PERBAHASAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
ke-11 membuka ruang untuk saya mengetengahkan suara dan harapan rakyat
Terengganu khususnya dari kawasan Parlimen Setiu yang saya wakili.
Perbahasan saya tertumpu kepada empat perkara utama iaitu: (i) kekangan
rakyat Setiu; (ii) pembangunan luar bandar; (iii) jurang dua golongan;
(iv) dan keseimbangan alam sekitar.Pertamanya, kekangan rakyat Setiu
merupakan keutamaan saya. Aduan serta harapan rakyat Setiu dibawa ke
Peringkat Kerajaan Persekutuan yang merupakan salah satu langkah bagi
mencapai segala harapan rakyat.Hasil daripada program bersama rakyat
baru-baru ini, saya berjaya mengumpul pelbagai aduan dan masalah rakyat
untuk diketengahkan. Antara isu yang berjaya diangkat ialah, masalah air
di Setiu, bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya mencadangkan supaya
disegerakan kelulusan projek pemasangan paip utama oleh Kerajaan
Persekutuuan di mana kertas kerja telah pun disediakan oleh Syarikat Air
Terengganu Sdn Bhd (SATU) dengan anggaran kos 4.76 juta.Isu kemudahan kesihatan yang berkait
rapat dengan nyawa rakyat harus dipandang serius oleh Kerajaan. Oleh
itu, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Rhu 10 diutarakan bagi
memudahkan rakyat mendapat kemudahan rawatan dan penambahbaikkan Klinik
Kesihatan Jabi yang semakin tidak mampu menampung jumlah rakyat seramai
35,000 dengan jumlah keluasan Klinik Kesihatan Jabi hanyalah 520 kaki
persegi.Seterusnya, pembangunan luar bandar
adalah merupakan sebahagian daripada strategi yang penting untuk memupuk
satu sistem ekonomi yang bersepadu. Oleh itu, saya mencadangkan agar
aspek peluang pekerjaan anak-anak luar bandar seharusnya diberi
penekanan daripada pihak kementerian agar perpindahan penduduk ke bandar
dapat dielakkan bagi mengurangkan jurang antara luar bandar dan bandar.Selain itu, saya juga menekankan isu
jurang antara dua golongan iaitu golongan T20 dan B40 yang semakin
ketara. Kerajaan seharusnya mengaplikasikan cadangan yang dibawa oleh
PAS iaitu memperkenalkan cukai korporat agar harta kekayaan tidak hanya
berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja. Golongan B40 seharusnya dapat
merasai kekayaan golongan T20. Dengan ini, konsep keadilan dan
kesejahteraan di antara rakyat dapat dirasai oleh semua rakyat.Kerajaan juga perlu memberi penekanan
terhadap keseimbangan alam sekitar. Saya telah memberi cadangan agar
kerajaan meningkatkan usaha dalam penggunaan kereta hybrid agar
pelepasan karbon yang akan mencemarkan alam sekitar dapat dikurangkan.
Manakala isu yang berkait rapat dengan rakyat Setiu iaitu hakisan yang
melanda persisiran pantai Batu Rakit, kecetekan muara Sungai Merang ,
jalan di Kg Bukit Aman sehingga Kg Sungai Las , masalah pendapatan
peneroka FELDA juga menjadi tajuk yang dilaungkan di dalam perbahasan.Akhirnya, saya menggesa pihak kerajaan
agar menunaikan segala harapan rakyat dan tidak semata-mata menabur
janji manis kepada rakyat serta tidak sama sekali menganaktirikan
mana-mana negeri terutama daerah Setiu.Rakyat meletakkan harapan yang tinggi
untuk melihat perubahan kerajaan baru dan tidak lagi mengulangi
kesilapan kerajaan Barisan Nasional. Saya juga berharap Kerajaan
Persekutuan dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri walaupun berlainan
parti politik demi menjaga kepentingan rakyat dan negara.’Islam Memimpin’YB SHAHARIZUKIRNAIN ABD KADIR, Ahli Parlimen Setiu - HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) tidak melakukan sebarang urus janji dengan anggota Parlimen
dari UMNO, termasuk menawarkan kepada mereka wang untuk melompat parti.
Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu, malahan berkata, “kami
telah menetapkan bahawa untuk menyertai Bersatu, mereka hendaklah
meninggalkan UMNO, menjadi anggota bebas untuk satu tempoh dan hanya
selepas itu boleh memohon menjadi anggota parti kami”.
“Sekiranya didapati sebarang elemen rasuah dalam perkara ini, anda
disambut baik untuk melaporkannya dan kita akan ambil tindakan. Setakat
ini, tiada melibatkan wang,” kata Dr Mahathir bila ditanya sama ada
terdapat elemen rasuah apabila pemimpin UMNO melompat ke Bersatu atau
berhasrat berbuat demikian.
Dr Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di sini, hari ini.
Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed Mustapa menyertai
Bersatu pada 26 Okt, selepas bertindak keluar dari UMNO pada 18 Sept.
Kira-kira 40 anggota UMNO dikatakan bertemu Dr Mahathir dan Presiden
Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan hasrat mereka untuk
menyertai parti berkenaan.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan bahawa proses untuk menerima pemimpin lain UMNO tidaklah semudah itu.
“Contohnya, Tok Pa adalah anggota bebas untuk beberapa tempoh sebelum permohonan beliau diluluskan,” katanya.
Dr Mahathir juga menafikan dakwaan bahawa terdapat perbincangan
berhubung tindakan 40 anggota Parlimen UMNO yang didakwa berhasrat
menyertai Bersatu.
Beliau berkata, kepimpinan Bersatu belum memasuki sebarang fasa
perbincangan dengan anggota UMNO yang berhasrat menyertai Bersatu.
Bersatu belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai sama ada
menerima atau tidak anggota UMNO yang berhasrat menyertai parti itu.–
Bernama
KUALA KANGSAR: Pihak yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tidak mempunyai imuniti atau kebal daripada didakwa jika terlibat rasuah.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
(Pencegahan) Ahmad Shukri Mohamad Taib menegaskan pihaknya tidak akan
berkompromi terhadap sesiapa saja termasuk kakitangan awam yang
melakukan kesalahan tersebut.
“Tidak semestinya apabila seseorang itu menandatangani IBR mereka
tidak boleh disiasat dan didakwa. Tidak ada imunisasi atau kekebalan
pada IBR. Kita akan siasat apabila ada laporan mengenai rasuah,”
katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani IBR
membabitkan 25 anggota Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan 20
pegawai MPKK di sini, hari ini.
MPKK menjadi majlis perbandaran yang ketiga di Perak menandatangani
IBR selepas Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Perbandaran Taiping.
Selain itu, Ahmad Shukri berkata SPRM negeri Perak mengambil
pendekatan untuk memberi penerangan kepada pelajar sekolah tentang
bahaya rasuah.
Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan dua program iaitu Sahabat
Celik dan Wira Anti Rasuah di tiga buah sekolah di Perak tahun ini.
Sementara itu, Yang Dipertua MPKK Datuk Shahrom Abd Malik berkata
pihaknya bercadang menambah lot parkir di dua jalan di bandar ini iaitu
Jalan Daeng Selili dan Jalan Raja Chulan di sini tidak lama lagi.
Beliau berkata penambahan lot itu membabitkan hampir 300 lot parkir
bertujuan mengelak kesesakan dan memastikan pengguna tidak meletakkan
kenderaan sesuka hati.
Selain itu, Shahrom berkata seramai 7,000 peserta akan menyertai
larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang akan diadakan pada 11
Nov ini di sini.
Katanya larian sejauh 15 kilometer itu akan menampilkan kelainan
berbanding sebelum ini apabila penganjur menggunakan beberapa laluan
baharu seperti melalui kawasan kampung, sawah, kebun kelapa sawit,
Sayong dan persisiran Sungai Perak.– Bernama
KUALA LUMPUR - "Anggaran jumlah 310,000 orang gay dalam negara masih
belum dimuktamadkan Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Penolong
Pengarah (Kanan) Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan
Kebajikan Islam (Jakim) Dr Mohd Izwan Md Yusof.
