KUALA LUMPUR– Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan harapan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih memikirkan kepentingan negara dan rakyat daripada kepentingan diri sendiri.

Jelas beliau, tindak-tanduk Tun Mahathir yang tidak konsisten sekarang ini benar-benar merosakkan kredibiliti dirinya.

“Hari lain Tun cakap lain, esok lain, lusa lain.. tukar fikiran banyak kali. Kredibliti Tun ‘out’. Kejap nak berhenti, kemudian nak balik semula lepas tu tak setuju pula… nak komenpun susah sebab kalau komen sekarang petang nanti mungkin sudah tidak boleh pakai lagi, semua keliru dengan tindakan Tun sekarang ini.

“Saya harap Tun lebih pentingkan soal negara dan rakyat dari diri sendiri,” ujar beliau ketika ditemui media di perkarangan rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah Ismail yang juga merupakan Naib Presiden UMNO, senario politik yang kucar-kacir ini telah memberikan impak yang amat buruk kepada ekonomi negara.

“Jadi saya harap isu ini dapat diselesaikan segera kerana negara hari ini tidak berkerajaan dan kesan dari apa yang berlaku, ekonomi kita semakin tidak menentu.

“Apa yang terjadi telah menghuru-harakan ekonomi. Keyakinan pelabur sudah tidak ada kepada negara kita,” terang beliau.

Sejak Tun meletak jawatan pada 24 Februari lalu, politik negara mula merudum dan ia bertambah teruk apabila PPBM dan 11 Ahli Parlimen PKR pro Datuk Azmin Ali turut umum keluar parti. Akibat daripada itu, PH yang telah mentadbir negara selama 22 bulan runtuh.

Senario politik mula bergolak teruk apabila masing-masing berebut mahu menjadi perdana menteri dan sikap Tun Mahathir yang sekejap mahu menjadi perdana menteri sekejap tidak telah menyukarkan segala perancangan yang dibuat untuk negara. – UMNO ONLINE