HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Oktober 2012

Mahfuz : Minta Penjelasan Menteri Syarikat Konsesi AES Menyamar JPJ




KUALA LUMPUR – Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ.

“Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ.

“Letak logo JPJ, nama ‘Automated Enforcement System’ sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?” katanya di lobi Parlimen.

Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini.

“Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun.

“Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah.

“Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik,” katanya.

Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2).

Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas.

Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500.

“Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata minta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam.

“Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian.

Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan.

Kes curi air: Syabas rugi RM6 juta

fmt 
 
Nilai kerugian itu mencatatkan peningkatan kira-kira RM1 juta, berbanding tahun lepas. 



KLANG: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerugian RM6.05 juta membabitkan 606 kes curi air sejak Januari hingga Oktober tahun ini dengan majoritinya melibatkan pengusaha kilang dan tapak pembinaan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata nilai kerugian itu mencatatkan peningkatan kira-kira RM1 juta, berbanding tahun lepas.

“Mengikut rekod sejak Januari lalu, Syabas menerima 2,972 aduan berhubung kes curi air dan semua aduan itu telah disiasat sebelum tindakan susulan operasi pemotongan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan dan operasi pemotongan sambungan paip haram di lot perniagaan milik sebuah koperasi di Pekan Meru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata 154 kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan pendakwaan.

Mengenai operasi hari ini, Priscilla berkata Syabas mengesan sebuah lot perniagaan menempatkan tujuh premis perniagaan restoran, baju terpakai, kedai makanan ringan dan pusat cuci kereta yang didapati melakukan penyambungan haram menggunakan paip poly bersaiz 25 milimeter dari paip utama Syabas.

“Kita dapati premis di lot perniagaan itu menggunakan 102.8 meter padu air sehari dan mereka akan tutup saliran utama dari penyambungan haram apabila air di tangki simpanan penuh,” kata Priscilla.

Priscilla berkata berdasarkan rekod, koperasi berkenaan mempunyai akaun dengan Syabas sebelum ini dan ditamatkan pada Januari 2011 selepas gagal melangsaikan bil tertunggak berjumlah RM1,248.

Beliau berkata ujian turut mendapati air dari paip berkenaan bertukar kepada warna merah jambu menandakan air yang dicuri adalah air terawat dari saluran Syabas.

Tegas beliau, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan berlaku gangguan bekalan air serta kadar kehilangan Air Tak Berhasil (NRW) yang tinggi di kawasan itu.

Menurutnya koperasi itu boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 kerana membuat sambungan haram yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.- Bernama

Isu RM40 juta: Tembelang Nazri Pertahankan Chia Terbongkar!

 
KELAB GREENBOC
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz telah menafikan menerima apa-apa wang dari jutawan kayu Michael Chia lebih skandal berupa RM40 juta yang melibatkan Umno Sabah.

Beliau mengulas komen blogger Malaysia Today yang kini dalam buangan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin (juga dikenali sebagai RPK) yang mendakwa bahawa Nazri dan anaknya Mohamad Nedim masing-masing menerima RM3 juta dan sebuah kereta sport dari Chia.

"Oh tidak, ia tidak benar, ia tidak benar.Chia ialah rakan. Saya tidak tahu jika dia dipinjamkan kereta untuk anak saya. Anda perlu bertanya kepada anak saya, "katanya di pejabatnya petang ini.

Walaupun dia tidak langsung mengkritik Raja Petra atas dakwaan terbaru itu, Nazri berkata bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan perkara ini.

"RPK adalah seorang yang sosial. Beliau menggabungkan banyak dengan orang, jadi dia mungkin mendapat maklumat daripada mereka. Kemudian (Petra) menulis ini, ia memberikan saya peluang untuk menjelaskan cerita saya, "katanya.

Nazri juga menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengaruh ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan kehakiman, sambil menambah bahawa jika dia terpaksa, kes Chia akan telah digugurkan.

Dalam laporan Malaysia Today, Raja Petra mendakwa bahawa Chia sendiri datang ke Parlimen untuk menyerahkan RM3 juta kepada Nazri, selepas didakwa Nazri sendiri bahawa perkara berkaitan skandal RM40 juta telah diselesaikan.

Beliau juga mendakwa bahawa Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dan Peguam Negara Abdul Gani Patail juga terlibat sama. -Jalan Pulang

Nazri Aziz : Dakwaan Raja Petra Perlu Disiasat PADANG RENGAS, 12 Ogos - Pendedahan mengenai komplot fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasundram yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu wajar disiasat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, dakwaan itu bukan sahaja serius kerana melibatkan pemimpin negara, tetapi juga membabitkan kredibiliti sistem perundangan.

"Segala dakwaan ini perlu disiasat bagi melihat kesahihannya. Lihat apa yang didedahkan supaya rakyat mengetahui kebenaran dan membuat penilaian," katanya selepas menyampaikan bantuan hari raya sempena Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri.

Raja Petra Kamaruddin mendedahkan bahawa akuan bersumpah Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan itu didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.

Raja Petra mendakwa Ahli Parlimen Subang, R.

Sivarasa berperanan bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib dan perkara itu diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Nazri menegaskan, negara memberi kebebasan bersuara terhadap semua rakyatnya termasuk Raja Petra yang mempunyai hak mendedahkan perkara yang dianggap benar secara bertanggungjawab.

Bagaimanapun kata beliau, masih terlalu awal untuk membuat sebarang justifikasi berhubung pendedahan Raja Petra itu.

"Kita kena melihat kesahihan selepas siasatan dilakukan, terlalu awal untuk kita membuat apa-apa kesimpulan berhubung perkara yang didedahkan," ujar beliau.
-klpos

MP Kota Belud Diselar Kerana Tidak Jenguk Kawasan

KELAB GREENBOC
 
Kota Belud: Ahli Parlimen Kota Belud Dato’ Abdul Rahman Dahlan digesa membuat lawatan ke kawasan parlimennya daripada ‘berkokok’ dan ‘menyalak’ mempertahankan pelbagai isu yang menimpa partinya, Umno.

“Sejak kebelakangan ini Rahman lebih gemar bercakap isu ekonomi negara, pentadbiran persekutuan dan kedaulatan bangsa lain sedangkan kawasannya terbiar,” kata Anggota Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga pemimpin tempatan, Peter Marajin.

“Kerajaan sering mendabik dada kononnya Kota Belud adalah jelapang padi negeri Sabah tetapi ratusan ekar sawah padi di Mukim Kelawat tidak ditanami padi. Mana pergi Rahman? “Pernahkah Rahman prihatin dan melawat para petani sawah di Kelawat?,” tanya Marajin ketika melawat kawasan itu hujung minggu lalu.

Katanya, jika para pemimpin Umno hanya tahu mendabik dada tetapi tidak sedar, atau pura-pura tak tahu, kawasannya sendiri terbiar dan dilupakan, maka ini hanyalah sandiwara politik yang perlu dihentikan dengan segera.

“Mereka ini umpama ayam jantan berkokok berderai-derai, ekornya bergelumang tahi, cuma orang tak tahu. Nah sekarang kamu tahu mana jelapang padi Kota Belud itu.

“Adakah pemimpin kerajaan hanya melihat sawah di beberapa kawasan sahaja seperti di Tempasuk dan Tamu Darat? Di Kelawat beratus ekar sawah boleh diusahakan tapi tidak ada sistem pengairan air sampai sekarang. Petani bergantung kepada hujan sahaja.

Sistem pengairan

“Kawasan-kawasan ini sebenarnya tidak memerlukan empangan, hanya perlu kepada sistem pengairan dan perparitan yang moden,” terang beliau.

Menurut Marajin yang juga seorang peguam yang popular, Rahman perlu lebih mendengar dan bukan memberi ceramah kepada penduduk kampung Kota Belud serta mencanangkan Kota Belud sebagai jelapang padi sedangkan produktiviti tak sampai ke mana pun.

“Pergilah lihat sawah-sawah di Kota Belud, makin banyak yang tidak diusahakan termasuk di kawasan yang dikatakan sudah bertahun- tahun diusaha sebagai jelapang padi.

“Janganlah pemimpin kerajaan ini tuduh orang kampung malas kerja sawah. Carilah masalahnya. Siapalah yang mahu membanting tulang di sawah tetapi harga padi hanya 70 sen sekilo umpamanya.

Kalau pandai sangat ekonomi, carilah jalan supaya harga padi naik kepada RM3 sekilogram, barulah orang berebut menanam padi,” kata Marajin.

Melepaskan batuk di tangga

Beliau menambah, usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran padi di Sabah umpama melepaskan batuk di tangga dengan daerah-daerah lain terus mengabaikan kerja menanam padi.

“Sabah masih mengimport 70 peratus berasnya sampai sekarang. Idea yang lebih baik dan usaha lebih praktikal perlu dicari untuk meningkatkan pengeluaran padi kita bukan setakat hanya mencanangkan di sana sini,” katanya lagi.

Menurut Marajin, kawasan parlimen Kota Belud sekarang mempunyai jumlah pengundi yang paling ramai di Sabah dengan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri tetapi hanya mempunyai sebuah pekan.

“Jalan masuk ke Kota Belud penuh sesak pada tiap-tiap pagi, tengah hari dan petang apa lagi ketika ada perayaan. Oleh kerana hanya ada sebuah pekan dan semuanya tertumpu di situ sedangkan jalan raya hanya satu lorong,” jelasnya.

Beliau turut menyoal, “bilakah anggota parlimen kita mahu tolong selesaikan hal ini?” “Tolonglah jangan marah-marah dan meradang bila rakyat merungut, saya sendiri pun dihujani pelbagai pertanyaan kenapa kerajaan buat itu tetapi tidak buat ini dan macam-macam lagi isu kepentingan pengguna dan rakyat di Kota Belud,” ujarnya. -FMT

Khutbah Aidiladha: Dakwaan hanya tohmahan, kata Pas

SAPINAH AB GHANI

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan menyifatkan dakwaan sesetengah pemimpin dan  badan bukan kerajaan (NGO) bahawa teks khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Dewan Ulama Pas Kelantan mengandungi unsur-unsur kebencian sebagai satu tohmahan.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tidak timbul unsur-unsur yang membawa kebencian sebaliknya ia lebih ke arah memperjuangkan Islam dan mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim.

“Boleh jadi dakwaan yang mengatakan ada unsur kebencian itu hanya tohmahan kerana mereka melihat dari perspektif negatif dan memberi pandangan yang negatif,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkata, selepas mendengar dan membaca teks tersebut, soal kebencian tidak pernah dibangkitkan, sebaliknya ia menjurus ke arah meningkatkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam.

Jumaat lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dalam kenyataannya mengecam Dewan Ulama Pas Kelantan kerana masih mengeluarkan dan menyebarkan teks khutbah yang mengelirukan dengan menyeru ke arah perpecahan dan menanam bibit-bibit kebencian kepada para pemimpin negara.

Menurutnya, sayap Pas itu mengulangi semula khutbah berbau kebencian tersebut dalam teks yang diedarkan ke seluruh surau dan masjid sempena Aidiladha tahun ini.

Beliau berkata, teks khutbah kali ini lebih keras jika dibandingkan teks khutbah Aidilfitri lepas yang telah dipertikaikan oleh banyak pihak.

Sebelum itu, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan Dan Dakwah mengagihkan daging korban kepada kira-kira 500 penerima di Dun Panchor di sini, kelmarin.

“Sebanyak 12 lembu ditumbangkan hasil sumbangan dermawan untuk diagihkan, dan saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama diberikan dalam usaha merapatkan hubungan antara satu sama lain di Dun ini,” katanya.

Menurutnya, program tahunan yang dijalankan tiga tahun berturut-turut ini juga sebagai tanda prihatin kepada golongan kurang bernasib baik terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga miskin daripada 28 cawangan di Dun itu.

AES: PR sedia peguam, hargai pendirian Pemuda Umno

JAMILAH HAMZAH

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
 
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyatakan kesediaan mereka menyediakan khidmat peguam kepada penerima-penerima saman yang berpunca daripada pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, penerima saman AES bermula 13 Oktober lalu diminta tidak membuat bayaran kompaun yang dikenakan sebanyak RM300 selepas tarikh pembayaran.

Menurutnya, penerima saman akan diberi pembelaan melalui peguam yang disediakan oleh Pas dan PR jika mereka dibawa ke mahkamah.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, pertubuhan Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan PR turut mengucapkan terima kasih kepada Pemuda Umno yang bersama menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan AES.

"Kita akan sediakan peguam di seluruh Malaysia untuk membantu penerima saman (AES) yang pergi menghadiri perbicaraan di mahkamah.

"Kita minta penerima saman tidak membayar saman AES sebanyak RM300 dan hadir ke mahkamah, kalau bernasib baik mereka tak perlu bayar langsung kepada syarikat yang mahu kaut keuntungan.

"Kita juga nak ucap terima kasih kepada Pemuda Umno yang turut bersama kita gesa kerajaan supaya menangguhkan pemasangan AES walaupun mereka bertindak lambat," katanya kepada sidang media di lobi Parlimen hari ini, di sini.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyatakan pihaknya sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Khairy berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet  minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pelaksanaan AES itu meragukan dan lokasinya juga tidak sesuai.

Malaysia bukan pangkalan rekrut pengganas

SINAR HARIAN

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
KUALA LUMPUR - Malaysia bukan sarang bagi kegiatan merekrut pengganas di rantau ini, demikian tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.
  
"Pengganas ini bergerak bukan sahaja di Malaysia tapi ke negara-negara Timur Tengah. Mereka boleh direkrut di mana-mana sahaja kesan daripada globalisasi dan teknologi hari ini," katanya.
  
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas perkembangan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda 18 Okt lepas,
  
Hishammuddin sebelum itu menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian (DTF) ke-22 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai jenayah, di bangunan Parlimen.
  
Hishammuddin berkata isu keganasan merupakan realiti global dan pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan aktiviti pengganas tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.
  
Katanya hasil kerjasama dan perkongsian maklumat dengan agensi perisikan antarabangsa mendedahkan terdapat pengganas yang keluar masuk negara ini.

Namun, katanya, kebimbangan terhadap ancaman kegiatan pengganas di negara ini tidak perlu kerana hasil siasatan mendapati mereka tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai sasaran.
  
"Ia (siasatan) lebih menumpukan kepada kaitan rakyat Malaysia dengan pengganas kerana merupakan fenomena yang perlu kita teliti dan pantau secara dekat dan ia membuktikan bahawa dunia tanpa sempadan hari ini dan perjalanan manusia, wang ringgit dan maklumat sebenarnya membawa ancaman yang begitu serius kepada semua negara, bukan sahaja kepada Malaysia,"
  
Hishammuddin berkata apa yang perlu dibimbangkan ialah penglibatan pengganas melalui jenayah transnasional seperti penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.
  
"Ekonomi gelap, dana haram (jenayah rentas negara) jika jatuh ke tangan pengganas, maka kewangan mereka akan terlalu besar hingga kita berdepan dengan perang terhadap keganasan," katanya.
  
Selain itu, katanya, akta baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut mempunyai peruntukan bagi menangani aktiviti pengganas.

Beliau berkata usaha juga sedang dilakukan untuk memantapkan hubungan kerjasama dengan  agensi antarabangsa seperti Central Intelligence Agency serta pihak perisikan India, Pakistan termasuk China bagi membendung aktiviti pengganas.
  
Mengenai perkembangan terkini penahanan dua rakyat Malaysia itu, beliau berkata kedua-dua mereka berada di bawah pemantauan dan risikan pihak berkuasa sejak setahun lalu.
  
"Namun kita (pihak berkuasa) tidak boleh umumkannya terlalu awal kerana kita perlu mengumpulkan maklumat yang mencukupi," katanya. - Bernama

AES: JPJ sedia hantar pegawai untuk penjelasan

SINAR HARIAN

AES
Sistem AES
 
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersedia menghantar pegawainya untuk memberi penjelasan terperinci mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di empat negeri pembangkang sekiranya terdapat permohonan daripada negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata setakat ini hanya dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor yang membuat permohonan untuk mendapatkan penjelasan.