Beliau berkata bagaimanapun Jakim akan terus komited memberikan
penerangan dan bimbingan terhadap komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan
Transeksual (LGBT) terutamanya golongan gay yang ingin kembali ke
pangkal jalan.
"Pintu sentiasa terbuka di Jakim untuk golongan LGBT terutamanya
golongan gay bagi mendapatkan bimbingan kerana seseorang yang dilabel
sebagai gay tidak semestinya suka terhadap hubungan sesama jenis,”
katanya dalam satu kenyataan yang diterima menerusi aplikasi Whatsapp di
sini hari ini.
Katanya, gay menurut definisi adalah seorang lelaki yang tertarik
kepada sesama sejenis dari sudut seksual, jadi tidak adil jika
dilabelkan mereka suka terhadap seks sesama lelaki kerana mungkin mereka
hanya tertarik dari sudut romantik atau bentuk fizikal lelaki lain
sahaja.
"Justeru Jakim komited untuk mendidik mereka melalui program berbentuk
seminar dan mukhayyam (perkhemahan) supaya kita dapat memantapkan
kerohanian mereka," katanya.
Katanya, Jakim turut menyeru masyarakat untuk sama-sama mengukuhkan
institusi kekeluargaan dan pemantauan perilaku anak-anak perlu dilakukan
secara berterusan di samping memberikan pendidikan agama sebaik
mungkin.
Semalam Jakim yang mendedahkan ada kira-kira 310,000 golongan gay tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.
Isu berkenaan didedahkan menerusi seminar kesedaran mengenai lesbian,
gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Jaim di Pulau Pinang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
mendakwa tidak semua golongan gay dan transgender dalam negara terbabit
dalam hubungan songsang.
Beliau dipetik sebagai berkata, masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan rekod yang didedahkan Jakim.
Mujahid berkata seminar berkenaan antara lain bertujuan memberi
penerangan kepada orang ramai, sekali gus menangani isu itu secara
proaktif. –Bernama
KUALA LUMPUR:
Langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori masih belum
dibincangkan di peringkat Kabinet setakat ini, kata Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.
Beliau berkata kerajaan masih menunggu maklum balas dan penelitian
menyeluruh daripada Jabatan Peguam Negara sebelum ia dibawa ke Kabinet
untuk tindakan lanjut.
“Pada ketika ini prosesnya masih di Jabatan peguam Negara (AGC).
Masih belum di peringkat Kabinet lagi. Tentang berapa lama proses ini
akan ambil masa… saya harap ia selesai menjelang bulan depan, diharapkan
selepas pembentangan belanjawan (Belanjawan 2019),” katanya kepada
pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Liew berkata beliau telah diarahkan untuk mengeluarkan moratarium
kepada pihak Lembaga Pengampunan supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman
mati kepada semua pesalah yang menunggu hukuman gantung.
Terdahulu, ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan
Malaysia ke-11 untuk kementeriannya, Liew berkata kerajaan tidak
tergesa-gesa untuk memansuhkan hukuman mati.
Beliau berkata kerajaan akan meneliti semua pandangan dan membuat
kajian menyeluruh bagi cadangan pemansuhan hukuman mati yang melibatkan
32 kesalahan di dalam lapan akta berkenaan.
Liew berkata kerajaan telah menjalankan satu kajian berhubung
pemansuhan hukuman berkenaan yang dilaksanakan I-CeLLS, organisasi di
bawah naungan Jabatan Peguam Negara, yang turut melibatkan pakar
terulung dunia dari University of Oxford, Profesor Roger Hood sebagai
perunding kajian berkenaan.
“Kerajaan terdahulu telah jalankan kajian, kalau saya tidak silap
pada 2013, tapi pada masa itu kerajaan mungkin kurang iltizam politik
untuk mansuhkan hukuman mati sama sekali,” katanya.
Beliau menjawab celahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam)
yang menasihatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa dalam memansuhkan
hukuman berkenaan.– Bernama
KUALA LUMPUR:
Anggota Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan
usahanya untuk membantu kerajaan bagi mencari serta membawa pulang Low
Taek Jho atau Jho Low adalah kerana ingin mengelak daripada disiasat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Menteri Pertahananan itu berkata jika benar beliau dikaitkan
dengan apa-apa kesalahan rasuah, sudah tentu pihak SPRM akan melakukan
siasatan dan mendakwanya.
“Apa yang SPRM ada terhadap saya? … saya tak lakukan rasuah, jika ada
dakwaan nak siasat SPRM sampai hari ini tak ada panggil saya.
“Saya dalam hal ini (rasuah) tak terlibat, kalau orang nak cakap saya
takut dengan SPRM biar SPRM sendiri dedahkan (kes rasuah),” katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Hishammuddin ditanya mengenai cakap-cakap bahawa usahanya membantu
Putrajaya mengesan Jho Low bertujuan untuk tidak dikenakan sebarang
tindakan siasatan SPRM.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dirinya adalah antara 40 nama
Anggota Parlimen UMNO yang dikatakan akan melompat parti untuk menyertai
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Saya dah nyatakan beberapa kali saya tak akan keluar parti… orang
putih kata ‘action speaks louder than words’… mana ada saya keluar
parti,” katanya.
Sementara itu, menyentuh tentang pembentangan Belanjawan 2019 pada
Jumaat ini, Hishammuddin berharap Kementerian Pertahanan di bawah
kerajaan baharu dapat meneruskan aspek keprihatinan dan kebajikan yang
dilakukan kerajaan terdahulu.– Bernama
Khalid
menunjukkan dokuman laporan Task Force yang membuat syor-syor dalam isu
tanah DBKL. Task Force ini berjaya tambahkan RM149 juta ke dalam akaun
DBKL.
Politik,
bukan sekadar pecaturan yang bercorak strategik. Di mana yang menang
akan mendapat seribu satu habuan; justeru yang kalah pula akan terus
dipinggirkan.
Sebenarnya, berjaya ataupun gagalnya karier seseorang ahli politik
terletak pada keberkesanan mereka dalam mengutarakan hujah-hujah beliau,
merangka tindakan dan mempastikan keberkesanan tugas mereka.
Dari ketiga-tiga segi ini, Khalid Samad, sebagai Menteri Wilayah telah mempamerkan ciri ciri ini dengan jayanya.
Pertamanya, Khalid Samad telah berjaya mendemokrasikan semula
institusi pentadbiran di ibu negara Kuala Lumpur apabila beliau
melibatkan semua wakil yang dipilih rakyat ke dalam sistem
pentadbirannya, sebaik sahaja beliau dilantik sebagai menteri.
Ia adalah sejarah besar setelah sekian lama wakil-wakil rakyat ini
terpinggir walaupun kumpulan mereka adalah majoriti di Wilayah.
Majlis Menteri Wilayah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 20
Julai 2018, di Menara DBKL, 18 hari selepas Khalid mengangkat sumpah
secara rasmi sebagai menteri.
Melalui Majlis Menteri, kesemua 11 ahli parlimen di Kuala Lumpur
duduk bersama para pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
untuk berbincang dan memutuskan segala urusan di ibu negara itu.
Ia satu format baru pentadbiran DBKL. Kalau selama ini DBKL hanya
dipandu oleh Lembaga Penasihat yang dilantik oleh menteri, kini DBKL
dipandu oleh wakil yang dipilih oleh rakyat.
Ini merupakan satu langkah yang bijak, malah tepat pada masanya,
memandangkan betapa penting-nya semua pihak boleh saling memahami segala
atur-langkah pembangunan Wilayah Persekutuan.
Walaupun jawatan kuasa sebelas orang ini tidak boleh menyelesaikan
segala hal remeh temeh dan isu-isu pembangunan, namun margin kesalahan
proses ini boleh terus disempitkan menerusi perbincangan yang
bertunaskan demokrasi.
Tiga kejayaan besar dalam 100 hari pertama Khalid sebagai Menteri Wilayah.
PELAN TEMPATAN KUALA LUMPUR 2020
Serentak dengan kejayaan yang pertama itu, Khalid sebagai Menteri
Wilayah telah membuat keputusan untuk menggezetkan Plan Tempatan Kuala
Lumpur 2020 yang telah disiapkan lebih 18 tahun lalu.
Ia tidak pernah digezetkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan
untuk mengkaji dan membuatnya — semata-mata kerana bimbang plan itu
mengikat keputusan yang hendak dibuat kemudian.
Bagi Khalid, langkah menggezetkan plan ini penting untuk mempastikan
pembangunan Kuala Lumpur berjalan sebagaimana dirancang bukan ikut
kehendak semasa sahaja.
Insya Allah plan ini akan digezetkan menjelang akhir tahun ini selepas segala prosedur yang diperlukan dipenuhi.
Selepas kedua-duanya berjalan, Khalid memasuki fasal penting dalam
masa-masa awal kerier beliau sebagai Menteri Wilayah — mengendalikan isu
penjualan tanah oleh DBKL yang menjadi isu utama menjelang pilihan raya
umum ke 14 lalu.
Ketika itu ahli parlimen DAP telah membuat laporan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku salah guna kuasa dan
rasuah dalam penjualan 64 lot tanah di Kuala Lumpur.
Langkah pertama yang dibuat Khalid adalah meminta SPRM membuat kajian segera mengenainya.
Serentak dengan itu juga, Khalid menubuhkan satu Task Force (Pasukan
Petugas) untuk mengkaji isu ini secara mendalam bagi pihak beliau
sendiri sebagai menteri. Task Force ini terdiri dari pegawai pejabat
beliau, pegawai Kementerian Wilayah dan pegawai dari DBKL sendiri.
Pasukan Task Force yang membawa RM149 juta untuk DBKL selepas penjualan tanah ibu kota itu dirunding semula oleh mereka.
Perkara pertama yang mereka temui adalah bukan 64, tetapi 97 transaksi penjualan tanah berlaku di bawah DBKL.
Selepas bermesyuarat secara marathon, Pasukan Petugas ini telah
membuat pelbagai penemuan dan langkah yang sangat bermakna untuk negara.
Dan yang paling penting adalah berjaya menambahkan RM149 juta untuk
DBKL hasil traksaksi tanah itu selepas rundingan semula dibuat dengan
para pembelinya.
RM149 juta bukan satu nilai yang kecil dan ia diperolehi hanya dengan
merundingkan semula dengan pembelinya. Entah apa yang berlaku dalam
pentadbiran sebelum ini sehingga tanah-tanah itu dijual dengan harga
yang murah dalam 97 transaksi itu.
Untuk tahun depan, Khalid mula merangka plan untuk kementeriannya.
Yang bakal menjadi tumpuan adalah menangani masalah kesesakan di ibu
kota dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, memberikan
tumpuan kepada kebajikan untuk miskin bandar dan pelan kebajikan untuk
semua warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menjelang akhir tahun 2018 ini beliau mahu semua sekolah tahfiz di
ibu kota didaftarkan. Ia bertujuan untuk membolehkan kerajaan
mengenalpasti kewujudan mereka dan seterusnya dapat membantu mereka.
Karier politik seseorang ahli parlimen memang penuh dengan ranjau di
sepanjang jalan. Khalid Samad akan terus menempuhi-nya. Namun bukan
mudah juga untuk membuka langkah-langkah yang boleh mendatangkan
pelbagai manfaat untuk penduduknya.
Khalid Samad harus digalakkan untuk terus menggunakan pelbagai cara
baru untuk meningkatkan tahap kemajuan kementeriannya dan seterusnya
memberi manafaat kepada seluruh negara. Syabas.
Ketua Umno Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman memeluk pimpinan Pas Pasir Salak dalam pertemuan mahabbah itu.
Kerjasama
antara Pas dengan Umno kini bergerak ke akar umbi pula dengan majlis
kunjung mengunjung berlaku antara kepimpinan kedua-dua parti peringkat
kawasan selepas mendapat isyarat di peringkat pusat.
Pada 27 Oktober 2018, jam 11.00 pagi, perjumpaan mahabbah antara
kepimpinan Umno Bahagian Pasir Salak bersama Pas Kawasan Pasir Salak
berlaku di kediaman Ahli Parlimen kawasan berkenaan, di Kampong Gajah.
“Beberapa inisiatif telah dicadangkan bagi memulakan kerjasama
politik antara Umno dan Pas bagi memastikan kesucian agama Islam dan
bangsa Melayu.
“Satu perkembangan positif bagi warga Pasir Salak,” lapor Umno Pasir Salak melalui facebook mereka hari ini.
Dalam majlis itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berpelukan dengan Yang Dipertua Pas Pasir Salak.
Turut serta dalam kunjungan itu adalah para pemimpin Muslimat Pas Kawasan bertemu dengan para pemimpin Wanita Umno Bahagian.
Pemimpin Muslimat Pas kawasan bertemu dengan Wanita Umno Bahagian Pasir Salak dalam pertemuan ini.
Di peringkat pusat, hubungan antara kedua-dua parti mencapai puncak
apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinannya
menyertai Muktamar Pas.
Ia dibalas oleh kunjungan kepimpinan Pas ke Mesyuarat Agung Umno
(PAU) 2018 di Kuala Lumpur. Turut datang ke PAU 2018 adalah kepimpinan
Muslimat dan Pemuda Pas.
Sebelum ini, Pas sentiasa sahaja menafikan hubungan mereka dengan Umno kerana parti Melayu itu dianggap sebagai musuh mereka.
Namun sejak Pas dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang hubungan ketara berlaku antara kedua-dua parti itu.
KOTA KINABALU - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli membatalkan
beberapa projek di bawah kerajaan sebelum ini apabila didapati
dijalankan tanpa tender terbuka.
Menterinya Dr Xavier Jayakumar berkata sebanyak 95 peratus kontrak di
bawah kementerian itu sebelum ini menggunakan kaedah tender terhad dan
rundingan secara terus dalam projek yang terlibat.
“Sebab itulah di Sabah, kementerian telah membatalkan kontrak yang
terlibat dan membuka semula untuk tender terbuka,” katanya pada sidang
media, di sini hari ini.
Beliau berkata pembatalan itu melibatkan beberapa projek bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci projek yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau berkata menjelang pembentangan Belanjawan 2019
pada Jumaat ini, kementerian itu telah menghantar senarai projek
pembangunan termasuk di Sabah.
“Memang ada peruntukan untuk Sabah kerana banyak infrastruktur yang
perlu dimajukan di negeri ini khususnya berkaitan dengan air yang
dikendalikan di bawah kementerian ini,” katanya. –Bernama
Tetamu
jemputan bergambar kenangan ketika hadir ke Institut Pendidikan Guru
(IPG) Kampus Sultan Abdul Halim Sungai Petani bagi menjayakan program
berkenaan.
SUNGAI PETANI – Seramai 40 pelajar sekolah menengah dikesan terlibat
jenayah bermula Januari hingga Oktober 2018 di mana lapan daripadanya
berumur 13 hingga 15 tahun dan selebihnya berumur 16 hingga 18 tahun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, bagi statistik
kesalahan dadah pula, seramai 17 pelajar ditahan atas pelbagai kesalahan
jenayah narkotik bagi tempoh Januari hingga September 2018 seperti
memiliki dadah dan positif ujian air kencing.
'Walaupun angka berkenan agak kecil namun sekiranya tidak ditanggani
segera, jumlah berkenaan boleh meningkat sekaligus merosakkan institusi
pendidikan negara,” katanya kepada media ketika merasmikan Program
Kepolisian Komuniti bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus
Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
Menurutnya, antara kes jenayah membabitkan pelajar termasuklah gangsterisme, pergaduhan dan curi motosikal.
“Gangsterisme di Kedah bukanlah ketara kerana ada satu, dua sekolah
sahaja dipantau termasuk di Sungai Petani dan Kulim berkaitan cubaan
pelajar nak masuk kumpulan itu,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, katanya, penganjuran Program MyIndah 19
yang menyasarkan 19 buah sekolah menengah antara kolaborasi Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Agensi Antidadah
Kebangsaan (AADK) menunjukkan kejayaan memberangsangkan.
“Kita mula Program MyIndah 19 sejak 2016 dan memang ketara
penurunannya. Sebenarnya kita mengesan dalam 60 sekolah terlibat tetapi
selepas dikenal pasti, ada 19 sekolah sahaja lagi yang tinggal.
“Objektif utama ialah memulihkan disiplin pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau menjelaskan, Program MyIndah 19 dilaksanakan melalui ujian
saringan air kencing ke atas pelajar yang dikesan terlibat dalam
penyalahgunaan dadah.
“Selepas itu, kita bersemuka dengan ibu bapa dengan bantuan AADK, guru
dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk memberi pendedahan kepada
keluarga, kadang-kadang mereka tidak diberi pendedahan berkaitan
penglibatan anak-anak dalam dadah,” katanya.
Beliau bagaimanapun menafikan wujudnya penglibatan pelajar dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.
Katanya, terdapat pelbagai faktor yang mendorong pelajar terlibat
jenayah termasuk faktor persekitaran yang terpengaruh dengan kumpulan
samseng dan kongsi gelap selain inginkan perhatian dan kemewahan,
kurang perhatian kawalan keluarga dan kasih sayang.
“Pengaruh desakan oleh kumpulan rakan dalam mengejar kemewahan hidup
dengan mengamalkan gaya hidup mewah telah mendorong pelajar melakukan
perkara tidak sepatutnya seperti kecurian, pecah rumah, ragut dan samun.
“Mereka yang terlibat dalam kecurian kenderaan khususnya motosikal
bertujuan untuk berseronok serta mendapatkan alat ganti yang tidak mampu
dibeli untuk aktiviti merempit,” katanya.
Dalam majlis sama, warga IPG dan peserta yang terdiri daripada pelajar
sekolah dipersembahkan dengan pertunjukkan T Baton dan demonstrasi K9
oleh pasukan PDRM.
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mempersoalkan perbezaan kerajaan dahulu dengan kerajaan PH hari ini
apabila menyentuh sistem pendidikan negara.
Melalui catatan di Facebooknya, Najib berkata, sebelum ini PH
mengatakan kerajaan BN zalim terhadap anak muda. Pendidikan dilaungkan
sepatutnya percuma, PTPTN patut dihapuskan.
“Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif
Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan
terancang,” katanya.
Najib berkata, malangnya, apabila ditanya mengenai janji PH di Dewan
Rakyat petang tadi Menteri Pendidikan , Dr Maszlee Malik menjawab bahawa
tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir
percuma.
“Menteri kata, pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah
percuma. Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya
perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi. Kos 10 peratus itu juga
ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi
PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan
peminjam.
“Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Apa bezanya?
Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN
yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012,”
katanya.
Najib menambah, bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini
berharapan apabila mendengar jawapan rasmi menteri pendidikan PH hari
ini mengenai janji-janji dan hasutan PH dahulu.
PUTRAJAYA - Cuti anggota agensi penyelamat dan pasukan pengurusan
bencana akan dibekukan selama dua bulan bagi menghadapi bencana banjir
monsun Timur Laut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pembekuan cuti itu bermula November.
Norlaile Abd RahmanAhli
Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas
selesai menghadiri Forum Ekonomi Belia 2018 anjuran Perdana Fellows
Alumni Association (PFAA) di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, Kuala
Lumpur. foto AFFAN FAUZI
KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Jelebu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak
bersetuju apabila projek automotif terkini diberi nama projek kereta
nasional.
Jelasnya, meskipun kerajaan berkali-kali menyatakan projek tersebut
akan dijalankan oleh pihak swasta namun apabila digelarkan projek kereta
nasional, ia tidak dapat lari daripada bayangan kerajaan.
“Ford tidak digelar kereta nasional Amerika Syarikat manakala BMW juga tidak dipanggil kereta nasional Jerman.
“Apabila kita panggil kereta nasional, ia tidak boleh lari dari
bermaksud projek tersebut dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan atau
mendapat dana kerajaan mahupun geran daripada kerajaan sama seperti
Proton dahulu.
“Sekiranya projek tersebut dilaksanakan pihak swasta dan dibiayai
sepenuhnya pihak swasta, kita tidak boleh gelarkannya sebagai kereta
nasional,” tegasnya ketika menjadi salah seorang panelis dalam sesi
Agenda Bajet sempena Forum Ekonomi Remaja di sini hari ini.
Menurut Khairy, beliau sangat mengalu-alukan pelaburan dalam bidang automotif di negara ini asalkan ia dipacu oleh pasaran.
Tambahnya, sekiranya projek kereta nasional ketiga itu dilaksanakan
hanya untuk meraih teknologi baharu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu
berpendapat terdapat banyak cara lain yang tersedia pada zaman sekarang
untuk memperolehinya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pelabur-pelabur asing semakin menjauhi Malaysia berikutan ketidakstabilan politik di negara ini.
“Saya ada bertemu dengan ramai pelabur asing dan mereka berkata,
sukar untuk melabur atau meletak aset di Malaysia kerana keadaan politik
yang tidak stabil.
“Kita ada Perdana Menteri yang sudah berusia 93 tahun dan kita tidak
tahu apa yang akan berlaku pada masa dua atau tiga tahun lagi.
“Selama ini pelabur-pelabur asing datang ke Malaysia kerana kita
mempunyai kestabilan politik tetapi saya menjangkakan dalam tempoh 24
sehingga 36 bulan akan datang, kita akan berhadapan tempoh yang sukar,”
katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Khairy tidak bersetuju sekiranya kerajaan
melaksanakan Cukai Keuntungan Modal atau Cukai Kekayaan dalam masa
terdekat.
Jelasnya, pengenalan cukai-cukai baharu itu akan menyebabkan pengeluaran modal dari Malaysia.
“Keadaan ekonomi Malaysia sangat rapuh jadi apabila kita melaksanakan
cukai-cukai tersebut saya bimbang pelabur dan orang kaya akan membawa
wang mereka keluar dari Malaysia.
“Ini bakal memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Khairy yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi atau
Menteri Kewangan bayangan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan
kerangka ekonomi parti berkenaan beberapa hari sebelum pembentangan
Bajet 2019 oleh kerajaan di Parlimen.
Katanya, BN tidak akan membentangkan bajet alternatif pada tahun ini
sebaliknya kerangka ekonomi itu bakal memberi idea atau cadangan yang
boleh dilaksanakan kerajaan. -MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50
kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka
berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur,
Sarawak dan Barat Sabah bermula esok hingga Jumaat, 2 Nov ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang
dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan
pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor
Timur dan Sarawak juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut
yang dijangka berlaku dalam tempoh sama.- BERNAMA
Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto HAZROL ZAINAL,
AMPANG – “Saya pengganggur, saya tiada kapasiti untuk sebarang
menawarkan wang, jawatan dan sebagainya,” kata calon Timbalan Presiden
PKR, Rafizi Ramli.
Beliau menegaskan, akar umbi sangat memahami keadaan beliau yang
bukan lagi bergelar wakil rakyat seperti penggal lalu dan mustahil
individu tidak berjawatan seperti beliau untuk menyogok undi.
“Sebab itu saya tak bimbang sangat asalkan anggota parti faham betul-betul perlunya kita untuk menolak politik wang.
“Keputusan setakat ini menunjukkan ada sambutan yang kuat daripada
anggota bawahan yang menerima mesej saya untuk tolak politik wang dan
tolak jawatan berlebihan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Cempaka hari ini.
Rafiz juga berkata, keputusan pemilihan PKR Perak semalam yang
menyebelah kepada beliau menunjukkan seolah-olah bekas Ahli Parlimen
Pandan itu terlibat dalam politik wang.
“Itu sebenarnya akan membawa kesan yang lebih buruk kepada
pesaing-pesaing saya kerana anggota-anggota PKR di bawah tahu siapa yang
berjawatan dan siapa yang bawa duit,” katanya.
Sementara itu, Rafizi juga mempertahankan calon Naib Presiden PKR,
S.Kesavan yang dituduh terlibat dengan politik wang sehingga satu
laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat ke atasnya.
“Kalau tengok dalam kes YB Kesavan di Sungai Siput ia sebenarnya satu perangkap.
“Ada seorang bertanding jawatan di cabang, seorang ibu pergi berjumpa
dengan beliau merayu untuk mendapatkan wang kerana anak dia kanser,
miskin dan sebagainya.
“Kesavan keluar (cek) pusat khidmat. Siapa pun dengan minda waras
kalau orang nak beli undi, dia tak guna cek pusat khidmat, borang itu
semua ada direkodkan tapi dia (pengadu) tergesa-gesa buat laporan SPRM,”
katanya lagi. – MalaysiaGazette
KUANTAN:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara enam
bulan terhadap seorang penghantar ikan kerana memuatnaik komen menghina
kematian dua anggota polis dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur
(LPT), Selasa lepas.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hannan
Ibrahim, 27, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini,
selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan itu.
Hukuman diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 23 Okt lepas.
Tertuduh yang bertubuh kecil itu didakwa memuatnaik komen menghina
kematian dua anggota polis itu dengan menggunakan akaun Facebooknya
dalam laman Komuniti Kuantan pada pukul 5.30 petang, 23 Okt lalu.
Perbuatan tertuduh yang didakwa dilakukan dengan menggunakan telefon
bimbit jenama Samsung Galaxy J2 Prime miliknya dan dilakukan dengan
tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(i) Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda
maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Mohd Hannan yang tidak diwakili peguam merayu
mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya atas alasan dia hanya
bekerja sebagai penghantar ikan patin dari Pekan ke Temerloh dengan
pendapatan RM1,600 sebulan.
“Saya mohon tempoh penjara yang singkat kerana saya menanggung ibu
bapa dan seorang anak saudara. Emak saya tidak sihat dan saya yang perlu
menjaganya,” katanya yang sempat mengucapkan terima kasih kepada hakim
selepas hukuman dijatuhkan.
Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan
hukuman setimpal ke atas tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran
kepada dirinya dan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam tindakan
mereka dalam laman sosial.
“Tindakan tertuduh yang meninggalkan komen di posting berkaitan
kematian dua anggota polis itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada
warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga mengguris hati keluarga
mangsa,” katanya.
Pada Selasa lepas, dua anggota polis dari cawangan Gerakan IPK
Kuantan, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, dan Konstabel Watson Edin, 23,
maut selepas kereta peronda dinaiki terbabas dan melanggar penghadang
jalan di kilometer 183.4 LPT, dekat Maran.
Mereka dalam operasi mengiringi kenderaan yang membawa kertas soalan
Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan
semasa kejadian berlaku pukul 3.20 petang.– Bernama
KUALA LUMPUR: Belanjawan pertama Pakatan
Harapan yang akan dibentang pada Jumaat ini akan meletakkan Malaysia
pada kedudukan lebih kukuh dan memastikan kemakmuran rakyat dan generasi
akan datang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita sekarang sedang dalam penyusunan semula, ia merupakan sesuatu
yang perlu dilakukan untuk menyediakan keupayaan kita untuk menyerap
kejutan global atau sebarang pergolakan kewangan di hadapan,” katanya
dalam ucaptama pada persidangan tahunan Persekutuan Analisis Teknikal
Antarabangsa 2018 di sini hari ini.
Perdana menteri memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia mampu
menyerap kejutan global dan menembusi cabaran global dan ketidakpastian
melalui dasar-dasar yang akan sentiasa menjadi mesra perniagaan dan
responsif terhadap idea dan cadangan baharu.
Beliau menegaskan bahawa, kerajaan tetap yakin bahawa dasar-dasar
baru akan mewujudkan asas yang lebih kukuh, keseimbangan antara
perbelanjaan berhemat dan memastikan sektor swasta diberi rangsangan
yang kuat.
“Saya juga ingin memberi jaminan kepada para pelabur bahawa sebarang
perubahan dasar tidak akan memudaratkan perniagaan dan usaha mereka,”
katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin.
Menyentuh mengenai pasaran modal di Malaysia, Dr Mahathir berkata
negara juga telah mengalami pelbagai perubahan daripada penyatuan kepada
peraturan dan penyesuaian teknologi baharu dan teknologi yang dinaik
taraf serta pengenalan penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelabur
runcit dan institusi.
Beliau percaya, kecairan yang lebih besar akan memastikan pasaran
modal yang berkembang maju membawa lebih banyak peniaga, pemaju sistem,
ahli strategi pasaran dan lebih banyak pemain.
“Pemain institusi yang tidak mengambil risiko, memerlukan saham modal
yang lebih kecil dan meningkatkan idea penyertaan mereka secara
langsung atau tidak langsung. Pelabur runcit dan peniaga pula perlu
mengasah kemahiran mereka, “katanya.
Menurut beliau , sementara pelaburan jangka panjang adalah kritikal,
perdagangan jangka pendek akan mendorong penyertaan lebih jauh dalam
pasaran dengan itu meningkatkan kecairan keseluruhan dalam pasaran
saham.
Dr Mahathir mengetengahkan bahawa kemahiran perdagangan bukan sahaja
penting kepada kewangan profesional tetapi ia juga sangat relevan kepada
keseluruhan orang awam yang melabur.
“Sekiranya lebih ramai orang mula berdagang dan memahami konsep asas,
mangsa skim cepat kaya akan berkurangan dan bertambahnya jumlah
individu yang celik kewangan akan membina masyarakat yang lebih
berpengetahuan dan negara celik kewangan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dengan semua idea ini, adalah penting untuk
kekal relevan dari segi infrastruktur dan pengetahuan agar dapat
berkembang maju dalam dunia tanpa sempadan.—Bernama
Penyiasatan
menyeluruh mesti dijalankan bagi menentukan sama ada seseorang itu
terlibat dalam kegiatan keganasan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA: Dua orang peguam berkata, perbuatan menyimpan klip
video dan gambar mengenai kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam
telefon bimbit tidak bermakna seseorang itu pengganas.
M Ramachelvam, yang mengetuai Jawatankuasa Reformasi Institusi dan
Undang-undang Majlis Peguam berkata, pesanan Whatsapp, video dan gambar
berkaitan IS, yang kini membolehkan pemiliknya ditahan di bawah Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, tidak secara
automatik membuktikan kesalahan seseorang.
“Penyiasatan menyeluruh mesti dijalankan bagi menentukan sama ada
seseorang itu terlibat dalam kegiatan keganasan. Majlis Peguam
berpendapat Sosma tidak perlu dan perlu ditamatkan,” katanya.
Ramachelvam berkata, kegiatan berkait keganasan sudah pun diliputi di bawah Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan.
Beliau memberi respons tersebut berikutan protes 100 ahli keluarga tahanan Sosma di luar Parlimen minggu lepas.
Ramai mendakwa anggota keluarga mereka ditahan kerana pesanan
Whatsapp, gambar dan video berkaitan keganasan yang disimpan dalam
telefon bimbit.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli, penasihat Desak Sampai Mansuh, sebuah
kumpulan pendesak yang menuntut pemasuhan Sosma berkata, wujud beberapa
pelabelan yang ditakrifkan secara longgar dalam akta tersebut.
Katanya, takrif pengganas atau keganasan tidak seharusnya meliputi
sesiapa yang memiliki gambar atau video yang berkaitan, tetapi perlu
wujud pertimbangan lebih teliti bagi menentukan sama ada seseorang itu
terlibat dengan keganasan atau sebaliknya.
Seorang wanita berumur 59 tahun dari Klang, yang anaknya ditahan di
bawah Sosma pada Mac tahun lepas memberitahu FMT semasa protes
berkenaan, “saya fikir menyimpan gambar atau video yang diperolehi
secara bebas di Internet adalah hak peribadi seseorang. Telefon bimbit
adalah barang milik peribadi.”
Wanita itu yang enggan dikenali, berharap kerajaan akan memansuhkan
Sosma dan membebaskan tahanan yang menurutnya, selalu berhadapan dengan
layanan buruk.
“Mereka tidak sepatutnya dipenjarakan kerana gambar dan video yang ditemui dalam telefon bimbit,” katanya.
Rusni Abdul Razak, 50, berkata, suaminya kini menjalani hukuman
penjara 7 tahun kerana memindahkan wang kepada anak mereka yang berada
di Syria.
“Saya boleh terima kalau suami saya melakukan kesalahan, kalau mereka
mahu menghukumnya sebagai satu amaran kepada orang lain, tetapi hukuman
mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Kemasukan Mustapa ke dalam PPBM akan menambahkan bilangan kerusi Parlimen parti itu sendiri.
PETALING JAYA:Penganalisis politik melihat Ahli Parlimen Jeli Datuk
Seri Mustapa Mohamed sebagai aset besar kepada PPBM selepas
penyertaannya ke dalam parti itu Jumaat lalu.
Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kehadiran Mustapa atau lebih dikenali
sebagai Tok Pa ke dalam PPBM mampu mengukuhkan parti itu ekoran
pengalamannya menjawat jawatan penting dalam kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata, Mustapa mampu membantu menyerlahkan semula parti itu
selepas ada kalangan menteri kabinet PPBM kerap dikritik kepimpinan
mereka oleh banyak pihak.
“Dalam konteks sekarang di mana beberapa orang pemimpin atau
menteri PPBM dikatakan tidak begitu cemerlang prestasi mereka, maka
kemasukan Tok Pa dijangka memberikan lebih banyak pilihan kepada PPBM
untuk menampilkan diri sebagai parti yang lebih berwibawa.
“Selain itu, memang jelas kemasukan Tok Pa ke dalam PPBM akan
menambahkan bilangan kerusi Parlimen parti itu sendiri,” katanya kepada
FMT.
Kamarul berkata demikian ketika mengulas pengumuman Mustapa pada Jumaat lalu untuk menyertai PPBM.
Menurut Mustapa, beliau memilih PPBM kerana percaya ia akan membuka
ruang kepadanya untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen Jeli.
“Saya berterima kasih kepada Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, serta
pimpinan PPBM kerana menerima saya,” katanya pada sidang media di ibu
pejabat PPBM, 2 hari lalu.
Kamarul berkata, kehadiran Mustapa juga dipercayai dapat membantu
menyediakan pemimpin pelapis dalam PPBM selepas parti itu lebih dikenali
dengan kepimpinan seperti Dr Mahathir dan presiden parti, Muhyiddin
Yassin.
“Cuma untuk Tok Pa menerajui PPBM saya rasa itu sesuatu yang agak
sukar untuk berlaku sebab beliau baru sahaja menyertai PPBM,” katanya
lagi.
Meskipun kehadiran Mustapa ke dalam PPBM dijangka menarik pimpinan
Umno lain untuk menyertai parti itu selepas ini, Kamarul bagaimanapun
berkata ia bergantung kepada penerimaan pemimpin dalam parti komponen
Pakatan Harapan (PH) yang lain.
“Sebab sebelum ini dapat dilihat bahawa ada beberapa parti komponen
PH yang tidak senang dengan berita dan hasrat bekas pemimpin Umno untuk
menyertai PH.
“Kalau parti komponen semua tiada masalah, semua positif, maka saya
menjangkakan selepas ini lebih ramai pemimpin atau Ahli Parlimen Umno
yang akan menyertai PPBM,” katanya lagi.
Bercakap di Dewan Rakyat sebelum ini, Mustapa, yang merupakan bekas
menteri perdagangan antarabangsa dan industri, tidak menolak kemungkinan
menyertai PH.
Mustapa meninggalkan Umno pada 18 September lalu selepas lebih 40
tahun bersama parti itu.
Beliau merupakan pemimpin terkanan Umno pertama
meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.
Sementara itu, seorang penganalisis politik berkata pengumuman Mustapa untuk menyertai PPBM sudah dijangka sejak dari awal lagi.
Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute malah berkata tidak mustahil
jika Mustapa turut diberikan satu jawatan penting dalam kerajaan
sekiranya berlaku rombakan kabinet.
“PPBM adalah parti PH yang paling dekat dari segi ideologi dengan parti lama Tok Pa (Umno).
“Jika berlaku rombakan kabinet, tidak hairan kalau Tok Pa menjadi
menteri pembangunan usahawan yang mempunyai banyak peluang untuk
meningkatkan usaha kerajaan membantu golongan Bumiputera,” katanya pula.
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Marzuki Yahya sebelum ini berkata,
setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus di peringkat pucuk
pimpinan parti untuk memberi sebarang jawatan kepada Mustapa.
Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, beliau masih
bertahan dengan kira-kira 1,000 undi. (Gambar Bernama)
AMPANG: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menjangkakan beliau akan kalah dalam pemilihan parti itu Selangor.
Menurutnya, peluangnya menang di Selangor hanyalah 45% berbanding penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 55%.
“Saya memang jangka kalah di Selangor cuma yang mengejutkan sekarang ialah margin kekalahan itu.
“Ramai dalam PKR ramai yang merasakan (akan kalah teruk) oleh kerana
Azmin pengerusi PKR Selangor dari 1998 lagi, kemudian dia juga menteri
besar Selangor,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses
pemilihan parti itu di Pandan di sini hari ini.
Fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai
keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang,
berlangsung hari ini di 6 daripada 22 cabang di negeri ini.
Enam cabang berkenaan adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang,
Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota
layak mengundi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata banyak pihak menjangka beliau akan kalah dengan margin 5,000 undi.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau masih lagi bertahan dengan kira-kira 1,000 undi.
Rafizi berkata, sokongan yang kuat kepadanya di negeri di luar
Selangor juga akan memberikan persaingan sengit dalam perebutan jawatan
timbalan presiden PKR itu.
“Di Sabah dan Sarawak itu dilihat berpihak kepada saya sedikit.
“Hari ini pengundian terakhir di semenanjung, kalau contohnya (undi)
saya lebih kurang sama dengan Azmin, atau saya ketinggalan sedikit
sahaja, itu akan beri peluang besar (kepada saya) di Sabah dan Sarawak,”
katanya.
Rafizi juga mengulas sama ada pihaknya telah mengemukakan aduan
kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan amalan
politik wang dalam pemilihan parti.
“Semua aduan oleh orang yang memaklumkan kepada saya mereka
ditawarkan wang telah saya hantar terus kepada kepimpinan parti dan saya
tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ada bercakap dengan beberapa
orang,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi semasa berucap pada Majlis Amanat sempena
pemilihan PKR di Seremban mendakwa politik wang berlaku secara
berleluasa di 6 negeri yang sudah mengadakan pemilihan.
Beliau, yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai “sebelah sana”,
mendakwa suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum
ini.
Rafizi berkata, dakwaan terhadap Kesavan akan memberi kesan buruk kepada pesaing beliau.
AMPANG: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini
mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan memberikan
bantuan RM500 dalam bentuk cek kepada seorang wanita.
Rafizi berkata dakwaan bahawa calon naib presiden PKR itu menawarkan
“rasuah” RM500 kepada wanita terbabit, yang juga merupakan ahli PKR,
adalah dirancang.
“Ada seorang yang bertanding jawatan di cabang, seorang ibu datang
berjumpa beliau (Kesavan) merayu minta bantuan kerana anak dia kanser,
dia miskin dan sebagainya.
“Kesavan keluarkan cek pusat khidmat. Sesiapa yang waras, kalau mahu
membeli undi, anda tidak akan keluarkan cek pusat khidmat bukan? Tapi
tidak semena-mena dia (wanita terbabit) pergi buat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita
selepas meninjau proses pemilihan parti itu di Pandan di sini, hari
ini.
Rafizi mengulas laporan polis dibuat seorang ahli PKR cabang Sungai
Siput, Rohaida Awang yang mendakwa Kesavan menawarkan rasuah kepadanya
agar mengundi beliau pada pemilihan parti itu.
Rohaida juga dilaporkan bertanding untuk jawatan naib ketua Wanita PKR Sungai Siput.
Rohaida mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk rakaman suara dan
gambar. Dalam laporan polisnya Rohaida berkata, beliau diminta ke pusat
khidmat Kesavan pada 25 Oktober dan diberikan cek RM500.
Rohaida mendakwa cek berkenaan sudah ditunaikan dan diserahkan kepada SPRM di Ipoh, Perak.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tuduhan bahawa calon yang bersama
dalam “kemnya” mengamalkan politik wang hanya memberikan kesan buruk
kepada pesaing beliau.
“Anggota di bawah tahu. Siapa yang bawa duit dan sebagainya.
“Saya penganggur, saya tak ada kapasiti menawarkan jawatan, wang dan sebagainya,” katanya.
PEMILIHAN PKR |
Menjelang fasa ketiga pemilihan PKR di Selangor Ahad ini, calon
timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menggesa jawatankuasa pemilihan
partinya segera melaksanakan penambahbaikan pada sistem e-undi.
"Oleh
kerana Cabang Pandan akan melalui proses pengundian pada hari Ahad, 28
Oktober 2018 ini dan ia cabang yang dijangka panas, saya mengambil
kesempatan ini untuk mencadangkan beberapa penambahbaikan yang boleh
dilaksanakan segera," kata Rafizi dalam suratnya kepada jawatankuasa
pemilihan pusat dan jawatankuasa aduan dan rayuan pemilihan pusat.
Cadangan pertama Rafizi adalah melarang pengeluaran kod QR berdasarkan nombor kad pengenalan jika pengundi itu tidak hadir.
Rafizi
mendakwa dia mendapat banyak aduan wujudnya pengundi-pengundi yang
membawa beberapa kad pengenalan orang lain dan mengundi bagi pihak orang
lain.
Bekas anggota parlimen Pandan itu juga mendakwa telah
berjumpa sendiri dengan sekumpulan anak muda yang mengaku dibayar untuk
melakukan perkara itu.
Cadangan Rafizi yang kedua adalah,
menetapkan untuk hanya membenarkan pengundi dengan kod QR yang dicetak
pada hari pengundian untuk mengundi.
Kod
QR dikeluarkan oleh pegawai pemilihan PKR kepada pengundi yang kemudian
akan digunakan pada tablet untuk mengakses sistem e-undi.
Surat Rafizi itu juga turut disertakan dengan gambar kod QR bagi cabang Pandan yang dicetak pada hari Rabu lalu.
Sementara
itu, cadangan ketiga yang dikemukakan Rafizi untuk penambahbaikan
pemilihan adalah agar jawatankuasa pemilihan memaklumkan pengawas untuk
disemak dan mengelakkan berlakunya pengawas-pengawas yang berat sebelah
ditugaskan di cabang-cabang lawan.
"Saya berharap perkara-perkara ini diambil serius, terutamanya yang melibatkan kod QR yang telah dicetak terlebih awal," katanya.
Rafizi kini berada 1,261 undi di belakang Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali bagi saingan jawatan timbalan presiden.
Azmin
melebarkan jurang undinya selepas merah 4,978 undi berbanding Rafizi
yang mendapay 4,385 undi dalam fasa kedua pemilihan PKR minggu lalu.
Datuk
Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi respons lanjut berhubung desakan Ketua
Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi agar beliau bercuti ekoran terpalit
dengan 45 pertuduhan baru-baru ini.
Zahid seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau akan terus memimpin
parti itu apabila
menegaskan bahawa Umno akan terus bersatu padu buat
masa ini.
“Terima kasih atas pandangan Pemuda, saya raikan kepelbagaian pendapat.
“Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk
menentang musuh yang mahu menghancurkan Umno,” tweet beliau hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata Zahid
wajar mengambil cuti seketika agar dapat memberi tumpuan kepada kesnya
di mahkamah.
Ia berkaitan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah
dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan
membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.
Menurut Asyraf, tidak adil untuk terus meletakkan tanggungjawab
mengetuai Umno kepada Zahid di saat parti itu terus bergerak ke hadapan.
Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan turut melontarkan pandangan tidak bersetuju dengan gesaan pemuda di tweeter.
Beliau turut menyenaraikan lima sebab Zahid perlu menjalankan tugas
sebagai Presiden Umno kerana prosedur mengambil cuti jika berdepan
dakwaan mahkamah hanyalah jika Umno masih memerintah.
Beliau juga berkata Zahid belum didapati bersalah dan pendakwaan
terhadapnya berunsur politik dan beliau belum lagi didapati bersalah.
Proses mahkamah tidak akan berjalan setiap hari dan parti perlu terus bersamanya di saat susah dan senang, katanya lagi.
Dasar
kerajaan mengenai kontraktor perlu diperketatkan dengan melakukan
pembersihan usahawan palsu yang dahulunya mendapat projek atas asar
kroni dan alibaba.
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, sebelum ini kontraktor
mendapat kontrak bukan kerana kelayakan mereka tetapi mereka mendapat
projek kerana kroni Umno dan alibaba.
“Saya yakin mereka masih wujud dengan meluas kerana mereka dimasukkan
dalam senarai oleh menteri-menteri terdahulu, dan masih tiada
pembersihan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibatnya, kata beliau, jika berlaku belian terus atau jemputan sebut
harga terutama untuk kontrak-kontrak kecil, hanya kroni-kroni UMNO ini
yang bersaing sesama mereka, kerana hanya mereka yang ada dalam senarai
sekarang.
Katanya, dari segi kelayakan mereka hanyalah kroni Umno sahaja justeru, kerajaan perlu segera membersihkan kroni-kroni Umno ini agar usahawan
tulen yang disisihkan sebelum ini dapat bersaing secara sihat.
“Kita telah memasuki era baru, dan usahawan Melayu yang tulen memang ramai yang boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Apa yang perlu ialah memastikan wujudnya peluang sama rata kepada
semua usahawan tulen agar wujud persaingan sihat, dan dikeluarkan
usahawan palsu. Pembolotan kekayaan negara oleh kroni-kroni UMNO semua
peringkat haruslah dihentikan,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir bersama Menteri Pembangunan Usahawan Datuk
Seri Redzuan Yusof dalam Konvensyen Usahawan Bumiputera Kedah, di Alor
Setar 25 Oktober baru-baru ini.
Pelbagai isu ditimbulkan oleh hampir seribu usahawan-usahawan yang
hadir, antara yang menarik perhatian beliau mengenai dasar kerajaan
terhadap usahawan Bumiputera yang disuarakan oleh Setiausaha Kehormat
Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah Noordin Md Safar yang
menggesa kerajaan memperketatkan pemberian kontrak kepada kontraktor
Bumiputera.
Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas
mempengerusikan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan
Selangor, malam ini. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Bekas
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan dari mana
datangnya dana RM2.6 bilion yang dikatakan derma daripada kerajaan Arab
Saudi kepada UMNO.
Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad
menjelaskan, paling penting bukti bertulis untuk mengenal pasti duit itu
datang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau sebaliknya.
"Apa yang lebih penting, bukti-bukti bertulis duit itu datang dari 1MDB
atau tidak. Kamu tidak boleh memindahkan sejumlah wang yang besar tanpa
rekod.
"Jika benar wang itu dari Saudi tentu ada rekod. Kalau
wang itu bukan dari Saudi, kita perlu kenal pasti dari mana duit itu
datang. Setakat yang kami tahu, duit itu datang dari 1MDB," katanya
semasa sidang media selepas mesyuarat Bersatu di sini, hari ini.
Pada Jumaat, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan
derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Najib tiada kena mengena dengan
kerajaan Arab Saudi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar,
Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra.
Seorang pemimpin PKR Kedah direman tujuh hari mulai hari ini,
sehingga 31 Oktober hadapan bagi membantu siasatan dakwaan pembabitan
politik wang dalam pemilihan pemimpin cabang parti itu baru-baru ini.
Perintah tahanan reman ke atas pemimpin berusia 59 tahun itu
dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin
Elias selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Sumber berkata, suspek bersama dua lagi lelaki berusia 46 dan 48
tahun yang sebelum ini turut ditahan SPRM Kedah pada bulan lalu,
dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang
lelaki sebagai dorongan supaya namanya didaftarkan ke dalam sistem parti
bagi melayakkannya bertanding pada pemilihan kali ini.
Suspek sebelum itu memaklumkan lelaki terbabit bahawa namanya dan
beberapa individu lain akan digugurkan daripada sistem, namun boleh
dikekalkan sekiranya membayar wang berkenaan.
Terdahulu, dia yang pernah menjadi calon PKR bagi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)
lalu, tiba di perkarangan Mahkamah Alor Setar sambil diiringi dua
pegawai SPRM Kedah.
Difahamkan, pemimpin itu ditahan pada jam 4.10 petang semalam, di
Pejabat SPRM Kedah selepas dia hadir menyerah diri di pejabat berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika
dihubungi, mengesahkan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan
tertinggi parti akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri bagi
memperkukuhkan perpaduan sesama ahli di peringkat negeri, bahagian dan
akar umbi.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata
program jelajah seluruh negeri itu merupakan tindakan yang tepat selari
dengan langkah yang digariskan oleh Presiden dalam pembentangan halatuju
parti semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018 tempoh hari.
“Program ini juga sejajar dengan usaha membangkitkan idealism
perjuangan UMNO agar parti bangkit semula untuk terus mampu melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai parti rumpun Melayu terbesar di negara ini,”
katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Menurut Anuar, di antara pengisian sepanjang program ialah pertemuan
Ahmad Zahid dan saf pimpinan parti bersama pimpinan peringkat negeri dan
UMNO Bahagian semua peringkat selain ceramah mengenai isu semasa oleh
tokoh dalam pelbagai bidang.
Beliau turut menyeru anggota parti untuk turut sama menjayakan
program ini bagi menggerakkan agenda parti untuk memenangi Pilihan Raya
Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.
“Untuk itu segala usaha kini perlu difokuskan bagi memastikan UMNO terus kukuh dan mendapat keyakinan serta sokongan rakyat.
“Ahli UMNO perlu bersama-sama presiden dan saf kepemimpinan parti
menggerakkan program dan kegiatan untuk membela nasib rakyat di seluruh
negara,” ujar beliau.
Program jelajah kepimpinan UMNO ini akan bermula di negeri Terengganu
pada 26 Oktober dan dijangkakan berakhir di negeri Kelantan.
PKR digesa menggantung keahlian Rafizi Ramli susulan dakwaan calon
Timbalan Presiden itu bahawa pemilihan parti dicemari politik wang.
Bekas Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata,
dirinya pernah dikenakan tindakan disiplin selepas mendakwa berlaku
penyelewengan dalam pemilihan parti pada 2014.
“Adakah pimpinan pusat PKR lakukan tindakan terpilih? Agak pelik
kenapa Rafizi tidak dikenakan tindakan. Adakah berlaku campur tangan
supaya Rafizi tidak dikenakan tindakan?
“Dahulu saya bangkitkan isu sama dan saya telah dikenakan tindakan
dengan alasan saya telah malukan parti,” katanya kepada Watan Online
pada Jumaat.
Sebelum ini Rafizi mendakwa politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan PKR.
Beliau berkata ahli parti perlu menolak calon yang mengamalkan budaya
itu dan memilih calon yang berlaku adil, berkhidmat dan berjuang untuk
rakyat di akar umbi.
Rafizi berkata antara sebab utama beliau mengambil keputusan
bertanding jawatan timbalan presiden parti adalah kerana untuk
membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam PKR.
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang
dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pendendam
berhubung pendakwaan terhadapnya membabitkan siasatan kes 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
“Esok sekali lagi saya akan didakwa oleh SPRM, yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara yang kerajaannya terlalu pendendam.
“Saya menerima hakikat didakwa berkaitan 1MDB dan ia adalah kuasa
kerajaan untuk mendakwa saya mengikut kehendak mereka,” kata bekas
Perdana Menteri itu pada Rabu.
Bagaimanapun kata Najib, setiap sen wang 1MDB adalah dari pinjaman
dan adalah tidak masuk akal jika beliau berniat untuk mencuri wang yang
dipinjam dan diletakkan dalam akaun atas namanya sendiri.
“Saya tahu akan dapat menghadapi pendakwaan ini di mahkamah dengan
mudah, namun pada masa ini saya ingin bertanya akan kejujuran kerajaan
PH.
“Mereka perlu melihat pada gambaran lebih besar untuk menyelesaikan
isu 1MDB, hentikan mainan politik, jujur dengan semua rakyat Malaysia,
pastikan ekonomi dan rakyatnya diutamakan, bukannya berterusan
menjadikan lawan politik mereka sebagai keutamaan, siang dan malam,”
katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan
media hari ini memberitahu Najib, bekas Ketua Setiausaha
Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua
Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul
Hamid, akan didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah esok.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau
Prestasi Kerajaan, Datuk Lokman Noor Adam dalam kenyataannya meminta
semua rakyat Malaysia yang menolak penganiayaan ke atas Najib serta Mohd
Irwan untuk hadir beramai-ramai bagi menyatakan #Solidariti4NajibRazak
dan #Solidariti4IrwanSerigar.
“Jangan biarkan penganiayaan demi penganiayaan terus dilakukan atas bekas pemimpin dan penjawat awam negara ini,” katanya.
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki enggan melayan tuntutan anggota Majlis
Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam supaya beliau meletakkan
jawatan sebagai ketua pemuda.
Bercakap kepada Malaysiakini, Asyraf mempersoalkan kelayakan Lokman untuk membuat gesaan tersebut.
"Tanya dia (Lokman) balik, dia pemuda (Umno) ke? Tak apalah, tak perlu layan sangatlah dia tu.
"Keputusan
yang dibuat semalam bukan datang daripada saya seorang, sebaliknya
sebulat suara dalam mesyuarat semalam dan saya tetap dengan pendirian
itu," katanya.
Kritikan keras Lokman itu dibuat selepas Asyraf semalam menggesa Zahid supaya bercuti kerana berdepan pertuduhan di mahkamah.
Perkara itu diumumkan selepas mesyuarat pemuda Umno di ibu negara semalam.
Tidak
puas hati dengan perkara itu, Lokman membuat gesaan balas dengan
menuntut Asyraf meletakkan jawatan dan menyifatkannya sebagai ketua
pemuda yang gagal.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk
Mohamad Hassan memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur
operasi standard (SOP) yang memerlukan pemimpin tertinggi bercuti jika
berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.
Minggu lalu, Ahmad Zahid
didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah
dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan
membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.
Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan reaksi sayap-sayap Umno lain ekoran kenyataan Asyraf itu.
Tan Sri Annuar Musa berkata seruannya agar Tun Dr Mahathir Mohamad
kembali kepada Umno bukanlah 'pelawaan nakal' tetapi demi kepentingan
orang Melayu dan agama Islam.
"Ada yang kata jemputan saya kepada Mahathir dan anggota BERSATU sertai Umno sebagai nakal.
"Politik
bukan untuk bernakal-nakal. Saya berfikir dari sudut politik serta
kepentingan Melayu dan Islam yang menjadit teras kepada Umno dan
BERSATU," katanya di Twitter hari ini.
Beliau berkata talian hayat
Mahathir sebagai perdana menteri tidak harus diletakkan di tangan
"musuh", sambil membangkitkan bahawa BERSATU - parti yang dipimpin
Mahathir - hanya memegang 13 daripada 126 kerusi di Dewan Rakyat.
Ia menjadikan BERSATU sebagai parti yang lebih kecil berbanding PKR dan DAP dari segi bilangan kerusi di Parlimen.
Umno pula menguasai 49 kawasan parlimen, menjadikannya sebagai parti pembangkang terbesar di Dewan Rakyat.
Annuar
yang merupakan setiausaha agung Umno membuat pelawaan itu pada 24
Oktober lalu sebagai maklum balas kepada Mahathir yang dilaporkan
mempelawa anggota Umno untuk menyertai parti serpihan itu.
Ketika
itu Annuar berkata masih ramai anggota Umno termasuk dirinya sendiri
yang menyayangi dan menghormati Mahathir, yang pernah menjadi presiden
paling lama parti itu.
"Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur kiranya ini terjadi. Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur," katanya.
Keesokannya Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan kenyataan Annuar itu sebagai pelawaan nakal dan "tak berapa logik".
Ini
kerana pelawaan itu bermakna seorang yang mempengerusikan sebuah parti
dalam kerajaan akan menyertai parti pembangkang, katanya yang juga
menteri besar Kedah.
BERSATU ditubuhkan pada 8 September 2016 oleh
barisan bekas pemimpin Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan
presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, terutama berkaitan isu
1MDB.