HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 September 2007


Wang haram: Pegawai polis dituduh lagi RM2.8 juta

TEMERLOH: Seorang pegawai kanan polis berpangkat superintendan yang didakwa atas tiga tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram semalam, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua lagi pertuduhan sama membabitkan kira-kira RM2.8 juta.

Azmi Osman, 52, yang hadir di mahkamah berkemeja putih berpetak dan berseluar hitam bagaimanapun dengan tenang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Ishak Bakri.

Pegawai polis itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM2,093,300 melalui akaun semasanya di Malayan Banking Berhad di No 1, Jalan Haji Kassim, Mentakab di sini pada 6 Feb 2002 dan 20 Dis 2002.

Azmi juga didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM683,850 melalui akaun yang sama dan di tempat yang sama pada 7 Jan 2003 dan 2 Okt 2003.

Pertuduhan terhadap pegawai polis itu yang kini bertugas di bahagian Urusetia Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Kuala Lumpur dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, Azmi boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim Ishak membenarkan Azmi diikat jamin sebanyak RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengarahkan pegawai polis itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Ishak juga membenarkan permohonan Ketua Unit Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakkan Harta, Dzulkifli Ahmad yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Johor Baru bagi dibicarakan bersama-sama dengan tiga lagi pertuduhan yang dihadapi Azmi.

Beliau menetapkan 31 Okt ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Johor Baru.

Di Mahkamah Sesyen Johor Baru semalam, Azmi mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM1.2 juta.

Terdahulu, Dzulkifli yang dibantu Muhd Saifuddin Hashim Musaimi mencadangkan kepada mahkamah agar menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap pegawai polis itu yang beralamat di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Peguam C. N. Sritharan yang mewakili Azmi dalam hujahnya yang mengambil masa kira-kira 15 minit bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya juga menghadapi tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Baru dan perlu membayar ikat jamin sebanyak RM200,000.

Beliau berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah subseksyen 4 (1)(a) itu tidak begitu serius kerana mempunyai opsyen untuk hukuman denda dan bukannya penjara mandatori.

"Isu anak guam saya akan lari dari jaminan juga tidak akan timbul kerana sebagai seorang pegawai polis dia dikehendaki dalam prosedur penjawatan beliau untuk melapor diri kepada lembaga tatatertib setiap minggu sehingga kesnya selesai," katanya.

Sementara itu, Azmi yang ditemani peguamnya dilihat meninggalkan kawasan mahkamah pada pukul 12 tengah hari setelah membayar wang jaminan. BERNAMA




Tiada ulasan: