita dan kami akan bersama-sama untuk berkhidmat kepada penduduk selama-lamanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tawaran Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali kepada Pas untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Mohammad Nizar menjelaskan, beliau tidak dimaklumkan mengenai tawaran tersebut dan hanya mengetahuinya selepas diberitahu oleh pemberita.

''Dia (Tajol Rosli) boleh sudi macam-macam tetapi kita tidak setuju dan sama sekali tidak akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

''Kami tidak akan melayan mana-mana tawaran daripada parti politik di luar pakatan dan kami akan kekal dalam pakatan ini," katanya.

Ketika ditanya, apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO di Perak jika diminta berbuat oleh pimpinan peringkat Pas pusat, beliau berkata:

''Pas adalah sebahagian daripada pakatan pembangkang dan perlu mendapat persetujuan daripada pakatan untuk menimbang sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO."

Beliau turut ditanya kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang mahu pakatan pembangkang menimbang secara serius keanggotaan Pas dalam pakatan.

''DAP tidak seharusnya meragui Pas kerana parti kita belum mengadakan sebarang muzakarah dengan UMNO. Muzakarah yang diperkatakan itu hanya pertemuan biasa atau muqabalah,'' katanya.
MB kesal penganjuran program ratu cantik pondan di Bachok
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa kesal terhadap penganjuran program ratu cantik pondan di Bachok, baru-baru ini.

Menurutnya perkara seumpama itu berlakunya akibat manusia memilih cara hidup yang berbaul di antara manusia dan syaitan.

“ Kadang-kadang syaitan yang memenangi pertarungan dengan malaikat apabila manusia memilih jalannya dan adakala malaikat menang apabila manusia memilih melakukan kebaikan.

“ Di samping menasihati masyarakat agar tidak melakukan maksiat, tindakan mengikut undang-undang juga dikenakan bagi membendung gejala buruk itu daripada berterusan.

“ Manusia ada kalanya tidak boleh menerima nasihat semata-mata sebaliknya perlu diajar mengikut perundangan atau tindakan,” katanya ketika diminta mengulas 16 peserta ratu cantik pondan ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) di sebuah resort di Bachok malam Sabtu lalu.

Mereka antara 50 mak nyah yang sedang beraksi dengan pakaian wanita seperti gaun malam, kebaya dan pakaian mandi di sebuah dewan resort di Telong, Bachok.

Menteri Besar berkata, mereka yang mempunyai hati yang lembut boleh menerima nasihat seseorang berbanding golongan jiwa keras yang memerlukan tindakan tertentu.

“Berlaku situasi sedemikian pun alhamdulillah dah.. waktu saya mula-mula pegang Kelantan nak cari perempuan yang bertudung boleh bilang dengan jari.

“Sekarang nak cari orang perempuan yang tak bertudung pula boleh bilang dengan cari, jadi sama ada masalah mak nyah akan hilang sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Bagaimanapuh kata beliau biar pun perkara seumpama itu dilarang di Kelantan namun ia berlaku juga.

Ia seumpama masalah dadah biar pun sudah ada enakmen namun gejala itu tetap berlaku.
“ Yang terpelanting seorang dua tu merupakan perkara biasalah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menambah bilangan pegawai dan kakitangan bahagian penguatkuasaan.

Katanya pegawai penguatkuasaan akan ditambah kepada 350 orang berbanding 200 orang yang ada sekarang di seluruh jajahan dalam usaha membanteras gejala maksiat.

Menurutnya, pertambahan itu dibuat secara berperingkat-peringkat. Beliau juga berkata, Jaheaik mempunyai enakmen untuk mendakwa pihak yang melanggar etika kesopanan tersebut.

“ Jaheaik juga akan memanggil mereka untuk diberi didikan dan kaunseling, “ katanya.
- mj _
Patutkah PAS terus menganggotai Pakatan?
Malaysiakini


Pakatan Rakyat patut menimbang secara serius sama ada PAS patut dibenarkan terus menganggotai pakatan pembangkang itu, kata Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Beliau mempertikaikan beberapa tindakan pemimpin PAS yang menurutnya telah menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan parti itu.

"Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac lalu, PAS telah mengadakan perbincangan dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan campuran di Selangor," katanya yang menyifatkan tindakan itu berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan mengenainya.

Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh DAP, PKR dan PAS, memerintah di lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Tambahnya, PAS turut mengadakan satu lagi pusingan rundingan dengan Umno "atas nama perpaduan Melayu".

"langkah bersifat perkauman oleh PAS itu sebagai tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat," katanya.

Karpal turut menyentuh cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.

"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan dan implikasi yang serius," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Nasharuddin

Karpal yang juga merupakan peguambela Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat terhadapnya 10 tahun lalu, juga kecewa dengan pemimpin PAS, Nasharuddin Mat Isa berhubung tuduhan terbaru ke atas mantan timbalan perdana menteri itu.

Menurut Nasharuddin orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan liwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.

"Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan PAS secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai setiausaha agung (nasharuddin adalah timbalan presiden).

"Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut berdepan dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat," katanya.

Karpal berkata, rakyat Malaysia telah memberi isyarat yang jelas apabila mereka tidak mengundi mengikut kaum dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Katanya, PAS sebaliknya memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia.

"PAS tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan," kata Karpal.
PKR mahu doktor dilindungi
Malaysiakini


Setiausaha agung PKR menggesa keselamatan seorang doktor yang pernah memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilindungi oleh polis.

Datuk Salehuddin Hashim berkata parti itu berasa gusar dengan dakwaan polis telah menyiasat Dr Mohamed Osman Abdul Hamid dan kini beliau dan keluarganya "sedang bersembunyi."

"Semua jaminan mestilah diberikan untuk menjaga keselamatan dan memberikan perlindungan kepadanya," kata Salehuddin.

Beliau juga mendakwa pendedahan laporan pemeriksaan terhadap pemuda 23 tahun itu menambahkan keyakinan PKR bahawa dakwaan terhadap penasihat parti itu "tanpa asas dan berniat politik."

"Kewujudan laporan perubatan ini mengikis lagi keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan laporan polis yang dibuat (oleh Mohd Saiful) terhadap Anwar, satu laporan yang hingga kini kekal penuh kerahsiaan," katanya.

"Kenapa laporan perubatan ini hanya muncul hari ini, sebulan selepas dakwaan itu dibuat, selepas Anwar terpaksa bermalam di lokap, dan selepas polis menghabiskan banyak masa dan wang menyiasat kes ini"
Ahmad Said mahu tunjuk kuasa pada Abdullah
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Isu pembelian kereta Mercedes oleh kerajaan negeri Terengganu menggantikan kereta proton Perdana V6 sebagai kereta rasmi kerajaan negeri itu menimbulkan pelbagai polemik.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mendakwa kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said yang berani menyebutkan mengenai tindakan yang sewajarnya dibuat Badan Pencegah Rasuah supaya menyiasat penglibatan syarikat Spanco, penganjuran kejohanan Monsoon Cup dan projek Masjid Kristal menunjukkan beliau mungkin memiliki maklumat mengenainya.

"Kenyataan berani Ahmad mencerminkan wujud masalah atau isu penyelewengan dan seolah-olah beliau sendiri memiliki maklumat mengenai isu yang disebutkan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tidak menafikan tindakan berani Ahmad didorong krisis pelantikan Menteri Besar Terengganu yang melibatkan perbalahan pihak istana serta campurtangan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mahfuz percaya ia merupakan implikasi daripada polemik ketika itu.

"Ahmad Said semacam hendak tunjuk kuasa dengan mengambil sikap untuk bertentangan dengan kerajaan pusat pimpinan Abdullah," ujarnya.

Beliau turut menggesa supaya siasatan perlu dijalankan bagi mendedahkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengendalian kereta-kereta kerajaan khususnya yang melibatkan spanco, seperti didakwa Ahmad Said.

Mengulas mengenai isu pembelian kereta mercedes tersebut, Mahfuz yang juga ahli parlimen pokok Sena menempelak keputusan kerajaan pusat mengehadkan penggunaan kereta tersebut untuk tetamu sahaja.

"Ianya tidak boleh diterima dan kurang munasabah kerana berapa ramai sangatlah tetamu luar yang datang ke Terengganu setiap hari untuk menaiki 14 buah kereta tersebut?" katanya lagi.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar kesemua kereta tersebut dijual kepada mana-mana syarikat atau kerajaan pusat sahaja yang membelinya.