"Kami bersedia memberikan penjelasan lanjut berhubung AES ini supaya orang ramai lebih faham terutamanya dari segi teknikal.

"Mungkin penjelasan sebelum ini orang ramai tidak cukup faham namun saya yakin jika diberi penjelasan, orang ramai dapat menerima pelaksanaan ini dan berharap mendapat kerjasama dari semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Bulan Inovasi peringkat negeri, di sini hari ini.

Semalam akhbar melaporkan bahawa empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah akan menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian mendalam dijalankan dan maklum balas daripada rakyat diperoleh.

Ismail berkata AES dilaksana bagi mengesan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya sekaligus diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sistem itu akan dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut, katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti lokasi bagi menempatkan 831 kamera AES di kawasan strategik di seluruh negara untuk mengesan pesalah jalan raya sama ada di kawasan lampu isyarat atau melebihi had laju.

Setakat ini sebanyak 14 kamera AES telah dipasang iaitu tujuh di Perak, masing-masing dua di Selangor dan Putrajaya dan tiga lagi di Kuala Lumpur. - Bernama

AES: Ahli Parlimen BN juga akur pendapat Pakatan

Roketkini.com

Gambar ehsan FreeMalaysiaToday

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen BN Khairy Jamaluddin dan Bung Mokhtar akhirnya bersependapat dengan Pakatan Rakyat dalam membantah perlaksanaan Automatic Enforcement System (AES).

Pun begitu, Menteri Pengangkutan Datuk Kong Cho Ha masih berdegil mahu mengimplementasikan sistem tersebut yang bakal memberi keuntungan besar kepada kroni MCA dan menyusahkan rakyat.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timor dalam kenyataan medianya hari ini, ahli-ahli Parlimen BN mahupun PR sebenarnya boleh bersepakat bersatu suara untuk menunda perlaksanaan AES semasa debat belanjawan 2013 peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan pada 10 November akan datang.

“Persoalannya sekarang, adakah akan ada Ahli Parlimen, Timbalan Menteri mahupun Menteri di kalangan MCA yang berani untuk menyuarakan bantahan mereka?

Ujar kit Siang, kini Pakatan Rakyat mempunyai 76 Ahli Parlimen dan jika sekurang-kurangnya 36 lagi Ahli Parlimen BN atau Bebas yang menyokong penundaan AES, parlimen akan mempunyai 122 dari 222 suara bantahan.

“Jika berlaku sedemikian, Kong Cho Ha tidak ada pilihan lain selain meletak jawatan dari Menteri Pegangkutan jika beliau enggan mendengar bantahan tersebut.

Negeri-negeri Pakatan Rakyat; Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan telahpun membuat keputusan untuk menunda perlaksanaan AES sehingga satu kajian menyeluruh diadakan. – Roketkini.com

Projek “Feed-in Tariff” SEDA, syarikat “kosong” dapat tender?

 Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Penganugerahan projek menguruskan perlaksanaan mekanisme “Feed-in Tariff” (FiT) bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 kepada banyak syarikat yang tidak layak dan dikaitkan dengan anak  mantan Ketua Setiausaha Negara Malaysia Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah menimbulkan banyak tandatanya.

Seperti yang umum telah ketahui, 32.4 peratus daripada jumlah 139MW telah diperuntukkan kepada 12 syarikat yang dimiliki oleh Suzi Suliana Mohd Sidek dan suaminya Todd Michael Morath, dan dua lagi pemilik saham bersama biarpun tidak memenuhi syarat kelayakan.

“Jawapan Menteri Dato’ Seri Peter Chin Fah Kui jelas menunjukkan bahawa pihak pengurusan SEDA telah campur tangan dalam proses penawaran yang membolehkan syarikat-syarikat kosong yang dimiliki oleh Suzi Suliana dapat quota yang begitu besar,”

Demikian kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Oktober 2012 semalam.

Menurut menteri, memandangkan hampir kesemua syarikat tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan, pihak kementerian mengaku bahawa syarat kemampuan kewangan berjumlah sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kos pelaburan projek tersebut telah dilonggarkan.

Jelas Pua, menteri tersebut beralasan bahawa kebanyakan syarikat yang memohon untuk mendapatkan kuota Tenaga Boleh Baharu telah menubuhkan syarikat Special Purpose Vehicle (SPV). Pada masa proses penubuhan syarikat-syarikat SPV ini, mereka tidak dapat mengemukakan penyata bank dengan nilai kredit minima 20 peratus.”

“Kalau pun tawaran dibuat sebelum kemampuan dibuktikan, syarikat SPV boleh disyaratkan untuk membuktikan kemampuan dalam jangaka masa 30 hari tetapi ia tidak dilakukan,

“Syarikat-syarikat ini perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 ‘paid-up capital’ dan sehingga kini majoriti daripada syarikat-syarikat tersebut masih belum mendapat lesen daripada Suruhanjaya Tenaga,” kata Pua.

Beliau mahu menteri berkenaan memberikan penjelasan mengapa tindakan keras tidak diambil terhadap syarikat-syarikat Suzi Suliana walaupun tidak berjaya mematuhi syarat.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan pembongkaran Pua bahawa  8 daripada 12 syarikat yang berjaya dianugerahkan tender tersebut hanya ditubuhkan 3 minggu sebelum tarikh quota malah hampir kesemua syarikat ini hanya mempunyai modal berbayar RM100 sahaja.

Beliau juga menuntut agar pihak kementerian memberikan laporan kemaskini terkini untuk kuota yang telah diluluskan bagi setengah tahun penghujung tahun 2012.

“Kita ingin tahu iaitu berapa MW daripada 30.24MW yang telah diluluskan akan dikomisien dalam jangka masa yang ditetapkan.” ujar Pua. – Roketkini.com

Pemuda Umno desak AES ditangguh

Wartawan Sinar Harian

AES
Sistem AES
 
SHAH ALAM –  Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet  minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.

"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.

Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.

"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.

Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu.

Dun Chenor: Bekas Pengarah JPN Pahang calon BN?

Wartawan Sinar Harian

MARAN - Bekas Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Pahang, Datuk Yahya Zainal Abidin dikatakan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chenor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Spekulasi itu menjadi buah mulut selepas diuar-uarkan dalam sebuah blog tempatan yang mendakwa bakal menggantikan tempat Allahyarham Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Blog itu turut mendakwa Yahya adalah calon popular ‘winnable candidate’ yang bakal diketengahkan Umno kali ini.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Bahagian Maran, Shaiful Azman Mokhtar berkata, penyokong BN perlu memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti supaya kerusi Dun Chenor kekal milik BN.

Katanya, tanggapan sesetengah masyarakat mengatakan Umno Bahagian Maran sukar mencari calon bagi kerusi Dun Chenor ada asasnya, namun ia sekadar persepsi semata-mata.

Menurutnya, kasih sayang dan hormat terhadap Allahyarham Tan Mohd Aminuddin yang mempamerkan rekod perkhidmatan baik menyebabkan pemimpin lain tidak menonjolkan diri.

“Idea, pandangan serta penyelesaian masalah termasuk membabitkan pemimpin lain berjaya ditangani Allahyarham dengan baik. Maka, pemimpin akar umbi lain tidak terlalu menonjol atau menyerlahkan diri kerana mereka yakin terhadap kemampuan Allahyarham.

“Namun kami tetap menjalankan kerja berkaitan untuk meringankan beban tugasan Allahyarham,” katanya.

Saiful Azman berkata, calon bakal digantikan kelak berkemungkinan akan menempuh cabaran terutama apabila perbandingan dibuat penduduk dengan Allahyarham.

Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, spekulasi mengenai bekas Pengarah JPN Pahang itu berkemungkinan disebarkan pihak tertentu yang mahu menaikkan nama Yahya sebagai pilihan calon bagi kerusi Dun Chenor.

“Soal siapa calon bakal diletakkan pada PRU13 nanti terletak pada keputusan Perdana Menteri, namun setiap pemimpin boleh menawarkan diri untuk bertanding,” katanya.

“Siapa calon bukan keputusan Umno Bahagian. Maka kita tunggu sahaja siapa akan diputuskan pucuk pimpinan nanti,” katanya.

Bagi penduduk setempat, nama Yahya bukan asing lagi kerana perkhidmatannya di samping merupakan anak jati Kampung Paya Pasir yang terletak dalam Dun Chenor.

Beliau baru sahaja bersara dan dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) sempena Hari Keputeraan Baginda, baru-baru ini, yang membawa gelaran Datuk.

Yahya pernah berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah sekitar daerah ini sebelum dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Maran dan Pengarah Pelajaran Pahang selama hampir setahun.

Populariti dalam kalangan masyarakat menyebabkan Yahya didapati mampu memberi kemenangan kepada BN pada PRU13, lebih-lebih lagi apabila kerusi Dun Chenor dikatakan ketandusan calon berkebolehan.

Tidak dinafikan jawatan guru memberi satu kelebihan dan keistimewaan kepada Yahya yang berkredibiliti untuk bergelar Yang Berhormat, selain disenangi masyarakat setempat kerana perkhidmatannya selama ini.

Spekulasi mengaitkan nama Yahya itu mula meniti di bibir penduduk dengan pelbagai pendapat menyokong dan tidak terkecuali membantah kerana mahu kekosongan kerusi itu diisi pemimpin senior.

Difahamkan, Yahya kini berada di Mekah kerana menunaikan ibadah haji dan Sinar Harian akan cuba mendapatkan maklum balas beliau selepas pulang ke tanah air.

Kerusi Dun Chenor kosong apabila Allahyarham Tan Mohd Aminuddin meninggal dunia pada 19 Jun akibat komplikasi jantung.

Pada PRU12, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mujibur Rahman Ishak dengan majoriti 2,468 undi.

Penahanan 2 rakyat Malaysia di Lubnan kes terpencil, kata Muhyiddin

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
LABUAN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda sebagai kes terpencil.

"Kes itu sedang dipantau oleh Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhyiddin yang kini dalam rangka lawatan sehari ke pulau bebas cukai itu percaya negara berkenaan mempunyai undang-undang untuk dikuatkuasa terhadap sesiapa yang dianggap tergolong dalan kumpulan pengganas al-Qaeda.

Sebelum ini dilaporkan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata dua orang rakyat Malaysia itu masing-masing berumur 28 dan 21 tahun, ditahan di Beirut oleh pihak berkuasa Lubnan, pada 18 Okt lalu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di pantai timur Amerika Syarikat mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dalam menghadapi Taufan Sandy ketika ini.

Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka dan mematuhi arahan serta nasihat demi keselamatan diri.

Berdasarkan laporan CNN, situasi di sana agak serius, katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar dan rakyat Malaysia supaya sentiasa menghubungi pejabat kedutaan Malaysia di negara itu bagi mendapatkan laporan terkini, dan menyimpan bahan makanan serta keperluan asas lain bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat bencana alam itu.

Mengenai insentif diskaun tambang 50 peratus feri penumpang dan tambang feri kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dalam Bajet 2013, Muhyiddin berkata pemberian itu akan dikuatkuasa pada 1 Jan depan.

"Sebagai contoh sekiranya tambang feri biasa RM5, namun pada 1 Jan depan tambang akan turun separuh menjadi RM2.50 sahaja," katanya. - Bernama

MP BN: PRU dekat, AES tak sesuai sekarang

JAMILAH HAMZAH

AES
Sistem AES
 
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun baik tetapi tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir, kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Moktar Radin, hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, pihak pembangkang akan mengambil kesempatan dengan menggunakan isu itu untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Justeru katanya, untuk memberi keyakinan kepada rakyat terutamanya pengguna jalan raya, kerajaan wajar menangguhkan pelaksanaan AES.

"Pelaksanaan AES pada masa ini tidak sesuai kerana sudah hampir dengan pilihan raya.

"Oleh itu, saya syorkan AES ditangguhkan," katanya kepada Sinar Harian Online melalui SMS, pagi ini.

Sebelum ini, pembangkang dengan lantang membantah dan meminta kerajaan menangguhkan pemasangan kamera AES.

Empat kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat mahu AES ditangguhkan. Semalam, Pemuda Umno juga mengambil pendirian mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES.

Dalam pada itu, beberapa Ahli Parlimen BN turut membantah pemasangan sistem itu termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan seperti Cuepacs, yang menggesa kerajaan menangguhkan dan mengkaji semula lokasi operasi AES yang dilihat tidak bersesuaian.

Bagaimanapun tambah Bung Moktar, AES masih diperlukan untuk mendisiplinkan para pemandu dan demi kepentingan semua pengguna.

"AES bagus digunakan untuk langkah mendisiplinkan pemandu yang menggunakan jalan raya," katanya yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Duti Eksais Kereta Import & Tempatan 65%-105% Tidak Akan Diturunkan Kerana…(Jawapan Menteri)

 Staff Berita Semasa 
 
Duti Eksais Kereta Malaysia Duti Eksais Kereta Import & Tempatan 65% 105% Tidak Akan Diturunkan Kerana...(Jawapan Menteri)

Duti Eksais : Kalau diikutkan, liberalisasi di dalam beberapa segmen sektor automotif ini, kita sepatutnya melakukannya sejak daripada tahun 2005 lagi. Tetapi disebabkan kita masih lagi tidak bersedia untuk melaksanakan beberapa persetujuan dan ketetapan di dalam akta dan WTO.

Berkenaan dengan isu tersebut, beberapa jawapan daripada Menteri telah diperolehi termasuklah dasar kerajaan mengenai cadangan “rombakan” duti eksais yang ada ketika ini..

Duti Eksais Kenderaan Duti Eksais Kereta Import & Tempatan 65% 105% Tidak Akan Diturunkan Kerana...(Jawapan Menteri)
Duti eksais yang dikenakan  ketika ini adalah cukai menyeluruh ke atas sekumpulan barangan tanpa mengira ia dihasilkan di dalam atau di luar negeri.

Jawapan Dato ‘ Sri Mustapha Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia) Mengenai Duti Eksais?

Duti Eksais Proton Duti Eksais Kereta Import & Tempatan 65% 105% Tidak Akan Diturunkan Kerana...(Jawapan Menteri)

Bagi kereta yang dikilang oleh syarikat automotif nasional atau kereta jenama asing yang dipasang di Malaysia, ada 2 kos komponen yang dibayar rakyat:
  1. kos kereta (termasuklah keuntungan kepada pengilang/syarikat automotif)
  2. cukai yang dikenakan kerajaan.
Di bawah sistem cukai sekarang, cukai adalah separuh dari harga kereta yang dibayar rakyat – maknanya jika anda membeli kereta pada harga RM50,000, sebanyak RM25,000 daripada harga tersebut adalah bayaran cukai kepada kerajaan.

Duti Eksais Kereta Duti Eksais Kereta Import & Tempatan 65% 105% Tidak Akan Diturunkan Kerana...(Jawapan Menteri)
Hansard dari Dewan Parlimen

Antara langkah yang dilakukan kerajaan sekarang ini bagi mengurangkan beban pengguna kereta di Malaysia ialah :
Nampaknya kerajaan masih lagi tidak sanggup untuk mengurangkan sedikit kadar keuntungan yang diperolehi hasil daripada duti eksais kereta import dan juga duti kereta tempatan yang  memberikan pulangan kepada kerajaan ketika ini. Antara sebabnya ialah :

Duti Eksais Duti Eksais Kereta Import & Tempatan 65% 105% Tidak Akan Diturunkan Kerana...(Jawapan Menteri)
  1. Dikhuatiri jalan raya akan bertambah sesak
  2. Perniagaan kereta terpakai akan terjejas teruk
  3. Pulangan pendapatan kepada negara sejumlah RM7 bilion akan terjejas
Semakan kami melibatkan data pendapatan isi rumah dan bebanan isi rumah yang diperolehi dari Jabatan Statistik melalui Laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 (Household Income and Basic Amenities Survey Report 2009) menunjukkan beberapa fakta penting dari laporan tersebut yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak ialah :
  1. 53% dari keseluruhan isi rumah di Malaysia hanya berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan
  2. Sehingga ke hari ini, 71.9% dari keseluruhan isi rumah di Malaysia mempunyai atau menggunakan kereta disebabkan pengangkutan awam masih tidak memuaskan
  3. Jumlah hutang kereta persendirian adalah hutang kedua terbesar selepas hutang rumah kediaman, berjumlah RM134.2 bilion pada akhir Mei 2012
  4. Jumlah hutang kereta persendirian telah meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14% dalam tempoh 18 bulan, berbanding RM118 bilion pada November 2010.
Ramai rakyat Malaysia yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan yang memerlukan kereta tetapi malangnya harga kereta di Malaysia masih ditahap membebankan.

Bagi kami tidaklah mengharapkan duit eksais yang dikenakan sekarang ini dihapuskan tetapi sebagai permulaan bagi meringankan beban sara hidup rakyat ketika ini, duti eksais sepatutnya dirombak semula & diturunkan pada kadar yang tidak membebankan rakyat, sekurang-kurangnya dilihat ada sedikit usaha untuk mengurangkan harga kereta di Malaysia :
  • Berdasarkan jawapan menteri seperti di atas semasa di Dewan Rakyat, beliau pun sedar harga kereta yang dijual di Malaysia tinggi
  • Jika duti eksais diturunkan sedikit, automatik harga kereta juga dapat diturunkan sedikit
  • Harga kesemua model kereta termasuk Proton, Perodua, Toyota dan Honda akan turun
  • Sekaligus, orang ramai mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan untuk tujuan yang lain berbanding bayaran bulanan yang mereka bayar selama ini
  • Dan….meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat (disposable income) setiap bulan akan bertambah
P/S : Jikalau warga asing yang tinggal di Malaysia pun boleh menikmati harga kereta murah atas nama program Malaysia MySecond Home (MM2H), mengapa tidak untuk rakyat sendiri?

PP/S : Apa pendirian anda pula, patutkah duti eksais kereta dirombak semula ataupun tidak perlu pun sebenarnya dilakukan ketika ini? Mengapa?

TGNA antara pemimpin yang paling sihat

Aspan Alias,


Tok Guru Nik Aziz (TGNA) berkata di Kelantan semalam yang beliau tidak akan meletakkan jawatan dan berundur kerana desakan dari pihak-pihak yang tidak kena mengena dengan PAS. Beliau akan berundur jika desakan itu datangnya dari PAS.

TGNA mengulas desakan Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, yang meminta TGNA berundur kerana kesihatan beliau tidak membolehkan beliau mentadbir negeri Kelantan.

TGNA berkata beliau akan hanya mempertimbangkan untuk berundur jika PAS mendesak beliau untuk meletakkan jawatan dan jawapan TGNA ini kepada saya adalah jawapan yang tepat dan benar.
Di Kelantan yang menentukan siapa yang menjadi MB itu adalah PAS kerana rakyat Kelantan telah memandatkan PAS untuk mentadbir negeri Kelantan sejak tahun 1990 dahulu dan parti-parti serta pihak-pihak yang lain tidak ada hak untuk menuntut beliau meletakkan jawatan itu.

TGNA adalah seorang MB dan Ketua yang diberikan tugas untuk memantau kerja-kerja dan tanggungjawab pelaksana, iaitu pegawai-pegawai kerajaan negeri dilaksanakan dengan baik dan telus. Bagi saya TGNA adalah benar-benar seorang MB yang difahami dalam erti kata yang sebenarnya.

Beliau tidak masuk campur di dalam pelaksanaan tanggungjawab kerajaan tetapi ‘accountable’ terhadap apa yang dilakukan oleh pihak pelaksana iaitu pegawai-pegawai dan penjawat awam di negeri itu.

Beliau tidak bersekongkol dengan pelaksana yang rasuah seperti yang dilakukan oleh MB-MB di negeri-negeri tadbiran UMNO. Banyak negeri-negeri tadbiran UMNO pelaksana dan penggubal dasar termasuk Menteri-Menteri Besar nya mengarah dan masuk campur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan ia telah membawa kepada kegiatan korupsi yang meluas.

Jika penggubal dasar terutamanya MB hanya mengambil tugas sebagai pemantau kepada perlaksanaan dasar-dasar yang telah di gubal dengan baik,  maka budaya rasuah tidak akan berlaku dengan mudah.
Rasuah berlaku di Kementerian-Kementerian Persekutuan di sebabkan penggubal dasar yang di ketuai oleh Menteri-Menteri dalam kementerian-kementerian itu tidak melaksanakan tugas dengan betul, iaitu untuk memantau segala tugas perlaksanaan kementerian itu dilaksanakan mengikut apa yang telah di gubal.

Sebaliknya menteri-menteri menyalahgunakan kedudukan mereka dengan bersekongkol untuk melakukan kerja yang bertentangan dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu untuk mempastikan pelaksana tidak melakukan rasuah dan sebagainya.

Jika menteri-menteri melaksanakan tugas yang sepatutnya dilakukan tidak mungkin rasuah berlaku dalam kadar yang sangat membimbangkan sehinggakan rakyat sudah hilang  kepercayaan mereka kepada penggubal dasar yang diberi mandat oleh mereka.

Bagi TGNA beliau telah memberikan jawapan dengan betul. Yang penting ialah kesihatan pemikiran bukan setakat sihat tubuh badan. Jika pemikiran seorang MB seperti TGNA itu masih sihat,  tidak ada apa masalah untuk terus menjadi MB dan pihak UMNO, Perkasa  atau pihak-pihak lain tidak berhak untuk membuat tuntutan untuk beliau berundur.

Ramai pemimpin di dalam UMNO itu masih sihat tubuh badan mereka tetapi pemikiran mereka telah uzur. Jika mereka masih mempunyai pemikiran yang tidak uzur, segala rasuah dan salah guna kuasa tidak akan berlaku. Pemimpin yang rasuah itu melambangkan pemikiran yang tidak sihat.

Jika pemikiran mereka sihat mereka akan tahu yang rasuah itu salah dan pemikiran yang sihat akan memberitahu mereka yang rasuah itu amat bersalahan dengan syariat agama dan satu dosa yang amat besar di sisi Tuhan.  Itu sebabnya saya berulangkali mengingatkan semua yang pemakan rasuah itu sama lah seperti orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Bagi saya TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat kerana beliau masih mempunyai pemikiran yang kuat untuk memberitahu beliau dan kepimpinan beliau itu yang rasuah itu adalah kesalahan besar. Sesungguhnya pemimpin-pemimpin UMNO lah yang sudah uzur kerana tidak dapat menahan dari melakukan rasuah besar-besaran.

Pemikiran TGNA masih terlalu sihat kerana beliau tidak mahu tunduk kepada desakan untuk membuat kekayaan dan duduk di rumah-rumah yang besar dan berglamor. TGNA masih sihat pemikiran beliau kerana beliau tidak membelikan isteri beliau cincin yang puluhan juta harganya.

TGNA tidak menggunakan wang rakyat untuk membayar bil kenduri perkahwinan anak beliau dan tidak berbelanjakan wang rakyat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi beliau. TGNA tidak terlibat dalam isu ber‘dating’ dengan teman wanita dengan membayar wang sejumlah ratusan ribu ringgit setiap kali ber’dating’ seperti yang dilakukan oleh seorang Menteri Persekutuan. Setakat yang kita semua tahu TGNA tidak ada teman wanita di luar rumah.

Pemikiran TGNA masih sihat kerana beliau tidak pergi berpeleseran di pusat-pusat karaoke dan membayar GRO-GRO dengan menggunakan wang rakyat dan beliau tidak pernah pun pergi bersukaria di pusat-pusat hiburan tempatan atau antarabangsa.

TGNA tidak seperti seorang MB yang kurang sihat pemikirannya yang terlibat dengan jenayah menghantar wang sebanyak RM10 juta ke-London melalui sebuah pengurup wang yang begitu ‘dubious’ kedudukannya.

Jika kita timbang-timbang dengan secebis tulisan saya ini kita boleh membuat andaian yang ‘conclusive’ yang TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat dan belum uzur lagi. Disebaliknya pimpinan BN dan UMNO lah kumpulan pemimpin yang telah uzur kerana mereka tidak dapat menggunakan pemikiran mereka untuk menentukan yang mana satu yang tidak baik dan yang mana satu yang baik untuk dilakukan atau untuk tidak dilakukan.

Oleh kerana keuzuran pemikiran pimpinan BN dan UMNO inilah yang menyebabkan kerajaan pada hari ini menjadi persoalan besar oleh rakyat jelata.

Bagi saya, secara peribadi TGNA perlu terus bertanding dalam PRU ini kerana tidak ramai lagi pemimpin yang masih sihat seperti TGNA dan Tok Guru Hadi Awang dan beberapa orang pimpinan besar dalam DAP dan parti-parti yang lain. Mereka ini masih sihat kerana tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Pendeknya kalau kita hendak tahu mana satu pemimpin yang masih sihat ialah mereka yang belum terlibat dengan banyak dosa dan noda yang memercukan syariat agama dengan sesungguhnya.

Sesiapa yang tidak memercukan syariat yang diperintah Tuhan itu adalah mereka yang tidak sihat dan perlu direhatkan untuk membina kembali kesihatan mereka mengikut sudut agama dan syariat agama yang kita anuti.

Salah satu dari sebab PAS mendapat sokongan ramai hari ini ialah kerana kesihatan kepimpinan dan pemikiran pemimpin mereka. Kerana kesihatan pemikiran mereka itulah rakyat sedang berlumba-lumba untuk menyokong pemimpin-pemimpin yang sihat sekarang ini.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/10/tgna-perlu-bertanding-lagi-kerana.html

Saya tak layan desakan ‘Umno buangan’ - TG Nik Aziz

Rizal Tahir,
 
KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak khususnya pihak lawan supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sebaliknya beliau berkata, beliau hanya akan tunduk kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan tertinggi PAS.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak khususnya pihak yang disifatkannya sebagai ‘Umno buangan’ yang tidak putus-putus mahu beliau melepaskan jawatan.

Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau berundur atas alasan sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun menerajui pemerintahan negeri itu.

Mengulas lanjut, Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk berlawan dengan Umno tidak perlu tubuh yang sihat, sebaliknya kekuatan minda.

Katanya, sekiranya seorang pemimpin itu berkerusi roda sekalipun sebaliknya  tidak bermasaalah dengan idea atau pemikiran, ianya tidak mempunyai sebarang masaalah.

Menurutnya lagi, tugas menjaga negeri bukan hanya tertumpu pada Menteri Besar, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab anggota-anggota exco kerajaan negeri juga.

“Bila Menteri Besar, bererti ada dia ni adalah ketua dan bila ketua pula tentu ada pegawai di bawahnya, bila orang gelarkan saya ni Menteri Besar, bererti ada menteri kecil,”ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Beliau yang dipetik Sinar Harian berkata, Tok Guru adalah merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.

“Kami yang minta Tok Guru untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

“Biar kami (PAS) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, turut lantang membuat desakan agar Tuan Guru berundur termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Sarawak mahu guna teknik bekalan air Kelantan

Mohd Nor Yahya,

(Rombongan dari Sarawak ketika melawat projek perintis Telaga Jejari)

JELI: Teknologi telaga jejari yang diperkenalkan di Kelantan beberapa tahun lalu kini mendapat perhatian seluruh negara termasuk Sarawak.

Baru-baru ini projek perintis telaga jejari dilaksana Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Jeli dikunjungi Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Sarawak, Datuk Sylvester Entri anak Muran.

Rombongan dari Bumi Kenyalang itu disertai pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Unit Perancangan Negeri, Jabatan Kerjaraya, Jabatan Tanah dan Survey serta Lembaga Air Sibu.

Lawatan mereka diiringi Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmood; Ketua Bahagian Teknikal AKSB, Ir Wan Zamri Wan Ismail; Pengurus Teknikal, Iskandar Abdul Rahman dan Pengurus Pengeluaran, Mohd Safrurazi Salleh.

Sylvester Entri berkata, teknologi penggunaan air bawah sungai (tanah) yang dipraktik AKSB amat sesuai digunakan di Sarawak memandangkan terdapat banyak sungai di negeri tersebut.

Kondo Batu Caves: S'gor perlu dedah cerita sebenar

Harakahdaily,


(Himpunan bantahan pembinaan kondo sebelah kuil di Batu Caves - gambar TMI)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan Selangor mendedahkan sahaja pihak yang meluluskan projek Kondominium Dolomite Park Avenue, Batu Caves, Selangor.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu penting supaya kerajaan Pakatan Rakyat tidak dipersalahkan ekoran projek tersebut kerana ia pastinya akan menjejaskan  sokongan rakyat khususnya pengundi India.

"Kerajaan Selangor juga perlu memberikan penjelasan di sebalik kelulusan projek tersebut supaya masing-masing faham cerita di sebaliknya," katanya.

Isu pembinaan kondo di sebelah Batu Caves yang menjadi pusat ibadat penganut beragama Hindu telah menjadi isu agama dan perkauman.

Baru-baru jawatankuasa kuil yang dikunjungi ratusan ribu orang setahun itu mengadakan bantahan beramai-ramai dengan diketuai sendiri bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu telah mendedahkan bahawa kelulusan projek itu dibuat pada 2007 iaitu sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada BN pada 2008.

Beliau juga turut menamakan dua individu iaitu bekas ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kini menjadi wakil rakyat BN, yang didakwa terlibat dalam meluluskan projek itu.

Bagaimanapun kedua-duanya telah manafikannya atas alasan beliau bukan lagi ahli majlis MPS ketika projek itu diluluskan.

Malah sebelum ini BN turut menuduh kelulusan projek itu dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

MPS sangkal


Bagaimanapun semalam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Datuk Zainal Abidin Aala menyangkal tuduhan itu dengan berkata ianya diluluskan pada tahun 2007 iaitu pada zaman BN memerintah negeri ini.

Kebenaran Merancang yang diluluskan pada 30 November 2007 katanya adalah kunci kepada segala pembinaan yang diberikan oleh mana-mana pihak majlis.

“Projek ini melibatkan dua fasa, kedua-duanya diberikan semasa 2007 dan pembinaan lot kedai yang sudah siap itu adalah fasa pertama.

“Fasa kedua adalah pembinaan kondo tersebut,” kata beliau.

Zainal Abidin juga mendedahkan projek itu telah diluluskan oleh Jabatan Mineral Dan Geo-Sains (JMG) pada ketika zaman pemimpin Barisan Nasional lalu, namun pihak Jabatan Alam Sekitar, dalam laporan awalnya, tidak menyokong pembinaan projek oleh pemaju Dolomits Properties Sdn Bhd.

“Projek ini telah mendapat kelulusan oleh JMG tetapi dalam laporan tersebut pihak Alam Sekitar tidak menyokong dalam pembinaan yang dirancang tersebut,” kata Zainal Abidin tanpa menyatakan sebab pihak JAS tidak menyokong.

Mengulas Langkah seterusnya yang akan diambil oleh MPS bagi menangani isu yang timbul ini, Zainal Abidin menyatakan MPS  akan membawa isu ini ke Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) untuk memutuskan tindakan susulan.

JK siasatan

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam turut mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat isu tersebut.

Jawatankuasa khas itu katanya akan diketuai seorang bekas hakim manakala anggotanya pula dari mereka yang berpengalaman dalam bidang perancangan, peguam dan mereka yang mempunyai kaitan dalam bidang industri pembinaan.

Ekoran itu juga katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan menghentikan sementara pembinaan kondo 29 tingkat tersebut.

Sambung perjuangan Islam bila saya tiada - TG Nik Aziz

Harakahdaily,


KOTA BHARU: "Apabila ketiadaan saya nanti, pemimpin lain hendaklah sambung dan teruskan perjuangan memarbatkan Islam. Saya berharap generasi pelapis hari ini meneruskan perjuangan Islam," pesan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pesanan ini dibuat beliau melalui wartawan Harakah, Salmah Mat Husein dan Rizal Tahir ketika kedua-duanya menemubual beliau baru-baru ini.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana di Kelantan dan di negeri-negeri lain golongan profesional semakin ramai menyertai PAS termasuk juga di Sabah dan Sarawak. Ramai yang meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

"Rakyat boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Kelantan, di mana pemimpinnya tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak rasuah.

"Ini menjadi model kepada masyarakat untuk lebih mempercayai perjuangan PAS," kata beliau.

Kelantan Kurang Kerja Kosong. Rakyat Kelantan Paling Ramai Mohon Kerja Dengan SPA (495,000 orang)

 Staff Berita Semasa 
 
Kakitangan Awam Kelantan Kelantan Kurang Kerja Kosong. Rakyat Kelantan Paling Ramai Mohon Kerja Dengan SPA (495,000 orang)

Kelantan kurang kerja kosong : Kami sebenarnya menyangka yang mengeluarkan kenyatan seperti ini, mungkin kalangan yang kurang berpelajaran. Tetapi sangkaan kami silap. Kami tak pasti mengapa seorang yang bergelar Pengerusi SPA boleh mengeluarkan kenyataan sebegini rupa?

Rakyat Kelantan SPA Kelantan Kurang Kerja Kosong. Rakyat Kelantan Paling Ramai Mohon Kerja Dengan SPA (495,000 orang)

Jikalau dikirakan baru, hanya sekitar 2,500+ orang Kelantan sahaja yang diterima masuk menjadi kakitangan kerajaan. Diharapkan selepas ini dapatlah kiranya mengeluarkan statistik pemohon-pemohon di negeri lain di Malaysia juga.

Semua rakyat Malaysia ada kad pengenalan, tidak kira berasal di negeri mana sekalipun, mereka tetap warganegara Malaysia yang mempunyai hak untuk mencari nafkah di mana sahaja. Jikalau Kelantan yang teramai memohon sekalipun, adakah ia memberikan satu masalah besar sehingga membebankan SPA? Lain lah kalau yang ambil jawatan kosong kerajaan itu “semuanya orang luar”, ini rakyat Kelantan iaitu rakyat Malaysia. Ada masalah?

Kami sendiri pun bukan terdiri daripada kalangan orang Kelantan. Sebenarnya tidak kira, rakyat dari negeri mana sekalipun yang memegang status paling ramai memohon jawatan kosong kerajaan kita tidak boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa. Itu hak mereka.
  1. Apa yang kami perhatikan, secara realitinya bilangan rakyat Kelantan masih lagi kecil walaupun ramai yang mohon
  2. Setiap borang yang digunakan untuk memohon jawatan kosong kerajaan  sudah tentu die ade kelayakan yang telah ditetapkan
  3. Jikalau tidak layak, sudah tentu mereka (rakyat Kelantan) tidak memohon.
P/S : Dicadangkan tolong buat kajian kat IPTA dan IPTS, lepasan graduan IPT mengikut negeri-negeri di Malaysia. Dan ke mana arah mereka selepas tamat pengajian, samada bekerja dengan sektor awam, swasta ataupun berniaga mengikut negeri-negeri?

Selasa, 30 Oktober 2012

Jabatan Kg Pulau Meranti Runtuh, Penduduk Dinasihati Cari Jalan Alternatif

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Sebuah jambatan di Sungai Rasau, Kampung Pulau Meranti dekat Putra Perdana, Puchong runtuh petang tadi menyebabkan laluan dari kampung itu kePuchong, Putrajaya dan Cyberjaya terputus.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata runtuhan jambatan itu mulai berlaku pada kira-kira 2 petang sebelum ia runtuh sepenuhnya tiga jam kemudian.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya sedang melakukan kerja pembaikan.

"Penduduk di kawasan kampung itu dinasihat menggunakan laluan alternatif Jalan Puchong-Putra Perdana-Cyberjaya," katanya kepada Bernama.

Zaldino juga berkata runtuhan itu dipercayai berpunca daripada hakisan di sungai berhampiran.

Sementara itu, penduduk di sekitar Kampung Pulau Meranti terkejut dengan kejadian tersebut.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz berkata ketika melalui jambatan itu pada kira-kira 1.30 petang tadi, beliau terasa kenderaannya 'terhayun'.

"Saya segera memaklumkan kejadian itu kepada Ketua Kampung tetapi ia runtuh setengah jam kemudian. Mujur ketika kejadian, tiada kenderaan yang lalu dan tiada orang cedera," katanya ketika ditemui di sini.

Hafiz berkata retakan dan lubang kecil mula dikesan pada jambatan itu enam bulan lepas namun tiada kerja baik pulih dilakukan. Saiful Wan Mohd Rosli, 40, pula berkata laluan itu juga sering digunakan lori dan treler yang berkemungkinan menyebabkan retakan.

"Saya menyedari retakan pada laluan ini semasa pulang dari solat Jumaat minggu lepas dan saya mendapati seperti ada lubang yang agak besar di bahagian bawah jambatan itu," katanya. BERNAMA

Beberapa Rakyat Malaysia Disyaki Sertai Militan Dalam Pemerhatian Polis

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Beberapa lagi rakyat Malaysia yang disyaki bersedia untuk menyertai kumpulan militan di negara-negara yang terjejas oleh persengketaan dan peperangan sivil, seperti Afghanistan, Syria, Yaman, Iraq dan beberapa negara-negara Timur Tengah, berada dalam pemerhatian polis.

Identiti mereka dikenali polis, yang sentiasa berhubung dengan rakan-rakan mereka di negara-negara tersebut.

Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Lubnan baru-baru ini, Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, dan Razif Mohd Ariff, 30 juga telah berada di bawah pengawasan polis, yang tahu mereka telah meninggalkan negara untuk ke Turki pada 3 Oktober.

Sumber polis berkata kedua-dua mereka mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Istanbul dengan dokumen yang sah.

"Kami telah memantau mereka sejak awal tahun ini selepas menerima maklumat," kata sumber atasan polis.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman (Operasi/Anti Pengganas) Datuk Fuzi Md Harun berkata Malaysia berharap dapat menerima maklumat daripada pihak berkuasa Lubnan selepas siasatan mereka ke atas dua tahanan selesai.

"Kami akan menghantar pasukan ke Lubnan jika diberi kelulusan oleh pihak berkuasa Lubnan," katanya.

PTPTN Tampil Dengan Iklan

Papan tanda iklan PTPTN di Jalan Utara, Petaling Jaya.
 
PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Nasional (PTPTN), yang dirangsang oleh peningkatan dalam pembayaran balik pinjaman berikutan tawaran diskaun 20 peratus yang diumumkan di bawah Bajet 2013, turut memaparkan iklan.

Iklan di akhbar dan papan iklan membariskan ayat "Komitmen Bayaran Balik Anda Menjamin Kelangsungan Pembiayaan" dan menyatakan diskaun boleh dibuat melalui lima kaedah pembayaran balik.
Dalam Bajet 2013 yang dibentangkan bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan diskaun 20 peratus bagi mereka yang membayar jumlah pinjaman tertunggak sepenuhnya sebelum 30 September tahun depan.

Mereka yang gagal membayar selepas tarikh akhir tetapi telah berusaha membayar pinjaman mereka pada masanya untuk tempoh 12 bulan juga layak mendapat diskaun 10 peratus.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said berkata 23,424 peminjam telah memohon untuk diskaun ini, yang mana 179 pemohon layak untuk diskaun berjumlah RM325,000 bagi pinjaman mereka yang berjumlah RM1.63 juta.

"PTPTN telah (sehingga 11 Oktober) mengumpul RM1.3 juta hutang daripada mereka yang membayar sepenuhnya. Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik oleh Kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai membayar balik pinjaman mereka," katanya.

Ismail menambah bahawa 132,801 peminjam yang disenaraihitam, yang juga layak untuk diskaun, telah memohon.

Diskaun kini dibiayai oleh dana rizab PTPTN, tetapi kemudian akan dibiayai oleh Kementerian Kewangan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan telah memberikan insentif untuk menggalakkan peminjam membuat pembayaran awal bagi membolehkan dana diguna semula untuk pelajar baru yang memerlukan sokongan kewangan.

Beliau menambah langkah itu juga dibenarkan sebagai kelonggaran kepada graduan yang masih menganggur dan tidak mampu untuk membuat bayaran seperti yang dijadualkan.

Hudud: Pas-DAP sudah ada titik persamaan, kata Hadi

Wartawan Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, titik persamaan secara umum telah disepakati apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan agama Islam.

Sehubungan itu katanya, Pas sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan mengenai isu itu sekiranya memerintah negara kelak.

Bagaimanapun katanya, cara ini tidak boleh dilakukan oleh Umno dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional (BN).

"Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh Pas.

"Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka Pas yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali," kata beliau lagi dalam pandangan panjang lebar dikeluarkan hari ini, yang antara lain menyentuh isu hudud.

Isu terus muncul polemik hangat ekoran pandangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini.
Pendirian Soi Lek itu dikaitkan dengan pendirian DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR).

PDRM: Tiada gerakan Al-Qaeda di Malaysia

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR -  Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan gerakan Al-Qaeda di negara ini berdasarkan pemantauan risikannya, kata Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun.
  
"Sehingga kini, PDRM tidak menerima sebarang maklumat tentang gerakan Al-Qaeda di sini, namun tidak menolak kemungkinan ada aktiviti merekrut rakyat tempatan untuk menganggotai kumpulan itu di negara jiran," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
  
Beliau diminta mengulas penahanan rakyat Malaysia Rafik Mohammed Ariffin, 28, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, oleh pihak berkuasa Lubnan di sebuah hotel di Beirut minggu lepas kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
  
Tribunal Tentera di Beirut hari ini mengarahkan dua rakyat Malaysia itu mengambil peguam untuk mewakili mereka dan kes mereka akan disebut semula Rabu ini.
  
Sementara itu, ayah Rafik, Mohammed Ariffin Abdullah ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut berhubung penahanan anaknya.
 
"Saya harap semua dapat memberikan saya sedikit ruang bagi mengikuti proses tuduhan ke atas anak saya.
  
"Buat masa ini, saya tidak dapat mengulas tentang dakwaan terhadap Rafik," katanya ketika dihubungi.
  
Sementara itu, ibu Mohammed Razin yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah Asma berkata, dia tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan atas kesalahan menganggotai kumpulan Al-Qaeda.
  
Sharifah Asma berkata, Mohammed Razin tinggal di Melaka dan menuntut di sebuah kolej di Trolak, Perak manakala beliau dan suaminya di Putrajaya.
  
"Saya sering berhubung dengan anak saya tetapi kami tidak mengetahui tentang pemergiannya ke Lubnan dan pembabitan beliau dalam kumpulan itu," katanya. - Bernama

4 negeri Pakatan tangguh AES

SINAR HARIAN

AES
Sistem AES
 
KUALA LUMPUR - Empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah. - Bernama

AES Dipulang Kepada Kerajaan Selepas Lima Tahun, Siapa Untung, Soal Guan Eng




 KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Sistem Kamera Automatik (AES) akan dikembalikan kepada Kerajaan Pusat selepas lima tahun.

Guan Eng mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang disiarkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chiew hari ini.

“Kalau ada kebaikan selepas lima tahun dipulangkan kepada Kerajaan Pusat, saya nak tanya kamera 1Malaysia (AES) dipulangkan?

“Saya tidak nampak kebaikan. Dia nak pulangkan semula kerana sudah mengaut keuntungan yang cukup.

“Saya tidak tahu dia (Cho Ha) nampak apa kebaikan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Tambah Guan Eng, kerajaan perlu mengkaji semula kadar kelajuan sedia ada yang disifatkan tidak praktikal.

Berdasarkan statistik, 831 buah kamera yang akan dipasang diseluruh Malaysia dengan 331 buah kamera tersebut diletakkan di negeri Pakatan Rakyat (PR).

 Tambahnya lagi, semua negeri yang ditadbir PR mengambil langkah menangguhkan pemasangan AES bagi memperincikan segala maklumat penting mengenai perkara ini.

Beliau turut membangkitkan mengenai surat saman yang sehingga kini belum dikirimkan kepada pengguna jalan raya.

“Bila surat saman akan dikirmkan kepada pengguna yang ditangkap (kamera AES)?

“Saya nak tahu bila? Apakah selepas PRU-13 ia akan dihantar?” soalnya lagi.

Sistem AES dipasang di seluruh negara, melibatkan syarikat ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dengan jumlah pelaburan bernilai RM717 juta.

Hadi yakin cita-cita Islam dapat dilaksana tanpa gangguan

Wartawan Sinar Harian

HADI AWANG

SHAH ALAM - Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas yakin dapat merealisasikan cita-cita Islam yang diperjuangkannya dengan sempurna "tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali."

Dalam pandangan terbaru dikeluarkan hari ini, Presiden Pas itu berkata, beliau ingin menegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam, sama sekali tidak untuk bukan Islam.

Sehubungan itu, katanya, Pas tidak membawa perkara ini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi.

"Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka Pas yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali," kata beliau.

Ia dilihat sebagai pandangan secara bertulis, yang panjang lebar dikeluarkan oleh Abdul Hadi dalam bulan ini.

Kata Hadi, Pas berlainan dengan Umno dan sangat berbeza kerana pihaknya tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara.

"Sekiranya dikaji Surah Al-Maidah yang diturunkan di Madinah, terdapat didalamnya undang-undang jenayah, di antaranya hudud," kata beliau.

"Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu. Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Marang ini menambah, Pas berijtihad memilih demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud kerana pendekatan demokrasi secara damai bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang.

"Maka proses pelaksanaan undang–undang termasuk hudud dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihan raya lalu.

"Undang-undang  jenayah Islam termasuk hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, dibentang dan dibuka kepada proses soal jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya," kata beliau lagi.

Mengulas lanjut isu itu, katanya, DAP pula bukan parti Kerajaan Pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA.

"Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan Umno yang terlalu tinggi.

"Maka Pas lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas," katanya.

Malah menurut beliau, hubungan Pas dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat.

"Maka isu pelaksanaan Islam oleh Pas dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukan kepada hukum tahaluf siyasi dalam feqah siyasah.

"Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong Pas dan rakyat seluruhnya," katanya lagi.

Beliau mengulangi bahawa Pas tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan perjuangannya.

"Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil," katanya lagi.

Kamalanathan desak Ronnie Liu mohon maaf secara terbuka

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan mendesak Ronnie Liu supaya memohon maaf secara terbuka berikutan dakwaan exco kerajaan negeri Selangor itu yang mengaitkan beliau dengan projek pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.

Kamalanathan menyifatkan dakwaan Liu bahawa beliau dan Pengerusi Gerakan Selangor Senator A.Kohilan Pillay adalah antara anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang meluluskan cadangan projek berhampiran kuil di Batu Caves itu sebagai satu pembohongan.

"Saya menjadi anggota MPS dari 2004 hingga 2006. Projek itu diluluskan pada September 2007, namun ketika itu saya tidak lagi menjadi anggota MPS dan tidak mempunyai hak untuk mengambil keputusan atau mengambil bahagian dalam apa jua keputusan MPS ketika itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kamalanathan mengulas kenyataan Liu baru-baru ini bahawa beliau dan Kohilan, yang juga Timbalan Menteri Luar, adalah antara individu yang bertanggungjawab meluluskan cadangan projek itu.

"Ronnie Liu membuat kenyataan itu semasa saya menghadiri persidangan Parlimen Asean di Bangkok, Thailand. Berikutan itu, pegawai saya telah membuat laporan polis mengenai kenyataan berunsur fitnah berkenaan pada 24 Okt lepas di Balai Polis Brickfields supaya polis melakukan siasatan," katanya.

Beliau berkata Liu hanya mahu mencemar nama baiknya dan Kohilan untuk mendapat keuntungan politik semata-mata tanpa menyelidik fakta berhubung perkara itu.

Pada 26 Okt lepas, Kohilan dilaporkan berkata segala kelulusan projek itu dikeluarkan kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat melalui Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu pada 26 Jun 2008.
Barisan Nasional kalah di Selangor pada pilihan raya umum tahun yang sama.- Bernama