"Sekiranya ianya jarang digunakan kerajaan negeri juga yang perlu menanggung kerugian bagi menampung kos pembaikan memandangkan ianya dibiarkan tersadai dan berhabuk.

"Kerajaan pusat sebenarnya disaran membeli kesemua kereta itu bagi tujuan kegunaan tetamu rasmi luar," ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mengkritik tindakan kerajaan sebelum kereta-kereta tersebut dibeli akibat tidak berfikir semasak-masaknya sebelum memutuskan sebarang tindakan dan keputusan yang boleh mendatangkan kerugian.

"Selepas ianya telah dibeli, kerajaan pusat pula gagal memberikan penyelesaian yang berkesan," katanya.

Dalam usaha mempertahankan isu pembelian 14 buah mercedes yang dikatakan membazir, Ahmad Said meminta kerajaan pusat menyiasat kos projek mega di Terengganu iaitu pembinaan masjid kristal dan program tahunan monsun cup. - mks. _
Selangor peruntuk RM30 juta carum insurans warga emas
Ramli Yamat


BESUT - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM30 juta sebagai pendahuluan bagi menubuh tabung insurans kematian kepada warga emas di negeri tersebut.

Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan negeri berkenaan bersetuju mengikut jejak langkah Kelantan bagi membiayai insurans kematian kepada 371,800 warga emasnya melalui Takaful Kifalah.

Katanya, bagi menjayakan pelan insurans tersebut, kerajaan Selangor telah memintanya dan pegawai Tabung Amanah Tok Kenali memberi tunjuk ajar kepada kerajaan Selangor.

“ Kerajaan Selangor menaruh kepercayaan penuh kepada saya dan pegawai Tabung Amanah Tok Kenali untuk menubuh tabung yang serupa di negeri itu memandangkan kejayaan kami di Kelantan,” katanya pada satu program di sini.

Saifuddin yang juga bekas Pengerus Tabung Tok Kenali berkata, peruntukan yang dilulus kerajaan Selangor banyak berbanding pendahuluan RM1 juta disediakan kerajaan Kelantan ketika menubuhkan Tabung Amanah Tok Kenali.

“ Walaupun peruntukan pendahuluan hanya RM1 juta, namun kami dapat menguruskanya dengan baik untuk faedah 97,682 warga emas di negeri Kelantan,” katanya yang juga anggota parlimen Machang.

Katanya, peruntukan besar disediakan kerajaan Selangor membuktikan kerajaan terbabit mengambil berat soal kebajikan rakyatnya khususnya warga emas.

Kerajaan Kelantan mewujudkan Takaful Kifaalah sejak dua tahun lalu di mana pampasan sebanyak RM2,500 dibayar kepada pencarum yang meninggal dunia. - mj
PAS Terengganu sokong BPR siasat kereta rasmi bekas MB
Ramli Yamat


BESUT - PAS Terengganu mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat pembaziran wang rakyat semata-mata bagi membaiki kereta Proton Perdana Eksekutif kegunaan bekas Menteri Besar, Dato' Idris Jusoh dan anggota Exconya penggal lalu.

Bendahari Badan Perhubungannya, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata, kos pembaikian kereta tersebut terlalu tinggi sehingga melebihi RM170,000 bagi kereta rasmi Menteri Besar yang jelas tidak munasabah.

"Terlalu banyak duit rakyat digunakan semata-mata bagi membaiki kereta rasmi bekas Menteri Besar dan Exconya. Ini merupakan satu pembaziran.

"Tindakan BPR menyiasat perkara itu amat patut sekali kerana kemungkinan berlaku penyelewengan wang rakyat dalam kes tersebut," katanya pada satu ceramah di Kampung Kubang Bemban dekat sini, baru-baru ini.

Sebelum ini Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said dilaporkan berkata, kerajaan negeri membeli 14 Mercedes Benz E200 Kompressor yang bernilai RM3.43 juta bagi menggantikan Proton Perdana Eksekutif untuk menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ini kerana kos penyelenggaraan Perdana V6 Eksekutif lebih RM1.07 juta bagi tempoh 2004 hingga 2008.

Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelan turut mengingatkan Menteri Besar Terengganu yang baru tidak mengikut jejak langkah Idris.

"Lepas Datuk Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, saya berjumpa dengannya bagi mengingatkan supaya tidak mengikut jejak langkah Idris yang banyak menyusahkan rakyat dan pihak istana," katanya.

Beliau berkata, semasa mentadbir Terengganu Idris banyak membazirkan wang rakyat dengan melaksanakan projek antaranya membina Masjid Kristal dan benteng pemecah ombak di Kuala Terengganu yang mana perbelanjaannya berkali ganda berbanding harga asal.

Beliau mendakwa kos awal membina benteng pemecah ombak hanya RM50 juta tetapi meningkat kepada RM520 juta.

Malah katanya, bekas Menteri Besar menggunakan wang rakyat bagi membesarkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sedangkan tanggungjawab tersebut di bawah bidang kerajaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, biar pun PAS Besut gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu, namun kegagalan Idris dilantik semula sebagai Menteri Besar merupakan satu kejayaan bagi PAS. - mj/mks._
PAS adakan Mesyuarat Khas 31 Julai
Harakah Daily


KUALA LUMPUR : Para pemimpin PAS dijangka akan mencapai kata sepakat yang muktamad terhadap status perhubungan parti itu dengan Umno selepas mesyuarat khas mereka 31 Julai ini.

Mesyuarat bersama anggota Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat itu dipanggil khas untuk membincangkan hubungan parti Islam itu dengan Umno ekoran kekeliruan yang berlaku tentangnya.

Mesyuarat itu diadakan selepas seminggu Majlis Syura Ulamak mengadakan pertemuan mereka 23 Julai lepas di Kota Bharu.

Dalam mesyuarat di Kota Bharu itu, pemimpin Majlis Syura memutuskan tidak akan ada pengkongsian kuasa dengan Umno dan muzakarah sudah tutup fail, yang ada hanya pertemuan biasa sahaja iaitu muqabalah.

Menurut sumber, mesyuarat ini diadakan ekoran kecelaruan kenyataan dan pendapat di kalangan pemimpin PAS berkaitan dengan isu hubungan antara PAS dan Umno.

Pengerusi DAP, Karpal Singh juga telah campur tangan dengan mendakwa PAS tidak mempunyai kredibeliti lagi apabila berbincang dengan Umno ketika bekerjasama dengan parti itu dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, Karpal meminta Pakatan mengkaji kedudukan PAS dalam persepakatan itu.

Dalam masa yang sama, ada juga pihak yang berpendapat hanya pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh meredakan segala kegelisahan dalam Pakatan ini.

Oleh itu, mereka meminta agar mesyuarat di kalangan para pemimpin utama Pakatan diadakan segera.
Umno gagal gugat Pakatan Rakyat – Anwar
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan, bahawa Umno gagal menggugat muafakat dalama Pakatan Rakyat.

"Semalam di Bandar Tun Razak dan malam ini di Kulim saya memperakui kenyataan sebenar bersabit isu pembentukan Kerajaan Negeri Selangor selesai Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.

"Saban hari saya berhubungan terus dengan pimpinan PAS khususnya Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan juga pimpinan DAP. KeADILan, PAS dan DAP tidak berganjak dari ketetapan memperkukuh muafakat Pakatan Rakyat," katanya.

Anwar berkata demikian hari ini dalam satu ulasannya mengenai isu kerjasama Pakatan Rakyat dalam keadaan Umno cuba memecahbelahkan pakatan tersebut.

Justeru itu ujar beliau, Pakatan Rakyat harus waspada dengan muslihat Umno, termasuk dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyelar beliau sebagai penghalang utama ke arah pembentukan kerajaan PAS-Umno di Selangor.

"Ternyata Umno terdesak lemas lantaran pergelutan dalaman dan kegagalan mengatasi kemelut politik dan kegawatan ekonomi," tegas Anwar.

Perlu dijelaskan bahawa sehingga kini beliau tidak dapat mengesan sebarang langkah atau kenyataan dari pimpinan ketiga parti induk Pakatan Rakyat yang boleh ditafsirkan sebagai keretakan, katanya.

"Malah dalam perbualan telefon saya pagi Ahad (27 Julai) dengan Ustaz Hadi Awang, saya singkap perundingan di antara kami dan DAP tatkala memutuskan cadangan perlantikan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor," ujar Anwar lagi.

Ketika itu Tuan Guru Abdul Hadi menghubunginya, Anwar menolak desas desus dan menegaskan bahawa beliau telah pun mengirim faks mengesahkan keputusan PAS menyokong pencalonan Tan Sri Khalid.

Justeru Anwar mengulangi kenyataannya bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat sehingga kini tidak menunjukkan sebarang keretakan, malah Umno sebenarnya gagal menggugat pakatan. _

Isnin, 28 Julai 2008

Laporan perubatan tiada kesan liwat atas Saiful ada niat jahat
Mstar Online


PETALING JAYA: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif ketika dihubungi menyifatkan, laporan Malaysiakini yang mendakwa ada laporan perubatan tiada kesan liwat ke atas Saiful berniat jahat bagi memberi gambaran tidak berlakunya perbuatan liwat.

“Laporan ini mempunyai unsur mala fide. Apa juga bentuk laporan sama ada kesan calar ada atau tidak, tiada siapa boleh buat kesimpulan liwat tidak berlaku selagi perkara berkenaan tidak dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Lagi pun jelasnya, prosedur pemeriksaan juga mestilah mengikut prosedur siasatan sekiranya ia melibatkan aduan jenayah.

Menurut Dr Latif, jika benar ada laporan doktor mengenai isu liwat berkenaan disebarkan, Saiful sebagai pesakit boleh membuat aduan kepada Majlis Perubatan Malaysia.

"Jika benar, doktor berkenaan boleh disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971. Ini kerana katanya, doktor mempunyai sumpah kerahsiaan dengan pesakit," jelasnya lagi.

Tambah beliau, mengikut etika tiada doktor boleh mendedahkan laporan pesakit kecuali laporan berkenaan mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah dan dibawa ke mahkamah.

Katanya lagi, beliau berkata, jika laporan pesakit segaja didedahkan "itu adalah di luar tabie."

Sebelum ini, laman berita Malaysiakini dalam laporannya hari ini mendakwa telah memperolehi laporan dua muka surat oleh seorang doktor yang memeriksa Saiful Bukhari Azlan yang menyatakan tidak terdapat kesan liwat seperti yang didakwa.

Laporan hospital Pusrawi itu yang dikatakan telah tersebar luas memetik laporan seorang doktor, Mohd Osman Abdul Hamid yang melakukan pemeriksaan ke atas Saiful yang dikatakan telah pergi ke hospital itu terlebih dahulu sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum ini, Saiful dalam laporan polisnya mendakwa telah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, sumber terdekat dengan rapat dengan Saiful Bukhari mempertikaikan kesahihan dokumen yang dikatakan sebagai laporan perubatan yang menyebut tiada kesan liwat terhadap Saiful.

Kata sumber itu, berdasarkan kertas yang diedarkan itu, itu bukan laporan perubatan sebaliknya hanya berupa catatan.

"Jika ia laporan perubatan, ia mestilah dalam format tertentu yang ditetapkan dan ada prosedur tertentu yang mesti dipenuhi oleh seorang doktor sebelum laporan berkenaan boleh diterima dan dibentangkan di mahkamah," kata sumber itu.
Dikemaskini

Ada pemimpin sorok info PAS-Umno
Malaysiakini



PAS bulan lalu menafikan wujudnya rundingan PAS-Umno kerana mereka yang terlibat dalam pertemuan sulit itu tidak memaklumkan kepada jawatankuasa pusat parti itu, kata ketua penerangannya Mahfuz Omar hari ini.

"Ia (penafian) adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS," katanya dalam satu surat terbuka memohon maaf kepada ahli dan penyokong parti itu.

"Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno."

Hasil maklumat yang tidak lengkap itu, PAS mengarahkan Mahfuz mengeluarkan kenyataan menafikan pertemuan dua parti itu pada 10 Jun.

Dalam kenyataan panjang lapan perenggan, Mahfuz memohon maaf selepas dianggap "membohongi" ahli dan penyokong PAS sehingga menerima kritikan banyak pihak.

"Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti.

"Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas 'pembohongan' ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau menambah: "Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut.

"Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat."

Kenyataannya bulan lepas "bukanlah atas sifat peribadi" tetapi dibuat "atas kapasiti sebagai ketua penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan beliau berbuat demikian."


Berikut kenyataan penuh "permohonan maaf" Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena:


Kepada,
Semua ahli, penyokong dan pengundi PAS.

Pertamanya marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas keterlanjuran ini.

Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat peribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai ketua penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian.

Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS.

Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.

Saya berharap individu terbabit dapat tampil ke hadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh presiden Umno baru-baru ini.

Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka.

Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS.

Lebih memeranjatkan lagi apabila "muzakarah" tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN.

Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti.

Apabila bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama empat hari berturut-turut selepas pilihanraya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti.

Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu.

Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku.

Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara perdana menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya.

Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut.

Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti.

Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas "pembohongan" ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat.

Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor universiti tempatan yang telah mengingatkan bahawa "jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita".

Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia.

Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada.

Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang.

Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku.

Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.

Maafkanlah saya.

Sekian, wassalam.

Hj Mahfuz Hj Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Media pula dipersalah
Oleh NORAZIAH JAAFAR


KUALA TERENGGANU - Pendedahan media berhubung isu penggunaan Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi Exco Terengganu bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemimpin di negeri ini.

Mereka mempertikaikan wartawan yang memainkan isu itu dengan menganggap tahap kredibiliti golongan tersebut rendah dan soalan yang ditanya berhubung perkara itu 'tidak bertaraf nasional dan antarabangsa'.

''Wartawan pun kena belajar tanya soalan, biar 'kelas' sikit. Isu benda-benda (apa jua isu) biar nasional, biar antarabangsa punya soalan,'' kata Bendahari UMNO negeri, Datuk Roslan Awang Chik.

Roslan membuat kenyataan tersebut apabila wartawan bertanyakan soalan mengenai isu itu kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said selepas majlis perjumpaan dengan para pemimpin empat sayap UMNO di sini malam tadi.

Ketika soalan itu diajukan, Ahmad kelihatan tenang namun beberapa pemimpin negeri mencelah dan meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung tindakan media memainkan isu kereta Mercedes itu.

Sementara itu, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rosli Mat Hassan turut mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia melaporkan isu itu di muka hadapan akhbar tersebut pada Ahad lepas sehingga ia menimbulkan polemik.

''Saya lihat kualiti wartawan kita (rendah) bila buat soalan, apa yang awak semua mahu? Adakah (berita) dipantau oleh pengarang atau memang awak fikir berita ini (penggunaan Mercedes) baik untuk rakyat atau kerajaan?'' soalnya.

Menurutnya, isu pembelian Mercedes itu yang melibatkan perbelanjaan lebih RM3.43 juta adalah jumlah yang kecil bagi perbelanjaan sesebuah kerajaan negeri. Rosli hairan mengapa ia diheboh-hebohkan.

''Awak fikir RM3.43 juta beli Mercedes ini besar sangatkah bagi sesebuah negeri? Apa pendapat wartawan? Kenapa tidak paparkan perkara-perkara yang positif. Cuba anda jawab," ujarnya.
Mustafa Ali rasmi seminar Harakah dua kali seminggu
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, Dato' Mustafa Ali telah merasmikan 'Seminar Diskusi Pra-Harakah Dua Kali Seminggu' di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Turut hadir dalam perasmian seminar ialah, Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamarudin Jaffar; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar; Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Luthfi Othman dan sidang editorial.

Dalam ucapan perasmiannya, Mustafa menyebut beberapa perkara yang menyentuh isu-isu penerbitan Harakah yang telah dibenarkan terbit dua kali seminggu berbanding sebelum ini dua kali sebulan.

Beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada sidang editorial untuk mengisi kandungan Harakah kali ini agar lebih menarik minat pembaca.

Selain itu Mustafa juga mengingatkan petugas Harakah agar sentiasa melaporkan berita yang benar selain laporan yang tidak bertentangan dengan dasar PAS.

Beliau turut mengumumkan beberapa insentif baru untuk meningkatkan kualiti dan semangat petugas Harakah berhadapan dengan penerbitan yang lebih kerap bermula 15 Ogos ini.

Antara insentif itu ialah, mewujudkan Jabatan Latihan serta kenaikan skim gaji yang lebih memberansangkan.

Sementara itu Pengarah Urusan Harakah yang bercakap sebelum Mustafa turut menyatakan penghargaan kepada petugas Harakah di atas kejayaan Harakah sejak dahulu hingga kini.

Katanya, Harakah adalah satu-satunya akhbar parti di Malaysia ini yang unik dan dapat bertahan lama.

Justeru beliau mengharapkan hasil kerja keras semua pihak dalam Harakah, kualiti akhbar ini dapat dipertingkatkan. _
Ezam teringin cabar Anwar di Kulim
Muda Mohd Noor


Bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor bersedia bertanding di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil.

Bagaimanapun, beliau mengakui peluang sebagai calon BN menang adalah tipis kerana faktor-faktor politik dan ekonomi negara ketika ini.

"Saya adalah underdog tetapi yang penting, saya berani mencabarnya secara habis-habisan," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau akan bertanding di kerusi tersebut jika kemenangan PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac diisytiharkan tidak sah.

Mahkamah akan mendengar petisyen pilihanraya calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bulan depan.

Dalam ceramahnya di Kulim malam tadi, ketua umum PKR menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding setelah penyandangnya Zulkifli Nordin menawarkan kerusi berkenaan kepada beliau.

"Jika tidak ada aral melintang,dalam masa terdekat ini saya akan umumkan untuk bertanding di Kulim-Bandar Baharu ini.

"Terima kasih kepada Zulkifli yang menawarkan kawasan ini," kata Anwar di hadapan 10,000 yang hadir.

Pada pilihanraya lepas, Zulkifli memenangi dengan majoriti 5,583 – beliau memperolehi 22,255 manakala Aziz pula sebanyak 16,672.

Kulim Bandar Baharu mempunyai 67.93% pemilih Melayu, 21.13% Cina dan 11.48% India daripada jumlah keseluruhan 51,444 orang.

Bagaimanapun, Mohamad Ezam berkata pucuk pimpinan Umno akan menentukan sama ada beliau bertanding di kerusi itu atau seorang calon yang lain.

"Jika parti mahukan saya bertanding, saya sedia menerima dan mencabar Anwar di kawasan tersebut.

Mohamad Ezam, yang juga bekas pemimpin angkatan muda PKR berkata, ramai pemimpin parti pembangkang itu di peringkat bahagian dan negeri kembali ke pangkuan Umno tidak lagi.

"Saya telah menerima panggilan dari pemimpin berkenaan yang kebanyakannya dari Sabah, Selangor dan Perak untuk kembali semula ke Umno," katanya.

Mengenai hubungannya dengan pemimpin PKR, Mohamad Ezam berkata, masih ada yang masih bersahabat dengannya.

Mengenai Anwar, Ezam berkata beliau akan mendedahkan rahsia bekas timbalan perdana menteri itu apabila tiba masanya.

"Ketika ini saya tidak mahu mendedahkannya kerana ia membabitkan maruah Anwar dan keluarga.

"Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tahu mengenai rahsia tersebut, sebab itu beliau mendiamkan diri apabila saya mencabarnya," katanya Iagi.
Mukhriz kekal pendirian minta Pak Lah undur Disember ini
Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir kekal dengan pendiriannya menggesa agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu berundur daripada memimpin menjelang pemilihan parti Disember ini.

Mukhriz yang dihubungi mStar Online berkata, Abdullah harus berundur segera tahun ini bagi membolehkan pengganti beliau mempunyai masa yang cukup untuk memulihkan parti menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya masih berpendapat bahawa Abdullah perlu berundur sebelum Disember ini kerana masa empat tahun tidak cukup (untuk proses pemulihan)... kita kesuntukan masa dan masa empat tahun akan berjalan dengan cepat," kata beliau.

Pada 10 Julai lalu, Abdullah telah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kepimpinan membabitkan beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang Jun 2010.

Pandangan beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun senada dengan pendapat yang diutarakan oleh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blog beliau kelmarin.

Dalam kritikan terbaru terhadap Abdullah, Dr. Mahathir "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

"Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: "Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama."

Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Pada Mei lalu selepas Dr. Mahathir mengumumkan keluar Umno, Mukhriz juga pernah memberikan pandangan itu.

Mukhriz mengutarakan pendiriannya itu dua bulan yang lalu khususnya selepas pencapaian Umno dan BN tidak memuaskan dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau pernah pendirian mempertahankan desakannya supaya Abdullah meletakkan jawatan, selain akan mengadakan pertemuan dengan ahli pergerakan Pemuda bagi menjelaskan pendirian itu.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai usaha beliau mencadangkan mesyuarat peringkat cawangan Umno mengusulkan senarai nama untuk dicalonkan bagi setiap jawatan tertinggi parti, Mukhriz berkata, langkah yang diambil pertengahan bulan ini telah mencapai sasaran 50 peratus.

"Setakat ini 50 peratus cawangan (daripada kira-kira 22,000) cawangan telah dihantar surat berkaitan dengan usul ini. Baki 50 peratus akan didekati dalam seminggu ini," kata beliau.

Beliau mengulangi bahawa usaha itu diambil bagi memastikan suara semua peringkat rakyat didengar dan pemimpin yang bakal dipilih benar-benar mendapat sokongan akar umbi.

Dalam surat yang dikemukakan kepada cawangan-cawangan, Mukhriz berkata: "Sudah tiba masanya ahli-ahli UMNO secara keseluruhannya menuntut hak untuk memilih pemimpin tertinggi parti. Sudah sampai ketikanya untuk kehendak rakyat, khususnya kaum Melayu, dizahirkan di dalam pemilihan parti kali ini melalui ahli-ahli UMNO diperingkat Cawangan."

"Atas sebab-sebab berikut, saya dengan rasa amat rendah diri ingin mencadangkan agar
Mesyuarat Cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara mengusulkan senarai nama-nama untuk dicalonkan bagi setiap jawatan tertinggi parti dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, dan kalau boleh termasuklah Ahli- ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk pertimbangan Mesyuarat Bahagian."

Mengenai tawaran beliau bertanding Ketua Pemuda, beliau berkata, hasrat itu tidak berubah dan dikemukakan secara rasmi dalam waktu terdekat.
Balai Cerap Selangor Siap Akhir Tahun Depan
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM- Sebuah balai cerap yang sedang dalam pembinaan di Sungai Lang, Sabak Bernam dijangka bukan saja menyumbang dalam pembangunan ilmu falak, malah menjana sektor pelancongan, pendidikan dan penyelidikan.

Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata balai cerap yang dijadualkan beroperasi akhir tahun depan itu boleh mempamerkan kajian perkembangan astronomi oleh pakar Islam dan Eropah.

"Dengan itu kita dapat tunjukkan perkembangan yang berlaku dalam dunia falak kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2008 dan melancarkan pembinaan balai cerap Selangor.

Balai cerap yang terletak di kawasan seluas kira-kira 1 ekar itu bernilai RM2 juta, antara lain berfungsi untuk melihat anak bulan bagi penentuan tarikh puasa dan Aidilfitri.

Ia adalah balai cerap pertama bagi Selangor yang pada masa ini mempunyai beberapa baitul hilal.

Terdahulu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata dengan adanya balai cerap berkenaan, pengkaji astronomi dan golongan profesional dari dalam mahupun luar negara boleh melakukan kajian dalam bidang falak secara berterusan.

"Saya percaya balai cerap yang direncanakan ini mempunyai daya tarik yang boleh merangsang ramai pelancong berkunjung ke Selangor. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi penduduk di sekitarnya," katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Selangor menerokai pelbagai bidang ilmu termasuk ilmu falak dalam menghadapi arus perubahan globalisasi yang lebih mencabar ketika ini.
Apa ada pada papan tanda
Roslan SMS


Beberapa perkembangan yang berlaku kebelakangan ini seharusnya mencetuskan naluri kita untuk berfikir dan mengambil sikap. Kita memang sentiasa diunjurkan agar berlapang dada dan bersikap terbuka khususnya dalam hubangan antara dan sesama kaum dalam negara. Kemajuan dan kemakmuran negara hanya akan dapat dicapai kiranya wujud perpaduan kaum. Itu realiti yang penting.

Dalam waktu yang sama oleh kerana orang Melayu dan umat Islam merupakan segmen teras dalam negara, maka toleransi mereka sangat kritikal. Begitu juga sensitiviti yang melibatkan kaum, lebih-lebih lagi anutan dan pegangan mereka perlu sentiasa terpelihara.

Ketua Pengarang akhbar The Star, seorang bukan Melayu, menyentuh darihal tindakan parti Gerakan (komponan BN yang didominasi kaum Cina) menaikan papan tanda berbahasa Cina di beberapa jalan utama di Pulau Pinang (dan kemudiannya diturunkan oleh pihak penguatkuasa PBT). Khabarnya Gerakan bertindak demikian kerana semasa mereka memerintah dahulu DAP telah menaikkan papan tanda yang sama.

Sebelum itu kerajaan negeri mencadangkan papan tanda pelbagai bahasa (ekoran cadangan dua orang ahli majlis dari DAP agar disertakan bahasa Cina pada papan-pana tanda jalan-jalan di negeri itu kerana mahu membantu pelancong-pelancong dari Tanah Besar Cina) untuk menggantikan papan-papan tanda yang ada.

Dan dalam mengambil bahagian di dalam polemic inis eorang ADUN Pulau Pinang (anak Karpal) mencadangkan dimasukkan juga bahasa Punjabi sekali.

Dizaman moden ini buatlah sesuka kamu, kenapa tak masuk bahasa Kadazan, Iban, Tagalog, Siam dan lain-lain. Mungkin papan tanda jalan-jalan nanti sebesar billboard raksaksa di Petaling Jaya kerana mahu memasukkan semua bahasa dan dailek yang penting-penting.

Lalu kemana kesudahan kita?

Kalau kita menyatakan biar kekal bahasa Melayu sahaja kerana ia bahasa Kebangsaan dan diperuntukkan dalam Perlembagaan, nanti orang kata kita “ultra” dan cavunis Melayu. Tambah pula di beberapa negeri majoriti Melayu, bahasa Jawi pun terdapat di papan-papan tanda di sana (tanpa menyedari bahawa bahasa Jawi itu adalah abjad Arab yang digunakan oleh orang-orang Melayu sejak sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain ke sini).

Saya teringat ketika MB Kedah yang baru meletakkan tulisan jawi pada plat kereta rasmi beliau, ia turut dijadikan isu oleh sesetengah pihak sehingga dibuat laporan kepada JPJ negeri!

Apa ada pada tanda jalan?
Proton gantung pusat servis EON di Terengganu langgar syarat perkhidmatan
Utusan


KUALA LUMPUR– Proton Holdings Berhad (Proton) hari ini menggantung sebuah pusat servis EON di Terengganu kerana melanggar syarat-syarat perkhidmatan yang ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir berkata, pergantungan yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat selepas mendapati pusat servis tersebut menggunakan alat ganti tidak tulen dan terpakai ke atas kereta-kereta rasmi kerajaan negeri Terengganu.

Pergantungan itu juga katanya, berikutan terdapat bukti menunjukkan pusat servis tersebut mengenakan caj berlebihan terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Beliau menambah, pusat servis tersebut menghadapi kemungkinan ditamatkan perkhidmatannya daripada menjadi wakil servis Proton sekiranya didapati bersalah oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). - Utusan
Mustahil untuk bubarkan Umno
Oleh Bernama


CHANGLUN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Johari Baharom berkata adalah satu perkara yang mustahil untuk membubarkan Umno dan menubuhkan parti baru orang Melayu bersama PAS kerana perjuangan Umno adalah untuk kepentingan semua rakyat.

Beliau berkata Umno bukan hanya untuk orang Melayu dan penubuhan parti baru bagi menyelesaikan masalah orang Melayu tidak ada gunanya kerana matlamat yang diharapkan tidak akan tercapai kerana jelas dasar Umno dan PAS berbeza.

"Umno sebagai tulang belakang kerajaan mempunyai jasa yang amat besar kepada negara dan rekodnya memperjuangkan kepentingan rakyat tidak boleh dinafikan," katanya kepada pemberita ketika mengulas cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Umno dan PAS dibubarkan bagi menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam untuk menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Penubuhan sebuah parti baru bagi menyelesaikan masalah orang Melayu tidak perlu sebaliknya muzakarah antara Umno dan PAS wajar diteruskan bagi mencapai matlamat yang dikehendaki, katanya selepas melancarkan program Memasyarakatkan MAYANG (Masyarakat Penyayang) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah di sini, Ahad.

Katanya yang penting sekarang, kedua-dua pihak menjalankan muzakarah dengan penuh keikhlasan demi bangsa Melayu.

"Jika benar kita mahu menyelesaikan masalah orang Melayu, kita mesti mempunyai semangat iaitu menolak kepentingan politik masing-masing," katanya yang juga anggota Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu.

Mengenai tindakan Selangor yang tidak mengiktiraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Mohd Johari berkata itu adalah hak kerajaan negeri itu.

"JKKKP di bawah kerajaan persekutuan yang membayar semua elaun mereka. Kita memperakukan JKKKP untuk tujuan memantau dan memaklumkan kepada kita berkaitan projek kerajaan persekutuan," tambahnya.

Katanya semua projek kerajaan persekutuan di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan dipasang papan kenyataan supaya rakyat tahu projek itu bukan dilaksanakan oleh kerajaan negeri berkenaan.

Mengenai MAYANG, Mohd Johari berkata Majlis Tindakan Negeri Kedah (MTNK) akan menumpukan program untuk membantu golongan miskin dan yang menjadi kepentingan rakyat di luar bandar.

Beliau yang juga Pengerusi MTNK berkata mesyuarat majlis itu baru-baru ini mengarahkan semua agensi persekutuan menyelaraskan semula program mereka supaya tidak bertindih.
BPR tahan 8 kereta exco T'ganu
MALAYSIAKINI


Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan lapan kereta Proton Perdana V6 Executive exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu bagi membantu siasatan berhubung kos penyenggaraan kenderaan itu yang terlalu tinggi.

Pengarah BPR Terengganu, Sharuddin Sapian ketika dihubungi berkata empat daripada kereta berkenaan ditahan Khamis lepas manakala bakinya ditahan sehari kemudian.

Beliau, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai lapan kereta yang ditahan itu, demikian menurut laporan Bernama.

Semalam, Sharuddin berkata setakat ini sembilan individu telah dipanggil oleh BPR untuk memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

Khamis lepas, pegawai BPR memulakan siasatan kes itu dengan mengambil dokumen dari pejabat Perbendaharaan Negeri diikuti tindakan sama di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, ahli exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu akan menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat sementara waktu sehingga BPR selesai menjalankan siasatan terhadap kereta Proton Perdana V6 Executive.

Pada masa ini, katanya, BPR telah mengambil kereta Proton Perdana V6 kerajaan negeri itu untuk siasatan berhubung kos penyenggaraannya yang terlalu tinggi.

Akur arahan TPM

"BPR telah ambil kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Jadi mereka kena pakai dululah (kereta Mercedes)...perdana menteri pun dah kata, sekali-sekala boleh pakai kereta Mercedes ini," katanya kepada pemberita di Terengganu.

Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kesemua 14 kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan Terengganu hanya akan digunakan untuk membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri.

Ditanya sama ada kerajaan Terengganu akan membeli kereta Proton Perdana V6 Executive yang baru kerana kereta nasional kerajaan negeri sedia ada itu didakwanya sering menghadapi masalah, Ahmad berkata: "Kalau nak beli pun tahun depan. Itu pun kalau (kerajaan negeri) ada duit."

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah berniat untuk menjatuhkan imej Datuk Seri Idris Jusoh berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakan bekas menteri besar Terengganu itu, adalah yang tertinggi di kalangan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

"Kita tidak tuju pada Datuk Seri Idris. Bukan dia salah guna, Cuma (kebetulan) kereta itu digunakan oleh Menteri Besar. Sebenarnya jumlah itu silap dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mokhtar Nong) telah pun membuat permohonan maaf," katanya.

Ahmad juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai tindakan bekas menteri besar Terengganu itu yang melantik seorang peguam untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad akur dengan arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beliau tidak memperbesar-besarkan perkara lain setelah isu mengenai pembelian kereta Mercedes itu selesai.
Bakal haji perlu jaga kesihatan
Sinar Harian

BANDAR TUN RAZAK - Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan bakal haji negeri ini supaya menjaga kesihatan ketika berada di tanah suci Mekah.

Beliau berkata, kesihatan penting bagi memastikan mereka dapat menunaikan haji dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

“Kesihatan diri adalah penting dan perlu dijaga supaya tidak berlaku perkara tidak diingini sepanjang berada di sana dan mereka juga diingatkan agar tidak membawa wang yang banyak kerana bimbang kemungkinan lain pula berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Haji Madrasah Makamul Akhlak di sini, semalam.

Setiap tahun madrasah itu akan menganjurkan kursus bagi persediaan bakal haji menjalankan ibadah mereka.

Pada majlis itu juga beliau menyumbangkan kain ihram dan telekung untuk kegunaan bakal haji lelaki dan perempuan.

Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor berkata, cara terbaik untuk memastikan keadaan selamat sepanjang berada di Mekah ialah sentiasa bantu membantu antara satu sama lain.

Sementara itu, Pengerusi yang juga Imam Madrasah Makamul Akhlak, Bhari Md Amin berkata, daripada 60 yang layak menunaikan haji di Mekah tahun ini, 20 daripadanya terpilih mengikuti kursus berkenaan.

Kursus itu juga katanya, mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyumbangkan perkhidmatan percuma pengendalian kursus itu.

“Madrasah ini pernah memenangi Anugerah Surau Terbaik pada 2005 di bawah pemilihan Jawi,” katanya.
Kakitangan MAS antara dicekup Imigresen
KOSMO!


KUALA LUMPUR – Dua lelaki seorang kakitangan Malaysia Airlines (MAS) dan seorang lagi kakitangan Kuala Lumpur

Airport Services (KLAS) ditahan di sekitar Pulau Pinang semalam kerana dipercayai bersubahat mengeluarkan tiket kapal terbang kepada seorang warga Myanmar yang menggunakan pasport Malaysia palsu.

Kakitangan MAS yang berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya manakala kakitangan KLAS yang berusia 25 tahun itu pula ditahan di pejabatnya.

Mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam.

Pengarah Penguat Kuasa Imigresen Datuk Ishak Mohamed berkata, dua lelaki itu disyaki bersubahat mengeluarkan tiket perjalanan Pulau Pinang-Singapura-Manchester dan mengatur supaya warga Myanmar itu boleh memasuki Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Bayan Lepas, Pulau Pinang hingga ke kapal terbang.

Beliau yang dihubungi semalam berkata siasatan mendapati warga Myanmar itu perlu membayar sebanyak RM10,000 kepada seorang ejen bagi mendapatkan pasport palsu termasuk dua tiket penerbangan.
Pindaan Auku, kemenangan awal perjuangan mahasiswa
Harakah Daily


KUALA LUMPUR - Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mohamad Khaled Nordin dianggap suatu kemenangan awal perjuangan mahasiswa.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata kenyataan Khaled bahawa dengan pindaan Auku yang membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang masuk ke dalam kampus sememangnya telah lama diperjuangkan oleh mahasiswa sebelum ini.

"Namun apa yang dibimbangi adalah ianya sekadar gimik politik semata-mata kerana ia masih belum diluluskan oleh Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.


Bagaimanapun, beliau masih menganggap apa yang dikatakan Khaled itu sebagai satu harapan baru yang menjelma pada masa depan para mahasiswa.

Dalam satu laporan akhbar, Khaled dilaporkan berkata dalam pindaan Auku yang baru akan membenarkan pemimpin politik masuk ke kampus.

Namun pimpinan politik boleh berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa, kata Khaled.

"Saya berharap biarlah tajuk program pengisian yang dijalankan oleh pihak IPT dan para mahasiswa agar menjurus kepada kepentingan pengajian dan negara," ujarnya.

Mengulas isu yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pula berharap agar KPT dapat bersikap telus dalam keterbukaan yang diamalkan ketika melaksanakan pindaan Auku kelak.

"Harapnya jangan 'double standard' kerana jika dilihat kepada mahasiswa di luar negara terdapat kelab parti politik seperti kelab umno luar negara,"katanya.

Sungguhpun begitu, pihaknya masih melihat perkembangan mengenai pindaan Auku tersebut sebagai suatu yang positif apabila mahasiswa diberikan peluang untuk menjemput mana-mana pemimpin politik.

"Ia suatu yang positif dan sangat dialu-alukan kerana mahasiswa merupakan golongan terpelajar yang boleh menilai mengenai hasrat pemimpin dan kerajaan yang memerlukan keterbukaan," ujarnya lagi.

Namun, beliau yang merupakan bekas pensyarah jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia meminta pihak KPT mendedahkan pindaan tersebut kepada umum.

"Kita hendak tahu mengenai pindaan keseluruhan didedahkan terutamanya mengenai IPT supaya ianya dapat dinilai kerana semuanya tiada erti memandangkan golongan mahasiswa ini merupakan generasi pelapis pemimpin pada masa akan datang.

"Jika pandangan mereka dikongkong, ianya akan mempengaruhi kecenderungan dan sikap mereka," katanya./wann _
Pemuda PAS Sabah kesal tindakan UMS untuk konsert
Nabila Abdullah


KOTA KINABALU - Naib Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu kesal dengan tindakan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lt. Kol. Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon meluluskan penggunaan Dewan Canselor antaranya untuk program konsert penyanyi, Anuar Zain.

Ujar beliau tindakan yang tidak tidak berfaedah ini merupakan suatu perkara yang malang untuk warga universiti.

“ Penggunaan Dewan Cancelor untuk program yang tidak berfaedah seperti konsert Anuar Zain pada hari ini merupakan suatu tindakan malang dari Naib Cancelor (NC) untuk warga universiti “, katanya ketika ditemui dekat sini hari ini.

Beliau hairan bagaimana program hiburan yang tidak mendatangkan kebaikan ini dibiarkan berlaku di tempat yang sepatutnya membudayakan ilmu.

“ Macam mana NC meletakkan keutamaan pentadbiran yang mereka laksanakan dalam memperlihatkan UMS sebagai satu puncak ilmu atau pusat keilmuan di negeri ini “, katanya.

Tambah beliau, NC perlu menampilkan kemajuan ilmu, bukannya menambah budaya hendonisme di kalangan mahasiswa yang sepatutnya berfikir secara kritis.

Beliau yang juga bekas setiausaha PAS Sabah menyatakan, program hiburan sebegini akan menganggu dan menjejaskan prestasi kecemerlangan pelajar UMS.

Selain itu katanya, banyak impak negatif yang akan timbul melalui penganjuran konsert hiburan dalam kampus.

Gejala sosial pecampuran di antara lelaki dan perempuan semasa, sebelum dan selepas konsert antara yang dibimbangi akan berlaku, katanya

Beliau menyarankan NC yang baru beberapa bulan mentadbir UMS agar menilai kembali perkara keutamaan kampus itu iitu meletakkan keutamaan akademik dan menilai polisi pendekatan apa yang baik kepada pelajar.

Beliau menambah, NC sebagai anak kelahiran Sabah harus bersuara dan ia perlu melakukan perbezaan dengan NC sebelum ini yang gemar berhibur, menjemput artis-artis terkenal negara.

Beliau juga merasa pelik dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang tidak bersuara seolah-olah seperti 'kerbau dicucuk hidung' menerima bulat-bulat apa yang di sediakan oleh pihak universiti.

“ Saya nampak MPP macam kerbau dicucuk hidung, tidak menyuarakan kehendak mahasiswa. MPP adalah pemimpin yang di undi oleh pelajar dan sepatutnya perlu bersikap proaktif, kritis dengan apa yang berlaku di dalam suasana mereka “. Katanya yang juga bekas pemimpin kampus.

“ Apabila keadaan ini berterusan di semua universiti, saya yakin negara akan melahirkan mahasiswa yang bijak pandai tetepi, negara tidak akan melahirkan mahasiswa yang mempunyai nilai keinsanan, baik, kritis dan berpandangan jauh untuk memimpin negara," ujarnya./wann _
KUIS Sasar Status Universiti Penuh Tahun Depan


BANGI-- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sedang dalam proses memohon akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi membolehkan institusi pengajian itu mencapai status universiti penuh pada tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah KUIS yang juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelajar tempatan akan tetap diberi keutamaan walaupun institusi itu dinaiktaraf kepada universiti dengan pengambilan pelajar asing diperuntukkan antara 10 dan 30 peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis konvokesyen ke-11 KUIS di sini hari Ahad, katanya KUIS akan melengkap dan menaiktaraf prasarana sedia ada termasuk penyediaan asrama, tempat pengajian, pusat khidmat pelajar antarabangsa dan tenaga mahir dalam bidang pengajaran.

KUIS, yang terletak di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), turut mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), sebagai institusi yang memajukan pendidikan Bahasa Arab.

"Mereka yang ingin mendapatkan sijil bahasa Arab yang diiktiraf oleh antarabangsa, boleh mendapatkannya di KUIS," katanya.

Terdahulu, Rektor KUIS Datuk Mohd Adanan Isman dalam ucapannya pula berkata KUIS akan menambahkan bilangan tenaga pengajar lulusan Doktor Falsafah (PhD) dan menawarkan kursus termasuk dalam peringkat Ijazah Sarjana Perbankan Islam, Sarjana Syariah Pengurusan dan Perbandingan Agama.

"Kita telah meluluskan 30 kakitangan untuk mengikuti pengajian PhD di bawah Skim Latihan Akademik yang disediakan oleh KUIS bagi memantapkan tenaga pengajar di sini," katanya.

Seramai 857 graduan KUIS menerima diploma dan ijazah dalam bidang Bahasa Arab, Syariah, Usuluddin, Al-Quran dan Sunnah, Dakwah, Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat dan Syariah serta Perundangan Islam daripada Abdul Khalid.

Nurul Aini Mohd Sarif, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, menerima Anugerah Datuk Menteri Besar kerana kecemerlangan beliau menerusi pencapaian akademik dan penglibatan aktif dalam ko-kurikulum.

Mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku keretakan ekoran insiden Anggota Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo Burne ditampar seorang pembantu Anggota Dewan Undangan Negeri, Jumaat lepas di Kelana Jaya, Selangor, Abdul Khalid berkata : "Ini adalah harapan saya. Kebenaran ialah ia menunjukkan kematangan dalam politik Malaysia".

Beliau berkata perbalahan atau perbezaan pendapat sentiasa wujud dalam sesebuah pakatan atau parti namun setiap anggotanya perlu tahu bagaimana untuk menangani masalah tersebut agar dapat diselesaikan secara aman.

"Rakyat melantik kita bukan untuk bergaduh tapi untuk memberi khidmat kepada mereka dengan baik," katanya.-- BERNAMA
Ramai keliru perbezaan muzakarah dengan muqabalah – Husam
Lanjusoh


KOTA BHARU - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap penjelasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai isu muzakarah yang digeger sebelum ini difahami orang ramai.

Beliau berkata, ramai bertanya perbezaan di antara muzakarah dengan muqabalah seperti yang diputus baru-baru ini.

"Keputusan Majlis Syura di Kota Bharu baru-baru ini cuba dikelirukan media pada hal ia cukup jelas. Perbincangan atas dasar peribadi pemimpin PAS dengan pemimpin Umno dibolehkan.

"Majlis Syura berperanan memberi pandangan dari segi hukum. Pertimbangan sama ada hendak izinkan atau tidak adalah semata-mata pertimbangan politik kecuali yang terserempak di mana-mana sudah tentu tidak munasabah untuk diambilkira," katanya dalam satu kenyataan dari Afrika.

Rabu lalu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan isu muzakarah di antara pemimpin PAS dan Umno sudah ditutup fail dan ia diganti dengan muqabalah (perjumpaan biasa).

Malah katanya perjumpaan diadakan sebelum ini langsung tidak membincangkan kononnya PAS akan menyertai semula Barisan Nasional.

Keputusan Majlis Syura pada 23 April lalu membenarkan pertemuan diadakan dengan pemimpin Umno. Bagaimanapun pertemuan tersebut hanya berlangsung pada 20 Julai lalu.

Husam juga berkata, jawatankuasa PAS Pusat seharusnya dirujuk sama ada perjumpaan peribadi seperti itu boleh diteruskan kerana ia tidak dikaitkan dengan parti.

Oleh itu beliau berharap ahli dan penyokong parti termasuk pengedar Harakah di kalangan kaum India yang difahamkan menghentikan seketika mengedar akhbar itu dapat menarik nafas lega. - mj _

Ahad, 27 Julai 2008

BN umpan RM30 juta pikat Adun Pakatan Rakyat di Perak?
Ramli Yamat


BESUT - Keghairahan Umno Perak kononnya akan menubuh kerajaan pada 31 Ogos depan dengan 'membeli' tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat dianggap sebagai igauan di siang hari.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin berkata, bagi mencapai hasrat tersebut mereka dikatakan sanggup membeli wakil rakyat Pakatan Rakyat sehingga RM30 juta seorang.

Katanya, walaupun Umno menawar harga yang tinggi, namun semua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak memberi jaminan tidak akan menerima tawaran tersebut sebaliknya akan terus kekal dengan kerajaan sekarang.

Oleh itu dakwaan bekas Menteri Besar Perak Dato’ Seri Tajul Rosli Ghazali yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Perak akan tumbang 31 Ogos ini hanyalah gimik politik semata-mata.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ceramahnya di Dewan Haji Salleh, Pekan Alor Lintah, baru-baru ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kini mempunyai 59 ahli di mana 28 Umno, 18 DAP, 7 PKR dan 6 PAS.

Beliau juga mengakui pelantikannya sebagai Menteri Besar merupakan satu keajaiban yang telah ditentukan oleh Allah Taala.

"Walaupun PAS hanya memenangi 6 kerusi Dun berbanding DAP sebanyak 18 dan Parti Keadilan Rakyat 7, namun semua pemimpin parti dalam Pakatan serta baginda Sultan bersetuju melantik Adun PAS sebagai menteri besar.

"Kita telah memberitahu rakyat Perak, Allah Taala telah menurunkan rahmatNya ke atas negeri itu dengan menubuhkan kerajaan melalui kesepakatan di antara pemimpin PAS, DAP dan PKR," katanya.

Beliau juga berkata, walaupun Perak merupakan kerajaan berbilang bangsa atau parti, namun pemimpin DAP boleh menerima program keislaman yang dilaksanakan.

Sebagai contoh Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham menanyakan berapa ganjaran yang diberikan kepada qari dan qariah Perak yang berjaya menjadi johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kedah, baru-baru.

"Saya mencadangkan kita beri RM1,000 seorang dan Dato’ Ngeh pula cadangkan kerajaan negeri memberi RM10,000 seperti diberi kerajaaan Pusat," katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak yang tidak boleh menerima kerajaan sekarang hanyalah pemimpin Umno yang diketuai Tajul Rosli. - mj _
Lantik peguam – Idris Nak saman kerajaan atau hadapi semua pendakwaan ?
SM NOOR


Tindakan Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh yang dikatakan melantik seorang peguam bagi pihak beliau menimbulkan pelbagai tandatanya.

Tidak dapat dipastikan, samada tindakan itu adalah persediaan untuk menyaman kerajaan negeri, atau Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said atau persediaan menghadapi penyiasatan yang akan dijalankan keatas kejohanan perahu layar Piala Monsun.

Bagaimana pun Pegawai Khas Idris, Kamarulazman Idris berkata pelantikan peguam tersebut adalah untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakannya.

Utusan Online melaporkan, Ahmad Said pada Rabu lalu mengedarkan senarai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive di kalangan anggota Exco Terengganu dengan perbelanjaan paling tinggi melibatkan kereta yang pernah dipakai Idris berjumlah RM235,123.08, satu jumlah tertinggi di kalangan anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mokhtar Nong mengakui berlaku kesilapan daripada segi pengiraan iaitu kos sebenar penyenggaraan kereta itu adalah RM131.449.83.

Kamarulzaman berkata, tindakan Ahmad mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat boleh menjejaskan reputasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu.

Menurutnya, kejadian itu menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri sekarang tergesa-gesa membuat kenyataan tanpa memikirkan kesan tindakan tersebut walaupun kemudian ia membuat permohonan maaf.

''Rakyat Terengganu seolah-olah dikelirukan dengan tuduhan bahawa Idris yang merupakan Menteri Besar ketika itu bersalah kerana mempunyai rekod penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive yang paling tinggi," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kamarulazman berkata, isu itu tidak perlu dipolitikkan kerana ia hanya akan menjatuhkan imej dan karier politik Idris yang ketika ini tidak berpeluang untuk menjawabnya.

Kamarulazman memberitahu, keadaan yang berlaku telah meninggalkan kesan mendalam kepada bekas Menteri Besar itu yang kini mengikuti satu kursus selama sebulan di Perancis dan dijangka pulang ke tanah air pada 8 Ogos ini.

''Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meminta maaf kepada Idris di atas kesilapan yang berlaku," ujarnya.

Sementara itu, semalam Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kini boleh menjalankan penyiasatan ke atas penganjuran kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong.

Abdullah berkata jika sekiranya BPR mendapati ada sebab-sebabnya yang perlu BPR membuat siasatan mengenainya kerana diragui atau disyak ada unsure-unsur yang berkaitan dengan rasuah, terserah kepada BPR (untuk) menentukan.

Kejohanan Piala Monsun adalah program yang dikatakan menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP), nama lain bagi wang roayalti minyak.

Piala Monsun menjadi program ‘benchmark’ dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu semasa dibawah pentadbiran Idris.

Kejohanan yang dikatakan bertaraf dunia itu telah sekian lama mengundang kontroversi kerana tiada satu laporan atau penyata rasmi berkaitan perbelanjaan dan untung rugi yang dikeluarkan berkaitan penganjuran sukan tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad juga pernah mempersoalkan penganjuran tersebut yang beliau katakan sebagai “tidak tahu menahu tentang perbelanjaan” penganjuran kejohanan itu.

Laporan Audit Negara 2007 juga ada mendedahkan bahawa akaun amanah monsun cup tidak lengkap dimana tidak dinyatakan sumber-sumber pendapatan dan butiran perbelanjaannya dengan jelas.

Mei lalu, Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan wang royalti dan telah membuat laporan polis dan BPR.

Pengerusinya Mohd Fauzi Abu Samah, berkata keraguan timbul selepas beberapa akhbar melaporkan bahawa kedua-dua Menteri Besar dan bekas Menteri Besar Terengganu tidak tahu kemana perginya wang royalti tersebut.

BPR telah membuat siasatan, ekoran pendedahan kos senggaraan ‘yang tidak munasabah’ Proton Perdana V6 Executive di kalangan anggota Exco Terengganu.
Anwar perlu bertanding pilihan raya kecil - Husam
Siasah Daily


KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, langkah seterusnya bagi Pakatan Rakyat ialah bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat bertanding di dalam pilihanraya kecil dan dari situ, sikap UMNO boleh diukur nanti.

“Kemenangan Datuk Seri Anwar boleh menggugat Abdullah dan UMNO. Untuk itu, lebih baik UMNO menguruskan kusut masai parti mereka tanpa melibatkan orang lain,” kata beliau dalam kenyataan terbarunya sebagaimana yang disiarkan dalam blog beliau http://www.husammusa.com/.,

Beliau juga meminta Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib agar menumpukan perhatian menyelamatkan partinya yang sedang menuju kehancuran tanpa cuba menggunakan parti lain untuk membantunya.

“Kerajaan UMNO yang mereput tidak boleh diselamatkan dengan gimmick seperti itu,” kata Husam mengulas kenyataan Muhamad kononnya muzakarah Umno dengan PAS akan diteruskan.

Padahal, Majlis Syura Ulamak PAS telah memutuskan fail muzakarah sudah tutup yang ada hanya pertemuan biasa sahaja boleh dilakukan iaitu muqabalah.
Pemimpin politik boleh masuk IPTA
Oleh Mohamed Farid Noh


BANGI: Pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dalam proses bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini, diluluskan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa.

Beliau berkata, pindaan yang sudah diluluskan Kabinet itu, masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik, tetapi mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik.

Katanya, pindaan itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif dan kebebasan dalam mencapai tahap kecemerlangan.

"Terserah kepada mahasiswa atau pihak universiti jika hendak menjemput pemimpin pembangkang. Apakah maknanya seorang pelajar universiti jika mereka hanya dibenarkan jemput satu pihak saja.

"Kalau tidak dibenarkan pun mahasiswa boleh mengakses laman web, jadi lebih baik kerajaan benarkan dalam keadaan terpelihara, terkawal. Kita berada dalam dunia maklumat, setakat penguasaan ilmu saja tidak cukup kerana mahasiswa mesti ada 'talent' serta pemikiran yang tajam.

"Soalnya bukan hendak jemput parti politik kerajaan saja. Misalnya, jika mahasiswa mahu mendapatkan pandangan mengenai krisis minyak dunia dan kebetulan penceramah yang dijemput adalah daripada parti politik termasuk pembangkang, pindaan AUKU itu akan membenarkannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam.

Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, pindaan AUKU itu dibuat bagi membolehkan mahasiswa membuat keputusan dan menentukan sendiri perkara yang baik dan buruk untuk mereka.

Mohamed Khaled berkata, melalui pindaan AUKU itu juga, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah.

"Jika dulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti.

"Tetapi tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak tertakluk pada undang-undang negara. Jika mereka buat kesalahan mengikut Kanun Keseksaan mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang negara. Contohnya, jika seseorang mahasiswa terbabit dalam demonstrasi tanpa permit, maknanya tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pindaan baru AUKU juga membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung oleh pihak universiti untuk mengambil peperiksaan.
Za'abar langgar arahan Perdana Menteri
The Star Online


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya, Seni dan Warisan Negeri Terengganu, Dato’ Za’abar Mohd Adib melanggar arahan Perdana Menteri,apabila menghadiri Pesta Bunga Malaysia pertama di Johor Bharu dengan Mercedes baru, hari ini.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam membuat keputusan kerajaan Terengganu tetap tidak dibenarkan menggunakan Mercedes yang menjadi kontroversi tersebut dan kereta itu hanya akan menjadi kereta tetamu.

“Saya rasa isu itu sudah jadi berlebih-lebih,” kata Za'abar apabila ditemui selepas menghadiri acara tersebut diatas.

Beliau berkata dia akan menyerahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said untuk membuat sebarang keputusan.

Bila ditanya, bahawa tindakannya itu dianggap melanggar aarahan Perdana Menteri, beliau menjadi itu bukan maksudnya, walaupun pasti beliau tahu tentang arahan tersebut.

“Saya rasa isu tersebut akan dibincang dalam mesyuarat exco sekali lagi Rabu depan,” katanya -
(Dikemas kini)

Anwar umum kerusi Parlimen ditandingi minggu depan?
Oleh NURUL AIN HUSSEIN


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah pertengahan minggu ini, malam ini melahirkan minat untuk mencuba nasib di kawasan Bandar Tun Razak di sini.

Selari dengan pengumuman itu, Anwar juga berkata, pihaknya masih yakin akan membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September ini.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau hanya akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya minggu depan.

Kira-kira 2,000 orang membanjiri kawasan Masjid Isaniah, Bandar Tun Razak untuk mendengar ucapan Anwar malam ini - sebahagian daripada siri jelajah beliau ke seluruh negara sejak isu meliwat timbul sebulan lalu.

Mengenai nama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut akan menyertai Pakatan Rakyat, Anwar berkata, ia akan diumumkan sebaik sahaja beliau menang kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil.

Pertengahan minggu ini, tumpuan Anwar menjurus ke arah bahagian Kulim-Bandar Baharu sebagai kerusi yang bakal ditandinginya.

Anwar mendedahkan beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan penyandang kerusi berkenaan, Zulkifli Noordin.

“Saya dah berbincang dengan Zulkifli dan beliau maklumkan bersedia untuk memberi laluan kepada saya jika pilihan raya kecil diadakan,” kata beliau.

Anwar yang memperoleh lampu hijau untuk aktif berpolitik dua bulan lalu memberitahu, beliau sudah berbincang dengan pemimpin PKR, Pas dan DAP bagi sebarang kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil yang pengumumannya ditangguhkan oleh mahkamah sehingga 16 Ogos ini.

Pada 26 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang kalah kepada Zulkifli dengan perbezaan 5,583 undi memfailkan petisyen mendakwa Zulkifli kerana gagal mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya pilihan raya umum ke-11.